Anda di halaman 1dari 10

Memenuhi Aspirasi Kemahiran Berfikir dalam Pelan Pembangunan

Pendidikan Malaysia 2013-2025 menerusi inkuiri dan pedagogi


filosofiyyah dalam kalangan guru1
Rosnani Hashim
Institut Pendidikan, IIUM
rosnani@iium.edu.my

Abstrak
Kemahiran berfikir merupakan satu matlamat utama dalam sistem pendidikan di seluruh dunia
masa kini dan ia turut digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 sebagai
kesinambungan terhadap apa yang sudah dilaksanakan di sekolah dalam negara sejak dasar
sekolah Bestari diperkenalkan pada tahun 1998 tetapi sehingga hari ini masih belum mencapai
prestasi yang membanggakan. Pelbagai usaha pedagogi sudah dicuba dan dilaksanakan untuk
mencapai matlamat tersebut khususnya yang memberi pemusatan kepada pelajar seperti kaedah
diskusi kumpulan kecil, pembelajaran berasaskan masalah dan pembentangan hasil diskusi atau
kajian. Kertas ini mencadangkan bahawa pendekatan pedagogi di institusi latihan perguruan
harus diubah terlebih dahulu dengan memperkenalkan pedagogi inkuiri filosofiyyah atau apa yang
juga dinamakan pedagogi hikmah untuk melahirkan guru yang berfikiran kritis, kreatif dan
berakhlak mulia. Hanya guru yang kritis sahaja yang boleh melahirkan pelajar yang kritis di
sekolah.
(158 perkataan)
Kata kunci: Kemahiran berfikir, pedagogi inkuiri filosofiyyah, pedagogi hikmah, kurikulum
pendidikan guru, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Latar belakang
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025
menggariskan enam aspirasi yang wajar dimiliki oleh setiap murid demi menghadapi
cabaran globalisasi dan semasa, sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu:
Pengetahuan
Kemahiran berfikir
Kemahiran memimpin
Kemahiran dwibahasa
Etika dan kerohanian
Identiti nasional.
Umum mengetahui bahawa pencapaian Malaysia dalam ujian antarabangsa PISA pada
tahun 2009 amat menyedihkan kerana kita berada pada kedudukan satu pertiga terendah
di dunia. Malahan Thailand mengatasi kedudukan kita. Ini amat mengecewakan apabila
kerajaan Malaysia membelanjakan bajet yang besar malah jauh lebih tinggi daripada
Negara yang mengatasi kita dalam keputusan PISA tersebut. Lebih mengecewakan juga
ini berlaku walhal nisbah guru: murid di Malaysia adalah yang tertinggi iaitu 1:13
berbanding Negara lain. Kita lihat bahawa bentuk soalan dalam ujian PISA ini lebih
kepada menyelesaikan masalah yang memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi seperti
menganalisis, menilai dan mensintesis dan bukan sekadar aplikasi. Justeru, ia memberi
kita petanda bahawa sistem pendidikan kita masih lemah dalam melengkapkan pelajar
dengan kemahiran tersebut.
1

