Anda di halaman 1dari 4

Bagaimana menyesuaikan gaya kepimpinan dengan situasi ?

Model Kepimpinan Mengikut Situsai bermula dengan anggapan bahawa keadaan yang berbeza
memerlukan cara memimpin yang berbeza. Oleh itu, pemimpin mestilah mudah berubah untuk
memilih gaya yang sesuai dengan situasi yang wujud. Dapatan kajian Hersey dan Blanchard
(1977) menunjukkan bahawa pemimpin yang berkesan telah mengamalkan gaya kepimpinan
situasi mengikut tahap perkembangan pengikut.

Semakin matang tahap perkembangan pengikut, semakin tinggi darjah kecekapan dan
kompetensinya. Menurut Blanchard (2001) terdapat empat gaya kepemimpinan yang boleh
dipadankan dengan empat tahap perkembangan subordinat. Aplikasinya di sekolah dapat
dirumuskan seperti dalam jadual di bawah ini,:

Ringkasnya, semakin tinggi tahap perkembangan subordinat, pemimpin seharusnya


mengurangkan gaya kepimpinan yang berteraskan arahan tugasan dan penyeliaan yang
ketat (directing) kepada gaya yang lebih berorientasikan hubungan dengan pengikut iaitu
membimbing/ menjual idea (coaching) atau memberi sokongan (supporting). Akhirnya apabila
tahap perkembangan pengikutnya samakin tinggi bukan sahaja dalam disiplin tugasnya bahkan
dalam aspek psikologinya, pemimpin sekolah haruslah mengupayakan
tugasnya (delegating). Model di atas sesuai digunakan di sekolah yang mempunyai ciri-ciri
pengikut yang berbeza dari segi latar belakang akademik, keupayaan kebolehan, pengalaman dan
komitmen dalam melaksanakan sesuatu tugas.

Bagaimana Mengaplikasi Gaya Kepimpinan yang Berdaya Saing dan Berkeupayaan


Mendepani Perubahan?

Kelangsungan hayat sesebuah organisasi sangat bergantung kepada keupayaannya mendepani


persekitaran yang sentiasa berubah. Implikasinya, pemimpin organisasi perlu bertindak secara
proaktif untuk melaksanakan perubahan ke arah tindakan pembetulan dan penambahbaikan
secara berterusan. Oleh itu segala tindakan dan pengalaman yang dilalui merupakan proses
pembelajaran untuk memperbaiki diri dan meningkatkan potensi organisasi.

Sehubungan itu, pemimpin sekolah perlu mendorong warganya untuk terus belajar dari
persekitaran dan pengalaman yang mereka lalui agar usaha-usaha pembetulan dan
penambahbaikan dapat dilaksanakan secara berterusan. Melalui proses pembelajaran sebegini,
pemimpin sekolah boleh membimbing warganya untuk melaksanakan tindakan secara lebih
terancang dan strategik serta bersifat lebih inovatif dan kreatif. Oleh itu, perubahan yang
dilakukan adalah dalam tatacara kerja yang sistematik, terancang dan terurus.

Kaedah dan sistem baharu yang lebih efektif dan aktif berfungsi perlu diwujudkan. Model for
Managing Compleks Change merumuskan bahawa perubahan yang dilaksanakan oleh sesebuah
organisasi itu berjaya sekiranya ia menepati lima faktor utama iaitu: matlamat yang jelas,
kemahiran yang perlu, insentif yang menarik, sumber yang mencukupi dan pelan tindakan yang
strategik (Knoster, 1991). Jadual berikut menunjukkan implikasi sekiranya terdapat kepincangan
dalam salah satu faktor tersebut :

Ringkasnya, sekolah perlu ada matlamat dan mempunyai satu pelan perancangan yang strategik
dan sistematik bagi membolehkan perubahan yang dihasratkan berada dalam lingkungan
kawalannya. Di samping itu, faktor kemahiran, insentif dan sumber untuk melaksanakan
perancangan tersebut perlu disediakan agar tenaga warga sekolah dapat digembleng ke arah
pencapaian matlamat perubahan yang dihasratkan.

Bagaimana mengaplikasi gaya kepimpinan berpaksikan nilai integriti dan profesional?

Akauntabiliti dan integriti adalah antara prinsip yang perlu ada dalam setiap penjawat awam.
Akauntabiliti merujuk kepada kewajipan penjawat awam dalam menjalankan tugas yang
dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang, prosedur dan arahan yang berkuat kuasa.
Akauntabiliti penting bagi memastikan tugas-tugas yang dilaksanakan mencapai objektif yang
telah ditetapkan dan tiada pembaziran yang menjejaskan sumber-sumber awam.

Integriti pula dikaitkan dengan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah, telus, tulus, adil dan
saksama, berkecuali dan kebolehpercayaan. Penjawat awam yang mempunyai dan mengamalkan
prinsip ini tidak bersikap mementingkan diri sendiri sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan
orang ramai.

Sehubungan itu, pemimpin sekolah perlu sentiasa berintegriti dan bersiikap profesional dalam
melaksanakan tugas dan mengambil tindakan dalam urusan sehariannya. Dalam membuat agihan
tugas sebagai contoh, pemimpin sekolah melaksanakannya secara adil dan saksama berdasarkan
kepakaran dan keperluan perkhidmatan tanpa melibatkan sikap pilih kasih. Natijahnya, hubungan
profrsional warga sekolah akan lebih harmoni dan tenaga warga sekolah dapat digembling ke
arah pencapaian matlamat sekolah.

Bagaimana menjadi pemimpin yang berwibawa ?

Kepimpinan yang berwibawa dianggap paling berkesan kerana mampu membuat perubahan dan
pembaharuan kepada organisasi dan warganya. Hal ini kerana, sebahagian besar daripada
tanggungjawab pemimpin itu adalah untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif
kepada organisasi serta mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati warganya.

Sehubungan itu, pemimpin sekolah perlu berpengetahuan luas untuk menjana idea yang bernas
dan berkemahiran dalam memberi nasihat dan bimbingan kepada warga sekolahnya. Oleh itu,
prasyarat untuk seorang itu menjadi pemimpin sekolah yang berwibawa adalah mempunyai
pengetahuan, kemahiran dan keupayaan untuk mempengaruhi warga sekolahnya mengambil
tindakan yang tertentu bagi mencapai matlamat yang ditetapkan oleh sekolah.
Pemimpin sekolah perlu menjadi role model kepada warga sekolahnya dari aspek pengetahuan,
kemahiran dan pegamalan nilai-nilai yang positif. Mereka juga perlu turun padang untuk melihat
sendiri dan memantau pelaksanaan aktiviti yang telah dirancang. Bimbingan langsung terhadap
warganya perlu diadakan sekiranya semasa pemantauan dilaksanakan, terdapat perkara=perkara
yang memerlukan perhatian, bimbingan, teguran dan nasihat secara on site agar usaha
pembetulan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Bagaimana mengaplikasikan gaya kepimpinan yang mendorong penglibatan dan sokongan


semua warga ?

Penglibatan dan sokongan semua warga sekolah untuk memainkan peranan dan melaksanakan
tugas marupakan syarat utama untuk sesebuah sekolah itu mencapai matlamatnya. Oleh itu,
pemimpin sekolah perlu mengambil inisiatif untuk mendapatkan sokongan dan melibatkan warga
sekolah dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti. Warga sekolah perlu diberi ruang dan
peluang untuk melibatkan diri bukan sahaja di peringkat operasional seperti PdP, aktiviti
kokurikulum, disiplin dan lain-lain aktiviti rutin, malah mereka perlu dilibatkan dalam proses
penyelesaian masalah dan membuat keputusan di peringkat pengurusan di sekolah.

Penglibatan sebegini dapat mendorong rasa kebertanggungjawaban bersama. Rasa kebersamaan


ini merupakan asas bagi pembinaan satu pasukan guru yang lebih komited dan mantap. Akhirnya,
gaya kepimpinan yang dapat mendorong ke arah penglibatan dan sokongan semua warga ini
mampu menggembleng tenaga warga sekolah ke arah pencapaian matlamat sekolah.

Bagaimana memanafaatkan maklum balas untuk penambahbaikan gaya kepimpinan?

Akhirnya, pemimpin sekolah perlu mengamalkan gaya kepimpinan yang dinamik dan flksibel yang
boleh ditambah baik dari semasa ke semasa. Oleh itu, maklum balas dari warga sekolah dan
pihak lain di luar sekolah tentang gaya kepimpinan pemimpin sekolah perlu dimanfaatkan agar
pendekatan yang diamalkan dapat diperbetulkan dan ditambah baik.

Antara kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklum balas tentang kepimpinan di
sekolah ialah melalui penggunaan peti cadangan, media sosial (seperti facebook, WhatsApp,
Telegram dll) atau cara lain seperti menggunakan email atau kaedah bersemuka. Dapatan dari
maklum balas tersebut perlu dianalisis bagi membolehkan tindakan susulan berupa usaha
pembetulan atau penambahbaikan terhadap gaya kepimpinan sedia ada dapat dilaksanakan..
Namun, pihak pemimpin sekolah perlu bersikap terbuka untuk menerima teguran, pandangan
dan kritikan untuk tujuan memperbaiki amalan gaya kepimpinan sedia ada.

Rumusan

Gaya kepimpinan merupakan pendekatan dan cara gaya bertindak yang digunakan oleh
seseorang pemimpin untuk mempengaruhi pengikutnya mencapai matlamat organisasi
(Newstrom, Davis, 1993). Ringkasnya, PGB boleh mengaplikasikan gaya kepimpinan ini dengan
mengambil tindakan-tindakan yang bersesuaian. Beberapa cadangan tindakan dalam kerja buat
PGB melibatkan aspek gaya kepimpinan berkesan adalah seperti carta alir berikutnya :

Anda mungkin juga menyukai