Anda di halaman 1dari 7

Kecemerlangan yang dicapai  sesebuah  sekolah  sangat bergantung  kepada  corak

kepimpinan yang diamalkan di sekolah itu (Hussein Mahmood, 2005; Mortimore, 1997). Dalam


menghadapi transformasi pendidikan, penambahbaikan perlu dilaksanakan di sekolah-sekolah selaras
dengan 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran
Malaysia(2013-2025).  Perubahan dunia yang pesat di dalam bidang teknologi maklumat dan ekonomi
menuntut perubahan di dalam bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan yang berwawasan di masa
hadapan.  Kemenjadian dan keberhasilan pencapaian pelajar dan sekolah pada masa yang akan datang
dicorakkan dengan penambahbaikan yang dilakukan pada masa sekarang.
Sekolah  merupakan  agen  yang  penting  dalam  pembinaan  generasi  masa  depan
(Rahimah  Haji  Ahmad,  2005).  Sebagai seorang pemimpin sekolah, guru besar adalah berperanan dan
bertanggungjawab untuk memastikan sekolahnya berada di landasan yang betul untuk mencapai tahap
kecemerlangan yang tinggi dan menjadi sebuah sekolah berkesan.
Kejayaan  sesebuah  sekolah bergantung  kepada  corak
kepimpinan yang diamalkan di sekolah itu (Hussein Mahmood, 2005;Mortimore, 1997) . 

                                                                                     
Keberkesanan sekolah pula diukur jika sekolah itu mencapai suatu status yang memenuhi
kriteria-kriteria tertentu dan menghasilkan impak yang dihasratkan. Pencapaian dan
kecemerlangan  sesebuah  sekolah  terletak  pada  kepimpinan  yang  berkesan. Di sinilah letaknya
kebijaksanaan seorang pemimpin untuk mengembeleng tenaga dan minda bersama-sama dengan warga
sekolahnya untuk mencapai apa yang disasarkan selaras dengan visi sekolah iaitu “Sekolah Unggul
Penjana Generasi Terbilang”.
Peter Mortimore (1995) dari Universiti London dalam kertas kerjanya yang berjudul Key Characteristics
ofEffective Schools telah menyenaraikan 11 ciri-ciri sekolah berkesan iaitu:

1. Kepemimpinan profesional
Ciri ini menekankan kepemimpinan sekolah yang tegas dan bertujuan. Sekolah-sekolah harus
mempunyai pentadbir proaktif yang menekankan permuafakatan dan persamaan tujuan yang mengusaha
dan mengekalkan proses memajukan sekolah. Seterusnya, ialah sama ada sekolah mengamalkan
pendekatan musyawarah, berkongsi tanggungjawab serta melibatkan guru dalam membuat keputusan
dan menekankan kepemimpinan ketua jabatan atau panitia. Ciri ini juga menekankan sama ada
pemimpin sekolah sebenarnya seorang profesional dan berilmu yang dapat menawarkan kepemimpinan
kurikulum, merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang
berlaku di dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan
pembelajaran.
2. Perkongsian wawasan dan tujuan
Ciri ini bermaksud warga anggota sekolah mempunyai persamaan nilai dan tujuan sekolah serta dapat
berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mantap. Ciri ini juga merujuk pada pentadbiran sekolah yang
mengamal tindakan pengurusan secara konsisten, iaitu berdasarkan piawai disiplin yang ditentukan oleh
sekolah, atau guru menjadi model contoh. Ciri ini juga bermaksud tentang kewujudan kesetiakawanan
dan kerjasama antara warga sekolah serta penglibatan guru dalam proses membuat keputusan.

3. Persekitaran pembelajaran
Ciri ini bermaksud iklim sekolah ditentukan oleh wawasan, nilai dan tujuan. Iklim sekolah yang baik
sebenarnya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan
persekitaran kerja yang menarik, tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping
wujudnya disiplin kendiri dalam kalangan pelajar yang merupakan prasyarat bagi pembelajaran berkesan.

4. Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran


Ciri ini menampakkan tujuan utama sekolah, iaitu pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan
sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah. Kajian menunjukkan ada
perkaitan yang rapat di antara tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan
keberkesanan guru. Kajian juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti
pengajaran dan pembelajaran. Rumusan pelbagai kajian oleh Mortimore menunjukkan bahawa sekolah
harus memaksimumkan masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk
mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada
pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah
mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga
begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam
kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.

5. Pengajaran yang bertujuan


Mortimore mendapati kualiti pengajaran merupakan intipati sekolah berkesan, di samping memiliki guru
yang berkualiti. Ciri pengajaran bertujuan pula bermakna perlu mempunyai organisasi yang efisien, tujuan
yang jelas, pengajaran yang berstruktur dan amalan yang fleksibel.
6. Jangkaan kejayaan yang tinggi
Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua bidang terhadap
murid-murid mereka kerana rumusan kajian Mortimore menunjukkan ada kaitan yang rapat di antara
jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan pelajar. Guru didapati sangat aktif dalam membantu
pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka
serta berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya. Rangsangan ini diberi
melalui kata-kata pujian yang tekal.

7. Pengukuhan yang positif


Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi
meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca
daripada iklim sekolah yang teratur, yakni yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Disiplin
yang berkesan dapat mengekalkan suasana damai di sekolah. Di samping itu, guru juga harus mendapat
maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan, sementara kepada pelajar pula ganjaran
atau hukuman perlu disegerakan selepas setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.

8. Memantau kemajuan
Berdasarkan maklumat kajian yang dikumpul oleh Mortimore, sekolah berkesan sentiasa melakukan
pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur. Guru dapat menentukan sejauh
mana tujuan sekolah telah dicapai. Sekolah perlu memberi tumpuan kepada pelajar, ibu bapa dan tujuan
persekolahan. Sekolah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran guru dalam aspek-aspek penilaian dan kaedah mengajar yang terkini.
Di samping itu, sekolah perlu menegaskan kepada pelajar dan guru supaya mengambil berat tentang
kemajuan pelajaran.

9. Hak dan tanggungjawab pelajar


Rumusan kajian Mortimore turut mendapati sekolah berkesan menekankan usaha meningkatkan harga
diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah.
Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.

10. Hubungan rumah-sekolah


Mortimore seterusnya menekankan tentang pentingnya hubungan rumah-sekolah bagi meningkatkan
keberkesanan sekolah. Kajian-kajian menunjukkan pentingnya penglibatan ibu bapa dalam membantu
anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan
ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas yang
disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka.
11. Organisasi Pembelajaran
Rumusan kajian Mortimore seterusnya menunjukkan sekolah-sekolah berkesan mempunyai organisasi
pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus meningkatkan ilmu profesional. Ke arah
sekolah berkesan, pengurusan sekolah harus mengadakan program perkembangan staf pada peringkat
sekolah untuk membantu guru dan staf meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.

Abdul Shukor (1995) pula menyenaraikan ciri-ciri sekolah yang berkesan adalah seperti berikut :


1.      Guru besar mempunyai kepimpinan  yang kuat dengan tumpuan pengurusan adalah terhadap
peningkatan kualiti pengajaran,
2.      Membina iklim persekolahan di mana tiap-tiap murid berada dalam satu tahap pencapaian yang
ditetapkan terlebih dahulu dan tidak lebih rendah daripada itu,
3.      Mempunyai suasana disiplin yang teratur tanpa perlunya membina peraturan ketat, tenang dan
tanpa penindasan, tetapi selesa untuk suasana proses pengajaran,
4.      Memberi keutamaan terhadap proses pengajaran di mana sekolah berusaha bersungguh-sungguh
bagi memastikan matlamat pengajaran dilaksanakan secara teratur dan memberi faedah, serta
5.      Mengesan kemajuan murid secara sistematik, iaitu guru besar dan guru-guru mengawas kemajuan
murid berpandukan kepada kehendak dan objektif pengajaran.

