Anda di halaman 1dari 4

Penulisan Akademik

Teori Konstruktivisme dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Matematik.


Konstruktivisme bermaksud pembinaan pengetahuan. Justeru kosntruktivisme
merupakan teori di mana murid-murid ialah pembina pengetahuan, bukanlah penerima
pengetahuan. Individu sentiasa membina pengetahuan sendiri berasaskan pengetahuan
atau pengalaman sedia ada kepada pengetahuan atau pengalaman baru. Impaknya, murid-
murid akan lebih dapat memahami serta mengingat sesuatu pengetahuan baru itu dengan
masa yang lebih lama. Teori konstruktivisme merupakan teori yang amat sesuai digunakan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Terutama untuk sistem pendidikan
terbaru iaitu KSSR yang ingin mengutamakan proses PdP berpusatkan murid. Teori ini
bukan sahaja dapat membantu murid-murid untuk berdikari menyelesaikan sesuatu
permasalahan, malah menjadikan murid benar-benar memahami sesuatu pembelajaran
tersebut.
Terdapat ramai ahli konstruktivisme yang mengkaji tentang teori konstruktivisme ini,
pengkaji terawal tentang teori ini ialah Giambatista Vico. Menurut beliau, ... one only knows
something if one can explain it (Yager, 1999). Ini bermakna jika murid dapat menerangkan
apa yang dipelajarinya, maka murid itu sudah memahami pembelajaran tersebut. Untuk
murid mempelajari sesuatu adalah lebih baik membiarkan murid tersebut meneroka sendiri
tentang sesuatu pembelajaran, namun demikian, guru haruslah membimbing murid-murid
tersebut. Contohnya, dalam mata pelajaran matematik tajuk masa dan waktu, guru boleh
membantu murid meneroka sendiri konsep dan perkaitan antara hari dengan jam dengan
menyoal mereka tentang perkara-perkara yang boleh membuatkan mereka berfikir. Jika
murid-murid dapat menerangkan perkaitan antara hari dengan jam iaitu 1 hari bersamaan
dengan 24 jam serta dapat menerangkan penggunaan masa dalam kehidupan seharian
mereka seperti jadual waktu, jadual rancangan televisyen atau masa yang diambil dalam
sesuatu perjalanan, maka murid tersebut sudah berjaya memahami tajuk tersebut. Ini
bermakna, murid sudah menyedari akan kewujudan matematik dalam kehidupan seharian
mereka dan perkara ini akan dapat mengembangkan lagi pengetahuan mereka tentang
masa dan waktu.
Perspektif tentang teori konstruktivisme juga terbentuk daripada hasil-hasil kajian
yang dijalankan oleh beberapa ahli seperti Jean Piaget, Lev Vygostky dan John Dewey.
Mereka merupakan ahli yang aktif mengkaji tentang teori konstruktivisme ini dan kajian
mereka masih diguna pakai sehingga hari ini.
Jean Piaget pula menekankan teori konstruktivisme melalui perkembangan kognitif.
Menurut Piaget, keupayaan mengurus maklumat dan pengetahuan berlaku secara
berperingkat. Proses membina pengetahuan juga berlaku mengikut peringkat yang bermula
dengan pengetahuan sedia ada dalam struktur kognitif. Struktur asas dalam organisasi
mental ini dinamakan skema. Justeru, pengetahuan sedia ada yang menjadi asas tingkah
laku ialah skema. Dalam mempelajari subjek matematik, pengetahuan sedia ada akan
membantu murid-murid untuk lebih memahami atau lebih cepat belajar dalam satu-satu
topik yang terkandung dalam matematik. Hal ini kerana matematik memang wujud dalam
kehidupan seharian setiap individu. Misalnya dalam tajuk ruang. Pengetahuan sedia ada
tentang ruang dalam diri murid-murid seperti ruang adalah kawasan. Melalui ini, guru dapat
mengembangkan pengetahuan murid tentang kawasan iaitu dengan bertanya bentuk-bentuk
kawasan yang murid dapat fikirkan seperti kawasan kelas. Kelas berbentuk empat segi. Dari
situ, murid akan dapat melihat dan menerokai konsep ruang dan dapat menerangkan
bahawa ruang mempunyai luas, tinggi dan lebar. Menurut Proses Equilibrasi yang
diperkenalkan oleh Piaget, pengetahuan sedia ada murid-murid yang dimasukkan dalam
pengetahuan baru yang mereka dapat melalui penerokaan mereka tentang ruang dan
seterusnya menjana skema baru menunjukkan bahawa perkembangan kognitif murid sudah
berlaku. Perkembangan kognitif yang berlaku ini akan kekal lama dalam ingatan murid-murid
kerana murid-murid sendiri meneroka dan mengkonstruk konsep ruang. Ini menjadikan
pembelajaran murid lebih berkesan.
Lev Vygotsky (1896-1934) merupakan salah satu ahli konstruktivisme yang
mempelapori teori perkembangan kognitif yang merupakan asas kepada teori
konstruktivisme sosial. Menurut Vygotsky, perkembangan konsep kanak-kanak berkembang
