Anda di halaman 1dari 22

Topik Amalan

3 Pengurusan
Bengkel

HASIL PEMBELAJARAN
PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Mengenal pasti kepentingan pengurusan bengkel;
2. Mengenal pasti kaedah-kaedah dan amalan
penyusunan serta penyimpanan alatan;
3. Merancang reka bentuk bengkel yang sesuai; dan
4. Mengenal pasti faktor-faktor yang perlu diambil kira
dalam perancangan reka bentuk bengkel.

 PENGENALAN
Bengkel merupakan tempat berlakunya proses pengajaran dan
pembelajaran (P&P) sama ada dalam bentuk teori atau latihan praktis,
di mana pelajar akan mempraktikkan teori yang dipelajari ke dalam
bentuk amali. Di dalam setiap bengkel, terdapat peraturan-peraturan
dan langkah-langkah keselamatan yang tertentu yang mesti dipatuhi
demi menjamin proses pembelajaran dapat berlaku dengan efisyen.
Oleh yang demikian, amalan pengurusan bengkel yang baik dan
sistematik perlu sentiasa dilaksanakan, diselia dan ditambahbaikkan
mengikut keperluan kerja di bengkel. Bengkel yang diurus dengan baik
akan memberikan persekitaran yang kondusif dan selamat.
2  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

AKTIVITI 3.1

Nyatakan tiga jenis bengkel yang anda tahu serta jelaskan


fungsinya

3.1 PENGURUSAN BENGKEL


Kamus Dewan (2002) mentakrifkan pengurusan sebagai perihal (kerja
dan sebagainya) mengurus sesuatu seperti syarikat, badan perniagaan
dan lain-lain. Bengkel pula dalam skop ini, ditakrif sebagai kilang kecil
iaitu tempat tukang-tukang bekerja. Oleh yang demikian, pengurusan
bengkel bolehlah dijelaskan sebagai satu proses sosial yang sistematik,
merangkumi perancangan, kawalan dan penyelarasan berdasarkan
kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara berkesan dan ekonomi
terhadap pekerja yang bekerja pada suatu tempat/ruang yang telah
disediakan. Ia merupakan satu proses pengintegrasian sumber
organisasi iaitu manusia, bahan dan alatan.

3.1.1 Kepentingan Pengurusan Bengkel


Demi mewujudkan satu sistem pengurusan bengkel yang efisyen dan
berterusan, beberapa kepentingan dan keperluan perlu dipenuhi
seperti berikut:
(i) Mengelakkan berlakunya pembaziran masa, tenaga dan
wang
Menguruskan sesebuah bengkel memerlukan masa yang banyak,
panjang serta berterusan. Pengurusan yang baik dan sistematik
akan dapat mengurangkan masa yang terbuang dan seterusnya
menjimatkan penggunaan tenaga. Melengkapkan sesebuah
bengkel juga memerlukan kelengkapan dan peralatan/mesin yang
banyak. Sekiranya semua itu dapat diurus dan diselia dengan
efisyen, maka tentunya akan menjimatkan kos. Antara yang perlu
diambil perhatian ialah:
 Merancang ruang pengajaran dan pembelajaran supaya dapat
dijalankan dengan baik;
 Penyelenggaraan alatan, mesin dan kelengkapan lain dengan
sistem rekod dan inventori; dan
 Penstoran dan penyimpanan peralatan/mesin mudah alih.
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  3

(ii) Penjagaan dan kawalan keselamatan


Pengurusan bengkel yang baik dan kemas secara langsung akan
dapat mengawal dan mengelakkan dari berlaku kemalangan.
Amalan kerja
yang betul di samping menggunakan alatan/mesin yang tepat
tentunya akan dapat mengelak atau sekurang-kurangnya
mengurangkan risiko kemalangan. Keseluruhan ahli bengkel, sama
ada penyelia/guru atau pelajar adalah sama-sama
bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan di bengkel.

(iii) Mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran


yang kondusif
Selain daripada penyediaan ruang pengajaran dan pembelajaran
yang baik, semua bahan dan alatan/mesin yang berkaitan
termasuk bahan bantu mengajar mestilah disediakan sepenuhnya.
Kesemua itu perlu terutama semasa membuat perancangan
pembelian setiap akhir tahun.

