Anda di halaman 1dari 15

INTEGRITI DALAM ORGANISASI PENDIDIKAN

Thulasimani Munohsamy
Institut Teknologi Brunei

Sinopsis

Setiap insan harus mempunyai nilai integriti yang tinggi untuk menjamin pembentukan insan

yang mulia dan beretika tinggi yang secara langsung menyumbang kepada kemajuan sesebuah

negara. Sebuah organisasi yang perlu memiliki nilai integriti yang tinggi ialah bidang

pendidikan. Para pendidik memegang tanggungjawab yang besar untk membentuk insan yang

beretika tinggi. Mereka hanya boleh melakukannya sekiranya mereka mempunyai nilai integriti

yang tinggi. Oleh itu penulisan ini akan membincangkan definisi integriti, integriti dalam

pendidikan khususnya, kepentingan integriti dalam organisasi pendidikan, faktor-faktor yang

menjejaskan integriti, isu dalam integriti pendidikan dan implikasi serta cadangan yang

membawa manfaat kepada semua pihak.

Pengenalan

Kemajuan sesebuah negara sangat bergantung kepada nilai integriti yang wujud dalam setiap

organisasi serta nilai – nilai etika kepimpinan negara tersebut. Sesebuah organisasi yang

mempunyai nilai integriti yang tinggi mampu bersaing di peringkat global. Malah setiap anggota

masyarakat harus memupuk nilai integriti bagi meningkatkan mutu kerja setiap organisasi yang

secara tidak langsung menjana kepada kemajuan sesebuah negara. Walau bagaimanapun masalah

integriti dalam masyarakat kini semakin berleluasa di zaman globalisasi ini. Kehakisan nilai

integriti di kalangan masyarakat kini semakin meningkat dalam setiap organisasi dengan

wujudnya jenayah kolar putih, gejala sosial, rasuah, diskriminasi, penindasan dan

1
penyalahgunaan kuasa (Mustafar Ali, 2006). Dengan adanya kesedaran ini, setiap organisasi

harus diperkasakan untuk membina masyarakat yang beretika, menghayati erti integriti, bebas

dari amalan rasuah serta amalan negative lain seperti yang disebut di atas. Lantaran itu, nilai-

nilai integriti ini perlu diterap secara holistik dalam kalangan kakitangan awam negara

terutamanya di kalangan guru.

Hanya guru yang sentiasa mengamalkan nilai- nilai integriti mampu menyediakan modal

insan kelas pertama. Oleh itu, penerapan nilai-nilai integriti dalam jiwa pendidik amat penting

kerana kejayaan sesorang guru dalam menhayati nilai- nilai integriti secara tidak langsung

memberi kesan positif kepada para pelajar terutamanya dalam pencapaian akademik dan

pertumbuhan akhlak (Nor Salmi & Lim Hooi Lian, 2012). Berdasarkan pada perbincangan di

atas, penulisan ini adalah berasaskan nilai integriti dalam pendidikan. Dalam perenggan

seterusnya maksud integriti, integriti dalam pendidikan, peranan dan kepentingan integriti, faktor

yang mempengaruhi integriti, masalah yang dihadapi serta cara menangani masalah yang di

hadapi akan di bincangkan dalam penulisan ini. Apa itu integriti? Definisi integriti secara

menyeluruh akan dibincangkan dalam perenggan seterusnya.

Definisi Integriti

Integriti, menurut kamus Dewan Bahasa bermaksud kejujuran dan ketulusan, kesempurnaan dan

keutuhan. Ia juga berkait rapat dengan keikhlasan, keterbukaan, ketelusan dan amanah. Integriti

secara umumnya boleh didefinisikan sebagai peribadi mulia yang terdapat pada individu meliputi

nilai-nilai amanah, jujur, ikhlas, sabar, tidak mengamalkan tabiat rasuah, berlapang dada, telus,

bertanggungjawab dan memiliki cirri-ciri positif yang lain. Oleh itu, seseorang yang dikatakan

berintegriti mestilah berakhlak mulia dan mengamalkan nilai-nilai murni di atas kualiti unggul

2
yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu serta oraganisasi. Integriti juga berkait

rapat dengan etika (Sham, 2011).

Sementara itu, integriti juga dikatakan merujuk kepada pengetahuan, kesedaran,

penghayatan dan pegangan teguh kepada nili-nilai murni secara konsisten yang disertai

komitmen sepenuhnya terhadap nilai-nilai tersebut dalam setiap perkataan dan tindakan untuk

mencapai kecemelangan diri dan organisasi (Nor Salmi & Lim Hooi Lian, 2012).