PPPM (hal. 2-5) menggariskan bahawa setiap murid perlu mempunyai semangat ingin
tahu, dan belajar cara untuk terus mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat, mampu
menghubung kait pelbagai pengetahuan, dan yang paling penting dalam ekonomi
berasaskan pengetahuan ialah mewujudkan pengetahuan baharu. Setiap murid perlu
menguasai pelbagai kemahiran kognitif yang penting:
Pemikiran Kreatif dan Inovatif: kemampuan menginovasi, menjana kemungkinan
baharu, dan mencipta idea atau pengetahuan baharu;
Penyelesaian Masalah dan Penaakulan: keupayaan meramal masalah dan mendekati
isu secara kritis, logik, induktif, dan deduktif bagi mencari penyelesaian, dan akhirnya
membuat keputusan; dan
Keupayaan Belajar: keupayaan memacu pembelajaran sendiri, dengan kemampuan
menghargai nilai pembelajaran sepanjang hayat.
Makna pendidikan
Pendidikan melibatkan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai yang disampaikan dan
dikembangkan terus menerus dari seseorang kepada seseorang yang lain, dari suatu
budaya kepada satu budaya lain dan dari satu peradaban ke peradaban yang lain.
Menerusi pendidikan tadib dan tarbiyyah dan talim, dan ilmu, nilai dan kemahiran
yang diperolehi, seseorang insan itu diubah dan dibentuk menjadi beradab, bertamaddun
and bijak mengurus diri dan masyarakatnya. Pada zaman lampau, pendidikan bersifat
tidak formal dan diadakan bukan di bilik darjah walaupun pada zamannya lagi Aristotle
telah berhujah tentang keperluan pendidikan awam bagi memelihara masyarakat
demokratik. Plato pula berbicara tentang masyarakat adil dan merekacipta kurikulum
pendidikan yang dibahagi kepada beberapa tahap bagi mencapai matlamat tersebut dan
juga melahirkan raja serentak ahli filsafat. Dari perspektif Islam, ilmu bermakna ketibaan
makna sesuatu objek ilmu ke dalam ruh atau ketibaan ruh kepada makna sesuatu objek
ilmu.2 Justeru, melalui pendidikan seseorang mencapai makna kehidupan dan kewujudan.
Dengan adanya ilmu, seseorang itu dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya yang
sewajar dan seterusnya berlaku adil kepada dirinya, orang lain dan Penciptanya. Dia
juga boleh bertindak dengan betul bukan sahaja semasa di dunia ini tetapi juga untuk
kebaikannya di akhirat. Justeru, pendidikan adalah cara untuk mencapai kebijaksanaan
yang membawa kepada keadilan.
Tetapi selepas pendidikan mendapat perhatian umum dan sekolah umum didirikan,
tujuan utama pendidikan berubah. Sekolah telah digunakan oleh pemerintah untuk
mencapai agenda politiknya yang sebahagian daripadanya bertepatan dengan matlamat
akhir insan dan masyarakat. Sekolah mula menjadi alat.
Walaupun sekolah umum yang didirikan amat baik dalam kontek menyediakan
pendidikan yang sepatutnya membawa pencerahan kepada massa (dan matlamatnya
adalah 100 peratus pendidikan sejagat), namun ia mula mengalami anjakan paradigma
semenjak ketibaan era industri, peranan utamanya: melahirkan pekerja bagi jawatan
yang diwakili oleh petak-petak dalam carta organisasi korporat yang mempunya bentuk
piramid, lebar di bawah dan sempit dan kecil di puncak. 3 Lebih banyak kepada
pengetahuan profesional dan kemahiran daripada pengetahuan dan nilai yang praktikal.
Lebih banyak kepada yang dapat dilihat daripada yang sebaliknya. Terlalu banyak
penekanan kepada peperiksaan sebagai satu tanda ukur. Tidak ada banyak ruang untuk
2

pelajar mengemukakan soalannya sendiri yang berkait dengan minat dan daya ingin tahu
mereka. Hasil daripada ini, pergi ke sekolah menjadi satu bebanan kepada sebahagian
murid, membunuh daya ingin tahu mereka, malahan membiak kebosanan dan kehilangan
minat untuk belajar. Sekolah tidak lagi mampu memberi makna kepada kehidupan. Ia
seolah-olah satu aktiviti yang tidak bermakna, tanpa tujuan.
Dalam kertas ini saya cuba menunjukkan kepentingan inkuiri filosofiyyah sebagai
satu kaedah pengajaran atau pedagogi dan perlunya mengembalikan pendidikan filosofi
bagi memulihkan matlamat pendidikan yang sudah terhakis. Saya akan membawa hujahhujah untuk menyokong kenyataan ini di samping kepentingannya dalam tradisi ilmu
Islam dan juga peranannya bagi memelihara masyarakat demokratik. Saya akan
menjelaskan bagaimana pedagogi inkuiri filosofiyyah boleh menjadi mekanisme untuk
membentuk kemahiran berfikir kritis dan pendidikan yang bermakna dan kepentingannya
dalam latihan para guru.
Masalah pendidikan hari ini
Kalau kita lihat pedagogi yang digunakan dalam bilik darjah di negara kita hari ini, kita
akan merintih dan mengeluh sebagai pendidik guru sebab ia sekadar menyediakan murid
untuk menjawab soalan peperiksaan. Semasa saya bersekolah rendah dulu pada tahun
1960an, saya tidak ingat kami sekelas dilatihtubi untuk menjawab soalan peperiksaan.
Kali pertama saya mengambil bahagian untuk membuat persediaan secara tak formal
bersama rakan ialah semasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan MCE 1972 itupun
atas inisiatif sendiri dan bukan dibilik darjah. Seingat saya guru hanya bertugas untuk
menghabiskan silibus sehingga beberapa hari sebelum peperiksaan besar tersebut.
Prinsipnya ketika itu mungkin anda faham dan dapat menjelaskannya kepada orang lain
atau mengaplikasikannya dalam situasi yang berbeza atau pun anda tidak faham. Anda
bertanggungjawab atas kejayaan diri anda. Guru ada untuk membantu bila ada yang tidak
dapat difahami atau diselesaikan. Apa yang tercatat dalam sijil peperiksaan benar-benar
mencerminkan ilmu yang dimiliki.
Tetapi hari ini, pelajar diberi latihtubi berhari-hari malah berbulan-bulan sebelum hari
peperiksaan tanpa benar-benar memahami konsep, langkah dan sebagainya. Masa
mengajar disingkatkan dan dipecutkan supaya dapat meninggalkan baki untuk latihtudi di
akhirnya. Kerana pecutan ini sudah tentulah pelajar yang kurang kecerdasan semakin
menghadapi tekanan. Ambil sahaja kes Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, iaitu
dua matapelajaran yang memang khusus untuk membangun Insan Baik. Subjek ini
malangnya tidak dapat memberi makna kepada pelajar kita. Ini jelas daripada
peningkatan gejala sosial dan masalah disiplin yang dihadapi di sekolah hari ini.
Walaupun keseluruhan kesilapan ini tidak boleh dibebankan kepada sekolah, namun guru
ini amat mempunyai peluang yang terbaik untuk membimbing pelajar. Bagaimanakah
hubungan guru ini dengan pelajar mereka? Bolehkah mereka dipercayai oleh pelajar
sendiri sehingga mereka boleh mendapat nasihat atas masalah yang dihadapi? Pelajar ini
hanya boleh bertindak atas sesuatu dan komited kepadanya jika mereka benar-benar
memahami maknanya.
Walaupun sekolah dan universiti berusaha untuk memenuhi kehendak dan permintaan
komuniti korporat dan perniagaan, mereka masih lagi terus bersungut tentang kekurangan
graduan ini dalam kemahiran insaniah (softskills). Mereka dikatakan kurang keupayaan
berfikir kritis dan kreatif, keupayaan berkomunikasi, keupayaan berinteraksi dengan

