Anda di halaman 1dari 11

BAB 12

RUMUSAN PENGANTAR KOMUNIKASI

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Menjelaskan skop bidang komunikasi sebagai
disiplin sains sosial.
2. Membincangkan kepentingan, jenis dan
konteks komunikasi.
3. Memahami keseluruhan asas komunikasi.

12.1 PENGENALAN

Syukur kita sudah sampai ke penghujung kursus


Pengantar Komunikasi. Sepanjang tempoh
pembelajaran, kita telah membincangkan pelbagai
konsep, fungsi, kepentingan, konteks dan kemahiran
asas komunikasi.

Pada hakikatnya, bidang komunikasi adalah berkaitan


dengan gelagat pencarian dan perkongsian maklumat
di kalangan manusia. Manusia mempunyai pelbagai
ragam. Kepelbagaian ragam inilah yang mencorakkan
jenis dan bentuk komunikasi. Daripada awal mula
komunikasi dalam diri sendiri (intrapersonal)
hinggalah ke komunikasi massa yang melibatkan
khalayak ramai, tujuan kita berkomunikasi adalah
untuk mencipta kesamaan kefahaman tentang sesuatu
perkara. Dalam erti kata lain, komunikasi adalah
proses merapatkan jurang kefahaman antara individu.
Apabila kita berkomunikasi sebenarnya kita cuba
mengurangkan ketidakpastian dan keraguan antara
satu sama lain dalam mencapai titik persamaan dan
kefahaman.

Jadi dalam bab ini, kita akan membuat rumusan mudah


dan ringkas dengan mengimbas kembali pelajaran

189
yang telah kita bincang. Di samping itu, kita juga akan
membincangkan tentang keperluan kemahiran
komunikasi dalam kehidupan manusia.

12.2 KOMUNIKASI SEBAGAI BIDANG SAINS


SOSIAL

Dalam Bab 1 Sejarah Komunikasi, kita telah


membincangkan secara terperinci sejarah awal
perkembangan bidang komunikasi dari zaman Aristotle
hinggalah perkembangan komunikasi siber yang
berlaku dewasa ini. Ramai sarjana awal dalam bidang
sains sosial seperti bidang antropologi, sosiologi, sains
politik dan psikologi yang berminat membuat kajian
tentang gelagat komunikasi antara manusia. Pada
peringkat awal, perkembangan bidang komunikasi
dipelopori oleh sarjana sains sosial. Sebagai satu
bidang sains sosial, bidang komunikasi bersifat
dinamik dan berubah mengikut masa.

Dari zaman Plato dan Aristotle yang membangkitkan


pengkajian tentang retorik hinggalah zaman siber ini,
komunikasi masih lagi relevan dan terus dikaji
khususnya tentang kepentingan, keterampilan dan
impak komunikasi kepada budaya kerja, pencarian
maklumat dan pembinaan masyarakat
berpengetahuan. Pendek kata, ilmu komunikasi perlu
dikaji dan dipelajari dari semasa ke semasa sesuai
dengan perubahan konteks, budaya, khalayak dan
tujuan-maksud-niat.

Bolehkah anda kenal pasti faktor-faktor


yang mempengaruhi perkembangan
pembangunan bidang komunikasi?

12.3 KOMUNIKASI IALAH SUATU PROSES

Komunikasi ialah suatu proses pertukaran makna


antara individu. Jika kita imbas kembali Bab 2 Fungsi
dan Takrifan, komunikasi secara umumnya merujuk
kepada satu proses seni memindahkan maklumat, idea
dan sikap daripada seseorang kepada seseorang

190
(Emery, Ault & Agee, 1965). Kajian oleh Dance (1970)
telah mengenal pasti 98 takrifan komunikasi. Ini
menunjukkan bahawa komunikasi adalah satu bidang
yang luas dan sentiasa disesuaikan dengan bidang-
bidang ilmu lain. Perbincangan tentang takrifan juga
mengupas beberapa dimensi penekanan takrifan
komunikasi seperti yang dikemukakan oleh Samsudin.
A Rahim (1993) iaitu

(i) Takrifan yang menekankan aspek


penyampaian dan penyebaran maklumat.
(ii) Takrifan yang menekankan aspek
perkongsian makna dan kesefahaman.
(iii) Takrifan yang menekankan aspek
pembujukan dan perubahan.
(iv) Takrifan yang menekankan aspek tingkah
laku.

