Anda di halaman 1dari 1

Etika Jurugambar

Etika Jurugambar Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM Fotografi digital merupakan hobi yang sangat mengasyikkan. Ia memberi peluang kepada seseorang untuk menzahirkan kreativiti dengan cara yang agak mudah kerana apa yang perlu dilakukan ialah mencari subjek yang dikehendaki dan merakam foto dengan teknik yang sesuai. Lengkuk pembelajaran teknik juga agak mudah berbanding dengan bidang seni yang lain seperti seni lukis yang memerlukan tempoh pembelajaran yang lama. Dengan teknologi digital, sesiapa sahaja boleh menikmati fotografi dan mahir dalam tempoh yang singkat. Ditambah lagi dengan adanya internet, jurufoto boleh berkongsi ilmu dan juga hasil karya masing-masing. Dalam keghairahan untuk mencuba perkara baru dalam fotografi, sama ada teknik mahupun perubahan subjek, kita mungkin juga alpa dengan etika yang wajar. Apa yang dimaksudkan ialah bila mana fotografi itu menjadi gangguan kepada orang lain, terutamanya apabila kita merakam foto manusia. Tidak semua orang suka gambar mereka dirakam, terutamanya tanpa izin. Lebih lanjut, mereka mungkin tidak suka jika foto mereka dipaparkan di internet untuk dilihat oleh seluruh dunia. Ini lebih kritikal jika gambar tersebut tidak mencerminkan invididu terbabit sebagaimana yang dikehendakinya seperti gambar kandid ketika menyuap makanan. Saya rasa kebanyakan orang tidak mempunyai niat yang buruk untuk memalukan subjek di dalam foto sebegini, tetapi kita perlu juga sensitif terhadap keterbukaan individu berkenaan. Jika kita mengambil gambar jalanan secara kandid, adalah lebih elok jika indentiti manusia di dalam foto berkenaan tidak ditonjolkan dengan jelas agar kita tidak mendatangkan masalah dengan tidak sengaja. Apa yang lebih memeningkan ialah apabila ada segelintir jurufoto yang suka mengambil gambar candid berunsur seksual. Adakala saya melihat foto di forum yang hanya menunjukkan bahagian tubuh wanita yang mengghairahkan secara kandid. Pernah juga berlaku di majlis pertunjukan fesyen di mana seorang jurugambar dilihat cuba mengambil gambar dari bawah skirt seorang model. Perbuatan sebegini mencemarkan imej jurufoto secara keseluruhan dan membawa pandangan serong kepada penggiat foto. Etika tidak membataskan kreativiti dalam fotografi tetapi ia adalah garis panduan untuk melahirkan kreativiti dengan terpimpin. Jurufoto yang berhemah tidak perlu bergantung kepada populari murahan dengan menayangkan foto separa lucah yang tidak membawa apaapa erti. Apa pendapat anda mengenai etika jurugambar? Harap anda dapat kongsikan pandangan anda. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih. Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Anda mungkin juga menyukai