Anda di halaman 1dari 10

Kasut Kelopak Jantung

Hari itu Cikgu Harun menerima lagi sebuah


bungkusan. Ketika balik dari surau malam itu, bungkusan
itu sudah ada. Nama pada bungkusan itu sememangnya
nama Cikgu Harun walaupun tidak bersetem atau tanda
dihantar dengan pos. Cikgu Harun tahu benar pengirim
bungkusan itu. Bukan pertama kali dia menerimanya,
malah setahun dua kali sudah pasti, semenjak beberapa
tahun yang lalu. Terutamanya ketika tibanya 16 Mei,
bungkusan hadiah itu akan sampai seperti selalunya. Dia
telah pun menduga.
Cikgu Harun sendiri tidak pasti tujuan pengirimnya
berbuat demikian. Mahu menyindir atau benar-benar
ikhlas. Atau sindiran dan keikhlasan telah bergumpal
menjadi satu, Cikgu Harun tidak tahu. Namun sesuatu
yang pasti, setiap kali bungkusan itu sampai, Cikgu Harun
pun terkesima, membiarkan diri hanyut dalam arus
ingatan ke zaman awal menjadi pendidik di sebuah
kampung pedalaman. Lebih tiga dekad yang lalu, ketika
kedaifan masih menjadi sinonim dengan kehidupan
merhaen di luar bandar.
Bangun! Selamat pagi cikgu!
Cikgu Harun tercegat di depan kelas. Matanya
memandang sekeliling kelas darjah tiga itu. Akhirnya,
seperti biasa dia tertumpu kepada Ahmad di penjuru
kelas. Cikgu Harun memandang Ahmad lama-lama, dari
atas ke bawah. Matanya yang besar, dijegilkan ke arah
Ahmad. Memang menakutkan bagi seorang murid darjah
tiga seperti Ahmad. Tambahan pula, imej bengis Cikgu
Harun sememangnya menjadi igauan anak-anak kecil

rata-rata anak pesawah ataupun penoreh getah


kampung.
Ahmad, mana kasut? tanya Cikgu Harun dengan
suara yang keras. Soalan itu bukan yang pertama, malah
sudah berkali-kali semenjak sekolah dibuka beberapa
minggu yang lalu.
Belum beli, cikgu, jawab Ahmad dengan suara
perlahan amat. Seolah-olah tidak kedengaran. Suara anak
kecil itu tidak mahu keluar bagai ada sesuatu yang
tersengkang pada batang tenggoroknya.
Itulah jawapannya yang diberikan semenjak soalan
itu diajukan kepadanya. Itulah juga perbendaharaan kata
yang terlontar keluar melewati bibir kering Ahmad. Dia
tidak bercakap banyak. Mukanya ditundukkan apabila
bercakap dengan orang, terutamanya Cikgu Harun. Dia
tidak berani bertentang mata dengan Cikgu Harun.
Bila nak beli? tanya Cikgu Harun. Pertanyaan itu
tidak berjawab. Ahmad membatukan diri seperti selalu.
Begitulah setiap pagi semenjak tiga minggu yang
lalu. Sebelum itu Ahmad memakai selipar jepun lusuh ke
sekolah. Selepas selipar itu putus, Ahmad hanya berkaki
ayam. Tidak pernah ada kasut berwarna putih di kakinya.
Sepanjang tiga minggu itu Cikgu Harun bertanya
soalan yang sama setiap pagi. Baginya Ahmad
merosakkan keceriaan kelas. Murid lain semuanya
berpakaian lengkap. Hanya Ahmad sahaja yang tidak.
Pada fikiran Cikgu Harun, jika murid itu miskin pun,
mustahil kasut sekolah pun tidak mampu dibeli. Bukannya
mahal sangat. Pasti ibu bapanya yang tidak ambil kisah,
jika Ahmad terus tidak berkasut.

