Anda di halaman 1dari 5

5 DIMENSI PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA

HURAIKAN 5 DIMENSI PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA DAN BERIKAN PANDANGAN ANDA TENTANG
PEMBELAJARAN BAHASA YANG BERKAITAN DENGAN SETIAP DIMENSI

Pendahuluan

Kamus Dewan (1996:305) menyatakan dimensi ialah sesuatu aspek. Jika dikaitkan dengan bahasa
kedua (selepas ini bahasa kedua dieja B2) dimensi merujuk kepada aspek-aspek yang ditentukan
penting dalam mempelajari B2. Sementara itu, dalam Kamus Linguistik (1997:31) bahasa Kedua ialah
bahasa selain bahasa ibunda yang dipelajari secara formal atau tidak formal dan dari segi
sosiobudaya dianggap sebagai bahasa sendiri. Contohnya, bahasa Inggeris di Malaysia.(bahasa
sekunder).

Pembelajaran bahasa dalam Kamus Linguistik (1997:175) proses menguasai bahasa ibunda atau
bahasa asing. Dalam hal ini, pembelajaran merujuk kepada sesuatu pendidikan formal secara sedar
dan eksplisit berkaitan pengetahuan dan penguasaan bahasa. Dalam hal pemerolehan dan
pembelajaran bahasa ini ialah bahasa kedua (B2).

Menurut Dr.Noor Aina Dani (2007:53), pembelajaran bahasa kedua terjadi dengan bermacam-
macam cara, untuk tujuan yang pelbagai, dan pada peringkat kebahasaan yang berlainan.

Pembelajaran B2 bermula dengan ‘proses pengajaran dan pembelajaran’ . Terdapat 5 dimensi


dalam pembelajaran B2, iaitu;

1. Mod Bahasa: Bertutur – Membaca,

2. Makna: Objek Sebenar / Situasi Terjemahan,

3. Tatabahasa: Eksplikasi – Induksi,

4. Psikologi: Behaviouris – Mentalis, dan

5. Linguistik: Behaviouris – Strukturalis.

1. Mod bahasa: Bertutur-Membaca

Kaedah yang digunakan boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu mereka yang mendekati
bahasa melalui aspek – aspek bahasa lisan dan yang mendekati bahasa melalui kenal huruf. Kaedah
tatabahasa terjemahan adalah satu-satu seumpamanya dalam kategori mengenal huruf. Yang lain
menekankan pertuturan sebagai saluran utama untuk memperoleh B2. Walaupun guru yang
menggunakan kaedah tatabahasa terjemahan memasukkan beberapa pertuturan dalam
kurikulumnya, manakala guru yang menekankan pertuturan akan melibatkan bacaan dan tulisan,
kedua-duanya adalah berasingan. Umumnya, kaedah-kaedah yang berasaskan pertuturan melihat
kaedah tatabahasa terjemahan sebagai musuh utama. Bagi mereka, pertuturan perlu diutamakan
dalam pembelajaran bahasa. Kepatuhan terhadap kaedah – kaedah yang berdasarkan pertuturan ini
masih tidak dapat menghalang pengamal-pengamalnya hentam-menghentam sesama mereka.

Pandangan Terhadap dimensi ini

Pada awal pembelajaran B2 adalah lebih sesuai menggunakan pendekatan melalui aspek-aspek
bahasa lisan. Aspek ini adalah lebih dahulu dan paling hampir dengan kaedah pemerolehan bahasa
Pertama (B1) kanak-kanak. Pemerolehan B2 berlaku dengan berkesan sesudah seseorang menguasai
B1. B1 disifatkan sebagai landasan atau dasar memperoleh bahasa B2. Ini selaras dengan pandangan
W.M. Rivers (1964) bahawa kemahiran akan dicapai secara lebih berkesan kalau bentuk pertuturan
dikemukakan dulu. Dengan kata lain, belajar mendengar dan bertutur itu adalah tabiat yang asas
kalau dibandingkan dengan kemahiran menulis dan membaca. Ini kerana terdapat hipotesis yang
menyatakan bahawa B1 digunakan sebagai alat untuk mengawal dan memandu ucapan dalam B2,
sementara B2 belum dikuasai sepenuhnya.