secara sistematis, logikal serta rasional dengan bantuan dan bimbingan verbal orang lain.
Oleh itu, dalam proses PdP matematik, guru boleh menjadi pembimbing yang membimbing
murid untuk berfikir. Guru digalakkan untuk sentiasa bertanya kepada murid-murid agar
mereka mencari jawapan bagi sesuatu persoalan dengan sendiri daripada hanya
memberitahu jawapan tersebut. Contohnya dalam mengajar tajuk peratus, guru boleh
menarik perhatian murid-murid dengan bertanya di mana biasanya mereka melihat simbol
peratus tersebut, lalu bertanya apakah yang mereka faham tentang peratus. Ini bermakna
guru membimbing murid secara verbal untuk menerokai konsep peratus.
Selain itu, guru boleh membiarkan murid-murid saling berkerjasama dalam proses
pembelajaran. Hal ini kerana jika murid saling bertukar-tukar pendapat dan pengalaman
mereka, mereka akan dapat melihat sesuatu daripada pandangan orang lain dan seterusnya
dapat berkerjasama dalam membina konsep tentang sesuatu pembelajaran. Misalnya dalam
tajuk peratus tadi, guru boleh menggunakan kaedah pairing antara murid-murid dalam
sesuatu aktiviti. Guru memberikan suatu situasi dan seterusnya secara berdua-duaan murid-
murid tersebut bercerita dan saling bertukar-tukar pendapat dan akhir sekali mencapai atau
berjaya membina konsep peratus tersebut. Teori konstruktivisme sosial ini juga dapat
membantu murid menambah pengetahuan mereka melalui pengalaman orang lain dan
pandangan orang lain.
John Dewey pula menekankan bahawa sesuatu pembelajaran akan lebih bermakna
jika kita menggunakan kaedah belajar dengan membuat (learning by doing). Dengan ini,
murid akan dapat berfikir dan membentuk kefahaman tentang masalah yang cuba
dihuraikan. Pemikiran Dewey tentang teori konstruktivisme ini digunapakai secara meluas di
negara mereka. Di Malaysia pula, perspektif konstruktivisme yang dipelapori oleh Dewey
sudah diterapkan dalam mata pelajaran Sain dan Matematik. Hal ini kerana jika murid-murid
belajar dengan membuat perkara tersebut maka murid-murid akan lebih mudah dapat
mengaitkan sesuatu pembelajar dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada mereka.
Oleh itu, aktiviti hands-on haruslah diterapkan dalam proses PdP. Misalnya dalam subjek
matematik, guru boleh memberikan bahan-bahan maujud untuk murid meneroka sendiri.
Contohnya dalam tajuk bentuk tiga dimensi (3D), guru boleh menggunakan bongkah-
bongkah geometri untuk murid pegang dan merasa sendri bentuk 3D itu bagaimana.
Seterusnya guru membimbing murid dengan bertanya soalan tentang apa yang mereka
Nampak dalam bentuk 3D itu. Sambil memegang bongkah geometri tersebut dan berfikir
soalan guru itu, murid akan meneroka konsep 3D dengan sendiri. Akhirnya mereka akan
menyedari bahawa bentuk 3D mempunyai permukaan disetiap sudut, mempunyai lebar,
tinggi dan panjang serta mempunyai ruang.
Penggunaan teori konstruktivisme dapat membantu murid-murid untuk belajar subjek
matematik dengan lebih mudah. Hal ini kerana matematik wujud disekeliling kita dan kita
menggunakan matematik dalam kehidupan seharian kita. Seperti membuat jadual waktu
kelas, merancang perjalanan, membeli barang-barang, membuat kek dan sebagainya. Jika
murid dapat memperkaitka pembelajaran matematik dalam kehiduapan seharian mereka,
maka murid-murid dapat mengkonstruk konsep sesuatu tajuk matematik dengan sendiri. Ini
kerana murid-murid dapat meneroka melalui pengalaman kehidupan seharian mereka.
Keberkesanan teori konstruktivisme ini telah dibuktikan melalui satu kajian yang dijalankan
oleh Zainal Abidin Bin Zainuddin dan Afrinaleni Binti Suardi dari Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia. Mereka menjalankan kajian tentang keberkesanan teori
konstruktivisme dalam subjek matematik. Mereka telah memilih salah satu tajuk dalam
subjek matematik iaitu perimeter (tingkatan 1). Hasil kajian mereka menunjukkan bahawa
teori konstruktivisme memberi impak positif dalam pembelajaran matematik. Hal ini terbukti
apabila terdapat peningkatan yang memberangsangkan diantara Ujian Pra dan Ujian Pos
yang dijalankan semasa kajian iaitu sebanyak 15% peningkatan daripada 85% kepada
100%.
Teori konstruktivisme mendapat sokongan daripada sebahagia besar ahli psikologi
pendidikan. Terdapat banyak pandangan yang diutarakan oleh setiap ahli, namun demikian
ia tetap menjurus kepada konsep yang sama iaitu teori konstruktivisme merupakan
pembinaan pengetahuan melalui pengalaman.

Anda mungkin juga menyukai