Anda di halaman 1dari 17

Sekolah Kebangsaan Merapoh, 28000 Merapoh, Kuala Lipis, Pahang.

____________________________________________________________________________ Ibu bapa dan Penjaga Murid, Sekolah Kebangsaan Merapoh, 28000 Merapoh, Kuala Lipis, Pahang.

1 OKTOBER 2010

Tuan,

Kempen Kebersihan dan Keceriaan Sekolah

Merujuki perkara di atas, pihak sekolah ini akan menganjurkan Kempen kebersihan dan Keceriaan Sekolah sepanjang bulan ini. 2. Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk menyemai kesedaran dalam kalangan murid tentang kepentingan kebersihan dan keceriaan sekolah. Selain itu, pihak sekolah berharap agar kempen ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan pihak ibu bapa atau penjaga melalui pelbagai kegiatan sepanjang kempen ini dijalankan. 3. Antara kegiatan yang akan dijalankan bersempena dengan kempen ini termasuklah aktiviti gotong-royong, pertandingan mewarna, pertandingan kelas terbersih, ceramah kesihatan, pertandingan mengarang dan program kitar semula. 4. Kegiatan gotong-royong dan kitar semula akan turut disertai oleh Pegawai Pelajaran Daerah. Kegiatan ini diharapkan dapat memastikan kawasan sekolah tidak dicemari oleh sampah dan kawasan pembiakan nyamukdapat dihapuskan. Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan amat kami hargai. Sekian, terima kasih. Saya yang menurut perintah, ............................................ (ABDUL MALEK BIN IBRAHIM) Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Merapoh, 27210 Merapoh, Kuala Lipis, Pahang.

Autobiografi: Aku Sehelai Baju


Aku dilahirkan di sebuah butik terkenal di ibu kota. Selepas dilahirkan, aku dipakaikan pada sebuah patung dan diletakkan di dalam cermin. Tanda harga yang terlekat di badanku menunjukkan RM 350.00. Setelah lima hari berada di situ, aku telah dibeli oleh seorang gadis bernama Linda. Linda memakaiku pada majlis hari jadinya. Sebaik sahaja kawan-kawan Linda melihat diriku, mereka semua memuji kecantikan yang aku miliki. Selang beberapa bulan, Linda ingin memakaiku sekali lagi. Apabila melihat badanku berkedut, dia mengambil seterika lalu menggosokku. Ketika badanku diseterika, telefon berdering. Linda berlari meninggalkan aku sehingga terlupa untuk menutup suis seterika. Badanku mula terasa panas. Aku cuba menahan keperitan tetapi akhirnya aku hanya mampu menangis kerana terlampau sakit. Lama-kelamaan sebahagian badanku terbakar. Apabila terhidu bau badanku terbakar, Linda tergesa -gesa mendapatkanku. Namun sudah terlambat kerana aku sebahagian badanku telahpun hangus. Kini aku hanya menjadi penghuni setia almari usang.

Autobiografi: Aku Sebuah Basikal


Aku berasal dari "Negara Matahari Terbit". Aku dibuat di sebuah kilang di negara maju itu. Badanku terdiri daripada besi, getah, kaca dan plastik. Setelah siap dipasang, aku digelar basikal. Aku dan kawan-kawanku yang lain ditempatkan di sebuah bilik di kilang itu sementara menunggu untuk dipasarkan. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai kawan-kawan memuji kecantikanku. Tidak lama kemudian, aku dan kawan-kawanku dihantar ke sebuah pelabuhan untuk menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan beberapa orang kelasi kapal itu, aku dengar ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memiliki kami. Aku semakin bangga. Nasib kami sungguh malang. Tanpa disangka kapal yang kami naiki karam setelah dipukul ombak besar. Aku dan kawan-kawanku tenggelam ke dasar laut. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawankawanku naik ke daratan. Akhirnya kami dihantar ke kilang kitar semula. Aku berasa sungguh kesal kerana telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia. Bagaimanapun, itu tidak penting kerana aku yakin semuanya adalah ketentuan Tuhan.

