Anda di halaman 1dari 25

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/339472700

Penggolongan Kata Bahasa Melayu

Article · January 2011

CITATIONS READS
0 19,018

1 author:

Norliza Jamaluddin
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
46 PUBLICATIONS   22 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Bahasa Melayu Bahasa Pemersatu Kawasan Asia Tenggara View project

All content following this page was uploaded by Norliza Jamaluddin on 25 February 2020.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


SEDEKAT PENGGOLONGAN KATA BAHASA Melayu

oleh
Norliza Jamaluddin1
Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI

Pengenalan

Sebenarnya, usaha menggolongkan kata ke dalam golongan tertentu bukanlah


suatu bidang yang baharu di Malaysia. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas menerusi
buku-buku tatabahasa serta artikel-artikel yang diterbitkan dalam jurnal linguistik seperti
Lingua dan Dewan Bahasa. Didapati, pada peringkat awal, apabila menghuraikan bahasa
Melayu dari aspek ejaan, morfologi, sintaksis, tanda baca, hal ehwal karang-mengarang
dan gaya bahasa, buku-buku tatabahasa turut memberi huraian yang mendalam terhadap
aspek golongan kata. Bahkan, sebelum tahun 1940-an bidang golongan kata ini
merupakan salah satu daripada dua bidang utama yang diberikan tumpuan apabila
menghuraikan tatabahasa bahasa Melayu selain aspek imbuhan (Nik Safiah Karim, 1992:
170).

Pada peringkat awal, usaha penggolongan kata dalam bahasa Melayu telah
dilakukan oleh beberapa orang sarjana Barat. Usaha ini telah dilakukan sejak awal abad
ke-19 lagi. Antaranya Marsden (1812), Crawfurd (1852), Maxwell (1882), Winstedt
(1927), Payne (1964) dan Lewis (1969), menerusi buku-buku tatabahasa yang dihasilkan
oleh mereka. Di samping itu, usaha menggolongkan kata turut dilakukan oleh orang-
orang Melayu. Menerusi buku-buku tatabahasa yang dihasilkan golongan kata dihuraikan
secara ringkas. Antara buku tatabahasa yang dihasilkan ialah ialah Kitab Permulaan
Pertuturan Melayu (1911) oleh Abdullah Abdul Rahman; Senjuh Suratan, (1922) oleh
Mohd. Shah Yusof; Kitab Punca Bahasa, (1928) oleh Abdullah Talib; Kitab Penanggam
Bahasa, (1936) oleh Syed Muhammad Othman Yahya; Jalan Bahasa Melayu, (1937)
oleh Md. Said Sulaiman, dan Pelita Bahasa Melayu, Penggal 1, (1940) oleh Zainal

1
Kertas kerja untuk Persatuan Penulis Budiman, UPSI

1
Abidin Ahmad. Di samping itu, Kitab Pengetahuan Bahasa (1857), yang dihasilkan oleh
Raja Ali Haji turut memuatkan penggolongan kata.

Aspek penggolongan kata turut dihuraikan oleh ahli-ahli bahasa kini.


Bagaimanapun, huraian yang dilakukan oleh mereka agak mendalam dan
memperlihatkan pendekatan ilmu linguistik moden. Antara yang membincangkan aspek
penggolongan kata ialah Abdullah Hassan, The Morphology of Malay, (1972);
Penerbitan Kata Dalam Bahasa Malaysia, (1986); Asmah Haji Omar, Words Classes in
Malay, (1968); Nahu Melayu Mutakhir, (1993); Arbak Osman (1981), Tatabahasa
Bahasa Malaysia; Nik Safiah Karim, Tatabahasa Dewan, (1986); Hashim Musa, Binaan
dan Fungsi Perkataan dalam Bahasa Melayu: Satu Huraian dari Sudut Tatabahasa
Generatif, (1987). Penggolongan kata ini biasanya dihuraikan bersama-sama aspek lain
seperti imbuhan, penggandaan, pemajmukan dan sintaksis. Walaupun aspek ini telah
banyak diperkatakan, namun masih terdapat ketidakseragaman dari segi istilah yang
digunakan, definisi penggolongan kata, jumlah golongan kata, serta kaedah atau method
yang dijadikan asas penggolongan.

Bahasa Melayu yang berasaskan bahasa Eropah telah menggolongkan kata seperti
yang dilakukan terhadap bahasa Yunani. Hal ini dapat dilihat menerusi jadual di bawah:
Jadual 1
Penerbitan Kata Bahasa Melayu
onoma Onoma (nomen) kata nama
kata sifat
Epirhema interjectio kata seru
aderbium kata keterangan
Rhema Rhema verbum kata kerja
Metoche participium
syndesmoi Syndesmoi prothesis Preposition kata depan
syndesmoi Conjunction kata sendi
Anthron anthonymia Pronomen kata ganti nama
arthron kata artikel

(Abdullah Hassan, 1986: 22)

2
Bagaimanapun, sebelum tradisi Eropah mempengaruhi penggolongan kata bahasa
Melayu, buku-buku tatabahasa yang awal seperti kitab Bustanul Katibin, Kitab
Permulaan Pertuturan Melayu, Senjuh Suratan, Kitab Punca Bahasa dan Kitab
Penanggam Bahasa telah dipengaruhi oleh tatabahasa Arab. Dalam Kitab Pengetahuan
Bahasa, misalnya, kata digolongkan kepada tiga, iaitu ism (kata nama), fi’il (perbuatan)
dan harf (partikel), iaitu penggolongan yang dibentuk berasaskan tatabahasa Arab
(Harimurti, 1975: 528). Begitu juga buku tatabahasa Melayu yang dihasilkan oleh
penulis-penulis Melayu sendiri turut menggunakan pendekatan tatabahasa Arab dalam
menghuraikan tatabahasa Melayu. Oleh itu, kata umumnya digolongkan kepada nama,
perbuatan dan diwal. Golongan diwal adalah sama seperti harf dalam tatabahasa Arab
(Muhamad Said Suleiman, 1993: xiii).

Bagaimanapun, setelah terhasilnya buku Jalan Bahasa Melayu (1937), kaedah


penggolongan kata bahasa Melayu telah menyerap kaedah tatabahasa bahasa Inggeris “...
Jalan Bahasa Melayu ini disusun mengikut kaedah mengarang bunga yang dipetik dari
kebun Inggeris dan kebun Melayu”. Oleh itu, kata digolongkan kepada sembilan
golongan, iaitu lapan yang pertama menyamai penggolongan kata bahasa Inggeris (nama,
ganti nama, perbuatan, sifat, adverba, sendi nama, sendi kata dan seruan) dan golongan
kesembilan ialah “ibu kata” yang dikatakan golongan asli bahasa Melayu dan tiada
padanannya dalam bahasa Inggeris (Muhammad Said Sulaiman, 1993: xii-xiv). Sejak itu,
kaedah tatabahasa bahasa Inggeris telah dijadikan asas penggolongan kata bahasa Melayu,
begitu juga buku Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 karangan Za’ba (1940) yang bukan
sahaja menggunakan kaedah tatabahasa bahasa Arab, tetapi turut menggunakan kaedah
tatabahasa bahasa Inggeris seperti yang dinyatakan dalam bahagian Pendahuluan
bukunya, iaitu “Aturan rankanya banyak ditiru ... acuan nahu Inggeris dan sedikit-sedikit
nahu Arab” (Za’ba, 1958: viii).

