Anda di halaman 1dari 4

FRIDAY, OCTOBER 22, 2010

Kuunu Rabbaniyyin

Tidak mungkin bagi seseorang yang telah diberi kitab oleh Allah, serta hikmah dan
kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia, “Jadilah kalian penyembah-
penyembahku, bukan penyembah Allah!” Tetapi (dia berkata), “Jadilah kalian Rabbaniyyin
kerana kalian mengajarkan al-Kitab dan kerana kalian tetap mempelajarinya.” (surah Ali
Imran; 3:79)

Ketika berbicara tentang tarbiyah, seringkali ayat di atas dijadikan sebagai dalil. Apakah
kisah di sebalik penurunan ayat tersebut?

Ibnu Abbas menceritakan bahawa pada suatu hari, pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani
Najran berkumpul di hadapan Rasulullah, lalu baginda mengajak mereka kepada Islam.
Lantas Abu Rafi’ al-Quradhi, salah seorang daripada pendeta Yahudi yang hadir berkata,
“Hai Muhammad! Apakah kamu mahu kami menyembahmu sebagaimana golongan Nasrani
menyembah Isa bin Maryam?”

“Apakah itu yang engkau kehendaki dari kami wahai Muhammad dan kepadanya kamu
mengajak kami?” seorang pendeta Nasrani Najran pula bersuara.

Lalu Rasulullah berkata, “Kami memohon perlindungan dengan Allah daripada menyembah
selain Allah! Atau kami memerintahkan untuk beribadah kepada selain Allah! Bukanlah
dengan tujuan itu aku diutuskan dan bukan pula dengan tujuan itu aku diperintahkan!”

Lalu Allah menurunkan ayat di atas beserta ayat seterusnya (3:80) bagi menjawab
pertuduhan keji yang dilemparkan. (HR al-Baihaqi dan Ibnu Ishaq)

Dalam ayat tersebut Allah menjelaskan bahawa dakwah Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wasallam adalah menyeru umat manusia agar menjadi golongan Rabbani; Kunu
Rabbaniyyin. Kerana itu tarbiyah yang baginda wariskan kepada para sahabat, seterusnya
para tabi’in, kemudian itba’ tabi’in dan berterusan sehinggalah ke zaman kini adalah
bertujuan membentuk insan Rabbani.

Apakah maksud Rabbaniyyun? Para ulama bahasa dan tafsir telah membahaskan
pengertian Rabbaniyyun dengan sangat luas. Kendati demikian, ia tidak terkeluar daripada
konsepnya yang berpaksikan kepada penisbahan kalimah tersebut kepada kalimah Rabb.
Dikemukan beberapa pandangan ulama dalam hal ini:

1. Abu Mansur al-Azhari dalam Tahzibul Lughat


 a. Pendapat Abu al-Abbas: Rabbaniyyun bermaksud Ulama.
 b. Pendapat pakar bahasa Arab terkenal, Sibawayh: tambahan
huruf Alif dan Nun pada kalimah Rabb (rabbANi) bertujuan mengkhususkan pengetahuan
tentang Rabb, tidak pada yang lain. Jadi Rabbani adalah orang yang memiliki ilmu tentang
Rabb.
2. Ibnul Manzur dalam Lisanul Arab
 a. Rabbani ialah orang yang memiliki ilmu tentang Rabb. (al-maushuf bi ‘ilmi ar-
Rabb).
 b. Ibnu al-Athir: Rabbani dinisbahkan kepada Rabb dengan
tambahan alif dan nun untuk mubalaghah (menunjukkan bersangatan)
 c. Orang alim yang mendalam ilmu dan agamanya.
 d. Orang alim yang beramal dengan ilmunya.
 e. Seorang yang telah mencapai darjat yang tinggi dalam keilmuan.
 f. Abu ‘Ubaid menyebut ungkapan seorang ulama dalam ilmu al-Quran,
bahawa Rabbaniyyin ialah ulama yang mengetahui halal dan haram, perintah dan
larangan.
 g. Zirri bin Abdullah mentafsirkan [kunu rabbaniyyin] sebagai hukama`
‘ulama (golongan hukama` bijak pandai dari kalangan ulama).
3. Muhammad Jawwad Mughniyah mentafsirkan [kunu rabbaniyyin] sebagai golongan yang
berilmu dan beramal dengan perintah Allah. (Tafsir al-Mubin)