orang lain khususnya jika bukan rakan sebaya, kurang keyakinan diri dan kurang
keupayaan bekerja dalam satu pasokan. Sekolah kita masih mengajar mereka untuk
zaman lampau walhal dunia hari ini berubah dengan pesat. Alat teknologi canggih yang
boleh melakukan pelbagai perkara kepada penjanaan dan penaburan ilmu semakin murah
dan dapat dimiliki oleh pelajar sekalipun. Friedman berhujah bahawa dunia semakin
merata, dengan peletupan teknologi termasuk blog, ensaiklopedia ditalian, podcasting,
di mana ilmu dan sumbernya dijaringkan di seluruh cakrawala untuk dicapai oleh semua.
Ini belum pernah berlaku. Dia menegaskan, Pada masa depan, bagaimana kita mendidik
anak mungkin lebih mustahak daripada berapa banyak kita mendidik mereka.4 Dalam
dunia yang rata, keupayaan yang paling penting yang perlu dikembangkan ialah
kebolehan belajar bagaimana hendak belajar, dan membangun daya ingin tahu dan
kesungguhan. Ini lebih penting daripada IQ. Tidak ada orang yang akan belajar
bersungguh-sungguh melainkan kanak-kanak yang mempunyai daya ingin tahu yang
mendalam.5
Jawatan kuasa sebuah sekolah di Massachusetts menegaskan bahawa sekolah
sewajarnya berhenti daripada memberi fokus kepada peperiksaan umum dan sebaliknya
memberi tumpuan kepada kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, kolaborasi atau
kerja berpasokan, daya kreativiti dan penyelesaian masalah. "6
Apakah inkuiri filosofiyyah (PI)
Dalam kontek perbicaraan di atas, maka inkuiri filosofiyyah dan pedagoginya amatlah
relevan dan mustahak sebab ia berhasrat untuk mencapai makna dalam apa yang
dipelajari. Kandungan inkuiri ini adalah konsep yang kaya seperti keadilan, kebebasan,
hak, tasamuh, hormat-menghormati, kebenaran sains, dan berbagai lagi konsep yang
terdapat dalam banyak mata pelajaran yang diajar disekolah; dan juga soalan filosofiyyah.
Tidak cukup bagi para pelajar untuk bersetuju bahawa satu punca kematian ikan adalah
sungai yang tercemar akibat tumpahan bahan toksid ke dalamnya tetapi juga untuk
mengetahui apa makna toksid dan kesan pencemaran sungai itu. Tidak cukup pelajar
Islam mengetahui Nabi Muhammad s.a.w. menjadi yatim piatu pada usia yang sangat
muda tanpa memahami apakah erti kehidupan tanpa ayah dan ibu. Terdapat banyak
situasi yang mana kelas pendidikan Moral dimulakan dengan guru mengenalkan topik
seperti hak kanak-kanak, yang diikuti dengan perbincangan dalam kumpulan kecil dan
diakhiri dengan pembentangan oleh setiap kumpulan tersebut yang tercatat atas kertas
mahjong dengan ringkas dan tergesa-gesa tanpa sebarang persoalan dan perbincangan
yang bermakna oleh kelas itu. Seolah-olah aktiviti itu diadakan untuk mengisi masa kelas.
Perkara yang sama boleh dikatakan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam,
Sejarah dan juga Sivik dan Kewarganegaraan. Fakta-fakta yang guru hendak pelajar
luahkan juga wajar serupa dengan apa yang terkandung dalam buku teks. Kalau 100
peratus sama, lagi baik. Bolehkah kita panggil ini pendekatan pengajaran yang bermakna
dan mengembangkan daya berfikir pelajar?
Bagaimanakah bezanya kalau guru menggunakan pendekatan inkuiri filosofiyyah?
Perkara paling pokok dalam pedagogi ini ialah pertanyaan yang timbul dari pelajar
sendiri dan bukan dari guru sahaja. Pedagogi ini menggalakkan pelajar mengemukakan
pertanyaan yang kritis dan merenung secara kreatif sebab memang perbincangan dan
pertanyaan adalah tersirat dalam filosofi itu sendiri. Berbanding dengan perbincangan
sains yang tunduk kepada bukti empirikal sebagai autoritinya atau perbincangan
matematik yang mempunya jawapan yang tepat dan pasti, perbincangan filosofi lebih
banyak bergantung kepada penaakulan yang logik bagi mempercayai sesuatu. Ia amat

