Anda di halaman 1dari 12

TAJUK:

Awan dan cuaca

TUJUAN:

Untuk mengkaji hubungan antara jenis-jenis awan dan cuaca yang berlaku ketika pemerhatian
dijalankan.

PENGENALAN:

Awan merupakan gumpalan titisan air halus yang terapung di atmosfera atau udara hasil
daripada proses penyejatan air dan pemeluwapan wap air. Apabila matahari memancarkan
cahaya ke permukaan bumi, tenaga elektromagnet akan ditukar kepada tenaga haba yang
memanaskan permukaan air. Justeru, molekul-molekul air akan memiliki tenaga haba yang
mencukupi dan menukarkannya kepada tenaga kinetik. Dengan ini, molekul-molekul air akan
dapat berlanggar antara satu sama lain pada halaju tinggi sehingga terbebas ke atmosfera
dalam bentuk wap air. Oleh itu, semakin bertambah suhu udara, maka semakin bertambahlah
jumlah wap air di dalam udara. Udara panas yang tepu dengan wap air kemudiannya akan
menaik tinggi sehingga ke satu lapisan atmosfera yang bersuhu lebih rendah. Pada takat
embun atau tukaran adiabatik, wap air akan mengalami pemeluwapan untuk menjadi titisan air
yang membentuk awan. Setelah awan terbentuk, titisan air akan menjadi semakin besar dan
menyebabkan awan semakin berat. Apabila berat awan mencapai peringkat tertentu, titisan air
akan jatuh ke bumi sebagai air hujan disebabkan oleh daya tarikan bumi.

Awan dapat dikelaskan kepada beberapa kumpulan berdasarkan bentuk, rupa dan aras
ketinggian pembentukan awan. Terdapat tiga pengelasan utama awan berdasarkan ketinggian.
Antaranya ialah kumpulan awan tinggi yang berada pada ketinggian 6 hingga 13 km, kumpulan
awan pertengahan pada ketinggian 2 hingga 7 km dan kumpulan awan rendah pada ketinggian
0 hingga 2 km. Setiap kumpulan pula mengandungi beberapa jenis awan. Contohnya,
kumpulan awan tinggi mengandungi awan sirus, sirokumulus dan sirostratus manakala
kumpulan awan pertengahan mengandungi awan altokumulus dan altostratus. Awan rendah
pula meliputi awan stratokumulus, stratus, nimbostratus, kumulus dan kumulonimbus. Namun
begitu, awan kumulus dan awan kumulonimbus turut tergolong dalam kumpulan awan tegak
disebabkan oleh bentuknya yang tinggi menegak. Sehubungan dengan ini, jenis-jenis awan
yang berlainan dapat digunakan untuk meramal keadaan cuaca pada hari tertentu. Mengikut
teori, awan sirus, sirokumulus, sirostratus, altokumulus, dan kumulus akan menunjukan cuaca
yang cerah. Cuaca mendung pula akan terjadi apabila wujudnya awan altostratus, nimbostratus,
stratokumulus, stratus dan kumulonimbus. Justeru, satu amali telah dijalankan dari 13 Januari
2020 hingga 24 Januari 2020 selama 12 hari di tingkat 3 Blok Akademik pada pukul 12.40 pm.
Ahli kumpulan iaitu, Dang Yan Lin turut memberikan kerjasama sepanjang amali berlangsung
dengan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Kami telah menggunakan kamera
telefon pintar untuk menangkap gambar awan-awan serta Accuweather untuk mendapatkan
maklumat tentang suhu, kelembapan udara serta cuaca pada hari tertentu. Dengan ini, kami
barulah boleh membuat pemerhatian terhadap awan dan seterusnya mengaitkannya dengan
keadaan cuaca.

HIPOTESIS:

Jenis awan mempengaruhi cuaca persekitaran.