Secara ringkasnya, integriti boleh dikatakan sebagai nilai – nilai murni yang patut

dipupuk oleh setiap individu untuk menjadi insan yang sempurna dan beretika tinggi.

Keperibadian ini secara langsung boleh mempertingkatkan kemajuan oraginisasi serta

menyumbangkan kepada kesejahteraan negara dan kemajuan negara di muka dunia. Nilai

integriti ini sangat penting untuk dihayati oleh warga pendidik dalam membentuk insan yang

beretika tinggi. Melalui pendidikan, para pelajar dapat dibentuk menjadi seorang yang

mempunyai nilai-nilai jati diri yang kukuh, berketerampilan, keperibadian yang mulia,

berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam membina kemajuan negara. Dengan itu, dalam

perenggan seterusnya integriti dalam pendidikan dibincangkan.

Integriti dalam Pendidikan

Integriti dalam pendidikan berkait rapat dengan akauntabiliti. Akauntabiliti merujuk kepada

tanggungjawab guru mendidik pelajar dalam pencapaian akademik serta membentuk

potensi pelajar secara menyeluruh. Aspek integriti dalam pendidikan adalah guru

melaksanakan tugas dengan amanah, mempunyai ciri keprihatinan, penuh kasih sayang, tahap

ketabahan yang tinggi dan tidak mengambil kesempatan. Dalam konteks pengajaran guru di

dalam kelas pula, guru seharusnya mengutamakan kepentingan murid melebihi kepentingannya

3
sendiri. Guru hendaklah bersikap jujur dan memberi layanan yang adil kepada murid-murid

ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung (Zarah binti Ahmad, 2014). Ini

menunjukan dedikasi seorang guru terhadap pelajarnya di mana seorang guru tidak

mengharapkan sebarang ganjaran daripada tugas yang dijalankan itu.

Nilai integriti adalah penting dan sewajarnya dihayati oleh semua pihak. Dalam sesebuah

organisasi pendidikan, guru atau tenaga pengajar serta kakitangan akademik memainkan peranan

dalam mengamalkan budaya integriti dalam tugasan yang dilakukan. Seseorang guru atau tenaga

pengajar seharusnya mengikut kod etika perguruan bagi memastikan isu integriti tidak

dipersoalkan. Dengan adanya kod etika perguruan, para guru dapat menjaga tingkah laku sebagai

seorang guru, memahami dengan jelas etika guru iaitu tanggungjawab terhadap pelajar, ibu bapa,

rakan sejawat, masyarakat dan Negara, bukannya mengambil kesempatan di atas apa yang

berlaku terhadap pelajar tetapi hendaklah membantu mereka menyelesaikan masalah (Baharin

dan Suzana 2010). Justeru itu, guru atau tenaga pengajar yang berintegriti dan beretika sangat

diperlukan dalam dunia pendidikan. Etika dan integriti yang dimiliki seseorang guru akan

menjadikan beliau itu bertanggungjawab kepada Tuhannya. Guru atau tenaga pengajar

diibaratkan lautan yang luas dan pelajar adalah ikan di dalam lautan itu. Benih yang baik jatuh

ke laut menjadi pulau, sebaliknya benih yang baik jatuh ke darat menjadi gunung. Oleh yang

demikian, guru sewajarnya bertanggungjawab terhadap pelajar serta memupuk kerjsama dan

permuafakatan dengan ibu bapa dan komuniti setempat bagi merealisasikan misi nasional negara

secara ikhlas (Zarah binti Ahmad, 2014).

4
Kepentingan Integriti dalam Organisasi Pendidikan

Kepentingan integriti dalam sesebuah organisasi pendidikan adalah untuk mencapai sasaran

utama iaitu mencapai kualiti khidmat lebih tinggi. Pencapaian kualiti menerusi pengurangan

kesilapan dalam urus tadbir, masalah pelajar juga dapat diminimumkan terutamanya kes disiplin,

mencapai kesetiaan lebih tinggi di kalangan staf, mencapai fokus yang sama, memenuhi

kepuasan pekerja atau pelanggan termasuk ibu bapa, menjaga imej profesion keguruan,

meningkatkan keimanan dan mengawal tingkah laku warga pendidikan. Integriti merupakan asas

penting kesejahteraan staf (Jamiah et. al 2006) dan membentuk staf yang mempunyai tingkah

laku yang baik (Ones et. al 2003, dalam Jamiah et. al 2006). Sebaliknya, sekiranya integriti

terhakis di kalangan staf maka ia akan menyumbangkan kepada keruntuhan nilai moral dan

kerosakan sesuatu profesyen pekerjaan (Hardingham 2004, dalam Jamiah et. al 2006).