Dari segi istilah pula didapati secara umumnya istilah yang digunakan hampir
sama, hanya beberapa istilah sahaja yang agak berbeza. Hampir semua ahli bahasa
sepakat menggunakan istilah golongan kata (Asmah Hj. Omar, 1980; Abdullah Hassan,
1986; Nik Safiah Karim, 1989), melainkan Za’ba (1940:72) yang menggunakan istilah

3
jenis kata dan Lutfi Abas (1972: 193) kelas kata. Begitu juga istilah yang digunakan bagi
merujuk setiap golongan kata dan subgolongannya. Menurut Nik Safiah (1992: 174),
terdapat semacam kesepakatan dalam memberikan istilah nama (bagi kata nama) dan
perbuatan (bagi kata kerja), tetapi terdapat pelbagai istilah bagi merujuk kata sifat. Ada
yang menggunakan istilah sifat (Abdullah Talib, 1928; Za’ba, 1940; Asmah Hj. Omar,
1980; Abdullah Hassan,1986), keadaan nama (Mohd. Shah Yusof, 1922), rupa nama
(Muhd. Said Sulaiman, 1937), dan adjektif (Asraf, 1978; Nik Safiah, 1989).

Begitu juga bagi perkataan yang tidak dimuatkan dalam golongan nama, kerja
dan adjektif, kata tersebut dimasukkan ke dalam satu golongan yang diistilahkan sebagai
kata tugas (Nik Safiah Karim, 1989; Abdullah Hassan, 1986). Bagi buku tatabahasa yang
dihasilkan sebelum 1940-an, istilah yang digunakan ialah diwal atau diwal kata
(Abdullah Abd. Rahman, 1911; Syed Muhd. Othman Yahya, 1936). Didapati sebilangan
kecil sahaja yang menggunakan istilah kata tugas atau diwal kerana ahli-ahli bahasa yang
lain telah menggolongkannya dalam golongan yang tersendiri.

Dari segi jumlah, penggolongan kata kepada dua golongan merupakan bilangan
yang paling kecil, manakala yang paling banyak ialah sembilan golongan kata. Bagi
jumlah yang paling kecil ini, kata dalam bahasa Melayu telah dikelaskan kepada dua
golongan utama dan setiap golongan utama ini mempunyai beberapa golongan kecil atau
subgolongan. Ini dapat dilihat menerusi Jadual 2 yang berikut:
Jadual 2
Jumlah Golongan Kata Dalam Bahasa Melayu

Golongan Kata / Subgolongan Kata Kata Kata Kata Jumlah


Nama Kerja Adjektif Tugas

Buku / Kertas Kerja

The Grammar of the Malayan Language √ √ *√ √ 3


(Marsden, 1812)

Bustanul Katibin (Raja Ali Haji, 1857) √ √ - √ 3

4
Kitab Permulaan Pertuturan Melayu √ √ *√ √ 3
(Abdullah Abd. Rahman, 1911)

Senjuh Suratan (Mohd Shah Yusof, 1922) √ √ √ √ 3

Malay Grammar (Winstedt, 1927) *√ *√ *√ *√ 2

Kitab Punca Bahasa (Abdullah Talib, √ √ √ √ 9


1928)

Kitab Penanggam Bahasa (Syed Muhd. √ √ *√ √ 3


Othman Yahya, 1936)

Jalan Bahasa Melayu (Muhd. Said √ √ √ √ 9


Sulaiman, 1937)

Pelita Bahasa Melayu (Za’ba, 1940) √ √ √ √ 5

The Study of Wordclasses in Javanese √ √ - - 2


(E.M. Uhlenbeck, 1952)

Some Problems in the Study of Word √ √ √ - 3


Classes in B. Indonesia (A. Teeuw, 1962)

Basic Syntactic Structures in Standard *√ *√ *√ *√ 2


Malay (E.M. F. Payne, 1964)

Sentence Analysis in Modern Malay *√ *√ *√ *√ 2


(M.B. Lewis, 1969)

Nahu Melayu Mutakhir (Asmah Hj. √ √ *√ √ 3


Omar, 1980)

Penerbitan Kata Dalam Bahasa Melayu √ √ √ √ 5


(Abdullah Hassan, 1986)

Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim et. √ √ √ √ 4


al, 1989)

Nahu Melayu Moden (Abdullah Hassan √ √ √ √ 9


dan Liaw Yock Fang, 1994)

√ Golongan Utama
*√ Subgolongan

5
Dalam jadual tersebut, hanya empat golongan kata yang dinyatakan, iaitu kata
nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Ini berdasarkan penggolongan kata oleh
Nik Safiah Karim (1986) (lihat juga Robert, P., 1954: 16, Fries, C.C, 1973: 76-82 yang
melakukan penggolongan kata kepada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata
adverba). Bagi hasil tulisan yang mengandungi jumlah golongan kata yang lebih daripada
empat, golongan tersebut akan dibincangkan dalam huraian di bawah.

Berdasarkan jadual tersebut, penggolongan kata kepada kepada dua golongan


utama dilakukan oleh sarjana-sarjana Barat seperti R.O. Winstedt, (1812), E.M.
Uhlenbeck (1952), E.M.F. Payne (1964) dan M.B. Lewis (1969). Bahasa Melayu, pada
pendapat mereka, perlu digolongkan kepada dua golongan utama dan setiap golongan
utama ini dipecahkan kepada beberapa golongan kecil. Dalam buku Malay Grammar,
misalnya, Winstedt telah mengelaskan kata kepada major class (golongan besar) dan
minor class (gologan kecil). Golongan besar ini terbahagi kepada tiga subgolongan, iaitu
kata nama (substantive), kata kerja (verbals) dan kata adjektif (adjective), manakala
golongan kecil terbahagi kepada enam golongan, iaitu ganti nama (pronoun), angka
(numeral), kata keterangan (adverbs), kata depan (preposition), kata sendi (conjungtions)
dan kata seru (interjection) (Abdullah Hassan, 1986:22-24).

