Anda di halaman 1dari 8

TRANSKRIP VIDEO RUJUKAN KURSUS FALSAFAH DAN ISU SEMASA

KULIAH 6: EPISTEMOLOGI
TEMUBUAL NURFA FAILASUF (PENGACARA) DAN
PROF. HAZIM SHAH (PENSYARAH UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)

NURFA FAILASUF: Hai Assalamualaikum warahmatullah, kembali lagi dalam kuliah keenam iaitu kuliah
Epistemologi. Okay, kebanyakan orang tidak tahu apa makna Epistemologi ini, baik Nurfa akan
terangkan. Epistemologi ini adalah salah satu cabang falsafah yang mengkaji tentang teori-teori ilmu.
Ia mengkaji tentang apakah itu ilmu, jenis-jenis ilmu dan had atau batasan ilmu itu sendiri. Dan salah
satu konsep yang dipersetujui oleh ahli-ahli falsafah ialah konsep justified true belief, singkatnya JTB.
Bolehkah Prof. Hazim terangkan apa itu teori Epistemologi? dan konsep justified true belief atau dalam
Bahasa Melayunya, kepercayaan berasas mengenai sesuatu yang benar?

PROF. HAZIM SHAH: Apakah yang dimaksudkan dengan epistemologi? Yang sebenarnya ia berasal
daripada perkataan Inggeris, iaitu Epistemology juga perkataannya (nota: Epistemology terdiri dari
dua perkataan, iaitu ‘episteme’ yang bermaksud ‘ilmu’, dan ‘logos’ yang bermaksud ‘akal’ dalam
Bahasa Greek). Jadi Epistemologi ini adalah sesuatu teori ataupun kajian tentang ilmu. Theory of
knowledge dalam Bahasa Inggerisnya. Theoretical study of knowledge, satu kajian teoritis tentang
ilmu, apakah sifat ilmu itu, apakah syarat-syarat yang boleh menjadikan sesuatu itu sebagai ilmu,
khususnya ilmu yang sahih, yang boleh diterima sebagai ilmu yang mempunyai syarat-syarat yang
telah dipenuhi, yang menjadikannya sesuatu yang berbeza daripada pandangan yang tidak berasas
misalnya, dan apakah batasan-batasan sesuatu ilmu itu seperti yang dikaji oleh Immanuel Kant sebagai
misalnya tentang apa yang kita boleh ketahui dan apa yang kita tidak boleh ketahui. Jadi epistemology
ini berkisarkan tentang persoalan falsafah tentang sifat ilmu itu sendiri dan percubaan-percubaan
ahli-ahli Epistemologi untuk memberikan jawapan-jawapannya supaya lebih jelas lagi apakah yang
dimaksudkan dengan ilmu itu dan apakah syarat yang perlu dipenuhi supaya sesuatu itu boleh
diterima sebagai ilmu yang sahih.

Dan di dalam hal ini, satu teori yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli falsafah dan menjadi asas
perbincangan mengenai sifat ilmu itu, ialah konsepsi ilmu itu sebagai sesuatu kepercayaan yang
berasas mengenai sesuatu yang benar atau dalam Bahasa Inggerisnya justified true belief, seperti yang
telah dikatakan oleh Nurfa sebentar tadi. Jadi di sini kalau kita lihat dari segi definisi ilmu itu sebagai
kepercayaan yang berasas mengenai sesuatu yang benar maka di situ terdapat tiga syarat yang
termasuk di dalam konsepsi ilmu sebagai justified true belief itu. Apakah tiga syarat ataupun elemen
di dalam kenyataan , “knowledge as justified true belief“ ini?

Ketiga-tiga elemen itu ialah yang pertamanya, kepercayaan, mempunyai kepercayaan tentang apa
yang kita pegang dan percayai sebagai ilmu itu, misalnya kalau kita merujuk kepada sesuatu teori Sains
dan kita anggap teori Sains itu sebagai ilmu, maka kita mesti mempunyai kepercayaan terhadapnya,
kita mempercayai, misalnya kita ada ilmu Fizik, ada teori Atom, maka kita mesti mempercayai akan
teori Atom itu, itu satu syarat, satu kondisi.

