Anda di halaman 1dari 14

1

1.0

PENDAHULUAN

Islam dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w kepada umat akhir zaman sebagai satu bentuk
cara hidup yang sistematik dan teratur selain tuntutan mengabdikan diri kepada Sang
Pencipta yang Maha Agung. Islam itu datang di tengah-tengah masyarakat Arab Quraisy
yang pada masa itu berada di dalam kegelapan jahiliyyah untuk membersihkan segala
kekotoran yang ada kearah mewujudkan satu peradaban tamadun manusia yang gemilang.
Islam bukanlah satu agama yang direka-reka oleh nabi Muhammad s.a.w
sebaliknya ia adalah wahyu dari Allah Taala. Maka setiap suruhan dan larangan adalah
dari Allah dan nabi Muhammad s.a.w bertindak sebagai agen kepada risalah tersebut.
Setiap suruhan Allah itu pasti akan mendatangkan kebaikan manakala larangan Allah itu
sudah pasti kerana kemudaratan yang ada apabila dilakukannya.
Maka dua sifat yang lahir dari suruhan dan larangan ini adalah baik dan buruk.
Apabila melakukan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya, maka individu
tersebut dihiasi dengan sifat-sifat yang baik (mahmudah). Sebaliknya apabila melakukan
larangan Allah dan meninggalkan suruhanNya, individu tersebut pasti dihiasi dengan
sifat-sifat yang keji (mazmumah). Antara sifat-sifat yang baik adalah; sabar, syukur,
redha, adil, merendah diri, malu dan pemurah. Sifat-sifat keji pula adalah seperti riya,
bangga diri, bakhil, tamak, zalim, panas baran, malas, panjang angan-angan dan lain-lain
lagi.
Jadi, dalam penulisan ini, penulis akan membincangkan dengan terperinci satu
akhlak buruk yang sering dilakukan oleh ramai manusia tanpa disedari iaitu mengumpat
(backbiting ) . Selepas bahagian pendahuluan, penulis akan mengulas teks ringkas
yang dikarang oleh Muhammad Abul Quasem di dalam bukunya The Ethics of alGhazali: A Composite Ethics In Islam. Seterusnya pada bab ketiga, penulis akan
mengupas dan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai tajuk ini. Dan akhirnya
kesimpulan pada bab terakhir penulisan ini. Diharapkan para pembaca dapat
memanfaatkan penulisan ini seterusnya berhati-hati dengan sifat tercela ini agar tidak
terjerumus melakukannya.

2.0

ULASAN TEKS

Pada permulaan penulisan ini, penulis akan mengulas sedikit sebanyak berkaitan tulisan
yang dikarang oleh Muhammad Abul Quasem dalam bukunya iaitu The Ethics of alGhazali: A Composite Ethics In Islam yang diterbitkan oleh Central Printing Sdn. Bhd.
pada tahun 1975 mengenai satu tabiat buruk iaitu mengumpat.
Mengumpat adalah keburukan yang paling besar melalui lisan. Bagi
mengukuhkan lagi pendapat ini, al-Ghazali memetik dari hadith yang menyatakan
bahawa mengumpat ini lebih teruk keburukannya dari melakukan tiga puluh kali
penzinaan (Abul Quasem 1975 : 116). Ini jelas menunjukkan bahawa dosa mengumpat itu
sangat besar dan sangat tidak disukai oleh Allah dan rasulNya. Melalui lidah sahaja,
pelbagai keburukan yang boleh timbul. Dari kesalahan lisan, manusia sesama manusia
boleh bergaduh. Melalui lisan juga, manusia lain boleh hilang kehormatan atau harga diri.
Al-Ghazali mendefinisikan mengumpat itu sebagai menyebut kekurangan atau
ketidaksempurnaan seseorang dan menyebut kesalahan-kesalahan seseorang yang ia
harapkan agar kesalahan itu tidak didedahkan. Ketidaksempurnaan boleh jadi pada tubuh
badan seseorang, keturunan, sifat, pekerjaan, percakapan, urusan keagamaan dan urusan
keduniaan seperti pakaian, rumah dan sebagainya. Ketidaksempurnaan pada tubuh badan
seperti seseorang itu terlalu rendah, terlalu tinggi, atau sebarang sifat yang tidak diingini.
Kekurangan pada keturunan seperti bapa seseorang itu sering melakukan dosa atau
seorang yang jahat (Abul Quasem 1975 : 116).
Kekurangan dalam sifat adalah tabiat buruk seperti kedekut atau pengecut.
Ketidaksempurnaan dalam urusan keagamaan adalah seperti mencuri, melakukan
pemberontakan dan seumpamanya. Kekurangan dalam pemakaian seperti menjadi kotor,
terlalu singkat dan sebagainya. Kekurangan dalam urusan keduniaan sebagai contoh
kurang sopan dan adab atau makan terlalu banyak (Abul Quasem 1975 : 116). Apa yang
dapat penulis rumuskan adalah manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan dan
manusia itu akan bersifat dengan sifat kekurangan. Hanya Allah yang bersifat Maha
Sempurna. Tetapi perlu diingat, manusia diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik
kejadian. Maka sebagai seorang mukmin yang beriman dengan keenam-enam rukun

