Anda di halaman 1dari 22

PENGENALAN

Dari sudut sejarah, bahasa Melayu merupakan bahasa antarabangsa yang luas digunakan di rantau
Asia Tenggara ini. Bahasa ini telah menjadi lingua franca di rantau ini dalam urusan perdagangan
dan hubungan antarabangsa sejak zaman Kerajaan Sriwijaya, iaitu sekitar abad ke-7 Masihi hingga
abad ke-19. Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan antarabangsa dan menjadi bahasa rasmi
serta bahasa persuratan bagi pusat-pusat pemerintahan di rantau ini yang melibatkan kerajaan
Melayu Bintan-Temasik, iaitu dari abad ke-12 hingga abad ke-13, Kerajaan Melayu Riau dari abad
ke-14 hingga abad ke-19 yang meliputi zaman pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka dari abad
ke-14 hingga abad ke-15, kerajaan Johor dari abad ke-16 hingga abad ke-17 dan Kerajaan Riau-
Lingga dari abad ke-18 hingga abad ke-19 (Husen Abas, 1998).

Bahasa Melayu sama seperti bahasa-bahasa yang lain memainkan beberapa fungsi yang
utama, iaitu selain daripada menjadi bahasa perbualan harian, bahasa Melayu turut menjadi bahasa
rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan juga bahasa ilmu (Norliza Jamaluddin, 2017).
Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan sangat penting pada hari ini misalnya di majlis-majlis
rasmi.

Menurut Awang Sariyan (2011), bahasa ilmu ialah bahasa yang berbudaya, bahasa yang
kaya dengan ilmu dan menjadi bahasa pengembang ilmu dalam masyarakat atau bangsanya.
Dengan erti kata yang lain, bahasa ilmu ialah bahasa yang digunakan untuk mengungkapkan segala
bidang ilmu. Jika ditinjau dari sudut sejarah, bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu sejak dari
zaman kerajaan Sriwijaya. Sriwijaya yang menjadi pusat pentadbiran, pusat pendidikan dan
perdagangan pada abad ke-7 hingga abad ke-11 Masihi telah menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa utama dalam segala urusan. Dapat dilihat bahawa penggunaan bahasa Melayu telah lama
diguna pakai sejak zaman kerajaan Sriwijaya.

Dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perancangan bahasa perlu
dilaksanakan. Perancangan bahasa ialah proses yang dilakukan oleh sesebuah negara untuk
menentukan satu sistem bahasa yang mampu digunakan dalam semua bidang terutama dalam
bidang pendidikan, pentadbiran dan ekonomi (Asmah Haji Omar, 1993).
Oleh itu, pengunaan bahasa Melayu semakin meluas sehingga hari ini sehingga menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan di Malaysia dan dijadikan sebagai mata pelajaran
wajib di sekolah pada peringkat rendah dan menengah.

i. Huraian tentang definisi dan konsep morfologi serta golongannya

Morfologi merupakan satu bidang linguistik yang mengkaji struktur, bentuk dan pergolongan kata.
Kajian terhadap asas-asas pembentukan suatu kata dengan mengenalpasti susunan unit-unit kata
secara struktur, bagaimana unit-unit kata bercantum hingga wujudnya struktur kata yang
diucapkan merupakan elemen penting dalam apa jua kajian bahasa. Ianya haruslah didahulu dan
diutamakan sebelum menceburi bidang linguistik yang lain (‘Abduh al-Rajihiy,1983:8). Hasil
yang diperolehi daripada kajian pembentukan kata merupakan asas kepada penguasaan ilmu
bahasa itu sendiri. Kajian Asmah Omar (2008:5) juga turut menekankan kepentingan kata dalam
bahasa. Menurut beliau tumpuan dalam penggunaan bahasa adalah ayat. Ayat mempunyai unsur-
unsur iaitu klausa, frasa dan kata. Unsur kata dilihat mempunyai peranan yang besar dalam
pembentukkan ayat.

