Anda di halaman 1dari 7

PENGENALAN

Kebelakangan ini tingkah laku bermasalah menjadi topik perbincangan di kalangan


masyarakat umum. Nampaknya tingkah laku bermasalah boleh menyebabkan
ketidakseimbangan di antara emosi dan aktiviti kehidupan seharian individu. Tingkah laku
bermasalah juga memberi kesan yang buruk dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di
sekolah. Umumnya , sekolah rendah merupakan tapak utama asas pendidikan. Dari sini,
kanak-kanak dibentuk mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia. Guru memainkan peranan utama membentuk keperibadian tingkah laku murid-
murid semasa berada di sekolah. Selain dari tanggungjawab ibu bapa, guru adalah orang yang
penting dalam menghasilkan insan yang sempurna dalam pendidikan. Dengan bertambahnya
bilangan anggota masyarakat yang berpendidikan moden, sikap yang tidak mementingkan
kanak-kanak ini telah beransur berubah.

Banyak takrifan yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh terkemuka untuk mentakrifkan
perkataan sosioemosi. Perkataan sosioemosi terdiri daripada dua perkataan iaitu sosial dan
emosi. Menurut Kamus Pelajar Edisi Pertama, sosial bermaksud segala hal yang berkaitan
dengan masyarakat atau kemasyarakatan. Manakala Kamus Dewan Edisi Ketiga pula
menakrifkan sosial sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat
dan kemasyarakatan. Manakala menurut Hornby (2001) menyatakan emosi sebagai perasaan
apa sahaja yang meluap-luap seperti kasih gembira, benci, takut, gembira dan sebagainya.
Perkembangan sosial pula adalah satu proses apabila kanak-kanak belajar berhubung dengan
orang lain mengikut cara yang dapat diterima oleh masyarakat dan budayanya. Menurut
Rohani Abdullah (2001), proses ini melibatkan cara berfikir tentang kendiri, orang lain dan
perhubungan sosial. Perkembangan sosial kanak-kanak terdiri daripada kemahiran
berinteraksi dengan orang lain, pembentukan kendiri, penghargaan kendiri dan kawalan
kendiri. Identiti sosial dan kefahaman kendiri kanak-kanak berkembang dalam dua peringkat,
iaitu kewujudan kendiri dan kategori kendiri (Lewis, 1995; Lewis & Books-Gunn, 1979).
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGAWAL EMOSI MURID

Khidmat Sokongan daripada Pakar Psikologi atau Kaunselor

Antara langkah yang perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah emosi murid ialah
dapatkan khidmat sokongan daripada pakar psikologi atau kaunselor. Guru Bimbingan dan
Kaunseling memainkan peranan yang amat penting dalam usaha menjayakan agenda
pembangunan insan. Guru Bimbingan dan Kaunseling merupakan pembimbing, pemegang
amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak dan penggerak pembangunan kemajuan
sekolah. Kaunseling adalah satu proses interaksi yang melibatkan seorang kaunselor dan
klien dan merupakan cabang psikologi yang membabitkan proses perhubungan atau interaksi
secara profesional dengan kaunselor berdaftar mengikut etika yang dibenarkan (Akta
kaunselor 1998). Tujuannya adalah untuk memahami diri klien dan alam sekelilingnya bagi
melahirkan satu perubahan, penyesuaian, dan perkembangan yang positif dalam diri klien
terhadap sesuatu permasalahan yang dihadapi. Kaunselor akan berusaha untuk membantu
kliennya mengubah tingkah laku murid ke arah yang postif iaitu kepada kehidupan bermakna
dan produktif di mana matlamat ini adalah selaras dengan matlamat bimbingan dan kaunseling
di sekolah. Salah satu aspek penting yang perlu digabungjalinkan dalam melaksanakan
semua aktiviti perkhidmatan bimbingan dan kaunseling adalah penerapan nilai murni.
Pelaksanaan penerapan nilai murni dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling adalah
selari dengan konsep nilai merentasi kurikulum, kurikulum tersembunyi, penerapan nilai Islam
dan penerapan nilai murni.