4. Ibnu Kathir: al-‘Ulama wal ‘Ubbad (para ulama dan ahli ibadah). Tegasnya lagi mereka
ialah hukama` ‘ulama fuqaha` seperti yang dinyatakan oleh para ulama salaf. (Tafsir al-
Qur`an al-‘Azhim)

5. Sayyid Muhammad Hussein at-Tabataba`i: Golongan yang mengetahui dengan sebenar-


benarnya mengenai al-Quran dan bersaksi ke atasnya dengan sebenar-benar penyaksian,
yakni dengan memelihara hukum hakam yang ada dalamnya, menjelaskan dan menjadi
saksi kebenarannya. (al-Mizan fi Tafsir al-Qur`an)

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud;

Sungguh, Kami yang menurunkan kitab Taurat, dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya. Yang
dengan kitab itu para Nabi yang berserah diri kepada Allah memberi keputusan atas perkara
orang-orang Yahudi, demikian juga Rabbaniyyun dan pendeta-pendeta mereka. Kerana
mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi
terhadapnya. (surah al-Ma`idah; 5:44)
Dalam ayat ini, Allah menyebut tiga golongan yang tunduk patuh kepada perintah Allah,
memelihara kitab Allah dan menjadi saksi ke atasnya, iaitu para Nabi,
golongan Rabbani dan Ahbar (pendeta-pendeta).

6. Syeikh Husnain Muhammad Makhluf: Ulama yang mengajarkan ilmu dan benar-benar
faqih dalam agama. (Kalimat al-Qur`an Tafsir wa Bayan)

7. Dr Yusuf al-Qardhawi: Rabbaniyyun adalah kalimat dinisbahkan kepada Rabb. Insan


Rabbani ialah seseorang yang mempunyai hubungan erat dengan Allah, alim tentang
agama-Nya serta mengajarkannya. (al-Khoso`is al-‘Ammah lil Islam)

Dalam al-Quran, istilah Rabbani disebutkan sebanyak tiga kali dalam ayat yang berbeza.
Dua daripadanya telah disebutkan di atas iaitu surah Ali Imran; 3:79 dan surah al-Ma`idah;
5:44. Satu lagi ialah dalam surah al-Ma`idah juga, ayat 63;

Mengapa Rabbaniyyun dan para pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan
perkataan bohong dan memakan yang haram? Sungguh sangat buruk apa-apa yang
mereka perbuat. (surah al-Ma`idah; 5:63)

(Artikel ini ialah saduran dari buku bertajuk Tasawwur Rabbani Menurut al-Quran dan
as-Sunnah, karangan Ustaz Ramli Awang, terbitan al-Hidayah Publisher, 1997)
________________________________________

Demikian perbahasan ulama berkaitan maksud Rabbaniyyun. Dari perbahasan ini dapat
diringkaskan sebagai berikut:

1. Kalimah Rabbani adalah dinisbahkan kepada kalimah Rabb.

2. Insan Rabbani ialah insan yang sentiasa berhubungan erat dengan Tuhannya, dengan
mendalami ilmu agama, mengamalkan perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

3. Insan Rabbani sentiasa berhubungan erat dengan al-Quran dan mendalami isi
kandungannya. Kerana itulah Allah menyebut;
Jadilah kalian Rabbaniyyin kerana kalian mengajarkan al-Kitab dan kerana kalian tetap
mempelajarinya.

4. Kerana itu juga proses tarbiyah untuk membentuk insan Rabbani tidak boleh tidak
perlulah sentiasa berpegang dengan pengajaran al-Quran dan Sunnah Nabi kerana tanpa
kedua-duanya kita akan menyimpang dari manhaj Rabbani dan Nabawi.

5. Allah juga menggunakan fi’il mudhori’ (tu’allimuna dan tadrusuna) menunjukkan proses
tarbiyah adalah madal hayah, berlaku sepanjang hayat.

Jadi, setelah meneliti penjelasan di atas, adakah kita juga tergolongan dalam kalangan
Rabbaniyyun? Sedangkan kita bukanlah ulama dan masih terlalu amat banyak pelajaran
dalam bidang agama yang belum kita pelajari?

Sekalipun demikian, kita tetap mengharapkan Allah menggolongkan kita dalam golongan ini,
selagi kita menapakkan kaki di jalan tarbiyah, atas manhaj yang benar, berpandukan al-
Quran dan Sunnah. Kita sedang dibentuk menjadi golongan tersebut, insya ALLAH!

Seeru ‘ala barakatillah.

Anda mungkin juga menyukai