Cikgu Harun bukannya garang sangat. Akan tetapi


kerenah Ahmad sedikit sebanyak mencetuskan perasaan
kurang senang dalam jiwa mudanya. Dan rasa kurang
senang itu sering dilepaskan kepada Ahmad setiap pagi
sehingga membuatkan budak hingusan itu termangumangu dan tersipu-sipu. Malu barangkali.
Cikgu Harun bertanya soalan yang sama setiap pagi
juga ada tujuannya. Sekurang-kurangnya Ahmad akan
mendesak ibu bapanya untuk membeli sepasang kasut
untuk ke sekolah. Dia tahu jika dia tidak ambil kisah,
perkara itu akan berlarutan. Malahan, anak-anak yang
lain pula akan ambil kesempatan. Anak-anak kampung itu
sememangnya lebih selesa berkaki ayam waktu itu.
Mereka sudah mangli dengan keadaan sedemikian. Kasut
bukanlah satu barang penting dalam kehidupan mereka.
Lepas ini kita akan ke padang untuk bersenam, ujar
Cikgu Harun selepas merungut-rungut tentang Ahmad
yang tidak berkasut. Murid-murid segera menukar
pakaian. Cuma Ahmad sahaja yang tidak berbuat
demikian.
Di padang, murid-murid darjah tiga itu bermain riang.
Semuanya memakai pakaian sukan yang lengkap. Mata
Cikgu Harun sekali lagi tertumpu kepada Ahmad. Dia
masih memakai kemeja putih lusuh dan seluar biru pudar.
Kamarahan Cikgu Harun tiba-tiba datang semula.
Ahmad, mari sini! panggil Cikgu Harun segara.
Ahmad pun datang terkebil-kebil, tertunduk-tunduk
seperti ayam kalah menyabung.
Kanapa tak tukar pakaian? Cikgu Harun terus
bertanya. Ahmad tidak menjawab. Dia ketakutan. Pasti.

Kasut sekolah tak pakai, baju sukan tak bawa! Apa


nak jadi dengan kamu ini? leter Cikgu Harun setelah
melihat Ahmad hanya diam membatu. Mahu sahaja
dipukul budak itu sekuat hati. Namun, kesabaran masih
tersisa dalam jiwanya.
Saya dah tak tahan dengan kamu. Hari ini saya nak
denda kamu! kata Cikgu Harun. Dia segara bangun dan
mencari sesuatu. Dia ke tepi pagar sekolah. Barangkali
mahu mencari ranting pokok di tepi pagar. Jika ada
ranting itu, punggung Ahmad akan disebatnya kuat-kuat,
fikirnya. Ilmu psikologi yang dipelajarinya di maktab
dahulu tidak boleh dipakai ketika berdepan budak seperti
itu. Begitu pula fikir Cikgu Harun. Ahmad tetap tercegat
dan terkebil-kebil, menanti hukuman guru yang berasal
dari luar bandar itu.
Tiba-tiba Cikgu Harun terpandang rumpun pisang
merimbun di tepi pagar sekolah. Beberapa tanda pisang
terjuntai di celah-celah rumpun pisang itu. Di bawahnya
bertaburan kelopak jantung yang gugur. Besar-besar dan
berwarna merah hati. Cikgu Harun memungut kelopak
jantung itu lalu kembali ke tempat Ahmad sedang berdiri.
Seperti menanti hukuman gurunya.
Pergi cari tali! arah Cikgu Harun kepada Ahmad.
Murid itu tidak berkata apa-apa. Dia terus beredar ke arah
kantin sekolah. Sebentar kemudian dia kembali dengan
seutas tali raffia berwarna merah.
Kamu pakai benda ini. Ikat elok-elok! Cikgu Harun
memberikan perintah. Jarinya dituding tepat ke arah
kelopak jantung pisang. Ahmad memandang kosong ke
wajah Cikgu Harun seperti mahu meminta simpati.
Cepatt! jerkah Cikgu Harun apabila melihat Ahmad
masih tercegat. Kali ini Ahmad tidak membantah. Dia

mencangkung dengan sebelah kaki dihulurkan ke depan.


Kelopak jantung diacukan ke tapak kakinya yang comot.
Kemudian, tali rafia dialukan di bawah tapak kakinya itu.
Kelopak jantung pisang itu kemudian diikat kemas-kemas,
melekap sendat pada kaki kematu Ahmad. Selepas
sebelah, sebelah lagi dipasangkan, seperti memakai kasut
sekolah.
Jangan buka-buka kasut ini selagi kamu tak beli
kasut baru! Cikgu Harun memberikan amaran. Ada
sedikit perasaan lucu di hati Cikgu Harun melihat anak
murid yang tidak dikenali latar belakang itu. Kadangkadang dilihatnya Ahmad seperti lurus bendul. Dia tidak
pernah membantah kata-kata guru. Katalah apa sahaja,
dia tetap patuh tanpa banyak soal.Jauh sekali ponteng
sekolah. Walaupun kaki ayam, Ahmad tidak pernah
ponteng. Itulah kelebihan Ahmad. Kegigihannya memang
ketara. Cikgu Harun turut menyedarinya.
Ahmad berlalu. Air matanya mula meleleh,
membasahi pipi cengkungnya. Kawan-kawannya mula
tertawa melihat kasut barunya itu. Ahmad berjalan
macam lembu sakit kaki. Dia serba salah. Hendak angkat
muka, dia berasa malu. Semua yang ternampak kakinya,
pasti akan tersengih-sengih jika tidak ketawa. Hendak
tunduk, ternampak pula kasut baru yang menyakitkan
hati.
Terasa ketika itu kakinya macam kaki gajah yang
untut dan tidak cantik. Seperti kaki ayam yang mencakar
najis. Terasa kakinya seperti kaki monyet, kaki itik, dan
kaki tiang rumahnya yang usang. Malah, Ahmad terasa
dirinya seperti tidak berkaki langsung, kudung kedua-dua
belah, kiri dan kanan. Ahmad semakin malu memikirkan
semua itu. Waktu rehat Ahmad tidak keluar. Dia hanya
menanti deringan loceng waktu pulang dengan gelisah.

Pasti sepanjang jalan nanti semua orang akan melihat


kakinya yang berkasut kelopak jantung itu.
Ahmad berlari pulang ketika murid-murid lain sudah
keluar sekolah. Sekejap pun dia tidak berhenti kerana
malu kakinya dilihat orang. Jika berselisih dia akan ke kaki
lima jalan atau masuk ke dalam semak rumpun semalu di
tepi jalan. Matanya masih berair, bukan kerana sakit kaki,
akan tetapi hatinya yang terhiris.
Besoknya, tempat duduk Ahmad kosong. Cikgu Harun
sedar bahawa Ahmad tidak datang. Selama ini Ahmad
tidak pernah ponteng sekolah. Dia rajin ke sekolah
walaupun terpaksa berjalan tanpa kasut.
Hari berikutnya juga Ahmad tidak datang. Hari
selepasnya pun begitu. Kini, seminggu sudah Ahmad
tidak hadir. Cikgu Harun berasa ada sesuatu yang tidak
kena. Dia cuma mendapatkan maklumat daripada muridmurid yang lain.
Dia kata hendak berhenti sekolah, cikgu! kata salah
seorang kawan Ahmad. Jawapan itu menjadikan Cikgu
Harun tersentak. Dia mula terasa bahawa Ahmad telah
berkecil hati. Cikgu Harun tidak menyangka bahawa
tindakannya telah menyentuh perasaan muridnya itu.
Rasa bersalah mula menyerang perasaannya. Dia mula
berasa kehilangan Ahmad. Niatnya, dia mahu Ahmad
menjadi seperti murid-murid yang lain di sekolah itu.
Jika Ahmad berhenti sekolah, Cikgu Harun berasa dia
gagal dalam kerjayanya. Mana ada guru yang mahu
murid-muridnya berhenti sekolah. Jika tidak ada murid,
dari mana datangnya kerjaya seorang guru. Murid dan
guru itu saling melengkapi. Kini, seorang murid hendak
berhenti sekolah. Jika itu terjadi, negara akan kehilangan
seorang warga yang berpendidikan. Cikgu Harun mula

disapa penyesalan yang bukan sedikit ketika itu. Dia mula


insaf bahawa tindakannya terhadap Ahmad keterlaluan.
Selama ini walaupun dimarah beberapa kali Ahmad tetap
datang ke sekolah.
Petang itu Cikgu Harun mengambil keputusan untuk
ke rumah Ahmad. Dengan panduan murid-murid lain, dia
melalui denai-denai sempit dengan motosikalnya ke
hujung kampung.
Jauh juga rumah Ahmad, bisik hati kecil Cikgu
Harun. Dia mula membayangkan betapa sukarnya Ahmad
ke sekolah setiap hari, berjalan tanpa kasut dalam semak
seperti itu. Batu kerikil di sepanjang jalan sudah tentu
menyakitkan kaki anak kecil seperti Ahmad. Pohon
semalu yang berduri memenuhi jalan sudah pasti
memeritkan tapak kaki kecil milik Ahmad.
Sebaik sahaja sampai di sebuah rumah, tidak ada
penghuni dilihat oleh Cikgu Harun dalam rumah yang
layak disebut pondok itu. Cikgu Harun memandang
sekeliling. Suasana sepi sekali. Dia pasti itulah rumah
Ahmad seperti yang diberitahu oleh anak-anak muridnya
yang lain.
Ahmad!! teriak Cikgu Harun. Suasana sunyi
kembali. Tiba-tiba seorang wanita separuh umur muncul
dari belakang rumah, terhinggut-hinggut dan uzur benar.
Ahmad tak ada. Dia pergi ke kebun sayur mengambil
upah petik cili. Sebentar lagi dia balik, kata orang tua itu.
Encik ni siapa? tambahnya kemudian.
Saya Cikgu Harun.Riak wajah wanita itu terus
berubah mendengar jawapan itu.

Jemputlah naik, pelawa wanita itu. Cikgu Harun


dapat meneka bahawa wanita itu ibu Ahmad daripada
raut wajahnya.
Tak apalah! Saya nak jumpa Ahmad, balas Cikgu
Harun.
Tidak lama kemudian, Cikgu Harun terpandang
kelibat seorang budak lelaki berjalan di celah-celah
semak di belakang rumah. Pergerakan budak itu tidak
lancar. Cikgu Harun hanya menanti dengan sedikit
debaran di dada.
Ahmad! sapa Cikgu Harun apabila budak itu hampir
dengannya. Ahmad seperti terkejut dengan sapaan dan
kehadiran Cikgu Harun. Dia terus sahaja membatukan
diri. Cikgu Harun memerhatikan Ahmad dari atas ke
bawah. Pandangannya terlekat pada kaki Ahmad. Kelopak
jantung pisang yang sudah berjurai-jurai masih terlekat
pada kaki comot budak lurus itu.
Kenapa tak buka kelopak jantung itu? tanya Cikgu
Harun pantas. Perasaannya mula tersentuh. Dia tidak
menyangka arahan supaya tidak menanggalkan kelopak
jantung itu benar-benar dipatuhi oleh anak murid yang
selalu mengganggu perhatiannya.
Saya belum cukup duit untuk membeli kasut baru,
jawab Ahmad terkebil-kebil. Jemari halus kelihatan
kemerah-merahan, barangkali bekas keperitan bekerja
memetik cili api di kebun sayur berdekatan.
Air mata Cikgu Harun gugur tanpa disedari. Dia terus
sahaja menghidupkan enjin motosikalnya. Dia melalui
denai-denai sempit menuju ke arah pekan berdekatan. Di
pekan itu, dia membeli sepasang pakaian sekolah dan
sepasang kasut.

Kemudian, Cikgu Harun bergegas pulang. Dia terus


ke hujung kampung. Dia menyerahkan beg plastik berisi
pakaian sekolah itu kepada Ahmad. Ahmad tetap dengan
caranya berhadapan dengan guru darjahnya itu, diam
dan terkebil-kebil.
`Ahmad, esok pergi sekolah. Pakai uniform baru ini,
kata Cikgu Harun. Ahmad menyambut pemberian Cikgu
Harun dengan tangannya terketar-ketar.
Terima kasih, cikgu, kata Ahmad ketika Cikgu Harun
membuka ikatan kasut kelopak jantung yang berjurai-jurai
hancur di kakinya.
Kini, Cikgu Harun telah bersara daripada tugas
mendidik yang dilaluinya lebih daripada tiga puluh tahun.
Dia pernah mendapat khabar beberapa tahun yang lalu,
Ahmad menjadi seorang peniaga di pasar malam. Ahmad
menjual pakaian dan berbagai-bagai jenis kasut. Namun
begitu, dia tidak pernah menemui anak muridnya itu.
Anak murid yang menjadikan Cikgu Harun seorang guru
yang penyayang.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Cikgu Harun
tidak membeli kasut lagi. Dia sering menerima hadiah
kasut-kasut mahal dan berjenama daripada bekas
muridnya yang pernah dipakaikan kasut kelopak jantung.
Setiap kali perayaan Hari Guru dia mendapat sepasang
kasut baharu. Walaupun dia masih was-was dengan
pemberian itu, Cikgu Harun yakin bahawa Ahmad ikhlas.
Dalam setiap bungkusan, Ahmad sering menyatakan
keikhlasannya mengenang jasa guru yang menjadikannya
seorang insan yang berjaya. Dia telah memegang jawatan
pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut
terkemuka di bandar. Katanya, kasut kelopak jantung

benar-benar menyedarkannya betapa pentingnya kasut


kepada manusia.
(Majalah Pendidik, Ogos
2004)

Anda mungkin juga menyukai