Anda di halaman 1dari 9

BAB 12

RUMUSAN PENGANTAR KOMUNIKASI

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Menjelaskan skop bidang komunikasi sebagai disiplin sains
sosial.
2. Membincangkan kepentingan, jenis dan konteks komunikasi.
3. Memahami keseluruhan asas komunikasi.

12.1 PENGENALAN

Syukur kita sudah sampai ke penghujung kursus Pengantar Komunikasi.


Sepanjang tempoh pembelajaran, kita telah membincangkan pelbagai
konsep, fungsi, kepentingan, konteks dan kemahiran asas komunikasi.

Pada hakikatnya, bidang komunikasi adalah berkaitan dengan gelagat


pencarian dan perkongsian maklumat di kalangan manusia. Manusia
mempunyai pelbagai ragam. Kepelbagaian ragam inilah yang
mencorakkan jenis dan bentuk komunikasi. Daripada awal mula
komunikasi dalam diri sendiri (intrapersonal) hinggalah ke komunikasi
massa yang melibatkan khalayak ramai, tujuan kita berkomunikasi adalah
untuk mencipta kesamaan kefahaman tentang sesuatu perkara. Dalam
erti kata lain, komunikasi adalah proses merapatkan jurang kefahaman
antara individu. Apabila kita berkomunikasi sebenarnya kita cuba
mengurangkan ketidakpastian dan keraguan antara satu sama lain dalam
mencapai titik persamaan dan kefahaman.

Jadi dalam bab ini, kita akan membuat rumusan mudah dan ringkas
dengan mengimbas kembali pelajaran yang telah kita bincang. Di
samping itu, kita juga akan membincangkan tentang keperluan kemahiran
komunikasi dalam kehidupan manusia.

12.2 KOMUNIKASI SEBAGAI BIDANG SAINS SOSIAL

Dalam Bab 1– Sejarah Komunikasi, kita telah membincangkan secara


terperinci sejarah awal perkembangan bidang komunikasi dari zaman
Aristotle hinggalah perkembangan komunikasi siber yang berlaku dewasa

189
ini. Ramai sarjana awal dalam bidang sains sosial seperti bidang
antropologi, sosiologi, sains politik dan psikologi yang berminat
membuat kajian tentang gelagat komunikasi antara manusia. Pada
peringkat awal, perkembangan bidang komunikasi dipelopori oleh
sarjana sains sosial. Sebagai satu bidang sains sosial, bidang komunikasi
bersifat dinamik dan berubah mengikut masa.

Dari zaman Plato dan Aristotle yang membangkitkan pengkajian tentang


retorik hinggalah zaman siber ini, komunikasi masih lagi relevan dan
terus dikaji khususnya tentang kepentingan, keterampilan dan impak
komunikasi kepada budaya kerja, pencarian maklumat dan pembinaan
masyarakat berpengetahuan. Pendek kata, ilmu komunikasi perlu dikaji
dan dipelajari dari semasa ke semasa sesuai dengan perubahan konteks,
budaya, khalayak dan tujuan-maksud-niat.

Bolehkah anda kenal pasti faktor-faktor yang


mempengaruhi perkembangan pembangunan bidang
komunikasi?

12.3 KOMUNIKASI IALAH SUATU PROSES

Komunikasi ialah suatu proses pertukaran makna antara individu. Jika


kita imbas kembali Bab 2– Fungsi dan Takrifan, komunikasi secara
umumnya merujuk kepada satu proses seni memindahkan maklumat,
idea dan sikap daripada seseorang kepada seseorang (Emery, Ault &
Agee, 1965). Kajian oleh Dance (1970) telah mengenal pasti 98 takrifan
komunikasi. Ini menunjukkan bahawa komunikasi adalah satu bidang
yang luas dan sentiasa disesuaikan dengan bidang-bidang ilmu lain.
Perbincangan tentang takrifan juga mengupas beberapa dimensi
penekanan takrifan komunikasi seperti yang dikemukakan oleh
Samsudin. A Rahim (1993) iaitu

(i) Takrifan yang menekankan aspek penyampaian dan


penyebaran maklumat.
(ii) Takrifan yang menekankan aspek perkongsian makna dan
kesefahaman.
(iii) Takrifan yang menekankan aspek pembujukan dan
perubahan.
(iv) Takrifan yang menekankan aspek tingkah laku.