Begitu juga Payne dan Lewis yang mengelaskan kata kepada partikel (particles)
dan kata penuh (full words). Hampir menyamai subgolongan kata oleh Winstedt, partikel
terdiri daripada kata depan (preposition), manakala kata penuh terdiri daripada kata nama
(nominals) dan kata kerja (verbals). Kata kerja kemudiannya dibahagikan kepada bentuk
bukan terbitan (non-derived form) dan bentuk terbitan (derived form). Bagi kata adjektif,
kata tersebut disubgolongkan dalam bahagian bentuk kata bukan terbitan (Payne, 1970:
25-29).

Jelas kelihatan bahawa penggolongan kata kepada dua golongan utama seperti
yang dilakukan oleh orang-orang Barat ini menyamai pengkelasan kata bagi bahasa Indo
Eropah, iaitu kata dibahagikan kepada dua golongan utama, iaitu open classes dan close
classes (Quirk et.al. 1985: 67). Open classes terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata

6
adjektif dan kata adverba, manakala close classes pula terdiri daripada kata tugas.
Bagaimanapun, penggolongan kata yang dilakukan oleh Uhlenbeck dalam artikel The
Study of Wordclasses in Javanese (1952), agak berbeza kerana walaupun beliau
menggolongkan kata kepada dua golongan, tetapi golongan tersebut hanya terdiri
daripada kata nama dan kata kerja. Menurut beliau, kebanyakan bahasa mempunyai
sekurang-kurangnya dua golongan (1952). Walaupun penulis barat ini mempunyai
pendapat yang berbeza-beza dalam menggolongkan kata bahasa Melayu, tetapi mereka
bersetuju bahawa kata dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua kelas kata yang utama,
iaitu kata nama dan kata kerja.

Sementara itu, Marsden (1812), Raja Ali Haji (1857), Abdullah Abdul Rahman
(1911) dan Syed Muhd. Othman Yahaya (1936) telah menggolongkan kata kepada tiga
golongan utama. Golongan utama ini ialah kata nama, kata kerja dan kata tugas,
walaupun istilah bagi golongan yang ketiga digunakan oleh mereka berbeza-beza
(Marsden dan Raja Ali Haji – partikel; Abdullah Abdul Rahman – diwal). Mohd Shah
Yusof (1922), Teeuw, A. (1962) dan Asmah Haji Omar (1980), walaupun turut
menggolongkan kata kepada tiga golongan, iaitu dua golongan utama terdiri daripada
kata nama dan kata kerja, tetapi terdapat perbezaan dari segi golongan kata yang ketiga.
Mohd Shah dan Teeuw menggolongkan kata adjektif sebagai golongan yang ketiga,
manakala Asmah menggolongkan kata adverba.

Penggolongan kata kepada empat golongan hanya dilakukan oleh Nik Safiah
Karim, et al. (1989). Nik Safiah membahagikan kata kepada kata nama, kata kerja, kata
adjektif dan kata tugas. Setiap golongan kata ini dipecahkan kepada beberapa
subgolongan. Sementara itu, Za’ba (1940) dan Abdullah Hassan (1986) menggolongkan
kata kepada lima golongan, tetapi golongan utama yang sama antara kedua-dua ahli
bahasa ini hanyalah kata nama, kata kerja, dan kata sifat. Kata sendi dan kata seruan yang
dianggap oleh Za’ba sebagai golongan utama dimuatkan ke dalam subgolongan kata
tugas oleh Abdullah Hassan. Golongan kata lain yang dianggap sebagai golongan utama
oleh Abdullah Hassan ialah kata keterangan.

7
Abdullah Talib, Muhd. Said Sulaiman dan Law Yock Fang pula membahagikan
kata dalam bahasa Melayu kepada sembilan golongan. Bagaimanapun, jumlah golongan
kata yang banyak ini tidak bererti golongan kata tersebut berbeza dengan golongan kata
oleh ahli-ahli bahasa yang lain. Hal ini demikian kerana kata yang dianggap sebagai
golongan utama oleh mereka dimuatkan ke dalam subgolongan oleh ahli-ahli bahasa yang
lain.

Dari segi kriteria atau kaedah penggolongan kata bahasa Melayu, pada peringkat
awal, tidak banyak buku tatabahasa atau artikel yang membincangkan aspek ini. Yang
dinyatakan hanyalah golongan kata yang terdapat dalam bahasa Melayu tanpa
menyatakan kaedah yang digunakan dalam menentukan golongan kata tersebut. Menurut
Teeuw, kaedah penggolongan kata dalam bahasa Melayu telah dihuraikan oleh Gonda
pada tahun 1949 menerusi artikelnya “Proglegomena tot een theorie der woordsoorten in
Indeonesische talen”. Bagaimanapun, hasil kerja Gonda ini tidak sistematik kerana
kriteria semantik, sintaksis dan morfologi yang digunakan terlalu arbitrari sifatnya (1962:
412).

Oleh itu, Teeuw telah menghasilkan artikel yang bertajuk “Some Problems In The
Study of Word Classes in Bahasa Indonesia” dalam majalah Lingua (1962).
Bagaimanapun, kaedah yang dikemukakan oleh Teeuw lebih tertumpu kepada kata
adjektif tanpa membincangkan golongan kata yang lain. Selepas itu, barulah kaedah atau
cara penggolongan kata bahasa Melayu dibincangkan oleh orang-orang tempatan,
antaranya artikel yang dihasilkan oleh Asmah Hj. Omar (1962, 1968, 1980), Law Yock
Fang (1967), Asraf Hj. Wahab (1978) dan Abdullah Hassan (1986). Didapati tidak ada
kriteria tunggal yang digunakan sebagai kaedah penggolongan kata bahasa Melayu
melainkan gabungan beberapa kriteria. Bahkan, dinyatakan juga kelemahan atau
kekurangan sesuatu kriteria, khususnya apabila satu kriteria sahaja yang digunakan. Hal
ini menyebabkan gabungan beberapa kriteria diperlukan bagi menggolongkan sesuatu
kata.

8
Teeuw (1962:413), misalnya, menggunakan kriteria morfologi dan sintaksis
dalam menentukan golongan kata. Ini dilakukan menerusi paradigma dan valensi kata,
manakala Asmah Hj. Omar menggunakan dua kriteria utama, iaitu semantik dan struktur
(1962: 441; 1993: 163). Dari segi struktur, Asmah membahagikannya kepada internal
structure dan external distribution. Internal sturcture melibatkan kriteria morfologi, iaitu
hubungan antara bentuk kata dasar dengan imbuhannya, manakala external distribution
melibatkan lingkungan kata yang biasa ditempati oleh sesuatu kata dalam rangkai kata
atau ayat. Yang kedua ini melibatkan kriteria sintaksis.