Kemudian kita ada syarat yang kedua iaitu apa yang kita percayakan itu mestilah benar, misalnya kalau
kita percaya akan teori atom itu, maka teori atom itu yang mengatakan bahawa benda-benda bersifat
jasad ataupun material terdiri daripada atom-atom yang kecil, zarah-zarah kecil yang dipanggil atom
yang bergerak, kita mesti mempercayai dan kepercayaan kita itu mestilah benar. Kalau tidak benar
kepercayaan kita itu, maka tidak mungkin ia diterima sebagai ilmu. Bayangkan kita menerima sesuatu
itu yang palsu sebagai ilmu, maka apakah martabat ilmu jika ia menerima kepalsuan sebagai ilmu? Jadi

1
sudah tentulah kita tidak boleh menerima kepalsuan dan menjadikannya sesuatu ilmu . Maka kerana
itulah kita perlukan syarat yang mengatakan bahawa kebenaran mesti ada bagi sesuatu itu untuk
diterima sebagai ilmu, jadi kepercayaan itu mestilah benar.

Tetapi ini tidak mencukupi kerana hanya dengan mengatakan bahawa ilmu itu terdiri daripada
kepercayaan yang benar, ini belum lagi menjadikannya ilmu, kerana apa? Kerana mungkin kita
mempunyai kepercayaan tentang sesuatu dan secara kebetulan kepercayaan kita itu benar. Tetapi
kita tidak mahu mengatakan bahawa dengan itu kita mempunyai ilmu. Contoh yang mudah, di dalam
peperiksaan ada satu jenis peperiksaan yang diberi nama peperiksaan objektif ataupun MCQ multiple
choice question, jadi di situ ada soalan dan kemudian ada pilihan sebagai jawapan. Pilihan seperti A,
B, C dan D. Dan kita diminta untuk memilih jawapan yang benar, ada empat kemungkinan di situ, dan
dari segi kebarangkalian ada kebarangkalian 0.25 iaitu 25% bagi kita mendapat jawapan yang benar
secara tekaan, by guess work. Dan katalah seseorang itu memilih jawapan C, dan secara kebetulan
pula jawapan yang sebenar adalah C. Jadi dia mempunyai kepercayaan yang benar iaitu dia percaya C
adalah jawapan yang betul dan didapati bahawa memang betul pun jawapannya C. Tetapi bolehkah
kita menganggap bahawa dia seorang yang berilmu ataupun mengetahui, mempunyai ilmu tentang
apa yang disoalkan itu? Tidak! Kerana dia mendapat jawapan yang betul dengan secara meneka.

Jadi di sini kita perlu masukkan satu lagi syarat, iaitu syarat kepercayaan kita itu mestilah mempunyai
justifikasi ataupun berasas. Itu yang dikatakan tadi justified true belief, iaitu kepercayaan yang berasas
mengenai sesuatu yang benar. Jadi kepercayaan kita itu bukan kepercayaan buta, tetapi mempunyai
asas dan justifikasi, dan ia benar. Barulah lengkap konsepsi ilmu itu, dengan memasukkan ketiga-tiga
elemen tadi. Kadangkala dikatakan bahawa ketiga-tiganya itu menjadikan apa yang dikatakan
necessary and sufficient conditions, bermaksud setiap syarat itu mesti ada, ini menjadikan ia
necessary, maknanya kalau digugurkan mana-mana satu syarat, maka ia bukan ilmu, iaitu ia tidak
memenuhi ketiga-tiga syarat yang dianggap mesti ada (iaitu necessary). Kemudian ada yang
mengatakan bahwa tiga syarat ini sudah cukup, mencukupi untuk kita menerima sesuatu itu sebagai
ilmu, iaitu selain daripada necessary ia juga sufficient. Maksudnya, apa yang kita maksudkan bila kita
kata sufficient (memadai), ialah tiga syarat itu sudah memadai. Bermaksud bahawa kita tidak perlukan
syarat keempat sebagai tambahan, sudah cukuplah jika kita mengemukakan tiga syarat itu yang terdiri
daripada kepercayaan, kedua kebenaran dan ketiga berasas ataupun justifikasi. Jadi, ahli-ahli falsafah
telah seolah-olah mempunyai satu persetujuan ataupun consensus tentang konsepsi ilmu seperti ini
iaitu knowledge as justified true belief.