iman, adalah tidak layak bagi kita untuk mengeji fizikal yang ada pada individu lain
kerana Allah Maha Mengetahui rahsia penciptaanNya dan sudah pasti ada hikmah
tersembunyi dari penciptaan tersebut.
Al-Ghazali menolak pandangan yang mengatakan bahawa menyebut kekurangan
seseorang dalam urusan keagamaan atau ketidaksempurnaan lain yang benar-benar ada
pada diri seseorang tersebut tidak termasuk dalam kesalahan mengumpat. Menurut alGhazali, mengumpat adalah sebarang bentuk perkataan seseorang kepada seseorang yang
lain yang melukakan perasaan insan tersebut sekalipun apa yang dikatakan itu adalah
semuanya benar. Sebaliknya jika seseorang menyatakan apa yang tidak ada pada
seseorang yang lain pula adalah fitnah dan bukannya mengumpat (Abul Quasem 1975 :
116). Apa yang dapat difahami di sini adalah mengumpat bukan sahaja menyebut tentang
kekurangan orang lain, malah menyebut apa yang benar-benar ada pada individu tersebut
yang tidak disukainya juga dikira mengumpat. Sebagai contoh orang yang lemah akalnya.
Ia mengetahui tentang kelemahannya itu. Tetapi ada individu lain yang sering
mengejeknya sebagai lemah ingatan dan ia tidak menyukainya. Maka itu adalah tergolong
dalam perbuatan mengumpat.
Mengumpat tidak dihadkan kepada apa yang dilakukan melalui percakapan
semata-mata sebaliknya ia juga mencakupi dengan membuat seseorang menyedari
ketidaksempurnaan orang lain dengan apa cara sama ada melalui percakapan, penulisan,
mengajuk perbuatan, memberi isyarat melalui tangan, kening dan sebagainya. Menyebut
di dalam buku atau penulisan tentang beberapa kesalahan kenyataan orang tertentu adalah
mengumpat, kecuali dengan sebab yang baik. Tetapi menyatakan kesalahannya dalam
ayat seperti seseorang mengatakan begini dan begitu tidak dikira sebagai mengumpat,
sedangkan mengumpat adalah jika kesalahan individu tertentu itu dikhabarkan sama ada
individu tersebut masih hidup atau telah pun meninggal dunia (Abul Quasem 1975 : 116).
Atau seterusnya berkata dengan kata seperti beberapa orang yang kita temui
semalam bersikap panas baran juga dikira sebagai salah satu bentuk umpatan sekiranya
yang mendengar itu mengenali dan memahami siapa orang yang dimaksudkan tersebut.
Berkata buruk tentang seseorang dengan samaran dalam bentuk doa adalah bentuk yang