Bolehkan anda imbas kembali takrifan


komunikasi berdasarkan penekanan yang
dinyatakan di atas?
Di samping itu, kita juga telah membincangkan
beberapa fungsi umum komunikasi. Antara fungsi
komunikasi tersebut adalah komunikasi berperanan
menyebarkan maklumat dan amaran, komunikasi
bertindak sebagai transmisi budaya masyarakat,
komunikasi berupaya menyediakan hiburan,
komunikasi dapat mendidik masyarakat, komunikasi
sebagai penentu agenda dan komunikasi berfungsi
sebagai alat pembujukan.

Cuba anda terangkan dengan lebih


mendalam fungsi-fungsi komunikasi dalam
pelbagai konteks komunikasi yang telah
anda pelajari.

Melalui takrifan-takrifan komunikasi, kita dapat


mengenal pasti beberapa elemen komunikasi seperti
sumber, pengirim, mesej, saluran, maklum balas dan
gangguan serta persekitaran seperti yang
dibincangkan dalam Bab 3 Elemen-Elemen
Komunikasi. Kajian tentang elemen-elemen komunikasi
adalah penting bagi mengetahui tahap kesediaan,

191
kemampuan dan kewibawaan elemen tersebut dalam
mewujudkan komunikasi yang berkesan. Contohnya,
sebelum kita berkomunikasi, kita sebagai sumber perlu
menganalisis kekuatan diri sendiri dalam
menyampaikan sesuatu mesej sesuai dengan tujuan
konteks, khalayak (penerima) dan saluran yang dipilih
sama ada saluran kemanusiaan iaitu bersemuka atau
menggunakan perantaraan teknologi seperti media
massa. Analisis setiap elemen ini adalah penting
sebelum proses komunikasi dimulakan bagi mencapai
tahap keberkesanan dan kelangsungan komunikasi.

Kenal pasti ciri-ciri setiap elemen


komunikasi yang berupaya mewujudkan
komunikasi yang berkesan.

Bab 4 Model Komunikasi pula telah membincangkan tiga


kumpulan model komunikasi berdasarkan hubungan elemen-elemen
yang terlibat iaitu Model Klasik (sehala), Model Komunikasi Dua
Hala (transaksional) dan Model Komunikasi Kontemporari. Model
Berlo contohnya mengutarakan konsep S-M-C-R iaitu sumber, mesej,
saluran dan penerima. Model Klasik ini memperlihatkan hubungan
sehala antara sumber dengan penerima tanpa ada unsur maklum balas.
Umumnya, Model Klasik memberikan tumpuan kepada kesan media
yang melibatkan proses komunikasi yang bersifat sehala. Manakala
Model Dua Hala menambahkan elemen maklum balas bagi
mewujudkan proses komunikasi yang aktif antara sumber dan
penerima. Model Komunikasi Kontemporari pula melihat proses
komunikasi yang lebih interaktif dan mengambil kira aspek-aspek
pengaruh persekitaran dalam mempengaruhi keberkesanan
komunikasi.
Cuba anda lakarkan gambar rajah model-
model yang terdapat dalam Model Klasik,
Model Dua Hala dan Model Kontemporari.

Setelah kita mengetahui elemen-elemen yang


melibatkan proses komunikasi melalui model, kita juga
perlu membuat tafsiran terhadap mesej-mesej yang
ingin disampaikan oleh sumber dan penerima. Dalam
hal ini, Bab 5 Bentuk Mesej Komunikasi
membincangkan dengan terperinci tentang dua bentuk
mesej komunikasi iaitu mesej lisan dan mesej bukan

192
lisan. Kedua-dua bentuk mesej ini penting diperhalusi
agar perkongsian makna mesej antara sumber dan
penerima mencapai persamaan. Mesej lisan merujuk
kepada komunikasi lisan iaitu bahasa. Ciri-ciri bahasa
yang unik menuntut kita mentafsir makna mesej yang
tersurat dan tersirat secara tepat. Begitu juga dengan
mesej komunikasi bukan lisan yang bersifat kabur,
sukar ditafsir secara tepat. Sebaliknya, komunikasi
bukan lisan memaparkan lebih 60 peratus mesej
berbanding mesej lisan. Setiap gerak laku kita sentiasa
berinteraksi kerana memberi makna tertentu
khususnya tentang emosi dalaman kita.

Oleh yang demikian, komunikasi sebagai suatu proses


perlu dilihat hubungan antara elemen-elemen
komunikasi secara menyeluruh. Hubungan ini boleh
dikaji dengan merujuk kepada model-model
komunikasi yang dikemukakan oleh sarjana terdahulu.

