Anda di halaman 1dari 10

Perihal “Luqathah”

Oleh : Mufti Brunei (Irsyad Fatwa 2011 bil 22 bhg1 &2)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut
Baginda)

Bukanlah suatu perkara yang asing jika kita terjumpa dengan barang-barang
yang tercicir. Barang-barang tercicir ini berlaku di mana-mana, di tempat-
tempat awam, di kaki lima jalan, tempat letak kereta, masjid, pusat membeli
belah, tandas, kawasan sekolah dan lain-lain.

Pada kebiasaannya, apabila berhadapan dengan situasi begini, orang akan


bertindak memungut barang tersebut samada akan menyerahkannya kepada
polis, pihak-pihak yang tertentu ataupun membiarkannya sahaja di tempatnya.
Ada juga yang memungutnya dengan hajat untuk memiliki, menjual atau
menyedekahkan barang tersebut. Persoalan mengenai memungut barang-
barang tercicir ini akan kita huraikan melalui irsyad ini.

Definisi Luqathah Menurut Syara‘

Lazimnya suatu barang atau benda ada pemiliknya. Barang atau benda yang
dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya, di dalam ilmu Fiqh diistilahkan sebagai
luqathah.

Luqathah ialah harta ataupun barang yang dijumpai di suatu tempat yang tidak
dimiliki, tidak diketahui pemiliknya, tiada tandatanda di dalam jagaan atau
tidak berada di tempat yang lazimnya harta atau barang itu berada, sama ada
ia hilang dari pemiliknya disebabkan tercicir ataupun terlupa.

Menurut ulama Mazhab Syafi‘ie, haiwan hilang (sesat) yang tidak mampu
mempertahankan diri dan tidak mampu mencari kehidupannya sendiri juga
dipanggil luqathah.

Maka tidak termasuk dalam definisi luqathah: Harta atau barang yang ditemui
di dalam kawasan yang dimiliki, yang diketahui pemiliknya, mempunyai tanda-
tanda di dalam jagaan atau berada di tempat yang lazimnya ia berada. Begitu
juga harta perang, bahan galian yang tertanam di dalam tanah seperti emas

‫اليسع‬
dan perak, dan haiwan yang mampu mempertahankan diri dan mencari
kehidupannya sendiri.

Selain itu, barang atau benda yang tidak dikira sebagai harta di dalam syara‘
seperti arak dan babi, mahupun yang tidak dihormati di dalam syara‘ seperti
benda-benda yang melalaikan dan sia-sia adalah tidak termasuk di dalam istilah
luqathah.

Dari penjelasan di atas menunjukkan bahawa barang atau benda yang dijumpai
yang dipercayai tercicir atau hilang dan tidak diketahui pemiliknya adalah
disebut sebagai luqathah.

Hukum Memungut Barang Tercicir

Memungut barang yang tercicir (luqathah) mempunyai hukum yang berbeza-


beza menurut keadaan orang yang memungutnya seperti berikut:

1-Sunat: Sebilangan besar ulama berpendapat bahawa orang yang terjumpa


barang yang dipercayai tercicir (luqathah) sunat memungutnya jika dia percaya
dirinya akan berlaku amanah, agar barang itu tidak diambil oleh orang yang
khianat.

Akan tetapi jika dia tidak yakin akan berlaku amanah, maka tidaklah disunatkan
untuk memungut barang luqathah itu kerana ia mendorong untuk
menyembunyikannya. Sekiranya dia ingin memungutnya, harus menurut
pendapat al-Ashah, tetapi tidak digalakkan kerana berkemungkinan dia berlaku
khianat dan dikhuatiri barang itu akan hilang.

2-Wajib: Wajib dipungut barang luqathah yang dijumpai di tempat yang


dipercayai barang itu boleh jadi akan hilang jika dibiarkan atau di tempat laluan
orang fasiq dan khianat, atau di tempat yang dikhuatiri tidak ada orang yang
amanah selain diri orang yang menjumpai itu. Jika tidak di dalam keadaan
sedemikian ini, maka tidaklah dihukumkan wajib.

‫اليسع‬
3-Harus: Harus pula hukumnya memungut barang luqathah yang dijumpai jika
tidak dikhuatiri barang tersebut akan hilang. Dalam erti kata lain, boleh sahaja
dipungut atau boleh juga ditinggalkan.