paling teruk dalam mengumpat. Contohnya berlaku apabila seorang lelaki (orang yang
diumpat) disebut kepada orang lain (orang yang mendengar umpatan), kemudian ia
(orang yang mengumpat) berkata kami memohon perlindungan daripada Tuhan
terhadap orang yang tidak tahu malu; dalam erti kata ia ingin mengatakan lelaki tersebut
tidak ada perasaan malu; ini melibatkan sifat riya dan mengumpat dalam satu masa yang
sama (Abul Quasem 1975 : 116-117).
Percaya kepada apa yang dinyatakan si pengumpat juga termasuk dalam
mengumpat. Berdiam diri terhadap umpatan adalah turut terlibat dengannya, kecuali
apabila seseorang tidak berdaya untuk menentangnya atau tidak boleh meninggalkan
tempat tersebut; bila seseorang dipaksa mendiamkannya, ia perlulah membenci perkara
umpatan tersebut di dalam hatinya (Abul Quasem 1975 : 117). Boleh jadi kita pernah
mempunyai sahabat-sahabat yang suka mengumpat kekurangan orang lain. Semasa
sahabat kita sedang mengumpat, kita perlulah menghindarkan diri dari situasi tersebut
agar kita tidak terjerumus dalam dosa tersebut. Mungkin kita tidak dapat mengawal
tindakan kita pada masa tersebut dengan membenarkan apa yang kawan kita umpatkan.
Maka langkah yang sepatutnya adalah jauhilah diri kita dari si pengumpat. Begitu pula
keadaannya apabila kita dipaksa mendengar umpatan tersebut, kita tidak dikira berdosa
berdasarkan apa yang ada dalam hadith mengenai perkara tersebut. Sewajibnya kita
membenci dan tidak membenarkan umpatan tersebut di dalam hati kerana ia adalah
selemah-lemah iman.
Memanggil seseorang dengan panggilan yang menjadi kebiasaan yang
menunjukkan kekurangannya tidak termasuk dalam mengumpat. Bukan juga termasuk
kesalahan mengumpat adalah menyatakan kesalahan-kesalahan seseorang yang zalim di
mana orang tersebut telah menyatakan sendiri kesalahannya kepada masyarakat umum,
sementara ia tidak berasa sedih terhadapnya, bukan juga seorang lelaki melakukannya
untuk mendapatkan penghormatan dari orang lain (Abul Quasem 1975 : 117). Adalah
menjadi kebiasaan kepada kita dalam bersahabat, kita mempunyai panggilan-panggilan
manja yang sudah terbiasa dan disenangi di kalangan rakan-rakan karib akan panggilan
tersebut. Seperti contohnya gelaran bob yang sering masyarakat kita gelarkan kepada
orang yang berbadan besar atau gemuk. Perkara ini dimaafkan dan tidak termasuk dalam

mengumpat. Menjadi keutamaan kepada kita untuk meminta izin darinya terlebih dahulu
kerana ditakuti dengan panggilan itu juga dia akan berkecil hati.
Satu perkara lagi yang termasuk dalam mengumpat adalah mengumpat yang
dilakukan oleh akal, minda atau fikiran yang disebut sebagai berburuk sangka ( )
terhadap seseorang yang lain di mana ia juga merupakan satu dosa. Bersangka buruk
adalah mengkategorikan seseorang sebagai jahat, dan ia berbeza dari kekhuatiran dan
juga keraguan; dua perkara ini tidak termasuk dalam dosa. Tanda-tanda seseorang
bersangka buruk adalah perubahan tanggapan (membuat tuduhan) terhadap seseorang
yang lain atau berlakunya tindak balas fizikal yang disebabkan oleh tanggapan (tuduhan)
itu. Menuduh seseorang melakukan kejahatan perlulah disaksikan atau terdapat buktibukti yang kukuh dan menerima pakai maklumat seseorang yang adil. Tetapi sekiranya
terdapat permusuhan di antara mereka, maklumatnya tidak boleh diambil kira sebagai
betul atau salah (Abul Quasem 1975 : 117). Islam yang datang sebagai agama yang mulia
ini tidak pernah mengajar umatnya supaya menuduh tanpa sebarang bukti. Untuk
menuduh seseorang mencuri perlu disertakan bukti. Untuk menuduh orang lain
melakukan zina juga perlu kepada bukti dan saksi. Dan pelbagai lagi kesalahan yang
kesemuanya memerlukan kepada bukti yang kukuh sebelum menjatuhkan hukuman
terhadap orang yang bersalah. Begitulah Islam mengajar umatnya agar tidak mudah untuk
bersangka buruk terhadap orang lain dan berhati-hati sebelum menjatuhkan sebarang
bentuk hukuman ke atas pesalah.
Perkara yang berkait rapat dengan buruk sangka adalah mengintip dan mencari
kesalahan seseorang ( ) . Ini juga adalah salah satu dosa. Apa yang dimaksudkan
dengan tajassus ini adalah suatu usaha untuk mencari apa yang Allah telah sembunyikan
mengenai hamba ciptaanNya (Abul Quasem 1975 : 117). Kadang-kadang manusia alpa
atau terlampau ghairah ingin mencari bukti kesalahan orang lain sehingga tidak sedar
melakukan intipan. Perkara sebegini turut dilarang dalam Islam yang mana ia seolah-olah
cuba mencari keaiban orang lain tanpa disedari sekalipun orang tersebut benar-benar
melakukan kesalahan tersebut. Cuba kita letak keadaan diri kita di tempat orang yang
melakukan kesalahan itu, sudah pasti kita sendiri tidak mahu kesalahan kita dihebohkan
kepada orang lain. Dan seboleh-bolehnya kita mahu bertaubat dari melakukan kesalahan