NURFA FAILASUF: Dalam teori Epistemologi ini terdapat dua aliran utama, iaitu aliran Empirisisme dan
aliran Rasionalisme. Hari ini kita menjemput Prof. Hazim untuk menjelaskan apa itu aliran
Empirisisme?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, jadi soalannya tadi bertanya saya mengenai apakah yang dimaksudkan
dengan teori ataupun fahaman Empirisisme itu atau dalam Bahasa Inggerisnya Empiricism. Jadi
fahaman ini mengatakan bahawa ilmu yang sahih itu diperolehi melalui penggunaan deria yang lima
ataupun pancaindera. Kita ada deria penglihatan, yang melalui mata kita melihat, dan kita mempunyai
deria pendengaran, telinga melaluinya kita mendengar, dan kita mempunyai deria rasa melaluinya
kita merasakan keenakan makanan misalnya, deria sentuhan di mana kita mengetahui samada
sesuatu itu pepejal ataupun benda lembut atau keras melalui sentuhan tangan kita. Jadi ini semua
adalah saluran-saluran yang memberikan kita sensation ataupun sensasi misalnya sensasi melihat

2
ataupun mendengar melalui pancaindera kita itu. Dan bagi golongan Empirisis, inilah yang merupakan
sumber ilmu yang sahih, bukan yang lain-lain, tetapi deria kita yang lima. Dan pengesahan sesuatu
ilmu juga ditentukan dengan merujuk kepada pengalaman yang kita perolehi daripada deria kita.
Misalnya kalau ditanya kepada kita, mana awak tahu bahawa sekarang ini hujan sedang turun di luar
sana? Sedangkan masa itu kita berada di bilik. Jadi untuk mengetahui samada kenyataan itu benar,
kita pergi keluar atau melihat melalui tingkap, dan lihat samada hujan sedang turun. Jadi kalau melalui
penglihatan kita, kita nampak hujan turun mencurah-curah. Maka sudah tentulah kenyataan yang
mengatakan bahawa hari ini hujan sedang turun adalah benar. Pengesahan ilmu itu juga adalah
melalui pancaindera atau penglihatan kita yang menggunakan mata itu ia merupakan sejenis
pancaindera. Jadi di situ kita lihat bahawa golongan empirisis menekankan akan peranan pancaindera
di dalam penjanaanatau penghasilan ilmu dan juga di dalam proses pengesahan ilmu atau
kepercayaan itu. Antara ahli-ahli empirisis yang masyhur di abad ke-18 dulu di Britain ialah ahli-ahli
falsafah seperti John Locke dan David Hume. Rata-rata mereka menganggap bahawa manusia ini pada
masa kelahirannya, masa manusia itu adalah seorang bayi lagi, mereka lahir ke dunia ini tanpa apa-
apa ilmu pengetahuan, dan dengan itu mereka menganggap bahawa keadaan seorang bayi yang baru
lahir itu seperti papan tulis yang kosong (tabula rasa), yang tidak mengandungi apa-apa catatan lagi,
dan hanya melalui pendedahan kepada alam luaran, yang ditanggapi oleh pancaindera yang lima itu,
maka timbullah ilmu pengetahuan di dalam insan itu terhadap keadaan di sekelilingnya. Ia mula
mengenali dunia kerana adanya masukan daripada luar kepada pancaindera atau organ-organ yang
mendirikan derianya itu. Itulah penjelasan mereka bagaimana ilmu itu wujud di dalam seseorang itu,
mereka begitu menekankan akan peranan pancaindera dalam penghasilan ilmu, ini fahaman empirisis.