Kenal pasti dan jelaskan fungsi komunikasi


lisan dan komunikasi bukan lisan?

Imbas kembali jenis-jenis komunikasi


bukan lisan berikut: paraliguistik,
proksimiti, kinesik dan artifaktual.

12.4 KONTEKS DAN APLIKASI KOMUNIKASI

Komunikasi memainkan peranan penting dalam


kehidupan manusia. Di mana sahaja kita berada,
proses komunikasi akan berlaku sama ada secara sedar
ataupun tidak. Malah dengan berdiam diri juga dapat
menzahirkan mesej tertentu. Selain elemen-elemen
utama komunikasi, konteks sesuatu komunikasi juga
memainkan peranan penting dalam menentukan
keberkesanan komunikasi. Konteks komunikasi secara
umumnya merujuk kepada suasana berlakunya
komunikasi. Dalam Bab 6 Jenis-Jenis Komunikasi
anda telah mengenal pasti beberapa jenis komunikasi
mengikuti konteks iaitu komunikasi intrapersonal,
komunikasi interpersonal, komunikasi kumpulan,
komunikasi awam, komunikasi massa dan komunikasi

193
antarabudaya. Setiap jenis komunikasi ini mempunyai
ciri-ciri tersendiri khususnya dari aspek bilangan
individu yang terlibat dalam proses komunikasi
tersebut.

Konteks komunikasi yang lebih luas juga boleh kita


lihat dalam Bab 7 Komunikasi Organisasi dan Bab 8
Komunikasi Pembangunan. Kedua-dua bab ini
membincangkan secara terperinci peranan komunikasi
dalam konteks yang berbeza. Komunikasi organisasi
merujuk kepada proses komunikasi yang berlaku
dalam sesebuah organisasi yang saling bergantung
antara satu sama lain untuk mencapai matlamat
organisasi yang telah ditetapkan. Dalam hal ini
komunikasi memainkan peranan mewujudkan aturan
pertukaran mesej antara pekerja majikan, dan
majikan masyarakat luar dan sebagai unsur kawalan
dan arahan. Sebaliknya, komunikasi dalam konteks
pembangunan pula merujuk kepada proses
mewujudkan kesedaran dan penglibatan masyarakat
dalam mencapai kemajuan sosioekonomi melalui
penyebaran maklumat dan penggunaan media massa.
Dalam hal ini, konteks komunikasi pembangunan
adalah lebih luas dengan melihat kepada peranan ejen
pembangunan dan masyarakat keseluruhannya. Begitu
juga dengan Bab 9 Teknologi Komunikasi yang
melihat komunikasi dalam konteks penggunaan
peralatan untuk menyampaikan maklumat secara
meluas kepada khalayak massa.

Cuba anda senaraikan dan bandingkan


peranan dan ciri-ciri Komunikasi
Organisasi, Komunikasi Pembangunan dan
Teknologi Komunikasi.

Dalam Bab 10 Bidang Komunikasi yang Lain pula,


anda telah didedahkan kepada empat konteks
komunikasi yang begitu popular dan berkembang maju
dewasa ini iaitu Perhubungan Awam, Periklanan,
Komunikasi Massa dan Kewartawanan. Keempat-empat
bidang ini secara tidak langsung dapat memberi anda
gambaran bagaimana komunikasi berperanan dalam
konteks profesion yang berbeza-beza. Walaupun

194
konteks berbeza, namun elemen-elemen utama
komunikasi masih sama iaitu sumber, penerima, mesej
dan saluran. Ini menunjukkan bahawa komunikasi yang
berkesan ialah suatu proses penyesuaian elemen yang
efektif dalam konteks berbeza. Oleh yang demikian,
perbezaan konteks menuntut kita menyesuaikan diri
dan menganalisis semula setiap elemen yang terlibat.

