Anda di halaman 1dari 7

Penulisan Esei Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019

Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)


Semester 3, Ambilan Jun 2018

PENGGUNAAN APLIKASI MYNW DAN BRAINCHILD DALAM PDP SEJARAH


TAHUN 6

Zatty Zulaikha binti Mohamad Minai @ Othman


Jabatan Sejarah,
IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

A. PENDAHULUAN

Pada 4 hingga 8 Ogos 2019, semasa PBS Fasa 2, Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman
Putra (SKTARP) dipilih sebagai tempat pemerhatian terhadap tingkah laku bermasalah dan
penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sejarah. Pemerhatian ini adalah bagi
memenuhi keperluan kursus SJHK3073 Sumber Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah dan
EDUP3043 Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul
Rahman Putra, Kuala Nerang merupakan sebuah sekolah yang terletak di kawasan pinggir
bandar di daerah Padang Terap, Kedah. Kebanyakan murid mempunyai latar belakang
daripada keluarga sederhana dan 80 peratus ibu bapa merupakan penjawat awam. Oleh itu,
perbezaan individu dari faktor sosial dan persekitaran tidak menunjukkan jurang yang terlalu
luas, namun perbezaan individu dari segi gaya pembelajaran dan kecerdasan adalah amat
berkait rapat dengan kaedah pengajaran guru dan penggunaan sumber pengajaran. Faktor ini
juga berkait rapat tingkah laku bermasalah oleh murid di dalam kelas apabila mereka tidak
dapat memberi perhatian ketika proses PdP berlangsung disebabkan gaya pengajaran guru
yang membosankan serta penggunaan sumber PdP yang kurang bersesuaian dengan gaya
pembelajaran murid. Pemilihan sumber PdP yang sesuai dengan pengajaran guru serta
meraikan kepelbagaian murid amat penting bagi memastikan proses pendidikan mencapai
matlamatnya.

B. DAPATAN PEMERHATIAN DI SEKOLAH

i. TINGKAH LAKU BERMASALAH DALAM BILIK DARJAH

Berdasarkan pemerhatian di SKTARP, terdapat beberapa isu tingkah laku yang wujud dalam
bilik darjah. Antaranya adalah murid tidak memberikan perhatian, mengganggu rakan di
dalam kelas serta membuli rakan sedarjah. Masalah-masalah disiplin ini dikategorikan sebagai
masalah disiplin bersifat disruptif yang akan mengganggu dan menjejaskan pelaksanaan PdP
(Haliza dan Samuel, 2016). Masalah-masalah ini wujud disebabkan beberapa faktor seperti
bilangan murid yang terlalu ramai di dalam sesebuah bilik darjah dan gaya pengajaran guru
yang membosankan sehingga menyebabkan murid hilang fokus sewaktu proses PdP
berlangsung. Bilangan murid yang ramai secara langsung mewujudkan suasana yang
membenarkan berlakunya masalah disiplin. Purata saiz kelas di SKTARP adalah diantara 35
hingga 40 orang murid dalam sesebuah bilik darjah. Keadaan ini merumitkan guru dalam
mengawal disiplin murid-murid. Hal ini juga menyebabkan keadaan sesetengah murid tidak
dapat dilayani oleh guru. Murid-murid ini akan berasa kecewa dan seterusnya akan cuba
mendapatkan perhatian guru dengan cara membuat nakal, merosakkan harta benda sekolah
serta mengacau rakan-rakan yang lain (Ee Ah Meng, 1994). Keadaan ini pastinya akan
mengganggu proses PdP guru apabila terpaksa menangani masalah tersebut dan menyebabkan
masa PdP menjadi terhad untuk mencapai objektif pengajaran.
Penulisan Esei Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