Penggolongan kata seperti ini hampir menyamai kriteria yang digunakan oleh
Law Yock Fang (1967: 306-307;1983: 131-132;1994: 4), iaitu penggolongan kata
dilakukan dalam tiga tahap:
i. ciri morfologi – imbuhan dan maknanya
ii. kedudukan kata dalam kelompok atau rangkai kata
iii. fungsi dan posisi sesuatu jenis kata dalam ayat

Ketiga-tiga kriteria ini turut digunakan oleh Asraf Haji Abdul Wahab (1978:560)
dan beliau mengistilahkannya sebagai kriteria bentuk, tugas dan distribusi kata di
samping kriteria makna. Antara ketiga-tiga kriteria ini, didapati penekanan diberikan
kepada kriteria sintaksis atau fungsian kerana kriteria ini dapat mengenal pasti golongan
sesuatu kata dengan lebih jelas. Penekanan terhadap kriteria fungsian ini juga dapat
dilihat menerusi tulisan Abdullah Hassan (1986: 25). Beliau menggunakan dua kriteria
dalam menentukan golongan kata bahasa Melayu, iaitu berdasarkan fungsi tatabahasa dan
kategori. Dari segi fungsi, diteliti dari segi tugas yang didukung oleh sesuatu kata atau
frasa di dalam ayat. Justeru, secara umumnya kaedah yang digunakan dalam
penggolongan kata bahasa Melayu ini menyamai kaedah yang dilakukan terhadap bahasa-
bahasa lain, khususnya Inggeris, iaitu kaedah tradisional, kaedah formal dan kaedah
fungsian.

9
Kaedah Tradisional

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kaedah tradisional mengutamakan aspek


semantik dan bagi bahasa Melayu, kaedah ini turut digunakan, tetapi digabungkan dengan
kaedah-kaedah yang lain. Bagaimanapun, bagi buku tatabahasa Melayu yang awal,
seperti buku Pelita Bahasa Melayu kriteria semantik ini telah dijadikan asas
penggolongan kata. Hal ini diakui sendiri oleh Za’ba pada bahagian Pendahuluan buku
tersebut dengan menyatakan bahawa “Aturan rangkanya banyak ditirukan kepada acuan
nahu Inggeris dan sedikit-sedikit nahu Arab” (Za’ba, 1958: viii). Oleh itu, aspek
golongan yang merupakan salah satu daripada aspek tatabahasa turut menggunakan
kaedah semantik dalam menentukkan keanggotaan sesuatu kata.

Berdasarkan kriteria semantik kata nama, misalnya, dihuraikan sebagai “kata yang
menamakan orang, tempat atau benda, sama ada benda itu hidup atau tidak”, contohnya
meja, bunga dan kanak-kanak, manakala berjalan, makan dan menulis, iaitu kata yang
menunjukkan perbuatan, dianggap sebagai kata kerja (Asmah Hj. Omar, 1993:163). Di
samping penentuan golongan utama, aspek semantik juga digunakan untuk
mengelompokkan golongan kata kepada beberapa subgolongan. Kata nama, misalnya,
dibahagikan kepada tiga subgolongan, iaitu kata nama khas, kata nama am dan kata ganti
nama berasaskan ciri-ciri makna yang didukung oleh perkataan tersebut Oleh itu, kata
nama khas ditakrifkan sebagai rujukan khusus bagi nama orang, haiwan, benda,
perbadanan, dan seumpamanya, manakala kata nama am ditakrifkan sebagai benda,
perkara, atau konsep yang umum sifatnya (Nik Safiah Karim, 1989: 97-100).

Penggolongan kata berdasarkan kriteria makna ini dapat dilihat dengan jelas
dalam buku tatabahasa khususnya untuk kegunaan sekolah. Menurut Quirk et al.,
pendekatan yang bersifat notional ini sesuai digunakan untuk tujuan pedagogi, tetapi
dalam kajian linguistik definisi golongan kata yang berasaskan konsep tatabahasa lebih
wajar digunakan (Quirk et al., 1985: 74). Hal ini disokong oleh Robert, P. dan beliau
menyatakan bahawa “grammar is a description of how things are said, not of how they
should be said” (1954:5). Tambah beliau lagi “Most English grammars ... describe how

10
things are said by the educated, but of course it would be possible to describe how things
are said by the uneducated or by the semieducated”.

Justeru, penggantungan sepenuhnya terhadap kriteria semantik semata-mata


dalam menentukan penggolongan sesuatu kata adalah tidak wajar. Hal ini demikian
kerana penggolongan unsur-unsur tatabahasa tersebut bersifat nosional, iaitu berdasarkan
tanggapan seseorang pengkaji. Malahan, terdapat beberapa perkataan misalnya jatuh,
tidur, patah dan tenggelam yang merupakan kata kerja yang tidak boleh digolongkan
sebagai kata kerja jika berasaskan kriteria makna kerana perkataan tersebut tidak
memberi gambaran makna sesuatu perbuatan (Asraf Abdul Wahab, 1978: 561).

Hal ini juga telah mengetepikan banyak perkataan yang seharusnya tergolong
dalam kata nama dan kata kerja. Bahkan, disebabkan pergantungan kepada kriteria makna
ini, Za’ba telah mewujudkan satu subgolongan kata kerja, iaitu “perkataan perbuatan
yang tiada terang makna kerja di dalamnya, seperti ada, jadi, boleh dan dengar” (Hashim
Musa, 1973: 7-8). Bagaimanapun, tidak semua penggolongan kata berasaskan kriteria
makna. Bagi kata adjektif, misalnya, penggolongan kata dilakukan berdasarkan fungsi
atau tugasnya. Oleh itu, kata adjektif didefinisikan sebagai kata yang menerangkan nama.
Ini menunjukkan bahawa kaedah yang digunakan dalam menggolongkan kata ini tidak
tekal. Disebabkan kaedah tradisional ini kurang saintifik sifatnya, maka kini beberapa
kriteria lain digunakan, iaitu penggolongan kata perlu berasaskan kriteria formal (bentuk
kata) dan kriteria fungsian atau sintaksis (tugas dan distribusi kata).

Kaedah Formal

Kaedah formal merupakan kaedah yang meneliti kata dari sudut morfologinya.
Kaedah morfologi yang telah digunakan oleh Teeuw ini berdasarkan kaedah yang
digunakan oleh Uhlenbeck bagi penggolongan bahasa Jawa. Menerusi kaedah ini, Teeuw
telah meneliti kata dasar dan kata terbitan dari segi paradigmatiknya. Yang berikut
merupakan contoh kaedah paradigmatik yang digunakan.

