Anda di halaman 1dari 4

Temu bual dengan tokoh guru yang dipilih

Nama guru : Ustazah Aishah bt Hussein


Sekolah : SK Baling, 09100 Baling, Kedah
Pengalaman mengajar : 12 tahun

Shaharudin :

Assalammualaikum, ustazah. Terima kasih kerana sudi ditemu bual pada hari ini.

Tokoh :

Waalaikummussalam. Terima kasih juga kerana memilih saya dalam temu bual ini.

Shaharudin:

Tujuan saya mengadakan temu bual ini bagi mengimbas pengalaman ustazah sepanjang
bertugas sebagai guru. Sebetulnya, saya memilih ustazah untuk temu bual ini adalah
berdasarkan pendapat rakan-rakan sekolah Puan Aishah. Beberapa orang guru
mencadangkan nama Puan Aishah.

Soalan pertama saya, sudah berapa tahun ustazah berada dalam dunia pendidikan dan
berapa sekolah yang telah ustazah sumbangkan khidmat bakti dalam tempoh tersebut?

Tokoh :

Saya mula berkhidmat sebagai guru pada tahun 2001. Sekolah pertama saya mengajar, SK
Bandar Bharu, Kedah. Selepas itu, memohon bertukar ke Daerah Baling kerana mengikut
suami. Syukur pada tahun 2002 saya berjaya bertukar ke SK Tiak, Kupang. Tahun 2009,
saya ditukarkan ke SK Baling dan bertugas sehingga hari ini, alhamdulillah.

Shaharudin :

Kalau mengikut pengiraan kasar saya, tempohnya lebih kurang 12 tahun. Jadi, tentunya
banyak pengalaman pahit manis sepanjang tempoh tersebut.

Tokoh:

Sekolah pertama (SK Bandar Bharu), tidak banyak kenangan yang dapat saya petik kerana
tempoh di situ lebih kepada proses belajar kepada saya. Saya masih amat baharu dalam
dunia pendidikan. Saya amat bertuah, ditempatkan di sekolah pertama yang mempunyai
persekitaran yang amat membantu dalam saya tercari-cari rentak atas kapasiti orang baru
dalam dunia pendidikan.

Shaharudin:

Boleh ustazah huraikan sedikit, maksud ustazah “persekitaran yang amat membantu?”

Tokoh:
Maksud saya, saya tidak terasa asing dalam dunia baru saya. Layanan dan tunjuk ajar yang
diberikan kakitangan sekolah itu amat memberi kesan terhadap proses pembelajaran saya
untuk menjadi guru yang berkesan terhadap murid bukan sahaja akademik malah aspek-
aspek kemanusiaan umumnya.

Pada saya pendedahan pertama saya dalam dunia sebenar pendidikan telah mencorakkan
diri saya yang ada pada hari ini. Saya amat berterima kasih kepada mereka yang secara
tidak sedar menjadi acuan dalam perjalanan seterusnya saya sebagai guru.

Shaharudin :

Kelihatannya amat kuat pengaruh guru-guru di sekolah pertama ustazah hinggakan gaya
percakapan ustazah amat mengagumi mereka.

Tokoh:

Mungkin pada sesetengah orang tidak memandang seperti persepsi saya terhadap
“pandangan” pertama. Saya mengambil pandangan pertama sebagai pendorong kuat. Saya
bersyukur, kerana saya ditakdirkan bertugas di situ. Tunjuk ajar, dan penerimaan mereka
amat menyentuh hati saya.

Shaharudin:

Pengalam pahit ustazah sepanjang menjadi pendidik.

Tokoh:

Alhamdulillah, sebenarnya tiada yang pahit jika hendak diungkap secara umum. Kerana,
setiap yang kita tempohi tentunya ada hikmah di sebaliknya. Namun, kalau pun ada
kenangan yang hendak dikatakan pahit saya rasa situasi murid yang tidak dapat saya
hadapi. Bukan aspek sikap dan kemampuan pembelajaran murid.

Murid-murid yang lemah dalam pembelajaran kerana kesempitan hidup. Situasi ini bagi saya
amat pahit untuk dilalui.

