Anda di halaman 1dari 2

http://ipm.upsi.edu.my Oleh Prof.

Emeritus Abu Bakar A Hamid


PA ITU RETORIK?

Tanggapan orang awam tentang retorik sering lebih negatif daripada positif. Apabila sesuatu ucapan
atau tulisan itu lebih hebat gayanya dan kurang bernas kandungannya maka dikatakan kaya dengan
retorik tetapi miskin dari segi isi. Ini tanggapan yang popular. Sebenarnya retorik bermula dari zaman
tamadun Yunani kira-kira 3000 tahun yang lalu. Pada waktu itu demokrasi bukan bercorak perwakilan;
maksudnya, sesiapa yang pandai berpidato dan boleh menguasai fikiran khalayaknya, maka dia
mendapat ikutan dan menjadi pemimpin. Dia boleh pergi ke Kolesium dan menyuarakan pendapatnya di
sana. Maka penguasaan retorik dianggap ciri utama seorang terpelajar dan berpengaruh. Tokoh filsafat
Yunani tersohor, Plato dan Aristotle merupakan peneraju ilmu ini. Aristotle (384-322 BC) telah
mengangkat retorik menjadi sains terpenting dalam zamannya dan huraiannya tentang retorik masih
terus diterima dan diperbincangkan oleh para sarjana. Sehingga hari ini, definisi Aristotle bahawa retorik
itu seni dan sains membujuk masih terpakai walaupun telah dipinda dan dilestarikan oleh pakar retorik
yang kemudian.

Secara klasiknya, tiap komunikasi bercorak bujukan, sama ada lisan ataupun tulisan, boleh dikaji dari
sudut retorik. Bagaimanapun, definisi ini telah diperluas dalam zaman moden. Seorang tokoh retorik
moden, Kenneth Burke, telah meluaskan tujuan retorik daripada bujukan kepada identifikasi. Apabila
seseorang menyatakan sesuatu kepada orang lain misalnya menanyakan, Apa khabar? tujuannya
bukanlah untuk membujuk atau mempengaruhi yang diajak berbicara itu. Dalam hal ini tujuannya
mungkin mahu berbasa-basi, mahu memperagakan dirinya sebagai seorang yang bersopan santun,
bukan seorang pendiam atau sombong. Sebenarnya dalam hal ini pembicara itu telah berusaha
mengidentifikisikan dirinya dengan khalayaknya. Maka pada ucapan sesederhana ini pun terdapat aspek
retorik yang sesuai dan menarik dikaji.

Hari ini ruang lingkup retorik bukan saja lebih luas daripada bujukan malahan ia tidak lagi terbatas
kepada komunikasi lisan atau seni pidato. Sama ada komunikasi itu bercorak lisan mahu pun tulisan,
sama ada bujukan mahu pun pertanyaan yang sederhana, sama ada tujuannya politik mahu pun sosial,
terdapat padanya unsur retorik yang boleh jadi menarik untuk diperkatakan. Demikianlah ringkasnya,
retorik itu sains dan seni berkomunikasi dengan berkesan.

Sehingga ini retorik dianggap sebagai salah satu kaedah mengkaji bahasa seperti linguistik, semantik dan
stilistik atau ilmu gaya. Jika linguistik menekankan aspek tatabahasa atau kaedah pengunaan bahasa
yang betul, semantik mengkaji aspek makna sementara stilistik berhubungan dengan keindahan
penggunaan bahasa maka retorik menumpukan perhatian kepada aspek keberkesanan komunikasi.
Kenneth Burke melihat retorik sebagai penggunaan bahasa secara simbolik untuk mendapatkan
kerjasama daripada insan yang secara nalurinya menyahut kepada simbol. (1966;)

Bagaimanapun, pada hari ini kajian retorik dianggap melampaui aspek penggunaan bahasa; termasuk
padanya penggunaan alat-alat yang lain seperti simbol, bunyi, muzik, gerak laku, mimik muka dan lain-
lain lagi. Penggunaan alat bantu komunikasi ini dikatakan tergolong ke dalam fungsi retorik. Dalam hal
ini, Sonja dan Karen Foss mengatakan,Retorik ialah tindakan yang dilakukan oleh insan apabila
menggunakan simbol untuk berkomunikasi antara satu sama lain

Anda mungkin juga menyukai