Berita: Anugerah Pelajar Cemerlang


Andaikan anda pemberita akhbar tempatan. Anda perlu membuat liputan tentang Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Negeri 2011. Tuliskan berita tersebut. ** ** *** ** ** PAHANG, 16 NOVEMBER-Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi, 12 tahun, telah terpilih sebagai Pelajar Cemerlang Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur bagi Tahun 2011. Penghargaan ini telah disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato` Adnan bin Yaacob. Penyampaian anugerah ini berlangsung di Dewan Besar Muazham Shah, Kuantan, Pahang bersempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia. Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi ialah murid Tahun 6, Sekolah Kebangsaan Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh, 2011. Beliau telah memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR yang lalu dan merupakan seorang yang rajin belajar serta sering mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelbagai bidang yang diceburinya. Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi merupakan seorang murid yang cergas dalam bidang sukan. Beliau telah mewakili negari Pahang dalam Pasukan Bola Sepak Sekolah Rendah, 2011. Beliau juga telah menjadi johan dalam acara lompat jauh dan lompat tinggi di peringkat negeri Pahang. Di sekolah, Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi ialah Ketua Pengawas dan Ketua Pasukan Pengakap. Beliau juga memegang jawatan penting dalam beberapa persatuan di sekolahnya seperti Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu, Setiausaha Persatuan Bahasa Inggeris dan Bendahari Persatuan Metametik. Beliau menyatakan perasaan gembira dan bersyukur atas anugerah ini. Beliau menasihatkan kepada rakanrakan yang ingin berjaya agar membuat sesuatu itu dengan penuh komitmen, tidak mudah putus asa dan tekun. Beliau mengucapkan terima kasih kepada ibu-bapa, guru-guru dan rakan-rakan atas dorongan dan semangat yang diberikan. ** *** **

Terima kasih. Contoh berita ini telah disalin oleh: Adik Aiman dan Wafiq dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang pada 21 April 2012.

Biografi: Penoreh Getah


Pada cuti semester yang lalu, anda telah tinggal bersama-sama pakcik anda. Pakcik anda itu penoreh getah. Ceritakan kehidupan seharian pakcik anda itu dalam bentuk karangan. Rangka Karangan : Pendahuluan - rumahnya tidak jauh dari kebun getah -setiap hari dia pergi menoreh -pergi dengan berbasikal Perenggan ke-2 - memakai topi berlampu - dapat menoreh walaupun suasana masih gelap - menoreh dengan pisau getah tajam Perenggan ke-3 - selesai menoreh pukul 10 - sentiasa pastikan kebunnya terjaga Perenggan ke-4 - menjual hasil seminggu sekali - mengutip getah skrap dan dikumpulkan - getah dijual

Penutup - dapat menanggung keluarga - menanam tanaman lain dan ternakan sebagai sampingan - bangga dengan sikapnya yang rajin ** ** ** ** ** Pakcik saya seorang penoreh getah. Kebun getahnya terletak tidak berapa jauh dari rumahnya. Setiap pagi, sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang Subuh, dia akan segera ke kebun getahnya dengan menunggang sebuah basikal. Sebelum menoreh, pakcik saya akan memakai topi yang berlampu suluh kerana keadaan waktu itu masih gelap. Dia menoreh dengan sebilah pisau getah yang sentiasa diasah tajam supaya kerjanya dapat dilakukan dengar lancar serta lebih banyak susu getah dapat dihasilkan. Kerja-kerja menoreh itu selesai kira-kira pukul 10.00 pagi. Sebelum pulang ke rumah, pakcik saya akan memastikan kebunnya berkeadaan baik. Jika perlu, dia akan menebas dan sebagainya dahulu sebelum pulang ke rumah. Kira-kira seminggu menoreh, pakcik saya akan menjual hasil kebunnya. Dia akan membawa guni atau baldi untuk mengutip getah skrap yang berlonggok di pangkal pokok-pokok getah, sebelum dikumpulkan di satu tempat sementara menunggu lori pembeli getah tiba. Hasil daripada jualan getahnya itu, dapatlah pakcik saya menanggung perbelanjaan keluarganya. Selain menoreh getah, pakcik saya juga ada menanam sayur dan menternak kambing sebagai pendapatan sampingan. Saya sungguh bangga melihat kerajinan pakcik saya mencari nafkahnya seisi keluarga.

