Anda di halaman 1dari 3

PENILAIAN KE ATAS PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

SEJARAH DI SEKOLAH

Pemerhatian yang dijalankan di Sk Bunut Susu mendapati bahawa guru-guru Sejarah


tidak mempelbagaikan penggunaan sumber pengajaran dan hanya bergantung terhadap sumber
bercetak iaitu buku teks sahaja. Hal ini kerana jika dilihat dari aspek kekerapan penggunaan
dalam pengajaran dan pembelajaran, sumber bercetak mempunyai frekuensi kekerapan
penggunaan yang lebih tinggi berbanding penggunaan bahan maujud, sumber elektronik dan
sumber internet. Kenyataan ini disokong dengan hasil dapatan soal selidik kekerapan
penggunaan sumber sejarah dalam kalangan guru Sejarah di Sk Bunut Susu pada Jadual 1 (rujuk
lampiran). Namun begitu, guru dilihat berupaya dalam menyampaikan isi pengajaran dengan
berkesan walaupun hanya dengan menggunakan buku teks sahaja. Guru didapati menggunakan
kaedah penceritaan dan penyoalan bagi mengukuhkan kefahaman dan mengelakkan salah
faham murid hasil daripada pembacaan di dalam buku teks. Hal ini bertujuan bagi menyuburkan
daya imaginasi dan perkembangan intelektual murid dalam memahami fakta sejarah.

Penggunaan sumber bercetak iaitu buku teks Sejarah dapat memudahkan pemahaman murid
kerana terdapat gambar, graf, peta dan bahan-bahan berilustrasi yang menarik. Misalnya dalam
tajuk 7: Perjuangan Kemerdekaan Negara bagi Sejarah tahun 5, guru menggunakan peta di
dalam buku teks bagi menjelaskan negeri-negeri yang dijajah dan mendapat campur tangan
British. Guru mencetak gambar peta Malaysia dalam saiz A4 dan mengedarkan kepada murid-
murid. Bahan grafik di dalam buku teks yang jelas dan berwarna menggalakkan pembelajaran
murid kerana ianya menarik minat murid dalam memahami konsep pembelajaran dengan lebih
baik. Seterusnya, penggunaan buku teks memberi idea kepada guru tentang organisasi
maklumat dan aktiviti yang dapat dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pemerhatian yang dilakukan mendapati penggunaan sumber buku teks memudahkan guru untuk
membimbing murid untuk mengenal pasti negeri-negeri yang dijajah dan mendapat campur
tangan British. Sebagai contoh, guru meminta murid menyurih, mewarna serta melabelkan peta
Malaysia dengan jenis pentadbiran dan campur tangan kuasa luar. Hal ini membuktikan bahawa
buku teks yang baik dapat memberikan hasil dan manfaat yang berguna sekiranya sumber ini
digunakan dengan kreatif (F. Conel, 1981). Secara tidak langsung, proses pengajaran dan
pembelajaran menjadi lebih efektif dan berkesan kerana guru bijak memanfaatkan penggunaan
sumber bercetak bagi menarik minat dan fokus murid. Hal ini menunjukkan bahawa guru
berupaya menggunakan sumber buku teks dengan baik dan terancang dalam proses pengajaran
dan pembelajaran Sejarah.

Kekangan penggunaan sumber yang terhad telah memberikan impak terhadap


keberkesanan proses pembelajaran sejarah. Penggunaan sumber bercetak tanpa sokongan
sumber lain akan membataskan guru dalam menarik minat murid kerana murid mudah bosan
terhadap kaedah pembelajaran yang sama setiap hari. Temu bual bersama murid-murid
mendapati bahawa guru sering menggunakan sumber buku teks Sejarah dan mengakibatkan
murid mudah berasa jemu kerana guru tidak menggunakan sumber pengajaran dan
pembelajaran yang pelbagai. Sumber bahan bercetak juga didapati mempunyai kekurangan dari
segi kandungan maklumat yang tidak terkini dan releven. Walaupun buku-buku teks pada masa
sekarang semakin berkualiti, mempunyai grafik dan berwarna, tetapi ia masih memiliki
kekurangan seperti kandungan buku yang tidak lengkap dan kurang menarik (Rustaman et al.,
2005). Hal ini akan menyebabkan pengetahuan murid akan terhad kepada isi kandungan yang
terdapat dalam buku teks sahaja. Di samping itu, kebergantungan yang tinggi terhadap
penggunaan buku teks tidak dapat menggalakkan murid untuk membuat interpretasi sejarah
berdasarkan bukti sejarah (Reisman, 2012). Hal ini kerana murid tidak didedahkan dengan
penggunaan sumber primer dan sekunder dalam meneroka bukti Sejarah yang tepat dan sahih.
Perkara ini akan menyebabkan Kemahiran Pemikiran Sejarah sukar untuk diterapkan secara
efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah. Limitasi dalam penggunaan sumber
pengajaran menghadkan proses perkembangan kognitif murid untuk memahami fakta Sejarah
dengan lebih luas dan mendalam.

Sehubungan dengan itu, guru perlu mengintegrasikan penggunaan teknologi multimedia


seperti video dalam mata pelajaran Sejarah bagi mempelbagaikan sumber pengajaran dan
pembelajaran. Kajian oleh (Othman, 2003) menyatakan bahawa penggunaan video boleh
menimbulkan minat dan seterusnya menggerakkan keinginan murid untuk memahami sejarah
dengan lebih baik. Persembahan kandungan mata pelajaran Sejarah melalui video yang
mengintegrasikan elemen seperti teks, animasi, audio dan grafik akan mewujudkan suasana
pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan. Tambahan pula, tayangan video dalam
bentuk animasi tentang peristiwa Sejarah membantu murid membuat gambaran yang jelas dan
murid juga dapat menghayati peristiwa tersebut. Justeru itu, guru haruslah membiasakan diri
dengan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang cenderung kepada teknologi
terkini agar minat untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah dapat ditanam dalam jiwa murid.
Oleh hal yang demikian, guru perlu berusaha mempelbagaikan bahan pengajaran daripada
sumber-sumber lain mengikut kesesuaian masa dan keperluan murid (Siti Hawa, 2008).

Anda mungkin juga menyukai