Saya mengajar di sekolah pendalaman (SK Tiak). Taraf ekonomi mejoriti murid di sini amat
ketinggalan. Saya lihat, kemunduran pembelajaran murid berkait rapat dengan suasana
kehidupan mereka. Jarak antara rumah dan sekolah. Pekerjaan ayah/ibu yang
membataskan perhatian mereka kepada murid.

Kita sering marah apabila murid tidak hadir ke sekolah. Atau, tidak hadir aktiviti petang.
Atau, kelas-kelas tambahan. Tetapi, pengalaman mengajar saya, bukan semua murid yang
ponteng itu pemalas. Bukan juga kerana mereka “terbiar”. Tetapi, desakan hidup.

Shaharudin:

Apakah tindakkan ustazah dalam membantu murid-murid sebegini?

Tokoh :

Secara materialnya, tidaklah banyak yang dapat saya membantu. Namun, berkat kerjasama
rakan-rakan guru, satu tabung bantuan telah berjaya diwujudkan bagi membantu murid yang
memerlukan. Sumbangan (tabungan) tersebut telah digunakan untuk makan minum murid
yang tidak pulang kerana ada aktiviti.

Selain itu, saya telah mencadangkan kepada pentadbiran sekolah untuk mengadakan
“kutipan” baju-baju yang hendak didermakan. Program ini berjaya mengutip sedikit dana
untuk menampung kewangan murid-murid bermasalah.

Shaharudin:

Saya rasa peranan ustazah amat besar dalam menggerakkan program-program kebajikan
ini. Kenapa ustazah tergerak hati untuk melaksanakan program ini.?

Tokoh :

Pengalaman hadir ke rumah salah seorang murid. Murid ini, sering ponteng. Selepas
melihat sendiri keluarganya. Perasaan marah saya dan rakan-rakan saya bertukar hiba.
Insaf. Kerana, selama ini yang saya tahu memarahi murid yang ponteng. Saya tidak pernah
tahu, ayahnya yang sedang sakit. Saya tidak pernah tahu, apa yang mereka makan. Saya
juga tidak pernah tahu, jika hujan mereka akan tidur di dalam basah.

Pengalaman ini amat menginsafkan saya dan rakan-rakan yang hadir sama ketika itu.
Mereka, adalah pendorong utama program kebajikan yang telah dijalankan ini.

Shaharudin:

Ustazah, pada awalnya, saya tertanya-tanya kenapa rakan-rakan ustazah memilih ustazah
untuk kaji selidik saya ini. Tapi, sekarang saya sudah mendapat jawapannya.

Ustazah:

Sebenarnya, semua yang dilakukan ini adalah hasil kerjasama semua pihak. Guru,
kakitangan, ibu bapa dan tidak terkecuali murid-murid juga.

Shaharudin:

Apakah harapan atau cadangan ustazah dalam menangani isu keciciran kerana kemiskinan
ini?

Ustazah:

Harapan saya, tentunya amat berharap sesuatu dapat dilakukan agar dalam melalui
sambutan merdeka yang ke-56 tidak lama lagi, kumpulan yang terdesak ini dapat dibantu.
Membantu mereka tentunya juga secara tidak langsung membantu generasi hadapan.
Membantu generasi hadapan pastinya juga “membantu” negara tercinta kita.

Saya tahu, untuk mengatasi 100% masalah keciciran (kerana kemiskinan) ini tentunya agak
sukar. Namun, sekurang-kurangnya kita melakukan sesuatu.

Cadangan saya, diadakan asrama bagi membantu kumpulan ini. Seperti asrama yang
disediakan untuk orang-orang asli di daerah-daerah tertentu. Pemilihannya biarlah telus.
Telus maksud saya, jangan ada pemilihan yang terkeluar daripada landasan asal, untuk
membantu dalam mengatasi masalah keciciran kerana kemiskinan ini.
Shaharudin:

Terima kasih, ustazah. Kerana melapangkan masa untuk sesi ini. Saya juga berharap,
semoga keciciran yang berpunca daripada masalah kemiskinan ini dijadikan antara agenda
utama pihak-pihak yang berwajib.

Terima kasih, ustazah, selamat berpuasa.

Ustazah : Sama-sama.

Anda mungkin juga menyukai