Anda di halaman 1dari 6

TAMBAH, TOLAK, DARAB, BAHAGI

NURKHAIRINA FARISHA MOHD NASIR

SMK BUKIT BARU

Kejayaan terbesar dalam hidup bukanlah terletak pada seseorang yang tidak pernah
jatuh, tetapi bangkit setiap kali kita jatuh. Penat lelah kita hanyalah sementara. Suatu
hari, bakal berbayar dengan kejayaan akhirnya.

“Macam mana ni, Aira? Takkanlah matematik pun awak boleh gagal? Awak belajar
ke tak kat rumah, ha?” tanya cikgu tegas.

“Be..belajar cikgu…” jawabku tergagap-gagap.

Kepalaku ditundukkan sedikit. Mataku tidak lepas dari melihat ke arah lantai. Tidak
sanggup untuk bertentang mata dengan Cikgu Saleha di hadapanku. Bukan itu sahaja,
rakan-rakan sekelas mula berbisik antara satu sama lain. Dan aku tahu, mereka tengah
bercakap mengenaiku.

“Kalau betul awak belajar, awak takkan dapat markah rendah macam ni. Cakap
dekat mak ayah awak, suruhlah diorang hantar awak pergi kelas tambahan ke apa. Kalau
tak, belilah buku rujukan takpun latihan. Banyakkan sikit buat latihan tu, jangan asyik nak
main je!” panjang lebar Cikgu Saleha membebel menasihatiku sambil tangannya
menghulurkan kertas peperiksaanku.

Aku tidak berkata apa-apa. Sekadar mengangguk tanda mengerti akan nasihat yang
cikgu berikan padaku. Kertas peperiksaanku tadi telahpun bertukar tangan. Kaki
melangkah pulang ke tempat dudukku. Keluhan panjang aku lepaskan. Termenung
melihat markah pada kertas di tanganku. Lalu, aku mula mengenang nasib diri ini.

Hari-hari, siang dan malam aku belajar.

Tetapi mengapa aku masih lagi gagal?

Tanpa sedar, aku mula teringatkan kembali malam sehari sebelum hari
peperiksaan tiba.
***

Jam di dinding aku pandang sekilas. Jarum jam menunjukkan tepat pukul satu pagi.
Namun, aku masih lagi di meja belajar mengulangkaji bagi peperiksaan pada esok hari.

Tidak semena-mena, pintu rumah terbuka dengan perlahan-lahan. Dalam hati


sudah mengagak bahawa ayah sudah pun pulang daripada kerja.

“Aira? Belum tidur lagi? Dah pukul berapa dah ni? Kenapa belum tidur?”
melihatkan aku yang masih lagi belum tidur, ayah mula berasa risau.

“Aira tak ngantuk lagi. Lagipun, Aira tengah ulangkaji ni, esok dah periksa.”
jawabku sambil tersenyum manis ke arah ayah. Walaupun aku keletihan, walaupun
mataku terasa berat akibat mengantuk, tetapi aku masih lagi berdegil gagahkan diri terus
menyambung mengulangkaji.

“Ha, iyalah. Aira jangan tidur lambat sangat pula, tak elok untuk kesihatan. Ayah
masuk bilik dulu, ya…” ujar ayah lalu mengucup sekilas dahiku.

Lepas sahaja ayah berlalu, aku termenung sayu ke arah dinding di hadapanku.

Aku merupakan seorang anak tunggal. Sepanjang aku hidup, aku membesar
bersama ayah tanpa ibu di sisi. Selama ini, aku aku tidak pernah merasa kasih sayang
seorang ibu. Ibuku telah pergi meninggalkan aku bersama ayah ketika dia bertarung
nyawa melahirkan aku ke dunia.

Sejak aku kecil lagi kehidupan kami memang agak susah. Ayah terpaksa bekerja
keras siang mahupun malam demi menyara kami sekeluarga. Di siang hari, ayah bekerja
sebagai seorang pelayan di sebuah restoran yang berdekatan. Manakala di malam hari,
ayah bekerja sebagai seorang penghantar makanan sehingga lewat malam.

Walaupun begitu, ayah tetap tersenyum dan tidak pernah sedikit pun dia mengeluh
akan nasibnya.

Ayah selalu berpesan padaku,

“Ujian tu tak akan pernah lemahkan manusia. Tapi, ujian ni akan jadikan manusia
itu bertambah kuat dan hebat.”
Dan sehingga ke hari ini, aku masih lagi ingat akan nasihat yang ayah katakan padaku
suatu ketika dahulu.

***

Pintu bilikku di tolak sedikit. Aku melihat ayah yang baru pulang daripada kerjanya lalu
tertidur lena di atas sofa di ruang tamu. Aku menolak pintu bilikku dengan berhati-hati.
Dengan perlahan-lahan aku berjalan menuju ke tempat di mana ayah telah terlena.

Risau juga jikalau aku mengganggu waktu tidur ayah. Sekaranglah masanya untuk
ayah berehat setelah seharian dia berpenat lelah bekerja.

“Aira? Belum tidur lagi?” tanya ayah kepadaku dengan tiba-tiba.

Saat aku mahu berpatah balik masuk ke dalam bilik, dengan tiba-tiba ayah bersuara.
Terkejut aku dibuatnya. Ingatkan ayah sudah terlena, mungkin dia hanya sekadar
melelapkan matanya sahaja. Kemudian, aku sekadar menggeleng menjawab
pertanyaannya.

“Eh, Aira kacau ayah tidur ke? Kalau macam tu, Aira masuk bilik dulu lah.”