Catatan: Sambutan Hari Guru


Sekolah kamu telah mengadakan sambutan Hari Guru. Tulis catatan tentang sambutan Hari Guru tersebut. __________________________________________________________ RABU, 16 MEI 2012 7.30 pagi Semua guru dan murid berkumpul di dewan sekolah untuk meraikan majlis sambutan Hari Guru 2012. Lagu Negaraku, lagu negeri dan lagu rasmi sekolah dinyanyikan sebelum bacaan Ikrar oleh Mohd Rafiq bin Sabaruddin, selaku Ketua Pengawas. Kemudian, bacaan doa dibacakan oleh Ustaz Azril. 7.40 pagi Acara dimulakan dengan ucapan GPK 1 iaitu Pn. Hajah Puspa Dewi, sebelum beliau membacakan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Kemudian Tuan Guru Besar, En. Awang Satip bin Md. Salleh menyampaikan ucapan dan seterusnya membacakan perutusan Yang Berhormat Menteri Pelajaran. 8.40 pagi Semua guru dan murid berkumpul di padang sekolah untuk acara sukaneka. Guru dan murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan tetapi tidak semua murid terlibat, sebaliknya mereka hanya menjadi penonton. Seterusnya, sukaneka dijalankan dengan beberapa acara yang menarik. Aktiviti berjalan lancar dan semua kelihatan gembira dan mengambil bahagian. 10.00 pagi Majlis berhenti rehat. Murid-murid dan para guru menikmati ais krim dan pelbagai jenis kuih-muih yang disediakan di kantin sekolah. 10.40 pagi Acara persembahan diadakan di dewan sekolah. Beberapa orang murid dan guru mengambil bahagian dalam acara nyanyian dan lakonan. Setiap persembahan mendapat tepukan gemuruh daripada semua murid. 12.00 tengah hari Upacara penyampaian hadiah bagi acara sukaneka . Kumpulan 5 telah menjadi johan bagi keseluruhan acara. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG, Encik Abu Kasim bin Kamat. 12.40 tengah hari Murid yang berminat beratur untuk menyampaikan hadiah masing-masing kepada guru-guru mereka. Kemudian, semua murid beratur untuk bersalaman dengan para guru secara bergilir-gilir. 01.10 tengah hari Semua murid dibenarkan balik . Para guru diraikan pula dalam satu jamuan makan tengah hari sempena Hari Guru.

Cerita: Kampungku dilanda banjir


Pada cuti sekolah yang lalu kamu telah pulang ke kampung. Tidak lama kemudian kampung kamu dilanda banjir. Ceritakan pengalaman kamu itu. _______________________________________________________________________

Pada cuti sekolah yang lalu, saya pulang ke kampung kelahiran saya di Kampung Merapoh Kuala Lipis, Pahang. Sejak tiba di kampung, hujan lebat turun tidak berhenti-henti menyebabkan kami sekeluarga berasa bimbang. Oleh sebab itu. keluarga saya mula mengemaskan barang-barang yang penting dan berharga sebagai persediaan jika terpaksa berpindah. Akhirnya, kami dipindahkan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan sampan dan bot. Kami bersyukur kerana semua penduduk kampung berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan dengan selamat walaupun berasa agak sedih melihat seluruh kampung kami telah hampir ditenggelami air. Kami hanya mampu berdoa agar air bah akan surut dengan segera dan keadaan kembali pulih seperti biasa. Semasa berada di pusat pemindahan, kami dibekalkan dengan pelbagai barang keperluan oleh pihak kerajaan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan pakaian. Kaum wanita pula bergotong-royong untuk menyediakan makanan. Saya berasa kurang selesa dan bosan berada di situ kerana terpaksa tidur di tempat yang terbuka, berkongsi bilik air dan sebagainya. Mujurlah saya dapat bermain dengan beberapa orang kawan sebaya. Seminggu kemudian, banjir di kampung kami kembali pulih. Sekembali ke kampung, kami berasa sungguh sedih apabila melihat keadaan rumah yang begitu kotor dengan sampah dan lumpur. Banyak harta benda seperti kereta, binatang ternakan dan tanam-tanaman yang musnah. Banjir yang dahsyat ini meninggalkan kenangan pahit buat semua penduduk kampung. Kami berdoa agar kejadian sebegini tidak akan berlaku lagi.

Fakta: Cara-cara Menggembirakan Ibu Bapa


Ibu bapa merupakan orang yang banyak berjasa kepada kita. Tulis karangan cara-cara kamu menggembirakan ibu bapa. ______________________________________________________

Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam sesebuah keluarga. Tanpa mereka, kita tidak akan lahir ke dunia ini. Merekalah yang memberikan kita kasih sayang yang sejati hingga sanggup berkorban harta dan nyawa demi kebahagiaan kita. Oleh sebab itu, wajarlah kita sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati mereka. Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berakhlak mulia. Akhlak mulia akan menyebabkan seseorang itu mentaati perintah agama, menghormati orang lain, bertanggunjawab, berdisplin dan sebagainya. Anak-anak yang berakhlak mulia juga akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Hal yang demikian, sudah tentu akan menggembirakan hati ibu bapa. Ibu bapa juga tentu gembira apabila mendapati anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh. Anak-anak yang rajin belajar kebiasaannya akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam

pelajaran. Oleh itu, kita mestilah rajin belajar agar ibu bapa kita gembira serta memperoleh masa depan yang lebih cerah. Di samping itu, kita juga haruslah membantu mereka. Kita boleh membantu mereka dengan melakukan kerja-kerja yang sesuai seperti mendidik adik, mengemas rumah dan sebagainya. Dengan itu, kita dapat meringankan beban mereka dan ini tentu menggembirakan hati mereka. Selain itu, Ibu bapa juga tentu gembira jika anak-anak menghormati mereka. Bercakap dengan sopan, bersalaman dan mencium tangan, mendengar teguran dan nasihat, mengucapkan salam dan senyum semasa berhadapan dengan mereka antara contoh kita menghormati ibu bapa. Amalkan sikap ini agar ibu bapa kita sentiasa gembira bersama anak-anak. Kesimpulannya, sebagai seorang anak sudah pasti kita ingin melihat ibu bapa kita sentiasa gembira. Justeru, sentiasalah berazam dan berusaha untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa agar hidup kita lebih diberkati.

Ucapan: Tanggungjawab Anak-anak Terhadap Ibu Bapa


Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru, serta rakanrakan sekalian. Tajuk Ucapan saya pada pagi ini ialah "Tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa". Hadiran sekalian, Anak-anak mestilah bertanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa yang telah membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang. Antara tanggungjawab tersebut ialah menghormati ibu bapa dengan sepenuh hati. Kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada ibu bapa seperti bersalaman dengan mencium tangan apabila berjumpa atau semasa ingin berpisah dengan mereka. Bertuturlah dengan sopan apabila berbual dengan ibu bapa sebagai tanda menghormati mereka. Sebagai anak, kita mestilah menjaga nama baik ibu bapa dengan menjaga tingkah laku atau moral. Elakkan daripada memalukan ibu bapa seperti melanggar disiplin sekolah dan sebagainya. Rakan-rakan sekalian, Ibu bapa terlalu banyak tugas dalam mengurus keluarga setiap hari. Oleh itu, kita mesti membantu ibu bapa seperti membasuh pinggan, mengemas rumah, dan sebagainya lagi. Dengan ini, beban kerja yang ditanggung oleh mereka akan menjadi lebih ringan, di samping dapat menambahkan kasih sayang antara setiap ahli keluarga. Anak-anak juga perlulah berusaha mengembirakan hati ibu bapa. Antara caranya ialah dengan belajar bersungguh-sungguh kerana ibu bapa sudah pasti ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Janganlah mengecewakan harapan mereka dengan bermain-main semasa belajar dan sebagainya. Di samping itu, anak-anak mestilah senantiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Sesungguhnya jasa mereka tidak akan terbalas dengan apa cara sekalipun. Oleh hal yang demikian, amat wajarlah kita mendoakan kesejahteraan mereka terutamanya setiap kali selepas sembahyang. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru rakan-rakan agar hormatilah dan sayangilah ibu

bapa kita. Janganlah kita lupa akan jasa mereka apabila besar atau berjaya dalam kehidupan nanti. Ingatlah, pemergian ibu bapa kita tidak akan ada gantinya. Sekian, terima kasih.

Laporan: Sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke-47


Laporan: Sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke-47 Setiap tahun negara kita akan mengadakan sambutan hari kemerdekaan negara bagi mengingati detik bersejarah yang amat berharga kepada semua rakyat Malaysia. Pada tahun ini iaitu tahun 2004, sambutan Hari Kemerdekaan Negera bertempat di Kuantan, Pahang. Sambutan tersebut diadakan pada tarikh 31 Ogos, bersempena hari kemerdekaan negera. Ramai yang datang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama untuk meraikan hari yang bersejarah tersebut. Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk menanam perasaan cinta rakyat Malaysia terhadap Negara. Kemerdekaan daripada penjajahan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ramai pahlawan terpaksa berkorban harta dan nyawa bagi memastikan negara terlepas daripada belengu penjajahan yang menyeksakan. Oleh itu sewajarnyalah kita berganding bahu agar negara kita terus maju, aman dan harmoni. Pada tahun ini saya amat gembira kerana pertama kali berpeluang menyaksikan sendiri sambutan itu di Kuantan. Sambutan itu bermula tepat pada pukul 8.00 pagi dengan upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang. Serentak dengan upacara tersebut, semua hadirin berdiri tegak dan menyanyi lagu 'Negaraku' dengan penuh bersemangat. Apatah lagi apabila nyanyian keramat itu disemarakkan dengan alunan muzik yang dimainkan oleh sebuah pasukan pancaragam. Kemudian, hadirin menyanyikan beberapa lagu patriotik antaranya ialah lagu 'Malaysia Jaya', 'Malaysia Maju', dan 'Keranamu Malaysia'. Menarik sekali melihat mereka menyanyikan lagu-lagu tersebut sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Selepas itu perbarisan lintas hormat telah diadakan pada pukul 9.00 pagi oleh murid-murid sekolah, kaki tangan kerajaan, pihak swasta dan lain-lain lagi. Upacara perbarisan ini bertambah menarik dengan munculnya kenderaan-kenseraan pasukan keselamatan negara kita seperti bomba, polis dan tentera serta pelbagai kenderaan yang dihias cantik dengan Bendera Jalur Gemilang dan sebagainya. Semua peserta perbarisan mengibarkan bendera Jalur Gemilang semasa perbarisan tersebut. Lebih menarik lagi apabila serentak dengan upacara tersebut, penerbangan lintas hormat oleh beberapa buah helikopter dan jet pejuang negara kita turut diadakan. Pada pukul 11.00 pagi, upacara penutup telah diadakan. Saya berasa amat bertuah kerana pada tahun ini saya berpeluang menghadiri Sambutan hari Kemerdekaan yang sungguh meriah. Saya berharap agar sambutan Hari Kemerdekaan akan diadakan dengan lebih meriah lagi pada tahun hadapan. "Saya berasa bangga menjadi Warga Negara Malaysia".

