Anda di halaman 1dari 2

Media massa memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian yang merangkumi media cetak

dan media elektronik seperti surat khabar, siaran radio, televisyen, Internet dan sebagainya. Dalam
usaha menghadapi cabaran masa depan kebudayaan kebangsaan ini, terdapat pro dan kontra tentang
pengaruh media massa. Kebaikan utama ialah media massa berperanan sebagai pemberi maklumat.
Kerajaan telah menubuhkan agensi penyiaran yang dikenali sebagai Radio Televisyen Malaysia (RTM)
yang diselia oleh Jabatan Penyiaran Malaysia yang bertujuan menyebarkan maklumat dan dasar-dasar
kerajaan selain hiburan seperti drama dan rancangan lain. Dalam hal ini, kerajaan telah menyebarkan
maklumat berkaiatan kebudayaan kebangsaan melalui drama, berita, dan kempen yang bertujuan
mempengaruhi masyarakat Malaysia. Informasi juga dapat disampaikan secara cepat dan efisien. Setiap
maklumat ini membolehkan masyarakat menyertai pertandingan atau program yang dianjurkan oleh
kerajaan apabila menonton dan mendengar maklumat yang disampaikan melalui media massa. Selain
itu, pengaruh ini mampu menerapkan nilai murni seperti drama yang memaparkan kisah yang
bertemakan kasih sayang, menjaga kebersihan, perpaduan kaum, kerjasama,kejiranan, hormat-
menghormati antara satu sama lain. Drama ini memberikan kesan emosi dan sosial kepada masyarakat
untuk menerapkan nilai murni kelak. Di samping itu, media massa berperanan sebagai contoh teladan
yang dapat mengubah perilaku masyarakat.

Walau bagaimanapun, terdapat kontra bagi pengaruh media massa seperti menghakis nilai kebudayaan
apabila ledakan Internet yang mengakibatkan masyarakat berkomunikasi dalam talian berbanding
secara bersemuka. Paparan kandungan yang tidak sesuai seperti budaya fesyen, pergaulan dan hiburan
dari Barat menghakis nilai kebudayaan kebangsaan bahkan golongan masyarakat terikut-ikut dengan
pemikiran dan cara ini. Perkembangan ini memberikan implikasi negatif dari sudut hubungan sosial juga,
iaitu komunikasi akibat kurang pergaulan. Sebagai contohnya, Haji Mat menerima pesanan ringkas
tentang jemputan kenduri perkahwinan anak kawannya. Dalam hal ini, jemputan melalui kad yang
dilakukan oleh ayah pengantin amat perlu agar nilai masyarakat menonjolkan hubungan interaksi.
Di samping itu, kemodenan daripada Internet seperti penggunaan Facebook, YouTube, Instagram,
Whatsapp yang meluas telah mengakibatkan sesuatu budaya hilang puncanya. Sebagai contoh, berita
palsu yang dikeluarkan tentang kemalangan yang berpunca daripada kaum lain misalnya boleh menjadi
punca kepada sikap antikaum. Berita yang tersebar secara pantas tanpa kesahihan boleh menyebabkan
rusuhan kaum. Dalam hal ini pemantauan perlu dilakukan oleh kerajaan seperti menafikan berita palsu
melalui saluran komunikasi kerajaan.

Sebagai kesimpulannya, pengaruh media massa ada baik dan buruknya. Sebagai masyarakat, kita
haruslah didedahkan dengan literasi maklumat untuk menapis info yang diperoleh agar perkara ini tidak
memusnahkan elemen kebudayaan kebangsaan yang telah diperkenalkan satu ketika dahulu. Maklumat
tanpa sempadan yang digunakan secara baik dan teratur memberikan kesan positif terhadap ekonomi,
sosial dan politik khususnya.
Antara lain cabaran masa depan kebudayaan kebangsaan termasuklah dari segi pengaruh pendidikan,
dari segi globalisasi, dan dari segi politik . Dari segi pengaruh pendidikan, masalah yang dikesan melalui
sistem sekolah vernacular, iaitu sekolah mengikut bahasa ibunda masing-masing. Hal ini masih berlaku
sebagai contohnya, sekolah kebangsaan yang muridnya terdiri daripada kaum Melayu, India dan Cina
manakala sekolah rendah jenis kebangsaan lazimnya terdiri daripada kaum Cina atau kaum India. Hal ini
tidak memberikan keberkesanan positif dari sudut perpaduan kerana proses asimilasi tidak berlaku
walaupun terdapat kurikulum pendidikan yang standard. Oleh itu, kerajaan perlu melaksanakan sekolah
wawasan bagi tujuan perpaduan.

Dari segi globalisasi pula, maklumat yang disampai secara bebas tanpa sekatan telah memusnahkan
sistem nilai dan kebudayaan kerana pengaruh Barat dari segi ideologi, budaya, nilai negatif, ekonomi
bebas dan eksploitasi sumber manusia menyebabkan nilai murni dan sosial masyarakat terhakis kerana
terpengaruh yang memberikan kesan kepada hubungan etnik, integrasi, perpaduan dan mudah wujud
konflik yang mengundang rusuhan kaum. Dari segi politik pula, parti politik berasaskan kaum wujud bagi
mempertahankan hak masing-masing. Perikatan atau kerjasama antara parti bersikap olok-olok. Selain
itu, terdapat pemimpin politik yang bermain taktik kotok dengan menghasut, meracuni pemikiran rakyat
dan mengapi-apikan sentiment perkauman demi kepentingan mereka. Hal ini menyebabkan setiap kaum
berdendam, berburuk sangka dan tidak mahu berbaik-baik kerana termakan hasutan pemimpin bahkan
pernah berlakunya rusuhan. Oleh itu, pengaruh-pengaruh seperti ini perlu ditekankan oleh kerajaan bagi
merealisasikan masa depan kebudayaan kebangsaan sebagai alat perpaduan untuk generasi akan
datang.

Anda mungkin juga menyukai