Sehubungan dengan itu, setiap warga sesebuah organisasi perlu menghayati nilai-nilai murni

yang telah ditegaskan dan diulangi oleh pentadbir urus yang berintegriti baik. Contohnya,sebagai

penjawat awam aspek integriti disepadukan dalam nilai dan etika perkhidmatan awam.

Penghayatan nilai integriti hendaklah dijadikan amalan hidup dan amalan kerja supaya mencapai

kecemerlangan, kecekapan, malahan organisasi tersebut akan dipercayai dan dihormati (Zarah

binti Ahmad, 2014).

Dengan itu boleh dikatakan bahawa nilai integriti amat bermakna dalam bidang atau

organisasi pendidikan. Nilai integriti yang terhakis boleh menyebabkan kesan yang amat negatif

di kalangan masyarakat dan menjejaskan maruah serta kemajuan sesebuah negara. Terdapat

beberapa faktor yang boleh menjejaskan nilai integriti dalam bidang pendidikan. Antara faktor-

faktor tersebut akan dibincangkan dalam perenggan seterusnya.

5
Faktor-faktor yang Menjejaskan Integriti

Terdapat beberapa faktor yang menjejaskan nilai integriti dalam bidang pendidikan. Faktor

tersebut boleh dibahagikan kepada lima kategori iaitu kepimpinan, sistem dan procedur, struktur

dan institusi, budaya dan individu dalam organisasi tersebut.

Kepimpinan adalah sangat penting dalam mengekalkan budaya organisasi dan

masyarakat serta tahap integriti. Kepimpinan pelbagai peringkat perlu mempunyai azam dan

iltizam yang teguh untuk memberikan pedoman serta tunjuk ajar dan melakukan perubahan

untuk kebaikan. Iltizam yang lemah akan memyebabkan merosotnya integriti. Begitu juga

pemimpin yang tidak menunjukkan teladan yang baik. Pemimpin juga perlu mematuhi undang-

undang dan prosedur serta peraturan yang ditetapkan. Sebarang tindakan pemimpin

mengeluarkan arahan yang bercanggah dengan undang-undang, prosedur dan peraturan yang

ditetapkan akan menjejaskan integriti (Sham, 2011). Oleh itu adalah amat penting bagi seorang

pemimpin untuk mengamalkan dan memupuk nilai integriti untuk kemajuan diri sendiri,

masyarakat serta kemajuan Negara.

Sistem dan prosedur merangkumi pelbagai perkara dan aspek. Pengkuatkuasaan yang

tidak berkesan dan ada kalanya dilakukan secara terpilih. Kurang ketelusan dalam urusan yang

melibatkan kepentingan awam, misalnya dalam urusan tender boleh mengakibatkan tergugatnya

nilai integriti. Kelemahan sistem dan prosedur serta garis panduan bagi menjalankan tugas boleh

menyebabkan ketidakcekapan, kecelaruan dan perselisihan pendapat di kalangan pekerja.Institusi

mempunyai matlamat atau kepentingan yang bertentangan antara satu sama lain juga boleh

menjejaskan integriti.. Pertentangan kepentingan antara institusi yang berlaku secara berterusan

boleh menyebabkan kecelaruan dan krisis nilai. Skop, tugas dan tanggungjawab antara instusi

perlu diperinci dan dikordinasikan dengan baik. Pertindihan dalam tugas boleh mengakibatkan

6
persaingan yang tidak sihat serta pengabaian tanggungjawab. Dengan wujudnya pertindihan ini

maka, secara langsung masyarakat akan mula ragu dengan kesahihan nilai integriti seseorang.

Selain itu, persekitaraan amat penting dalam mempengaruhi individu dari segi

pembentukan nilai dan tingkah laku. Budaya dipengaruhi oleh sejarah dan perkembangan

semasa. Budaya yang menjunjung tinggi integriti akan memberi persekitaran yang sesuai untuk

individu supaya tidak menyimpang dalam tingkah lakunya. Budaya yang sebaliknya akan

mempengaruhi mereka untuk tidak ambil peduli, tidak bertanggung jawab dan melepaskan

tanggungjawab kepada orang lain. Oleh itu, mengamalkan budaya yang sihat amat penting bagi

seseorang supaya nilai integritinya kekal bersama dan tidak terjejas akibat pengaruh budaya yang

negatif.

