Anda di halaman 1dari 4

Setiap manusia di dunia ini tidak terlepas dari mengalamai ketegangan dan tekanan

emosi yang berkaitan dengan pelbagai faktor. Dalam hal ini setiap individu menpunyai
pelbagai cara untuk menangani permasaalahan yang melibatkan tekanan emosi dan
perbezaan cara itu pula akan menentukan sejauh mana kemampuan mereka dalam
menangani masalah tersebut dengan berkesan. Keberkesanan kaedah yang dilakukan akan
membuktikan keupayaan kognitif individu terbabit. 

Barlow (1999) menyatakan bahawa stres berpunca daripada gerak balas fisiologi
tubuh badan terhadap ‘stresor’ yang melibatkan perubahan dan memerlukan adaptasi. Stres
adalah kesan daripada permintaan terhadap badan, maka apabila semua permintaan ini
melebihi keupayaan badan untuk memenuhi atau mengatasinya, akan berlakulah
ketegangan.

Seseorang yang dilanda stres akan mengalami kecelaruan fikiran yang


menyebabkan fikiran menjadi kusut dan emosinya akan .terganggu. Selye (1979)
menjelaskan bahawa persoalan ini sering berlaku ke atas remaja kerana mereka merupakan
golongan yang masih mencari identiti diri dan sering terjebak ke dalam gejala-gejala yang
boleh mengganggu fikiran dan emosi. Panduan yang terancang perlulah diketengahkan
agar mereka dapat memandu dan mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara di
luar kawalan diri.

Dalam menjelaskan lagi pemahaman terhadap stres, Kalat (1999) menyatakan


bahawa stres adalah komponan kesihatan emosi. Keadaan emosi yang terganggu boleh
mempengaruhi seseorang seperti hilang keyakinan, cepat meradang, agresif, hilang
konsentrasi dan kegelisahan. Remaja merupakan pelapis yang bakal menjadi pemimpin di
masa depan. Jika masyarakat hari ini memandang sepi akan gejala ini, tidak mustahil suatu
hari nanti remaja akan menimbulkan banyak masalah samada terhadap intitusi keluarga
masyarakat maupun negara.

Stastistik WHO menunjukkan bahawa masalah stres dan tingkahlaku telah mencapai
11% daripada jumlah beban penyakit di dunia, dan diramalkan peratusan ini akan meningkat
kepada 15% menjelang tahun 2020. Kajian WHO pada tahun 2000 mendapati stres
menduduki tempat kelapan di antara 10 penyakit-penyakit utama yang ditanggung oleh
manusia. Menjelang tahun 2020 WHO menganggarkan stres akan meningkat ke paras 2
tertinggi, selepas penyakit jantung.

Pada tahun 1996, didapati 10.7% penduduk dewasa dan 13% kanak-kanak di
Malaysia mengalami masalah stres atau gangguan emosi dan tingkahlaku. Kajian terbaru
pada tahun 2007 pula menunjukkan bahawa stres merupakan penyebab morbiditi yang ke-4
tinggi di negara ini. Faktor-faktor sosio-ekonomi, persekitaran, psikologi dan biologi seperti
penyakit kronik, stres, tidak cukup rehat dan pemakanan yang tidak seimbang, boleh
menyebabkan masalah kesihatan mental. Masalah kesihatan mental seperti stres,
kemurungan dan keresahan mempengaruhi kesejahteraan hidup seseorang. Antara lain,
masalah-masalah ini, jika tidak ditangani dengan baik, boleh membawa kepada cubaan
membunuh diri. Di seluruh dunia, dianggarkan lebih kurang 1 kejadian bunuh diri berlaku
setiap 35 saat. Kejadian bunuh diri juga dilaporkan sebagai penyebab ke-3 kematian bagi
mereka yang berumur 15 hingga 34 tahun.

Kajian di Malaysia menunjukkan terdapat perbezaan dari segi kadar bunuh diri di
antara kaum akibat stres. Kadar bunuh diri tertinggi dilaporkan di kalangan kaum India diikuti
dengan kaum China dan seterusnya kaum Melayu. Sungguhpun begitu, trend menunjukkan
peningkatan bagi kaum Melayu semenjak tahun 1960an. Ini adalah kerana semakin ramai
orang Melayu berhijrah ke bandar dan terdedah kepada desakan hidup di kota. Wanita pula
lebih cenderung kepada cubaan membunuh diri berbanding lelaki. Antara cara-cara bunuh
diri yang dikenalpasti sering dilakukan oleh mangsa adalah keracunan dengan racun
makhluk perosak dan racun rumput rampai, menggantung diri, melemaskan diri dan terjun
dari bangunan yang tinggi. Keracunan dengan Karbon Monoxide juga semakin popular.

Definisi tersebut dapatlah memberi kita gambaran bahawa gejala stres mempunyai
pertalian terhadap faktor kesihatan tubuh kerana gejala atau simpton penyakit lain akan
timbul akibat stres yang dialami.

Dalam kehidupan sehari-hari, kita terdedah kepada pelbagai bentuk tekanan atau
stres. Stres berlaku apabila unsur-unsur yang mendesak atau menekan melebihi keupayaan
kita untuk menanganinya. Tekanan yang sederhana boleh menjadi suatu bentuk dorongan
yang kuat. Ia dapat menolong tubuh dan minda kita untuk bekerja dengan baik dan
menyumbang kepada kesihatan mental. Cara kita menangani tekanan yang dihadapi amat
penting dalam menentukan kesihatan mental dan fisikal. 