12.5 MANUSIA DAN KEMAHIRAN KOMUNIKASI

Komunikasi adalah segala tindakan manusia yang


memberi makna dalam bentuk simbol yang difahami
secara bersama. Dalam proses komunikasi terdapat
tiga bentuk tindakan yang dilakukan iaitu penilaian,
perancangan dan pelaksanaan. Sebenarnya proses
tindakan ini memerlukan kita memikirkan sesuatu
sebelum kita mengeluarkan mesej kepada individu lain
dengan menggunakan saluran tertentu. Justeru itu,
pemikiran manusia akan mempengaruhi bentuk
tindakan yang akan diambil sama ada baik, buruk,
berkesan atau kabur. Pemikiran adalah suatu proses
sedar yang dijana oleh otak manusia. Semua ini
dijelaskan dengan terperinci dalam Bab 11 Kemahiran
Pemikiran dan Komunikasi. Oleh itu, kita perlu berfikir
sebelum membuat sesuatu tindakan. Tindakan yang
positif lahir dari jiwa yang bersih dan pemikiran yang
luhur. Oleh yang demikian komunikasi yang berkesan
dan positif adalah gambaran jiwa seseorang yang
murni.

Dalam konteks Islam, aktiviti komunikasi adalah


sesuatu yang dianggap mulia. Mulia itu datang
daripada pemikiran yang tulus dan ikhlas. Begitu juga
dalam masyarakat Melayu, komunikasi dapat
melambangkan budi pekerti seseorang. Budi ialah
pemikiran, sikap dan tingkah laku seseorang seperti
peribahasa Melayu berikut:

Yang merah saga


Yang kurik kundi
Yang indah bahasa
Yang baik hati.

195
Persoalannya ialah mengapakah komunikasi penting
dalam kehidupan kita? Mengapakah komunikasi
penting bagi diri anda? Banyak jawapan yang boleh
disajikan kepada persoalan tersebut seperti yang
dibincangkan dalam bab-bab yang lalu. Bagi
meringkaskan perbincangan rumusan ini, dipetik
beberapa kepentingan komunikasi seperti yang
dinyatakan oleh Abdul Rahman Abdul Aziz dalam
bukunya yang berjudul Kemahiran Sosial Asas (2000)
iaitu

(i) Kelangsungan generasi manusia manusia


terdiri daripada lelaki dan perempuan.
Komunikasi antara kedua-dua jantina ini
dapat melahirkan perasaan kasih sayang
dan seterusnya menzahirkan ikatan
perkahwinan yang sah di sisi agama.
Akhirnya, hubungan ini dapat membentuk
sebuah keluarga dan generasi seterusnya.
Dalam hal ini, komunikasi begitu penting
dalam mewujudkan keluarga bahagia dan
sejahtera. Banyak kes keruntuhan institusi
kekeluargaan adalah disebabkan oleh
faktor komunikasi yang kurang berkesan.

(ii)Perhubungan antara manusia manusia


sebagai makhluk sosial perlukan aktiviti
sosial. Keperluan bersosial dengan anggota
masyarakat dapat meningkatkan
keperibadian, harga diri dan mengukuhkan
ikatan kejiranan serta kepercayaan antara
satu sama lain.

(iii) Kepuasan dan keberkesanan kerja


melalui pekerjaan manusia bukan hanya
bekerja untuk mencari rezeki tetapi juga
membina persahabatan dengan manusia
lain. Perhubungan yang mesra, harmoni
dan produktif dengan rakan sekerja serta
pelanggan akan mewujudkan kepuasan
kerja kepada kita.

196
(iv) Kepimpinan berkesan semua manusia
ada sifat kepimpinan. Paling asas,
seseorang itu memimpin dan mengurus
dirinya sendiri. Dalam konteks yang luas,
komunikasi diperlukan untuk mengurus
organisasi. Tanpa komunikasi, pemimpin
organisasi tidak dapat mengurus,
mengawal, merancang dan mengkoordinasi
sumber manusia dan modal organisasi
dengan berkesan.

(v) Komunikasi untuk berubah proses


sosialisasi sejak zaman kanak-kanak
hinggalah dewasa mampu mengubah
pendirian, sikap dan tingkah laku
seseorang. Perolehan maklumat daripada
pelbagai sumber dan proses pembujukan
oleh media massa dan orang yang lebih
dewasa serta interaksi dengan rakan
sebaya dapat membentuk keperibadian
seseorang. Komunikasi inidividu berubah
seiring perubahan diri individu tersebut.

Kenal pasti kepentingan komunikasi dalam


kerjaya anda. Adakah ilmu komunikasi
dapat membantu anda meningkatkan
harga diri (self esteem) anda? Sejauh
manakah komunikasi dapat memperluas
jaringan sosial anda? Bagaimana pula
dengan kemahiran komunikasi anda?
Adakah anda berpuas hati dengan
kemahiran komunikasi sedia ada?