berguna apabila sesuatu perkara itu dilihat mempunyai pendokong yang kelihatan tidak
bersependapat. Justeru ia terpaksa menentukan pandangan yang manakah yang lebih
sahih. Untuk itu tidak ada jawapan dalam buku tek tetapi pelajarlah sendiri yang wajar
memikirkannya dengan bantuan guru. Sebenarnya banyak masalah bersabit Fiqh
tergolong dalam pemikiran bentuk demikian sehingga timbul pedoman daripada Rasul
s.a.w. bahawa kita pilihlah penyelesaian yang memudahkan dan bukan menyusahkan.
Pedagogi inkuiri filosofiyyah (IF) atau apa yang kami di Centre of Philosophical Inquiry
in Education di Institut Pendidikan UIAM panggil dengan pedagogi hikmah (PH), amat
sesuai digunakan di dalam bilik darjah kerana ia melibatkan satu kumpulan atau komuniti
penyelidik atau penyiasat. Kumpulan IF ini terdiri daripada mereka yang sayangkan
kebenaran. Oleh itu mereka sanggup bekerjasama untuk menyiasat sesuatu masalah atau
isu yang ditimbulkan oleh seorang ahlinya dengan persoalan yang menganalisis isu itu
dan usaha menjawab. Dalam proses ini mereka terpaksa menggunakan kemahiran
berfikir seperti memberi takrifan, membuat pengelasan, membuat penjelasan, membuat
pembezaan, memberi sebab dan hujah, mempertahankan pandangan dengan hujah yang
kuat dan sebagainya. Selain daripada kemahiran kognitif ini, pedagogi ini juga memberi
perhatian kepada aspek ketatasusilaan atau etika bagi menajamkan kesensitifan ahli
kumpulan kepada nilai dan tatasusila budaya yang berbeza. Kumpulan IF ini berusaha
mencapai satu kesepakatan atau consensus menerusi proses perbincangan atau shura.
Dalam ertikata lain, kumpulan ini memupuk kecenderungan berfilosofi dalam kalangan
peserta sebab satu daripada objektifnya ialah untuk meresapkan kemahiran-kemahiran ini
kedalam jiwa mereka. Secara tidak langsung, peserta akan dapat menggunakan kaedah
ini sebagai satu mekanisme bagi meleraikan sebarang konflik, menghargai nilai shura
atau demokrasi yg berbatas di mana shura sememangnya digalakkan dalam al-Quran dan
oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri dalam hal-hal yang tidak jelas hukumnya atau
pedomannya.
Pengakuan (Testimoni) peserta
Dari pengalaman saya mengendalikan kursus dan kelas berteraskan pedagogi filosofiyyah
di peringkat sekolah dan universiti, saya dapati pelajar mendapat pelbagai manfaat. Satu
daripada komentar yang kerap pelajar tidak kira tua atau muda lontarkan ialah:
Ia membuka minda saya kepada cara-cara baru untuk melihat sesuatu itu, pelajar 13
tahun (Program Hikmah Cuti Sekolah 29/11/07)
Ini tidak menghairankan sebab pandangan setiap anggota kumpulan inkuiri sememangnya
diteliti dan diperiksa oleh anggota yang lain. Dengan mendengar hujah, standard, kriteria
dan pandangan orang lain terhadap ideanya, pelajar itu dapat membetulkan idea beliau
sendiri, kedudukan atau prinsipnya dan mungkin menukar posisi kepada yang baru, dan
lebih kukuh, yakni ia melakukan pembetulan kendiri. Tetapi ini akan berlaku jika
seseorang itu tidak berfikiran sempit dan keras.
Lipman menegaskan bahawa
pertimbangan yang baik bergantung kepada hujah dan penaakulan, terutama kepada
kriteria dan standard, pemikiran kritis, pembetulan kendiri dan kesensitifan kepada
kontek 7 dan inilah sebabnya kita menganggap pedagogi ini amat berguna bagi
membangun pelajar yang berhikmah.