11
Keadah paradigmatik
besar-besar
terbesar
maha besar
sebesar itu
sebesar-besarnya

Bagaimanapun, kaedah paradigmatik yang digunakan oleh Teeuw ini tidak sesuai
digunakan terhadap bahasa yang bersifat aglutinatif kerana kaedah ini hanya sesuai
digunakan bagi bahasa yang bersifat fleksi, iaitu bahasa yang memiliki daya urutan dalam
ayat (energy of sequence). Bahasa fleksi juga merupakan bahasa yang menimbulkan
sentence word, iaitu kata yang terkandung di dalamnya pelaku dan perbuatan seperti
bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Sebaliknya, bahasa Melayu bersifat aglutinatif, iaitu
imbuhan memainkan peranan penting dalam morfologinya.

Disebabkan kaedah yang dikemukakan terhadap penggolongan kata masih kurang


mantap, maka Asmah Haji Omar (1962, 1968, 1993 dan 1980), Law Yock Fang (1967,
1983 dan 1994), Asraf Abdul Wahab (1978), Abdullah Hassan (1973, 1986) dan Nik
Safiah Karim, et al. (1989) telah menghuraikan beberapa kaedah lain bagi penggolongan
kata dalam bahasa Melayu. Di samping aspek semantik, aspek morfologi dan sintaksis
turut diteliti, tetapi dari sudut yang sedikit berbeza daripada pendekatan Teeuw.

Berdasarkan ciri morfologi, penggolongan kata diteliti dari aspek imbuhan, iaitu
imbuhan dijadikan ciri bagi menunjukkan keanggotaan sesuatu kata ke dalam golongan
tertentu. Contohnya bagi kata nama, imbuhan yang biasanya membentuk kata nama ialah
imbuhan peN-, per-...-an, pe-...-an, ke-...-an dan -an (Asmah Hj. Omar, 1962: 442; Law
Yock Fang, 1967: dan 1984). Oleh itu, imbuhan ini, apabila digandingkan dengan kata
dasar, akan membentuk kata terbitan yang tergolong dalam kata nama.

Contoh:

12
5a. peN- + kerusi = pengerusi
per-...-an + kerusi = * perkerusian
peN-...-an + kerusi = pengerusian
ke-...-an + kerusi = * kekerusian
–an + kerusi = * kerusian

5b. peN- + sekolah = * penyekolah


per-...-an + sekolah = persekolahan
peN-...-an + sekolah = penyekolahan
ke-...-an + sekolah = * kesekolahan
–an + sekolah = * sekolahan

Nota : Tanda * menunjukkan bentuk tersebut tidak wujud dalam bahasa Melayu
(Asmah Hj. Omar, 1962:442)

Menurut Asraf (1978:560), imbuhan ini merupakan penanda atau markers bagi
sesuatu golongan kata. Selain menyatakan imbuhan bagi setiap golongan, Law Yock
Fang juga memberikan makna bagi imbuhan-imbuhan ini. Misalnya imbuhan ke-...an
dikatakan membentuk kata nama mujarat daripada kata nama dan kata sifat – contohnya
ketuhanan, kemanusiaan dan kecantikan; manakala imbuhan peN- pula mempunyai
hubungan yang erat dengan awalan me-, contohnya melanggar – pelanggaran,
menduduki – pendudukan, dan mengebom – pengebom.

Nik Safiah Karim et al. (1989: 567-8) juga menjadikan imbuhan sebagai salah
satu kriteria penggolongan kata, iaitu setiap golongan kata mempunyai imbuhannya yang
tersendiri. Contoh:
6a. Kata Nama
Awalan Akhiran Apitan Sisipan
pe- -an pe-...-an -el -

13
pem-, pem-...-an --er-
pen-, per-...-an -em-
peng- ke-...-an
ke-

6b. Kata Kerja


Awalan Akhiran Apitan Sisipan
me- -kan me-...-kan
men- -i men-...-kan
meng- meng-...-kan
ber- ber-...-kan
ter- di-...-i
di- ke-...-an
diper-...-kan
6c. Kata Adjektif
Awalan Akhiran Apitan Sisipan
ter- ke-...-an -el-
se- -er-
-em-

Berdasarkan contoh ini, didapati imbuhan semata-mata tidak boleh dijadikan


penanda khusus bagi sesuatu golongan kata kerana terdapat imbuhan tertentu (contohnya
apitan ke-...-an, sisipan -el-, -er-, -em-) yang boleh diimbuhkan kepada kata nama dan
kata adjektif atau awalan ter- yang boleh hadir dalam golongan kata kerja dan kata
adjektif. Oleh itu, untuk membezakan kedua-dua imbuhan ini, Nik Safiah menggunakan
kriteria makna dan fungsian, misalnya kebaratan yang merupakan kata adjektif berbeza
daripada kementerian yang merupakan kata nama abstrak, kerana kebaratan dari segi
fungsinya menerangkan kata nama, manakala kementerian dari segi maknanya
menunjukkan tempat (1989: 129 dan 224).

14
Berdasarkan contoh-contoh di atas, disebabkan kemampuan sesuatu imbuhan
untuk bergabung dengan sesuatu kata dasar adalah berbeza-beza (5a dan 5b), dan sesuatu
imbuhan tidak dapat dijadikan penanda bagi sesuatu golongan kata (contohnya apitan ke-
...-an, sisipan -el-, -er-, -em-), maka, imbuhan tidak boleh menjadi ciri tunggal dalam
menentukan golongan kata. Oleh itu, kaedah fungsian lebih diutamakan apabila
menentukan golongan kata ini.

Kaedah Fungsian - Sintaksis

Kaedah fungsian merupakan kaedah yang meneliti kehadiran kata dalam sesuatu
rangkai kata atau ayat. Teeuw menggunakan istilah valensi bagi menghuraikan perkataan
yang boleh hadir bersama-sama kata adjektif. Contoh:
rumah besar
rumah yang besar
yang besar
amat besar
besar sekali

Berdasarkan kaedah valensi ini, didapati kata adjektif boleh hadir selepas kata
nama (sebagai penerang), dalam frasa relatif dan boleh didahului atau diikuti oleh kata
penguat. Dalam hal ini, Asmah menggunakan istilah penanda (markers) bagi merujuk
kehadiran perkataan-perkataan tertentu dalam sesuatu rangkai kata atau kata yang tipikal
bagi sesuatu golongan kata. Misalnya penanda bagi kata nama ialah mengenai, di dan ke.
Contoh:
7a. mengenai kerusi
sekolah
buku
muka

7b. di kerusi

15
sekolah
buku
muka

7c. ke kerusi
sekolah
buku
muka

Penggunaan penanda ini dianggap lebih sesuai berbanding aspek morfologi


kerana penanda dapat hadir bersama-sama kata nama dengan lebih luas. Bagaimanapun,
Law Yock Fang mempunyai pandangan yang agak berbeza daripada Asmah, iaitu
meletakkan perkataan yang, kata sendi (di, ke dan dengan) dan ganti nama tunjuk (itu, ini)
sebagai penanda kata nama. Contohnya orang yang kurus, di rumah, ke Kuala Lumpur
dan penulis itu.