Selain faktor saiz kelas, sumber PdP yang kurang menarik juga berpotensi untuk
mewujudkan tingkah laku bermasalah. Sesetengah murid berasa bosan atau tidak tercabar
kerana sumber PdP yang disediakan kurang sesuai dengan tahap penguasaan mereka. Sumber-
sumber tersebut mungkin gagal untuk menarik minat mereka ataupun terlalu sukar untuk
mereka ikuti (Ee Ah Meng, 1994). Hal ini dapat dikaitkan dengan perbezaan individu dari
segi gaya pembelajaran, kecerdasan yang berbeza dan tahap penguasaan mereka terhadap
sesuatu pembelajaran. Hal ini dibuktikan di SKTARP, apabila murid-murid di kelas
cemerlang lebih cenderung dengan bahan berbentuk kuiz manakala murid di kelas dengan
tahap penguasaan yang lemah lebih gemar dengan pengajaran berbentuk permainan. Selain
itu, sumber PdP juga perlu mengambil berat tentang gaya pembelajaran, kecerdasan pelbagai
serta jenis murid. Hal ini kerana gaya pembelajaran ialah cara setiap individu memproses
maklumat dan cara memproses maklumat itu adalah berbeza (Noriati et. al, 2017). Dari aspek
jenis murid, terdapat tujuh jenis murid yang utama (Noriati et. al, 2017) iaitu visual, auditori,
kinestetik, aktivis, reflektor, teoris dan pragmatis yang akan mempengaruhi gaya
pembelajaran mereka. Oleh itu, guru perlu menitikberatkan aspek perbezaan individu dalam
menyediakan sumber PdP yang bersesuaian dengan kemampuan penguasaan dan
kepelbagaian gaya belajar setiap murid.

ii. PENGGUNAAN SUMBER PDP SEJARAH BAGI MENANGANI TINGKAH


LAKU BERMASALAH

Dalam PdP Sejarah, penggunaan sumber amat dititikberatkan bagi menarik minat murid
terhadap mata pelajaran Sejarah yang sering dilabelkan sebagai mata pelajaran yang
membosankan (Syed Ismail et. al, 2017). Malah, penggunaan sumber yang pelbagai akan
membantu meningkatkan keberkesanan bahan bantu mengajar dalam pengajaran (Mohd
Faeez et. al, 2016). Namun begitu, terdapat terdapat kekangan dalam usaha guru untuk
mempelbagaikan sumber bahan untuk menghasilkan BBM. Kajian Othman (2007), Mahidi
(2011), dan Jasmi et al. (2011) mendapati bahawa guru tidak dapat menggunakan BBM
disebabkan kekurangan sumber dalam mendapatkan bahan. Kekangan ini sememangnya
menjadi batasan kepada guru Sejarah terutamanya bagi mendapatkan sumber pertama seperti
bahan arkeologi dan bahan bercetak. Keadaan ini menyebabkan guru sejarah masih
menggunakan kaedah tradisional dalam pengajaran mereka. Othman (2007), menyatakan
bahawa guru di Malaysia khususnya sentiasa dibelenggu dengan sumber yang terbatas kerana
kaedah tradisional telah menjadi amalan dalam PdP. Selain itu, penggunaan sumber juga dapat
mempelbagaikan kaedah pengajaran guru (Syed Ismail et. al, 2017). Misalnya, murid dapat
melakonkan watak tokoh berdasarkan video peristiwa bersejarah yang ditayangkan oleh guru.
Kaedah ini bukan sahaja dapat melibatkan murid secara aktif dalam proses pembelajaran
mereka, malah melahirkan rasa empati terhadap peristiwa bersejarah.
Berdasarkan pemerhatian di SKTARP, bahan bercetak seperti peta, sumber
elektronik seperti audio dan video serta sumber internet seperti laman web telah digunakan
sebagai sumber pengajaran oleh guru. Di sekolah tersebut juga, penggunaan sumber bukan
sahaja digunakan sebagai bahan bantu mengajar, malah dijadikan medium penilaian oleh guru
untuk mengukur tahap penguasaan murid. Misalnya, guru meminta murid untuk
menyenaraikan maklumat tentang sejarah penciptaan bendera kebangsaan dengan
menggunakan sumber internet. Kefahaman murid tentang bendera kebangsaan akan
membolehkan mereka untuk mencari maklumat tentang bendera tersebut. Hal ini
membuktikan murid sudah menguasai sejarah berkaitan bendera kebangsaan. Bahan
elektronik seperti audio dan video kerap digunakan oleh guru sebagai set induksi bagi
membina konsep awal tentang isi pembelajaran di awal proses PdP. Manakala bahan bercetak
Penulisan Esei Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

seperti peta digunakan oleh guru untuk mengasah Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) murid
dalam meneroka bukti dan seterusnya menjadikan pengajaran sejarah lebih mudah difahami
dan diingati oleh murid.