Dalam menentukan keberkesanan sekolah,  guru besar sebagai pemimpin di sekolah perlu mempunyai
kemahiran kepimpinan dan pengurusan yang profesional dan bermatlamat serta bijak merangka dan
melaksanakan strategi bagi memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan untuk mencapai status sekolah berkesan.
Dalam satu hasil pemerhatian yang telah dijalankan oleh 31 pensyarah Institut Aminuddin Baki di dalam
buku bertajuk Amalan-amalan Terbaik Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah-sekolah Cemerlang di
Malaysia mendapati dan mengesahkan bahawa 11 ciri-ciri yang diutarakan oleh Peter Mortimore telah
dapat dikesan diamalkan oleh pemimpin-pemimpin sekolah berkenaan. Ini jelas menunjukkan bahawa
pemimpin sekolah berperanan sebagai ‘live wire’ dalam menentukan keberkesanan sekolah.
 Justeru itu, dalam usaha untuk memastikan keberkesanan sekolah pemimpin perlu
melaksanakan usaha penambahbaikan melalui amalan pembangunan profesionalisma guru di sekolah
dengan  memberi penekanan kepada polisi dan struktur pengurusan, analisis keperluan, perancangan,
aktiviti serta pelaksanaan dan tindakan susulan. Dalam usaha untuk menjadikan sekolah berkesan, guru
besar selaku pemimpin juga perlulah bijak mengesan, mengenalpasti dan menilai segala kekurangan dan
kelebihan dari segi pengurusan, sumber manusia dan fizikal yang ada di sekolah untuk tujuan perubahan
dan penambahbaikan. Menurut Hopkins et al (1994), penambahbaikan merujuk kepada proses
perubahan dalam pendidikan akibat daripada keupayaan sekolah mengubah pengurusannya. Miles et al.
(1987) pula berpendapat proses penambahbaikan merupakan proses perubahan yang sistematik
terhadap pembelajaran dan faktor-faktor dalaman sekolah untuk mencapai matlamat pendidikan yang
berkesan. Van Velzen et al. (1985) pula mendifinasikan penambahbaikan sebagai satu usaha yang
berterusan secara sistematik yang bertujuan merubah keadaan pembelajaran di satu atau lebih sekolah
dan tujuan akhir untuk mencapai pendidikan yang lebih berkesan.