PEMBOLEH UBAH:

1. DIMANIPULASIKAN: Jenis awan


2. BERGERAK BALAS: Cuaca persekitaran
3. DIMALARKAN: Tempat dan masa

BAHAN DAN RADAS:

Kertas, pensel dan telefon pintar

PROSEDUR:

1. Jenis-jenis awan yang berlainan ditunjukkan dengan mengambil gambar foto serta
maklumat-maklumat berkaitan.
2. Satu kawasan dipilih dan jenis-jenis awan yang terdapat di kawasan tersebut
diperhatikan selama dua minggu. Pemerhatian harus dibuat pada kawasan yang tetap
setiap hari.
3. Pemerhatian direkodkan beserta dengan perubahan cuaca (hari hujan atau tidak juga
dicatatkan). Bacaan-bacaan yang direkodkan serta gambar, paparan atau simbol
ditunjukkan dalam jadual.
4. Analisis dibuat dan data diinterpretasikan.
SOALAN:

1. Bagaimanakah awan terhasil?


Awan terhasil melalui proses penyejatan air dan pemeluwapan wap air. Apabila
matahari memancarkan cahaya ke permukaan bumi, tenaga elektromagnet akan ditukar
kepada tenaga haba yang memanaskan permukaan air. Justeru, molekul-molekul air
memiliki tenaga haba yang mencukupi dan menukarkannya kepada tenaga kinetik.
Dengan ini, molekul-molekul air dapat berlanggar antara satu sama lain pada halaju
tinggi sehingga terbebas ke atmosfera dalam bentuk wap air. Oleh itu, semakin
bertambah suhu udara, maka semakin bertambah jumlah wap air di dalam udara. Udara
panas yang tepu dengan wap air akan menaik tinggi sehingga ke satu lapisan atmosfera
yang bersuhu lebih rendah dan mengalami pemeluwapan untuk menjadi titisan air yang
membentuk awan pada takat embun atau dikenali sebagai tukaran adiabatik. Keadaan
ini berlaku disebabkan tenaga kinetik wap air yang berkurangan apabila jisim udara
tersebut sejuk. Wap air bergerak dengan lebih perlahan dan ditarik antara satu sama
lain dengan kuat. Justeru, zarah-zarah wap air tersusun dengan lebih rapat untuk
menjadi cecair dan membebaskan tenaga haba pendam ke persekitaran. Setelah awan
terbentuk, titisan air akan menjadi semakin besar dan menyebabkan awan semakin
berat sehinggalah satu peringkat di mana titisan air jatuh ke bumi sebagai air hujan
disebabkan oleh daya tarikan bumi.

2. Mengapakah awan dan cuaca amat penting untuk kehidupan seharian manusia?

Antara kepentingan awan kepada kehidupan seharian manusia ialah bertindak


sebagai selimut yang melindungi bumi terhadap tenaga penuh daripada matahari pada
waktu siang dan menghalang kepanasannya daripada hilang pada waktu malam. Hal ini
kerana awan rendah yang tebal akan memantulkan shortwave radiation sinaran cahaya
matahari kembali ke ruang angkasa lepas menyebabkan berlakunya kesan albedo di
bumi. Awan tinggi yang nipis pula berfungsi menyerap longwave radiation menyebabkan
bumi kekal panas hasil daripada penyerapan tenaga haba sinaran cahaya matahari.
Keadaan ini dapat memastikan suhu di bumi adalah sesuai untuk manusia menjalankan
kehidupan seharian dan mengelakkan diri daripada menghidap penyakit seperti strok
haba. Seterusnya, awan juga penting kepada manusia kerana berfungsi sebagai
indikator cuaca dan iklim. Hal ini kerana jenis-jenis awan yang berlainan dapat memberi
jangkaan cuaca pada hari tertentu. Contohnya, nimbostratus tebal yang berwarna hitam
akan menurunkan hujan ataupun salji bergantung kepada faktor bilangan awan, struktur,
lokasi dan komposisi. Dengan ini, manusia dapat membuat persediaan awal atau
mengambil langkah-langkah keselamatan untuk menghadapi cuaca tersebut sekiranya
berisiko tinggi mendatangkan bencana. Contohnya, menyimpan dokumen-dokumen
penting dan barang berharga di tempat tinggi yang selamat. Selain itu, cuaca
terutamanya hujan amat penting kepada manusia kerana berfungsi sebagai sumber
bekalan air alternatif. Air hujan yang dikumpul dapat menyumbang ke arah
pembangunan teknologi hijau dengan menggantikan air terawat untuk pelbagai tujuan
kecuali keperluan makan atau minum. Di samping itu, air hujan juga dapat dimanfaatkan
oleh pesawah padi dan peladang untuk menyuburkan tanaman. Selain itu, awan yang
menunjukkan cuaca tertentu juga dapat memberi amaran kepada manusia supaya tidak
melakukan aktiviti di luar rumah atau pergi ke laut. Contohnya, awan kumulonimbus dan
nimbostratus yang menunjukkan hujan serta ribut petir akan berlaku pada hari tertentu,
maka aktiviti di luar rumah adalah tidak digalakkan kerana akan membahayakan nyawa
diri sendiri. Akhirnya, manusia dapat menyediakan makanan kering yang berkualiti.
Sebagai contoh, ikan masin dan udang kering adalah sesuai dihasilkan apabila
wujudnya awan kumulus atau awan sirus. Hal ini kerana awan-awan tersebut
menandakan cuaca pada hari tertentu adalah cerah dan bersuhu tinggi. Justeru, ikan
masin dan udang akan dapat dijemur secara menyeluruh dan mempercepatkan lagi
proses penyejatan kandungan air di dalamnya. Dengan ini, makanan kering yang
dihasilkan akan dapat disimpan dan bertahan dengan lebih lama.
PERBINCANGAN:

Pada 13 Januari 2020 hingga 26 Januari 2020, saya dan ahli kumpulan iaitu, Dang Yan
Lin telah menjalankan pemerhatian terhadap jenis-jenis awan dan cuaca persekitaran di tingkat
3 Blok Akademik pada pukul 12.40 pm. Kami telah menggunakan kamera telefon pintar untuk
menangkap gambar awan dan Accuweather untuk mendapatkan maklumat mengenai cuaca,
suhu dan kelembapan udara. Sepanjang 12 hari tempoh pemerhatian tersebut, didapati bahawa
cuaca persekitaran pada hari tertentu adalah bergantung kepada jenis-jenis awan di langit.
Namun, kami juga mendapati bahawa cuaca sebenar pada hari tertentu adalah tidak sama
dengan teori atau jangkaan cuaca yang dibuat berdasarkan jenis-jenis awan. Keadaan ini
berlaku disebabkan oleh faktor saiz awan, pembenihan awan, dan kehadiran angin.

Kumpulan Jenis Awan Hari Bilangan


Awan Kekerapan
1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12
Hari
Awan tinggi Sirus x x x x 4
Awan Altokumulus x 2
pertengahan Altostratus x
Awan rendah Stratokumulus x 2
Stratus x
Awan tegak Kumulus x x x 5
Kumulonimbus x x x
Rajah 2: Jadual Bilangan Kekerapan Awan Pemerhatian

Berdasarkan jadual bilangan kekerapan awan pemerhatian di Rajah 2, didapati bahawa


kumpulan awan tegak yang terdiri daripada awan kumulus serta awan kumulonimbus telah
mencatatkan bilangan kekerapan yang paling tinggi, iaitu sebanyak 5 hari diikuti oleh awan
tinggi yang mencatatkan bilangan kekerapan sebanyak 4 hari. Bilangan kekerapan awan
pertengahan dan awan rendah pula telah mencatatkan kekerapan yang paling rendah, iaitu
sebanyak 2 hari sahaja. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh lokasi pemerhatian yang
berhampiran dengan laut serta suhu dan kelembapan udara yang tinggi. Pada waktu siang,
awan kumulus terbentuk di bahagian atas darat apabila bayu laut mengalirkan udara lembap
dari laut yang bertekanan tinggi ke darat yang bertekanan rendah dan seterusnya disejatkan
untuk menjadi wap air. Wap-wap air kemudiannya menaik tinggi ke lapisan atmosfera yang
bersuhu rendah dan mengalami pemeluwapan untuk menjadi awan kumulus pada takat embun.
Suhu yang tinggi pula akan mempercepatkan lagi pembentukkan awan kumulus. Buktinya, 31˚C
pada hari pertama, 29˚C pada hari ketiga dan 30˚C pada hari ketujuh. Hal ini kerana jumlah
wap air di dalam udara akan dipertingkatkan melalui proses penyejatan air yang semakin cepat.
Di samping itu, awan kumulonimbus terbentuk disebabkan oleh kelembapan udara yang tinggi
iaitu 68% pada hari keenam serta 70% pada hari ketujuh dan kesebelas. Justeru, jumlah titisan-
titisan air yang banyak dapat mengalami pemeluwapan untuk menghasilkan awan
kumulonimbus yang bersaiz lebih besar daripada awan kumulus dan menurunkan hujan
sekiranya cukup berat.

Awan tegak dapat dikenalpasti berdasarkan ciri-ciri tertentu. Contohnya, awan kumulus
ialah awan tebal berbentuk kubis bunga yang berkembang menegak ke atas dengan dasarnya
yang rata. Bahagian dasarnya berwarna hitam manakala bahagian puncaknya berwarna putih.
Mengikut teori, kehadiran awan kumulus akan memberikan jangkaan cuaca cerah pada hari
tertentu. Namun, kadang-kala awan kumulus akan menurunkan kerpasan seperti hujan dalam
kuantiti yang sedikit. Justeru, terbuktilah bahawa teori tersebut adalah tepat kerana ramalan
cuaca serta cuaca sebenar pada hari pertama, ketiga dan ketujuh ialah cerah dengan kehadiran
awan kumulus pada suhu yang agak tinggi. Awan kumulonimbus pula terbentuk dan
berkembang secara menegak daripada awan-awan kumulus yang kecil sehingga kelihatan
seperti gunung atau menara. Awan jenis ini mempunyai bahagian dasar dan puncak yang rata.
Apabila proses kondensasi wap air semakin meningkat, awan kumulonimbus akan menjadi
semakin hitam sehingga menghalang pancaran cahaya matahari daripada menembusinya.
Justeru, awan kumulonimbus sering dikaitkan dengan cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan
hujan perolakan yang disertai oleh kilat atau ribut petir. Namun begitu, ramalan cuaca dan
cuaca sebenar pada hari keenam, ketujuh serta kesebelas ialah cerah dan bukannya cuaca
ekstrem atau mendung seperti yang dikatakan oleh teori. Fenomena ini berlaku disebabkan
oleh saiz awan kumulonimbus yang lebih kecil dan tidak cukup besar untuk membentuk awan
dengan kehadiran supercell atau multicell yang menghasilkan kilat. Sebaliknya, hanya jumlah
titisan air yang sedikit digunakan untuk menghasilkan awan melalui pemeluwapan, maka hujan
lebat tidak dapat diturunkan. Pada hari ketujuh, walaupun cuaca ialah cerah seperti yang
diramalkan tetapi hujan telahpun turun pada sekitar pukul 6.00 p.m. hingga 6.30 p.m. Hujan
yang diturunkan ialah hujan buatan manusia hasil daripada pembenihan awan menggunakan
ejen higroskopik iaitu, larutan natrium klorida. Dengan ini, wap-wap air di atmosfera barulah
dapat ditarik, diserap dan dikekalkan untuk membentuk awan dengan saiz kira-kira satu juta kali
ganda untuk menjadi titisan hujan. Fenomena ini dapat dibuktikan melalui siaran media Jabatan
Meteorologi Malaysia. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (2020), Operasi Pembenihan
Awan (OPA) perlu dilancarkan pada 19 Januari 2020 bagi meningkatkan turunan hujan di
kawasan-kawasan tadahan empangan negeri Kedah dan Pulau Pinang. Keadaan ini berlaku
disebabkan oleh fasa kedua Monsun Timur Laut yang menimpa Malaysia dan seterusnya
mengakibatkan taburan hujan yang rendah.