Mendapat Kerjasama daripada Ibu Bapa.

Untuk mengatasi masalah gangguan emosi murid, pihak sekolah juga memerlukan
kerjasama daripada ahli keluarga terutama ibu bapa kepada murid tersebut. Sudah menjadi
tanggujawab sebagai ibu bapa yang perlu memikul amanah untuk memberi bimbingan dan
sokongan kepada anak-anak yang sedang menghadapi masalah. Ketika berhadapan dengan
masalah, fikiran murid akan mudah menjadi bercelaru ekoran daripada tekanan yang dihadapi.
Dalam keadaan tersebut, murid-murid sewajarnya tidak berupaya membuat pilihan yang
rasional. Oleh yang demikian, ahli keluarga terutama ibu bapa haruslah memainkan peranan
utama untuk membimbing anak-anak yang sedang menghadapi masalah untuk membuat
pilihan yang betul.
Ahli keluarga juga perlu memberi sokongan kepada anak-anak untuk melegakan
mereka. Sebagai contoh, ahli keluarga sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata
sayang kepada anak-anak. Kata-kata perangsang juga harus diucapkan kepada anak-anak
untuk memberi motivasi serta keyakinan. Menurut Greg S. Reid dalam artikel Chleo (2015)
berkata, “Keyakinan adalah segalanya. Besarnya keyakinan atau ketiadaannya menentukan
kejayaan atau kegagalan. ‘ Sesungguhnya, bimbingan dan sokongan untuk anak-anak yang
sedang menghadapi masalah emosi merupakan salah satu tugas anggota keluarga’.

Modifikasi Tingkah Laku yang Sesuai

Guru boleh menggunakan modifikasi tingkah laku yang bersesuaian. Dalam proses modifikasi
tingkah laku, guru mesti mengikut langkah-langkah antaranya membuat pemerhatian awal
dan penilaian terhadap sesuatu tingkah laku yang bermasalah, mengenal pasti dan
menetapkan matlamat tingkah laku yang diingini, menunjukkan tingkah laku yang betul iaitu
dengan memodelkan atau memberitahu serta memberikan ganjaran untuk tingkah laku yang
positif secara konsisten. Guru dan ibu bapa boleh membantu murid-murid yang mengalami
gangguan emosi dengan membantu mereka menguruskan emosinya secara berpatutan,
kebijaksanaan dan menggunakan kecerdasan emosinya.

Peneguhan positif diberikan kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang
diingini manakala hukuman dikenakan perlulah adil dan bersesuaian. Mengikut Skinner,
apabila sesuatu gerak balas operan diikuti dengan sesuatu peneguhan positif, maka
kebarangkalian bagi gerak balas operan itu berlaku akan bertambah. Peneguhan positif ialah
stimuli yang boleh menambahkan kebarangkalian berulangnya sesuatu tingkah laku operan,
seperti memberi pujian, penghargaan, hadiah dan sebagainya sebaik sahaja tingkah laku
operan yang sesuai itu berlaku.

Dalam hal ini, ibu bapa yang arif dan berpengalaman dalam banyak perkara perlulah
menjadi mentor iaitu pembimbing atau penasihat serta jurulatih kepada anak-anak mereka
pada setiap peringkat umur dan keadaan. Mereka iaitu ibu bapa bolehlah menggunakan
peristiwa-peristiwa emosi dalam kehidupan anak-anak seperti marah, suka, duka, geram,
irihati, takut, murung dan sebagainya dengan menjelas dan menyatakan bahawa emosi-emosi
sedemikian merupakan situasi yang normal. Tetapi ia perlu diseimbangkan mengikut
kesesuaian dan tidak menjejaskan diri dan individu yang lainnya.
Mewujudkan Suasana Bilik Darjah yang Kondusif