Pengalaman saya juga menunjukkan bahawa pedagogi ini dapat menambah keyakinan
diri, kematangan emosi dan kefahaman diri secara am dalam kalangan para pelajar. Ini
diungkapkan sendiri oleh para peserta:
there are a lot of debates with hot issues, the programme also
improves the confidence level and helps make friend with others, Master
student AIKOL (SLEU Hikmah Programme 18/9/07).
Communication skills, Argumentation, Overcome the feeling of shy,
first year student KIRKHS (18/9/07)..
Before I join this programme I feel afraid to ask questions if I dont
understand I prefer to keep quiet. Now I am able to ask questions, First
year student KIRKHS (18/9/07).
It gives me confidence to express my view and defend it, 14 year old
student (29/11/07)
I am able to think more logically now, 13 year old student (29/11/07)
Pandangan ini memang diduga sebab dalam pedagogi ini, belajar berfikir secara
filosofiyyah berlaku pada asasnya dalam proses diskusi dalam kumpulan dan dalam
merenung sesuatu idea atau isu. Ia membuat seseorang itu lebih peka atau sensitif kepada
minat, nilai, kepercayaan dan kecenderungan berat sebelah (bias) orang lain. Seorang
guru pelatih Pendidikan Moral yang menggunakan kaedah ini melaporkan bagaimana
pelajar rasa janggal pada mulanya dengan pedagogi ini tetapi selepas itu merasa pelajaran
lebih bermakna daripada menghafaz fakta sahaja. Guru juga mula mengubah cara
mengajarnya untuk pembelajaran yang bermakna dan peranan utamanya memastikan
objektif pelajaran dapat dicapai (Sri, Jan 15 2010):
I am using the method to teach moral for form 4 and 5 students, at first they dont want to
respond. Later they try to ask question and answer their friends questions. I am so
happy because the worst class also try to talk and give their point of views regardless
whether it is right or wrong. I learn more from their views, either their thinking styles or
update my thinking styles.
Last time when I used the normal method and give example questions to train them to get
A on Moral. They only memorize and didnt realize it. They are as robots applying
the moral value only on question paper, even they dont know how to communicate or the
right way to talk to teacher although they are smart students.
Actually Moral subject is very interesting to do inquiry especially upper forms. They
realize, learn to practice the value in their life.
Dalam kajian yang lain, Juhasni mendapati bahawa dengan menggunakan pedagogi IF
dalam kelas Pendidikan Islam, pelajarnya semakin berminat dan rajin bertanya. Kajian
beliau menunjukkan bahawa soalan pelajar semakin bersifat higher order dan bukan
soalan remeh-temeh. Pelajar juga mula mengaitkan pengetahuan mereka dengan situasi
kehidupan iaitu pelajaran semakin lebih bermakna.8