Laporan desediakan oleh, .................................. (NUR SYHIRAH BINTI ABU BAKAR)

6 September 2004

Melengkapkan cerita: Kunci basikalku hilang

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba ..... *** *** *** *** *** Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba aku dapati kunci basikal aku hilang. Aku berasa sungguh bimbang. Aku mencari kunci basikalku di tempat letak basikal. Malangnya kunci basikalku tiada. Jam tangan aku menunjukkan hampir pukul 3.00 petang. Aku berasa sangsat takut. Aku terus pergi ke pondok telefon yang berhampiran.Mujurlah aku mempunyai wang syiling. Aku menelefon ibuku. Aku memberitahu ibu tentang kehilangan kunci basikalku. Ibuku menyuruhku menunggu di sekolah. Tidak lama kemudian, ibuku pun datang. Ibu dan aku mengangkat basikal lalu memasukkan ke dalam kereta. Ibuku membawa aku ke kedai membuat kunci. Ibuku menempah kunci baru untuk basikalku. Selepas beberapa minit, kunci baru siap dipasang. Aku berasa sungguh gembira. Ibuku menasihati aku agar tidak cuai lagi. Semenjak kejadian itu menimpaku, ibu dan bapaku melarang aku menunggang basikal ke sekolah lagi. Aku dihantar oleh ayah ke sekolah. Aku berasa sungguh sedih kerana tidak dapat berbasikal ke sekolah bersama rakan-rakanku lagi.

Perbahasan: "Belajar Secara Kendiri Lebih Baik Berbanding Belajar Secara Berkumpulan".
Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pencadang serta hadirin sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk perbahasan kita pada pagi ini ialah ''Belajar Secara Kendiri Lebih Baik Berbanding Belajar Secara Berkumpulan''. Namun sebagai pembangkang, saya tetap menyatakan bahawa belajar secara kumpulanlah yang lebih baik berbanding belajar secara kendiri. Hadirin yang dikasihi, Belajar secara kumpulan membolehkan kita berkongsi idea melalui sesi perbincangan atau sumbang saran. Oleh itu, pembelajaran berkumpulan pasti dapat memantapkan ilmu dan meningkatkan kemahiran berfikir. Di samping itu, belajar secara kumpulan juga membolehkan pelajar berkongsi nota dan bertukartukar maklumat dalam masa yang singkat. Mampukah pelajar yang belajar secara kendiri memperoleh faedah sedemikian? Saya yakin, tidak! Hadirin yang budiman, Belajar secara berkumpulan juga dapat memupuk kerjasama. Pemupukan ini penting untuk melahirkan pelajar yang prihatin dan bertanggungjawab. Bukankah ini antara cara yang terbaik membentuk masyarakat yang cemerlang.

Selain itu, pelajar dapat memupuk pelbagai sikap positif terutama semangat berpasukan dan semangat berjuang untuk sama-sama memperoleh kejayaan. Sikap sebegini sukar diperoleh sekiranya anda belajar secara kendiri. Berasaskan hujah-hujah tadi, jelaslah bahawa belajar secara kumpulan memang lebih baik berbanding belajar secara kendiri. Justeru, amalkanlah belajar secara berkumpulan demi kecemerlangan bersama. Sekian hujah saya.Terima kasih.

Perbincangan: Kerajinan
Tulis sebuah karangan yang membincangkan tentang Kerajinan. Tulislah karangan tersebut kira-kira 120 patah perkataan.