Menurut Nik Safah Karim dalam Tatabahasa Dewan EdisiKetiga, morfologi ialah satu
bidang ilmu bahasa yang mengkaji perkataan-perkataan. Kajian morfologi meliputi aspek struktur,
bentuk dan juga penggolongan kata. Struktur kata bermaksud susunan bunyi ujaran atau
bunyilambang yang bermakna dalam sesuatu unit bahasa. Bentuk kata ialah rupa unit tatabahasa
itu sendiri, sama ada berbentuk tunggal ataupun perkataan yang terhasil daripada proses
pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Manakala penggolongan kata pula proses
mengkategorikan perkataanberdasarkan bentuk dan fungsinya.

Menurut Kamus Dewan Edisi 4 Morfologi telah ditakrifkansebagai satu kajian tentang
pembentukan kata dalam sesuatu bahasa. Kajian yang dimaksudkan adalah meliputi jenis
pengimbuhan, kata terbitan dan juga pemajmukan. Pengimbuhan adalah proses bagaimana suatu
kata dasar diperluaskan dengan menambah satu atau lebih imbuhan. Bentuk-bentuk imbuhan ialah
imbuhan awalan, akhiran, apitan dan juga imbuhan sisipan. Kata terbitan ialah bentuk kata yang
terdiri daripada kata dasar yang telah mengalami proses pengimbuhan dan berubah maksud
nahunya. Pemajmukan pula bentuk kata yang wujud apabila dua kata dasar dirangkaikan menjadi
satu kesatuan sintaksis yang bermakna.

Jika dilihat pada hierarki tatabahasa bahasa Melayu, morfem dan kata merupakan unit
dalam morfologi. Struktur perkataan ialah susunan bentuk-bentuk bunyi ujaranatau lambang yang
menjadi unit bahasa yang bermakna. Unit-unit terkecil dalam tatabahasa yang menjadi unsur
perkataan dinamakan morfem. Fungsi morfem adalah menjalankan tugas nahu. Setiap
perkataan yang dihasilkan terdiridaripada satu morfem atau pun lebih. Morfem terbahagi pula
kepada dua jenis iaitu morfem bebas yang boleh berfungsi secara sendirian dan morfem terikat
yang digabungkan dengan morfem-morfem lain untuk menjadi lebih bermakna. Dalam erti kata
lain morfem bebas boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan morfem lain dan mempunyai makna
yang lengkap. Morfem tidak pula tidak boleh berdiri sendiri dan memerlukan bantuan morfem lain
untuk berfungsi sebagai kata.

a. Contoh morfem bebas: rumah, kereta dan bunga


Contoh ayat: Itu rumah saya.
Perkataan rumah merupakan morfem bebas kerana perkataan tersebut boleh berdiri sendiri
dan jelas maknanya.

b. Contoh morfem terikat: Bentuk imbuhan seperti mem-…, ber-…, dan per-…-kan.
Contoh ayat: Ibu membeli sayur.
Perkataan membeli merupakan morfem terikat kerana terdapat imbuhan mem-… yang
berfungsi sebagai morfem terikat yang tidak mempunyai makna tetapi terdapat fungsi
tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat.

Kata ialah bentuk bahasa yang bebas dan boleh berdiri sendiri sebagai ayat minimal apabila
diberikan intonasi yang sesuai dan mengandungi maksud atau mesej yang lengkap. Sebagai unsur
morfologi, kata merupakan unsur bahasa yang digunakan untuk membentuk kata lain, seperti kata
terbitan, kata ganda, kata majmuk dan kata akronim. Selain itu, kata boleh berubah-ubah
kedudukannya dalam ayat.

Perkataan dalam bahasa Melayu dibina melalui proses tertentu, yang disebut sebagai proses
morfologi atau proses pembentukan kata. Proses morfologi ialah proses yang dilakukan pada kata
dasar untuk menghasilkan bentuk terbitan. Ada empat proses morfologi dalam bahasa Melayu,
iaitu pengimbuhan, penggandaan, pemajmukan dan pengakroniman. Proses morfologi akan
menghasilkan bentuk kata terbitan, kata ganda, kata majmuk dan kata akronim. Kata tunggal tidak
melibatkan apa-apa proses morfologi (Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail
& Ton Ibrahim, 2012).