Kemudian pembelajaran B2 amat sesuai dengan kaedah membaca. Melalui pembacaan pelajar
dapat meniru dan membiasakan diri dengan B2 kerana kaedah memperkenalkan huruf dan diikuti
dengan bacaan adalah kaedah yang mudah. Kaedah membaca tidak memerlukan penghafalan
ataupun penggunaan tatabahasa secara aktif. Membaca ialah kebolehan memperoleh makna
daripada teks. Dengan ini penekanan bacaan tidak sekadar mengenal perkataan yang dicetak tetapi
menjurus kepada dimensi yang kedua iaitu berkaitan konsep dan makna.

2. Makna: Objek Sebenar/Situasi - Terjemahan

Dalam menyediakan makna butir-butir B2, kaedah terjemahan (dalam bahasa ibunda) mungkin
digunakan seperti yang lazim bagi kaedah tatabahasa terjemahan. Sebagai contoh, pelajar Melayu
yang belajar bahasa Itali mungkin diberitahu bahawa libro bermaksud buku, dan Come Sta
bermaksud Apa khabar ? Makna perbendaharaan kata, frasa, dan ayat mungkin dipelajari dengan
cara ini. Hal ini bertentangan dengan pemerolehan makna melalui pendedahan terhadap objek dan
situasi sebenar dengan menggunakan bahasa Itali. Sebagai contoh, guru menunjukkan sebuah buku
kepada pelajar dan berkata libro atau menunjukkan situasi dua orang sahabat berjumpa dan seorang
berkata kepada sahabatnya Come Sta?

Pandangan terhadap dimensi ini

Selepas pelajar dapat bertutur dan membaca B2, yang mana pelajar dapat merasai dan meniru B2,
pelajar sudah dapat menanggapi sesuatu konsep atau makna dalam B2. Kaedah ini dirancang dengan
tujuan memberi kemahiran menulis selepas kemahiran bertutur, melalui penekanan terhadap
pendedahan terhadap tatabahasa melalui tatabahasa terjemahan. Perlu diingat bahawa teori LAD
(Language Acquisition Device) dan Tatabahasa Transfomasi Genaratif oleh Chomsky membuktikan
bahawa para pelajar berkemampuan untuk membuat hipotesis tentang struktur bahasa dan makna
B2 berdasarkan pengetahuan dan pengalaman B1. Ini sesuai dengan pendapat Bransfor dan Franks
(1971) bahawa para pelajar menunjukkan pemahaman terhadap B2 lebih bergantung kepada
semantik, iaitu makna lebih kekal dalam ingatan jika dibandingkan dengan struktur ayat berbanding
kepada struktur-struktur ayat.

3. Tatabahasa:Eksplikasi - Induksi

Eksplikasi melibatkan penerangan dalam bahasa ibunda tentang peraturan tatabahasa dan struktur
bahasa kedua. Sebagai contoh, dengan menggunakan bahasa Melayu guru menjelaskan kepada
pelajar Melayu bahawa konstituen ayat dasar bahasa Inggeris ialah Subjek + Kata Kerja + Objek.
(Mary menangkap bola – Mary catches the ball). Pembelajaran yang sama menggunakan induksi,
pelajar dikehendaki meneroka konstituen ayat dasar bahasa Inggeris itu dengan sendiri. Dalam
keadaan ini, mereka perlu mendengar beberapa ayat seperti “Mary catches the ball” sambil
mengalami suatu situasi yang mana aksi itu berlaku atau melihat sebuah gambar dengan aksi
sedemikian.

Pandangan terhadap dimensi ini

Dalam pembelajaran B2 secara formal, para pelajar mampu menerima peraturan dan struktur B2
dengan menggunakan kaedah tatabahasa terjemahan. B2 diterangkan menggunakan B1 untuk
memberikan gambaran awal dan membantu pelajar menguasai tatabahasa dan struktur B2.
Menurut Chomsky, B1 memberikan landasan tatabahasa sejagat atau innate grammar yang dapat
membantu para pelajar menguasai B2. Chomsky juga menegaskan bahawa bahasa mempunyai
aspek kreatif di dalamnya. Dengan menggunakan tatabahasa, seseorang itu dapat mewujudkan ayat
yang gramatis yang tidak terhad banyaknya dan pendedahan B2 menggunakan bahasa ibunda juga
membantu pelajar memperoleh dan menguasai B2 dengan baik.

Para pelajar memproses input B2 dengan cara menggabungkan beberapa elemen menjadi satu unit
yang lebih besar merangkumi tahap fonologi, sintaksis dan semantik. Ini dapat dikuasai dengan
latihan-latihan yang diberikan oleh guru. Latihan-latihan inilah yang dapat melibatkan para pelajar
dalam pembelajaran B2.