4-Haram: Bagi orang yang tahu dan pasti dia akan berlaku khianat, lalu
memungut barang tersebut untuk dirinya, bukan untuk menjaga dan
mengembalikannya kepada pemiliknya atau pihak yang berhak, maka
hukumnya adalah haram.

5-Makruh: Manakala makruh ke atas orang yang tidak percaya dan tidak yakin
dengan dirinya menjaga dan bertanggungjawab terhadap barang luqathah itu
memungutnya.

Sebilangan besar ulama juga mengatakan makruh bagi orang fasiq memungut
barang luqathah tersebut.

Orang fasiq itu ialah seperti orang yang meninggalkan atau mencuaikan
sembahyang, puasa, zakat, zakat fitrah, haji dan umrah, orang melanggar
larangan Allah, menipu daya, berzina, minum arak, berjudi, rasuah, pecah
amanah, bohong, riba, bermuka-muka, tiada ikhlas semata-mata kerana Allah,
bergaduh, bersengketa dengan orang Islam, tiada memberi sara hidup kepada
isteri dan anak-anak, tiada mengajarkan mereka akan fardhu ‘ain, derhaka
kepada ibu bapa, sakit hati dan dengki hasad kepada orang Islam.

Apa Yang Perlu Dibuat Dengan Barang Yang Dipungut?

Jika seseorang menjumpai barang luqathah dan tidak ada sebarang tegahan
syara‘ atau yang memudaratkan untuk memungutnya, maka barang tersebut
bolehlah diperlakukan mengikut hukum syara‘ dan syarat-syarat luqathah.

Terdapat hadits-hadits yang menyatakan tentang pensyari‘atan memungut


Luqathah serta tindakan yang perlu dibuat selanjutnya apabila memungutnya.
Antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani
Radhiallahu ‘anhu, apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya
mengenai barang luqathah, Baginda bersabda:

‫اليسع‬
Maksudnya: “Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah
dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya
maka kamu boleh gunakan dan ia menjadi barang wadi‘ah padamu. Apabila
datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu
jangka masa, maka berikanlah kepadanya.”(Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, orang yang terjumpa luqathah, lalu dia


memungutnya, hendaklah dia berbuat langkah-langkah berikut:

1- Mengetahui bekas dan pengikat bekas barang yang dijumpai itu.

2- Mengumumkannya kepada orang ramai dalam tempoh satu tahun.

3- Menyimpannya apabila sekiranya masih tidak menemui pemiliknya atau


tiada pemilik yang menuntutnya.

4- Mengembalikannya sekiranya ada pemilik yang menuntutnya walaupun


setelah berlalu suatu jangka masa atau berlalu tempoh satu tahun
pengumuman.

Hadits di atas menegaskan kepada orang yang menjumpai barang luqathah itu
untuk mengetahui, mengamati dan mengambil spesifikasi barang itu terlebih
dahulu adalah supaya dapat mengenal dengan pasti pemilik sebenar dan dapat
membezakannya dari pemilik palsu yang mengaku memiliki barang tersebut
apabila hendak menyerahkan kepada pemiliknya nanti.

Di samping itu, dianjurkan meletakkan tanda seperti menulis tarikh dan tempat
barang tersebut dijumpai agar mudah diketahui oleh waris pemilik, jika
pemiliknya meninggal dunia dan agar tidak bercampur dengan harta lain .

Tidak perlu menyebutkankan semua sifat-sifat barang tersebut dengan


terperinci ketika penghebahan dibuat, bahkan sunat dengan hanya disebutkan
setengah sifat-sifatnya sahaja agar tidak berlaku sebarang penipuan atau
pengakuan palsu. Sebelum menghebahkan, faktor utama yang mempengaruhi
ketentuan syara‘ berhubung dengan memungut luqathah yang perlu diketahui
adalah nilai dan jenis barang (luqathah) itu. ‘Ulama membahagikannya kepada:-

‫اليسع‬
1) Barang Yang Tidak Tahan dan Mudah Binasa

Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa atau tidak tahan lama umpamanya
makanan basah, makanan yang sudah dimasak seperti bubur, daging panggang,
ikan, sayur-sayuran, buahbuahan seperti timun dan tomato, maka orang yang
menjumpainya boleh memungut dan memilih antara;

• memakan atau meminum barang itu sebagai miliknya dan bersedia


mengganti dengan nilai barang itu balik sekiranya ada pemilik yang
menuntutnya;

• ataupun dengan menjual barang tersebut dan menghebahkannya kepada


orang ramai setelah menjualnya supaya dia boleh memiliki (mengambil) harga
bayaran barang itu.

2) Barang Yang Tahan Melalui Kaedah Pemprosesan

Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa tetapi boleh menjadi tahan dengan
pemprosesan seperti kurma atau anggur yang dikeringkan, kepingan susu beku,
maka orang yang memungutnya perlu melakukan sesuatu yang boleh memberi
manfaat dan menguntungkan.

• Jika difikirkan dengan menjualnya akan menguntungkan pemiliknya, maka


eloklah dijual dan disimpan harga bayaran barang itu serta bersedia
menyerahkan hasil bayaran itu kepada pemiliknya jika ada;

• atau memprosesnya jika difikirkan dengan memproses barang tersebut akan


mendatangkan kebaikan. Jika pemprosesan itu memerlukan perbelanjaan
tetapi tidak ada yang dapat menanggung perbelanjaannya, maka bolehlah
dijual sebahagian barang tersebut dan hasilnya boleh dibelanjakan untuk
memproses selebihnya lagi.

3) Barang Yang Tidak Mudah Rosak atau Tahan Dengan Sendirinya

Jika barang itu sesuatu yang tahan lama atau tidak mudah rosak seperti emas,
perak, buku, anak kunci, maka wajib ke atas orang yang memungutnya
menjaganya selama mana tempoh penghebahan berlaku. Ini termasuklah jam
tangan, telefon bimbit dan dompet berisi wang yang merupakan antara barang
yang sering tercicir pada masa ini.

‫اليسع‬
Tempoh dan Waktu Penghebahan

Tempoh menghebahkan (mengiklankan) barang luqathah juga tertakluk kepada


nilai dan jenis barang tersebut.

Pada dasarnya, tempoh penghebahan barang luqathah adalah selama satu


tahun sebagaimana pendapat jumhur termasuk ulama-ulama Mazhab Syafi‘ie
kerana tempoh satu tahun itu adalah merupakan asal muktabar setiap sesuatu
di dalam syara‘.

Tempoh satu tahun penghebahan itu bermula dari saat mula menghebahkan.
Tidak perlu menghebahkan dengan meliputi sepanjang waktu di dalam satu
tahun. Tidak perlu menghebahkan pada waktu malam atau pada sepanjang
(seluruh) hari, bahkan pada peringkat awal, memadai dengan menghebahkan
pada waktu pagi dan petang. Kemudian setelah berlalu satu minggu, cukup
melakukan penghebahan sekali sahaja dalam sehari, kemudian dengan dua kali
setiap satu minggu atau sekali sahaja setiap satu minggu, kemudian satu kali
dalam setiap satu bulan.

Walaubagaimanapun, ulama sepakat membolehkan untuk tidak perlu


menghebahkan dan langsung sahaja memiliki dan mengambil manfaat dari
barang luqathah yang remeh, yang dirasakan tidak dihiraukan oleh pemiliknya
seperti sebiji kurma, habuk-habuk roti, habuk kayu atau besi, kain-kain perca
atau yang seumpamanya.

Menurut pendapat ashah dalam Mazhab Syafi‘ie, barang luqathah yang sedikit
kadarnya, ataupun apabila ditukar menjadi wang juga akan mendapat nilai
wang yang sedikit, umpamanya satu dirham, (kira-kira 50 sen), maka tidak usah
dihebahkan selama setahun, cukuplah menyiarkannya setakat kadar sekira-kira
ada persangkaan bahawa orang yang kehilangan itu sudah tidak lagi
memperduli barangnya itu menurut kebiasaan.

Batasan sedikit itu pula adalah barang yang sekira-kira orang yang
menemukannya mempunyai dugaan kuat bahawa pemilik yang kehilangan itu
tidak terlalu susah disebabkan kehilangan barang itu dan biasanya tidak akan
mencarinya terlalu lama.

‫اليسع‬
Tempat Menghebahkan

Pada masa dahulu, penghebahan hendaklah dilakukan di pasar-pasar dan


pintu-pintu masjid kerana keduanya merupakan tempat yang sering dikunjungi
orang ramai dan tempat berkumpul. Besar kemungkinan di situ ada pemilik
barang berkenaan.