tersebut. Allah Taala itu Maha Luas pengampunanNya dan sentiasa terbuka untuk
menerima taubat dari hambaNya. Adakah layak bagi kita mengadili hambaNya dengan
membuka aibnya? Tepuk dada tanyalah iman.
Menyatakan kesalahan individu tertentu bukannya satu kesalahan sekiranya ia
dinyatakan untuk tujuan yang baik yang tidak dapat dinyatakan oleh orang selainnya.
Contohnya seperti: mencari keadilan atau menolong seseorang dari pihak berkuasa,
menolak kejahatan dengan memberitahu pihak yang bertanggungjawab melaksanakannya,
mencari pandangan yang tepat dan sah dari seorang hakim atau penilai, dan menasihatkan
orang lain terhadap perkara tersebut (Abul Quasem 1975 : 117). Ini menjelaskan kepada
kita bahawa mengumpat itu diharuskan dalam keadaan-keadaan yang tertentu yang
bolehlah penulis katakan bahawa sekiranya tidak diberitahu hal atau situasi yang sebenar,
maka pelbagai perkara buruk lagi yang mungkin akan terjadi.
Mengumpat boleh dirawat dengan dua cara. Pertamanya adalah terdiri daripada
ilmu pengetahuan dan tindakan. Melalui ilmu pengetahuan seseorang perlulah
mengetahui kesan-kesan buruk mengumpat di kemudian hari. Tindakan pula adalah
untuk menyiasat dan mencari kesalahan-kesalahan diri sendiri, berasa malu dengan
menyalahkan orang lain tanpa menyalahkan diri sendiri, dan menyedari tiada sesiapa pun
yang dapat terlepas dari bersifat dengan sifat kekurangan. Dengan cara ini, seseorang
akan menjadi lebih berhati-hati dari memperkatakan tentang apa yang tidak disukai oleh
orang lain kerana merasakan diri sendiri lebih banyak kekurangan berbanding daripada
orang lain (Abul Quasem 1975 : 117).
Cara yang kedua pula adalah dengan menghilangkan punca-punca atau sebabsebab untuk mengumpat. Antara sebab-sebab seseorang mengumpat adalah kerana
terlampau marah, berniat jahat dan mencari keseronokan bersama kawan-kawan. Untuk
merawatnya adalah dengan menyedari bahawa mengumpat itu adalah menyalahi larangan
Allah (Abul Quasem 1975 : 117). Punca-punca seseorang mengumpat telah dijelaskan
oleh imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulum al-Din dengan panjang lebar. Penulis akan
membincangkan mengenai punca-punca mengumpat ini dalam bab yang berikutnya.

