Anda di halaman 1dari 6

Bahasa Melayu Baku Bahasa Melayu baku dapat didefinisikan dalam Kamus Dewan (2005:106) sebagai bahasa yang

teratur dan mantap daripada pelbagai aspeknya seperti ejaan, bentuk kata, tatabahasa dan diterima oleh masyarakat sebagai norma penggunaan yang betul atau sahih, bahasa standard. Kata baku telah diperluas menjadi bahasa baku, pembakuan bahasa atau pembakuan yang membawa maksud yang hampir sama. Istilah pembakuan dimaksudkan sebagai satu usaha atau tindakan atau proses membakukan (menstandardkan). Manakala pembakuan bahasa didefinisikan oleh Awang Sariyan (1996:3) sebagai usaha, tindakan atau proses mengetengahkan bentuk bahasa yang benar dan yang dapat menjadi dasar ukuran. Namun sebagai bahasa yang hidup dan berkembang, bahasa Melayu khususnya bahasa Melayu baku menempuh banyak proses sejak zaman kesultanan Melayu lagi sehingga pada masa kini. Kini, bahasa Melayu baku menghadapi cabaran dan tekanan yang maha hebat ekoran arus pemodenan dan globalisasi. Penggiat bahasa risau, pendidik bimbang apatah lagi pejuang bahasa yang melihat kian hari bahasa Melayu kian tersisih. Kegagalan meletakkan bahasa Melayu ditempat yang sewajarnya memberi kesan kepada perlaksanaan bahasa Melayu baku dengan jayanya. Kini Bahasa Melayu sudah berusia lebih 2000 tahun (Asmah,1999). Jika dilihat dari sudut usianya bahasa Melayu sudah boleh dikelaskan sebagai bahasa yang mantap dan kukuh. Ini boleh dilihat daripada peranannya sebagai bahasa rasmi bagi negara kita., alat komunikasi dalam urusan rasmi dan tidak rasmi. Peranan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan pula tidak perlu dipertikaikan lagi, ia merupakan bahasa ilmu dan asas kepada perpaduan negara. Keyakinan negara dalam meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah kerana bahasa ini sudah ada sistemnya yang tersendiri seperti ditulis oleh Rohizah Halim dan Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail,2008 bahawa: Bahasa Melayu adalah bahasa yang mempunyai struktur dan bersistem, dengan asas yang padu dan kukuh ini, bahasa Melayu jelas sekali telah diperlengkapkan sebagai bahasa intelek dengan wibawa yang kukuh .

Secara khusus pembakuan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan mempunyai matlamat untuk: i. mewujudkan satu variasi sebutan baku di dalam bahasa Melayu yang dapat digunakan di dalam situasi formal atau rasmi, ii. iii. meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu di kalangan pengguna bahasa, memantapkan sistem dan struktur dalaman bahasa Melayu supaya sistem sebutannya menjadi mantap dan baku sejajar pemantapan dan pembakuan tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan dan laras bahasa, iv. menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur dan mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan disamping menghindarkan penggunaan dialek setempat di dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah.

Bahasa yang maju ialah bahasa yang sudah mempunyai tradisi atau sistem tulisan dan bahasa itu sudah mempunyai bentuk atau ragam baku yang mengatasi atau merentas dialekdialek bahasa itu, dan terakhir, bahasa itu mempunyai ciri-ciri modenisasi. Namun begitu, semenjak perlaksanaan Bahasa Melayu baku di sekolah oleh mantan Menteri Pendidikan Malaysia, kesannya tidak begitu ketara malah ianya telah dilupakan kerana semenjak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia banyak pihak khususnya di peringkat kabinet cuba menghilangkan legasi beliau seperti pemansuhan sebutan baku di kaca televisyen serta penukaran nama Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pelajaran. Penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dikalangan golongan pelajar Melayu menerusi bahan media baru seperti Facebook, Twitter, Youtube serta permainan elektronik kian membuat bahasa Melayu terpinggir. Berucap di majlis Anugerah Jauhari anjuran Berita Harian/Berita Minggu 2011, editor kanan Berita Harian, Encik Mohd Guntor Sadali berkata penggunaan sebutan baku di sini sejak hampir dua dekad lalu tidak menunjukkan kemajuan.Mungkin masyarakat tidak mengetahui bila pembakuan bahasa ini bermula, Menurut Encik Sidek Sanif mantan Menteri Negara Kanan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia menguatkuasakan penggunaan sebutan baku di dalam kurikulum sekolahnya pada tahun 1988. Kini setelah 20 tahun di ketengahkan di kurikulum sekolah sebutan baku tidak menampakkan kesan positif didalam penggunaan bahasa

Melayu dikalangan golongan muda. Malah, sebaliknya, dengan berleluasanya media baru yang menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Melayu semakin terpinggir. Perancangan bahasa telah berjalan sejak Malaysia merdeka lagi. Banyak rancangan telah dijalankan oleh pihak berkuasa dalam melestarikan perancangan bahasa yang dibuat. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, penggunaan bahasa baku di sekolah semakin terpinggir akibat penggunaan bahasa Inggeris dan ketidaksedaran penutur bahasa Melayu tentang penggunaan bahasa baku. Keadaan ini bermula di sekolah rendah. Murid-murid sekolah rendah lebih menggemari untuk menggunakan bahasa dialek mereka seperti bahasa yang digunaka ndalam komunikasi semasa berada di rumah. Ini adalah kerana sebutan baku berbeza dari penggunaan seharian tatkala dirumah mahupun bersama rakan. Apabila mereka berasa janggal, secara otomatis mereka akan menggunakan bahasa dialek yang lebih meudahkan mereka untuk memahami sesuatu isi komunikasi. Bahasa dialek juga telah sebati dengan jiwa dan naluri muridmurid. Selain itu, guru-guru sendiri lebih selesa menggunakan bahasa dialek masing-masing kerana mereka berpendapat dengan menggunakan dialek masing-masing anak didik mereka akan lebih memahami apa yang diajar. Seterusnya membuatkan suasana pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Guru lebih yakin dalam pengajarannya ditambah pula tindakbalas murid yang cepat memahami apa yang diajar dalam bahasa dialek masing-masing, seperti disekolah saya yang mempunyai lebih daripada empat dialek tempatan seperti dialek Melanau Bintulu, Melanau mukah, Melayu Sarawak, dialek Kedayan dan sebagainya. Guru akan sedaya upaya mencuba dengan pelbagai cara untuk menjayakan sesi pengajarannya termasuklah menggunakan Bahasa dialek dalam pengajaranya. Suatu masa dahulu bahasa baku sangat diperjuangkan sehinggakan rangkaian televisyen pun menggunakan bahasa baku. Apatah lagi pelajar-pelajar sekolah. Setiap pertandingan yang disertai diwajibkan berbahasa baku. Ini memberi kelebihan pada orang-orang utara, guru-guru di sekolah mencuba sedaya upaya merealisasikan hasrat ini. Apa yang berlaku pada masa sekarang adalah sebaliknya, Kadang kala pelajar sendiri tidak tahu apa itu bahasa baku. Pada masa sekarang, bahasa baku kurang dipraktikkan di sekolah kerana bahasa ibunda lebih 'mesra' dengan pelajar untuk memahami sesuatu yang diajar oleh guru. Bahasa baku akan dipraktikkan hanya dalam PLBS dan ULBS sahaja. . Penggunaan dialek semasa mengajar perlu dielakkan,

kepersisan bahasa Melayu akan lebih terserlah jika pembakuan lisan diamalkan dalam konteks pengajaran, bentuk komunikasi formal perlu diutamakan Kurangnya sokongan daripada pihak pengurusan dan pentadbir juga menyumbang kepada kemerosotan penggunaan bahasa baku di sekolah. Pihak pentadir lebih gemar menggunakan Bahasa tempatan semasa mengendalikan program mahupun semasa mesyuarat. Tujuan lebih kepada memudahkan pemahaman audien disamping mengurangkan persoalan daripada audien. Keadaan ini sekaligus meminggirkan bahasa melayu baku. Dalam konteks ibu bapa pula, pemilihan penggunaan bahasa dialek atau daerah ini waima dalam situasi-situasi rasmi adalah untuk memudahkan komunikasi dan juga mewujudkan kemesraan sesama mereka. Seharusnya sikap ini dielakkan agar kekeliruan penggunaan bahasa Melayu dapat dibendung dan usaha pembakuan itu dapat mencapai satu tahap yang membanggakan. Pengaruh daripada bahasa pasar atau bahasa asing juga mempengaruhi penggunaan Bahasa baku di sekolah rendah. Bahasa ini lebih cepat mendapat tempat dihati penuturnya kerana ia lebih mudah digunakan dan lebih mudah untuk difahami oleh segolongan kumpulan penuturnya, misalnya Bahasa dalam sistem pesanan ringkas yang lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian berbanding dengan bahasa baku yang memerlukan pengetahuan yang baik dalam Bahasa. Permasalahan lain yang menjadi faktor kurangnya penggunaan bahasa baku di sekolah rendah adalah ketiadaan atau kurangnya program dan aktiviti minggu Bahasa Melayu di sekolah kerana pihak pengurusan sekolah lebih menumpukan bidang lain misalnya sukan dan permainan disamping aktiviti- aktiviti lain yang lebih menonjolkan populariti sekolah tersebut. Keadaan ini sekaligus meminggirkan kedudukan Bahasa baku sebagai bahasa perantara di sekolah rendah. Pihak pengurusan hendaklah memasukkan program minggu Bahasa melayu dalam takwim sekolah. Penggunaan bahasa baku dari sudut lisan memerlukan sokongan daripada pihak berkuasa,yang boleh merancakkan lagi penggunaan bahasa baku di media- media massa terutama sekali di televisyen. Kita lihat berita TV3 yang sudah tidak berbahasa baku dari segi lisannya. Manakalah bahasa baku dari segi tatabahasa akan berkembang jika DBP terus diberikan keutamaan dalam memastikan penggunaan dalam masyarakat. Seharusnya kementerian

penerangan serta pihak berwajib perlu mewajibkan penggunaan Bahasa melayu baku yang meluas di media massa sama ada media cetak ataupun media elektronik agar boleh dijadikan panduan kepada masyarakat setempat. Berikut adalah hasil temubual bersama dua orang guru Bahasa melayu di sekolah saya tentang penggunaan Bahasa melayu baku di sekolah ini: Cikgu Suriansah Rusmanan Masalah penggunaan bahasa melayu baku di peringkat sekolah oleh guru-guru terutama guru bahasa melayu sememangnya tidak begitu membimbangkan, ini kerana mereka menggunakan bahasa baku semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru-guru tiada masalah mengajar menggunakan bahasa baku dan begitu juga pelajar boleh menerima penggunaan bahasa baku. apa yang menjadi masalah ialah asas pelajar sangat lemah kerana terbiasa dengan dialek tempatan yang sudah sebati dalam jiwa mereka semasa bertutur di rumah. Kedua, pelajar sekarang sangat kurang membaca, sekaligus perbendaharaan kata pelajar amat terhad. Pelajar kelas A dan B di sekolah saya tidak ada masalah untuk bertutur dan menulis menggunakan bahasa baku. untuk makluman pelajar di sekolah saya 90% pelajar melanau. Cikgu Haris Husin i. Saya berusaha sedaya upaya menggunakan bahasa baku semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. ii. Lazimnya, melebihi 80% mengikut keupayaan berbahasa pelajar kita, bakat dan potensi diri mereka perlu diambil kira agar mereka dapat mengikuti pelajaran dengan baik dari set induksi, pemeringkatan pengajaran dan pembelajaran , refleksi, impak dan penutup. iii. Dalam pengajaran dan pembelajaran saya mengutamakan impak dan objektif tercapai, itu perkara penting. Selain itu, guru perlu bijak mengubahsuai teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran agar serasi@ sesuai dengan kebolehan pelajar yang kita ajar kerana 'pengajaran berpusat murid' dan 'belajar hingga faham'. Inilah prinsip yang kita patut tahu dan patuh.

Kesimpulan yang dapat diambil tentang hal ini ialah penggunaan Bahasa melayu baku di sekolah saya adalah pada tahap yang tidak memuaskan, rata-rata murid dan guru tidak menggunakan bahasa melayu baku dalam proses penajaran dan pembelajaran si sekolah rendah. Penguasaan bahasa oleh generasi muda kita, dari murid sekolah rendah kepada mahasiswa yang akan menjadi pemimpin negara adalah jauh dari memuaskan. Kelemahan bahasa dapat dilihat dari beberapa aspek dari kesalahan ejaan kepada kesalahan tatabahasa dan kepada cara mengarang yang tidak berkesan dan tidak berjaya menyampaikan maksud. Pengaruh Bahasa dialek tempatan yang begitu sebati dengan jiwa murid menyekat penggunaan Bahasa melayu baku di sekolah rendah, disamping sikap guru yang lebih gemar menggunakan dialek tempatan Usaha untuk menjernihkan kekeliruan dan kekabutan perlu segera dilakukan untuk menghalang berlakunya kitaran krisis ilmu bahasa dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa Melayu. Penguatkuasaan dan pengawasan secara bersepadu oleh semua pihak berwajib adalah perlu untuk memastikan bahawa bahasa Melayu baku sebagai bahasa kebangsaan dihormati penggunaannya di sekolah- sekolah lebih- lebih lagi di sekolah rendah. Demikian juga bahasa Melayu hendaklah ditegaskan penggunaannya dalam surat rasmi, mesyuarat, ucapan, taklimat dan sebagainya oleh pihak pentadbir sekolah. Majlis rasmi di peringkat kebangsaan perlu dilangsungkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Di samping itu, media elektronik perlu menyekat penggunaan bahasa yang tidak mengikut sebutan baku bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pendengar, penutur dan pengguna bahasa Melayu. Pengamal-pengamal media perlu turut bekerjasama memartabatkan bahasa Melayu yang bermutu tinggi.

Anda mungkin juga menyukai