Tetapi pedagogi inkuiri filosofiyyah (IF) atau pedagogi hikmah (PH) ini ada juga
cabarannya. Kadangkala seseorang guru yang mengamalkannya boleh didakwa dengan
dakwaan yang melampau. Ini pengalaman seorang guru yang mengajar Sejarah:
I would like to share my experience using philosophical inquiry (PI)
method in teaching Form 4 history. I use a lot of stimulus material from
the newspaper. .. One of the issue that I discussed is the historical fact that
the Chinese came to this country as immigrants in the 18 and 19thth
century. Fuhhh I was called by the school authority. The Chinese
students sent a letter to the principal saying that they were not satisfied
and claimed that I was racist The principal did not understand this
methodology and said I was wrong. .. He forbid me from using this
approach because he said it will bring problem to him. I think all this
while the method of teaching history did not produce any effect although it
is a core subject but when I use philosophical inquiry, students become
more sensitive to the subject of history. I strongly agree that PI should be
used as a base to teach history especially Malaysian history.
Sudah tentu pedagogi hikmah akan menggalakkan pelajar menjadi lebih kreatif
terutama dalam menjana idea bagi tujuan menjelaskan, memberi bukti atau hujah untuk
mempertahankan pandangan mereka. Mereka juga dapat mengembangkan kefahaman
etikal dan juga nilai moral yang murni sebab ini tidak dapat dipisahkan daripada
perbincangan menyentuh pengalaman manusia. Oleh itu pedagogi inkuiri filosofiyyah
amat berfaedah bagi melihat perkaitan antara idea dan buah fikiran (menerusi bahasa),
membuat pertimbangan yang bijak, membuat kesimpulan dan mencari makna dalam
kehidupan.
Membawa IF atau PH ke dalam bilik darjah
Satu daripada isu yang dihadapi ialah bagaimana hendak membawa IF atau PH ke dalam
bilik darjah. Sebenarnya IF boleh diaplikasikan dalam banyak subjek sama ada sains,
matematik atau pun kemasyarakatan dan kemanusiaan. Tetapi dalam kontek sekolah,
matapelajaran Bahasa, Pendidikan Moral, Sivik dan Kewarganegaraan, dan Pendidikan
Islam amatlah sesuai sebab matapelajaran ini mengandungi konsep dan idea besar dan
sentral dalam etik, norma sosial dan politik, dan cara hidup. Topik dalam Pendidikan
Moral seperti hak individual, agama, dan sosial, kebebasan, toleran dan tanggungjawab
amat penting khususnya dalam masyarakat pelbagai budaya, agama dan nilai. Sudah
pasti akan wujud perbezaan pendapat dalam banyak isu. Bagi menyelesaikan isu tersebut,
kumpulan yang pelbagai ini harus boleh mengadakan sessi dialog. Mereka seharusnya
dapat membincangkan isu itu secara terbuka dan menentukan tindakan yang terbaik
selepas mengambilkira semua pandangan dan cadangan alternatif. Oleh demikian, IF dan
kumpulan inkuirinya amat penting dalam mengasuh pemuda dan pemudi kita dengan satu
mekanisma bagi meleraikan konflik. Ini bukan bermakna kumpulan inkuiri adalah satu
lagi sessi Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Ia bukan brainstorming. Ia memerlukan
bahan perangsang yang baik bagi merangsang soalan dan perbincangan dan paling
penting seorang guru yang terlatih dalam teori dan praktis pedagogi ini. Guru itu sendiri
mesti seorang yang berfikiran kritis, suka mencabar minda, kreatif, berbuat mengikut
cakap atau suri teladan dan juga berfikiran terbuka. Satu lagi cara untuk membawa IF ke
sekolah ialah melalui Kelab IK atau Hikmah yang bertemu seminggu sekali sebagai satu
kumpulan IF. Bagaimana pun ini agak sukar dilakukan dalam sistem pendidikan negara

