Anda di halaman 1dari 7

Tajuk : KOTAK HIKMAT

Sasaran : Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris

Sinopsis :
Modul kepimpinan ini melibatkan 14 orang remaja perempuan. Aktiviti ini dijalankan
di sebuah makmal tertutup yang mempunyai suasana persekitaran yang selesa dan
tenteram. Keadaan makmal tersebut luas dan sesuai untuk menjalankan aktiviti
kepimpinan ini. Para peserta akan memilih kumpulan masing-masing atas dasar
keadilan untuk membuatkan mereka berasa puas hati dan seronok untuk mengikuti
aktiviti tersebut. Komunikasi amat dititikberatkan dalam modul ini untuk memberi
keyakinan kepada para peserta agar berani menyuarakan pendapat dan luahan
daripada perspektif masing-masing. Modul ini juga bertujuan untuk melatih dan
membentuk jati diri peserta menjadi seorang pemimpin yang berdisiplin, bijak
menguruskan masa dan bertanggungjawab. Di akhir sesi, para peserta akan diuji
dengan satu situasi kritikal yang memerlukan mereka berfikir secara kreatif dan
pantas. Ketika ini fasilitator dapat menilai sama ada para peserta dapat
mempraktikkan semula pendirian mereka ketika slot pertama dilakukan atau
sebaliknya.

Objektif :
I) Melihat reaksi atau maklum balas positif dan sebaliknya tentang suatu
pujian atau kritikan.
II) Memberi kesedaran bahawa masa itu amat penting dalam kehidupan.
III) Meningkatkan daya saing antara satu sama lain.
IV) Memberi peluang kepada peserta yang pendiam bercakap atau berucap di
khalayak ramai.
V) Memberi peringatan bahawa usaha, doa dan tawakal adalah pendorong
sesuatu kejayaan.
VI) Peserta memahami dan bersedia menghadapi segala kemungkinan cabaran
dalam hidup.
VII) Menanamkan semangat dan keyakinan dalam diri setiap peserta seterusnya
meningkatkan motivasi dalam diri peserta.
VIII) Bijak menggunakan sumber yang ada dengan berhemah bagi mencapai
cita-cita.
IX) Meningkatkan kemahiran berfikir dan membuat keputusan.
X) Membentuk kerjasama dan saling bertukar pendapat antara peserta-peserta
dalam kumpulan.

Kaedah :
I) Melibatkan ahli kelompok seramai 14 orang pelajar universiti.
II) Memilih sebuah makmal yang kondusif serta luas untuk menjalankan
aktiviti tersebut.
III) Melibatkan komunikasi dua hala dengan fasilitator dan antara kelompok
dengan kelompok.
IV) Peserta akan bergerak menjalankan aktiviti dalam kumpulan yang terdiri
daripada dua orang satu kumpulan.

Alat/Bahan :
I) Kertas A4,
II) Pen
III) Kotak kecil
IV) Kertas kecil yang dicatatkan pernyataan positif dan negatif (lipat/gulung)
V) Duit kertas RM 1
VI) Gula-gula

Masa yang diperuntukkan : 1 jam 30 minit

Prosedur pelaksanaan aktiviti :


1. Slot Pertama:
I) Peserta diminta memilih pasangan masing-masing dan duduk di dalam
lengkungan berbentuk huruf U.
Contoh:
FASILITATOR

PESERTA
II) Fasilitator mengedar kertas dan pen kepada setiap kumpulan serta
mengedarkan kotak hikmat dan meminta setiap kumpulan mengambil
keratan kertas di dalam kotak tersebut secara bergilir-gilir dan menyimpan
sehingga diarahkan membukanya.
III) Kemudian, fasilitator akan memberi arahan bahawa setiap keratan itu
mempunyai pernyataan positif dan negatif. Para peserta perlu memberi
reaksi terhadap pernyataan yang mereka dapat dengan melakarnya di atas
kertas yang diedarkan.
IV) Para peserta di beri masa selama dua minit untuk bekerjasama memikirkan
reaksi yang akan disampaikan dan membentangkannya selama tiga minit di
hadapan semua peserta lain.
V) Mereka juga diminta membaca pernyataan yang sudah dipilih dengan kuat
sebanyak dua kali dan memberi respon terhadap pernyataan itu sama ada
menerima atau menolak berdasarkan penilaian terhadap diri mereka sendiri.
VI) Aktiviti diteruskan sehingga semua kumpulan selesai menyampaikan
respon masing-masing.
VII) Fasilitator memberi maklum balas dan membuat perbincangan terhadap
respon yang telah diberikan berkaitan dengan:
a) perasaan peserta apabila menerima atau menolak pernyataan-
pernyataan positif atau negatif.
b) perubahan pernyataan negatif kepada positif.
c) persamaan atau perbezaan pernyataan-pernyataan yang dipilih dengan
sikap atau diri peserta.