Asraf (1978:560) juga menggunakan penanda tipikal bagi menunjukkan keahlian


sesuatu golongan kata. Contohnya, perkataan amat dan sangat digunakan sebagai
penanda kata adjektif, manakala kata bilangan sebagai penanda kata nama. Oleh itu, bagi
sesetengah perkataan seperti ada, jatuh dan mati yang tidak mempunyai awalan bagi
menandakan bahawa kata tersebut tergolong dalam kata kerja, penanda kata adjektif
diletakkan di hadapannya (contohnya; *amat ada, *sangat jatuh dan *paling mati).
Didapati rangkai kata seperti ini tidak wujud dalam konsturksi bahasa Melayu dan
menunjukkan bahawa kata ini tidak tergolong dalam kata adjektif. Kehadirannya dalam
ayat menunjukkan bahawa perkataan ini diletakkan pada kedudukan yang sama seperti
kata kerja. Contoh:
8. Orang itu ada di sana.
jatuh di sana.
berdiri di sana.

16
Oleh itu, ada, jatuh dan berdiri digolongkan dalam kata kerja. Justeru, untuk menentukan
sesuatu kelas kata, kriteria bentuk, tugas dan distirbusi merupakan asas dalam pembinaan
ayat yang gramatis. Hal ini demikian kerana ayat yang gramatis mempunyai susunan kata
yang telah tetap, iaitu susunan dari segi kelas kata dan hubungannya dengan kelas kata
yang lain dalam sesuatu ayat. Ayat yang tersusun ini disebut sebagai struktur (Asraf,
1978: 561-562).

Disebabkan beberapa kriteria yang digunakan sukar menentukan golongan kata


dalam bahasa Melayu, misalnya sejumlah kata dalam bahasa Melayu yang secara
morfologinya menjadi anggota dalam golongan kata tertentu, tetapi apabila kata tersebut
hadir di dalam ayat, golongan kata tersebut berubah kepada golongan yang lain, maka
aspek sintaksis sekali lagi dijadikan dasar dalam penggolongan kata bahasa Melayu.
Menurut Robin, R.H. (1964: 224), hubungan sintaksis diteliti berdasarkan tiga dimensi,
iaitu:
i. posisi atau kedudukan sesuatu kata dalam sesuatu struktur.
ii. kehadirannya bersama-sama perkataan lain (co-occurrence).
iii. kemungkinan untuk kata tersebut mengalami penggantian (substitutability).

Dari segi kedudukan kata dalam sesuatu struktur, aspek yang diteliti adalah dari
segi tugas atau fungsi yang didukung oleh kata berkenaan. Menurut Asmah, pola ayat
yang terdapat dalam bahasa Melayu terbahagi kepada dua, iaitu:
i. N1 + V + (N2) : N = kata nama
ii. N1 + n : V = kata kerja
Berdasarkan pola tersebut, contoh ayat yang boleh dibentuk adalah seperti yang berikut:
9. Ali memanggil Ahmad.
subjek perbuatan objek
10. Ahmad tidak mendengar Ali.
Oleh itu, dalam (9), Ali dan Ahmad berfungsi sebagai subjek dan objek, manakala
memanggil berfungsi sebagai kata kerja. Ini menunjukkan kata nama boleh hadir dalam
gatra (slot) subjek dan objek, manakala kata kerja hadir dalam gatra perbuatan. Dari segi
kehadiran kata nama tersebut bersama-sama perkataan yang lain pula bererti kelas kata

17
nama memerlukan kata daripada perangkat kata yang sama atau kelas kata yang lain hadir
bersama-samanya untuk membentuk ayat yang lengkap. Berdasarkan contoh (9) di atas,
didapati kata nama boleh hadir sebelum atau selepas kata kerja.

Dari segi kemungkinan kata tersebut boleh digantikan dengan perkataan lain,
didapati Ali boleh digantikan dengan perkataan bapa, abang, saya atau dia. Contoh:
11. Ali
bapa
abang memanggil Ahmad.
saya
dia

Bagaimanapun, tidak semua kata nama dapat menggantikan perkataan Ali dalam
struktur ayat yang sama (N1 + v + (N2). Contoh:
(12) * Bunga memanggil Ahmad.
(13) * Meja ini memanggil Ahmad.
(14) * Angin memanggil Ahmad.

Walau bagaimanapun, dalam struktur yang berbeza, iaitu N1 + v, bunga, meja dan angin
dapat menggantikan perkataan Ali. Contohnya:
(15) Ali sejuk.
(16) Meja ini sejuk.
(17) Angin sejuk.

Oleh itu, aspek kebolehgantian ini menunjukkan bahawa Ali, bapa, abang, saya,
dia, bunga, meja dan angin mempunyai fungsi yang sama, iaitu sebagai subjek ayat.
Persamaan dari segi fungsi yang didukung oleh setiap kata ini menunjukkan bahawa
perkataan tersebut tergolong dalam golongan yang sama. Contohnya kata nama berfungsi
sebagai subjek, predikat normatif, subjek komplemen, objek, penyamput sipi dan tepat
(Liaw Yock Fang, 1967: 306, 1983: 130).

18
Bagaimanapun, bunga, meja dan angin yang tidak boleh menggantikan Ali dalam
(12), (13) dan (14) menimbulkan subgolongan bagi kata nama. Oleh itu, perkataan Ali,
bapa, abang, saya dan dia digolongkan dalam subgolongan kata nama bernyawa,
manakala bunga, meja dan angin dalam subgolongan kata nama tidak bernyawa. Dapat
disimpulkan bahawa ciri-ciri persamaan menunjukkan kata tersebut tergolong dalam
golongan yang sama, manakala ciri-ciri yang berbeza menunjukkan bahawa kata tersebut
berbeza dari segi subgolongan. Berdasarkan kriteria semantik dan struktur ini, Asmah
menggolongkan kata dalam bahasa Melayu kepada tiga golongan, iaitu benda, karyaan,
adverba (Asmah Hj. Omar, 1983: 20-21).

