Anda di halaman 1dari 6

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

CABARAN PEMBENTUKAN KELUARGA ABAD MILENIUM


(14 NOVEMBER 2014/ 20 MUHARRAM 1436H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat serta umat Islam yang dikasihi
sekalian. Berdasarkan peningkatan pengaruh budaya asing dan perubahan sosioekonomi yang pesat di negara ini, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan
ketaqwaan kepada Allah SWT, tambahilah rasa gerun dan takut kamu kepada
Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan sifat ketaqwaan itu mampu menentukan hala tuju
pembentukan masa depan keluarga kita agar sentiasa selari dengan tuntutan ajaran
Islam dan beroleh kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Tajuk khutbah yang
akan dibicarakan pada hari ini ialah: CABARAN PEMBENTUKAN
KELUARGA ABAD MILENIUM.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Halatuju pembentukan keluarga masa kini dan masa depan bergantung sepenuhnya
kepada rukun hidup yang ditetapkan ibubapa dan dasar negara. Sebagai unit asas
dalam masyarakat, maka keluarga adalah tenaga yang sentiasa bergerak melingkari
masyarakat dan negara. Semakin kuat pergerakan ahli keluarga, maka semakin
1

bertenaga masyarakat dan negara. Persoalan besar timbul ialah ke arah mana hala
tuju gerakan keluarga itu?. Berdasarkan pemerhatian mimbar dan kajian-kajian
yang dibuat ternyata pengaruh globalisasi masa kini telah mengubah corak dan
nilai pegangan kehidupan keluarga.
Mimbar Jumaat hari ini menarik perhatian para jemaah sekalian berdasarkan
beberapa pemerhatian pegangan nilai kehidupan atau pegangan hidup keluarga
semakin berubah. Antara perubahan nilai yang ketara ialah keasingan dalam hidup
kekeluargaan, ibu bapa semakin sibuk bekerja, masa ibu bapa bersama anak-anak
semakin berkurangan, ruang masa yang berkualiti dihabiskan dengan melayari
dunia komunikasi tanpa sempadan seperti internet, facebook, whatapps dan
sebagainya sehingga mengabaikan hubungan kemesraan sesama keluarga. Begitu
juga dengan peningkatan jumlah anak-anak dijaga oleh pembantu rumah atau
pusat-pusat asuhan dan jangka hayat semakin menurun kerana kualiti kesihatan.
Pembangunan sosio-ekonomi yang pesat dan pengaruh budaya asing telah
menjadi punca perubahan pegangan nilai hidup yang membawa kepincangan
dalam kehidupan keluarga. Kepincangan yang berlaku dalam keluarga antaranya
berpunca daripada sebab seperti kekurangan kasih sayang dalam keluarga,
keganasan rumah tangga, peningkatan kadar perceraian, penderaan kanak-kanak,
pengabaian kepada warga emas, sumbang mahram, kejahilan, bersekudukan tanpa
nikah, peningkatan kelahiran anak luar nikah dan peningkatan kadar perceraian.
Manakala isu-isu gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini
adalah sebahagian daripada perubahan pegangan nilai-nilai dalam kehidupan.
Begitu juga kita dapati usaha-usaha terancang pihak-pihak tertentu bertujuan
untuk mencabar dan menggugat nilai etika keluarga Islam semakin giat dan
menular dengan hebat. Ketika ini kita dikejutkan dengan isu kecelaruan identiti
gender yang sebenarnya boleh membawa kepada perkembangan amalan LGBT.
Gerakan seumpama ini pada dasarnya merupakan manifestasi ideologi humanisme
sekular yang sekarang ini bergerak pantas didokong oleh arus pemikiran
2

liberalisme atau budaya kebebasan secara melampau tanpa menghiraukan


kepentingan umum dan ketetapan syariat Allah SWT.
Mimbar ingin menegaskan bahawa kecelaruan identiti sebenarnya akan
mencemarkan imej Islam itu sendiri dan boleh mendatangkan malapetaka serta
azab Allah SWT. Renungilah apa yang berlaku kepada penduduk Negeri Sadom
dan Ammurah, dua negeri di pinggir laut mati yang terletak di Negara Jordan, yang
penuh perbuatan yang terpesong dari fitrah manusia, akibatnya mereka ini
dimusnahkan oleh Allah SWT. Fikirkanlah..adakah kita mahu bala bencana dan
malapetaka menimpa kita pula disebabkan oleh gagalnya kita mempertahankan
syariat islam? Janganlah disebabkan oleh nafsu dan kepentingan peribadi, kita
sanggup menggadaikan agama dan akidah. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW
pernah berpesan dalam hadithnya yang bermaksud: Rasulullah SAW telah
melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang perempuan yang
menyerupai lelaki (Hadith Riwayat Ibn Abbas)
Mimbar yang mulia ini merasa bimbang dengan pengaruh budaya asing dan
gaya hidup barat yang boleh mencemarkan imej Islam dan memberi kesan kepada
pegangan akidah. Berdasarkan perubahan nilai hidup yang ketara ini, maka
mimbar ingin mengingatkan jemaah sekalian tentang peringatan Allah SWT dalam
Surah at-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga
kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya
malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala
yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala
yang diperintahkan.
Menurut Tafsir at-Tabari, pemimpin keluarga hendaklah menjaga, membantu ahli
keluarga dan memerintahkan mereka berbuat taat kepada Allah SWT serta
3

mencegah mereka dari melakukan maksiat. Wahai ibubapa sekalian..tariklah nafas


kesedaran dan bertanyalah kepada diri sendiri saat ini. Berapa ramaikah antara kita
yang telah mendidik anaknya untuk mengenal Allah swt dan mentaati hukum
hukumNya? Berapa ramaikah antara kita yang telah mendidik anaknya erti
tanggungawab untuk menjaga, memelihara dan mempertahankan kesucian agama
islam? Adakah telah kita laksanakan tanggungjawab ini? Jawablah tuan-tuan,
jawablah di dalam hati anda sekarang dan bersedialah untuk menjawabnya di
hadapan Allah kelak.
Beberapa ahli tafsir lain pula menyatakan adalah menjadi kewajipan setiap
muslim mengajar keluarganya tentang apa yang diwajibkan oleh Allah SWT dan
apa yang dilarang. Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah( suci) tetapi
ibubapa nyalah yang menentukan anak itu Majusi, Yahudi atau Nasrani.
(Riwayat Ahmad).
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bagi membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang, ibu bapa hendaklah juga
terdiri daripada manusia yang cemerlang. Bagaimana mungkin ibubapa yang
derhaka, rumahtangga yang porak peranda, dapat membentuk keluarga yang
sejahtera. Pendidikan dan asuhan yang diberikan oleh ibu bapa adalah asas untuk
anak-anak bertapak apabila mereka dewasa kelak. Ibubapa diibaratkan sebagai
cerminan yang mudah dijadikan tontonan oleh anak-anaknya. Oleh itu dalam
mendidik anak-anak supaya beriman kepada Allah dan berakhlak mulia, ibubapa
juga hendaklah terlebih dahulu memiliki sifat yang mulia ini. Contoh yang baik
dari ibubapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak begitu jugalah sebaliknya.
Ingatlah bahawa kejahilan kita dalam beragama boleh membawa kita kepada
kefasadan dan kehancuran hidup dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Pembentukan keluarga Islam pada abad ini, abad mendatang atau abad milenium
amat mencabar bagi setiap ibu-bapa. Apakah keluarga Islam yang ada pada hari ini
boleh bertahan atau terus hanyut diserang badai globalisasi yang berterusan
menyerang merosakkan nilai-nilai kehidupan keluarga. Kerukunan rumah tangga
yang lemah dan kepimpinan keluarga yang longgar sudah pasti akan tumpas dalam
menghadapi cabaran perubahan nilai global yang mengubah kehidupan keluarga.
Sesungguhnya institusi keluarga adalah satu institusi penting dalam
keseluruhan kerangka pembinaan dan kelangsungan ummah. Umat Islam akan
berdepan dengan satu masalah besar seandainya institusi penting ini tidak dikawal
dan dijaga dengan baik. Kehancuran institusi ini bermakna kehancuran ummah itu
sendiri kerana daripada institusi inilah munculnya kalangan ummah di tengah
masyarakat.
Dalam usaha mengukuhkan institusi keluarga, mimbar menasihatkan
marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak
kita, demi melihat generasi yang terbaik di masa hadapan. Korbankanlah sedikit
masa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu mengadakan majlis-majlis ilmu
di rumah, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada
mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak
seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka
keluar dan kembali ke rumah dan sebagainya. Ini semua membuktikan kita telah
melaksanakan amanah Allah SWT terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bersempena dengan program sambutan BULAN KELUARGA KEBANGSAAN I
MALAYSIA pada 16 November ini, mimbar ingin merumuskan tentang isu yang
dibincang bahawa: Pertama: Ibubapa perlu memperkukuhkan dan melengkapkan
pendidikan agama bagi menghadapi cabaran abad yang mendatang, kedua:
Memperuntukkan masa-masa tertentu bersama ahli keluarga menghadiri majlis5

majlis ilmu, ketiga: Perubahan nilai dan penghayatan jatidiri yang dipengaruhi
budaya asing akan merendahkan harga diri ahli keluarga, dan keempat: Hindarilah
perbuatan dan tingkah laku berdosa sama ada ibu, bapa dan anak-anak kerana
perbuatan sedemikian boleh menjejaskan koharmonian dan kesejahteraan keluarga.
Mengakhiri khutbah hari ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT
dalam surah al-Furqan ayat 74:

Maksudnya: Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami,
berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara
yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang
yang (mahu).

Anda mungkin juga menyukai