Persekitaran didikan murid haruslah sentiasa berada dalam keadaan kondusif untuk
membantu murid yang menghadapi gangguan emosi. Persekitaran didikan yang dimaksudkan
bukan sahaja di rumah tetapi juga termasuk sekolah. Keadaan kondusif bermaksud tempat
tersebut adalah selesa, stabil dan selamat bagi murid-murid. Keselesaan sesuatu tempat
bergantung kepada diri murid di kawasan mana mereka dibesarkan. Stabil pula bermaksud
suasana tempat yang harmoni dengan setiap individu dalam keluarga atau murid-murid di
dalam bilik darjah memainkan peranan masing-masing tanpa adanya konflik persekitaran
tersebut. Sesuatu tempat yang selamat pula membawa maksud jaminan keselamatan untuk
hidup tanpa ancaman. Persekitaran didikan yang kondusif adalah penting dalam proses
pertumbuhan dan perkembangan murid kerana ia dapat membantu murid untuk membina
keyakinan diri terutamanya bagi murid yang menghadapi masalah gangguan emosi.

Mewujudkan Murid Bersifat “Self-Efficacy”

Mengikut Albert Bandura, murid haruslah bersifat self-efficacy dengan memberi peluang
kepada murid untuk mengenal pasti masalah dan tingkah lakunya sendiri. Melalui pendekatan
ini, murid yang boleh belajar daripada kekalahan, mengambil inisiatif mencari punca
kekalahan, memikir bagaimana membaikinya demi menukarnya kepada kemenangan, dan
bukan membimbangi atau menyedih kerana kekalahan. Murid belajar untuk memandang
segala perkara secara optimistik kerana ia merupakan cara yang paling berkesan untuk
menentang emosi yang kurang sihat ini. Murid-murid yang mengalami gangguan emosi perlu
mendapat perkhidmatan psikologi dan kaunseling. Mereka ini perlu mendapat khidmat
bimbingan kepada ahli psikologi, kaunselor dan personel yang berkelayakan atau bertauliah.
Kerjasama dengan ibubapa juga perlu semasa seseorang murid itu mendapat bimbingan
daripada ahli psikologi, kaunselor dan personel yang bertanggungjawabnya. Ini kerana ibu
bapa juga perlu diberi maklumat yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh anak-
anak mereka.

Perbincangan antara dua pihak itu dibuat dari semasa ke semasa dan apa juga
cadangan untuk menangani masalah yang dihadapinya perlu dibuat bersama-sama. Selain
daripada itu, ibubapa juga membelikan buku-buku yang berkaitan dengan teknik-teknik
meningkatkan kecerdasan emosi dan menghadiahkannya kepada anak yang mengalami
gannguan emosi. Ibubapa juga memberikan beberapa tunjuk ajar tentang cara menguruskan
emosi masing-masing.
Guru atau ibubapa tidak memukul murid atau anak yang mempunyai tingkah laku yang
tidak diingini seperti anak yang seringkali ponteng sekolah atau anak yang merokok.
Sebaliknya murid perlu diberi peluang untuk mengenalpasti kesalahan atau tingkah laku yang
tidak diingini. Seterusnya diberi ruang untuk memperbaiki tingkah laku yang tidak diingini itu.
Ini kerana sekiranya mereka memukul anak tersebut akan menyebabkan wujudnya perasaan
benci, marah terhadap orang yang memukulnya dan anak itu tidak akan memperbaiki tingkah
laku itu sendiri. Ini akan meyebabkan anak atau murid itu mengalami gangguan emosi. Murid-
murid yang mengalami gangguan emosi perlu diberi bimbingan kerjaya.