12.6 RUMUSAN

Modul Pengantar Komunikasi merupakan satu kursus


pengenalan kepada asas-asas bidang komunikasi. Reka
bentuk silibus kursus ini sesuai dengan niche pelajar
Program Komunikasi UUM. Bagi pelajar yang membuat
rujukan buku-buku akademik lain, pendekatan
pengantar komunikasi yang dikemukakan mungkin ada
perbezaan kerana kebanyakan buku dan program
komunikasi di institutsi pengajian tinggi lain

197
menumpukan kepada komunikasi massa. Ini berbeza
dengan Program Komunikasi di UUM yang menjurus
kepada komunikasi yang berteraskan ilmu
kepengurusan.

Secara keseluruhannya, perbincangan modul memberi


tumpuan kepada tiga fokus utama yang saling
bergantungan (dependent) antara satu sama lain.
Fokus awal kursus ini ditumpukan kepada
perkembangan dan pembangunan bidang komunikasi
dari zaman Plato dan Aristotle di peringkat
antarabangsa hingga ke zaman siber di Malaysia.
Dalam perbincangan awal ini anda didedahkan tentang
disiplin ilmu komunikasi sebagai salah satu bidang
sains sosial. Di samping itu, anda juga didedahkan
tentang takrifan dan fungsi umum komunikasi dalam
kehidupan seharian.

Fokus perbincangan seterusnya tertumpu kepada


komunikasi sebagai satu proses. Anda didedahkan
tentang elemen-elemen komunikasi dan model
komunikasi yang menggambarkan corak aliran
maklumat iaitu sama ada secara sehala atau dua hala.
Komunikasi sebagai proses juga melihat tentang
kepentingan memahami bentuk-bentuk mesej iaitu
mesej lisan dan mesej bukan lisan. Keperluan
memahami bentuk mesej ini penting kerana tidak
semua mesej disampaikan membawa makna tersurat.
Ada juga mesej yang tersirat.

Dalam perbincangan konteks komunikasi pula, anda


telah didedahkan dengan pelbagai konteks komunikasi
seperti Komunikasi Organisasi, Komunikasi
Pembangunan dan Teknologi Komunikasi. Begitu juga
dengan bidang komunikasi profesional seperti
perhubungan awam, periklanan, kewartawanan dan
komunikasi massa. Berdasarkan perbincangan konteks
komunikasi, kita dapati bahawa sifat komunikasi bukan
sahaja dinamik tetapi versatile dan fleksibel. Justeru
itu, untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan dan
mempertingkatkan kemahiran komunikasi, kita perlu
bijak menyesuaikan diri kita dengan konteks
komunikasi. Komunikasi tidak stereotaip! Kepelbagaian

198
kemahiran, gaya dan gabung jalin pengetahuan ilmu
komunikasi dalam sesuatu konteks komunikasi dapat
menjamin kelancaran dan kejayaan sesuatu proses
komunikasi.

Dalam Bab 11 pula anda didedahkan dengan suatu


dimensi pemikiran yang mungkin baru pada diri anda.
Pemikiran luhur, lateral, kritikal dan pemikiran kritis
merupakan bidang yang berkaitan dengan minda
manusia. Oleh kerana komunikasi adalah cetusan
rangsangan dalam diri manusia, maka kita tidak perlu
berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara.
Pemikiran yang luhur dapat menjamin kualiti mesej
dan tindakan komunikasi yang positif dan bermakna
kepada semua khalayak kita.

Setelah mengikuti sebelas bab asas komunikasi, anda


disyorkan agar menyemak semula semua objektif bab
yang disediakan di awal setiap bab. Pastikan anda
dapat menguasai objektif yang telah ditetapkan dalam
silibus ini.

Akhirnya, diharapkan anda dapat mencapai objektif-


objektif kursus Pengantar Komunikasi seperti berikut:

(i) Menerangkan sejarah perkembangan bidang,


asas teori komunikasi dan model proses
komunikasi.
(ii)Mengenal pasti idea-idea dan konsep-konsep
asas bidang komunikasi.
(iii) Mengenal pasti bentuk mesej dan jenis-
jenis komunikasi.
(iv) Mengaplikasikan idea dan konsep
komunikasi dengan persekitaran semasa.

Ilmu asas komunikasi yang anda pelajari dalam kursus


ini juga akan dibincangkan secara tidak langsung
dalam kursus-kursus asas lain seperti Teori
Komunikasi, Pengantar Komunikasi Organisasi dan
Komunikasi Kemanusiaan.

199

Anda mungkin juga menyukai