Sememangnya sudah menjadi lumrah kehidupan, orang yang rajin berusaha akan lebih berjaya manakala yang malas atau berat tulang pula akan ketinggalan. Sehubungan dengan hal ini, kita mestilah rajin menimba ilmu pengetahuan kerana orang tua-tua pernah berkata bahawa orang yang tidak berilmu ialah orang yang tidak berjaya. Sebenarnya, setiap kejayaan yang kita kecapi bertitik tolak daripada daya usaha dan kerajinan. Oleh sebab itu, jangan biarkan kemalasan menjadi penghalang kepada kemajuan dan kesejahteraan hidup kita. Bakat semula jadi dan ilmu yang ditimba perlulah digilap dan diasah dengan kesungguhan, kecekalan dan kerajinan agar kejayaan dan kecemerlangan dapat kita kecapi. Bak kata peribahasa belakang parang, kalau diasah lagikan tajam. Oleh itu, kita haruslah senantiasa bersikap rajin untuk mengejar cita-cita atau impian kita. Jika kita suka membaca serta menjadikannya budaya hidup, sudah tentu ini akan mematangkan fikiran kita. Akhirnya, kematangan itu dapat kita gunakan dalam menempuh gelombang kehidupan yang mencabar demi memperoleh kejayaan hidup. Sikap rajin juga akan mendorong kita agar senantiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita. Kegagalan pula bukanlah bermaksud kita akan terus gagal dalam kehidupan kita. Soalnya, kita hendaklah terus mencuba dan mencuba lagi walaupun laluan yang kita lalui itu sukar dan mencabar. Sesungguhnya, tidak ada apa-apa yang mustahil di dunia ini dan kerajinanlah penawarnya yang paling mujarab bagi kegagalan seseorang. Ingatlah, Rajin berusaha tangga kejayaan. Anda mungkin juga meminati:

Peribahasa: Bagai Aur Dengan Tebing


Bagai Aur Dengan Tebing Peribahasa "Bagai Aur Dengan Tebing" bermaksud tolong-menolong di antara satu sama lain. Seumpama serumpun aur di tebing. Aur menumpang pada tebing untuk mendapatkan air, manakala tebing pula memerlukan aur supaya tebing tidak mudah terhakis. Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya. Oleh itu, manusia harus hidup bekerjasama dan saling bantu-membantu seperti aur dengan tebing. Hidup begini dikatakan sepakat

dan menjadikan sesuatu kerja itu lebih mudah dan cepat disiapkan. Semangat kerjasama dan gotong-royong sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar dalam segala lapangan kehidupan. Sebagai contoh, mereka bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman mereka secara bergotong-royong. Begitu juga jika ada majlis perkahwinan, lazimnya orang kampung akan bergotong-royong untuk menjayakan majlis tersebut. Bahkan sesetengah tempat, orang kampung membina masjid secara bergotong-royong. Peribahasa ini juga ada persamaan maksud dengan peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama digigit. Kesimpulannya, peribahasa ini amat baik untuk diteladani bersama terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda kerana semangat bekerjasama ini semakin kurang diamalkan oleh mereka. _______________________________________________ Senaraikan isi-isi penting yang terdapat dalam karangan di atas. 1. Bagai Aur Dengan Tebing bermaksud tolong-menolong. 2. Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya. 3. Bekerjasama dan saling bantu-membantu akan memudah dan mempercepatkan kerja. 4. Nilai ini sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar. 5. Harus diteladani terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda.

Rencana: Banjir
Tulis sebuah karangan tentang Banjir. Panjang jawapan kamu tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka Karangan : Pendahuluan - bencana alam -sering melanda pada akhir tahun di Pantai Timur. -berlaku akibat hujan lebat tanpa henti (tengkujuh)

Perenggan ke-2 - kerap melanda di kawasan rendah dan tepi sungai. - banyak harta benda musnah - haiwan ternakan dan tanaman mati - kerugian besar Perenggan ke-3 - mengancam nyawa - aliran air deras dan dalam - lemas Perenggan ke-4 - pelbagai benda merbahaya dihanyutkan air - ada yang nahas terkena atau terperangkap benda merbahaya - airnya tercemar dan boleh menyebarkan penyakit Penutup - berhati-hati - berpindah segera sebelum air naik ***************************************** Banjir Banjir adalah bencana alam yang sering melanda negara kita terutamanya di negeri -negeri Pantai Timur, Semenanjung Malaysia. Kebiasaannya negeri-negeri ini akan mengalami musim tengkujuh pada setiap akhir tahun. Hujan lebat yang kerap berlaku pada musim itu menyebabkan banjir di kawasan tersebut. Banjir kerap melanda kawasan-kawasan yang rendah seperti kawasan berhampiran sungai. Banyak harta benda yang musnah serta binatang ternakan dan tanaman mati. Mereka yang terlibat seperti para petani akan mengalami kerugian besar. Banjir juga boleh mengancam nyawa. Ramai yang lemas kerana bermain dengan air banjir yang alirannya deras dan dalam. Apatah lagi jika mereka tidak tahu berenang. Air banjir yang keruh menghanyutkan pelbagai benda yang berbahaya seperti kayu tajam, tali dan sebagainya. Ada yang nahas kerana terlanggar atau terperangkap dengan benda-benda yang dihanyutkan air deras ini. Air banjir juga tercemar dengan pelbagai kotoran daripada air kumbahan,