Kehidupan moden hari ini sememangnya penuh dengan tekanan. Tekanan luar biasa
yang berpanjangan dan keterlaluan merupakan sesuatu yang merisaukan. Ia mempunyai
kesan-kesan psikologi yang negatif dan memberi kesan buruk kepada fungsi jantung, sistem
penghadaman dan rangka otot. Ini akan membawa kepada beberapa penyakit seperti ulser
perut, tekanan darah tinggi dan migrain (sakit kepala yang amat sangat). Jika tidak dirawat,
tekanan yang dihadapi akan membuat kita merasa tidak berdaya dan tidak berguna.
Perasaan ini mungkin berkekalan. Justeru itu, amat penting bagi kita mengenali gejala-
gejala yang berkaitan dengan tekanan dan memikirkan kaedah atau sistem terbaik yang
bersesuaian dengan diri kita bagi mengurangkan tekanan.
Seringkali kita mendengar tentang bagaimana cara menangani stres supaya ia tidak
membarah dalam diri dan seterusnya mengakibatkan pelbagai penyakit seperti tekanan
darah tinggi, ulser, jantung ,impotensi dan sebagainya. Stres boleh menyebabkan penyakit
kardiovaskular iaitu meningkatkan risiko penyakit jantung dan hipertensi, meningkatkan
paras kolesterol dalam darah, mengubah ritma jantung dan meningkatkan tekanan darah
yang akhirnya boleh menyebabkan kerosakan pada salur darah. 

Di samping itu, stres juga boleh melemahkan sistem imun dalam badan kita di mana
peningkatan hormon adrenalin boleh menjejaskan fungsi leukosit. Ia juga boleh
menyebabkan gangguan kognitif iaitu melumpuhkan konsentrasi dan melemahkan daya
ingatan mangsa. Mangsa juga akan mengalami kekacauan emosi seperti resah-gelisah dan
ia akan mempamerkan tingkah laku yang ekstrim. Dalam mengkaji tindak balas badan
terhadap stres, seorang saintis, Hans Seyle telah mengemukakan satu teori tentang reaksi
tubuh manusia terhadap stres. Teori ini dikenali sebagai General Adaptation Syndrome
(GAS). Setiap individu yang berhadapan dengan stres akan mengalami reaksi yang sama,
cuma tahapnya berbeza bergantung kepada jenis stresor seperti kematian vs kegagalan
peperiksaan, dan juga personaliti individu. 

Badan akan melalui tiga peringkat stres. Peringkat pertama dikenali sebagai ‘Alarm
Phase’. Apabila berhadapan dengan stresor, bahagian serebral korteks akan meransang
hipotalamus di otak. Ransangan ini menyebabkan sistem saraf simpatetik diaktifkan.
Keadaan ini akan menguja kelenjar adrenal untuk menghasilkan lebih banyak hormon
epinefrin atau adrenalin. Hormon ini akan bertindak serta-merta. Akibatnya jantung akan
berdegup dengan lebih cepat, tekanan darah meningkat, kadar pernafasan bertambah,
berlaku dilat bronkiol iaitu pembesaran anak mata untuk membantu penglihatan dan berlaku
proses glikogenolisis iaitu proses pemecahan glikogen membentuk glukosa yang akan
membekalkan banyak tenaga kepada mangsa. Di samping itu, hormon akan meningkatkan
fungsi otot menjadikan otot lebih kuat dan bersedia untuk bertindak. Kesan sampingan turut
terhasil iaitu mulut menjadi kering dan berasa mual. Cuba bayangkan anda dikejar anjing
liar. Anda akan mampu berlari lebih kuat daripada biasa, tercungap-cungap, berdebar-debar
dan jantung anda berdenyut dengan terlalu pantas. Inilah contoh mudah reaksi badan kita
terhadap stresor.

Selain adrenalin, hipotalamus di otak juga akan meransang kelenjar pituitari. Kelenjar
pituitari akan menghasilkan hormon Adrenokortikotrofik (ACTC) yang turut bertindak ke atas
kelenjar adrenal. Hormon yang berbeza iaitu kortisol akan dirembeskan. Pengeluaran
hormon ini akan membantu meningkatkan proses glikogenolisis dan jumlah glukosa akan
bertambah. Badan akan dibekalkan tenaga dan bersedia untuk menghadapi stresor. Setelah
badan berhadapan dengan stresor dalam jangkamasa yang lama, berlaku perubahan dalam
fisiologi badan di mana individu akan menyesuaikan diri dengan stresor. Peringkat ini
dinamakan sebagai peringkat Resistance Phase. Pada fasa ini, saraf parasimpatetik yang
mengatur suap balas negatif akan mengurangkan perubahan tadi dan mengawal sistem
dalaman supaya kembali normal. Individu mangsa akan mampu bertoleransi dengan
suasana yang menekan. 

Jika stres berlarutan, tenaga dalam badan akan kehabisan menyebabkan mangsa
menjadi lesu (fatigue) dan tidak mampu melakukan tugas seharian dengan baik. Dan jika
stres yang datang tidak dihentikan, individu tersebut berpotensi mendapat penyakit ulser
atau hipertensi. 

Kesimpulannya, stres atau tekanan yang dialami oleh seseorang individu merupakan
tindak balas daripada ketidakupayaan seseorang menangani masalah yang sedang
dihadapi. Sekiranya tekanan atau stres ini tidak ditangani, akan memudaratkan individu
tersebut baik daripada aspek fizikal, mental, emosi mahupun aktiviti sosial mereka.

Anda mungkin juga menyukai