Istilah golongan kata sama dengan jenis kata atau kategori kata. Penggolongan kata
merupakan proses menjeniskan dan mengelompokkan kata berdasarkan kriteria tertentu. Antara
kriteria yang digunakan untuk menggolongkan perkataan ialah ciri-ciri persamaan yang dimiliki
oleh kategori kata tersebut, iaitu dari segi makna, keserupaan bentuk, posisi kata, dan fungsi dalam
ayat (Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail & Ton Ibrahim, 2012).

Dalam bahasa Melayu, perkataan digolongkan kepada empat golongan , iaitu kata nama,
kata kerja, kata adjektif dan kata tugas (Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail
& Ton Ibrahim, 2012). Dalam bahasa Melayu, perkataan boleh dimasukkan ke dalam golongan
kata yang sama berdasarkan ciri morfologi. Misalnya, salah satu ciri bagi kata nama dalam bahasa
Melayu ialah kata itu boleh disertai dengan kata bilangan, dengan atau tanpa didahului penjodoh
bilangan (misalnya dua buah kereta, banyak kereta). Selain itu, semua bentuk perkataan yang
menerima awalan meN- (seperti membeli, mencari, mengganas) tergolong dalam golongan kata
kerja kerana awalan ini merupakan awalan kata kerja. Penggolongan sedemikian berdasarkan ciri-
ciri persamaan tertentu, dan tidak berdasarkan makna (Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj.
Sabran, Nawi Ismail & Ton Ibrahim, 2012).

i. Golongan Kata Nama

Golongan kata nama terdiri daripada sejumlah perkataan yang boleh menjadi inti bagi
binaan frasa nama. Dari ssegi makna, kata nama ialah kata yang merujuk kepada nama bagi orang,
tempat, benda atau konsep, sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa, konkrit atau abstrak.
Kata nama dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu (i) kata nama khas, (ii) kata nama am,
dan (iii) kata ganti nama (Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail & Ton
Ibrahim, 2012).

a.) Contoh kata nama khas:

Malaysia, Selayang, Tanjung Malim, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Muhammad Ali.
b.) Contoh kata nama am:
sekolah, rumah, kereta, abang, kakak, meja, kerusi, surau dan masjid.

c.) Contoh kata ganti nama:


Ini, itu, sana, sini situ, saya, dia, beliau, awak, kami, baginda, beta, siapa, apa dan mana.

ii. Golongan Kata Kerja

Golongan kata kerja terdiri daripada perkataan yang boleh menjadi unsur inti bagi binaan
frasa kerja. Dari segi makna, kata kerja ialah perkataan yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau
keadaan terjadinya sesuatu. Kata kerja dapat digolongkan kepada dua kumpulan iaitu, kata kerja
aktif dan kata kerja pasif nama (Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail & Ton
Ibrahim, 2012).

a.) Contoh kata kerja


Tidur, makan, minum, berjalan, bermain dan bercakap.

iii. Golongan Kata Adjektif

Kata adjektif ialah perkataan yang boleh menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif.
Dari segi makna, kata adjektif ialah perkataan yang boleh menerangkan kata nama, kata kerja, dan
kata adjektif. Kata adjektif dapat dibahagikan kepada sembilan jenis berdasarkan maknanya dan
hubunganya dengan perkataan lain dalam frasa (Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran,
Nawi Ismail & Ton Ibrahim, 2012).

a.) Contoh kata adjektif:


Warna merah, kotak besar, bilik gelap dan kerata baharu.

iv. Golongan Kata Tugas

Golongan kata tugas ialah golongan perkataan yang tidak dapat menjadi inti kepada binaan
frasa yang menjadi predikat ayat. Perkataan -perkataan yang tergolong sebagai kata tugas
mempunyai frasa tatabahasa yang tertentu, iaitu sama ada sebagai penghubung, penguat, penegas,
pemeri, pembenar, dan tugas-tugas lain. Berdasarkan Tatabahasa Dewan (2010), kata tugas dapat
dikelompokkan seperti rajah berikut berdasarkan tugas atau fungsinya dalam frasa, klausa dan ayat
(Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail & Ton Ibrahim, 2012).

Kata Tugas

1. Kata penyambung ayat a. Kata hubung


Contoh: untuk, dan, demi, sejak dan
atau.

2. Kata praklausa a. Kata seru


Contoh: wah, cis, amboi dan aduh.
b. Kata tanya
Contoh: siapakah, dan apakah,
mengapakah.
c. Kata perintah
Contoh: tolong, sila, jemput, usah,
dan jom.
d. Kata pembenar
Contoh: ya, benar dan betul.
e. Kata pangkal ayat
Contoh: hatta, maka, arakian,
syahdan, sebermula, alkisah dan
adapun.
3. Kata prafrasa dan pascafrasa a. Kata bantu
Contoh: sudah, telah, hendak dan
mahu.
b. Kata penguat
Contoh: kian, nian, sangat dan
sungguh.
c. Kata penegas
Contoh: juga, jua dan memang.
d. Kata nafi
Contoh: tidak dan bukan.
e. Kata pemeri
Contoh: ialah dan adalah.
f. Kata sendi
Contoh: dari, ke, pada, untuk,
sebagai, terhadap, daripada dan
kepada.
g. Kata arah
Contoh: dalam, atas, bawah, sudut,
utara, selatan, kanan, kiri, dan hilir.
h. Kata bilangan
Contoh: satu, empat, beberapa,
kelima-lima, tiap-tiap, suku dan
separuh.
i. Kata adverba
Contoh: Ahmad akan pulang nanti.
Nanti ialah kata adverba yang
menerangkan kata kerja pulang dan
hadir selepas frasa.
4. Kata pascakata a. Kata penekan
Contoh: -nya
Partikel -nya berfungsi sebagai
penekan dan memberikan penegasan
kepada kata yang bergabung
dengannya.
Contoh Ayat: Yang sakit itu
sebenarnya kakak saya.
b. Kata pembenda
Contoh: -nya
Partikel -nya berfungsi sebagai
pembenda apabila digabungkan
dengan perkataan yang tidak terdiri
daripada kata nama atau frasa nama.
Contoh ayat: Lajunya tidak terkejar
olehku.

Rajah 1: Menunjukkan kata tugas dan fungsinya.

ii. Huraian tentang definisi dan konsep sintaksis serta golongannya

Menurut Nik Safah Karim dalam Tatabahasa Dewan Edisi 3, sintaksis adalah suatu kajian tentang
hukum atau rumus tatabahasa yang mengkaji kaedah pengabungan dan penyusunan perkataan
untuk membentukayat dalam sesuatu bahasa. Seperti pengkaji bahasa yang lain, beliau turut
mendefinisikan sintaksis sebagai satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji secara mendalam
bentuk, struktur dan binaan sesuatu ayat. Sintaksis juga dimaksudkan sebagai susunan kata-
kata dalam sesuatu rangkai kata atau ayat yang membentuk klausa dan frasa.

Menurut Dr Ali Mahmood dan Munsyi Zainal Abidin Kasim dalam buku Morfologi Dan
Sintaksis Bahasa Melayu menerangkan bahawa sintaksis ialah satu cabang ilmu yang mengkaji
bentuk, struktur dan konstruksi ayat. Sintaksis juga mengkaji proses pembinaan ayat dan hukum-
hukum atau peraturan bahasa yang menentukan bagaimana sesuatu perkataan itu disusun dalam
serangkai ayat yang bermakna.

Perkataan sintaksis berasal daripada perkataan Yunani iaitu sun yang bererti “dengan” dan
tattein yang bererti “menempatkan bersama-sama”. Sintaksis dapat diertikan sebagai
menempatkan kata-kata atau kelompok kata untuk membentuk ayat. Kata suntattien ini kemudian
menjadi syntaxis dalam bahasa Belanda, dan syntax dalam bahasa Inggeris (Ahmad Khai Mohd
Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail & Ton Ibrahim, 2012).

Menurut Tatabahasa Dewan (2010), sintaksis merupakan bidang ilmu bahasa yang
mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Dalam bidang sintaksis, yang
dibincangkan ialah struktur frasa, klausa dan ayat. Unsur-unsur ini mempunyai kaitan antara satu
dengan yang lain dalam ayat. Misalnya, ayat terdiri daripada klausa sebagainya, klausa terdiri
daripada frasa sebagai unsurnya, dan frasa terdiri daripada kata sebagai unsurnya (Ahmad Khai
Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail & Ton Ibrahim, 2012).

i. Ayat

Ayat ialah unit yang laing tinggi letaknya dalam tatatingkat atau hierarki tatabahasa. Ayat
mengandungi makna yang lengkap dan diucapkan dengan intonasi yang sempurna. Pengucapan
ayat bermulai dan diakhiri dengan kesenyapan (Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran,
Nawi Ismail & Ton Ibrahim, 2012).

Contoh ayat:

Itu buku Ali. Dia membeli buku itu di kedai buku.


Harga buku itu RM 5.00.

Petikan di atas terdiri daripada tiga ayat. Setiap ayat itu dimulai dengan huruf besar dan
diakhiri dengan tanda nokhtah. Pembacaan ayat dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan
kesenyapan juga. Setelah diam apabila satu ayat habis dibaca, mula lagi dengan ayat seterusnya.
Jadi kesenyapan pada awal dan akhir itulah yang menandai sesuatu ayat. Selain itu, setiap ayat
juga ditandai dengan intonasi yang menunjukkan bahawa bahagian ujaran itu sudah lengkap. Ayat
tersebut merupakan ayat yang lengkap dan mudah difahami.

ii. Klausa

Klausa merupakan satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat,
yang menjadikan konstituen kepada ayat (Ahmad Khai Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi
Ismail & Ton Ibrahim, 2012).

Contoh ayat:

a. Ahmad makan.
b. Ibu menjahit baju dan adik mengemas rumah.

Binaan (a.) mengandungi subjek iaitu (Ahmad) dan predikat iaitu (makan). Binaan (a.) akan
menjadi klausa selagi tidak diberikan intonasi ayat yang lengkap. Jika ayat bagi binaan (a.) diberi
intonasi, maka klausa tersebut akan berubah menjadi ayat. Unsur bahasa bagi (b.) pula ialah ayat
yang terdiri daripada dua klausa, iaitu Ibu menjahit baju dan adik mengemas rumah. Kedua-dua
klausa itu membentuk ayat (b.).

iii. Frasa

Mengikut Tatabahasa Dewan (2010), frasa ialah binaan yang terdiri daripada sekurang-
kurangnya satu kata yang berpotensi untuk menjadi unit yang lebih besar. Oleh itu, frasa ialah
suatu binaan yang mungkin terdiri daripada susunan kata ataupun hanya satu kata yang
berpotensi untuk diperluas untuk menjadi dua kata atau lebih.

Contoh:

buku
buku baharu
buku baharu adik
buku baharu adik saya
buku baharu adik saya itu
Dapat dilihat bahawa kata buku ialah frasa kerana bentuk tersebut dapat diperluas menjadi
buku baharu, buku baharu adik, buku baharu adik saya, dan buku baharu adik saya itu. Oleh itu,
frasa dapat dikatakan sebagai kelompok kata yang mengandungi satu kesatuan erti.

iii. Penganalisisan kesalahan yang wujud dalam aspek morfologi dan sintaksis yang
dapat dikesan daripada penulisan karangan murid

Sampel A:
Terdapat beberapa kesalahan murid dalam karangan iaitu dari segi kemahiran imbuhan, tanda
baca dan ejaan.

1. bagun

Kesalahan ejaan dan sepatutnya dieja bangun

2. ku

Kesalahan dari segi menulis kata ganti nama diri ku yang sepatutnya dieja rapat seperti ibuku
dan memanggilku.

3. kelangkawi
Kesalahan dari segi ejaan di mana kata sendi ke tidak boleh dirapatkan dengan kata nama
dan sepatutnya perlu dieja ke Langkawi. Kesalahan penggunaan kata nama khas yang
sepatutnya dieja dengan huruf besar iaitu Langkawi.
Sampel B:

Terdapat beberapa kesalahan murid dalam karangan di atas dari segi pengunaan kata ganti
diri untuk guru.

1. dia
Kesalahan penggunaan kata ganti diri dia untuk cikgu dan kata ganti diri yang sesuai
digunakan untuk guru ialah beliau. Beliau digunakan untuk merujuk orang yang dihormati
dan guru merupakan seseorang yang perlu dihormati.
Sampel C:

Terdapat kesalahan murid dalam karangan di atas iaitu penggunaan kata sendi, imbuhan, kata
nama, kata ganti diri, dan kesalahan pengunaan struktur ayat.
1. sekolah menengah
Kesalahan kata nama yang sepatutnya huruf pertama dieja dengan huruf besar iaitu Sekolah
Menengah.
2. sekolah rendah
Kesalahan kata nama yang sepatutnya huruf pertama dieja dengan huruf besar iaitu
Sekolah Rendah.
3. kamu
Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri orang kamu sepatutnya anda semua kerana
kamu merujuk kepada kata ganti nama diri orang kedua tunggal manakala anda semua
merupakan kata ganti nama diri orang kedua jamak.
4. dari
Kesalahan penggunaan kata sendi dari sepatutnya daripada kerana dari menunjukkan arah
permulaan tempat dan arah permulaan masa manakala daripada menunjukkan punca atau
sumber (berkaitan dengan manusia, haiwan, benda dan institusi), menunjukkan asal
kejadian dan menunjukkan perbandingan.
5. Saya akan jumpa kamu lain kali.
Kesalahan penggunaan struktur ayat dan imbuhan ber-… diperlukan. Saya akan berjumpa
anda semua pada masa akan datang. Berikut merupakan struktur ayat beserta penggunaan
imbuhan ber-… yang betul dan ayat tersebut difahami dengan jelas.
Sample D:

Terdapat kesalahan murid dalam karangan di atas iaitu kesalahan ejaan, imbuhan, dan kata
nama.

1. upsr
Kesalahan kata nama tunggal jenis akronim upsr yang sepatutnya ditulis UPSR.
2. faedah
Kesalahan dari segi penggunaan huruf kecil faedah pada awal ayat sepatutnya
menggunakan huruf besar pada awal ayat iaitu Faedah-faedah.
3. mengeluang kan
Kesalahan penggunaan imbuhan menge-… dan …-kan sepatutnya murid mengggunakan
imbuhan me-… dan ejaan bagi imbuhan …-kan dirapatkan bukan dipisahkan. Penggunaan
yang betul ialah meluangkan.
4. Activiti-activiti
Kesalahan menggunaan ejaan bahasa Inggeris Activiti-activiti dan penggunaan huruf besar
di tengah ayat yang bukan merupakan kata nama khas. Ejaan yang betul ialah aktiviti-
aktiviti dan ditulis menggunakan huruf kecil.
5. tido
Kesalahan ejaan tido sepatutnya dieja tidur.
6. pekenalan
Kesalahan penggunaan imbuhan pe-… sepatutnya imbuhan per-… dan penggunaan yang
betul ialah perkenalan.
7. Selain itu
Kesalahan tidak mempunyai tanda koma selepas penanda wacana Selain itu dan sepatutnya
Selain itu, diletakkan tanda (,) selepas penanda wacana.
8. Aktiviti
Kesalahan penggunaan huruf besar di tengah ayat yang bukan merujuk kepada kata nama
khas dan sepatutnya dieja aktiviti dengan menggunakan huruf kecil kerana aktiviti merujuk
kepada kata nama am tak hidup.
9. kamping
Kesalahan ejaan kamping sepatutnya kem.
Sampel E:

Terdapat kesalahan murid dalam karangan di atas iaitu kesalahan ejaan, kata nama dan
kesalahan struktur ayat.

1. berusah
Kesalahan ejaan berusah sepatutnya berusaha.
2. tuhan
Kesalahan penggunaan huruf kecil (t) tuhan yang sepatutnya ditulis dengan huruf besar
(T) Tuhan kerana Tuhan digunakan sebagai kata yang berhubung dengan agama.
3. Seterusnya, kita hendaklah minta izin dengan meminta kebenaran untuk membuat
sesuatu perkara.
Kesalahan penggunaan struktur ayat. Penggunaan struktur ayat yang betul ialah
Seterusnya, kita hendaklah meminta izin terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu
perkara.
iv. Cadangan untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan kesalahan morfologi
dan sintaksis dalam penulisan karangan murid

Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran wajib lulus di peringkat menengah dan rendah.
Bahasa Melayu juga menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan besar iaitu Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Penguasaan yang
mendalam perlu dilakukan bagi memastikan murid-murid dapat menguasai bahasa Melayu dan
penulisan karangan yang lebih baik.

Antara cadangan yang boleh diketengahkan bagi mengatasi masalah yang berkaitan dengan
kesalahan morfologi dan sintaksis dalam penulisan karangan murid ialah guru perlu memberi
penekanan secara mendalam kepada murid-murid dalam aspek morfologi dan sintaksis. Di
peringkat rendah, guru-guru perlu lebih peka dan bersedia mengajar murid-murid penggunaan
kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Guru perlu membantu murid dalam membezakan kata
nama khas dan kata nama am supaya mereka tidak keliru semasa menulis karangan.
Penggunaan imbuhan sama ada imbuhan awalan, apitan, akhiran dan sisipin juga perlu
diperjelas dengan secara terperinci supaya murid dapat mengelakkan daripada membuat
kesalahan semasa menulis karangan. Penggunaan struktur ayat yang betul dan jelas juga harus
diberi perhatian supaya murid-murid dapat menulis karangan yang betul dan boleh difahami
di samping menarik dengan adanya kosa kata dan peribahasa yang sesuai.

Selain itu, ibu bapa dan guru perlu menggalakkan anak-anak dan murid-murid untuk
membaca buku-buku fiksyen atau buku ilmiah seawall usia yang muda seperti Dewan Siswa.
Pembacaan akan meransang minda dan kefahaman murid serta mereka boleh menggunakan
ayat yang betul dan gramatis semasa menulis karangan. Pembacaan buku-buku ilmiah bukan
sahaja boleh membantu dalam penulisan karangan malah mampu memperkasa bahasa murid-
murid semasa bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Di samping itu, guru-guru perlu mengetahui tahap prestasi murid sama ada murid tersebut
dalam golongan pandai, sederhana dan lemah. Dalam hal ini guru haruslah membantu murid-
murid mengatasi kelemahan menulis dan berbahasa. Penguasan berbahasa sebenarnya
membantu murid dalam penulisan yang baik. Justeru, bagi mengatasi kelemahan ini,
pengajaran kemahiran berbahasa telah distrukturkan semula, dikemas kini dan diperkukuh
dalam sukatan pelajaran bahasa sekolah rendah dan menengah. Tambahan lagi, faktor yang
menyebabkan kelemahan tersebut ialah pelajar tidak berpeluang untuk mendirikan asas
berbahasa yang kukuh sewaktu sekolah rendah (Nurul Aisyah Abdullah, Zamri Mahamod &
Nor Azwa Hanum Nor Shaid, 2016). Oleh itu, guru harus menekankan cara berbahasa yang
betul supaya membantu murid dalam penulisan karangan yang baik dengan penggunaan istilah
yang betul.

Latihan karangan yang secukupnya perlu diberi kepada murid-murid bagi memantpkan lagi
aspek morfologi dan sintaksis semasa menulis karangan. Guru boleh menyediakan modul dan
buku latihan seperti Gerak Gempur dan Gerak Kerja supaya murid-murid terdedah kepada cara
menulis karangan yang betul. Guru juga perlu kerapa menyemak karangan murid dengan
memberi markah atau skor dan juga sedikit komen supaya murid-murid lebih bersemangat dan
tekun untuk menulis karangan yang baik. Ini dapat memantapkan penulisan murid-murid di
samping mereka mampu menggunakan kosa kata, peribahasa dan ayat gramatis dalam
penulisan karangan mereka.

Oleh itu, bagi memastikan murid-murid memperkasa dalam penulisan karangan, cadangan
dikemukan di atas perlulah dipraktikkan bagi memastikan murid-murid dapat menulis
karangan yang baik.

KESIMPULAN

Aspek morfologi dan sintaksis merupakan dua aspek yang sangat penting dalam bahasa
Melayu. Pendedahan awal dan secukupnya perlu diberikan kepada murid lebih-lebih lagi murid
pada peringkat rendah. Morfologi merupakan bidang kajian yang menekankan tentang perkataan
dan pembentukannya. Dalam bidang ini, murid akan terdedah pada penggunaan kata yang boleh
memberi makna ketika menulis dan mengujarkannya.

Sintaksis pula merupakan kajian yang lebih mendalam tentang bentuk, struktur dan binaan
sesuatu ayat. Sintaksis juga boleh dikatakan sebagai susunan kata dlaam sesuatu rangkaian kata
atau ayat yang dapat membentuk klausa dan frasa. Dalam bidang ini juga, ayat menduduki hierarki
paling atas.
Selain itu, analisis juga dibuat ke atas beberapa sampel kesalahan karangan murid-murid
untuk melihat sejauhmana penguasan mereka dalam penulisan karangan. Terdapat beberapa
kesalahan yang telah dikenal pasti semasa mereka menulis karangan. Dari segi pemerhatian
daripada sampel-sampel tersebut, dapat dinyatakan bahawa murid-murid tersebut agak lemah
dalam menulis karangan. Guru perlu membimbing mereka dan memberi latihan secukupnya
supaya mereka dapat memperbaiki mutu penulisan karangan mereka.

Cadangan yang dikemukan juga adalah untuk membantu murid-murid untuk memperkasa
penulisan karangan mereka. Guru perlu sentiasa membimbing murid-murid dalam penulisan
karangan supaya mereka dapat menulis karangan yang baik. Hal ini demikian, ibu bapa juga
memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mereka dapat menguasai bahasa Melayu
dengan baik dan lancar.

Kesimpulannya, guru, ibu bapa dan murid perlu melipat gandakan usaha supaya bahasa
Melayu dapat dikuasai dengan baik bukan sahaja dalam pertuturan malah dalam penulisan
karangan juga.
BIBLIOGRAFI

Ahmad Khair Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail & Ton Ibrahim. (2014). Tatabahasa
Asas Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd & Persatuan Pendidikan
Bahasa Melayu Malaysia.
M Idris. (2014). http://studentsrepo.um.edu.my/4416/2/Bab_1__Pendahuluan.pdf
Morfologi Bab – Philosophia Bahasa Melayu.
https://pppnukm.files.wordpress.com/2019/04/nota_pdf.pdf
Norliza Jamaluddin. (2017). Upaya Bahasa Melayu Sebagai Sarana Ilmu.
https://www.researchgate.net/publication/321904798_UPAYA_BAHASA_MELAYU_
SEBAGAI_SARANA_ILMU
Nurul Aisyah Abdullah, Zamri Mahamod & Nor Azwa Hanum Nor Shaid. (2016). Faktor-Faktor
yang Mempengaruhi Penulisan Karangan Bahasa Melayu Pelajar Sekolah Menengah.
Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. http://journalarticle.ukm.my/10189/1/112-220-1-
SM.pdf
Siew Mei. Morfologi dan Sintaksis
https://www.academia.edu/10613531/Morfologi_dan_sintaksis

Anda mungkin juga menyukai