Bolehkan anda imbas kembali takrifan komunikasi


berdasarkan penekanan yang dinyatakan di atas?

190
Di samping itu, kita juga telah membincangkan beberapa fungsi umum
komunikasi. Antara fungsi komunikasi tersebut adalah komunikasi
berperanan menyebarkan maklumat dan amaran, komunikasi bertindak
sebagai transmisi budaya masyarakat, komunikasi berupaya menyediakan
hiburan, komunikasi dapat mendidik masyarakat, komunikasi sebagai
penentu agenda dan komunikasi berfungsi sebagai alat pembujukan.

Cuba anda terangkan dengan lebih mendalam fungsi-


fungsi komunikasi dalam pelbagai konteks komunikasi
yang telah anda pelajari.

Melalui takrifan-takrifan komunikasi, kita dapat mengenal pasti beberapa


elemen komunikasi seperti sumber, pengirim, mesej, saluran, maklum
balas dan gangguan serta persekitaran seperti yang dibincangkan dalam
Bab 3 – Elemen-Elemen Komunikasi. Kajian tentang elemen-elemen
komunikasi adalah penting bagi mengetahui tahap kesediaan,
kemampuan dan kewibawaan elemen tersebut dalam mewujudkan
komunikasi yang berkesan. Contohnya, sebelum kita berkomunikasi, kita
sebagai sumber perlu menganalisis kekuatan diri sendiri dalam
menyampaikan sesuatu mesej sesuai dengan tujuan konteks, khalayak
(penerima) dan saluran yang dipilih sama ada saluran kemanusiaan iaitu
bersemuka atau menggunakan perantaraan teknologi seperti media
massa. Analisis setiap elemen ini adalah penting sebelum proses
komunikasi dimulakan bagi mencapai tahap keberkesanan dan
kelangsungan komunikasi.

Kenal pasti ciri-ciri setiap elemen komunikasi yang


berupaya mewujudkan komunikasi yang berkesan.

Bab 4 – Model Komunikasi pula telah membincangkan tiga kumpulan


model komunikasi berdasarkan hubungan elemen-elemen yang terlibat
iaitu Model Klasik (sehala), Model Komunikasi Dua Hala (transaksional)
dan Model Komunikasi Kontemporari. Model Berlo contohnya
mengutarakan konsep S-M-C-R iaitu sumber, mesej, saluran dan
penerima. Model Klasik ini memperlihatkan hubungan sehala antara
sumber dengan penerima tanpa ada unsur maklum balas. Umumnya,
Model Klasik memberikan tumpuan kepada kesan media yang
melibatkan proses komunikasi yang bersifat sehala. Manakala Model Dua
Hala menambahkan elemen maklum balas bagi mewujudkan proses
komunikasi yang aktif antara sumber dan penerima. Model Komunikasi
Kontemporari pula melihat proses komunikasi yang lebih interaktif dan
mengambil kira aspek-aspek pengaruh persekitaran dalam mempengaruhi
keberkesanan komunikasi.

191
Cuba anda lakarkan gambar rajah model-model yang
terdapat dalam Model Klasik, Model Dua Hala dan
Model Kontemporari.

Setelah kita mengetahui elemen-elemen yang melibatkan proses


komunikasi melalui model, kita juga perlu membuat tafsiran terhadap
mesej-mesej yang ingin disampaikan oleh sumber dan penerima. Dalam
hal ini, Bab 5 – Bentuk Mesej Komunikasi membincangkan dengan
terperinci tentang dua bentuk mesej komunikasi iaitu mesej lisan dan
mesej bukan lisan. Kedua-dua bentuk mesej ini penting diperhalusi agar
perkongsian makna mesej antara sumber dan penerima mencapai
persamaan. Mesej lisan merujuk kepada komunikasi lisan iaitu bahasa.
Ciri-ciri bahasa yang unik menuntut kita mentafsir makna mesej yang
tersurat dan tersirat secara tepat. Begitu juga dengan mesej komunikasi
bukan lisan yang bersifat kabur, sukar ditafsir secara tepat. Sebaliknya,
komunikasi bukan lisan memaparkan lebih 60 peratus mesej berbanding
mesej lisan. Setiap gerak laku kita sentiasa berinteraksi kerana memberi
makna tertentu khususnya tentang emosi dalaman kita.

Oleh yang demikian, komunikasi sebagai suatu proses perlu dilihat


hubungan antara elemen-elemen komunikasi secara menyeluruh.
Hubungan ini boleh dikaji dengan merujuk kepada model-model
komunikasi yang dikemukakan oleh sarjana terdahulu.