C. BANDING BEZA SUMBER PdP SEJARAH DALAM MENANGANI


TINGKAH LAKU BERMASALAH

i. ISI KANDUNGAN

Berdasarkan aspek isi kandungan, bahan bercetak seperti peta dan buku teks dan sumber
elektronik seperti video dan audio mempunyai isi kandungan sejarah yang terhad kerana
hanya mengandungi topik atau peristiwa sejarah tertentu. Misalnya, buku teks sejarah
mengandungi isi pelajaran yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran
(DSKP) Sejarah bagi tahun 4, 5 dan 6 manakala peta pula hanya mengandungi maklumat
tentang keadaan geografi suatu lokasi. Begitu juga dengan penggunaan video dan audio yang
hanya mengandungi maklumat berkaitan fokus penyampaian sumber berkenaan. Biarpun
begitu, proses interpretasi maklumat bagi bahan bercetak adalah lebih meluas berbanding
sumber elektronik kerana bahan isi kandungan yang terdapat dalam buku teks mempunyai
penerangan lanjut dan lebih mendalam tentang topik.
Berbeza pula dengan sumber elektronik yang bersifat memilih terhadap penerangan
isi kandungan bagi menghasilkan video yang padat dan berkesan. Isi kandungan dalam video
adalah terhad kepada suatu topik atau peristiwa dan tidak menyeluruh, malah isi kandungan
video adalah berdasarkan bahan bercetak seperti jurnal, rekod kolonial, buku sejarah dan
kajian akademik. Penggunaan bahan bercetak dan sumber elektronik yang mempunyai isi
kandungan yang terhad dan tidak mencabar akan menyekat peluang murid untuk meneroka
bahan tersebut. Hal ini juga akan menyebabkan murid berasa bosan dan seterusnya sukar
memberi tumpuan dalam proses PdP. Isi kandungan yang terdapat dalam sumber internet
seperti laman web pula adalah meluas dan pelbagai, namun kebolehpercayaannya adalah
rendah kerana maklumat-maklumat tersebut dimuatnaik atau disunting oleh badan atau
individu yang tidak berautoriti. Berbanding dengan bahan bercetak, tahap kebolehpercayaan
adalah lebih tinggi kerana mempunyai autoriti berbanding video dan laman web. Biarpun
begitu, video yang dikeluarkan oleh badan rasmi seperti Jabatan Arkib Negara juga
mempunyai autoriti yang tinggi.

ii. KEBOLEHCAPAIAN SUMBER

Kebolehcapaian sumber adalah berkaitan tentang kemudahan untuk pengguna mengakses


sumber PdP. Berdasarkan aspek kebolehcapaian ini, ketiga-tiga sumber menunjukkan
perbezaan. Bahan bercetak seperti buku teks mudah diakses kerana semua murid mempunyai
buku teks sebagai buku panduan kepada murid dan guru dalam melaksanakan PdP mengikut
standard pembelajaran yang ditetapkan. Oleh itu, guru tidak perlu menyediakan buku teks
untuk murid setiap kali proses PdP kerana semua murid memilikinya dan buku teks dapat
digunakan oleh semua murid secara individu.
Sumber elektronik seperti video dan audio juga mudah diakses oleh guru dengan
melayari laman YouTube menggunakan telefon bimbit. Namun, guru tetap menghadapi
kesukaran dari aspek teknikal apabila perlu menyediakan peralatan yang sesuai bagi
memaparkan video dan memperdengarkan audio yang jelas kepada murid. Guru perlu
menyediakan projektor, papan layar serta alat pembesar suara bagi menayangkan video
kepada murid dan hal ini pastinya akan mengganggu proses PdP untuk berjalan dengan lancar.
Penulisan Esei Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