Begitu juga penghebahan hendaklah dilakukan di tempat barang tersebut


dijumpai sebab pemiliknya tentu akan mencari barangnya yang tercicir di
sekitar tempat itu.

Dilarang melakukan penghebahan di dalam masjid kerana tujuan penghebahan


ialah pemberitahuan kepada orang ramai untuk mencari pemilik barang
sedangkan masjid dibina bukan untuk tujuan demikian.

Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam


bersabda:

Maksudnya:
“Barangsiapa yang mendengar ada orang membuat pengumuman mencari
barangnya yang tercicir (hilang) di dalam masjid, maka hendaklah (orang yang
mendengar itu) berdoa supaya barang itu tidak dijumpai kerana masjid dibina
bukan untuk perkara sedemikian.”
(Hadits riwayat Muslim)

Pada masa ini, selain dari tempat-tempat yang dinyatakan, penghebahan juga
boleh dibuat dengan mengiklankan di dalam akhbar, radio, televisyen atau
yang terkini melalui internet. Cara ini mungkin lebih berkesan.

Alternatif lain ialah dengan menyerahkan barang luqathah itu kepada pihak
polis. Ini kerana lazimnya pemilik barang tersebut akan atau telah membuat
laporan mengenai barangnya yang tercicir atau hilang itu ke balai polis dan
laporan tersebut direkodkan. Apabila kita menyerahkannya kepada pihak polis,
usaha mencari barang tersebut menjadi mudah dan pemiliknya akan mendapat
balik barangnya yang tercicir itu.

‫اليسع‬
Antara contoh situasi menjumpai luqathah yang sering berlaku pada masa
ini:-

• Jika menjumpai barang luqathah di kompleks membeli-belah atau yang


seumpamanya dan khuatir barang itu akan hilang, maka menyerahkannya
kepada pihak pengurusan kompleks berkenaan juga adalah tindakan wajar
kerana lazimnya pemilik barang akan merujuk kepada mereka mengenai
barangnya yang tercicir. Tambahan lagi kebanyakan kompleks awam yang ada
sekarang ada menyediakan ruangan Lost and Found yang juga bertujuan untuk
lebih memudahkan.

• Di zaman serba canggih ini orang selalu tercicir atau tertinggal alat-alat
elektronik kecil milik mereka seperti telefon bimbit dan komputer riba di
tempat-tempat awam. Untungnya, alatalat seperti ini biasanya ada menyimpan
data pemilik juga nombor untuk dihubungi dan ini memudahkan urusan
menjejaki pemiliknya. Orang yang menemuinya boleh terus menghubungi
pemilik barang untuk menyerahkan kembali barang tersebut.

Tindakan-tindakan seperti ini juga ternyata bermaksud untuk menjejaki pemilik


dan mengembalikan barang tercicir itu kepada pemiliknya yang sebenar.

Adakah Boleh Dimiliki Barang Luqathah Yang Dijumpai ?

Memungut barang luqathah merupakan suatu amalan yang dituntut, namun


orang yang memungutnya tidak boleh mengambil dan memiliki barang yang
dipungutnya itu dengan sesuka hati kerana ia adalah barang amanah atau
wadi‘ah. Orang yang memungut barang luqathah adalah pemegang amanah.

Wajib ke atas orang yang memungut barang luqathah itu mengeluarkan belanja
untuk membuat penghebahan atau pengiklanan barang luqathah tersebut jika
dia memungutnya dengan niat untuk memilikinya, walaupun niat untuk
memilikinya berlaku setelah niat asalnya untuk menjaga, atau jika tidak sampai
dimilikinya sekalipun. Ini disebabkan dia diwajibkan membuat penghebahan.

Jika dia tidak bertujuan hendak memiliki barang luqathah tersebut, seperti
dipungut untuk dipelihara dan tiada tujuan untuk memiliki atau ikhtisas (khas
baginya), maka perbelanjaan untuk membuat penghebahan diambil daripada
baitulmal atau tuan punya luqathah.

‫اليسع‬
Apabila orang yang memungut barang itu sudah menghebahkannya dan dia
gagal menemukan pemilik barang tersebut, kemudian dia bermaksud untuk
memilikinya, maka bolehlah dia memilikinya dengan syarat jika pemilik barang
menuntutnya, dia akan mengembalikannya ataupun menggantinya.

Menurut pendapat ashah dalam mazhab Syafi‘ie, hendak memiliki luqathah


perlu disertakan lafaz seperti “Aku miliki barang ini”atau dengan lafaz simbolik
yang membawa maksud untuk memiliki.

Apabila seorang menjadikan barang luqathah sebagai miliknya, kemudian


pemilik yang sebenarnya datang, jika barang itu berupa barang yang ada
bandingannya, maka haruslah dia mengganti dengan yang serupa dengannya.
Jika tidak ada bandingannya, maka harus dia mengganti mengikut harganya
pada waktu dia memiliki. Hal ini telah ditetapkan oleh Imam Rafi‘ie dan lain-lain
ulama.

Jika pemiliknya tidak redha dengan barang gantian, maka wajiblah


dikembalikan barang luqathah itu berserta tambahan atau lebihan yang
berhubung dengannya, dan tambahan yang bercerai denganbarang luqathah
tersebut jika tambahan itu muncul sebelum ia (luqathah) dimiliki oleh orang
yang memungutnya.

Demikian juga sekiranya barang tersebut rosak ataupun lenyap setelah


dimilikinya. Wajiblah diganti dengan seumpamanya jika ada, atau harganya jika
tidak ada seumpamanya semasa pemilikan.

Wajib juga membayar imbuhan di atas kekurangan disebabkan aib atau


kecacatan yang berlaku setelah dimiliki. Sekiranya barang itu rosak dan lenyap
sebelum pemilikan berlaku tanpa ada kelalaian, maka tidaklah tertanggung ke
atas orang yang menjumpai itu untuk menggantinya balik.

Tidak boleh dimiliki sama sekali barang yang dijumpai di tanah haram. Begitu
juga tidak boleh sama sekali bagi orang yang berlaku khianat terhadap barang
yang dipungutnya itu memiliki barang tersebut.

Selain itu, memperniagakan barang luqathah juga tidak boleh dilakukan dengan
sesuka hati. Dilarang menjualnya selama tempoh penghebahan dilakukan
kerana barang luqathah adalah barang amanah dan perbuatan menjual atau
seumpamanya boleh menyebabkan barang itu terdedah kepada kerosakan,

‫اليسع‬
hilang atau menjadi kurang kerana setiap perniagaan pasti mendatangkan
risiko kerugian jika tidak mendapat keuntungan.

Sekiranya barang itu dijual di dalam tempoh penghebahan maka orang yang
menjumpai itu bertanggungjawab terhadapnya atau terhadap sebarang
kekurangan atau kerugian yang berlaku dan wajib pula ke atasnya
mengembalikannya berserta tambahan yang ada jika mendapat keuntungan.

Demikian juga setiap barang luqathah boleh disedekahkan sebagaimana


pendapat jumhur ulama fiqh, dengan syarat tempoh penghebahan hendaklah
berlalu dan ia disedekahkan kepada orangorang fakir dan miskin.

Dari penjelasan di atas, dapat difahami bahawa barang luqathah yang bukan
remeh dan tidak mudah rosak adalah tidak boleh dimiliki atau dijual dengan
sesuka hati. Jika berhajat untuk memiliki atau menjualnya hendaklah ia
mengikut lunas-lunas yang telah digariskan syara‘ dan bersedia untuk
menggantinya jika ada pemilik yang menuntutnya. Barangsiapa yang terjumpa
barang luqathah, lalu dia mengambilnya dengan tujuan untuk menjaganya dan
menyerahkannya balik kepada pemiliknya, maka dia telah menolong dan
berbuat kebajikan kepada pemiliknya itu, di samping mendapat ganjaran
pahala.

Ketahuilah, selain membantu dan menolong harta seseorang, amalan ini juga
boleh menjaga dan memelihara harta daripada binasa dan hilang begitu sahaja.
Menjaga harta sesiapa pun merupakan amalan yang terpuji.

Pensyaria‘atan memungut barang luqathah dan bertanggungjawab


terhadapnya ternyata memberi keuntungan terhadap si pemilik kerana dia
mendapat balik barangnya yang hilang, jika tidak pun, orang yang menjumpai
barang itu dapat memanfaatkannya ataupun dia boleh menyerahkannya
kepada hakim atau baitulmal agar dapat diuruskan untuk kepentingan dan
kebaikan umat bersama. Dengan cara beginilah harta-benda individu di dalam
Islam terpelihara dan dapat dimanfaatkan bersama.

‫اليسع‬

Anda mungkin juga menyukai