Faktor utama yang memyebabkan kemerosotan integriti ialah diri sendiri. Individu yang

lemah didikan agama dan penghayatan nilai-nilai murni, lemah disiplin diri dan etika akan

mengakibatkan diri dalam pelbagai salah bentuk tingkahlaku. Kemerosotan integriti boleh

berlaku sekiranya individu itu hannya melihat kelemahan orang lain. Tekanan hidup juga boleh

menyebabkan individu terlibat dalam kegiatan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan

dan gejala tidak bermoral.(Sham, 2011). Oleh yang demikian setiap individu haruslah

mempunyai keimanan yang tinggi supaya sentiasa akur dengan perubahan yang berlaku

disekililingnya. Mereka juga perlu ada kesedaran diri untuk sentiasa bersifat positif untuk

mengharungi apa jua rintangan yang di hadapi. Justeru itu mereka tidak mudah terpengaruh

dengan nilai-nilai yang negatif yang boleh menjejaskan nilai integriti individu tersebut.

7
Isu dalam Integriti Pendidikan

Terdapat beberapa masalah yang sering dialami dengan isu integeriti dalam pendidikan. Antara

isu atau masalah utama ialah rasuah. Rasuah adalah satu perbuatan yang melanggar nilai-nilai

murni dan membawa kehancuran kepada seseorang yang mengamalkannya sama ada penerima

atau pemberi serta mengurangkan kecekapan kepada sesebuah organisasi (Zarah. 2014).

Menurutnya lagi integriti individu atau organisasi akan terjejas oleh gejala rasuah akibat

beberapa faktor.

Di peringkat individu, kawalan dalaman yang lemah (Mustafar 2005) atau kelemahan 

individu tersebut dalam kurang menghayati agama dan pendidikan akhlak, bersifat tamak dan

sikap yang sering mengejar kebendaan dan kemewahan iaitu hamba kepada kebendaan

(NurSyakiran dan Md Zawawi 2004), kos sara hidup yang meningkat saban hari, tekanan

modenisasi & keperluan , sikap yang mudah terpedaya dengan gelojak nafsu dan bisikan syaitan

serta kurang faham sistem dan prosedur jabatan boleh mengakibatkan kehakisan nilai integriti

seseorang individu.

Dalam organiasi pendidikan, rasuah adalah sesuatu yang tidak sepatutnya difikirkan

langsung. Ini adalah kerana seseorang pendidik haruslah mempunyai sifat tanggungjawab ke atas

perilakunya. Seseorang guru itu sangat dipercayai, seharusnya kepercayaan masyarakat terhadap

pendidik haruslah di sanjung tinggi. Selalunya antara isu rasuah yang berlaku di kalangan

pendidik ialah membocorkan soalan peperiksaan akibat menerima rasuah dari sesebuah pihak

untuk kepentingan mereka. Guru perlu melaksanakan amanah dan kuasa yang

dipertanggungjawabkan. Guru – guru merupakan penentu utama kejayaan dalam melahirkan

generasi yang berintegriti melalui penerapan nilai integriti dalam setiap mata pelajaran yang

diajarnya.

8
Selain daripada itu antara masalah lain yang dihadapi oleh institusi pendidikan ialah

penyalahgunaan kuasa. Salah guna kuasa ditakrifkan sebagai menggunakan kedudukan atau

jawatan rasmi untuk kepentingan diri. Kebiasaannya salah gunakuasa sering berlaku di kalangan

pentadbir atau pengurus sekolah. Menurut penulisan Marzita 2004, Timbalan Pendakwa Raya

Badan Pencegahan Rasuah Malaysia, Zulkarnaian Hasan menyatakan salah guna kuasa di

kalangan pengurus sekolah dilakukan secara sengaja. Pihak ini melakukannya kerana

dipengaruhi sikap tamak, mahukan kemewahan dan berasa selamat. Di antara kes yang sering

berlaku adalah melantik syarikat yang mempunyai kepentingan.dalam menguruskan sesebuah

tugasan. Maksud kepentingan adalah melantik sesebuah syarikat yang dikendalikan oleh adik,

adik ipar atau ahli keluarga lain walaupun mereka bukan pengurus syarikat berkenaan. Beliau

juga memberikan contoh kes seperti melantik syarikat yang mempunyai kepentingan dalam

mengendalikan pembekalan alat tulis dan kertas, mengendalikan kantin, pembinaan pagar

sekolah dan terdapat kes pengurus sekolah menerima tiket kapal terbang untuknya dan keluarga

dari syarikat buku (Zarah. 2014). Nilai – nilai ini seharusnya dihindari oleh setiap pihak pertadbir

untuk mengelakkan kehakisan nilai integriti serta nilai-nilai murni yang patut diamalkan dan

dicontohi.

Selain itu isu penyelewengan di kalangan warga sekolah sama ada pelajar mahupun pihak

berkaitan juga menjejaskan nilai integriti. Penyelewengan adalah satu perbuatan yang

menyimpang atau mengelirukan dari satu dasar yang ditetapkan. Dalam konteks

pendidikan penyelewengan juga berlaku di peringkat sekolah. Sekolah merupakan institusi yang

menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelaja rmenerusi penerapan nilai yang

dipertanggungjawabkan kepada guru. Penerapan nilai murni menerusi beberapa teknik seperti

melalui mata pelajaran tertentu ( Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral), penerapan nilai

9
merentasi kurikulum iaitu dalam mata pelajaran lain dan menerusi aktiviti ko-kurikulum seperti

persatuan, kelab dan badan beruniform sentiasa berlaku dalam organisasi pendidikan.

Budaya sekolah mengamalkan pembentukan sahsiah bermoral tinggi dalam membentuk generasi

muda yang berintegriti dalam memainkan peranan sebagai seorang pelajar yang seimbang dari

segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Namun begitu,

segelintir pelajar yang bermasalah dari segi disiplin tidak menghayati budaya positif yang diajar,

malahan mereka mewujudkan satu sub budaya yang tidak formal dan jauh menyimpang dari

nilai-nilai murni seperti budaya lepak, ponteng sekolah, botak dan black metal  (Sean 2012). Isu

penyelewengan dalam pendidikan juga berlaku dari segi pembangunan infrastruktur pendidikan.

Isu seperti makmal sekolah runtuh dan atap kelas yang bocor disebabkan pembinaan yang tidak

kukuh merupakan antara isu penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran pendidikan. Akibat

daripada isu begini, keselamatan para pelajar boleh terjejas.

Sistem dan prosedur dalam organisasi pendidikan juga boleh menyebabkan wujudnya

masalah integriti. Setiap organisasi mempunyai sistem dan prosedur dalam menjalankan

tanggungjawab yang diamanahkan. Ketidakcekapan dalam sistem dan prosedur di kalangan staf

atau kakitangan menjejaskan integriti seterusnya mencemarkan imej organisasi. Antara faktor-

faktor yang menjejaskan integriti adalah kurang ketelusan, kelemahan sistem dan prosedur serta

garis panduan, kurang penguatkuasaan, penguatkuasaan terpilih, kurang pemantauan dan

penilaian, keupayaan sumber manusia dan bahan yang terhad serta kerangka undang-undang

lapuk dan percanggahan undang (Sulaiman 2004). Penyalahgunaan kemudahan yang disediakan

oleh pihak sekolah untuk kepentingan diri adalah antara contoh masalah dalam kategori ini.

Selain itu, kemerosotan etika di kalangan pendidik juga adalah antara masalah integriti

yang dihadapi. Etika adalah berkaitan dengan nilai dan moral sesuatu kelompok atau kumpulan.

10
Etika juga berkaitan dengan persepsi atau pandangan terhadap sesuatu perkara atau tindakan

sama ada ia dilakukan secara betul atau salah (Malike 2004). Seorang guru yang merupakan

penjawat awam bertanggungjawab memahami dan mengamalkan nilai-nilai dalam semua

tindakan dan tingkah laku semasa menjalankan tanggungjawab dan tugas. Jika seseorang

penjawat awam yang melakukan sesuatu yang luar dari standard atau piawai etika yang

ditetapkan maka individu tersebut telah menyalahi apa yang telah ditetapkan melalui peraturan,

dasar dan arahan kerajaan (Malike, 2004). Antara isu yang berlaku di kalangan pendidik ialah

mencabul pelajar sekolah mereka, memberi denda yang tidak sepatutnya kepada para pelajar

yang menganggu emosi dan seksual pelajar. Isu seperti ini di kategorikan sebagai kemerosotan

etika di kalangan pendidik. Oleh itu setiap individu dalam organisasi pendidikan sentiasa perlu

berwaspada akan tindakan yang diambil oleh mereka supaya ia tidak menjejaskan nilai integriti

mereka sebagai pendidik.

Implikasi

Antara implikasi yang berlaku apabila masalah integriti wujud dalam bidang pendidikan ialah ia

akan menjejaskan kredibiliti sesorang guru. Guru adalah seorang yang diberi penghormatan yang

sangat tinggi. Masyarakat menganggap guru merupakan satu profesyen yang membentuk modal

insan yang cemerlang serta melahirkan satu golongan generasi yang akan berjaya di masa

hadapan. Namun begitu, akibat daripada segelintir guru yang tidak komited dengan etika yang

telah digariskan oleh Kemeterian Pendidikan serta tidak berfikiran wajar dalam melaksanakan

hukuman mahupun keputusan secara terburu –buru, maka masyarakat akan hilang kepercayaan

kepada institusi pendidikan dan tidak memberikan kerjasama sepenuhnya. Seorang guru yang

berintegriti seharunya sedar bahawa maruah dan profesyen perguruan adalah di dalam tangan

11
mereka sendiri (NorSalmi dan Lim, 2012). Oleh itu setiap tindakan mereka haruslah difikir

secara teliti sebelum mengimplikasikannya.

Cadangan

Sosio budaya yang merangkumi institusi pendidikan (sekolah,kolej dan universiti) memainkan

peranan membina dan mengukuhkan integriti masyarakat dan negara. Institusi ini berperanan

dalam memberikan sumbangan pembinaan modal insan dan di antara agendanya bagi mencapai

objektif yang dihasratkan adalah : pembinaan insan yang berintegriti dalam persekitaran

sosiobudaya yang berintegriti dan peningkatan integriti dalam pengurusan jasmani, rohani dan

kesihatan, pemantapan nilai-nilai murni, perpaduan dan pembentukan identiti warganegara.

Sehubungan dengan itu, peranan pemimpin atau pengurus sekolah dalam memantapkan integriti

dalam sesebuah organisasi pendidikan adalah penting dalam memastikan untuk membentuk

pelajar berkualiti dan sejajar dalam pembangunan modal insan. Pihak pentadbir hendaklah

melakukan pemantauan secara berterusan maka peluang guru menyalahgunakan kuasa,

melakukan penyelewengan dan terkeluar dari landas kod dan etika profesyen perguruan dapat

dibendung. Pihak ini boleh memaklumkan atau mengingatkan guru sewaktu mesyuarat atau

taklimat bagi memastikan etika profesyen perguruan berada pada landas yang betul.Sekiranya,

pihak sekolah khususnya pengetua atau guru besar menghadapi kesukaran dalam mendapatkan

kerjasama daripada rakan sejawat atau staf yang bermasalah serius, individu berkenaan dinasihati

menjalani sesi kaunseling bersama kaunselor sebelum dikenakan tindakan tatatertib (Zarah,

2014).

Selain daripada itu rakan sejawat juga boleh melaporkan sekiranya berlaku kes yang

menjejaskan integriti dalam sesuatu organisasi pendidikan untuk mengharumkan nama

12
organisasi ini yang diberi kepercayaan yang sepenuhnya untuk membentuk insan atau generasi

muda yang berhemat tinggi serta memiliki nilai-nilai etika yang tinggi.

Pihak berkenaan juga boleh mengadakan bengkel mengenai nilai integriti di kalangan

pendidik dari semasa ke semasa untuk menyedarkan antara kalangan pendidik yang mempunyai

pegangan agama yang lemah yang mudah terlibat ke dalam kes-kes yang boleh menjejas integriti

serta imej profesyen perguruan. Di negara kita, pihak berkuasa sering menjalankan bengkel –

bengkel seperti ini di mana pihak bahagian pencegah rasuah sering menganjurkan bengkel

seumpama ini di kalangan warga institusi pendidikan. Terdapat pelbagai lagi langkah yang boleh

diambil untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah integriti dalam bidang pendidikan.

Setiap warga dalam institusi pendidikan harus sedar bahawa mereka adalah antara insan yang

bertuah yang dipilih untuk melaksanakan suatu profesyen yang sangat mulia dan disanjung tinggi

di kalangan masyarakat. Dengan adanya kesedaran ini dan pegangan agama yang kuat, masalah

integriti tidak akan wujud dalam institusi pendidikan.

Kesimpulan

Integriti dalam pendidikan adalah berpandukan etika dan nilai. Aspek integriti dalam sesebuah

organisasi pendidikan melibatkan individu (tenaga pengajar/staf), sekolah atau institusi pengajian

serta pihak kementerian dalam memastikan kualiti pendidikan diberikan sama rata dalam

pelbagai lapisan masyarakat. Apa yang penting sekali adalah kawalan dalaman individu iaitu

berkaitan dengan soal keimanan, kemantapan rohani dan keteguhan jiwa dalam

menangani pelbagai ganjaran, hadiah mahupun duit atau cubaan pihak yang tidak mengamalkan

hajat yang baik dalam memenuhi keperluan sendiri berbanding kepentingan umum. Secara

umumnya, pengurusan integriti hendaklah disepadukan dan diterapkan nilai-nilai murni di

13
kalangan individu dan sesebuah organisasi supaya menjadi amalan hidup dan amalan kerja bagi

mencapai kecemerlangan, kecekapan, dipercayai dan dihormati (Zarah. 2014).

Rukun Akhlak dan Etika Kerja sudah sedia wujud bagi setiap penjawat perkhidmatan

awam di negara kita sebagai panduan kepada setiap penjawat dalam organisasi awam. Institusi

pendidikan juga turut terlibat secara langsung untuk menurut and menepati rukun akhlak dan

etika kerja tersebut. Sebagai warga pendidik yang berkeimanan kuat dengan nilai etika kerja

yang tinggi, soal integriti tidak sepatutnya wujud dalam organisasi ini. Oleh itu setiap individu

dalam organisasi pendidikan haruslah menjadi contoh kepada masyarakat awam kerana generasi

muda negara yang bakal memimpin negara lahir dari didikan organisasi ini. Dengan itu sebagai

warga organisasi pendidikan, setiap insan haruslah memiliki nilai integriti yang tinggi untuk

membina masyarakat serta negara yang maju dan dihormati di mata dunia.

14
Bibliografi
Baharin Abu & Suzana Mamat@Muhammad. 2010. Pengetahuan Etika ProfesionPerguruan
Dalam Kalangan Guru Pelatih 4sph Fakulti Pendidikan Utm.
http://eprints.utm.my/10740/1/Pengetahuan_Etika_Profesion_Perguruan_Dalam_Kalangan_Guru
_Pelatih_4SPH_Fakulti_Pendidikan_UTM.pdf 20 April 2014

Malike Ibrahim. 2004. "Yang Menurut Perintah"- Nilai Penjawat Awam. hlmn: 1-
12.http://repo.uum.edu.my/2129/1/55.pdf 20 April 2014

Mustafar Ali. (2004). Perlaksanaan Pelan Integriti Nasional Secara Berkesan. Kolokium
Pengukuhan Integriti, Institut Kefahaman Islam Malaysia. Jun 2014.

Mustafar Haji Ali. 2005. Membina Integriti Untuk Memerangi Rasuah. Dlm. MazilanMusa, Izal
Arif Zahrudin & Suzanna Che Moin (pnyt.). Etika Dan Integriti Di  Malaysia,
 hlmn: 53-61. Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia.

Nor Salmi binti Ahmad & Lim Hooi Lian. (2012). Mengkaji Kesahan Inventori Nilai Integriti
dalam Kalangan Guru-guru Sekolah Rendah. (Daripada)
http://www.medc.com.my/medc/journals/valume7/Artikel%20Salmi%20&%20Lim%20untuk
%20MEDC%20Journal.pdf. 4 April 2014

Nur Syakiran Ismail & Md Zawawi Abu Bakar. 2004. Rasuah.....? Katakan Tidak. hlmn:1-


15. http://repo.uum.edu.my/1908/1/47.pdf 20 April 2014

Sham. (2011). Integriti. (Daripada) http://www.scribd.com/doc/49190824/INTEGRITI. 4 April


2014

Zarah binti Ahmad. (2014). Penulisan Pengurusan Integriti dalam Organisasi Pendidikan.
(Daripada) http://www.scribd.com/doc/212543157/Penulisan-Pengurusan-Integriti-Dalam-
Organisasi-Pendidikan. 20 April 2014

15

Anda mungkin juga menyukai