Keadaan akan menjadi lebih sukar sekiranya projektor dan alat pembesar suara tidak berfungsi
dengan baik. Video dan audio yang kurang jelas akan menyebabkan murid tidak dapat
memahami isi penyampaian sumber berkenaan dan seterusnya menyebabkan tumpuan murid
terhadap proses pengajaran. Masa yang diperlukan oleh guru untuk menyediakan peralatan
juga akan membuka ruang kepada murid untuk menimbulkan tingkah laku bermasalah seperti
membuat nakal dan mengacau rakan-rakan yang lain.
Sumber internet juga sukar diakses apabila guru perlu membawa murid ke makmal
komputer bagi menggunakan kemudahan komputer. Penggunaan makmal komputer adalah
terhad kerana tidak dapat menampung jumlah murid yang ramai dalam satu-satu masa. Guru
juga perlu menempah terlebih dahulu makmal tersebut sebelum menggunakannya. Malah,
berdasarkan temu bual yang dilakukan dengan guru Sejarah di sekolah, mereka mengakui
bahawa sukar untuk membawa murid ke makmal komputer kerana kesukaran untuk
mendapatkan giliran penggunaan makmal tersebut.

iii. INTEGRASI MEDIA

Integrasi media merujuk kepada gabungan media seperti teks, audio, grafik, animasi, video,
pengimejan dan spatial modelling sistem komputer (Syed Ismail et. al, 2017). Berdasarkan
aspek ini, bahan bercetak adalah kurang mengintegrasikan pelbagai media. Misalnya buku
teks hanya mengandungi media teks dan grafik. Bahan video adalah lebih menarik, dinamik
dan berbentuk 3D berbanding bahan bercetak yang kurang menarik dan dalam bentuk 2D.
Selain itu, paparan video yang realistik mampu membawa unsur sebenar serta berupaya
menarik perhatian dan emosi pengguna (Syed Ismail et. al, 2017). Penggunaan video dalam
pengajaran sejarah mampu memupuk perasaan empati dalam diri murid berbanding bahan
bercetak yang berdasarkan tulisan dan teks sahaja. Video dapat menolong guru meningkatkan
mutu pengajarannya dan menjadikan pengajaran lebih menarik. Video boleh menimbulkan
minat dan seterusnya menggerakkan keinginan pelajar untuk memahami sejarah dengan lebih
terperinci. Video dapat menghilangkan rasa bosan pelajar untuk mempelajari sejarah yang
dahulunya hanya menggunakan buku teks (Abdul Razaq dan Isjoni, 2009).
Berbeza dengan sumber internet, banyak media diintegrasikan bagi mewujudkan
suasana interaktif. Malah, permainan atas talian yang bertujuan menilai tahap penguasaan juga
dapat diakses oleh murid dan guru dengan mudah. Gabungan pelbagai media yang
memanfaatkan deria penglihatan dan pendengaran secara sepenuhnya mampu menarik minat
murid (Syed Ismail et. al, 2017). Hal ini pastinya dapat mengurangkan tingkah laku
bermasalah yang berpunca daripada sumber PdP yang kurang menarik perhatian murid.

iv. PENGLIBATAN MURID

Berdasarkan aspek penglibatan murid, buku teks dapat melibatkan murid dalam proses PdP
kerana kemudahan untuk mengakses bahan tersebut. Biarpun begitu, keadaan buku teks yang
hanya memaparkan teks dan grafik akan menyebabkan murid bosan serta tidak tertarik untuk
mengikuti proses pengajaran guru. Namun, pengintegrasian pelbagai media dalam sumber
elektronik dan sumber internet akan menyebabkan murid tertarik untuk mengikuti proses
pengajaran hingga ke akhir proses PdP. Tambahan pula, pembelajaran berasaskan sumber
internet dapat disesuaikan dengan tahap penerimaan dan kefahaman murid kerana murid dapat
mengakses dengan bahan atau maklumat daripada sumber internet berdasarkan kemampuan
mereka. Melalui penggunaan sumber internet juga, konsep pembelajaran kendiri dapat
dilaksanakan. Konsep pembelajaran seperti ini dapat memotivasikan murid kerana mereka
tidak terikat dengan arahan guru. Namun begitu, pemantauan guru amat penting ketika
Penulisan Esei Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

menggunakan sumber internet kerana murid dapat mengakses pelbagai laman web yang tidak
berkaitan dengan topik pengajaran. Tanpa pemantauan guru, kawalan kelas akan menjadi
lemah dan menyebabkan objektif PdP tidak berjaya dicapai.