bangkai binatang dan sebagainya. Keadaan ini boleh menyebarkan penyakit. Justeru, janganlah mengambil air banjir untuk diminum, apatah lagi jika tidak dimasak. Oleh itu, apabila tiba musim hujan kita mestilah berhati -hati. Adalah lebih baik jika kita berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum air naik.

Surat Kiriman Tidak Rasmi: Menceritakan pengalaman di tempat baru

Anda baru berpindah ke tempat baharu di sebelah pantai timur. Tulis sepucuk surat kepada kawan lama anda untuk menceritakan pengalaman baru di sana. _________________________________________________________________________ Rangka karangan Pendahuluan -Alamat pengirim -Tarikh -Kata-kata aluan dan bertanya khabar 1. 2. 3. 4. Isi utama menceritakan pekerjaan utama masyarakat sebagai nelayan sebagaipunca rezeki berpeluang mempelajari selok-belok tentang kehidupan nelayan, pergi kepantai untuk melihat nelayan pergi dan pulang masyarakat yang ramah dan selalu senyum, mudah mendapat kawan, satu sekolah dengan dengan saya sekolah berhampiran dengan rumah, tidak mempunyai masalah dalam pelajaran, sering membantu rakan-rakan, guru sering memberi nasihatdan peransang Penutup - menjemput rakan untuk bercuti ______________________________________________________________________________ No. 13, Kampung Nelayan, Kuantan, Pahang. 30 April 2012 Assalamualaikum, Menemui sahabatku Talib yang ku rindui selalu. Diharapkan saudara sihat seisi keluarga.

Tujuan saya menulis surat adalah untuk bertanya khabar dan menceritakan pengalaman baru saya. Di sini saya ceritakan keadaan di tempat baru saya. Pekerjaan utama masyarakat di sini ialah nelayan yang mencari rezeki di Laut China Selatan. Kedudukan rumah-rumah di sini berhampiran dengan pantai. Keadaan ini membuka peluang untuk saya mempelajari tentang selok-belok kehidupan nelayan. Saya selalu pergi ke pantai pada waktu pagi semasa cuti sekolah untuk melihat nelayan-nelayan pergi ke laut . Pada sebelah petangnya pula saya menunggu nelayan-nelayan pulang dengan pelbagai hasil tangkapan laut yang segar. Masyarakat di sini ramah dan tidak lokek dengan senyuman. Di sekolah, saya mudah mendapat kawan-kawan baru. Mereka cepat mesra dan sering membantu saya untuk memahami loghat Pahang. Untuk pengetahuan saudara, sekolah saya terletak berhampiran dengan rumah saya. Di sini saya tidak mempunyai masalah dalam pelajaran, malah saya sering membantu rakan-rakan yang lemah. Guru-guru di sini juga baik-baik belaka dan selalu memberi nasihat dan peransang kepada saya. Akhir sekali, sudilah saudara untuk datang bercuti di sini. Saya senantiasa menanti kedatangan saudara di sini. Sekian sahaja untuk kali ini. Di harap anda sudi membalas surat saya dan bercuti di sini. Sahabatmu Amirull

Syarahan: Menghormati Guru Amalan Mulia


Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis.Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah Menghormati guru amalan mulia. Hadirin sekalian, Menghormati guru merupakan amalan mulia kerana mereka orang yang berjasa kepada kita semua. Gurulah yang mendidik kita sehingga kita pandai membaca, menulis dan mengira. Mereka telah mendidik kita tanpa mengenal erti penat dan lelah agar kita menjadi insan yang berguna. Mereka juga banyak memberi dorongan kepada kita agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran dan sebagainya. Guru merupakan orang yang kedua perlu kita hormati selepas ibu bapa. Ini kerana hampir separuh masa seharian kita bersama mereka. Merekalah yang menjaga, memberi nasihat, tempat kita mengadu dan sebagainya sepanjang kita berada di sekolah. Guru juga banyak berkorban demi kejayaan kita. Antaranya mereka sanggup mengajar lebih masa atau hadir ke kelas tambahan untuk mengajar secara suka rela demi memastikan kita berjaya dalam pelajaran. Hadirin sekalian,