Seterusnya, awan tinggi yang terdiri daripada sirus telah mencatatkan bilangan
kekerapan sebayak 4 hari. Menurut Huschke (1970), sirus merupakan awan nipis berwarna
putih yang mengandungi kristal ais. Awan tersebut juga berbentuk nipis dan seumpama bulu
pelepah burung pada lapisan tinggi atmosfera. Mengikut teori, kehadiran awan sirus akan
menunjukkan cuaca cerah dan suasana senja yang indah pada hari tersebut. Teori ini dikatakan
benar kerana ramalan cuaca serta cuaca sebenar pada hari kedua, kelima kesepuluh, dan
kedua belas ialah cerah. Awan ini dapat dibentuk disebabkan kelembapan udara yang rendah
dan suhu yang tinggi. Secara umumnya, awan sirus hanya akan terbentuk pada altitud yang
tinggi dari paras laut. Pada altitud tersebut, kelembapan udara adalah rendah secara relatifnya
untuk membentuk awan sirus. Tambahan pula, awan sirus adalah unik berbanding dengan
awan-awan lain kerana ia tidak memantulkan sinaran matahari kembali ke angkasa lepas.
Sebaliknya, awan sirus akan memerangkap haba tersebut dan menyumbang kepada suhu yang
lebih tinggi dan keadaan cuaca cerah. Justeru, awan sirus tidak akan terbentuk pada
kelembapan udara dan suhu tinggi. Namun, awan sirus pada hari kelima dan kedua belas
adalah lebih susah untuk diperhatikan kerana seakan-akan tiada sebarang awan di langit.
Fenomena ini berlaku disebabkan oleh ketinggian awan sirus yang terlalu tinggi di langit
menyebabkan mata kasar tidak dapat memerhatikannya dengan jelas. Selain itu, awan
pertengahan yang terdiri daripada altokumulus dan altostratus telah dihasilkan pada hari
keenam dan hari kelapan. Menurut Catherine Zuckerman (2019), awan altokumulus merupakan
awan berwarna putih atau kelabu yang kelihatan seperti tompokan tidak rata dan selalu wujud
dalam barisan. Walaupun awan tersebut dikatakan penuh dengan cecair, tetapi pada
kebiasaanya tidak akan menurunkan hujan. Sebaliknya, awan altokumulus berfungsi sebagai
petunjuk kepada ribut petir yang akan terjadi pada hari tersebut. Apabila cuaca pada hari
tertentu ialah cerah dan berkelembapan udara tinggi, maka awan altokumulus akan dihasilkan.
Teori tersebut adalah benar kerana awan altokumulus telah terbentuk pada hari keenam
dengan suhu 29˚C dan kelembapan udara 68%. Namun begitu, ribut petir tidak wujud pada hari
tersebut. Keadaan ini mempunyai perkaitan rapat dengan awan kumulonimbus yang turut wujud
pada hari tersebut. Hal ini kerana jumlah titisan air yang terkandung dalam awan kumulonimbus
bersaiz kecil adalah sedikit dan tidak cukup berat untuk menghasilkan hujan lebat atau ribut
petir. Justeru, kilat dan ribut yang hadir bersama ribut petir juga tidak dapat dihasilkan kerana
tiada kehadiran supercell di dalam awan kumulonimbus. Awan altostratus pula merupakan
awan berwarna kelabu atau kebiruan yang berbentuk seperti sirostratus tebal. Awan ini boleh
tersusun padat secara berjurai-jurai atau bercalar-calar sehingga menutupi langit secara separa
atau menyeluruh menyebabkan matahari kelihatan kabur. Gambar yang ditunjukkan pada hari
kelapan telah menunjukkan bahawa awan altostratus telah menutupi langit secara separa di
bahagian atas langit. Mengikut teori, awan altostratus menandakan perubahan cuaca sedang
berlaku apabila lapisan altostratus menjadi semakin mendalam dan dilepaskan untuk menjadi
awan nimbostratus yang menghasilkan hujan. Namun, cuaca sebenar pada hari kelapan
dengan kehadiran awan altostratus ialah cerah dan tiada sebarang perubahan cuaca seperti
hujan berlaku pada hari tersebut. Keadaan ini disebabkan oleh kehadiran angin yang telah
menghalang pembentukkan awan nimbostratus daripada awan altostratus untuk menurunkan
hujan.