D. CADANGAN PENGGUNAAN SUMBER PdP SEJARAH DAN MODEL


PENGURUSAN BILIK DARJAH BAGI MENANGANI TINGKAH LAKU
BERMASALAH

Bagi menangani masalah murid hilang tumpuan sewaktu proses PdP berlangsung, guru perlu
mempelbagaikan sumber dalam menyediakan bahan bantu mengajar yang menarik. Hal ini
kerana penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik akan mewujudkan suasana
pembelajaran yang menggembirakan (Abdul Rasid dan Hasmah, 2013). Penggunaan sumber
juga seharusnya dapat melibatkan semua pelajar secara aktif supaya murid dapat menumpukan
perhatian dan tidak mengganggu murid yang lain ketika proses PdP. Oleh itu, guru perlu
memilih sumber dan merancang pengajaran yang boleh melibatkan penglibatan aktif murid.
Antara sumber yang boleh digunakan oleh guru adalah sumber elektronik dan sumber internet
yang mengintegrasi pelbagai media yang dapat menarik minat murid untuk melibatkan diri
dalam proses PdP.
Guru juga boleh menggunakan bahan multimedia iaitu sumber elektronik dalam
pengajaran mereka. Penggunaan multimedia akan menjadikan pengajaran menarik,
kefahaman meningkat dan penyertaan menyeluruh. Tumpuan terhadap perisian multimedia
seperti bunyi, grafik, rajah, animasi dan gambar berwarna-warni dapat meningkatkan
pencapaian kognitif, psikomotor, minat dan tingkah laku pelajar. (Abdul Razaq dan Isjoni,
2009). Multimedia bukan sahaja mengaplikasikan TMK dalam PdP malah menggunakan
pelbagai deria dalam memahami sesuatu pembelajaran. Eisner (1972 dalam Mat Desa, 2002)
menyatakan bahawa pengalaman deria yang berlainan iaitu visual, auditori dan kinestatik akan
membentuk kefahaman serta menunjukkan pengalaman deria telah memainkan peranan asas
dalam membentuk konsep. Hal ini kerana pemahaman terhadap konsep dan merangsang
pengetahuan sedia ada individu akan memberi suatu pembelajaran bermakna kepada murid.
Antara bahan multimedia yang boleh digunakan oleh guru adalah Microsoft
PowerPoint dan perisian video interaktif seperti H5P, Animaker dan Render Forest. Pakej
bahan pengajaran dan pembelajaran digital boleh dibangunkan guru dengan membina laman
interaktif dengan menggunakan aplikasi Blogger.com atau WIX. Guru boleh memuatkan
pelbagai jenis media dalam pakej bahan ini dan seterusnya memudahkan murid untuk
menguasai pembelajaran melalui penggunaan pakej bahan yang berpusat. Tambahan pula,
pembelajaran berbantukan multimedia akan menjadikan kelas lebih berpusatkan pelajar.
Multimedia seperti komputer membolehkan penumpuan diberikan kepada setiap pelajar
dengan tiada halangan atau diskriminasi. Pendekatan ini selaras dengan kaedah pendidikan
masa kini yang menekankan tumpuan kepada pelajar supaya lebih berdikari. Setiap pelajar
akan dapat mengawal pembelajaran Sejarah dengan kelajuan tersendiri berdasarkan
kemampuan dan pencapaian masing-masing sama ada di peringkat rendah, sederhana, atau
tinggi (Abdul Razaq dan Isjoni, 2009). Pembelajaran berasas kemampuan murid adalah bagi
meraikan perbezaan yang terdapat dalam diri setiap murid.
Namun begitu, dalam menyediakan bahan bantu mengajar, guru perlu berusaha
memilih sumber pengajaran sejarah yang dapat memenuhi perbezaan gaya pembelajaran
murid bagi melibatkan murid secara aktif serta meraikan kepelbagaian murid. Guru Sejarah
perlu peka terhadap Teori Kecerdasan Pelbagai yang terdapat pada diri setiap murid agar
memudahkan guru untuk mengenal pasti tahap kebolehan mereka supaya dapat
mempelbagaikan sumber pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat murid terhadap
Penulisan Esei Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

mata pelajaran Sejarah (Syed Ismail et. al, 2017). Di dalam sesebuah kelas, terdapat murid
yang cerdas dan mudah memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Namun, terdapat
juga kumpulan sederhana yang akan memahami isi pelajaran sekiranya guru mengajar
berbantukan alat-alat bantu mengajar seperti gambar, klip video atau pita rakaman (Noriati et.
al, 2017).
Dalam menangani tingkah laku bermasalah, terdapat beberapa model pengurusan
disiplin yang boleh digunakan oleh guru, antaranya ialah model ‘Beyond Discipline’ oleh
Alfie Kohn. Model ini menekankan pembentukan komuniti bilik darjah yang penyayang bagi
menyokong murid supaya dapat meneroka topik atau PdP yang mereka minati dengan
mendalam (Haliza dan Samuel, 2016). Kohn juga mencadangkan beberapa strategi yang dapat
membantu guru membentuk komuniti pembelajaran, antaranya adalah dengan meningkatkan
hubungan murid dengan murid yang lain (Haliza dan Samuel, 2016). Selain itu, pengurusan
‘Beyond Discipline juga memerlukan guru untuk merancang PdP yang menyeronokkan di
mana semua murid terlibat dan teransang dengan PdP tersebut (Haliza dan Samuel, 2016).
Malah pengajaran yang menarik akan mengekalkan fokus murid dalam proses PdP manakala
pengajaran yang tidak imaginatif dan kurang melibatkan murid membuatkan mereka
kebosanan dan tertekan serta mewujudkan peluang untuk masalah disiplin berlaku (Emmer et.
al, 2003).
Oleh itu, bagi menjadikan proses PdP menarik dan meningkatkan hubungan interaksi
antara murid, penggunaan TMK dilihat dapat memenuhi kedua-dua matlamat ini. Komunikasi
menggunakan teknologi adalah lebih berkesan kerana murid boleh meneroka maklumat
merentasi ruang, masa dan tempat yang dapat meluaskan pencarian maklumat dalam alam
maya (Noriati et. al, 2017). Penggunaan teknologi juga dapat meningkatkan kefahaman murid
terhadap sesuatu pengajaran. Kajian Yahya dan Dayang Raini (2011), menunjukkan terdapat
perbezaan yang signifikan bagi min prestasi pemahaman bacaan antara murid-murid
berpencapaian sederhana yang mengikuti pengajaran pemahaman bacaan menggunakan
aplikasi komputer secara interaktif dengan murid-murid berpencapaian sederhana yang
mengikuti pengajaran menggunakan kaedah tradisional dalam ujian pasca.
Bagi membentuk interaksi di dalam bilik darjah, guru juga boleh mempelbagaikan
aktiviti pembelajaran bagi memupuk minat serta menggalakkan penyertaan murid dalam
proses pembelajaran mereka (Haliza dan Samuel, 2016). Guru juga boleh aplikasi kaedah dan
teknik pengajaran masa kini seperti flipped classroom dan blended learning. Kaedah flipped
classroom dapat merangsang penglibatan murid secara aktif dengan menjadikan suasana bilik
darjah seperti sebuah bengkel di mana murid boleh bertanyakan isi pelajaran dan berinteraksi
antara mereka secara hands-on (Noriati et. al, 2017). Kaedah blended learning pula dilihat
dapat memberi kebebasan serta kawalan kepada murid dalam menentukan hasil pembelajaran
mereka sendiri. Selain itu, kaedah ini mempunyai unsur kolaboratif, kadar kendiri dan
diterajui guru berasaskan pengajaran dalam bilik darjah (Noriati et. al, 2017). Malah kaedah
ini dilihat bersesuaian dengan PdP Sejarah kerana menggabungkan kedua-dua gaya
pembelajaran iaitu kaedah tradisional dan juga pembelajaran abad ke-21.

E. PENUTUP

Kesimpulannya, tingkah laku bermasalah seperti murid hilang tumpuan dapat diatasi dengan
penggunaan model pengurusan bilik darjah yang sesuai dan penggunaan sumber PdP yang
mampu menarik minat murid. Guru juga perlu sedar akan kepentingan unsur pembelajaran
menyeronokkan dalam pengajaran untuk mewujudkan hubungan baik dengan murid-murid
mereka. Bagi menghasilkan pembelajaran yang menyeronokkan, penggunaan sumber yang
berasaskan elektronik dan internet dapat diterapkan dalam PdP. Namun begitu, guru perlu
Penulisan Esei Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

melengkapi diri dengan kemahiran TMK bagi menerapkan elemen berkenaan serta
meningkatkan profesionalisme keguruan. Hal ini kerana guru yang cekap menggunakan
pelbagai teknik pengajaran yang disokong dengan aplikasi teknologi maklumat dapat
memberikan impak yang lebih baik terhadap amalan guru dalam penggunaan media
pengajaran dalam proses PdP (Noriati et. al, 2017). Melalui pengajaran dan pembelajaran
berasaskan TMK juga, guru dapat berkolaborasi dengan murid untuk meningkatkan kualiti
pembelajaran dengan meningkatkan kreativiti, ekspresi kendiri yang bersesuaian dengan arus
peredaran zaman (Abdul Rasid dan Hasmah, 2013). Jelaslah penggunaan sumber pengajaran
yang sesuai dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik dan kondusif seterusnya
dapat mengurangkan tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah.

RUJUKAN

Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail. (2013). Pelaksanaan Pembelajaran Menyeronokkan
Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu, 3 (2): 49-63.
Abdul Razaq & Isjoni. (2009). Transformasi Pengajaran dan Pembalajaran Sejarah.
Penerbitan Bersama: Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi;
dan, FKIP, Universitas Riau, Pekan Baru Indonesia.
Ee Ah Meng. (1994). Sekolah dan Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd.
Emmer, E. T., Evertson, C. M. & Worsham, M. E. (2003). Classroom Management for
Secondary Teachers. Boston: Pearson / Ally and Bacon.
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2016). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah
Laku. Edisi kedua. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn Bhd.
Jasmi, K. A., Ilias, M. F., Tamuri, A. H. & Mohd Hamzah, M. I. (2011). Amalan penggunaan
bahan bantu mengajar dalam kalangan guru cemerlang Pendidikan Islam sekolah
menengah di Malaysia. Journal of Islamic and Arabic Education, 3 (1): 59-74.
Mahidi, M. M. (2011). Pembangunan bahan bantu mengajar berasaskan e-peta minda
bertajuk “The reactivity series of metals and its applications” untuk kimia tingkatan
lima (Unpublished Master’s Thesis), Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.
Mat Desa Mat Rodzi. (2002). Pengajaran Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah:
Kecenderungan dan Kerelevanan untuk Memenuhi Hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Wacana Seni, Journal of Arts Discourse, 1 (1): 89-107.
Mohd Faeez Ilias, Kalthom Husain, Mohd Amin Mohd Noh, Zetty Nurzuliana Rashed &
Murihah Abdullah. (2016). Sumber bahan bantu mengajar dalam kalangan guru
Pendidikan Islam Sekolah Bestari. e-Academia Journal UiTMT, 5 (2): 106-114.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). Murid dan
Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn Bhd.
Othman, M. A. (2007). Keberkesanan kaedah pengajaran berbantukan komputer di kalangan
pelajar pencapaian akademik rendah bagi mata pelajaran Geografi tingkatan 4 di
Negeri Sembilan (Unpublished Doctoral Thesis). Universiti Sains Malaysia, Pulau
Pinang.
Syed Ismail Syed Mustapa, Pushpavalli A. Rengasamey, Meor Aris Meor Hamzah & Rosly
Mohd Sani. (2017). Sumber Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah. Petaling Jaya:
Sasbadi Sdn Bhd.
Yahya Othman & Dayang Raini Pakar. (2011). Kesan perisian cerita interaktif semasa
mengajarkan kemahiran bacaan dan kefahaman dalam kalangan pelajar Tahun 4 di
Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 1 (1): 27-49.

Anda mungkin juga menyukai