Kita wajar menghomati guru bukan sekadar dengan ucapan sahaja malah haruslah dibuktikan antaranya dengan belajar bersungguh-sungguh. Apabila kita berjaya, guru pasti akan gembira. Doakanlah moga guru-guru kita dilimpahi segala kebaikan seperti dimurahkan rezeki dan sebagainya. Sesungguhnya jasa mereka amat besar dan tidak terbalas. Oleh itu, kita harus mengingati jasa-jasa mereka dengan menghormati mereka seumur hidup agar kita terus mendapat keberkatan daripada Allah. Setakat ini sajalah syarahan saya pada pagi ini. Akhir kata, saya menyeru kepada rakan-rakan supaya menghormati guru-guru dengan seikhlas hati kerana kejayaan seseorang itu pastinya hasil daripada didikan para guru. Sekian ,terima kasih.

Temu Ramah/Dailog: Faedah-faedah Membaca.


Amar : Assalamualaikum! Aini : Waalaikummussalam! Eh, Amir! Ingatkan siapa tadi. Duduklah Amar : Terima kasih. Awak baca buku apa tu Aini : Saya baca buku agama bertajuk Bukti-bukti Kebesaran Allah. Banyak kebaikannya membaca buku ini. Antaranya, saya dapat merasai keimanan saya semakin meningkat. Amar : Baguslah! Dengan membaca, pengetahuan kita tentu akan bertambah. Sebab itulah kebanyakan orang yang rajin membaca akan berjaya dalam bidang yang diceburi mereka. Aini : Kenapa pula awak datang ke sini, Amar? Amar : Sebenarnya saya memang sengaja datang ke sini kerana ingin berbual-bual sahaja sebagai mengisi masa lapang saya sekarang Aini : Oh, begitu! Kenapa awak tidak isikan masa lapang tersebut dengan membaca buku-buku. Dapatlah masa lapang itu diisi dengan perkara-perkara yang lebih berfaedah. Amar : Betul Aini. Tapi saya rasa berbual-bual dengan awak pun perkara yang berfaedah juga. Kita boleh berbual tentang pelajaran dan sebagainya. Aini : Eem betullah tu, tetapi jika hanya berbual kosong, lebih eloklah kita membaca buku. Melalui membaca juga, pembendaharaan kata kita akan semakin bertambah.Maaf, boleh saya bertanya, markah kertas ujian karangan kamu baru-baru ini berapa? Amar : Eh, malulah nak cakap! Saya cuma mendapat 65 peratus sahaja. Saya rasa susahlah nak buat karangan tu. Awak pula bagaimana? Aini : 95 peratus! Dahulupun saya macam awak juga tetapi setelah saya selalu membaca, saya berasa lebih mudah untuk membina ayat dalam karangan. Awak selalulah membaca, mungkin awak akan mendapat markah yang lebih tinggi nanti.

Amar : Betul juga cakap awak. Selepas ini saya akan cuba isikan masa lapang saya dengan membaca buku. Aini : Baguslah macam itu. Saya harap awak akan berjaya. Lagipun membaca juga dapat menghiburkan kita tau. Banyak buku cerita yang boleh menghiburkan kita di pasaran sekarang seperti majalah Kuntum dan sebagainya. Amar : Saya selalu terlihat majalah yang memaparkan model seksi di muka depannya dijual di gerai-gerai buku. Saya berasa janggallah untuk membelinya. Aini : Amar! Amar! Bukan semua majalah sesuai untuk kita membacanya. Pilihlah majalah yang baik yang boleh meningkat ilmu pengetahuan kita. Bukannya majalah yang menyebabkan kita berbuat dosa. Amar : Terima kasih Aini atas nasihat awak. Eloklah saya pulang dahulu. Hari pun sudah semakin senja. Aini : Baiklah.

Ucapan: Majlis Perpisahan Tahun Enam.


Anda selaku ketua darjah diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan untuk muridmurid Tahun Enam. ____________________________________________________________________________ Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru serta rakanrakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini. Hadirin sekalian, Sudah hampir 6 tahun kami berada di sekolah ini. Jika menghitung hari persekolahan, bermakna tinggal 6 hari lagi kami menjadi warga sekolah ini. Justeru, kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini. Kami amat menghargai akan jasa guru-guru di sekolah ini yang mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan megira. Kami akan sentiasa mengingati pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara. Hadirin sekalian . Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti. Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meniggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru

akan kami kenang sehingga akhir hayat kami. Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun daripada saya; Ramai orang menanam padi, Padi ditanam hingga ke seberang, Banyak budi perkara budi, Budimu guru dikenang orang. Sekian, terima kasih. ____________________________________________________________

Anda mungkin juga menyukai