Di samping itu, awan rendah yang terdiri daripada awan stratokumulus dan awan stratus
telah terbentuk pada hari kelapan dan kesembilan. Awan stratokumulus merupakan beberapa
kelompok awan kelabu yang tersusun dan menyerupai indung madu. Awan ini berfungsi
sebagai petunjuk kepada ribut yang akan datang pada hari tersebut dan kebanyakkannya wujud
pada cuaca mendung. Namun, awan stratokumulus turut terbentuk pada cuaca cerah.
Walaubagaimanapun, awan stratokumulus tidak akan menurunkan hujan tidak kira pada cuaca
mendung ataupun cerah. Sebaliknya, hanya gerimis yang akan dihasilkan dengan
kebarangkalian yang amat rendah. Pembentukkan awan ini pula adalah disebabkan oleh
perolakan yang lemah di atmosfera. Teori tersebut adalah benar kerana cuaca pada hari
kelapan ialah cerah dan tiada hujan diturunkan. Ribut juga tidak wujud kerana kehadiran angin
telah menghalang awan altostratus yang turut wujud pada hari kelapan daripada berkembang
menjadi awan nimbostratus yang menghasilkan hujan dan ribut. Awan stratus pula wujud
sebagai lapisan kelabu dengan tompokan kasar atau dasar yang agak seragam, khususnya
semasa kerpasan diturunkan dari lapisan awan atas. Apabila suhu meningkat, kabus akan
bergerak ke lapisan stratus menyebabkan cuaca menjadi mendung dan mengkaburkan
penglihatan. Sekiranya awan stratus ialah nipis, bentuk cakera matahari atau bulan akan dapat
dilihat dan menandakan awan-awan lain di bahagian atasnya tidak wujud. Namun, sekiranya
awan ialah tebal, gerimis akan dihasilkan. Teori ini adalah benar kerana cuaca sebenar pada
hari kesembilan telah menunjukkan mendung sedikit dengan kehadiran awan stratus yang tebal.
Justeru, penglihatan adalah sedikit kabur dan gerimis telah diturunkan. Namun, ramalan cuaca
berdasarkan Accuweather adalah tidak tepat kerana menunjukkan cuaca cerah. Keadaan ini
berlaku mungkin disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah keadaan atmosfera yang
huru-hara menyebabkan gerakan atmosfera tidak dapat dikenalpasti dengan tepat. Kedua,
ketidakpastian perumusan persamaan-persamaan matematik yang menggambarkan atmosfera
dalam bentuk model berangka. Ketiga, ketidakpastian parameterisasi fenomena fizikal yang
penting serta kesilapan yang terlibat semasa pengukuran keadaan awal. Justeru, ramalan
cuaca menjadi kurang tepat disebabkan oleh model berasaskan komputer tidak berupaya untuk
menganalisis data-data yang terkumpul secara sempurna dan jitu.

Pada hari keempat, didapati bahawa tiada sebarang bentuk awan yang wujud di langit.
Keadaan ini disebabkan oleh tekanan yang tinggi dan kelembapan udara yang rendah. Apabila
sesuatu kawasan berada di bawah pengaruh tekanan yang tinggi atau antisiklon, udara akan
mengalir atau tenggelam ke bahagian bawah secara perlahan-lahan. Keadaan ini juga
bermaksud udara tidak akan menaik ke atas dan seterusnya mengalami penyejukan adiabatik.
Apabila udara mengalir ke bahagian rendah, tekanan akan meningkat, menyebabkan udara
menjadi lebih padat dan panas. Justeru, proses pemeluwapan tidak berlaku untuk membentuk
awan. Dalam kata lain, tiada sebarang mekanisme yang wujud untuk membentuk awan pada
tekanan yang tinggi. Di samping itu, kelembapan udara rendah juga akan menyebabkan awan
tidak dapat terbentuk kerana wap-wap air adalah tidak mencukupi untuk mengalami
pemeluwapan menjadi titisan-titisan air. Buktinya, kelembapan udara pada hari keempat adalah
paling rendah berbanding dengan hari-hari yang lain, iaitu 46%. Cuacanya pula ialah panas
dengan suhu 34˚C kerana tiada kehadiran awan yang dapat memantul kembali pancaran
cahaya matahari ke angkasa lepas menyebabkan tenanga haba yang tinggi masih kekal di
bumi.

Setelah melakukan analisis dan interpretasi data di atas, saya mendapati bahawa
terdapat beberapa implikasi dapatan dalam kehidupan seharian khususnya kepada diri sendiri
dan penduduk setempat. Hal ini kerana kefahaman teori awan secara mendalam akan
membolehkan seseorang untuk membuat ramalan cuaca pada hari tertentu. Dengan adanya
pengetahuan tersebut, saya akan berkeupayaan untuk merancang dan menjalankan sesuatu
aktiviti sama ada di dalam bilik darjah ataupun di luar bilik darjah berdasarkan jangkaan cuaca
daripada jenis-jenis awan. Dengan ini, sesuatu aktiviti dapat dijalankan secara lancar untuk
mencapai objektif pembelajaran di samping mengelakkan anak-anak murid daripada jatuh sakit.
Sebagai contoh, aktiviti-aktiviti kokurilukum yang asalnya dirancang untuk dilaksanakan di
padang pada waktu petang perlulah dibatalkan atau bertukar lokasi ke kawasan tertutup seperti
dewan apabila wujudnya awan kumulonimbus pada waktu pagi. Hal ini kerana hujan dijangka
akan turun pada waktu petang dan menyebabkan aktiviti-aktiviti kokurikulum di kawasan
terbuka tidak dapat dijalankan. Di samping itu, saya juga dapat membuat persediaan awal untuk
merancang aktiviti baharu yang sesuai dijalankan di kawasan tertutup dan melarang murid-
murid daripada bermain air hujan yang akan menyebabkan mereka demam. Seterusnya,
implikasi dapatan kedua kepada diri sendiri ialah memastikan badan sentiasa kekal hidrasi
khususnya semasa ketiadaan awan di langit. Hal ini kerana ketiadaan awan memberi jangkaan
cuaca bahawa hari tersebut adalah amat panas dengan suhu yang tinggi, maka kandungan air
daripada badan akan mengalami penyejatan dalam bentuk air peluh dengan lebih cepat. Oleh
itu, dengan adanya pengetahuan tersebut, saya dapat mengambil inisiatif dengan sentiasa
membawa bersama air botol apabila berada di luar rumah dan memastikan diri mendapatkan
air mineral yang mencukupi untuk kekal hidrasi. Di samping itu, saya juga akan mengelakkan
diri daripada terdedah kepada cahaya matahari dalam jangka masa yang panjang supaya tidak
terkena strok haba. Selain itu, hasil dapatan ketiga kepada diri sendiri ialah menentukan cuaca
yang sesuai untuk menjemur pakaian dan waktu untuk mengangkat pakaian. Contohnya,
pakaian sesuai dijemur di bawah sinaran cahaya matahari semasa wujudnya kehadiran awan
kumulus kerana awan tersebut menandakan cuaca yang cerah dan tidak akan menurunkan
hujan. Namun, sekiranya awan kumulus berkembang menjadi awan kumulonimbus, pakaian
yang dijemur perlu diangkat dengan serta merta kerana hujan lebat akan terjadi dalam masa
yang terdekat.

Justeru, cuaca di persekitaran amat berkait rapat dengan jenis-jenis awan. Namun,
cuaca persekitaran turut dipengaruhi oleh faktor-faktor saiz awan, pembenihan awan dan
kehadiran angin pada hari tertentu.

Selain itu, implikasi dapatan juga dapat dituju kepada kehidupan seharian penduduk
setempat. Antaranya ialah para nelayan dapat menentukan hari yang sesuai untuk menangkap
ikan di laut. Contohnya, nelayan akan menaiki bot ke laut untuk menangkap ikan apabila
terbentuknya awan kumulus dan awan sirus di langit. Hal ini kerana kedua-dua awan ini
menunjukkan cuaca yang cerah dan dikatakan amat selamat untuk menangkap hasil laut.
Namun, sekiranya awan kumulonimbus terbentuk di langit, para nelayan tidak digalakkan untuk
pergi ke tengah laut kerana hujan lebat dan ribut petir yang berkebarangkalian tinggi berlaku
akan mengundang bahaya kepada diri. Seterusnya, implikasi dapatan kedua ialah penduduk
setempat dapat membuat persediaan awal dan mengambil langkah-langkah keselamatan untuk
menghadapi banjir khususnya di kawasan rendah berhampiran dengan sungai atau pantai.
Sebagai contoh, mereka dapat menyimpan dokumen-dokumen penting dan barang-barang
berharga di kawasan tinggi yang selamat dahulu apabila wujudnya awan-awan kumulonimbus
serta stratokumulus dalam bilangan yang banyak. Hal ini kerana awan-awan tersebut
menandakan hujan lebat dan ribut petir akan terjadi pada hari tertentu serta berkemungkinan
besar menyebabkan paras air melebihi paras amaran sehingga terjadilah banjir. Di samping itu,
mereka juga dapat terlebih dahulu menyediakan kit keselamatan dan makanan yang mencukupi
untuk menghadapi banjir. Sebagai kesan positif, penduduk setempat tidak akan menjadi kelam-
kabut sebaliknya dapat berhadapan dengan banjir secara tenang. Akhir sekali, implikasi
dapatan kepada kehidupan seharian penduduk tempatan ialah mereka dapat menyediakan
makanan kering yang berkualiti. Sebagai contoh, ikan masin dan udang kering adalah sesuai
dihasilkan apabila wujudnya awan kumulus atau semasa ketiadaan awan. Hal ini kerana awan-
awan tersebut menandakan cuaca pada hari tertentu adalah cerah dan bersuhu tinggi. Justeru,
ikan masin dan udang akan dapat dijemur secara menyeluruh dan mempercepatkan lagi proses
penyejatan kandungan air di dalamnya. Dengan ini, makanan kering yang dihasilkan akan
dapat disimpan dan bertahan dengan lebih lama. Oleh itu, implikasi dapatan tersebut adalah
amat penting dalam kehidupan seharian kerana dapat mebolehkan seseorang untuk
menjalankan aktiviti secara terancang dan efektif di samping peka terhadap bencana alam yang
akan melanda.

LANGKAH BERJAGA-JAGA:

1) Memastikan gambar awan diambil di kawasan yang lapang dan lokasi tetap pada setiap
hari.
2) Memastikan gambar awan diambil pada waktu yang sama setiap hari.
3) Memastikan kamera telefon pintar bebas daripada sebarang kotoran untuk
mendapatkan gambar awan yang jelas.

KESIMPULAN:

Hipotesis diterima. Jenis awan akan mempengaruhi cuaca di persekitaran. Namun,


cuaca persekitaran turut dipengaruhi oleh faktor-faktor saiz awan, pembenihan awan dan
kehadiran angin pada hari tertentu.
BIBLIOGRAFI:

Heymsfield, A.J, et al. (2017). Cirrus Clouds. The Journal of American Meteorological Society,

59, 632-680. Dimuat turun pada 3 Februari 2020 dari https://journals.ametsoc.org/doi/

citedby/10.1175/AMSMONOGRAPHS-D-16-0010.1

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Operasi Pembenihan Awan (OPA) Bagi

Menangani Masalah Kekurangan Air Di egeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia. Petaling

Jaya: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC)

Lee Ching. (2011). Longman Pre-U Text STPM Biology Volume 1. Petaling Jaya: Pearson

Malaysia Sdn. Bhd.

Noorazura Abdul Rahman. (2020, Januari 19). Operasi pembenihan awan mula dilaksanakan di

Kedah. BH Online. Dimuat turun pada 3 Februari 2020 dari https://www.bharian.com. my/

berita/nasional/2020/01/648149/operasi-pembenihan-awan-mula-dilaksanakan-di-kedah

Zuckerman, C. (2019, April 24). Clouds, explained. Dimuat turun pada 3 Februari 2020 dari

https://www.nationalgeographic.com/science/earth/earths-atmosphere/clouds/

Anda mungkin juga menyukai