4. Psikologi: Behaviouris – Mentalis

Andaian bagi sesuatu kaedah psikologi dapat membawa kesan yang kuat ke atas cara kaedah itu
dihuraikan dengan jelas, tepat, dan digunakan. Behaviouris lebih suka kaedah latih tubi manakala
Mentalis mahu pelajar berfikir tentang struktur ayat. Bagi Behaviouris, pelajar tidak perlu berfikir
kerana tidak sesuai untuk pembelajaran bahasa. Orentasi psikologi telah menetapkan implikasi
tentang bagaimana dan apa yang akan diajarkan oleh seseorang.
Pandangan terhadap dimensi ini

Salah satu daripada bidang yang kuat mempengaruhi pembelajaran bahasa ialah psikologi, iaitu
melibatkan pelakuan dan tabiat manusia. Pembelajaran berlaku dengan adanya ransangan dan gerak
balas. Sebab itulah dalam dimensi ini latihan dan latih tubi yang merupakan pendekatan behaviouris
adalah salah satu aspek penting untuk memperoleh B2.

Pada saya, dalam mempelajari B2 para pelajar banyak mempelajari lakuan berbahasa melalui latih
tubi yang disediakan dan diberikan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran dan bukan bahasa
melalui pengamatan atau peniruan secara tidak sedar. Namun, secara tidak langsung dalam proses
para pelajar menjawab latihan dan latih tubi, proses penerimaan B2 secara mentalis juga berlaku.

5. Linguistik: Strukturalis – Mentalis

Kepercayaan seseorang tentang konsep(pengertian) sesuatu ayat, peraturan tatabahasa dan


struktur yang menjadi asas ayat itu akan membawa kesan ke atas apa yang diajarkan. Strukturalis
menganalisis satu ayat seperti The boy jumped dengan menyusun ayat itu mengikut kelas katanya
(Article + noun + verb) Tetapi mengikut Chomsky, dengan menyenaraikan kelas katanya kita tidak
dapat menjelaskan makna ayat yang berlainan. Sebagai contoh, Chomsky mengemukakan dua ayat
yang sama strukturnya, iaitu John is easy to please dan John is eager to please. Kelas kata kedua-
duanya ayat adalah sama: Noun + verb + adjective +preposition (kata sendi). Mentalis yang diwakili
oleh hubungan sintaksis yang menjadi asas ayat-ayat itu. Oleh itu, Mentalis akan berkata bagi ayat
John is easy to please (mudah untuk menyukakan hati John) John ialah objek kepada please.
Manakala John is eager to please (John ingin menyukakan hati) – John ialah subjek kepada please.
Secara praktik, guru akan menggunakan penjelasan yang berlainan terhadap ayat-ayat di atas atau
menyusun ayat-ayat di atas dengan persembahan yang berlainan berdasarkan teori linguistik yang
diikutinya.

Pandangan terhadap dimensi ini

Pada dimensi ini penguasaan B2 sudah pada tahap yang tertinggi selepas melalui dimensi-dimensi
sebelumnya. Dimensi ini menunjukkan bahawa suatu sifat bahasa, iaitu kreatif. Kita boleh
menggunakan unsur-unsur yang terhad di dalam sesuatu bahasa itu dan menghasilkan ungkapan
yang lebih besar, misalnya menggabungkan kata-kata, kita dapat menerbitkan sejumlah ayat yang
tidak terbatas.

Pada tahap ini pembelajaran B2 sudah menerapkan konsep dan peraturan tatabahasa. Penghuraian
tentang sesuatu struktur dalaman dan luaran B2 dilakukan dengan menganalisis binaan dan struktur
ayat dalam memperoleh dan menguasai B2.

Kesimpulan

Pada dasarnya, terdapat dua faktor dalam pembelajaran B2, iaitu faktor psikologi yang merangkumi
ekspikasi, induksi daya ingatan dan motor. Satu faktor lagi ialah faktor sosial yang merangkumi
situasi semulajadi dan fomal di bilik darjah.
BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan. 1987. Isu-Isu Pembelajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka

Kamus Dewan(Edisi Ketiga). 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamus Linguistik. 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Noor Aina Dani. 2007. Pengantar Psikolinguistik. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn.Bhd.

Norhadi dan Roekhan (editor). 1990. Dimensi-Dimensi dalam Belajar Bahasa Kedua. Bandung:
Penerbit Sinar Baru

Manggantar Simanjuntak. 1982. Aspek Bahasa dan Pengajaran. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise

Anda mungkin juga menyukai