Kepimpinan sekolah masa kini perlu berubah atau diperbaharui untuk memastikan sekolah
mengalami perubahan yang berterusan (Rahimah Haji Ahmad,2004, 2005). Pendidikan adalah satu
bidang yang dinamik, kesan daripada perkembangan ilmu pengetahuan yang berterusan. Oleh itu,
sebagai pemimpin , guru besar harus terus belajar supaya memiliki pengetahuan, pemahaman dan
kemahiran terbaru berkaitan dengan profesion  ini.  Penambahbaikan sekolah  adalah satu usaha dan
satu perubahan untuk memajukan sekolah sejajar dengan perkembangan pendidikan semasa khususnya
dalam bidang pembangunan profesionalisma guru-guru di dalam bilik darjah dan sekolah. Faktor
pembangunan profesionalisma guru ini penting kerana ia berkait rapat dengan pencapaian akademik dan
kurikulum pelajar yang menjadi kayu pengukur sekolah berkesan.Ini selaras dengan dapatan Joyce dan
Showers(1980) yang menunjukkan objektif kebanyakkan program pembangunan professional adalah ke
arah menambahbaik dan menghalusi gaya pengajaran dan penguasaan kaedah pengajaran baru.
Program-program pembangunan guru dan penambahbaikan dalam aspek mentoring,
pengurusan bilik darjah yang berkesan, peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran dan
perkongsian pintar guru-guru adalah antara perkara pokok yang perlu ditekankan oleh pemimpin sekolah.
Selain itu dasar-dasar sekolah juga perlu ditambahbaik bagi memberi ruang dan peluang untuk
perubahan positif. Fokus penambahbaikan sekolah lebih ditumpukan kepada segala apa yang memberi
faedah kepada murid-murid, khususnya peningkatan pembelajaran mereka dalam bilik darjah.. Tindakan
penambahbaikan sekolah ini memerlukan satu perancangan yang sistematik dan perancangan ini
dilaksanakan dan diurus secara berterusan dan dalam penambahbaikan sekolah, aspek-aspek dalaman
sekolah seperti hubungan, disiplin, nilai dan budaya dan keadaan-keadaan yang membolehkan memberi
kesan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah perlulah dijadikan sasaran perubahan.
Aktiviti yang berkaitan dengan pelaksanaan kurikulum, kokurikulum dan pengalaman-pengalaman murid
dalam aktiviti-aktiviti luar bilik darjah atau komuniti perlu sentiasa dipantau dan dinilai untuk
penambahbaikan.
Aspek penambahbaikan program pembangunan guru-guru di sekolah perlu ditikberatkan oleh pemimpin
sekolah. Sebagai pemimpin yang peka dengan kemajuan dan penambahbaikan sekolah, seharusnya
pemimpin  dapat mengenalpasti kemampuan, kehendak dan keperluan guru-guru di sekolahnya dalam
usaha untuk meningkatkan dan memantapkan keupayaan diri  mereka.Untuk itu pemimpin perlu
membuat analisis bagi menentukan keperluan dan kemahiran yang diperlukan oleh guru
mereka. Kemahiran pengurusan dan proses pengajaran dan pembelajaran terkini adalah sesuatu yang
perlu dikuasai oleh pemimpin sekolah itu sendiri dan dan juga guru-guru dalam memastikan
kecemerlangan akademik dan kurikulum. Ini berkait rapat dengan pencapaian dan kemenjadian pelajar
kelak. Program perkembangan staf atau latihan dalam perkhidmatan perlu dilaksanakan dari masa ke
semasa dan secara berterusan dan berkesinambungan bagi memastikan guru-guru sentiasa memiliki
keyakininan diri yang tinggi, ilmu pengetahuan terkini  dan berada dalam keadaan bersedia menghadapi
arus perubahan pendidikan semasa.
 Kaedah CPD (Continuing Professional Development)  iaitu aktiviti berkonsepkan pembelajaran
secara berterusan perlu dijalankan bagi tujuan mengekalkan pengetahuan dan kemahiran individu untuk
meningkatkan profesionalisme melalui penambahan ilmu, kemahiran dan pengalaman. Aktiviti-aktiviti ini
berjalan disamping tugas harian yang ditetapkan.boleh dilaksanakan. Tahap penguasaan teknologi
maklumat dikalangan guru juga harus ditingkatkan bagi menjamin kepelbagaian dan keberkesanan
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pemimpin juga perlu mempunyai sikap
terbuka dalam melaksanakan pentadbiran dan pengurusannya. Guru-guru juga perlu diberi ruang untuk
membuat keputusan bersama dalam perancangan dan program-program  tertentu yang melibatkan
mereka. Idea dan kreativiti guru-guru juga mesti diberi ruang . Carless (2004) mencadangkan agar guru
lebih memainkan peranan utama dalam apa-apa perubahan yang bersifat sistematik di peringkat sekolah
kerana beliau mendapati bahawa melalui pendekatan perbincangan professional yang konstruktif,
pembangunan professional keguruan dapat dimantapkan secara berkesan. Selain itu faktor luaran juga
perlu diambil kira oleh pemimpin dalam usaha penambahbaikan sekolah secara holistik Hubungan antara
sekolah dan komuniti juga memainkan peranan penting dalam menjadikan sekolah lebih berkesan.
Maklum balas daripada ibubapa dan pihak luar sentiasa dialu-alukan dan dapat membantu pihak sekolah
membuat perubahan. Semua penambahbaikan yang dibuat diharapkan memberikan kepuasan kepada
pelanggan sekolah iaitu pelajar dan ibubapa.

Hussein (2008) telah menyatakan 10 prinsip untuk menambahbaik kecemerlangan sesebuah sekolah.
Prinsip 1 -  Mempercayai dan mengakui bahawa semua pelajar boleh belajar, diajar dan boleh
                   mencapai kemajuan. 
Prinsip 2 -  Mempercayai dan mengakui bahawa sekolah adalah kunci utama bagi kejayaan para
                   pelajarnya.
Prinsip 3 -  Pembangunan dan kemajuan sekolah memerlukan falsafah, matlamat, objektif dan dasar  
                   sekolah.
Prinsip 4 -  Pembangunan dan kemajuan sekolah merupakan usaha untuk mewujudkan satu budaya
                   sekolah yang lebih positif.
Prinsip 5 -  Kelolaan dan pengurusan bilik darjah yang berkesan ialah aspek penting untuk
                   meningkatkan lagi pencapaian akademik sekolah.
Prinsip 6 -  Penyelesaian masalah sekolah perlu dilaksanakan atas dasar usahawan dan bukanlah
                   semata-mata untuk pengetua sahaja.
Prinsip 7 -  Penyelesaian masalah sekolah harus ditumpukan kepada punca-punca yang menyebabkan
                   timbulnya masalah itu bukannya gejala-gejalanya.
Prinsip 8 -  Maklum balas yang berterusan merupakan mekanisme penting pelaksanaan  
                   pembangunan sekolah.
Prinsip 9 -  Mempercayai dan mengakui bahawa ibubapa dan masyarakat sekitar mempunyai  
                   pelbagai kemahiran dan sumber tenaga untuk membantu sekolah.
Prinsip 10- Kemajuan sesebuah sekolah memerlukan pemimpin yang mempunyai
                   kepemimpinan yang berkesan.
Berdasarkan pada 10 prinsip yang dinyatakan di atas usaha-usaha yang berterusan perlulah dilakukan
oleh pemimpin sekolah bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan berkesan. Segala
kepincangan, kekurangan atau kelemahan perlu dikaji dan ditangani secara berhemah dan rasional.
Manakala segala kebaikan dan kelebihan dikekalkan serta ditambahbaik. Aspek pencapaian murid
hendaklah dititikberatkan dengan memfokuskan kepada proses pengajaran dan pembelajaran dan
situasi-situasi yang menyumbang kepada keberkesanan proses tersebut. Wang et. al. (1990)
menyatakan bahawa terdapat keadaan yang merangsangkan yang mempengaruhi keberkesanan
sekolah dan harus dikekalkan seperti  pengajaran yang berkesan, pengurusan bilik darjah yang cekap,
perhubungan guru dan murid yang baik dan iklim pembelajaran bilik darjah yang kondusif.

Kesimpulan
Guru besar sebagai pemimpin sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan
keberkesanan sekolah. Namun demikian peranan guru-guru juga adalah penting kerana ia adalah
sebahagian daripada proses perubahan dan penambaikan sekolah. Pemimpin sekolah juga perlu cekap
mengesan dan mengenalpasti apa yang perlu dilakukan untuk membuat perubahan dan
penambahbaikan segala kekurangan atau kelemahan yang ada di sekolah. “Saya tidak pernah terjumpa
sebuah sekolah yang baik dipimpin oleh seorang yang tidak baik”. Itu adalah persepsi Fred Hechinger,
Ketua Pengarang akhbar New York Times terhadap pentingnya sebuah sekolah dipimpin oleh seorang
pemimpin yang baik.

Anda mungkin juga menyukai