Kenal pasti dan jelaskan fungsi komunikasi lisan dan


komunikasi bukan lisan?

Imbas kembali jenis-jenis komunikasi bukan lisan


berikut: paraliguistik, proksimiti, kinesik dan artifaktual.

12.4 KONTEKS DAN APLIKASI KOMUNIKASI

Komunikasi memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Di


mana sahaja kita berada, proses komunikasi akan berlaku sama ada secara
sedar ataupun tidak. Malah dengan berdiam diri juga dapat menzahirkan
mesej tertentu. Selain elemen-elemen utama komunikasi, konteks sesuatu
komunikasi juga memainkan peranan penting dalam menentukan
keberkesanan komunikasi. Konteks komunikasi secara umumnya
merujuk kepada suasana berlakunya komunikasi. Dalam Bab 6 – Jenis-Jenis
Komunikasi anda telah mengenal pasti beberapa jenis komunikasi
mengikuti konteks iaitu komunikasi intrapersonal, komunikasi
interpersonal, komunikasi kumpulan, komunikasi awam, komunikasi
massa dan komunikasi antarabudaya. Setiap jenis komunikasi ini

192
mempunyai ciri-ciri tersendiri khususnya dari aspek bilangan individu
yang terlibat dalam proses komunikasi tersebut.

Konteks komunikasi yang lebih luas juga boleh kita lihat dalam Bab 7–
Komunikasi Organisasi dan Bab 8– Komunikasi Pembangunan. Kedua-dua bab
ini membincangkan secara terperinci peranan komunikasi dalam konteks
yang berbeza. Komunikasi organisasi merujuk kepada proses komunikasi
yang berlaku dalam sesebuah organisasi yang saling bergantung antara
satu sama lain untuk mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan.
Dalam hal ini komunikasi memainkan peranan mewujudkan aturan
pertukaran mesej antara pekerja – majikan, dan majikan – masyarakat
luar dan sebagai unsur kawalan dan arahan. Sebaliknya, komunikasi
dalam konteks pembangunan pula merujuk kepada proses mewujudkan
kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam mencapai kemajuan
sosioekonomi melalui penyebaran maklumat dan penggunaan media
massa. Dalam hal ini, konteks komunikasi pembangunan adalah lebih
luas dengan melihat kepada peranan ejen pembangunan dan masyarakat
keseluruhannya. Begitu juga dengan Bab 9 – Teknologi Komunikasi yang
melihat komunikasi dalam konteks penggunaan peralatan untuk
menyampaikan maklumat secara meluas kepada khalayak massa.

Cuba anda senaraikan dan bandingkan peranan dan ciri-


ciri Komunikasi Organisasi, Komunikasi Pembangunan
dan Teknologi Komunikasi.

Dalam Bab 10 – Bidang Komunikasi yang Lain pula, anda telah didedahkan
kepada empat konteks komunikasi yang begitu popular dan berkembang
maju dewasa ini iaitu Perhubungan Awam, Periklanan, Komunikasi
Massa dan Kewartawanan. Keempat-empat bidang ini secara tidak
langsung dapat memberi anda gambaran bagaimana komunikasi
berperanan dalam konteks profesion yang berbeza-beza. Walaupun
konteks berbeza, namun elemen-elemen utama komunikasi masih sama
iaitu sumber, penerima, mesej dan saluran. Ini menunjukkan bahawa
komunikasi yang berkesan ialah suatu proses penyesuaian elemen yang
efektif dalam konteks berbeza. Oleh yang demikian, perbezaan konteks
menuntut kita menyesuaikan diri dan menganalisis semula setiap elemen
yang terlibat.

12.5 MANUSIA DAN KEMAHIRAN KOMUNIKASI

Komunikasi adalah segala tindakan manusia yang memberi makna dalam


bentuk simbol yang difahami secara bersama. Dalam proses komunikasi
terdapat tiga bentuk tindakan yang dilakukan iaitu penilaian, perancangan
dan pelaksanaan. Sebenarnya proses tindakan ini memerlukan kita

193
memikirkan sesuatu sebelum kita mengeluarkan mesej kepada individu
lain dengan menggunakan saluran tertentu. Justeru itu, pemikiran
manusia akan mempengaruhi bentuk tindakan yang akan diambil sama
ada baik, buruk, berkesan atau kabur. Pemikiran adalah suatu proses
sedar yang dijana oleh otak manusia. Semua ini dijelaskan dengan
terperinci dalam Bab 11– Kemahiran Pemikiran dan Komunikasi. Oleh itu,
kita perlu berfikir sebelum membuat sesuatu tindakan. Tindakan yang
positif lahir dari jiwa yang bersih dan pemikiran yang luhur. Oleh yang
demikian komunikasi yang berkesan dan positif adalah gambaran jiwa
seseorang yang murni.

