Anda di halaman 1dari 5

1.

2 REKREASI AKTIF

Semasa Revolusi Industri berlaku pada era 1970-an, pekerjaan di United Kingdom lebih tertumpu kepada sektor perkilangan. Walau bagaimanapun pada 1980-an, terdapat suatu pergerakan yang menjurus ke arah dasar ekonomi perkhidmatan di UK, di mana orang kurang lagi aktif di tempat kerja. Hasilnya, semakin ramai pekerja mempunyai lebih banyak masa terluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti rekreasi. Fenomena ini kemudian meningkat dari tahun ke tahun dan sejak akhir-akhir ini timbul pula aktiviti yang luar biasa dan berbahaya seperti bungee jumping.

1.2.1 Ciri-ciri Rekreasi Aktif Rekreasi aktif banyak melibatkan aktiviti fizikal (Rajah 6.1). Pada zaman ini, ramai orang lebih cenderung melakukan rekreasi aktif. Ini kerana ia memberikan pengalaman, cabaran dan keseronokan kepada individu. Berikut ialah ciri-ciri rekreasi aktif: (a) Kegiatan sukan, sama ada sebagai pemain atau penonton golf, bola sepak, berenang, bermain tenis, boling, gimnastik. (b) Rekreasi luar suka membawa kereta, bersiar di tepi pantai, berjalan atau berkelah. (c) Melancong lebih dari satu malam membuat perjalanan yang jauh, lawatan, cuti hujung minggu dan bercuti.

1.2.2 Aktiviti-aktiviti Aktif

Pada masa ini anda mungkin sudah mendapat gambaran mengenai aktiviti-aktiviti rekreasi aktif. Seperti yang anda ketahui, aktiviti-aktiviti rekreasi aktif banyak melibatkan kegunaan fizikal berbanding rekreasi pasif. Dengan erti kata lain, rekreasi aktif menggunakan lebih tenaga.

1.2.3 Sumbangan kepada Gaya Hidup Sihat

Rekreasi juga merupakan satu senaman. Oleh itu kebaikan atau sumbangannya terhadap gaya hidup adalah amat besar kerana dengan berekreasi, anggota tubuh badan kita sentiasa bergerak. Secara tidak langsung ia menyebabkan badan anda berpeluh, membakar kalori dan mengurangkan lemak yang berlebihan di dalam badan. Rekreasi aktif banyak menyumbang kepada kesihatan fizikal kerana ia melibatkan aktiviti-aktiviti permainan. Selain itu rekreasi aktif juga boleh meningkatkan stamina anda. Ini kerana kebanyakan rekreasi

aktif menggunakan ketahanan kardiovaskular atau aerobik. Contohnya, jika anda selalu berjoging atau berjalan kaki dengan masa dan kaedah yang betul bukan sahaja stamina anda yang meningkat tetapi juga tahap kesihatan anda. Rekreasi aktif juga dapat membantu dari segi emosi.

Apabila anda melakukan perkara-perkara yang anda gemar seperti bermain bola sepak bersama-sama rakan, anda akan berasa gembira. Hasilnya, anda juga akan berasa ceria dan tenang menempuh rutin harian. Semangat kerjasama sesama sendiri juga wujud di dalam rekreasi aktif. Contohnya bila anda menyertai perlawanan bola jaring atau futsal, kerjasama antara rakan sepasukan adalah penting selain daripada kemahiran dan kecergasan. Ini kerana ia membentuk satu pemahaman yang mantap apabila anda bermain dan merupakan faktor utama memenangi sesuatu perlawanan.

1.3 REKREASI PASIF

Walaupun pada masa kini rekreasi aktif menjadi pilihan orang ramai, masih terdapat lagi ruang untuk rekreasi pasif. Sekali lagi, corak kerja di sesuatu negara memberi kesan kepada aktiviti masa lapang. Semasa era 1970an, ekonomi UK dilihat sebagai orang sakit di Eropah. Ia merosakkan disebabkan tidak efektif, perhubungan industri yang tidak baik dan kejatuhan produktiviti. Sejak pada masa itu ekonomi UK telah melalui transformasi yang dramatik dan banyak penyakit lampau telah dapat diubati. Namun begitu, perubahan ini bermakna ramai orang sekarang bekerja dengan bersungguh-sungguh sehingga

menyebabkan tekanan di tempat kerja. Bagi golongan ini, rekreasi pasif seperti membaca atau mendengar muzik adalah cara terbaik menghilangkan stres dan tekanan kerja. Selalunya terdapat masalah untuk membezakan kegiatan aktif dan kegiatan masa lapang, dan dalam kebanyakan kes, orang lebih gemar menggabungkan kedua-duanya. Justeru itu, sesetengah orang akan membahagikan masa lapang mereka kepada aktiviti yang dilakukan di dalam dan di luar rumah.