kerana pemimpin sekolah tidak mahu mencuba sesuatu yang baru tanpa arahan pihak
atasan walau pun pihak berwajib ini sudah memberi lampu hijau dengan penubuhan
pelbagai kluster atau sekolah berprestasi tinggi. Setakat ini pedagogi ini digunapakai oleh
beberapa buah sekolah swasta. Penyelidikan terhadap keberkesananya telah dibuat dalam
beberapa subjek dan kontek dan hampir semua menunjukkan kesan positif dalam
kemahiran berfikir, membuka minda, keyakinan diri dan keupayaan kemahiran sosial.9
Inkuiri filosofiyyah dalam tradisi Islam
Satu masalah penggunaan pedagogi ini untuk Pendidikan Islam timbul daripada
pergulatan yang berlaku di antara pihak Muhaddithin dan mutazilah, iaitu antara
tradionalis dan rasionalis pada kurun ke-9 hingga ke-11. 10 Satu cara untuk mengatasi
perkara ini ialah meyakinkan golongan yang masih was-was dengan semangat inkuiri
dalam al-Quran itu sendiri yang telah berjaya memacu umat Islam zaman keemasan
untuk mencapai kemuncak kejayaan bidang ilmu. Al-Quran memerintah umat Islam
untuk berfikir and terdapat banyak ayat-ayat berkaitan hal ini.11 Terdapat lebih daripada
10 cara berfikir dalam al-Quran. 12 Kepentingan berfikir bagi menyelesaikan masalah
melahirkan konsep ijtihad dan pada zaman Islam yang awal, terdapat banyak mazahib
yang melambangkan kebebasan berijtihad atau berfikir atau inkuiri.
Begitu juga, penelitian mendalam ke atas tradisi dan budaya untuk melihat
kerelevanannya juga tersirat dalam tasawwur Islam. Malahan al-Quran berhujah bahawa
Allah telah mengurniakan manusia dengan fakultas fizikal panca indera bagi pemerhatian
dan penerokaan empirikal. Penggunaan panca indera ini iaitu penglihatan, pendengaran
dan hati akan dipertanggungjawabkan pada hari akhhirat kelak. Justeru, al-Quran
mengecam peniruan membuta tuli. Mithalnya, al-Quran menjelaskan keadaan orang
yang menolak seruan kepada iman semata-mata kerana mereka tidak dapat meninggalkan
amalan tradisi nenek-moyang mereka walaupun ia suatu yang jelas sesat. Al-Quran
meminta kelompok ini menggunakan akal untuk berfikir.
Mereka berkata: Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya
menyembah Allah semata-mata dan meninggalkan apa yang pernah
disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka
datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau
dari orang-orang yang benar.
(Al-Araf 7: 70).

(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah)


berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut
satu jalan agama dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak
mereka sahaja.
Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak
mengutus sebelummu seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orangorang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata:
Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama
dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja.
Rasul itu berkata: Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun
aku membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayat petunjuknya
daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?
(Al-Zukhruf 43: 22-24).

Semangat inkuiri filosofiyyah dalam tradisi Islam menghadapi sedikit


kemunduran kerana pergulatan antara golongan mutazilah dan muhaddithin selepas
zaman Khalifah al-Mamun dan juga al-Ghazali yang sehingga kini sukar untuk dibangun
dalam sistem pendidikan, hatta pengajian Islam sekalipun. Ini terus berlaku walaupun alGhazali terus menekankan kepentingan logik yang pada pandangannya digunakan dan
dianjurkan dalam al-Quran. 13 Keperluan filosofi bagi umat Islam hari ini juga
disuarakan oleh ahli falsafah dan sejarawan sains tersohor, H.Nasr. Beliau menegaskan
bahawa pengajaran filosofi Islam amat genting masakini sebab ia adalah alat untuk
mempertahankan Kebenaran (al-Haq) dan memberi cara untuk menolak seranganserangan yang dibuat terhadapnya dari semua penjuru.14 Serangan-serangan ini semakin
kerap selepas tamatnya Perang Dingin, kemunculan globalisasi dan peristiwa September
11. Malahan, Nasr menganggap pengajaran filosofi Islam satu kewajipan agama.
Saya yakin apa yang dimaksudkan dan diperlukan di sini bukanlah kandungan
filosofi Barat, sebab tradisi Ilmiah Islam mengandungi teori metafizik dan etik yang
sudah pesat berkembang, tetapi yang dimaksudkan ialah filosofi sebagai alat bagi
pemikiran, bagi hujah yang sahih dan jelas, bagi menjelaskan kekeliruan konseptual, bagi
hujah secara qiyas, bagi mengenali kesamaran-kesamaran dalam kenyataan, bagi
memeriksa asumsi tersirat, bagi menemui falasi dalam pemikiran dan hujah. Alat ini
sangat penting pada masa kini bagi membantu belia dan pemuda pemudi Islam dan
Malaysia amnya membuat pertimbangan dan keputusan yang bijak dalam kehidupan
mereka dalam dunia yang semakin majmuk dalam semua segi pemikiran, budaya, nilai
dan kepercayaan.15
Penutup
Memang terdapat banyak program kemahiran berfikir hari ini seperti Program
Berfikir Lateral oleh deBono dan Peta Minda Buzan dan juga hasilan tempatan
berdasarkan psikologi dan taksonomi Bloom yang diajar di sekolah dan universiti kita.
Tetapi berfalsafah ada kelebihannya ia adalah cara yang asli dan telahpun berjaya
membuktikan kejayaannya dalam sejarah manusia dan masih lagi diguna hingga hari ini.
Di sinilah Program Hikmah berlandaskan pedagogi Hikmah atau IF boleh diperkenalkan
dalam bilik darjah tetapi didahului dengan melatih guru dalam Program Latihan
Perguruan di IPTA bagi memberi satu cara mengajar kemahiran berfikir kritis dan
penaakulan dan secara tidak langsung mencapai satu daripada enam aspirasi Pelan
Pembangunan Pendidikan 2013-2025. Dalam kontek ini Centre for Philosophical Inquiry
in Education di UIAM telah pun mengorak langkah semenjak tahun 2006 untuk mencuba
dan melakukan eksperimen ke atas pedagogi IF atau PH dengan melaksanakan program
cuti sekolah bagi anak-anak kakitangan UIAM dan kemudian membukanya kepada umum.
Kajian telah juga dibuat di sekolah dan juga latihan perguruan diadakan. Kini program
Hikmah telah pun dilaksanakan di beberapa buah sekolah swasta.
Rujukan
1

Kertas ini telah dibentangkan di Persidangan Majlis Dekan Fakulti Pendidikan di Universiti Teknologi
Malaysia, Johor Bahru, 7-9 Oktober 2012.
2
Lihat SM Naquib al-Attas, The concept of education in Islam ( Kuala Lumpur: ISTAC, 1993).
3
T.L. Friedman, The world is flat (London: Penguin, 2006), 304.
4
Ibid., 302.
5
Ibid., 303.

The Boston Globe, 30th October 2008.


Matthew Lipman, Philosophy goes to school (Philadelphia: Temple University Press, 1988).
8
Juhasni Adila Juperi, Philosophical Inquiry in Islamic Education for Effective Questioning skills, Tesis
Sarjana 2011, Kuala Lumpur: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tesis ini telah dianugerahkan tesis
sarjana terbaik 2011 oleh Yayasan Nurul Yaqeen.
9
Rosnani Hashim, Philosophy for Children: Its Effects on the Reading and Reasoning Skills of
Average and High Achievers in a Malaysian Primary School, Kertas dibentangkan di 12th Learning
Conference at the Universidad de Granada, Spain, July 10-13, 2005; Moomala Othman & Rosnani
Hashim. Critical Thinking and Reading Skills: A comparative study of the Reader Response and the
Philosophy for Children Approaches. Thinking: the Journal of Philosophy for Children. 18:2, pp. 2634, Dec 2006; Norillah Abdullah, Philosophical Inquiry (PI) As An Approach To Developing Critical
Thinking And Self-Confidence: A Case Study Of IIUM, Tesis PhD 2009, Kuala Lumpur: Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Abdul Shakour Preece, Using Philosophical Inquiry To
Enhance Muslim Learners English And
Critical Thinking Skills, Kertas kerja dibentang di Persidangan Filosofi bagi Kanak-Kanak, Seoul,
Korea 2011; Juhasni Adila Juperi, Philosophical Inquiry in Islamic Education for Effective Questioning
skills, Tesis Sarjana 2011, Kuala Lumpur: UIAM.
10
Bagi masalah dalam P-P Pendidikan Islam, lihat Rosnani Hashim, Rethinking Islamic Education in
Facing the Challenges of the Twenty-first Century, American Journal of Islamic Social Sciences, 22:4
(Fall 2005).
11
Saya berhujah perlunya inkuiri kritis dalam pendidikan umat Islam dalam kertas, Pragmatic
Education for the development of the Muslim Ummah, Kertas jemputan yang dibentangkan di
Conference for Minority Affairs in Asia Pacific Region, Jamiyah Singapore and ISESCO, August
2004; dan Reviving Islam Pragmatism in Muslim Education, paper presented in the 22nd World
Congress of Philosophy, Seoul National University, Seoul, July 30- Aug 5, 2008.
12
Lihat J Badi and M. Tajdin, Creative thinking from an Islamic perspective (Kuala Lumpur: IIUM
Research Centre, 2003).
13
Al-Ghazali, Abu Hamid. Al-Qistas al-Mustaqim: The Just Balance. Translated by D.P. Brewster.
Lahore: Sh Muhammad Ashraf, 1978.
14
S.H. Nasr , Traditional Islam in the Modern World (New York: Kegan Paul International, 1987).
15
Lihat Rosnani Hashim, Philosophy in the Islamic Tradition: Implications for the philosophy for
Children (P4C) Program in E. Marsal, Dobashi & B. Weber (Eds.), Children Philosophize Worldwide:
Theoretical and Practical Concepts (Peter-Lang: Hodos Edition, 2009), 655-662.
7

10

Anda mungkin juga menyukai