NURFA FAILASUF: Okay, terima kasih Prof. kerana menjelaskan tentang teori Empirisisme. Bolehkah
Prof. terangkan apa itu teori Rasionalisme?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, terima kasih di atas soalan yang dikemukakan tadi Nurfa. Saya akan cuba
jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan fahaman rasionalisme itu, yang sebenarnya berbeza
daripada fahaman yang telah saya jelaskan sebelum ini iaitu Empirisisme, dan kedua-dua ini
merupakan dua aliran utama dalam teori Epistemologi atau teori ilmu. Kalau kita lihat dari segi sejarah
pun, ini adalah dua teori yang dikemukakan oleh ahli-ahli falsafah.

Jadi saya akan cuba menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan fahaman Rasionalisme. Ini adalah
suatu fahaman mengenai teori ilmu yang mengatakan bahawa ilmu yang sahih itu diperolehi bukan
dengan penggunaan deria yang lima, bukan daripada aplikasi penggunaan deria yang lima itu, tetapi
sebaliknya ia terbit daripada penggunaan akal yang rasional. Sifat akliah di dalam penjanaan teori ilmu
inilah yang menjadi asas dan tonggak bagi fahaman Rasionalisme. Berbeza daripada fahaman
Empirisisme yang mengatakan bahawa ilmu itu terbit daripada deria kita yang lima atau penggunaan
deria kita yang lima, teori rasionalisme pula menyangkal pandangan ini dengan mengatakan bahawa
deria kita boleh menipu kita. Misalnya kita melihat sesuatu itu tetapi sesuatu yang kita lihat itu
berbeza daripada realiti yang sebenarnya. Contohnya kita melihat sudu yang dimasukkan ke dalam
segelas yang berisi air dan kelihatan seolah-olah sudu itu bengkok di dalam gelas yang berisi air itu.
Sedangkan hakikatnya sudu itu tidak bengkok, cuma kelihatan bengkok. Jadi bagi pihak rasionalis
mereka mengatakan ini menunjukkan bahawa deria kita tidak semestinya memberikan gambaran
yang sebenar tentang apa yang terdapat di dalam alam ini. Keadaan ini bagi mereka boleh dielakkan
atau diperbetulkan dengan penggunaan akal yang rasional. Akal yang rasional lah yang boleh
memberikan kita ilmu dan kebenaran yang sejati. Penekanan mereka ini menunjukkan bahawa

3
mereka mementingkan akal yang rasional di dalam penghasilan dan juga pengesahan ilmu itu.
Umpamanya kita mengkritik dengan secara rasional akan kesilapan sesuatu teori dan dengan itu
membolehkan kita mengemukakan suatu teori yang betul dan tepat dengan menggunakan hujah-
hujah yang rasional. Jadi ini adalah fahaman Rasionalisme.

NURFA FAILASUF: Dalam kehidupan ini kita perlu ada pemikiran falsafah, sama juga dengan ilmu, kita
perlu ada pemikiran falsafah dalamnya supaya kita lebih menghargai apa itu ilmu. Dalam teori
Epistemologi ini terdapat banyak perbezaan pendapat yang telah melahirkan satu teori yang daripada
ahli falsafah iaitu teori koherens, teori koresponden dan teori pragmatik. Boleh tak Prof. terangkan
apa itu teori koresponden (kesepadanan)?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, jadi soalan yang dikemukakan kepada saya tadi oleh Nurfa ialah mengenai
teori-teori kebenaran. Apakah yang dimaksudkan dengan teori-teori tersebut? Baik, yang pertama
iaitu teori kebenaran koresponden ataupun istilah bahasa melayu yang saya gunakan ialah teori
kebenaran kesepadanan. Di dalam teori koresponden atau kesepadanan ini, apa yang dimaksudkan
adalah kebenaran sesuatu pernyataan atau ayat itu adalah ditentukan oleh samada apa yang
dinyatakan oleh ayat atau kenyataan itu adalah sepadan atau serupa dengan apa yang terdapat di luar
sana iaitu hakikat yang terdapat di dalam alam nyata itu. Samada hakikat itu adalah sepertimana yang
digambarkan oleh pernyataan itu. Contohnya, apabila saya membuat satu pernyataan bahawa
sekarang ini hujan sedang turun dengan lebatnya di luar bilik kuliah ini, ayat itu dianggap benar
sekiranya hakikatnya adalah sekarang ini hujan sedang turun di luar bilik kuliah ini. Tetapi sekiranya
ayat yang mengatakan bahawa hujan sedang turun di luar sana tidak bersamaan dengan hakikat yang
terdapat iaitu tidak ada hujan yang turun di luar sana, maka ayat yang menyatakan bahawa sekarang
ini hujan sedang turun di luar sana dianggap palsu. Jadi di situ kebenaran bergantung kepada samada
yang dinyatakan oleh ayat atau pernyataan itu adalah serupa atau bersamaan dengan hakikat yang
terdapat di luar sana seperti yang digambarkan oleh ayat atau pernyataan itu. Jadi itu yang
dimaksudkan dengan teori kebenaran koresponden.