3.0

PERBINCANGAN

Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang terkenal Ihya Ulum al-Din memulakan penjelasan
mengenai mengumpat dengan mendatangkan tegahan dari Allah Taala melalui firmanNya
dari surah al-Hujurat :

Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak
menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu
adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban
orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah
seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian
keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya
Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.2
Ibnu Juraij mengatakan bahawa orang-orang menyangka ayat ini diturunkan
kepada Salman al-Farisi yang mana apabila selesai makan, dia tidur dan berdengkur. Lalu
ada orang menceritakan makannya dan dengkurnya lalu turunlah ayat ini. Muqatil
mengatakan, ayat ini diturunkan kepada lelaki yang berkhidmat dengan rasulullah s.a.w.
Pada suatu hari, sebahagian sahabat mengutus utusan kepadanya bagi meminta lauk,
namun dia enggan memberinya. Lantas mereka menceritakannya dia seorang yang bakhil
yang bersuara merdu (Zulkifli & Mukhlis 2012 : 680).
1

Al-Quran, al-Hujurat 49 : 12.


Semua terjemahan ayat al-Quran dalam tulisan ini berdasarkan Tafsir Pimpinan Al-Quran kepada
Pengertian Al-Quran 30 Juz, Edisi ke-12, Darul Fikir, Kuala Lumpur, 2001.
2

Allah memberikan perumpamaan mengumpat seperti memakan bangkai kerana


bangkai tidak mengetahui bila dagingnya dimakan. Sebagaimana orang yang hidup tidak
mengetahui bila dirinya diumpat. Demikian makna yang disebut oleh az-Zajjaj. Ini
mengisyaratkan bahawa kehormatan seseorang bagaikan dagingnya, dan diharamkan
memakan dagingnya sebagaimana diharamkan mencemari kehormatannya. Di sini
terkandung peringatan untuk menjauhi perbuatan mengumpat serta celaan dan kecaman
bagi orang yang melakukannya. Ini kerana daging manusia adalah sesuatu yang secara
tabiat manusia akan merasa jijik untuk memakannya apalagi ia diharamkan secara syari
(asy-Syaukani 2012 : 485).
Rasulullah menerangkan dalam hadith baginda s.a.w mengenai pengertian
mengumpat. Abu Hurairah r.ahu meriwayatkan bahwa rasulullah s.a.w bersabda:

: . : :
3
:
Maksudnya : Adakah kamu tahu apa itu ghibah?, mereka berkata : Allah dan RasulNya
lebih mengetahui. Baginda berkata : Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu
dengan perkara yang tidak disukainya. Dikatakan : Beritahukanlah kepadaku, bagaimana
sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang aku katakan? Baginda berkata : Sekiranya
ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu telah mengumpatnya, jika tiada
padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya
Seterusnya mari kita teliti sebuah lagi hadith dari rasulullah s.a.w yang turut
diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.ahu, rasulullah s.a.w bersabda :
4

Maksudnya : Setiap muslim ke atas seorang muslim adalah haram : darahnya, maruahnya
dan hartanya.
3

Hadith riwayat imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim, kitab al-birr wa al-sillah wa al-adab, bab haram
mengumpat. Nom. hadith 2589, hlm : 1002.
4
Hadith riwayat imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim, kitab al-birr wa al-sillah wa al-adab, bab haram
menzalimi muslim, mengecewakannya, menghinanya, darahnya, maruahnya dan hartanya. Nom. hadith
2564, hlm : 995.

Daripada hadith yang disebutkan di atas, jelas kepada kita apakah yang dimaksudkan
dengan mengumpat. Hadith kedua pula menunjukkan haram bagi seorang muslim itu
untuk mengaibkan maruah seorang muslim yang lain dan menceritakan keburukannya
kepada orang lain. Antara hak seorang sahabat itu adalah tidak diceritakan keaibannya
semasa kehadirannya atau ketiadaannya. Mereka yang mengaibkan sahabatnya maka
ketahuilah bahawa dia telah melanggar hak seorang muslim yang diharamkan ke atasnya.
3.1