“Aira ada apa-apa ke nak cakap dengan ayah?” tepat soalan itu terkena pada
sasarannya. Sepertinya ayah dapat membaca dan meneka apa yang berlegar-legar di
dalam kotak fikiranku.

“Se..sebenarnya…” sebersalah rasanya untuk aku meneruskan kata-kataku.

“Ya, Aira. Kenapa ni? Aira ada masalah ke?”

Laju aku mengangguk. Kedua belah kening ayah di angkat sekali tanda membenarkanku
untuk meneruskan hajatku yang ingin aku sampaikan kepada ayah.

“Aira sebenarnya nak beli buku latihan dengan rujukan. Kalau boleh, Aira nak guna
duit sikit. Tapi kalau ayah-”

“Sekejap. Ayah ambilkan.”

Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, ayah terlebih dahulu memotong


percakapanku.
Ayah bangkit dari duduknya dan terus berlalu ke biliknya. Manakala aku masih lagi
di tempat yang sama dan tidak beranjak kemana-mana. Dari ruangan langsir yang sedikit
terbuka, kelihatan ayah mencapai dompetnya dan melabuhkan punggung di atas katil di
dalam biliknya.

Ayah melihat ke dalam dompetnya lalu wajahnya seakan-akan bertukar suram.


Kemudian, dia mula tersenyum tawar. Agak lama dia berkeadaan begitu. Setelah itu,
ayah segera bangun dan keluar dari biliknya lalu menghulurkan dua keping not berwarna
jingga kepadaku.

“Ambil duit tu. Nanti Aira belilah buku latihan ya…” beritahu ayah sambil
menayangkan segaris senyuman yang manis.

“Ta…tapi… Ayah ada duit lagi tak nanti? Kalau ayah tak ada duit, tak payahlah
ayah susah-susah bagi dekat Aira.”

Aku mula berasa sebersalah. Rasa seperti diri ini menyusahkan ayah pula. Ayah penat-
penat cari duit, tapi akhirnya aku pula yang menggunakan duitnya untuk diri sendiri.

“Pasal ayah, Aira janganlah risau. Ayah boleh cari duit lain nanti. Sekarang ni,
ayah nak Aira belajar rajin-rajin sampai Aira berjaya, tau.”

“Aira akan cuba usaha, ayah.”

“Usaha je tak cukup, Aira. Jangan lupa, kita sebagai manusia perlulah sentiasa
meminta pertolongan Allah. Mengadulah pada Allah. Cakaplah apa sahaja pun, dia akan
sentiasa mendengar rintihan hamba-hambanya.”

Pesan ayah lalu dia kembali masuk ke dalam biliknya semula dan meninggalkan aku
seorang diri di ruang tamu.

***

Duit yang ayah berikan, aku menggunakannya dengan sehabis baik. Aku merajinkan
diriku membuat kesemua buku rujukan dan latihan yang telah di beliku. Dan hasilnya
tidak pernah mensia-siakanku.
“Tahniah, Aira! Kali ni prestasi awak makin meningkat. Saya bangga dengan
usaha awak selama ini.” puji Cikgu Saleha.

“Terima kasih, cikgu.” kataku sambil tersenyum senang.

Alhamdulillah, aku bersyukur kerana Allah menghadirkan kekuatan dalam diriku.


Semuanya kerana jasa ayah. Aku mahu jadi seperti ayah. Aku mahu mencontohi
sikapnya.

Ayah seorang yang kuat berusaha dan bersyukur dengan apa yang dia ada. Dan
apa yang paling aku bangga dengan ayah adalah dia seorang yang tidak pernah
bersangka buruk pada Allah kerana dia tahu ada kebaikan di sebalik kesusahan yang di
hadapinya.

***

Tanpa aku sedar, tujuh tahun sudah berlalu. Dan hari ini, hari di mana aku memegang
segulung sijil ijazah buat pertama kalinya di dalam hidupku. Seumur hidupku, inilah
satu-satunya bukti bahawa aku telah berusaha dengan gigih.

“Tahniah, anak ayah. Ayah tahu Aira ni hebat. Ayah percaya yang Aira boleh.
Aira tak pernah kecewakan ayah. Ayah bangga sangat dengan Aira!” tubuhku dipeluk
erat oleh ayah. Tanpa aku sedar, setitis demi setitis air mataku jatuh membasahi pipiku.

Bukan kerana aku sedih. Tetapi kerana aku gembira.

“Terima kasih ayah sebab percayakan Aira selama ni. Aira sayang ayah sangat-
sangat.” ucapku sambil membalas kembali pelukan ayah sebentar tadi.

“Ayah pun sayangkan Aira.” ujar ayah sambil meleraikan pelukan. Tangannya
perlahan-lahan menyapu lembut air mataku yang membasahi pipi.

Dan saat ini, aku berjaya membuat ayah berasa bangga kepadaku. Sekarang,
hidup kami tidaklah sesusah dahulu. Aku mendapat tawaran untuk bekerja tetap di
sebuah syarikat bank. Ketika ini, aku mampu untuk menanggung kehidupanku bersama
ayah dan ayah tidak perlu lagi menyusahkan dirinya untuk menyara dirinya dan diriku.
Kali ini, biarlah aku pula yang membalas jasanya sehingga ke akhir hayatnya.
Tambah, tolak, darab, bahagi. Jangan mengalah, percaya pada diri. Itulah
perjalanan hidupku.

Setiap orang yang berusaha pasti akan berjaya. Percayalah.

TAMAT

Anda mungkin juga menyukai