NURFA FAILASUF: Tetapi Prof., ada satu lagi lah teori yang Nurfa tak faham, iaitu teori koherens. Boleh
tak Prof. terangkan apa itu teori koherens?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, teori yang kedua iaitu teori koherens, seperti yang Nurfa tanyakan tadi.
Apakah yang dimaksudkan dengan teori koherens itu? Teori kebenaran koherens (keselarasan) ini
merujuk kepada kriteria yang digunakan untuk menentukan samada sesuatu pernyataan itu benar
atau palsu. Berbeza daripada teori kebenaran koresponden, di mana kebenaran pernyataan itu
ditentukan dengan membandingkan apa yang dinyatakan oleh ayat itu dengan apakah hakikat yang
terdapat di luar sana yang digambarkan oleh pernyataan itu. Jika ada kesamaan, maka ayat itu
dianggap benar. Tetapi di dalam teori koherens, berbeza sedikit, kerana kebenaran sesuatu
pernyataan itu ditentukan bukan dengan membandingkan ayat atau pernyataan itu dengan hakikat
yang terdapat di luar sana, tetapi di sini apa yang dilakukan adalah dengan kita menghubungkaitkan
dan mencari hubungan di antara sesuatu ayat itu dengan ayat-ayat yang berkaitan dengannya dan
melihat samada terdapat konsistensi atapun sebaliknya percanggahan di antara ayat-ayat tersebut.
Sekiranya pernyataan itu adalah konsisten atau selari ataupun tidak ada percanggahan dengan ayat-

4
ayat yang lain, yang diterima sebagai benar, maka pernyataan atau ayat itu boleh diterima sebagai
benar. Di sini kebenaran itu ditentukan bukannya dengan membandingkan ayat itu dengan hakikat
yang terdapat, tetapi sebaliknya dengan membandingkan ayat itu dengan ayat-ayat yang lain yang
berkaitan dengannya dan diterima sebagai benar. Contohnya, pernyataan seperti John adalah
pembunuh si mati. Ayat ini untuk menentukan samada ia benar atau palsu, kriteria yang digunakan di
sini adalah dengan membandingkan atau mengaitkan ayat ini dengan ayat-ayat yang lain yang ada
hubungan dengannya. Contohnya, ayat atau pernyataan seperti cap jari John terdapat pada senjata
yang digunakan di dalam pembunuhan itu. Jadi, ayat ini, katalah sudah diterima sebagai benar, kerana
bukti ada menunjukkan bahawa ada cap jari John terpadat pada senjata yang digunakan. Jadi kita lihat
di sini bahawa kenyataan seperti John adalah pembunuhnya dan kenyataan cap jarinya terdapat pada
senjata yang digunakan. Itu tidak ada percanggahan, kerana jika John-lah yang melakukan
pembunuhan itu, sudah tentulah cap jarinya terdapat pada senjata yang digunakan. Jadi selaras atau
konsisten di antara kedua-dua kenyataan tersebut. Satu lagi kenyataan yang berkenaan di sini yang
berkaitan ialah kenyataan seperti kenyataan John adalah orang yang terakhir dilihat keluar daripada
tempat kejadian oleh saksi-saksi yang boleh dipercayai. Jadi, jika benar bahawa John adalah orang
yang terakhir yang dilihat keluar daripada premis tersebut, maka sudah tentulah kenyataan seperti itu
adalah konsisten dan tidak bercanggah dengan ayat yang mengatakan bahawa John adalah
pembunuhnya. Jadi dengan itu adanya kekonsistenan (consistency) di antara ayat-ayat tersebut, maka
kenyataan bahawa John adalah pembunuh si mati boleh diterima sebagai benar. Jadi itulah yang
dimaksudkan dengan eori kebenaran koherens.

