Anda di halaman 1dari 2

Cara-cara mengatasi gejala social dalam kalangan remaja

Pada era globalisasi ini, isu gejala sosial dalam kalangan remaja telah menjadi
buah mulut masyarakat. Hal ini berlaku kerana isu gejala sosial dalam kalangan
remaja semakin berleluasa. Keadaan ini amat membimbangkan semua pihak
terutamanya ibu bapa. Oleh itu, terdapat beberapa langkah boleh dilakukan untuk
mengatasi masalah tersebut.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala sosial
dalam kalangan remaja. Ibu bapa perlulah memberi didikan agama yang secukupnya
kepada anak-anak sejak kecil. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari
rebungnya”. Anak-anak ibaratkan seperti sehelai kertas putih dan ibu bapa
adalah pencorak kertas tersebut. Oleh itu, ibu bapa hendaklah sentiasa menasihati
anak-anak tentang nilai-nilai murni yang perlu diamalkan dan gejala sosial yang perlu
dijauhi oleh anak-anak dalam kehidupan. Jelasnya, didikan yang sempurna sejak kecil
akan membentuk anak-anak yang berkeperibadian mulia dan tidak melibatkan diri
dalam gejala sosial.

Di samping itu, pihak sekolah juga memainkan peranan dalam mengatasi


gejala sosial. Guru-guru dan budaya sekolah akan mempengaruhi seseorang remaja
kerana mereka menghabiskan masa enam hingga lapan jam setiap hari di sekolah.
Dengan ini, pihak sekolah boleh menasihati pelajar di perhimpunan sekolah agar
menjauhi gejala sosial yang akan mendatangkan kesan negatif kepada pelajar dan
keluarganya. Guru-guru juga boleh memberikan nasihat secara langsung atau tidak
langsung tentang keburukan gejala sosial dalam mata pelajaran seperti Pendidikan
Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik. Natijahnya, usaha yang dilakukan akan
membantu remaja lebih memahami impak negatif gejala social.

Seterusnya, masyarakat juga boleh memainkan peranan untuk mengatasi


masalah sosial dan keruntuhan moral dalam kalangan remaja ini. Anggota masyarakat
perlu menunjukkan contoh yang baik, khususnya kepada golongan muda. Selain itu,
sekiranya masyarakat terserempak dengan remaja yang terlibat dengan gejala sosial
seperti penyalahgunaan dadah dan pergaulan bebas, janganlah bersikap menutup
sebelah mata, sebaliknya masyarakat sewajarnya menegur sikap negatif tersebut.
Jika didapati gejala sosial masih berlaku, aduan kepada pihak berkuasa perlulah
dibuat dengan segera. Tegasnya, usaha membanteras masalah gejala sosial akan
berjaya.

Tambahan pula, langkah yang pragmatik untuk menangani masalah sosial


dalam kalangan remaja ialah peranan pihak media massa. Media massa seperti
televisyen, filem, radio atau media cetak harus menyiarkan program yang berunsur
positif dan memberi pendidikan kepada penonton dan pembaca. Sebaliknya,
penanyangan cerita-cerita, program atau iklan-iklan yang bersifat negatif seperti cerita
berunsur gengster hendaklah disekat. Hal ini kerana media massa boleh
mempengaruhi tingkah laku seseorang dengan berkesan. Izharnya, media massa
yang tidak mementingkan keuntungan sahaja memang berperanan dalam
mengurangkan masalah gejala sosial dalam remaja.

Sementara itu, kerajaan boleh mengadakan kempen “Elakkan Diri Daripada


Gejala Sosial” untuk memberi kesedaran kepada remaja. Kerajaan boleh menjemput
pensyarah yang berwibawa untuk memberi ceramah tentang kesan negatif gejala
sosial. Begitu juga, kempen tersebut perlulah diadakan secara berterus-terusan
supaya lebih berkesan, janganlah “hangat-hangat tahi ayam”. Tuntasnya, pihak
kerajaan boleh mengatasi gejala sosial melalui kempen yang berterus-terusan.

Konklusinya, masalah gejala sosial adalah masalah yang serius yang tidak
boleh dipantang enteng kerana remaja adalah pemimpin masa depan. Oleh itu, semua
pihak perlu berganding bahu untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja.

Isi Tambahan

Selain itu, ibu bapa patutlah memberikan perhatian dan kasih sayang kepada
anak-anak remaja. Ibu bapa haruslah mengambil berat anak-anak untuk memahami
kehidupan dan masalah mereka. Dengan ini, ibu bapa boleh membantu anak-anak
jika mereka menghadapi masalah. Remaja yang berasa dihargai memang akan
mengelakkan diri daripada gejala sosial supaya tidak menyakitkan hati ibu bapa.
Pendek kata, ibu bapa yang membimbing anak-anak bagai menatang minyak yang
penuh boleh mengelakkan remaja daripada terlibat dalam gejala sosial.

Anda mungkin juga menyukai