Dalam konteks Islam, aktiviti komunikasi adalah sesuatu yang dianggap


mulia. Mulia itu datang daripada pemikiran yang tulus dan ikhlas. Begitu
juga dalam masyarakat Melayu, komunikasi dapat melambangkan budi
pekerti seseorang. Budi ialah pemikiran, sikap dan tingkah laku seseorang
seperti peribahasa Melayu berikut:

Yang merah saga


Yang kurik kundi
Yang indah bahasa
Yang baik hati.

Persoalannya ialah mengapakah komunikasi penting dalam kehidupan


kita? Mengapakah komunikasi penting bagi diri anda? Banyak jawapan
yang boleh disajikan kepada persoalan tersebut seperti yang dibincangkan
dalam bab-bab yang lalu. Bagi meringkaskan perbincangan rumusan ini,
dipetik beberapa kepentingan komunikasi seperti yang dinyatakan oleh
Abdul Rahman Abdul Aziz dalam bukunya yang berjudul Kemahiran Sosial
Asas (2000) iaitu

(i) Kelangsungan generasi manusia — manusia terdiri


daripada lelaki dan perempuan. Komunikasi antara
kedua-dua jantina ini dapat melahirkan perasaan kasih
sayang dan seterusnya menzahirkan ikatan perkahwinan
yang sah di sisi agama. Akhirnya, hubungan ini dapat
membentuk sebuah keluarga dan generasi seterusnya.
Dalam hal ini, komunikasi begitu penting dalam
mewujudkan keluarga bahagia dan sejahtera. Banyak kes
keruntuhan institusi kekeluargaan adalah disebabkan oleh
faktor komunikasi yang kurang berkesan.

(ii) Perhubungan antara manusia — manusia sebagai


makhluk sosial perlukan aktiviti sosial. Keperluan
bersosial dengan anggota masyarakat dapat meningkatkan

194
keperibadian, harga diri dan mengukuhkan ikatan
kejiranan serta kepercayaan antara satu sama lain.

(iii) Kepuasan dan keberkesanan kerja — melalui pekerjaan


manusia bukan hanya bekerja untuk mencari rezeki tetapi
juga membina persahabatan dengan manusia lain.
Perhubungan yang mesra, harmoni dan produktif dengan
rakan sekerja serta pelanggan akan mewujudkan kepuasan
kerja kepada kita.

(iv) Kepimpinan berkesan — semua manusia ada sifat


kepimpinan. Paling asas, seseorang itu memimpin dan
mengurus dirinya sendiri. Dalam konteks yang luas,
komunikasi diperlukan untuk mengurus organisasi. Tanpa
komunikasi, pemimpin organisasi tidak dapat mengurus,
mengawal, merancang dan mengkoordinasi sumber
manusia dan modal organisasi dengan berkesan.

(v) Komunikasi untuk berubah — proses sosialisasi sejak


zaman kanak-kanak hinggalah dewasa mampu mengubah
pendirian, sikap dan tingkah laku seseorang. Perolehan
maklumat daripada pelbagai sumber dan proses
pembujukan oleh media massa dan orang yang lebih
dewasa serta interaksi dengan rakan sebaya dapat
membentuk keperibadian seseorang. Komunikasi
inidividu berubah seiring perubahan diri individu
tersebut.

Kenal pasti kepentingan komunikasi dalam kerjaya anda.


Adakah ilmu komunikasi dapat membantu anda
meningkatkan harga diri (self esteem) anda? Sejauh
manakah komunikasi dapat memperluas jaringan sosial
anda? Bagaimana pula dengan kemahiran komunikasi
anda? Adakah anda berpuas hati dengan kemahiran
komunikasi sedia ada?