Justeru, dalam memberikan definisi golongan kata, kriteria-kriteria ini telah


digunakan. Contohnya kata nama didefinisikan sebagai:
i. subgolongan kata benda yang berfungsi pada subjek dan objek ayat.
ii. dari segi makna, kata nama ialah kata yang merujuk kepada sesuatu, baik
yang bernyawa atau tak bernyawa, konkrit atau abstrak.
(Asmah Hj. Omar, 1983: 27)

Abdullah Hassan (1986: 25) juga menggunakan fungsi tatabahasa sebagai kriteria
penggolongan kata. Dari segi fungsi, diteliti dari segi tugas yang didukung oleh sesuatu
kata atau frasa di dalam ayat. Dua fungsi asas kata ialah sebagai subjek dan predikat.
Fungsi-fungsi lain ialah objek dan pelengkap. Dari segi kategori pula diteliti dari segi
kegramatisan yang wujud dalam golongan kata tertentu. Contohnya kata nama
mempunyai kategori atau ciri penunjuk, orang, gender, bilangan dan kasus; manakala
kata kerja mempunyai kategori kala, aspek dan ragam. Di samping itu, kriteria terpenting
dalam menentukan penggolongan kata ialah kriteria sintaksis. Justertu, perkataan yang
mempunyai ciri-ciri sintaksis yang sama dimasukkan dalam golongan kata yang sama
(1986: 30-31). Bagi menentukan subgolongan sesuatu kata, kriteria morfologi digunakan.
Ciri-ciri morfologi digunakan untuk membuat subgolongan daripada golongan yang besar.

Sama seperti kriteria-kriteria yang ditetapkan sebelum ini, Nik Safiah juga
menggunakan kriteria sintaksis di samping kriteria semantik dalam penggolongan kata

19
(1989: 83). Pemilihan kriteria ini diselaraskan dengan status perkataan, iaitu perkataan
sebagai bentuk bebas yang menjadi unsur inti dalam binaan tatabahasa – frasa, klausa dan
ayat. Ayat pada dasarnya mempunyai dua konstituen, iaitu subjek dan predikat.
Berdasarkan pola ayat dalam bahasa Melayu, subjek terdiri daripada frasa nama,
manakala predikat terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi.
Bagi frasa nama, kerja dan adjektif yang merupakan frasa endosentik, maka setiap binaan
frasa tersebut mempunyai satu unsur inti. Unsur ini bagi frasa nama ialah kata nama, inti
bagi frasa kerja ialah kata kerja, manakala inti bagi frasa adjektif ialah kata adjektif.
Berdasarkan kata inti ini, kata dapat dibahagikan kepada golongan kata nama, kata kerja
dan kata adjektif. Kata selain daripada golongan kata yang tersebut digolongkan sebagai
kata tugas dan golongan ini bersifat heterogen. Oleh itu, setiap golongan kata
didefinisikan berdasarkan kriteria sintaksis dan makna. Contohnya, kata nama
didefinisikan sebagai sejumlah kata yang boleh menjadi unsur inti pada binaan frasa
nama dan lazimnya kata ini menamakan orang, tempat atau benda.

Kesimpulan

Daripada keterangan di atas, jelas kelihatan bahawa aspek penggolongan kata


bukanlah suatu kajian yang baharu. Malahan, aspek ini telah dikaji sejak zaman Yunani
lagi. Perkembangan dalam bidang linguistik telah menyebabkan kajian ini
dipertingkatkan dan dimajukan dari semasa ke semasa, khususnya pada masa ini berlaku
perkembangan yang pesat dalam bidang linguistik berkomputer. Hal ini telah membuka
ruang penyelidikan yang baharu dalam kajian ini. Menerusi data yang berjuta-juta
jumlahnya dan perisian tertentu, perkataan yang hadir di dalam sesuatu rangkai kata atau
ayat dapat dikenal pasti golongannya. Dalam bidang linguistik berkomputer dengan
tumpuan khusus terhadap data korpus, kajian awal yang dilakukan ialah penandaan
(tagging) golongan kata yang terdapat dalam sesuatu bahasa.

Bagi bahasa Melayu, aspek penggolongan kata merupakan salah satu aspek yang
telah lama dikaji oleh ahli-ahli bahasa sama, ada barat mahupun tempatan. Menerusi

20
buku-buku tatabahasa yang dihasilkan, didapati aspek ini telah wujud sejak abad ke-19
lagi. Sejak itu, aspek ini terus dibincangkan terutamanya bagi menentukan kelas kata
dalam bahasa Melayu. Beberapa kaedah telah diterapkan dalam menentukan golongan
kata bahasa Melayu. Pada peringkat awal, bahasa Melayu yang terpengaruh dengan
tatabahasa Inggeris turut menerapkan kriteria semantik dalam menentukan golongan kata
bahasa Melayu.

Bagaimanapun, perkembangan dalam kajian linguistik di Barat telah memberi


kesan terhadap kaedah penggolongan kata bahasa Melayu. Kaedah tunggal yang bersifat
tradisional telah digabungkan dengan kaedah yang lebih formal dalam mencirikan
golongan kata. Walaupun terdapat ketidakseragaman dari segi istilah yang digunakan,
definisi penggolongan kata, jumlah golongan kata, serta kaedah yang dijadikan asas
penggolongan, namun terdapat kesepakatan dalam menentukan golongan kata pada masa
ini. Oleh itu, aspek semantik tidak lagi dijadikan aspek tunggal, tetapi aspek sintaksis,
bentuk dan taburan kata dalam ayat turut diambil kira dalam penentuan golongan kata
dalam bahasa Melayu.
Rujukan

Abdullah Hassan. (1973). “Golongan-golongan Kata Dalam Bahasa Melayu”, dlm.


Dewan Bahasa. Jilid XVII. Bil. 8. Ogos. 368-377.
Abdullah Hassan. (1974). “Pertembungan Bahasa dan Kesannya Terhadap Bahasa
Melayu”, dlm. Dewan Bahasa, Mei.
Abdullah Hassan. (1986). Penerbitan Kata Dalam Bahasa Malaysia. Petaling Jaya:
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Asmah Hj. Omar. (1962). “Serba Sedikit Tentang Tatabahasa – Tatakalimat Bahasa
Melayu. dlm. Dewan Bahasa, Jilid VI. Bil. 10. Okt. 440-452.
Asmah Hj. Omar. (1964). “Ciri-ciri Khusus untuk Gatra”. dlm. Dewan Bahasa, Jilid VIII.
Bil. 11. Nov. 499-509.
Asmah Hj. Omar. (1993). “Word Classes in Malay”. dlm. Essays on Malaysia
Linguistics. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Hj. Omar. (1993). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Asraf Abdul Wahab. (1978). “Beberapa Prinsip Dasar untuk Tatabahasa Melayu” dlm.
Dewan Bahasa. Jilid 22. Bil. 8. 559-571.
Beck, D. (2002). The Typology og Partds of Speech Systems. New York and London:
Routledge.