2. Slot Kedua:
I) Seterusnya, fasilitator membuka situasi baru yang memerlukan para peserta
mengandaikan diri mereka sebagai seorang kakak yang sangat penyayang
dan mempunyai seorang adik yang manja. Suatu hari si adik beria-ia
menyuruh si kakak membeli gula-gula yang disukainya. Namun, ketika itu
si kakak tidak mempunyai wang walau satu sen dan mereka tidak
mempunyai insan lain di sisi. Para peserta diminta membayangkan diri
mereka berada dalam situasi yang sangat kritikal.
II) Salah seorang fasilitator mempunyai wang seringgit di tangannya,
manakala seorang lagi memegang lima biji gula-gula.
III) Fasilitator meminta para peserta memikirkan cara yang boleh mereka
lakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Fasilitator memberi masa
selama satu minit untuk meminta mereka memberikan cadangan masing-
masing.
IV) Selepas selesai aktiviti, perbincangan fokus aktiviti tersebut dilakukan oleh
fasilitator :
d) Persamaan ataupun perbezaan pernyataan-pernyataan yang dipilih dan
dikaitkan dengan diri sendiri.
e) Kerelaan bagi menerima percubaan dalam hidup tidak kira sama ada
senang atau sukar untuk diharungi.
f) Kita boleh memilih untuk menerima ataupun untuk menolak persepsi
orang lain tetapi perlu membuat analisis kendiri dengan betul.
g) Kita boleh mempraktikkan pepatah melayu iaitu hendak seribu daya,
tak hendak seribu dalih.

Falsafah dan pengajaran modul :


I) Cabaran masa lalu boleh dijadikan pendorong dan teladan oleh para pelajar
untuk kejayaan pada masa yang akan datang. Ini disebabkan seseorang itu
dapat mengambil iktibar di atas setiap perkara yang berlaku dan boleh
mempraktikkannya semula pada situasi yang lain. Perkara ini juga secara
tidak langsung dapat membentuk diri seseorang menjadi lebih berani.
Pengalaman yang mereka alami juga dapat membuatkan para peserta
manjadi lebih matang.
II) Sifat-sifat positif dapat dipupuk bagi mempertingkatkan diri ke arah
kejayaan yang cemerlang. Para peserta dapat mengubah tanggapan buruk
berkenaan diri mereka kepada yang lebih baik dan bermotivasi tinggi.
III) Perasaan negatif juga dapat dihindari dalam diri para peserta agar ianya
tidak mempengaruhi cara seseorang berfikir dalam membuat sesuatu
keputusan. Ini penting kerana setiap orang yang mengalami situasi kritikal
tidak dapat berfikir secara rasional. Oleh itu, mereka akan bertindak bodoh
kerana memikirkan bahawa dirinya bernasib malang.
IV) Kerjasama juga dititikberatkan dalam modul ini. Para peserta akan cuba
berkomunikasi antara satu sama lain dan dapat menyuarakan pendapat
masing-masing serta saling bantu membantu untuk membina serta
memantapkan semangat berpasukan antara pelajar-pelajar universiti.
V) Setiap aktiviti yang dijalankan ini dapat membantu melahirkan pemimpin
yang berwawasan, bertanggungjawab, berjiwa kemanusiaan dan
berperibadian cemerlang. Dengan melibatkan diri secara aktif dalam
semua aktiviti ini, para peserta akan dapat mengenali diri daripada segi
kekuatan dan kelemahan sebagai seorang pemimpin. Selain itu, mereka
juga akan mempelajari ciri-ciri pemimpin yang cemerlang dan cara-cara
mengurus diri dari segi masa dan tugasan untuk membina disiplin diri serta
daya tahan yang tinggi bagi menghadapi cabaran tugas pengawas.
Bibliografi

Salhah Abdullah (2005). Guru sebagai Fasilitator. Kuala Lumpur : Percetakan Zafar
Sdn. Bhd.

Zuraidah Bt Abdul Rahman (1988). Boleh Saya Tolong Anda? Selangor: Times
Books International.
Lampiran :
Pernyataan positif dan negatif
1) Saya lemah dan malas
2) Saya yakin boleh berjaya
3) Saya tidak berguna
4) Saya tiada keyakinan diri
5) Saya rajin berusaha
6) Saya ingin maju
7) Saya tidak boleh diharap

Anda mungkin juga menyukai