Keadaan yang Diharuskan Mengumpat

Dalam keadaan tertentu, kita dibolehkan untuk menyatakan kesalahan-kesalahan orang


lain yang mana sekiranya kita tidak menyatakannya, tidak mungkin kita akan sampai
kepada maksud yang dihajati. Antara keharusan dalam mengumpat adalah seperti berikut
(Al-Hilali 2005 : 176) :
1. Membuat aduan mengenai kezaliman. Dibolehkan bagi seorang yang dizalimi
untuk mengadu kepada pemerintah atau qadhi atau selain daripada mereka yang
mempunyai kuasa atau kemampuan untuk mengadili penzalim tersebut.
2. Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat. Dibolehkan
menyebut keburukan orang itu (perbuatannya melakukan mungkar) kepada
mereka yang diharapkan untuk mengubahnya, jika tidak dimaksudkan untuk
mengubah, maka haram baginya menyebut keburukan orang itu.
3. Meminta fatwa. Sebagai contoh : Suami saya telah menzalimi dan memukul saya,
maka apakah cara untuk saya mendapatkan hak saya? Yang lebih berhati-hati dan
lebih baik adalah tidak menyebut secara khusus ketika bertanya dan hanya
menyebut secara umum sahaja. Tetapi diizinkan untuk menyebut secara khusus
sebagaimana Hindun bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai suaminya yang
bakhil, Abu Sufyan, adakah boleh dia mengambil apa yang mencukupi baginya
dan anaknya sedangkan dia tidak mengetahuinya, dan Rasulullah s.a.w tidak
melarang Hindun menyebut secara khusus nama suaminya di hadapannya.
4. Peringatan buat kaum Muslimin. Sebagai contoh rundingan dalam urusan untuk
mengahwinkan orang, atau memilih orang untuk memegang amanah dan lain-lain,
wajib bagi orang yang mengetahui untuk memberitahu keburukan orang yang

10

dibincangkan (jika boleh menyebabkan orang itu menanggung padah dalam


urusannya nanti) dengan niat untuk menasihati.
5. Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran
tertentu seperti si buta, si pekak, si juling dan lain-lain dan dia redha dengannya.
Jika boleh digelar dengan selain daripada gelaran-gelaran ini adalah lebih baik.
6. Dibolehkan ghibah jika dia memang melakukan dosa secara terang-terangan.
Sebagai contoh, meminum arak secara terang-terangan, mengambil harta secara
zalim dan lain-lain.
3.2

Kesan-Kesan Mengumpat

Islam mengharamkan perbuatan mengumpat dan memfitnah termasuk mencaci, memaki


hamun, membuka keaiban orang, menuduh dan menghina orang kerana kesemua tabiat
buruk tersebut boleh menjadi punca utama kepada timbulnya perpecahan dan permusuhan
kaum. Keadaam ini sudah tentu akan menjadi bertambah bahaya jika penduduk sesebuah
negara terdiri daripada pelbagai etnik yang mempunyai latar belakang budaya dan sejarah
yang berbeza seperti di Malaysia (Nasir Omar 2005 : 187).
Apabila seseorang tidak mengumpat maka secara tidak langsung ianya akan
mencapai salah satu jalan kecemerlangan sebagaimana dinyatakan dalam buku Positif
untuk Berjaya oleh Dato Mohd. Fadzilah Kamsah et. al (2006 : 19) bahawa Imam AlGhazali mendifinisikan cemerlang dan berjaya dalam aspek yang pelbagai antaranya ialah
lidah. Hendaklah menghindari diri daripada bercakap dusta, ghibah atau benda yang
bukan-bukan, menyebarkan fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap. Kerana mereka
yang mampu mengawal lisan darida perkara yang tidak berfaedah berjaya mengawal diri
mereka daripada melakukan pelbagai perkara sia-sia dan memanfaatkan masa mereka ke
arah kebaikan.
Mengumpat dan memfitnah juga ditegah lantaran tabiat tersebut menguntungkan
sebelah pihak sahaja, iaitu pihak yang membuat umpamatan dan fitnah, sedangkan
kesannya merugikan banyak pihak lain. Seseorang pemimpin terkemuka mungkin akan
kehilangan pengaruh dan kerjaya disebabkan umpatan dan fitnah. Sesebuah rumah tangga

11

pula mungkin menjadi pincang atau terus runtuh, manakala syarikat yang terkenal
menjadi bankrap disebabkan perbuatan keji yang sama (Nasir Omar 2005 : 187).
3.3

Punca-Punca Untuk Mengumpat

Banyak punca yang membawa kepada seseorang itu untuk mengumpat. Imam al-Ghazali
membahagikan kepada dua kumpulan iaitu pertamanya yang sering terjadi kepada orang
awam manakala keduanya sering berlaku kepada ahli agama atau orang-orang tertentu
(al-Ghazali 2005 : 209-211).
Untuk melegakan kemarahan. Apabila berasa terlalu marah dengan orang tersebut,
nescaya ia akan berasa sembuh apabila menyebut kejahatan-kejahatan orang
tersebut.
Persepakatan dengan teman-teman, menyokong pendapat sahabat-sahabat dan
menolong mereka dalam percakapan. Apabila seorang sahabat membicarakan
mengenai kehormatan orang lain, lalu ia berpendapat perlulah ditolong sahabatnya
itu agar tidak terasa hati padanya.
Mengkehendaki mununjuk-nunjuk dan bangga diri. Contoh ia mengatakan
seseorang itu jahil dan lemah kefahamannya. Tujuan ia berkata sedemikian adalah
untuk mengatakan ia tidak bersifat jahil dan lemah ingatan.
Hasad dengki kepada orang yang dipuji oleh masyarakat, dihormati dan
dimuliakan.
Bersenda gurau, bermain, menghabiskan masa dengan gelak ketawa.
Seseorang yang berasa begitu bersemangat di dalam menghalang kemungkaran
yang ada, lalu syaitan menghasutnya sehingga membuka aib orang yang
melakukan kesalahan tersebut.
Berasa kasihan kepada ujian yang menimpa seseorang lalu syaitan menghasutnya
dengan menyebutkan nama orang yang ditimpa musibah tersebut.
3.4

Kafarah Mengumpat

Ketahuilah bahawa wajib ke atas orang yang mengumpat itu menyesal, bertaubat dan
merasa sedih di atas perbuatan mengumpat yang telah dilakukannya agar yang demikian

12

itu ia keluar dari hak Allah Taala. Kemudian, seharusnya ia minta maaf dan dihalalkan
daripada orang yang diumpatinya agar ia bebas pula dari orang yang dianiyainya. Dan
pada masa meminta halal akan perbuatannya itu hendaklah dilakukan dalam keadaan
sedih, sangat terharu dan menyesal di atas perbuatannya kerana orang yang mempunyai
perasaan riya kadang-kadang meminta maaf untuk menunjukkan sikap wara sedangkan
batinnya tidak menyesal akan perbuatan tersebut (al-Ghazali 2005 : 219).
Hasan al-Basri berpendapat bahawa mencukupilah dia beristighfar yakni
memohon ampun kepada Tuhan tanpa meminta halal dari orang yang diumpatinya
melalui hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik dari rasulullah s.a.w: kafarah
kepada orang yang engkau umpati ialah bahawa engkau meminta diampuni dosanya.
Mujahid pula berpendapat kafarah engkau memakan daging saudaramu ialah bahawa
engkau memujinya dan mendoakan kebaikan baginya. Apabila ditanyakan kepada Atha
bin Abi Ribah tentang taubat daripada mengumpat, beliau mengatakan engkau pergi
kepada temanmu itu lalu katakana engkau telah berdusta tentang apa yang engkau
katakana dan berbuat aniaya kepadanya. Maka jika engkau mahu, ambillah hakmu, dan
jika engkau mahu, maka maafkanlah aku. Sekiranya orang yang diumpat itu berada jauh
atau telah meninggal dunia, banyakkan istighfar dan berdoa kepadanya serta meminta
banyak kebaikan kepadanya (al-Ghazali 2005 : 219).
Jadi apakah pandangan al-Ghazali dalam hal ini? Ketika ditanya kepadanya
adakah wajib meminta dihalalkan itu, beliau menjawab : tidak wajib, kerana itu adalah
perbuatan berbuat kebaikan (tabarru) dan tabarru itu suatu keutamaan yang tidak wajib
tetapi ia perbuatan yang dipandang mulia. Cara orang yang ingin meminta maaf itu adalah
dengan ia memperbanyakkan pujian dan berkasih sayang kepada orang yang diumpatnya
itu. Hendaklah ia berterusan melakukannya sehingga orang yang diumpatnya itu menjadi
sejuk hatinya. Sekiranya tidak reda juga hatinya, maka segala perbuatan baik yang
dilakukan terhadapnya itu akan menjadi amalan yang akan dihitungkan di Padang
Mahsyar bagi mengimbangi kejahatan yang dilakukannya (al-Ghazali 2005 : 219).

13

KESIMPULAN
Sesungguhnya perbuatan mengumpat itu adalah termasuk dalam dosa yang dilakukan
melalui perbuatan atau fikiran kita tanpa dihadkan melalui lisan semata-mata. Hendaklah
kita menjaga diri kita daripada melakukan dosa mengumpat ini kerana ia merupakan
tegahan daripada Allah Taala. Maka apa yang ditegah oleh Allah itu sudah tentu ada
keburukan yang akan berlaku sekiranya manusia tetap dalam melakukan larangan atau
tegahan tersebut.
Apa yang jelas kepada kita, sudah pasti dengan mengumpat ini akan mengeruhkan
hubungan manusia dengan manusia yang lainnya. Sudah pasti pelbagai kerosakan dan
kemungkaran yang akan berlaku di atas muka bumi. Sudah pasti fitnah-fitnah akan
berleluasa walaupun manusia mengetahui akan keburukannya. Sudah pasti pertumpahan
darah juga boleh terjadi. Maka apabila mulut lebih berkuasa dari segalanya, kita akan
lihat semua bahaya yang telah dinyatakan. Kita pernah mendengar kata-kata seperti lidah
itu lebih tajam daripada pedang. Oleh itu, jagalah lidah dan mulut kita daripada
melakukan dosa mengumpat.
Selain daripada hubungan manusia dengan Allah dan alam semesta, manusia juga
perlu menjaga hubungannya sesama manusia yang lainnya kerana manusia tidak tinggal
bersendirian di atas muka bumi Allah ini. Manusia memerlukan manusia lainnya untuk
menambah amal kebaikan untuk dihitung sebagai pahala serta dimasukkan ke dalam
Syurga Allah. Jika baik hubungan terhadap manusia, maka banyaklah amal kebaikan
yang akan dicatat, sebaliknya jika buruk hubungan kepada manusia yang lainnya, maka
sudah pasti banyaklah catatan keburukan yang akan kita terima di Akhirat kelak.
Wallahu alam.

14

RUJUKAN
Al-Quran al-Karim
Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran 30
Juz. Ed. Ke-12. Kuala Lumpur: Darul Fikir.
Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad. 2005. Ihya Ulum al-Din. Jil. 3.
Kaherah: Dar al-Tauzi wa an-Nashr al-Islamiyyah.
Al-Hilali, Abu Usamah Salim bin Ied. 2005. Syarah Riyadh al-Solihin. Terj. M.Abdul
Ghoffar. Jil. Ke-5. Jakarta: Pustaka Imam as-Syafie.
An-Naisaburi, al-Imam Abi al-Hussain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi. 2001. Sohih
Muslim. Beirut: Dar al-Kitab al-Ilmiyyah.
Asy-Syaukani, al-Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad. 2012. Tafsir Fathul Qadir.
Terj. Amir Hamzah Fachruddin. Jakarta: Pustaka Azzam.
Mohd Fadzilah Kamsah et. al. 2006. Positif Untuk Berjaya. Edisi Ke-2. Selangor: PTS
Millennia Sdn. Bhd.
Mohd Nasir Omar. 2005. Akhlak Dan Kaunseling Islam. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Muhammad Abul Quasem. 1975. The Ethics of al-Ghazali : A Composite Ethics in Islam.
Petaling Jaya: Central Printing Sdn. Bhd.
Ummu Abdillah, Ili Dalila Mohd Redwan. 2010. Ghibah (Mengumpat). Merintis Jalan
al-Quran dan as-Sunnah. https://ilidalila.wordpress.com/2010/04/28/ghibahmengumpat/ [24 Mac 2015].
Zulkifli Mohd Yusoff & Muhammad Mukhlis. 2012. Asbabun Nuzul. Selangor: PTS
Darul Furqan Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai