Anda di halaman 1dari 3

TUGASAN 1

Teori Pembelajaran Sosial adalah sebuah teori pembelajaran yang menggabungkan


teori Behavioris dan teori Kognitif. Pelopor bagi teori pembelajaran sosial ini adalah Albert
Bandura yang dilahirkan pada tahun 1925 di Alberta, Canada (Ragbir Kaur, 2007). Menurut
Bandura (1977), Teori Pembelajaran Sosial didefinisikan sebagai sebuah pembelajaran yang
berlaku dengan memerhatikan orang lain melakukan sesuatu atau menjadikan seseorang
sebagai model tingkah laku. Hal ini menjelaskan bahawa persekitaran dan juga orang-orang
yang signifikan seperti guru dan rakan-rakan sekelas akan mempengaruhi tingkahlaku
seseorang. Bandura (1977) juga menyatakan bahawa seseorang individu akan memerhatikan
sesuatu tingkah laku daripada orang lain yang signifikan dengannya dan menyimpan
maklumat yang diperhatikan secara kognitif dan seterusnya mempersembahkan tingkah laku
tersebut. Namun, tidak semestinya semua tingkah laku model ditiru. Murid cenderung meniru
tingkah laku yang diberikan peneguhan positif berbanding dengan tingkah laku yang diberikan
hukuman (Albert Bandura, 1977).

Justeru itu, Bani Hidayat (2010) menyatakan bahawa guru memainkan peranan yang
amat penting dalam pemilihan kaedah pembelajaran yang dapat membantu murid untuk
membina pengetahuan baharu. Teori ini jelas sekali diaplikasikan oleh guru dalam
melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (pdp) iaitu apabila guru menggunakan
kaedah demonstrasi. Kaedah demonstrasi adalah sebuah kaedah yang menepati teori
pembelajaran sosial di mana guru atau orang lain akan memperlihatkan pada seluruh kelas
tentang suatu proses atau cara melaksanakan sesuatu (Frieman, 2002). Manakala Mok Soon
Sang (2002) memberikan pengertian demonstrasi atau tunjuk cara sebagai teknik pengajaran
dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran guru mendemonstrasikan cara atau langkah
sesuatu aktiviti di hadapan pelajar. Beliau menjelaskan bahawa teknik tunjuk cara melibatkan
aktiviti penerangan dan demonstrasi guru bersama pelajar dengan aktiviti pendengaran dan
penglihatan serta percubaan pelajar sebelum mereka mencuba atau membuat sendiri sesuatu
aktiviti tersebut. Sebagai contoh, guru memilih sebuah standard pembelajaran di bawah tajuk
haba iaitu mengetahui alat penyukat haba dan murid perlu berupaya untuk menjalankan
sebuah aktiviti menyukat haba dengan meggunakan termometer. Bagi menjalankan aktiviti
ini, guru perlu menunjukkan sebuah demonstrasi mengenai cara menggunakan termometer
dengan betul kepada murid sebelum mereka menjalankan aktiviti ini dengan sendiri. Sesuatu
demonstrasi yang baik akan mengukuhkan ingatan pelajar tentang sesuatu langkah-langkah
untuk melaksanakannya (Slavin, 2003).

Pertama sekali, guru akan menyediakan alatan yang diperlukan iaitu termometer dan
air yang bersuhu tinggi. Dengan menggunakan alatan yang disediakan, guru akan
menunjukkan cara menyukat haba menggunakan termometer dengan betul berulang kali
sambil diperhatikan oleh murid. Menurut Maarof (2003), Pembelajaran berlaku melalui
pemerhatian dan peniruan. Oleh itu, demonstrasi yang dilakukan perlu jelas dan menarik agar
murid dapat meniru dengan berkesan. Kemudian, murid akan menyimpan langkah-langkah
yang diperhatikan dalam ingatan sebagai maklumat atau pengetahuan baharu (Jamunarani,
2016). Apabila tiba masa untuk menjalankan aktiviti tersebut dengan sendiri, tingkahlaku dan
kemahiran menyukat haba menggunakan termometer yang disimpan dalam ingatan murid
akan diterjemahkan dalam bentuk perlakuan. Kecekapan murid mengendalikan termometer
untuk menyukat haba adalah bergantung kepada keupayaan fizikal dan kemahiran tiruan
motor pemerhati serta kemahiran mengingat dengan tepat. Akhir sekali, guru memberi
motivasi serta peneguhan kepada murid seperti pujian dan ganjaran sekiranya murid mampu
menyukat haba menggunakan termometer dengan betul. Menurut Rahil Mahyuddin (2002),
konsep motivasi pembelajaran berkait rapat dengan prinsip bahawa tingkah laku yang
memperolehi penguatan di masa lalu lebih memiliki kemungkinan pengulangan tingkah laku
dibandingkan dengan tingkah laku yang tidak memperoleh penguatan atau tingkah laku yang
dikenakan hukuman.

Kaedah demonstrasi ini menjelaskan bahawa aspek pemerhatian murid terhadap


perkara yang disampaikan atau dilakukan oleh guru dan juga aspek peniruan oleh murid akan
dapat memberi kesan yang optimum kepada kefahaman mereka (Bandura, 1997, Arends,
1998). Mazur (1994) pula menyatakan bahawa antara kelebihan belajar melalui pemerhatian
ialah pelajar boleh berfikir dan mengolah tingkah laku yang ditunjukkan kepada mereka
sebelum mereka sendiri melakukan tingkah laku tersebut. Menurut beliau, teori Bandura
menyatakan bahawa sesuatu peniruan yang berjaya adalah berdasarkan kepada kemampuan
pelajar untuk melaksanakan sesuatu pergerakan atau kemahiran yang ditunjukkan dengan
tepat. Sesuatu peniruan itu dikira berjaya sekiranya pelajar dapat melaksanakan perbuatan
atau tingkah laku yang telah diperhatikan oleh mereka ataupun mereka dapat melakukannya
dengan lebih baik Hal ini jelas sekali menunjukkan bahawa teori pembelajaran sosial
diaplikasikan dalam pembelajaran Sains melalui kaedah demonstrasi.
RUJUKAN

Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman. (2003). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Kuala
Lumpur : Quantum Books.
Arend, R. I. (1998). Learning to Teach. Boston: Mc Graw Hill.
Azizi Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakaria; Fawziah Yahya. (2005). “Aplikasi Kognitif
dalam Pendidikan” Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing. Kuala Lumpur.
Azizi Yahaya, Noordin Yahaya, Zurihanmin Zakariya. (2005). Psikologi Kognitif. UTM : Cetak
Ratu Sdn. Bhd.
Bandura, A.(1997). Self Efficacy: The Exercise of control. New York: W.H. Freeman & Co.
Bani Hidayat bin Mohd Shafie et. al. (2010). Strategi Teknik Demonstrasi dan Pemerhatian
Terhadap Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Ibadat Pendidikan Islam KBSM
Di Surau Sekolah. International Conference on Learner Diversity. Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Frieman,J.(2002). Learning and Adaptive Behavior. Elmort: Wadsworth.


Jamunarani a/p Muthusamy. (2016). Keberkesanan Kaedah Demonstrasi Video dalam
Pengajaran dan Pembelajaran bagi Modul Pendawaian Elektrik Tiga Fasa. Journal of
ICT in Education (JICTIE) ISSN 2289-7844 / Vol. 3 / 2016 / 34-54. Kolej Komuniti Kuala
Langat.

Maarof, N. (2003). Keupayaan Menguasai Bahasa Inggeris di Kalangan Pelajar Melayu


Sekolah Menengah dalam Era Globalisasi. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia,
Buletin Pendidikan, Bil 10, ms. 3-5.

Mazur,J.E. (1994). Learning and Behavior. Edisi Ketiga. New Jersey: Prentice Hall.
Mok Soon Sang. (2002). Pedagogi untuk Kursus Diploma Perguruan. Edisi ketiga. Subang
Jaya: Kumpulan Budiman.
Ragbir Kaur a/p Joginder Singh, Dr. (2007). Panduan Ulangkaji Pendidikan Untuk KPLI
Sekolah Menengah Dan Sekolah Rendah. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn
Bhd.
Rahil Mahyuddin. (2002). Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan. Shah Alam: Karisma
Publications.
Slavin, R.E. (2003). Educational Psychology : theory ang practice. Edisi ketujuh. Boston: Allyn
& Bacon.

Anda mungkin juga menyukai