Anda di halaman 1dari 6

ISU-ISU SILANG BUDAYA DALAM PENGUKURAN DAN PENILAIAN:

1. Masalah Penterjemahan
2. Masalah Percanggahan Makna Gagasan dan Kriteria
3. Bentuk Rangsangan Verbal dan Bukan Verbal
4. Pengimportan Norma Luar Set-Set Gerakbalas
5. Kecenderungan Membuat Interpretasi Yang Keterlaluan
6. Kesesuaian dan Motif Mengambil Ujian

MASALAH PENTERJEMAHAN:

Ditimbulkan oleh Werner dan Campbell (1970), Brislin (1970; 1973), Lonner (1977).

Wujud disebabkan perbezaan makna istilah dan ketiadaan istilah yang menyamai istilah
bahasa asal.

Penterjemahan boleh dibuat tetapi penterjemahan tidak bermakna.

Boleh diatasi menggunakan kaedah back translation yang diperkenalkan oleh Brislin (1970).

Masalah ini hanya boleh dikurangkaan tetapi tidak dapat di atasi sepenuhnya.

Masalah ini berlaku disebabkan oleh perbezaan makna istilah-istilah yang digunakan atau
ketiadaan istilah-istilah yang menyamai makna istilah bahasa asal. Sungguhpun dalam
keadaan-keadaan tertentu penterjemahan boleh dibuat dengan baik dan jayanya, contohnya
wool grader sebagai penggred bulu, tetapi penterjemahan ini tidak bermakna kerana
pekerjaan sebagai penggred bulu tidak wujud dalam pasaran pekerjaan di Malaysia. Dalam
masalah ini, boleh jadi ada penyelidik atau pakar psikometrik tempatan yang cuba
mengubahnya kepada penggred kayu balak atau getah, tetapi dengan mengubah tajuk
pekerjaan ini akan mengubah struktur kandungan asal ujian berkenaan. Hal ini adalah
bercanggah dengan etika pengujian dan pengukuran yang tidak membenarkan sesuatu ujian
itu diubah suai dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran pembina ujian yang asal.

Kaedah atau cara back translation memerlukan alat ujian asal diterjemah ke bahasa kedua.
Setelah penterjemahan selesai, ia akan menjalani proses semakan dan akhirnya diterjemah
semula ke bahasa asal. Dari segi praktisnya, tiga orang akan menterjemahkan alat ujian
daripada bahasa asal ke bahasa kedua. Proses berikutnya akan melibatkan tiga orang lain
yang kemudiannya menterjemahkan versi bahasa kedua ke bahasa asalnya semula. Semakan
dilakukan untuk memastikan satu versi bahasa kedua yang sesuai sekali. Cara terjemahan ini
telah ditunjukkan oleh Wan Rafaei Abdul Rahman (1974) sebagai berkesan di Malaysia.

Menggunakan kaedah penterjemahan ini, alat ujian atau ukuran dari bahasa asal perlu
diterjemahkan ke dalam bahasa kedua misalnya dari Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa
Melayu. Umumnya, enam pakar terlibat dalam proses penterjemahan ini. Langkah-langkah
yang terlibat dalam proses penterjemahan adalah seperti berikut:

Langkah 1: Tiga pakar bidang (bukan pakar bahasa) yang menguasai Bahasa Inggeris dengan
baik perlu menterjemah alat ukuran secara bersendirian.
Langkah 2: Ketiga-tiga penterjemah daripada tiga pakar tersebut dikumpulkan dan dibuat
perbandingan oleh pengkaji. Jika ketiga-tiga terjemahan sama, terjemahan itu boleh diterima
pakai. Jika dua terjemahan sama dan satu lagi berlainan, pengkaji boleh menggunakan konsep
majoriti dengan menerima terjemahan yang diperoleh daripada dua pakar yang
terjemahannya sama sebagai betul. Jika ketiga-tiga terjemahan yang dibuat berlainan, maka
pengkaji boleh mendapatkan pandangan pakar lain atau menggunakan budi bicara dengan
menyemak kamus atau dokumen lain untuk memperoleh terjemahan terbaik. Di penghujung
langkah ini, satu alat ukuran versi Bahasa Melayu dihasilkan.

Langkah 3: Alat ukuran versi Bahasa Melayu yang telah dihasilkan perlu diterjemahkan
semula ke dalam bahasa asal iaitu Bahasa Inggeris oleh tiga pakar bidang yang lain (bukan
pakar bahasa) secara bersendirian.

Langkah 4: Ketiga-tiga terjemahan daripada tiga pakar tersebut dikumpulkan oleh pengkaji
dan dibuat perbandingan. Kaedah seperti yang terkandung dalam Langkah 2 digunakan untuk
mendapatkan alat ukuran versi Bahasa Inggeris.

Langkah 5: Alat ukuran versi Bahasa Inggeris yang dihasilkan kemudiannya dibandingkan
dengan alat ukuran asal. Sekiranya versi terjemahan dan versi asal sama, maka penterjemahan
telah dibuat dengan baik.

PERCANGGAHAN MAKNA GAGASAN DAN KRITERIA:


Tiada masalah mengenai gagasan kerana ianya bersifat universal, yang menjadi masalah ialah
item atau kriteria yang mewakili gagasan.

Kriteria yang mengukur manifestasi gagasan dalam budaya yang berlainan mungkin tidak
sama dan berubah-ubah dari satu budaya ke budaya yang lain.

Ini adalah disebabkan perbezaan nilai dan budaya yang mencirikan masyarakat Malaysia
dengan masyarakat di mana ujian dibentuk dan dibangunkan.

Berhubung dengan isu kedua, Wan Rafaei Abdul Rahman (1987) menyatakan bahawa dalam
perspektif silang budaya terdapat persetujuan yang tinggi tentang konsep gagasan iaitu
sesuatu sifat mencirikan manusia. Tetapi kriteria yang mengukur manisfestasi gagasan itu
dalam budaya-budaya yang berlainan berkemungkinan tidak sama dan berubah-ubah dari satu
budaya ke budaya yang lain.

Walaupun terdapat kesejagatan tentang konsep gagasan dan mungkin juga item-item atau
kriteria-kriteria yang mewakili gagasan itu, penyelidik berpendapat ujian-ujian yang berasal
dari luar negeri yang mempunyai kesahan yang diketahui umum di negara tersebut, tidak
semestinya mempunyai kesahan di negara ini. Contohnya, item yang berbunyi ‘selesa
menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh pondan’ yang terkandung dalam Junior
Eysenck Personality Inventory (JEPI) untuk mengukur tret personaliti ekstrovert, walaupun
dikatakan sah di Amerika Syarikat (USA), item tersebut sudah tentu tidak diterima oleh
kebanyakan ahli masyarakat di Malaysia. Hal ini adalah disebabkan wujudnya perbezaan
nilai dan budaya yang mencirikan masyarakat Malaysia dengan masyarakat Amerika Syarikat
dari aspek penampilan diri.

BENTUK RANGSANGAN:
Terdapat dua bentuk rangsangan iaitu ‘rangsangan verbal’ dan ‘rangsangan bukan verbal’.

Rangsangan verbal mengguna item tetapi rangsangan bukan verbal mengguna gambar,
lukisan, simbol dan sebagainya.

Rangsangan bukan verbal dikatakan lebih sesuai tetapi tidak dapat mengatasi sepenuhnya
masalah yang timbul.

Huruf ‘t’ mungkin dianggap sebagai salah satu abjad yang ada, tetapi bagi sesetengah
individu huruf ‘t’ dikaitkan dengan agama yang dianuti.

Isu yang ketiga yang berkaitan dengan bentuk rangsangan. Terdapat dua jenis rangsangan
iaitu rangsangan verbal dan bukan verbal. Loner (1977) menyatakan bahawa ujian-ujian yang
menggunakan rangsangan bukan verbal adalah lebih sesuai untuk tujuan kaunseling silang
budaya. Namun begitu, Wan Rafaei Abdul Rahman (1987) telah memberikan alasan bahawa
andaian itu tidaklah benar kerana konsep-konsep yang digunakan itu mungkin tidak sama
maknanya dalam budaya yang lain.

Konsep-konsep yang dibawa oleh rangsangan verbal dan bukan verbal adalah berbeza
daripada satu masyarakat dengan masyarakat lain. Huruf ‘t’ boleh jadi membawa makna atau
akan dihubung kait dengan agama Kristian di Amerika Syarikat dan England tetapi bagi
kebanyakan masyarakat Malaysia terutamanya yang beragama Islam, huruf ‘t’ boleh jadi
dianggap sebagai tidak lebih dari satu abjad yang terkandung dalam himpunan abjad yang
ada.

Sebagai rumusan, tidak kira sesuatu ujian atau alat ukuran itu mempunyai rangsangan
berbentuk verbal atau bukan verbal, ia tetap akan menimbulkan pelbagai tafsiran dan
masalah. Item rangsangan verbal ‘suka menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh
pondan’ yang pernah menjadi contoh sebelum ini untuk mengukur tret personaliti ekstovert
sudah tentu tidak dapat diterima oleh masyarakat di sini.

PENGIMPORTAN NORMA LUAR:


Norma ujian berlainan mengikut budaya. Apabila sesuatu ujian diimport, norma ujian
berkenaan juga diimport sama.

Untuk mengatasi masalah ini penormaan semula ujian perlu dibuat mengikut budaya
tempatan.

Adalah tidak adil membandingkan tinggi, berat dan konsep kendiri orang Malaysia dengan
orang Amerika Syarikat.

Kritik-diri untuk orang Malaysia umumnya adalah lebih tinggi berbanding dengan kritik-diri
orang Amarika Syarikat.
Menyentuh tentang isu yang keempat berhubung dengan pengeksportan norma, Lonner
(1977) berpendapat bahawa norma-norma ujian yang berasaskan kepada satu kumpulan
budaya sepatutnya tidak boleh dianggap sah untuk kumpulan-kumpulan budaya yang lain.
Mengikut Wan Rafaei Abdul Rahman (1987), norma yang dibentuk berdasarkan budaya
Amerika atau British tidaklah boleh dianggap sah untuk digunakan di Malaysia.

Masalah ini adalah rumit dan sukar untuk diatasi kerana melibatkan perkara-perkara lain yang
berhubung kait. Sebagai contoh, min berat 75kg dengan sisihan piawai 5kg di Amerika
Syarikat sudah tentu tidak sesuai dijadikan norma untuk penduduk Malaysia yang dikenali
dengan badan yang lebih kecil. Hal ini adalah disebabkan oleh penglibatan faktor-faktor lain
seperti keadaan alam sekitar seperti suhu dan jenis iklim, makanan serta struktur genetik.
Disebabkan faktor-faktor ini penduduk Malaysia sudah tentu mempunyai min berat yang
lebih rendah berbanding penduduk Amerika Syarikat. Begitulah juga halnya yang akan
berlaku jika ukuran tinggi dibandingkan.

Sehubungan dengan itu, Maznah dan Kim (1984) telah menyebut beberapa kajian yang
dibuat oleh penyelidik tempatan yang menunjukkan sampel dari Malaysia mempunyai markat
purata yang lebih rendah daripada Amerika Syarikat bagi semua subskala diri. Tetapi markat
kritik-diri sampel dari Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat. Mengikut
Maznah dan Kim (1984), ini mungkin mencerminkan budaya timur yang menegaskan sifat
rendah diri atau tidak membangga diri dalam tingkah laku mereka.

SET-SET GERAKBALAS:
Stail atau cara gaya dalam memberi jawapan. Kesudian atau acquiescence adalah
kecenderungan individu bersetuju atau tidak bersetuju dengan memberi jawapan yang
ekstrem.

Keinginan sosial atau social desirability ialah kecenderungan subjek menjawab sepertimana
yang difikirkan dia dikehendaki menjawab.

Keengganan atau evasiveness ialah tendensi subjek enggan menjawab

Kelalaian atau careless ialah tendensi subjek membuat penilaian yang tidak selaras.

Bagi isu kelima berkaitan dengan set-set gerak balas, Wan Rafaei Abdul Rahman (1987) dan
Lonner (1977) menyatakan bahawa terdapat cara gaya (style) tertentu dalam jawapan yang
diberikan oleh subjek yang boleh memberikan kesan kepada markat ujian seperti kesudian,
keinginan sosial, keengganan dan kelalaian. Menurut Wan Rafaei Abdul Rahman (1987),
kesudian ialah tendensi subjek itu bersetuju atau tidak bersetuju dengan memberikan jawapan
yang ekstrem, keinginan sosial ialah tendensi subjek menjawab seperti yang difikirkan dia
dikehendaki menjawab, keengganan ialah tendensi subjek enggan menjawab dan kelalaian
ialah tendensi subjek membuat penilaian yang tidak selaras.

Cara gaya dalam memberikan jawapan ini merupakan masalah yang rumit yang memberikan
kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kesahan dan kebolehpercayaan ujian atau
alat ukuran. Namun begitu, masalah ini dikatakan berlaku di mana-mana sahaja, yang
berbeza hanya dari segi kekerapan dan keamatannya sahaja. Perbezaan ini wujud disebabkan
adanya perbezaan dari segi nilai, sikap, matlamat dan juga latar belakang pendidikan.
Masalah ini boleh diatasi atau diminimumkan dengan mewujudkan satu sistem pentadbiran
dan pengurusan yang baik di samping menyediakan arahan-arahan dan keterangan-
keterangan yang jelas dan piawai berhubung dengan ujian berkenaan. Manual ujian yang
menjadi panduan kepada pengguna-pengguna ujian sepatutnya menjelaskan cara-cara
pentadbiran dan pengurusan sebaik mungkin di samping menyediakan arahan-arahan dan
keterangan-keterangan terperinci yang boleh memberikan sumbangan yang besar dalam
menangani masalah ini.

KECENDERUNGAN MEMBUAT INTERPRETASI YANG KETERLALUAN:


Kecenderungan membuat interpretasi yang keterlaluan menyebabkan skor yang tinggi
menjadi lebih tinggi dan skor rendah menjadi lebih rendah.

Individu yang cenderung menginterpretasi ke arah tinggi menyebabkan skor normal dianggap
neurosis dan yang neurosis dianggap psikosis

Individu yang cenderung menginterpretasi ke arah rendah menyebabkan skor psikosis


dianggap neurosis dan skor neurosis dianggap normal.

Skor MF dalam ujian VPI. Skor terlalu tinggi untuk perempuan bukan bererti mereka berubah
menjadi lelaki dan skor terlalu rendah untuk lelaki bukan bererti mereka telah menjadi
perempuan.

Berhubung dengan isu keenam iaitu kecenderunganmembuat interpretasi yang keterlaluan,


Lonner (1977) menyatakan bahawa terdapat kecenderungan untuk membuat interpretasi
keputusan ujian yang keterlaluan. Kecenderungan ini mengikut Lonner (1977) dan Wan
Rafaei Abdul Rahman (1987) menyebabkan markat yang tinggi menjadi lebih tinggi
manakala markat yang rendah akan menjadi lebih rendah. Masalah interpretasi ini
mempunyai kaitan dengan kemahiran, terutamanya apabila individu yang bertanggungjawab
dalam memberikan interpretasi ini tidak mempunyai latihan ikhtisas yang mencukupi.

Bagi mendapatkan latihan yang lebih baik, individu-individu tertentu yang berminat mungkin
terpaksa atau perlu pergi ke Amerika atau ke negara-negara lain seperti Kanada, Australia
dan England, bergantung pada di mana alat ujian itu dihasilkan. Hal ini adalah bertujuan
untuk mempelajari cara mentadbir dan menginterpretasi dengan lebih berkesan dan sudah
tentu memerlukan kos yang sangat tinggi. Di samping itu, bilangan yang terlibat juga adalah
terhad. Di sinilah kewujudan alat-alat ukuran atau ujian yang dibentuk oleh ahli-ahli
psikologi tempatan dapat memberikan sumbangan yang sangat signifikan.

KESESUAIAN DAN MOTIF MENGAMBIL UJIAN:


Ujian yang dibentuk di barat adalah sesuai dengan keadaan masyarakat mereka yang tinggi
tahap persaingan.

Motif menjawab item-item ujian boleh menjejaskan keputusan ujian.


Di Malaysia misalnya ujian seringkali dikaitkan dengan ganjaran yang bakal diterima setelah
berjaya dalam sesuatu ujian, sedangkan di USA ujian psikologi adalah sesuatu yang sangat
biasa.

Masalah motif mengambil ujian mempunyai kaitan dengan masalah ‘cara gaya’ menjawab
ujian dan boleh diminimakan dengan memasukkan skala penipuan dalam ujian.

Menyentuh tentang isu terakhir yang berkaitan dengan kesesuaian dan motif mengambil
ujian, Lonner (1977) menyatakan bahawa ujian-ujian yang dibentuk di barat terutamanya di
Amerika Syarikat, adalah sesuai dengan keadaan masyarakat mereka yang tinggi tahap
persaingan da teknologinya serta berorientasikan kejayaan. Motif untuk menjawab item-item
dalam sesuatu ujian atau alat ukuran boleh menjejaskan markat. Beliau mengatakan motif
bagi budaya A adalah berlainan daripada motif budaya B kerana ganjaran yang diperoleh
dilihat secara berlainan.

Di Malaysia misalnya, menurut Wan Rafaei Abdul Rahman (1987), ujian-ujian psikologi
bukanlah sesuatu yang biasa dilakukan dan jika mengambil ujian tersebut akan memberi
makna yang berlainan. Mengambil ujian di Malaysia biasanya dikaitkan dengan apakah
ganjaran yang akan diperoleh setelah berjaya dalam ujian berkenaan. Sering kali ujian
dikaitkan dengan misalnya kenaikan pangkat atau pengesahan dalam jawatan atau saluran
untuk memasuki program-program tertentu di universiti. Masyarakat di Amerika Syarikat
mengambil ujian psikologi misalnya Minnesota Multiphasic Personality Inventory (MMPI)
atau California Psychological Inventory (CPI) yang mempunyai bilangan item masing-
masing 556 dan 468 semata-mata untuk mengenal diri. Mereka mengambil ujian psikologi
hanya untuk meneroka kekuatan dan kelemahan diri dan bukan untuk tujuan lain.

Masalah motif mengambil ujian ini mempunyai kaitan dengan masalah ‘cara gaya’ menjawab
ujian kerana individu yang mengambil ujian menyedari apakah ganjaran yang boleh
diperolehnya dengan mengambil ujian itu. Calon-calon yang ingin memasuki program
Bimbingan dan Kaunseling tentunya akan menjawab item-item dalam ujian personaliti bukan
berasaskan kepada apa yang sebenarnya tentang dirinya, tetapi berasaskan kepada apakah
item-item yang mencerminkan atau menggambarkan ciri-ciri personaliti kaunselor yang baik.
Namun begitu, masalah ini boleh diminimumkan ke paras yang boleh diterima dengan
memuatkan skala penipuan di samping mengadakan sistem pentadbiran dan pengurusan ujian
yang baik. Alat ukuran IPS, MMPI, CPI dan EPI adalah di antara contoh ujian personaliti
yang mempunyai skala penipuan.

RINGKASAN:
Penggunaan ujian psikologi dalam kaunseling memang tidak dapat dinafikan. Namun begitu,
terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian terutama oleh kaunselor yang bercadang
untuk menggunakan ujian. Antara isu-isu tersebut ialah percanggahan makna gagasan atau
kriteria, bentuk rangsangan iaitu verbal atau bukan verbal, pengeksportan norma luar, set-set
gerak balas seperti kesudian, keinginan sosial, keengganan dan kelalaian, kecenderungan
membuat interpretasi yang keterlaluan, dan kesesuaian dan motif mengambil ujian.

Anda mungkin juga menyukai