12.6 RUMUSAN

Modul Pengantar Komunikasi merupakan satu kursus pengenalan kepada


asas-asas bidang komunikasi. Reka bentuk silibus kursus ini sesuai
dengan niche pelajar Program Komunikasi UUM. Bagi pelajar yang
membuat rujukan buku-buku akademik lain, pendekatan pengantar
komunikasi yang dikemukakan mungkin ada perbezaan kerana
kebanyakan buku dan program komunikasi di institutsi pengajian tinggi
lain menumpukan kepada komunikasi massa. Ini berbeza dengan

195
Program Komunikasi di UUM yang menjurus kepada komunikasi yang
berteraskan ilmu kepengurusan.

Secara keseluruhannya, perbincangan modul memberi tumpuan kepada


tiga fokus utama yang saling bergantungan (dependent) antara satu sama
lain. Fokus awal kursus ini ditumpukan kepada perkembangan dan
pembangunan bidang komunikasi dari zaman Plato dan Aristotle di
peringkat antarabangsa hingga ke zaman siber di Malaysia. Dalam
perbincangan awal ini anda didedahkan tentang disiplin ilmu komunikasi
sebagai salah satu bidang sains sosial. Di samping itu, anda juga
didedahkan tentang takrifan dan fungsi umum komunikasi dalam
kehidupan seharian.

Fokus perbincangan seterusnya tertumpu kepada komunikasi sebagai


satu proses. Anda didedahkan tentang elemen-elemen komunikasi dan
model komunikasi yang menggambarkan corak aliran maklumat iaitu
sama ada secara sehala atau dua hala. Komunikasi sebagai proses juga
melihat tentang kepentingan memahami bentuk-bentuk mesej iaitu mesej
lisan dan mesej bukan lisan. Keperluan memahami bentuk mesej ini
penting kerana tidak semua mesej disampaikan membawa makna
tersurat. Ada juga mesej yang tersirat.

Dalam perbincangan konteks komunikasi pula, anda telah didedahkan


dengan pelbagai konteks komunikasi seperti Komunikasi Organisasi,
Komunikasi Pembangunan dan Teknologi Komunikasi. Begitu juga
dengan bidang komunikasi profesional seperti perhubungan awam,
periklanan, kewartawanan dan komunikasi massa. Berdasarkan
perbincangan konteks komunikasi, kita dapati bahawa sifat komunikasi
bukan sahaja dinamik tetapi versatile dan fleksibel. Justeru itu, untuk
mewujudkan komunikasi yang berkesan dan mempertingkatkan
kemahiran komunikasi, kita perlu bijak menyesuaikan diri kita dengan
konteks komunikasi. Komunikasi tidak stereotaip! Kepelbagaian
kemahiran, gaya dan gabung jalin pengetahuan ilmu komunikasi dalam
sesuatu konteks komunikasi dapat menjamin kelancaran dan kejayaan
sesuatu proses komunikasi.

Dalam Bab 11 pula anda didedahkan dengan suatu dimensi pemikiran


yang mungkin baru pada diri anda. Pemikiran luhur, lateral, kritikal dan
pemikiran kritis merupakan bidang yang berkaitan dengan minda
manusia. Oleh kerana komunikasi adalah cetusan rangsangan dalam diri
manusia, maka kita tidak perlu berfikir sebelum melakukan sesuatu
perkara. Pemikiran yang luhur dapat menjamin kualiti mesej dan tindakan
komunikasi yang positif dan bermakna kepada semua khalayak kita.

196
Setelah mengikuti sebelas bab asas komunikasi, anda disyorkan agar
menyemak semula semua objektif bab yang disediakan di awal setiap bab.
Pastikan anda dapat menguasai objektif yang telah ditetapkan dalam
silibus ini.

Akhirnya, diharapkan anda dapat mencapai objektif-objektif kursus


Pengantar Komunikasi seperti berikut:

(i) Menerangkan sejarah perkembangan bidang, asas teori


komunikasi dan model proses komunikasi.
(ii) Mengenal pasti idea-idea dan konsep-konsep asas bidang
komunikasi.
(iii) Mengenal pasti bentuk mesej dan jenis-jenis komunikasi.
(iv) Mengaplikasikan idea dan konsep komunikasi dengan
persekitaran semasa.

Ilmu asas komunikasi yang anda pelajari dalam kursus ini juga akan
dibincangkan secara tidak langsung dalam kursus-kursus asas lain seperti
Teori Komunikasi, Pengantar Komunikasi Organisasi dan Komunikasi
Kemanusiaan.

197

Anda mungkin juga menyukai