NURFA FAILASUF: Dalam falsafah ini ada satu lagi teori yang amat penting, apa itu teori yang amat
penting ini? Iaitu teori pragmatic, teori ini sangat menarik kerana ia boleh digunapakai untuk sains,
boleh tak Prof. terangkan apa itu teori pragmatik?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, jadi yang ketiga, seperti yang Nurfa katakan tadi iaitu teori kebenaran
pragmatik. Ini teori yang terakhir di antara ketiga-tiga teori tadi. Seperti yang Nurfa katakan tadi,
biasanya ia terdapat di dalam sains dan teori ini digunakan berkaitan dengan teori-teori sains,
scientific theories. Walaupun mungkin boleh juga digunakan di dalam konteks yang lain, tetapi lebih
kepada sains. Di dalam teori kebenaran pragmatik, apa yang penting di sini ialah, samada sesuatu
tindakan yang kita lakukan itu yang berasas kepada konsep-konsep yang digunakan seperti konsep-
konsep di dalam ilmu sains misalnya, dapat menghasilkan sesuatu yang praktikal atau yang nyata, dan
mempunyai kegunaan dan sebagainya. Maksudnya tindakan yang membawa kepada tindakan yang
berkesan, contohnya, di dalam teori sains seperti teori atom, untuk mengetahui sesuatu kenyataan
yang berhubung dengan teori atom itu adalah benar atau tidak, maka kita lakukan eksperimen-
eksperimen contohnya, berasaskan kepada teori tersebut. Jika eksperimen-eksperimen itu
menghasilkan sesuatu yang positif, iaitu keputusan yang dihasilkan oleh eksperimen itu menunjukkan
apa yang diramalkan oleh teori itu misalnya adalah benar, iaitu kita dapat keputusan eksperimen yang
mengesahkannya, maka teori atom itu diterima sebagai benar. Kebenaran itu adalah kerana ia dapat
menghasilkan sesuatu yang bersesuaian dengan apa yang diramalkan oleh teori itu, ataupun sekiranya
konsep-konsep teori atom itu dapat menghasilkan teknologi yang baru yang hanya boleh dihasilkan
dengan penggunaan teori atom misalnya. Jadi, teknologi baru itu adalah sesuatu yang praktikal dan ia
terhasil atas tindakan kita yang menggunakan konsep atom itu untuk menghasilkan sesuatu teknologi,
misalnya teknologi bom atom, berasaskan kepada teori atom. Jadi di sini kebenaran teori itu mungkin
tidak boleh ditentukan atau disahkan secara langsung dengan membandingkannya dengan reality,
kerana realitinya adalah bersifat mikroskopik iaitu tidak kelihatan oleh deria kita. Jadi bagaimana

5
untuk menentukannya? Menentukannya dengan cara samada kesan praktikal teori itu adalah seperti
yang diramalkan oleh teori, sama juga seperti contoh yang lain yang mungkin lebih mudah yang bukan
dalam konteks sains dan teknologi seperti konsep atau fahaman kita mengenai angina. Apakah yang
kita maksudkan dengan angina? Jadi, jika kita terima konsep angin, maka ia akan membawa kepada
kepada suatu jangkaan kesan-kesan angin, misalnya pokok akan tumbang jika angin kuat, dan
sebagainya. Itu menunjukkan bahawa ada kesan yang nyata hasil daripada penerimaan kita terhadap
konsep angin tadi. Dengan itu, maka kita boleh mengesahkan bahawa wujud angin itu kerana
kepercayaan kita akan kewujudan angin itu terbukti dengan nyatanya dengan adanya fenomena
seperti tumbangnya pokok yang ditiup oleh angin ataupun kesan-kesan lain seperti orang boleh
ditolak dengan adanya angin yang kuat dan sebagainya. Jadi ini yang dimaksudkan dengan pragmatik
iaitu kesan terhadap sesuatu yang nyata dan praktikal.

NURFA FAILASUF: Rumusannya ialah teori pragmatik ini ialah teori yang berkaitan dengan
eksperimen, macam yang Prof. cakap tadi tentang teori atom, untuk mengetahui apakah itu atom,
kita perlu tahu berdasarkan eksperimen dan ini digunakan menerusi teori pragmatik. Terdapat kaitan
di antara teori epistemology dan juga proses penjanaan ilmu tetapi dalam mencapai proses penjanaan
ilmu ini kita perlu tahu dua bidang ilmu utama iaitu bidang ilmu sains tabi’i dan juga bidang ilmu sains
sosial dan kajian kemasyarakatan. Bolehkah Prof. terangkan apa kaitan teori epistemology ini dengan
ilmu sains tabi’i?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, jadi ada yang beranggapan misalnya bahawa teori-teori epistemology itu
hanyalah merupakan teori-teori yang tidak mempunyai apa-apa implikasi ataupun kegunaan. Tetapi
sebenarnya apa yang terdapat adalah teori-teori epistemology mempengaruhi proses penjanaan ilmu
khususnya ilmu-ilmu seperti ilmu sains tabi’i (natural sciences) dan juga ilmu sains sosial. Jadi soalan
yang Nurfa kemukakan kepada saya tadi adalah apakah kaitan teori epistemologi dan penjanaan ilmu
seperti ilmu sains tabi’i itu? Jadi saya cuba jelaskan di sini apa kaitannya antara teori epistemology dan
penjanaan ilmu seperti ilmu sains tabi’I, iaitu natural sciences seperti fizik, kimia dan biologi. Kalau kita
lihat ilmu-ilmu tersebut, ia mengandungi dua sifat epistemology yang utama, iaitu ia bersifat rasionalis
dan juga bersifat empirisis. Jadi di sini wujud kaitan antara teori epistemology, iaitu fahaman
rasionalisme dan fahaman empirisisme dengan ilmu sains tabi’i yang mengandungi ciri-ciri tersebut.
Contohnya, apabila kita menjalankan eksperimen, di dalam kajian sains, kita dapati bahawa ini adalah
satu bentuk pemikiran empirisis di mana pembuktian melalui penggunaan deria kita iaitu deria
penglihatan dan sebagainya diguna di dalam proses pencerapan untuk mendapatkan data bagi
menyokong sesuatu teori saintifik itu. Jadi penggunaan deria di dalam pengutipan data dan membuat
cerapan dan sebagainya, ini adalah contoh penggunaan kaedah empirikal di dalam sains yang didasari
oleh teori epistemology yang beraliran empirisis. Kalau kita lihat sifat-sifat ilmu yang terdapat di dalam
ilmu sains iaitu penggunaan kaedah kuantitatif dan kaedah matematik, kita lihat bahawa matematik
itu adalah suatu ilmu yang dihasilkan melalui pemikiran yang rasional, dan ini merupakan suatu yang
bersifat rasionalis, iaitu pengaruh epistemology rasionalisme di dalam menghasilkan ilmu sains yang
menggunakan ilmu matematik itu. Ilmu matematik adalah contoh ilmu yang dihasilkan melalui
penggunaan kaedah rasionalisme itu, iaitu berfikir secara logikal, rasional, tanpa melibatkan
penggunaan deria dalam penghasilan ilmu matematik. Kita lihat juga di dalam ilmu sains banyak
menggunakan ilmu matematik yang dikaitkan dengan pendekatan rasionalisme. Jadi, itulah
hubungannya.

6
NURFA FAILASUF: Pada abad ke-17, Revolusi Sains telah rancak diperkembangkan, jadi bagaimanakah
Revolusi Sains ini ada kaitannya dengan teori epistemology dan bagaimana ia berkait rapat dengan
teori empirisisme dan juga rasionalisme?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, di sini soalan yang ditanya oleh Nurfa tadi kepada saya adalah mengenai
apakah kaitan di antara Revolusi Sains yang berlaku di abad ke-17 dengan aliran-aliran utama di dalam
teori epistemology seperti rasionalisme dan emprisisme. Baik, jadi ini ada kaitan dengan sejarah sains,
walaupun topik kita adalah mengenai fahaman falsafah dalam bentuk epistemology, namun demikian
ia ada kaitan dengan satu fenomena sejarah yang berlaku pada abad ke-17 yang diberi nama Revolusi
Sains, yang telah membawa kepada satu perubahan yang agak radikal dan penting di dalam
perkembangan sains, di mana pengaruhnya hingga hari ini dapat dilihat dan terkesan. Kalau kita
bandingkan sains di abad ke-17 dengan sains sebelumnya, maka kita dapat melihat bahawa sebelum
abad ke-17 sains itu tidak bersifat eksperimental, iaitu teori-teori di dalam sains tidak dibuktikan
kebenarannya atau tidak dapat pengesahan melalui kajian-kajian eksperimen. Jadi ini adalah satu
perubahan yang baru apabila kaedah eksperimen itu diserapkan di dalam penjanaan ilmu sains di abad
ke-17. Kalau kita lihat dari segi epistemologi, ini bermakna bahawa sebelum abad ke-17, kaedah
eksperimen itu tidak diguna pakai di dalam penghasilan ilmu sains, kerana sesuatu teori itu diterima
hanya atas dasar penghujahan logikal dan rasional yang dikemukakan oleh ahli-ahli sains pada masa
itu. Jadi kalau kita lihat sains misalnya di zaman Greek, tidak bersifat eksperimental tetapi cuma
bersifat teoritikal dan spekulatif. Ahli-ahli falsafah seperti Plato dan Aristotle mempunyai fahaman-
fahaman mereka yang berbeza tentang apakah sifat alam tabi’i ini yang sebenarnya. Namun demikian
teori-teori mereka, walaupun berbeza, tetapi mempunyai penyokong-penyokongnya yang tersendiri
dan tidak ada suatu teori yang diterima oleh semua pihak. Jadi di sini kenapa keadaan ini wujud adalah
kerana teori atau faham Epistemologi yang digunakan adalah berdasarkan kepada pendekatan atau
kaedah rasionalisme, iaitu penghujahan secara intelektual dan rasional, itu menjadi asas kepada
penerimaan sesuatu teori. Sebaliknya di abad ke-17, terdapat perubahan transformasi di dalam
penghasilan ilmu sains, iaitu terdapat kriteria yang kedua yang digunakan iaitu kaedah eksperimen
dan ini melambangkan atau mencirikan apa yang kita terima tadi sebagai fahaman Empirisisme di
dalam epistemologi. Jadi, ini bermaksud bahawa di abad ke-17, sains itu berubah daripada suatu ilmu
yang dihasilkan melalui pendekatan rasionalisme semata-mata atau pendekatan rasionalis kepada
suatu ilmu yang mengandungi kedua-dua aliran Epistemologi, iaitu yang bersifat rasionalis dan juga
empirisis, bermakna di sini bahawa suatu ilmu yang begitu dipercayai dan begitu kukuh
kedudukannya, iaitu ilmu sains, yang sekarang ini bukan sahaja didasari oleh satu aliran, iaitu
rasionalis, tetapi juga bergabung dengan aliran kedua, iaitu Empirisis. Dengan adanya penggabungan
kaedah rasionalis dan empirisis dalam penghasilan ilmu, maka kita dapat melihat akan hasilnya di
dalam bentuk ilmu sains tabi’i yang diterima umum dan dilihat akan impak dan hasilnya, iaitu ilmu-
ilmu yang diterima dan membuahkan hasil seterusnya dalam bentuk teknologi moden. Dengan itu,
maka faham Epistemologi yang merupakan sintesis di antara rasionalis dan empirisis mendapat
perhatian yang lebih di dalam sejarah Epistemologi itu sendiri.

NURFA FAILASUF: Rumusannya adalah mengenai teori Epistemologi ini, banyak penjelasan yang telah
diberikan oleh Prof. Jadi Nurfa harap ini memberi iktibar dan pengajaran kepada semua semoga kita
semua faham apa itu teori Epistemologi dan mengaplikasikan ilmu yang Prof. berikan tadi ke dalam
kehidupan kita.

7
8

Anda mungkin juga menyukai