Murid Didedahkan dengan Teknik-teknik Meningkatkan Kecerdasan Emosi

Generasi muda memerlukan kemahiran pengurusan emosi dan kompetensi sosial untuk
mengharungi kehidupan yang sebenar (Goleman, 2001). Ini bermaksud modal insan
yang dijana dalam dunia pendidikan alaf baharu adalah generasi yang mampu mengawal
kebimbangan dan kemarahan, mempunyai sifat empati dan berkeupayaan menyelesaikan
masalah secara berhemah. Untuk mendedahkan teknik-teknik meningkatkan kecerdasan
emosi murid, guru boleh berpandukan model kecerdasan emosi (Pablo Fernandez Berrocal,
2015). Secara umumnya, model kecerdasan emosi boleh dikategorikan kepada model
keupayaan (ability models) dan model kepelbagaian (mixed models). Model keupayaan
memfokuskan kemahiran mental dalam menggunakan maklumat yang diberikan oleh emosi
dalam menambahbaik proses kognitif yang sedang dilaksanakan. Sementara itu, model
kepelbagaian mengkombinasikan kemahiran mental dengan ciri-ciri tingkah laku yang
stabil serta kepelbagaian ciri personaliti yang positif dalam proses kognitif seseorang
semasa perancangan tindakan.

Kesimpulannya, model kecerdasan emosi sangat penting kepada guru untuk


mendedahkan kepada murid cara meningkatkan kecerdasan emosi supaya murid daapt
menekankan kepentingan pengurusan emosi dalam proses pemikiran, yang seterusnya
memberikan impak terhadap tindakan yang logikal, berhemah dan bertanggungjawab. Murid-
murid akan sentiasa diberikan tunjuk ajar tentang cara menguruskan emosi masing-masing.
Dengan demikian masalah emosi di kalangan murid dapat diatasi. Guru perlu sentiasa
membimbing muridnya untuk menguruskan emosi dengan betul dengan berpandukan model
tersebut.
PENUTUP

Oleh yang demikian, dapatlah dirumuskan bahawa pembentukan emosi yang positif dalam
kalangan murid memerlukan kemahiran, keupayaan, dan komitmen yang tinggi daripada pihat
tertentu terutamanya ibu bapa dan guru-guru. Ibu bapa dan guru-guru haruslah mengamalkan
tingkah laku yang efektif dan berkualiti serta berupaya membentuk emosi yang stabil dalam
kalangan murid. Kejayaan memasuki dunia murid dapat menghasilkan persefahaman dengan
murid khususnya dalam usaha untuk emosi yang mesra ketika bersama dengan murid dalam
sesuatu proses pembelajaran. Akhirnya, dua pihak yang terlibat akan saling bersedia untuk
berkongsi pengalaman dan saling bekerjasama untuk menjayakan matlamat pembelajaran di
samping membentuk emosi positif dalam kalangan mereka yang terlibat.
Rujukan

Azila Alias (2011). Siri Panduan Buku Perkembangan Awal Kanak-kanak: Permainan untuk
Kanak-kanak. Selangor Darul Ehsan: Gerak Ilmu.
Hornby A. S., Asmah Haji Omar (2001). Oxford Fajar advanced learner's English-Malay
dictionary. Selangor, Malaysia : Penerbit Fajar Bakti
Ong, S., C., Zamri Mahamad & Hamidah Yamat (2013). Faktor Jantina, Kaum, Aliran Kelas
Dan Hubungannya Dengan Kecerdasan Emosi Murid Dalam Mempelajari Bahasa
Melayu. Kuala Lumpur: Frermind Horizon Sdn. Bhd.
Rohani Abdullah (2001). Perkembangan kanak-kanak : Penilaian Secara Portfolio. Serdang,
Selangor : Universiti Putra Malaysia,
Salina Omar, Marina Abdul Majid, Rosnah A. Rajak, Mastura Ghani (2014). Guru Dan
Cabaran Semasa. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.
Utusan Melayu (2011). Gangguan Emosi Perlu Ditangani. Dimuat turun dari http://ww1.
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=
Rencana&pg=re_06.htm#ixzz3jT8Nk1Lm pada 8 MAC 2018.

Anda mungkin juga menyukai