1.3.1 Ciri-ciri Rekreasi Pasif

Secara dasarnya konsep rekreasi adalah sama, iaitu melakukan aktiviti yang anda suka pada waktu lapang. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan di antara rekreasi aktif dan rekreasi pasif. Antara perbezaan ketara di antara kedua-dua rekreasi ini ialah dari segi aktiviti. Rekreasi aktif banyak melibatkan tenaga dan fizikal seperti bermain bola dan mendaki gunung. Manakala, rekreasi pasif berlainan kerana ia kurang menggunakan tenaga atau kekuatan fizikal berbanding rekreasi aktif. Ia lebih kepada kaedah relaksasi yang boleh menghiburkan mereka dari segi emosi dan psikologi.

Antara ciri-ciri rekreasi pasif adalah: (a) Aktiviti yang dibuat di rumah menonton TV, membaca, mendengar muzik, bercucuk tanam dan melakukan hobi lain. (b) Aktiviti berunsur sosial yang tinggi menghibur atau melayan kawan atau saudara, makan di luar dan menghadiri majlis keramaian. (c) Aktiviti kebudayaan, pembelajaran dan minat kepada perkara-perkara artistik pergi teater, konsert, pameran dan muzium.

1.3.2 Aktiviti-aktiviti Pasif

Aktiviti-aktiviti rekreasi pasif mempunyai perbezaan dengan rekreasi aktif di mana ia banyak melibatkan aktiviti relaksasi. Pada zaman sekarang, kebanyakan orang lebih suka berekreasi pasif dengan menonton televisyen atau mendengar radio. Berdasarkan statistik aktiviti-aktiviti rekreasi di Amerika dari tahun 1987 ke 1996, kemunculan teknologi seperti televisyen dan radio memberi impak yang ketara dalam cara mereka menghabiskan masa lapang mereka.

1.3.3 Sumbangan kepada Gaya Hidup Sihat

Seperti yang anda sudah ketahui rekreasi pasif tidak banyak menggunakan tenaga seperti rekreasi aktif. Namun begitu ia tetap memberi kebaikan atau sumbangan kepada gaya hidup sihat. Rekreasi pasif adalah penting di dalam gaya hidup sihat kerana ia memberikan keseronokan atau hiburan kepada seseorang dari segi psikologi. Apabila anda berasa ceria atau seronok, anda akan bertambah sihat. Ini disebabkan jiwa anda lebih tenang dan tidak mengalami tekanan. Cara terbaik memulihkan seseorang yang menghadapi tekanan atau stres ialah dengan menenangkan mereka dengan relaksasi, keseronokan, kegembiraan dan hiburan. Rekreasi pasif juga memupuk semangat perpaduan kerana ia menggalakkan pergaulan dengan orang ramai. Selain itu, ia juga boleh merapatkan perhubungan sosial anda dengan keluarga, rakan dan masyarakat. Walaupun rekreasi pasif tidak menggunakan tenaga yang banyak seperti rekreasi aktif, ini tidak bermakna ia tidak baik. Sebagai contohnya bercucuk tanam juga adalah rekreasi pasif, tetapi ia tetap mengeluarkan peluh. Dengan erti kata lain ia juga memberi sumbangan yang sama iaitu meningkatkan kesihatan. Namun jika anda selalu menghabiskan masa dengan menonton televisyen atau mendengar radio tanpa melakukan pergerakan yang boleh mengeluarkan peluh, ini tidak baik untuk kesihatan. Ia boleh menambahkan lemak berlebihan serta meningkatkan kolesterol dalam badan anda dan seterusnya mendedahkan anda kepada penyakit-penyakit yang berbahaya. Oleh itu anda bukan sahaja perlu menjaga pemakanan atau kesihatan dengan bersenam, tetapi anda juga mesti menjaga mental dan emosi anda sekali. Apabila kesemua ini dapat diseimbangkan, hidup anda akan menjadi lebih sihat, ceria dan cergas.

1.4 LANGKAH-LANGKAH DAN PROSEDUR KESELAMATAN SEWAKTU BEREKREASI

Seperti yang anda ketahui rekreasi biasanya melibatkan aktiviti fizikal seperti bermain, melakukan senaman, mendaki gunung dan sebagainya. Aktiviti sedemikian mungkin boleh mendedahkan seseorang kepada risiko yang tidak diingini seperti kecederaan atau masalah kesihatan. Ini bukan kerana aktiviti itu berbahaya tetapi disebabkan oleh kecuaian manusia. Oleh yang demikian langkah-langkah dan prosedur keselamatan amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini dari berlaku.

Berikut adalah beberapa langkah keselamatan yang harus anda patuhi semasa berekreasi: (a) Pakai pakaian yang sesuai. (b) Anda mesti mengetahui tahap kesihatan anda sebelum menyertai aktiviti-aktiviti sebegini. (c) Pastikan kelengkapan atau peralatan yang digunakan mencukupi. (d) Pastikan peralatan atau kemudahan yang digunakan selamat dipakai. (e) Pastikan keadaan persekitaran selamat. (f) Sediakan peti kecemasan dan catatkan nombor ambulans. (g) Sentiasa ikut peraturan yang disediakan.

Anda mungkin juga menyukai