(iv) Menghasilkan produk yang berkualiti


Amalan keselamatan bengkel, penyelenggaraan alatan/mesin dan
pengajaran dan pembelajaran yang kondusif adalah sangat perlu
diurus dengan baik bagi menghasilkan mutu kerja yang berkualiti.
Secara jelas, jika alatan/mesin tidak diselenggara dengan baik
tentunya produk yang dihasilkan tidak seperti yang dikehendaki.
Contohnya pahat yang tumpul tentu tidak akan dapat
menghasilkan tanggam yang tepat.

(v) Menjadi contoh kepada intitusi lain


Jika semua yang di atas dapat diurus dengan efisyen, ia akan
menjadi kebanggaan intitusi berkenaan. Nazir atau pemantau
yang datang akan memberikan komen yang terbaik dan tentunya
akan menjadi contoh kepada lain-lain intitusi/sekolah. Ini adalah
penting kerana setiap anugerah atau pengiktirafan daripada pihak
yang bertanggungjawab akan menambahkan lagi semangat dan
azam keseluruhan ahli bengkel untuk mengekal dan menambah
baik sistem pengurusan bengkel yang sedia ada.
4  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

3.1.2 Pengurusan Ruang Kerja


Perancangan penyediaan bengkel merupakan suatu kerja yang agak
kompleks. Perincian banyak faktor yang terlibat perlu diambil kira
dengan sebaik mungkin. Ini bagi memastikan bengkel tersebut
memenuhi segala ciri-ciri keperluan semasa dan masa hadapan.
Penyediaan pelan lantai yang baik adalah penting bagi menyediakan
setiap ruang dapat dipenuhi dengan berkesan.

Perancangan Ruang dan Kawasan Kerja


Perancangan ruang di dalam bengkel adalah berbeza mengikut bidang
pembelajaran yang akan dijalankan. Ruang bengkel yang baik akan
memudahkan penyeliaan dan pergerakan. Kawasan kerja pula adalah
keluasan ruang yang diperlukan bagi pekerja/pelajar untuk
mengendalikan mesin/alatan dengan selesa dan selamat. Kawasan
juga melibatkan penempatan mesin-mesin, penstoran, laluan untuk
bekerja, penempatan kit kecemasan dan alat pemadam api dan juga
kawasan untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran.

Sebelum merancang pelan lantai bengkel, pelukis pelan perlu


mengenal pasti jenis ruang dan kawasan yang diperlukan oleh bengkel
tersebut berdasarkan jenis pembelajaran yang akan dilaksanakan. Ini
adalah sangat penting bagi memastikan luas ruang dan kawasan yang
disediakan sesuai dengan kerja atau fungsinya. Dalam membuat
perancangan tersebut, beberapa garis panduan asas boleh diambil kira
seperti berikut:

(a) Ruang pengajaran dan pembelajaran secara teori


Ruang ini sebaiknya berasingan dari kawasan kerja. Ini untuk
mengelakkan kemalangan dan kebisingan. Jika ruang tersebut
berhampiran dengan kawasan kerja, maka perlu ditetapkan masa
bekerja dan kelas teori tidak boleh berjalan serentak.

(b) Ruang alatan dan bahan


Bagi memudahkan penyelenggaraan dan kawalan, biasanya
terletak berhampiran dengan bilik guru. Namun demikian tidak
sesuai jika berjauhan dengan tempat kerja. Kabinet yang sesuai
juga boleh digunakan bagi penyimpanan alatan/mesin yang
sesuai. Susun atur alatan dan mesin yang kemas dan penjagaan
kebersihan yang baik akan dapat meningkatkan mutu kerja yang
lebih berkualiti (lihat Rajah 3.1).
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  5

Rajah 3.1: Susun atur bengkel yang kemas dan bersih


6  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

(c) Ruang Kerja


Merupakan ruang pelajar/pekerja menjalankan aktiviti amali. Di
hadapan ruang kerja, sebaik-baiknya disediakan satu ruang tunjuk
cara. Bagi kerja-kerja kemasan atau penyudahan, perlu ada satu
ruang khas mengikut kesesuaian kerja. Ruang mesin pula
sebaiknya disusun mengikut proses kerja. Ruang antara mesin
mestilah mencukupi dengan kadar kerja. Contohnya, mesin ketam
kayu, perlu ada satu ruang yang mencukupi bagi kayu yang
panjang untuk masuk dan keluar dari mesin.

Kerja yang memerlukan Kerja yang tidak memerlukan


ruang yang luas ruang yang luas

Rajah 3.2: Ruang kerja

(d) Ruang simpanan barang pelajar/pekerja


Barang-barang pelajar seperti beg dan lain-lain, perlu disediakan
satu ruang di luar bengkel. Ini boleh mengelakkan banyak perkara
yang tidak diingini seperti kesesakan dan juga kecurian alatan di
bengkel.

3.1.3 Penyusunan atau Penyimpanan Alatan


dan Bahan
Alatan dan bahan di bengkel adalah berbeza mengikut jenis
pembelajaran yang akan dilaksanakan. Guru atau penyelia dalam
bidang berkenaan perlu mahir tentang fugsi dan langkah kerja bagi
setiap alatan/mesin kerana jika kaedah penyimpanan dan penyusunan
alatan/mesin tidak sesuai, akan meyebabkan gangguan kerja dan
boleh mendatangkan bahaya. Alatan dan bahan yang berlainan perlu
kepada kaedah atau ruang penyimpanan yang berbeza.
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  7

Terdapat beberapa kaedah yang yang boleh digunakan bagi


penyusunan dan penyimpanan alatan dan bahan di bengkel seperti
berikut:

(i) Panel Alatan


Panel alatan terdiri daripada panel umum, panel terbuka, panel
tertutup, panel kumpulan, panel bergerak dan panel pameran.
Panel alatan akan memperlihatkan penyusunan alatan dengan
kemas dan menarik. Tempat panel ini mestilah diletakkan di
tempat yang sesuai bagi memudahkan pelajar mengambil dan
menyimpan. Dengan penggunaan panel, guru atau penyelia dapat
memastikan dengan mudah alatan yang digunakan pelajar telah
disimpan atau tidak.

 Panel umum
Panel yang menempatkan beberapa alatan yang berbeza pada
satu panel. Rajah 3.3 dan 3.4 menunjukkan panel umum bagi
bengkel kerja kayu dan paip.

Rajah 3.3: Panel umum bengkel kerja kayu


8  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

Rajah 3.4: Panel umum bengkel kerja paip

 Panel terbuka
Panel terbuka biasanya penyediaan ruang untuk alatan sejenis
sahaja dan disusun atur dengan kemas. Lihat Rajah 3.5 dan
3.6.

Rajah 3.5: Mata alat router yang disimpan dalam ruang panel terbuka
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  9

Rajah 3.6: Panel terbuka alatan dan bahan projek

 Panel tertutup
Panel tertutup biasanya melibatkan alatan atau mesin yang
terhad atau memerlukan pengawalan penggunaannya (lihat
Rajah 3.7). Formen bengkel yang dilantik di kalangan pelajar
boleh dipertanggungjawabkan mengurus selia penggunaannya.
Panel tertutup biasanya dikunci.

Rajah 3.7: Panel tertutup


10  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

 Panel kumpulan
Panel kumpulan disediakan bagi kerja-kerja amali secara
kumpulan. Ketua setiap kumpulan biasanya bertanggung jawab
mengawal selia bagi memastikan semua alatan cukup dan
dalam keadaan baik selepas selesai kerja.

 Panel individu
Setiap pelajar atau pekerja mempunyai alatan asas mereka
sendiri (lihat Rajah 3.8 dan 3.9). Kaedah ini sangat baik kerana
setiap orang bertanggung jawab terhadap alatan masing-
masing. Kaedah ini memerlukan alatan yang banyak dan
semestinya melibatkan kos yang tinggi.

Rajah 3.8: Panel individu kerja kayu


TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  11

Rajah 3.9: Panel individu kerja enjin

 Panel bergerak
Panel bergerak biasanya digunakan apabila bengkel
mengalami masalah ruang untuk menyimpan alatan secara
tetap. Panel ini juga bagi memudahkan alatan diletakkan
berhampiran dengan kawasan kerja. Panel bergerak amat
sesuai bila kerja-kerja perlu dilakukan di luar bengkel (lihat
Rajah 3.10).

Rajah 3.10: Panel bergerak

 Panel pameran
Panel pameran biasanya digunakan sebagai bahan bantu
mengajar seperti panel yang menunjukkan jenis-jenis alatan dan
juga sebagai panel konsep contohnya pemasangan sebuah enjin
(lihat Rajah 3.11 dan 3.12).
12  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

Rajah 3.11: Panel ceraian sebuah enjin

Rajah 3.12: Panel lekapan dan pemasangan sistem perpaipan

(ii) Stor Utama


Stor umum merupakan stor utama bagi sesebuah institusi. Stor ini
digunakan untuk menyimpan alatan untuk beberapa bengkel yang
berbeza pembelajarannya. Pembantu bengkel diperlukan bagi
mengawal selia serta merekodkan keluar masuk alatan.
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  13

(iii) Stor Bahan


Stor bahan mestilah direka bentuk mengikut kesesuaian bahan
yang hendak disimpan. Ini bagi memudahkan bahan disimpan
atau dikeluarkan daripada stor. Penyusunan yang sistematik
diperlukan supaya tidak menyusahkan untuk mengambil bahan
yang terkedalam stor.

Rajah 3.13: Stor penyimpanan bahan kayu dan papan lapis

SEMAK KENDIRI 3.1

(a) Namakan jenis-jenis panel alatan serta fungsinya.


(b) Senaraikan apakah alatan-alatan yang sesuai bagi
setiap jenis panel yang dinyatakan pada (a).

1.2 REKA BENTUK BENGKEL


Merancang bengkel merupakan satu proses yang sangat kompleks dan
memerlukan pakar dalam bidang berkenaan. Ini bagi memastikan
bengkel yang dibina memenuhi keperluan bidang pembelajaran
contohnya pembinaan dan susun atur bengkel kerja kayu jauh berbeza
dengan susun atur bengkel kerja enjin. Reka bentuk sesebuah bengkel
mestilah mengambil kira beberapa faktor utama iaitu:
(i) Pelan lantai;
14  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

(ii) Kemudahan pengajaran;


(iii) Faktor bunyi;
(iv) Faktor pengcahayaan dan pengudaraan;
(v) Faktor warna;
(vi) Sistem penstoran; dan
(vii) Sistem pengangkutan dan kebersihan.

1.2.1 Pelan Lantai


Perancangan segala ruang dan susun atur di dalam bengkel mestilah
bermula dengan pelan lantai. Lakaran dan lukisan penyusunan
perabot, mesin dan panel-panel alatan akan dibuat pada pelan lantai
sebelum diaplikasikan ke bengkel.

Terdapat tiga jenis pelan lantai bengkel yang dibuat mengikut


kehendak kerja dan proses bengkel seperti berikut:

(a) Pelan Lantai Proses


Pelan lantai proses merujuk kepada proses sesuatu kerja, mesin-
mesin akan dikumpul pada satu tempat untuk satu jenis kerja,
misalnya semua mesin canai akan diletakkan pada satu ruang
untuk kerja mencanai sahaja. Bengkel jenis ini biasanya untuk
pengeluaran yang besar yang mana sekumpulan pekerja akan
bekerja untuk satu jenis kerja sahaja pada satu ruang susunan
mesin yang sama.

(b) Pelan Lantai Produk


Pelan lantai jenis ini bergantung pada pengeluaran produk
tertentu, mesin-mesin akan disusun atur mengikut langkah kerja
yang diperlukan dari mula hingga akhir pengeluaran produk. Jika
satu aliran kerja memerlukan proses mengetam, kemudian
memotong dan seterusnya menebuk lubang, maka mesin perlu
disusun mengikut kesesuaian ruang seperti berikut:
(i) Mesin ketam – bagi mengetam permukaan kayu;
(ii) Mesin gergaji lengan (radial arm saw) – memotong kepada
beberapa bahagian yang dikehendaki; dan
(iii) Mesin gerudi – menebuk lubang.

(c) Pelan Lantai Gabungan Proses dan Produk


TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  15

Bengkel jenis ini menggabungkan kedua-dua ciri proses dan


produk. Penyusunan mesin-mesin dengan kaedah ini tidak
menjurus kepada produk atau proses yang tertentu sahaja.

Rajah 3.14 dan 3.15 menunjukkan contoh pelan lantai bagi


bengkel kerja kayu dan bengkel kerja kimpalan.

Rajah 3.14: Pelan lantai susun atur bengkel kerja kayu

Bengkel yang dirancang dengan teliti susun atur alatan/mesin akan


dapat menimbulkan suasana kerja yang kondusif dan seterusnya akan
dapat menghasilkan produk yang berkualiti. Rajah 3.15 pula
menunjukkan contoh bengkel kimpalan yang menyediakan ruang
pengajaran dan tunjuk cara. Bengkel ini lebih menjurus kepada susun
atur bengkel di sekolah.
16  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

Rajah 3.15: Pelan lantai susun atur bengkel kimpalan

AKTIVITI 3.2

Buat satu lakaran pelan lantai produk. Pilih satu projek yang
anda fikir sesuai dan jelaskan bagaimana bengkel itu dapat
memberikan fungsi yang optimum dalam menyempurnakan
projek tersebut.

1.2.2 Kemudahan Pengajaran dan


Pembelajaran
Seperti mana Rajah 3.15 di atas, pelan lantai tersebut telah
menyediakan satu ruang yang sesuai untuk proses P&P dan tunjuk
cara. Adalah penting sebelum kerja-kerja amali dilaksanakan,
pengajaran atau tunjuk cara secara jelas tentang langkah-langkah
kerja dan keselamatan perlu ditekankan kepada pelajar.

Ruang P&P itu juga boleh juga dijadikan kelas teori, dengan syarat
tiada kerja-kerja amali dilakukan serentak dalam masa yang sama
(lihat Rajah 3.16).
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  17

Rajah 3.16: Ruang P&P di bengkel jahitan

1.2.3 Faktor Bunyi


Seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini, reka bentuk
bengkel mestilah sesuai dengan pembelajaran atau kerja yang hendak
dibuat, jika keperluan bengkel yang kerjanya boleh mengeluarkan
bunyi yang kuat, maka perlu pada bahan kalis bunyi yang sesuai.
Penggunaan bahan kalis bunyi ini penting bagi keselamatan
pendengaran dan juga menjadikan suasana lebih kondusif. Kajian telah
menunjukkan bunyi bising yang berlebihan boleh mengurangkan
tenaga dan kecekapan manusia di samping akan menganggu
pembelajaran lain.

Tahap kebisingan maksimum sesebuah bengkel mestilah dipastikan


tidak melebihi 150dB (desibel). Namun demikian, jika seseorang
terdedah kepada kebisingan pada tahap 90dB selama lapan jam
berterusan, maka ini boleh menyebabkan kehilangan pendengaran.

1.2.4 Faktor Pencahayaan dan Pengudaraan


Dalam merancang pembinaan bengkel yang efisyen, faktor
pencahayaan dan pengudaraan merupakan faktor penting yang perlu
diambil kira. Pencahayaan dan pengudaraan semula jadi boleh
diwujudkan dengan membuka setiap tingkap semasa proses
pembelajaran atau kerja amali. Adalah menjadi perkara wajib bagi
18  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

penyelia/guru memastikan pelajar membuka semua tingkap dan pintu


sebelum memulakan pembelajaran atau amali. Pengudaraan yang baik
penting agar pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan
kondusif, ini kerana jika sistem pengudaraan tidak baik akan
menyebabkan gangguan kesihatan dan tidak selesa.
Pengukuran mengikut skala nisbah antara keluasan tingkap dan
keluasan lantai adalah dicadangkan 5:1. Kedudukan tingkap juga
mestilah sesuai bagi membolehkan cahaya matahari dapat masuk
dengan baik dan pengudaraan boleh berlaku dengan lancar (lihat Rajah
3.17). Cahaya dalaman perlu disediakan secukupnya selain cahaya
matahari seperti yang dibincangkan. Cahaya tambahan ini penting
bagi meliputi segenap ruang pembelajaran. Lampu kalimantang dan
lampu limpah boleh digunakan.

Rajah 3.17: Pencahayaan dan pengudaraan semulajadi

1.2.5 Faktor Warna


Penggunaan warna penting dalam persekitaran kerja terutama bagi
membezakan kawasan-kawasan tertentu. Seseorang perancang
perlulah memahami teori warna dan kod-kod warna keselamatan
(theory of colour and safety colour code) sebelum membuat keputusan
menggunakan warna pada setiap ruang di dalam bengkel. Warna-
warna yang tepat perlu digunakan terutama pada bahagian-bahagian
mesin yang merbahaya dan penandaan kawasan-kawasan yang
berisiko tinggi. Beberapa contoh penggunaan warna boleh diambil kira
seperti berikut:
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  19

(i) Merah – Menunjukkan kawasan bahaya atau berisiko tinggi, alat


pelindungan kebakaran, bekas/tangki yang mengandungi bahan
mudah terbakar dan boleh juga menandakan berhenti atau untuk
berhenti contohnya memberhentikan pengaliran arus; suisnya
boleh ditanda merah.
20  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

(ii) Kuning – Menunjukkan sebagai amaran seperti kawasan licin dan


sebagainya.
(iii) Hijau – Menunjukkan kawasan selamat atau tempat letaknya kit
keselamatan.
(iv) Ungu (Purple) – Menunjukkan kawasan bahaya radiasi.

Beberapa contoh penggunaan warna boleh dilihat pada Rajah 3.18 di


bawah.

Rajah 3.18: Penggunaan warna keselamatan


Sumber: http://dbs.idaho.gov/safety_code/170.html#08

1.2.6 Sistem Penstoran


Pengurusan stor kerajaan adalah berasaskan panduan
perbendaharaan; tatacara pengurusan stor dan Surat Pekeliling Bil. 12
Tahun 1995. Stor secara umumnya didefinisikan sebagai tempat
penerimaan, penstoran, pengeluaran dan penyelenggaraan barang-
barang. Tujuan utama penstoran ialah bagi memastikan stok barang-
barang sentiasa kedapatan apabila dikehendaki pelanggan. Ia juga
berfungsi untuk menyimpan barang dengan cara yang terbaik dengan
memberi perlindungan, penjagaan dan penyelenggaraan yang
sewajarnya semasa dalam simpanan.

Kawasan di mana stor ditempatkan hendaklah dititikberatkan supaya ia


mempunyai kemudahan pergerakan kenderaan, pemunggahan masuk
dan pengaliran keluar barang-barang.
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL  21

Konsep stor yang dibincangkan di atas merupakan stor utama yang


menempatkan barang-barang atau alatan untuk keseluruhan jenis
bengkel pada sesebuah institusi. Pada setiap bengkel pula, terdapat
sistem penstoran yang tersendiri (mengikut bidang kursus) yang mana
keluar-masuk alatan/mesin akan berlaku pada setiap pembelajaran.

SEMAK KENDIRI 3.2


(a) Bagaimanakah faktor bunyi dapat mempengaruhi
keberkesanan kerja di bengkel?
(b) Selain daripada empat warna yang telah dibincangkan
di atas, bincangkan tiga warna yang menunjukkan
kepentingan dan kegunaan dalam keselamatan.

AKTIVITI 3.3

Rancang dan bina satu carta organisasi bengkel yang sesuai


bagi Panitia Kemahiran Hidup di sekolah.

• Pengurusan bengkel yang baik sangat penting dan perlu menjadi


satu amalan.

• Penyusunan dan penyimpanan alatan di bengkel boleh dibuat


melalui penggunaan panel alatan dan penstoran yang sesuai.

• Terdapat tiga jenis reka bentuk pembinaan pelan lantai iaitu pelan
lantai proses, pelan lantai produk dan gabungan pelan lantai proses
dan produk.

• Faktor kemudahan ruang pengajaran dan pembelajaran, faktor


bunyi, faktor pencahayaan dan pengudaraan dan juga faktor warna
perlu diambil kira semasa perancangan pembinaan sesebuah
bengkel.
22  TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL

Faktor bunyi Panel terbuka


Faktor pencahayaan Panel tertutup
Faktor pengudaraan Panel umum
Faktor warna Pelan lantai produk
Kawasan kerja Pelan lantai proses
Panel bergerak Pengurusan bengkel
Panel individu Penstoran
Panel kumpulan Ruang kerja
Panel pameran

Kementerian Pendidikan Malaysia. (1999). Pengajian kejuruteraan


awam tingkatan 4. Kuala Lumpur: DBP.

Ng Wee Choo, Salmiah Jaba, & W. C. Koay. (2005). Kemahiran hidup


bersepadu: Teras dan pilihan 2. Petaling Jaya: Vital Star Sdn. Bhd.

General safety & health standard. Dicapai pada Januari 3, 2009 dari
http://dbs.idaho.gov/safety_code/170.html#08.

Setting up the workshop. Dicapai pada Januari 4, 2009 dari


http://www.science-
projects.org/2007/downloads/files/book/ch15.pdf

Anda mungkin juga menyukai