21
Bhat, D.N.S. (1994). The Adjectival Category: Criteria For Differentiation And
Identification. Amsterdam/Philadelphia: John Benjamins Publishing Company.
Bloch, B. dan Trager, G.L. (1942). Outline of Linguistic Analysis. USA : Linguistic
Society of America.
Boleda, G. Toni Badia, Eloi Battle. (2004). “Acquisition of Semantic Classes for
Adjectives From Distributional Evidence” dlm. International Journal of Corpus
Linguistics.
Boleda, G. (2006). Automatic Acquisition of Semantic Classes for Adjective. Ph.D
Thesis. Pompeu Fabra University.
Broderick. J.P. (1975). Modern English Linguistics: A Structural and
Transformational Grammar. New York: Thomas Y. Crowell Co.
Cristal, D. (1967). “English” dlm. Lingua. Amsterdam: North Holland Co.
Crume, George (1978). A Grammar of English Language. Volume 1. Parts of Speech.
Essex: Verbatim.
Fawcett, R. (2000). A Theory of Syntax For Systemic Functional Linguistics.
Amsterdam : John Benjamins Publishing Company.
Fries, C.C. (1973). The Structure of English: An Introduction of English Sentences.
London: Longman.
Gleason, H.A. (1965). Linguistics and English Grammar. New York: Holt, Rinehart
and Winston Inc.
Halliday, M.A.K. (1994). Functional Grammar Second Edition. London: Edward
Arnold.
Hamilton, A.W., 1947. “The First Dutch-Malay Vocabulary”, JMBRAS, Vol.XX, Part 2.
Harimurti Kridalaksana. (1975). “Pandangan Raja Ali Haji tentang kelas kata dalam
Bahasa Melayu”. dlm. Dewan Bahasa. Jilid 19. Bil. 8. Ogos. 526-532.
Hashim Musa. (1973). “Perbandingan Ringkas di antara konsep tatabahasa Tradisional
dengan Konsep Tatabahasa Formal/Strukturil yang Digunakan di dalam Perlakuan
Tatabahasa Melayu”. dlm. Dewan Bahasa. Jilid XVII. Bil. 1. Jan. 6-19.
Hill, A.A. (1958). Introduction to Linguistic Structures. New York: Harcourt, Brace
and Company.
Ismail Dahaman, 1990. “Sejarah Perkembangan Tulisan Rumi”, dlm. Jurnal Dewan
Bahasa, Ogos.
Jespersen, O. (2007). The Philosophy of Grammar. London and New York: Routledge
Taylor and Francis Group.
Jurafsky, D. dan James H. Martin. (2000). Speech and Language Processing. New
Jersey: Prentice Hall.
Koerner, E.F.K. (1978). “Bloomfieldian Linguistics and The Problem of Meaning” dlm.
Studies in The History of Linguistics. Vol. 19. Amsterdam : John Benjamins.
Lewis, M.B. (1969). Sentence Analysis in Modern Malay. Cambridge: University Press.
Lutfi Abas. (1972). Linguistik Deskriptif dan Nahu Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lutfi Abas. (1985). “Analisa Satu Aspek Bahasa Melayu (Kata Nama) Berdasarkan
Strukturalisme” dlm. Strukturalisme: Satu Tinjauan Multidisiplin. Kuala
Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Marsden,W. (1884). A Grammar of the Malayan Language with an Introduction by
Russell Jones. Singapore: Oxford University Press.

22
Magnusson, R. (1954). Studies in the Theory of the Parts of Speech. Copenhagen:
Lund. C.W.K.. Gleerap.
Michael, I. (1970). English Grammatical Categories and The Tradition To 1800.
Cambridge: Cambridge University Press.
Mohd Taib Osman. (1976). “Raja Ali Haji of Riau – A figure of transition or the last of
the pujanggas?” dlm. Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan. Essay
presented to Pendeta Za’ba. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan
Sukan.
Nik Safiah Karim. (1980). “Penghasilan tatabahasa Bahasa Melayu: Satu tinjauan
permulaan”. dlm Bibliografi Tatabahasa Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya.
Nik Safiah Karim. (1985). “Strukturalisme dalam Ilmu Linguistik” dlm. Strukturalisme
Satu Tinjauan Multidisiplin. Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.
Nik Safiah Karim. (1992). “Tatabahasa Bahasa Melayu 1900-1940”. dlm Prosiding
Persidangan Antarabangsa Linguistik Melayu. Kuala Lumpur: Persatuan
Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim et, al. (1995). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Payne, E.M.F. (1970). Basic Syntactic Structures in Standard Malay. Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Parera, Jos Daniel. (1987). Studi Linguistik Umum dan Historis Bandingan. Jakarta:
Penerbit Erlangga. Hlm. 10-15).
Parera, Jos Daniel. (1993). Sintaksis Edisi Kedua. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.
Parera, Jos Daniel. (1994). Morfologi Bahasa Edisi Kedua. Jakarta: PT Gramedia
Pustaka Utama.
Parker, F. (1994). Linguistik untuk Bukan Ahli Linguiatik. Terj. Raja Rahawani Raja
Mamat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pike, K.L. (1982). Linguistics Concepts : An Introduction to Tagmemics. London:
Universiti of Nebraska Press.
Pike, K.L. and Pike, E.G. (1977). Grammatical Analysis. Dallas: The Summer Institute
of Linguistics and The University of Texas at Arlington.
Quirk, R., Greenbaum, S., Leech, G. dan Startvik, J. (1985). A Comprehensive
Grammar of the English Language. New York: Longman.
Rastall, P.R. (1995). A Functional View of English Grammar. Lewiston: The Edwin
Mellen Press.
Robert, P. (1954). Understanding Grammar. New Yock: Harper and Row.
Robin, R.H. (1964) General Linguistics : An Introductory Survey. London: Longmans.
Robin, R.H. (2003). Sejarah Ringkas Linguistik. Terj. Noor Ein Mohd Noor. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Teeuw, A. (1962). “Some Problems in The Study of Word-Classes in Bahasa Indonesia”.
dlm. Lingua. Amsterdam: North-Holland Publishing Company. Vol. XI.
Trueswell, R. (2004). Attributive Adjectives and the Nominals the Modify. M.Phil
Thesis. University of Oxford.

23
Uhlenbeck, E.M. (1952). “The Study of Wordclasses in Javanese”. dlm. Lingua.
Amsterdam: North Holland Publishing Company. Vol. III. Feb. 321-353.Waverly
Press. Inc.
Winstedt, R.O. (1957). London: Oxford University Press.
Yock Fang, Liaw. (1967). “Ilmu bahasa dan penggolongan jenis kata dalam Bahasa
Melayu”. dlm. Dewan Bahasa. Jilid XI. Bil. 7. Julai. 304-316.
Yock Fang, Liaw dan Abdullah Hassan. (1994). Nahu Melayu Moden. Kuala Lumpur:
Fajar Bakti.
Za’ba. (1958). Pelita Bahasa Melayu Penggal 1. Kuala Lumpur: Standard Engravers &
Art Printers.
Zaharah Buang (1985). “Strukturalisme: Kajian Kes Linguistik” dlm. Strukturalisme:
Satu Tinjauan Multidisiplin. Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.

24

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai