Anda di halaman 1dari 25

BAB 5

BENTUK MESEJ KOMUNIKASI

OBJEKTIF BAB
Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:
1.
Mengenal pasti bentuk mesej lisan dan mesej bukan lisan.
2.
Menjelaskan perbezaan antara makna dan mesej.
3.
Mengenal pasti ciri-ciri mesej lisan dan mesej bukan lisan.
4.
Menghuraikan fungsi mesej lisan dan mesej bukan lisan.

5.1

PENGENALAN

Dalam bab yang lalu, kita telah membincangkan tentang model


komunikasi. Pemahaman tentang model komunikasi adalah penting bagi
memudahkan kita menghubungkaitkan peranan komponen komunikasi
yang terlibat dalam menentukan keberkesanan proses komunikasi.
Dalam bab ini, kita akan membincangkan dua bentuk mesej komunikasi
iaitu mesej lisan dan mesej bukan lisan. Kedua-dua bentuk mesej ini
dihasilkan sama ada melalui pertuturan atau pergerakan anggota badan
atau penggunaan simbol tertentu untuk menghantar mesej pengirim
kepada penerima.
Dalam kehidupan manusia, komunikasi bukan hanya sekadar bercakap
iaitu menyampaikan sesuatu mesej melalui pertuturan. Mesej juga boleh
dicipta dan disalurkan melalui pergerakan badan dan simbol-simbol
tertentu. Dalam konteks komunikasi kemanusiaan, kedua-dua bentuk
komunikasi, iaitu lisan dan bukan lisan dapat menyampaikan mesej
tersurat dan mesej tersirat sesuai dengan persekitaran komunikasi.
Dengan kemahiran komunikasi ini kita dapat mentafsir keikhlasan,
emosi, penampilan diri, identiti dan gelagat seseorang.
5.2

MESEJ DAN MAKNA

Sebelum kita membincangkan bentuk mesej komunikasi lisan, bolehkah


anda kenal pasti perbezaan mesej dan makna? Apakah bentuk mesej yang
berkesan? Apakah hubungan antara mesej dan makna? Dalam bab-bab
61

yang terdahulu, anda telah didedahkan secara terperinci tentang proses


dan model komunikasi yang membincangkan tentang pengertian mesej.
Perkataan mesej adalah asal perkataan Latin missus daripada perkataan
mittere yang bermaksud to send atau mengutus.
Mesej dan makna adalah dua perkara yang berbeza dalam proses
komunikasi tetapi mempunyai kaitan yang saling melengkapi. Tanpa
makna, mesej tidak membawa sebarang maksud. Mesej yang tidak jelas
menjejaskan makna sesuatu maklumat yang hendak disampaikan.
Menurut Stohl (1995), mesej mempunyai empat ciri utama iaitu
(i)

Mesej mempunyai beberapa bentuk iaitu lisan dan bukan


lisan. Justeru itu, mesej boleh disampaikan dalam pelbagai
bentuk seperti melalui pertuturan, penulisan, gerakan
anggota badan dan melalui teknologi komunikasi seperti
telefon dan komputer.

(ii)

Mesej mempunyai pelbagai makna. Mesej yang


disampaikan secara lisan mahupun bukan lisan perlu
ditafsir oleh penerima bagi mendapat maksud yang tepat.
Mesej yang tersurat (denotatif) mudah difahami manakala
mesej tersirat (konotatif) memerlukan pemahaman dan
pentafsiran yang tepat sesuai dengan persekitaran
berlakunya proses komunikasi tersebut. Contoh mesej
bukan lisan ialah menangis. Ada pelajar menangis kerana
malu mendapat markah yang rendah. Ada pula pelajar
yang menangis kerana kejayaan merangkul anugerah
pelajar terbaik.
Pada pandangan anda, apakah mesej yang boleh dibawa
oleh gelagat menangis? Apakah faktor yang
mempengaruhi anda memberi tafsiran mesej menangis
tersebut?

(iii)

Mesej mempunyai pelbagai fungsi. Mesej yang dibentuk


bersifat fungsional dan bersifat maklum balas. Ini sesuai
dengan konsep komunikasi sebagai suatu proses
pertukaran maklumat dan bersifat transaksional.
Masihkah anda ingat proses transaksional dan transmisi
yang dibincangkan dalam bab model komunikasi? Sifat
mesej dapat menggambarkan satu pola hubungan antara
pengirim dengan penerima. Justeru itu, mesej dapat
berfungsi dalam pelbagai konteks seperti memberitahu,
62

mendidik, pengulangan, perlambangan dan lain-lain


fungsi seperti yang akan dijelaskan dalam perbincangan
seterusnya dalam bab ini.
(iv)

Mesej melibatkan pelbagai peringkat. Pembentukan dan


penyampaian sesuatu mesej melibatkan tiga peringkat
yang menjelaskan maksud pengirim iaitu tujuan-maksudniat sama ada disampaikan dalam bentuk fakta, lisan atau
bukan lisan.
Anda disyorkan membuat pembacaan lanjut dengan
merujuk buku Komunikasi antara Manusia oleh Hashim
Fauzi Yaacob (2001) terbitan Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia.

Berbalik kepada persoalan tadi, sudahkah anda faham hubungan mesej


dengan makna?
Mesej bukan makna! Makna adalah pengertian yang diberi oleh manusia
terhadap mesej. Proses komunikasi akan lebih efektif dan lancar apabila
mesej pengirim dapat difahami dan seterusnya diberi makna yang tepat
oleh penerima.
Sekiranya kita imbas kembali model-model komunikasi dua hala, mesej
dibentuk oleh pengirim semasa proses enkod manakala pentafsiran mesej
kepada makna oleh penerima berlaku dalam proses dekod. Dalam hal ini,
terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pentafsiran mesej supaya
sama dengan maksud makna pengirim yang sebenar. Faktor kesediaan
untuk berkomunikasi, latar belakang, pendidikan, budaya, pengalaman
dan persekitaran berlakunya komunikasi amat mempengaruhi ketepatan
pentafsiran makna mesej.
SOALAN DALAM TEKS

1. Nyatakan TIGA (3) faktor yang mempengaruhi


pentafsiran mesej?
2. Jelaskan DUA (2) fungsi mesej menurut Stohl
(1995).
Semak jawapan anda di akhir bab ini.

63

Sila akses laman web Institute


of General Semantics
www.generalsemantics.org/
yang mengandungi pelbagai
artikel tentang bahasa dan
kegunaan bahasa. Penekanan
diberikan kepada the way we
speak and the ways we think and
behave.

5.3

KOMUNIKASI LISAN

Lazimnya kita berkomunikasi menggunakan bahasa sama ada melalui


pertuturan ataupun penulisan. Kita berinteraksi dengan ahli keluarga
dalam persekitaran tidak formal. Bahasa yang digunakan juga tidak
formal tetapi masih menerapkan unsur-unsur penghormatan dan kasih
sayang. Dalam konteks komunikasi kumpulan pula kita berinteraksi
untuk mendapatkan maklumat, pendapat dan bersosial. Bahasa pasar
banyak digunakan dalam interaksi sosial. Ini berbeza dengan penggunaan
komunikasi formal apabila kita menghadiri perbincangan, temu duga dan
perundingan. Komunikasi lisan secara formal dapat memperlihatkan
kematangan, keperibadian, emosi dan status seseorang.
Menurut Sapir (dlm. Nasariah Mansor et al., 2000), bahasa adalah satu
kaedah yang bersifat naluri untuk menyampaikan mesej, emosi dan
kemahuan melalui simbol-simbol yang dilahirkan sama ada secara sengaja
atau tidak sengaja. Manakala Bloch & Trager (dlm. Asmah Omar, 1969)
pula mendefinisikan bahasa sebagai suatu sistem lambang pertuturan
yang arbitrasi, digunakan oleh ahli-ahli masyarakat untuk berkomunikasi.
Umumnya bahasa adalah simbol yang digunakan untuk menyampaikan
sesuatu mesej secara lisan. Justeru itu, komunikasi lisan merupakan
pengucapan (penggunaan bahasa dalam bentuk pertuturan dan
penulisan) yang disampaikan kepada individu lain dengan tujuan
perkongsian makna dalam pelbagai bahasa yang mudah difahami antara
pengirim dengan penerima.
5.3.1

Ciri Bahasa

Bahasa adalah satu sistem. Bahasa adalah lengkap, sempurna dan bersifat
dinamik. Bahasa terdiri daripada sistem bunyi, sistem makna dan sistem
64

tatabahasa yang diiktiraf. Bahasa yang digunakan untuk pertuturan dan


penulisan terikat dengan tatabahasa. Perkataan perlu disusun dalam
bentuk ayat yang sempurna dan membawa makna sebelum diucapkan.
Penggunaan bahasa yang jelas dan lancar dapat meningkatkan ketepatan
pentafsiran makna sesuatu mesej. Pengucapan bahasa turut diiringi oleh
komunikasi bukan lisan yang dikenali sebagai paralinguistik.
Pada pandangan anda, adakah bahasa singkatan yang
digunakan dalam perkhidmatan pesanan ringkas (sms)
mudah dan jelas difahami? Kenapa?
Bahasa adalah simbol yang mewakili bunyi (sebutan) yang keluar
daripada peti suara. Bahasa atau perkataan yang diucapkan bukan perkara
yang sebenarnya. Perkataan hanya mewakili objek yang sebenar.
Contohnya perkataan panas yang membawa banyak makna. Panas
mungkin merujuk kepada keadaan tidak dingin, atau air yang mendidih,
atau suasana ketidakselesaan, atau mungkin merujuk kepada emosi
seseorang yang sedang marah dan baran. Cuba anda sebut satu
perkataan. Adakah sebutan perkataan tersebut menggambarkan objek
yang sebenar? Tentu tidak sebab perkataan hanyalah simbol yang
mewakili benda. Perkataan besi itu panas merah menyala tidak panas
macam besi panas! Oleh yang demikian, sebelum memulakan perbualan,
kita harus memastikan bahawa bahasa yang digunakan mestilah difahami
oleh penerima dan sesuai dengan konteks serta persekitaran komunikasi.
Bahasa adalah suatu yang abstrak. Adakalanya perkataan yang diucapkan
dapat memberi lebih daripada satu makna, lain daripada makna asal yang
dimaksudkan oleh pengirim. Justeru itu, bahasa dibahagikan kepada dua
ciri iaitu
(i)

Denotatifmakna dalam bahasa kamus yang diiktiraf


atau dikenali juga sebagai makna tersurat.

(ii)

Konotatifmakna yang tersirat.


Bolehkah anda berikan beberapa contoh bahasa denotatif
dan bahasa konotatif?

Selain itu, bahasa pertuturan juga perlu melalui proses pencerapan


(mendengar) sebelum sesuatu makna diberi oleh penerima. Dalam proses
pencerapan makna, maklumat akan dianalisis oleh penerima sebelum
maklum balas diberikan terhadap mesej tersebut. Setiap individu
memberi makna yang berbeza terhadap perkataan yang didengar. Faktor
65

pengalaman, konteks komunikasi, gaya penyampaian dan bahasa yang


digunakan akan mempengaruhi seseorang mentafsir sesuatu mesej. Oleh
itu, dapat dikatakan bahawa makna sesuatu mesej bergantung kepada
manusia bukan perkataan.
5.3.2

Fungsi Komunikasi Lisan

Komunikasi lisan amat penting dalam kehidupan kita seharian. Kita


berinteraksi dengan masyarakat sekeliling untuk berkongsi maklumat.
Justeru itu, bahasa merupakan suatu komponen yang melancarkan lagi
proses sosialisasi seseorang individu. Bayangkan jika anda seorang yang
pendiam, pemalu dan rendah diri, adakah anda mempunyai ramai
kenalan atau adakah anda dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan
mudah? Di sini jelas bahawa tanpa komunikasi lisan kita tidak dapat
meluahkan perasaan, menyatakan sesuatu kepada orang di sekeliling
dengan jelas dan tepat. Oleh kerana bahasa setiap kelompok masyarakat
berbeza antara satu sama lain maka makna sesuatu perkataan dalam
masyarakat yang berbeza juga membawa konotasi yang berbeza. Jadi kita
perlu berhati-hati dengan apa yang kita pertuturkan. Justeru itu,
mempelajari bahasa melalui proses sosialisasi dan pendidikan formal
adalah satu cara untuk mempertingkat serta memperluas jaringan sosial
kita. Haliday (dlm. Bittner, 1985) telah menyenaraikan tujuh fungsi
bahasa sebagai alat komunikasi, iaitu
(i)

Alatanuntuk menyempurnakan
seperti memerintah atau meminta.

(ii)

Pentertibuntuk mengawal tingkah laku atau peristiwa


yang berlaku.

(iii)

Interaksiuntuk memastikan hubungan sesama manusia


berjalan dengan lancar tanpa sebarang salah faham,
penutur perlu mempunyai pengetahuan dalam dialek,
slanga, jargon dan sebagainya.

(iv)

Peribadiuntuk menyatakan atau meluahkan perasaan,


kemahuan dan sebagainya yang bersifat peribadi.

(v)

Penemuanuntuk memperoleh ilmu pengetahuan yang


dinyatakan dalam bentuk soalan-soalan yang memerlukan
jawapan.

(vi)

Khayalanuntuk memikirkan atau melakukan sesuatu


berdasarkan daya imaginasi dan kreativiti sendiri.
66

sesuatu

kehendak

(vii)

Pernyataanuntuk
menyatakan,
memerikan,
menggambarkan,
menjelaskan
fakta,
peristiwa,
pengetahuan dan sebagainya.

Selain fungsi yang dinyatakan oleh Haliday, terdapat juga fungsi umum
komunikasi lisan yang lain, iaitu
(i)

Memberitahubahasa digunakan untuk memberitahu


orang lain tentang sesuatu perkara. Contohnya, pemimpin
menyampaikan ucapan untuk memberitahu masyarakat
tentang pembangunan masyarakat luar bandar sama ada
secara bersemuka ataupun melalui media massa.

(ii)

Mendidik dan membujukuntuk mempengaruhi


individu supaya mengubah sikap, budaya dan pemikiran
seseorang dengan memberi maklumat dan kaunseling
melalui perbincangan bersemuka. Contohnya, bahasa
yang digunakan dalam iklan mestilah menarik dan jelas
supaya pengguna dapat mengetahui tentang sesuatu
produk.

(iii)

Lambang sesuatu budaya dan identiti bangsa


kewujudan pelbagai bahasa di dunia secara tidak langsung
mewakili bangsa dan budaya penuturnya. Dewasa ini,
pengetahuan tentang bahasa kedua dan ketiga selain
bahasa ibunda menjadi penting dalam dunia globalisasi.
Melalui bahasa kita dapat berinteraksi dengan bangsa lain
dengan lancar. Moto Dewan Bahasa dan Pustaka,
Bahasa Jiwa Bangsa cukup menggambarkan bahasa
sebagai lambang sesuatu bangsa. Kehalusan dan
ketertiban ketika berbahasa akan mencerminkan
keperibadian dan amalan bangsa seseorang.
Cuba anda fikirkan fungsi komunikasi lisan selain
daripada yang dinyatakan.
Terlajak perahu boleh berundur terlajak kata badan
binasa cuba anda fikirkan sebab dan kesan
komunikasi lisan berdasarkan pepatah Melayu tersebut.

Amalan komunikasi lisan yang berhemah dan efektif dapat mewujudkan


suasana positif ke arah pencapaian matlamat komunikasi. Terdapat
banyak strategi dan panduan untuk mempertingkatkan tahap
keberkesanan penggunaan bahasa. Bolehkah anda nyatakan beberapa
panduan untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi secara lisan?
67

SOALAN DALAM TEKS

3. Jelaskan maksud konotatif dan denotatif.


4. Huraikan DUA (2) ciri komunikasi lisan.
5. Kenal pasti dan huraikan empat fungsi komunikasi
lisan.
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
Beberapa sarjana berbelah pendapat tentang tulisan
sama ada dikategorikan sebagai komunikasi lisan atau
komunikasi bukan lisan. Beri pandangan dan justifikasi
anda tentang perkara ini.
5.4

KOMUNIKASI BUKAN LISAN

Komunikasi antara manusia tidak hanya melibatkan pertuturan. Mesej


juga boleh disampaikan melalui perlakuan manusia sama ada gerakan
anggota badan secara sengaja atau tidak sengaja. Dalam konteks
komunikasi organisasi, ramai pengkaji sependapat bahawa lebih 65
peratus mesej disampaikan melalui komunikasi bukan lisan. Selebihnya
adalah mesej yang disampaikan secara lisan. Dapatkah anda bayangkan
jika anda bekerja dan bercakap sepanjang hari, apa akan terjadi dengan
produktiviti dan kualiti kerja anda?
Terdapat juga kajian yang telah membuktikan bahawa apabila interaksi
berlaku secara bersemuka, kurang 10 peratus impak datangnya daripada
perkataan yang diucapkan, manakala yang selebihnya adalah mesej bukan
lisan. Malah sarjana komunkasi menganggarkan hanya 10 peratus
komunikasi antara manusia diwakili oleh kata-kata. Manakala 30 peratus
diwakili oleh bunyi yang mengiringi suara dan 60 peratus pula diwakili
oleh komunikasi bukan lisan (Zulkifli, 2000). Justeru itu, komunikasi
bukan hanya sekadar bercakap. Seluruh anggota badan kita juga berupaya
mewujudkan mesej-mesej tertentu.
Berdasarkan pembacaan anda dalam bab-bab terdahulu,
apakah yang anda faham dengan komunikasi bukan lisan?

68

Komunikasi bukan lisan juga dikenali sebagai komunikasi tanpa


perkataan. Harrison (1965) berpendapat bahawa penyelesaian yang paling
mudah untuk mentakrifkan perbezaan komunikasi lisan dengan
komunikasi bukan lisan adalah seperti berikut:
(i)

Komunikasi lisan adalah apa-apa jua perkara yang


menggunakan perkataan bertulis dan dituturkan. Dalam
erti kata lain bahasa adalah medium untuk menyatakan
mesej.

(ii)

Komunikasi bukan lisan menggunakan simbol-simbol


yang membawa mesej tertentu.

Pandangan Harrison ini disokong oleh Knapp (1972) yang menyatakan


bahawa komunikasi bukan lisan merangkumi peristiwa perkataan yang
tidak ditutur atau ditulis. Contohnya peristiwa marahanda tidak
semestinya menyatakan saya sedang marah sebaliknya keadaan marah
anda boleh dilihat melalui perubahan anggota badan seperti muka merah,
mata besar, kening terangat dan perubahan nada suara. Dalam hal ini kita
dapat menilai kemarahan seseorang melalui tanda-tanda komunikasi
bukan lisan.
Kita juga boleh mentafsir emosi, personaliti, tujuan, keintiman dan status
sosial seseorang melalui komunikasi bukan lisan yang dipraktiskan oleh
seseorang individu. Dalam proses interaksi antara manusia, amalan
komunikasi bukan lisan dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian
sesuatu mesej kerana komunikasi bukan lisan berfungsi sebagai
pelengkap kepada komunikasi lisan.
5.4.1

Prinsip Komunikasi Bukan Lisan

Komunikasi bukan lisan adalah sesuatu yang kompleks untuk difahami.


Pelbagai makna boleh ditafsir bagi mewakili satu simbol atau isyarat.
Setiap individu mungkin memberi makna yang berbeza mengikut
pentafsiran dan konteks komunikasi. Justeru itu, kemahiran memahami
komunikasi bukan lisan amat penting dalam mengukuhkan pentafsiran
sesuatu mesej. Berikut kita bincangkan beberapa prinsip komunikasi
bukan lisan secara ringkas.
5.4.1.1

Komunikasi bukan lisan wujud

Komunikasi bukan lisan wujud tanpa kita sedari atau tidak dirancang.
Walaupun kita tidak bercakap, duduk diam, perlakuan sebegini dapat
memberi mesej kepada orang lain. Malah gerakan anggota badan dan
perlakuan kita semasa berinteraksi ada kalanya di luar kawalan. Semua
69

gelagat ini berlaku secara spontan. Melalui komunikasi bukan lisan kita
boleh mentafsir emosi seseorang sama ada sedang gembira, takut, marah,
sedih dan sebagainya. Justeru itu, komunikasi sebenarnya wujud tanpa
kita sedari dan dapat memberi mesej tertentu tentang diri kita. Apakah
tafsiran anda tentang rakan anda yang sering menguap semasa mengikuti
kelas? Waspada dengan perlakuan kita. Sebenarnya kita diperhatikan!
5.4.1.2

Komunikasi bukan lisan asas perhubungan

Komunikasi bukan lisan dikatakan lebih baik ataupun lebih berkesan


digunakan untuk menunjukkan perasaan dalaman khususnya yang
menyentuh tentang emosi seseorang seperti sedih, marah, sayang,
gembira, takut dan sebagainya. Tanpa komunikasi lisan, gerakan anggota
badan masih dapat menyatakan keintiman atau kerenggangan hubungan.
5.4.1.3

Komunikasi bukan lisan suatu proses yang kabur

Berbanding dengan komunikasi lisan, mesej komunikasi bukan lisan


memerlukan lebih banyak pengamatan sebelum mesej diterjemahkan
kepada makna. Komunikasi bukan lisan sukar ditafsir secara tepat. Kita
ambil contoh seorang kanak-kanak sedang menangis. Pada fikiran anda
apakah mesej menangis kanak-kanak tersebut? Mungkin kanak-kanak
tersebut sakit gigi atau mungkin kehilangan duit belanja sekolah atau
mungkin kerana dibuli rakan sekolah. Pelbagai andaian mesej yang
mungkin anda beri. Di sini jelas menunjukkan bahawa mesej komunikasi
bukan lisan sukar ditafsir dengan tepat.

Bagaimana anda hendak mentafsir dengan tepat mesej


komunikasi bukan lisan? Apakah faktor yang perlu
dipertimbangkan semasa membuat pentafsiran?
5.4.1.4

Komunikasi bukan lisan refleksi kebolehpercayaan dan


mesej tersirat

Dalam interaksi lisan dan penulisan, sukar untuk kita mengesan sama ada
mesej yang disampaikan benar atau palsu. Sebaliknya komunikasi bukan
lisan merupakan satu refleksi emosi dalaman seseorang. Contohnya, guru
kaunseling tidak hanya bergantung kepada soalan lisan dalam mencari
bukti kesalahan pelajar tetapi melalui gerak anggota badan pelajar yang
disiasat, guru tersebut boleh melihat kejujuran atau penipuan pelajar
tersebut. Kita biasa mendengar orang berkata mulut kata lain hati kata
lain. Untuk mendapatkan kepastian apa yang diucapkan oleh seseorang,
kita juga perlu melihat gerakan anggota badannya seperti mata, muka dan
70

kepala. Semua gerakan anggota badan ini dapat memberi makna tertentu
malah orang yang cuba melakukan penipuan sukar untuk bertentang
mata apabila berinteraksi.
Bolehkah anda berikan beberapa contoh bahasa denotatif
dan bahasa konotatif?

5.4.1.5

Komunikasi bukan lisan melengkapi komunikasi lisan

Komunikasi bukan lisan melengkapi dan menjelaskan mesej komunikasi


lisan sekiranya maksud sesuatu mesej lisan sukar difahami. Contohnya,
jika anda mengalami sakit kepala anda tidak semestinya menyatakan saya
pening kepala. Dengan perlakuan memicit-micit kepala sudah cukup
memberi mesej yang anda mengalami pening kepala walaupun anda tidak
menyatakannya secara lisan. Sekiranya anda menyatakan saya pening
kepala sambil memicit-micit kepala, perlakuan sebegini dapat
meneguhkan lagi mesej lisan anda. Cuba anda fikirkan beberapa beberapa
contoh lain.
SOALAN DALAM TEKS

6. Beri definisi komunikasi bukan lisan.


7. Jelaskan prinsip komunikasi bukan lisan berikut:
(i)
Komunikasi bukan lisan adalah kabur.
(ii)
Komunikasi
bukan
lisan
refleksi
kebolehpercayaan.
Semak jawapan anda di akhir bab ini.

5.4.2

Fungsi Komunikasi Bukan Lisan

Lazimnya komunikasi bukan lisan berfungsi sebagai pelengkap kepada


komunikasi lisan (DeVito, 2000). Berikut adalah beberapa fungsi
komunkasi bukan lisan.
5.4.2.1

Pengukuhan

Komunikasi bukan lisan berfungsi untuk memperkukuhkan sesuatu


mesej yang disampaikan oleh pengirim secara lisan. Contohnya isyarat
71

mata dapat mempamerkan emosi seseorang dengan melihat ke dalam


mata seseorang dalam tempoh masa yang lama untuk melafazkan katakata cinta atau merenung dengan tajam dan membesarkan mata sebagai
tanda marah atau geram. Perlakuan seperti ini dapat mengukuhkan
makna mesej yang hendak disampaikan.
5.4.2.2

Pelengkap

Mesej bukan lisan juga berfungsi mengiring komunikasi lisan untuk


menjelaskan lagi suasana interaksi. Contohnya, Ahmad begitu gembira
sambil bersorak apabila mendapat keputusan cemerlang peperiksaan
akhir semester.
Kenal pasti komunikasi bukan lisan yang melengkapi
suasana kegembiraan Ahmad.
5.4.2.3

Percanggahan

Mesej bukan lisan juga berfungsi mendedahkan sesuatu mesej yang


bercanggah dengan maksud lisan. Contohnya, perlakuan mengelakkan
hubungan mata dengan kaunselor dan sering menunduk kepala ke bawah
dalam sesi kaunseling dapat ditafsirkan sebagai suatu percubaan untuk
menafikan perlakuan salah oleh pelajar yang didakwa melakukan
kesalahan. Di sini kita dapat lihat berlakunya percanggahan antara
penafian lisan pelajar dengan gerakan anggota badannya.
5.4.2.4

Pengawalan

Komunikasi bukan lisan juga dapat mengawal atau menunjukkan satu


keinginan dalam mengawal aliran mesej lisan. Cuba anda ketap bibir
anda. Apa perasaan anda? Bagaimana anda hendak mengawal rakan anda
yang sering menyampuk ketika anda sedang menghayati syarahan?
5.4.2.5

Pengulangan

Fungsi pengulangan akan membantu seseorang memahami maksud lisan.


Bila ditanya Di mana letaknya bangunan Canselori, anda mungkin
menjawab 500 meter dari bangunan perpustakaan, bangunan bewarna
putih. Komunikasi lisan anda dituruti dengan menunjukkan arah
bangunan yang maksudkan dengan menggunakan tangan. Dalam hal ini,
komunikasi bukan lisan tidak saja berfungsi sebagai pelengkap tetapi juga
sebagai pengulangan maksud lisan. Cuba anda beri contoh lain yang
sesuai.

72

5.4.2.6

Pengganti

Bagi golongan kurang upaya (khususnya mereka yang pekak dan bisu),
pergerakan anggota badan berfungsi sebagai pengganti kepada bahasa
lisan. Bagi mereka yang normal, komunikasi bukan lisan dapat
memperlihatkan emosi dalaman mereka. Contohnya, rakan anda begitu
murung sepanjang hari ketika menghadiri kelas. Gelagat murung ini
dapat menggantikan bahasa lisan rakan anda yang kini menghadapi
masalah kewangan.
Secara keseluruhannya, apabila kita berinteraksi, komunikasi bukan lisan
merupakan komponen penting dalam menyampaikan mesej. Justeru itu,
kita perlu berhati-hati dengan keadaan anggota badan kita. Kita
diperhatikan, bukan sahaja bahasa lisan kita. Pastikan ketika mentafsir
perlakuan bukan lisan, kita memahami konteks komunikasi, banyakkan
bertanya agar kita tidak tersilap membentuk makna mesej bukan lisan.
5.4.3

Bentuk Komunikasi Bukan Lisan

Sebahagian besar komunikasi bukan lisan adalah berkaitan dengan tubuh


badan kita. Pergerakan tubuh badan ini adalah gambaran emosi dan
perasaan dalaman kita yang sukar dikawal dan berlaku tanpa sedar
walaupun sebahagian simbol bukan lisan dirancang untuk menyampaikan
mesej. Komunikasi bukan lisan boleh dihimpunkan kepada lima kategori
iaitu prosemik, kinesik, kronemik, paralinguistik dan artifaktual.
5.4.3.1

Prosemik

Prosemik merujuk kepada jarak, ruang atau kawasan. Berdasarkan


komponen prosemik, kita dapat lihat bentuk interaksi yang berlaku sama
ada berbentuk formal, peribadi, sosial atau awam. Di samping itu, kita
juga dapat mengetahui peringkat pengaruh, kuasa dan status sosial
seseorang berdasarkan posisi interaksi dan kedudukan fizikalnya.
1.

Ruang

Penggunaan ruang boleh dibahagikan kepada dua iaitu ruang sosial dan
ruang peribadi. Ruang sosial mempunyai sempadan yang boleh dilihat
oleh orang lain dan berada dalam keadaan tetap. Sebaliknya ruang
peribadi ditentukan oleh sifat-sifat psikologi seperti personaliti seseorang.
Edward Hall (dlm. Hashim, 2001) membahagikan konsep ruang kepada
tiga iaitu

73

(i)

Ruang tetap bergantung kepada status, perjawatan,


pengetahuan, kepimpinan dan kewibawaan seseorang.
Tiga prinsip hubungan yang mungkin menggunakan
ruang tetap ialah

Semakin tinggi kedudukan seseorang dalam


organisasi, semakin baik ruang yang dimiliki.
Biasanya ruang khas disediakan kepada mereka.
Contohnya, dalam acara rasmi, suasana tempat
duduk di hadapan telah ditetapkan untuk pegawai
mengikut kekananan.

Semakin tinggi kedudukan seseorang dalam


organisasi semakin baik perlindungan terhadap
ruangnya.

Semakin tinggi kedudukan perjawatan seseorang


semakin mudah mereka menguasai kedudukan
orang bawahannya.

(ii)

Ruang separuh tetap tidak dianggap mempunyai mesej


tetapi cara kita menyusun perabot dan mengatur
kedudukan akan memberi gambaran tentang disiplin,
keterbukaan dan situasi interaksi.

(iii)

Ruang tidak formal melibatkan interaksi secara tidak


formal, contoh semasa kita menunggu bas atau beratur di
kantin. Keadaan ini menggambarkan situasi terbuka.

Ruang dapat memberi mesej kepada kita. Sehubungan itu, kita perlu
menghormati ruang orang lain agar tidak menimbulkan konflik yang
boleh mengganggu proses komunikasi (Samsuddin, 1993).
Sila akses laman web Center for
Nonverbal Studies di
www.members.aol.com/nonver
bal2/ yang mengandungi
kamus komunikasi bukan lisan,
kajian mengenai gerakan badan,
gestural, ekspresi muka,
adornment, fesyen, reka bentuk
landskap, mass media dan reka
bentuk barangan pengguna.
Pusat kajian ini mengkaji
komunikasi bukan lisan dari
pelbagai perspektif seperti
antropologi, seni dan sastera,
biologi, evolusi manusia dan
neurosains.

74

Cuba anda bayangkan posisi ruang dan kedudukan


semasa menghadiri temu duga, perundingan, mesyuarat
dan kaunseling. Adakah wujud perbezaan posisi ruang?
Apakah maknanya?
Ilustrasi di sebelah
menunjukkan kedudukan
ruang dalam konteks
komunikasi yang berbeza.
Sumber:
www.mhhe.com/tubbsmoss

2.

Jarak

Ketika kita berinteraksi, jarak kita dengan individu lain adalah penting.
Seorang wanita sudah tentu tidak selesa berbual dengan lelaki yang baru
dikenali dalam keadaan jarak fizikal yang dekat. Ini berbeza dengan jarak
seorang ibu dengan anak. Mereka boleh berpimpin tangan dan
bersentuhan anggota badan ketika berbual. Ini menunjukkan bahawa
wujud keintiman dan ikatan kasih sayang. Bagaimana pula jarak anda
dengan orang yang anda benci?
Dalam menghuraikan jarak atau dikenali juga sebagai proksimiti, Hall
(1959) telah membahagikan jarak fizikal kepada empat kategori. Setiap
bentuk mempunyai ciri dan kesan komunikasi tertentu. Secara
ringkasnya, Jadual 5.1 menerangkan empat bentuk jarak fizikal iaitu jarak
mesra, jarak peribadi, jarak sosial dan jarak awam.
Jadual 5.1
Jarak dan Ciri-Ciri Komunikasi
Bentuk Jarak
Mesra

Jarak
0 18 inci

Ciri-Ciri komunikasi
-

75

Hubungan mesra misalnya suami


isteri, rakan karib.
Topik perbincangan bersifat peribadi
dan adakalanya sulit.

Peribadi

18 inci 4 kaki

Sosial

4 kaki 12 kaki

Awam

12 kaki 25 kaki

Hubungan rapat dan saling mengenali


misalnya rakan dan saudara mara.
Topik
perbincangan
berbentuk
peribadi tetapi tidak sulit.
Menunjukkan tahap penyesuaian
semasa interaksi.
Hubungan tidak begitu rapat atau
tidak begitu dikenali.
Bentuk perbincangan adalah formal
seperti temu duga, perundingan dan
mesyuarat.
Hubungan tidak rapat dan tidak
dikenali.
Hanya wujud komunikasi sehala.
Interaksi antara individu terhad.
Topik perbincangan berbentuk formal
seperti sesi forum, ceramah, taklimat
dan seminar.

Bagaimana anda dapat mengggunakan konsep jarak untuk


mempengaruhi pelanggan anda?
5.4.3.2

Kinesik

Secara umumnya, kinesik merujuk kepada gerakan anggota badan


manusia semasa berkomunikasi. Dalam konteks komunikasi, kinesik
amat penting untuk melihat emosi, tingkah laku dan hubungan antara
individu. Kemahiran mentafsir kinesik dapat meningkatkan keberkesanan
dan kelangsungan komunikasi. Namun begitu, faktor konteks
komunikasi dan budaya perlu diambil kira dalam membuat tafsiran
makna mesej kinesik. Kinesik boleh diklasifikasikan kepada beberapa
bentuk iaitu isyarat mata, mimik muka, gestural dan sentuhan.
1.

Isyarat mata

Komunikasi mata mempunyai pelbagai fungsi. Kajian tentang isyarat


mata dikenali sebagai oculesics. Melalui mata kita dapat melihat minat,
emosi, tumpuan, tujuan, dan maksud seseorang semasa kita berinteraksi.
Jelingan, renungan, keayuan, kelayuan mata serta kerdipan mata dapat
memberi mesej tertentu. Malah melalui gelagat mata, kita dapat melihat
personaliti seseorang sama ada bersifat pemalu, ego, periang dan manja.
DeVito (2000) telah membahagikan fungsi mata kepada empat iaitu

76

(i)
(ii)
(iii)
(iv)
2.

Mendapatkan maklum balas dengan memandang terus


kepada seseorang.
Memaklumkan orang lain tentang keterbukaan saluran
komunikasi dengan mengangkat kening mata.
Isyarat bentuk hubungan sama ada sebagai tanda
perkenalan atau emosi marah serta benci.
Pengganti jarak fizikal apabila berada dalam jarak yang
jauh antara satu sama lain.

Mimik muka

Wajah seseorang dapat memberi seribu makna! Apakah maksud


kenyataan ini? Ini bermaksud bahawa raut wajah atau mimik muka dapat
memberi pelbagai mesej sesuai dengan konteks komunikasi. Menurut
Jalaludin (1985), mimik muka seseorang itu dapat memberi sekurangkurangnya sepuluh kategori makna iaitu kebahagiaan, terkejut, ketakutan,
ketakjuban, kesedihan, kemuakan, kemarahan, minat, tekad dan
mengancam. Bolehkah anda tunjukkan ekspresi muka anda berdasarkan
ketegori ini. Isyarat muka dapat menggambarkan keadaan dalaman
seseorang tanpa disedari malah sukar dikawal. Anda tidak dapat
berselindung dengan riak wajah anda sekiranya anda mengalami trauma
kemalangan walaupun anda menyatakan secara lisan anda sudah sihat.
Pernahkah anda melihat rakan anda tersenyum apabila
mendapat berita kemalangan rakannya? Kenapa dia
tersenyum? Adakah perlakuan ini menggambarkan
keadaan dalam dirinya yang sebenar?
Imotikon adalah simbol yang digunakan untuk
menggambarkan emosi manusia. Apakah mesej yang
hendak disampaikan melalui simbol imotikon berikut:
:) :0 ;)
:( :( :D :P
3.

Sentuhan

Manusia sentiasa bersentuhan antara satu sama lain dalam pelbagai situasi
dan tujuan. Sentuhan mempunyai tujuan psikiologi dan profesional.
Sentuhan anggota badan khususnya tangan dapat menggambarkan
hubungan antara individu. Salam berjabat tangan, berpelukan, berpimpin
tangan, menepuk bahu semasa bertemu adalah beberapa contoh
sentuhan yang membawa makna dan kesan tersendiri. Melalui sentuhan,
kita dapat mentafsir emosi seseorang. Sentuhan juga dapat menunjukkan
kemesraan, kasih sayang dan pengharapan semasa berinteraksi.
77

Heslin (dlm. Adler & Rodman, 1991) membahagikan sentuhan kepada


lima kategori iaitu
(i)

Sentuhan fungsional sentuhan profesional seperti


berjabat tangan.

(ii)

Sentuhan sosial sentuhan merendah diri atau tanda


hormat seperti bersalaman dan berpelukan semasa
bertemu.

(iii)

Sentuhan persahabatan sentuhan mesra seperti


menepuk bahu dan berjalan berganding bahu.

(iv)

Sentuhan sayang sentuhan kemesraan dan hubungan


yang berdasarkan kasih sayang seperti berjalan berpimpin
tangan sambil menggenggam erat tangan.

(v)

Sentuhan seks
keghairahan.

sentuhan

yang

menimbulkan

Cuba anda kaitkan konsep jarak dan sentuhan. Adakah


wujud persamaan atau perbezaan?

4.

Gestural

Gestural merujuk kepada gerakan anggota badan kita khususnya tangan.


Cara kita berdiri, menggerakkan tangan, kaki serta badan, cara duduk
boleh menggambarkan sikap dan emosi kita seperti mendorongmenghalang, pasif, keterbukaan, keyakinan, ketegasan dan ketakutan.
Mesej gestural juga menggambarkan sifat seseorang sama ada ekstrovet
atau introvet (Hashim, 2001). Gestural boleh dibahagikan kepada empat
kategori iaitu
(i)

Perlambangan bertindak sebagai pengganti mesej lisan.


Contohnya, isyarat jari v yang membawa maksud
kemenangan kedamaian atau kejayaan tanpa menyatakan
secara lisan.

(ii)

Ilustrasi isyarat gerakan tangan yang digunakan bersama


ucapan lisan. Isyarat tangan ini berfungsi untuk
mengukuhkan mesej lisan. Contohnya, apabila pelajar
membuat bising, guru meminta pelajar diam dan
menunjukkan jari telunjuk di bibir sebagai tanda senyap.
78

Perlakuan guru tadi memperkukuhkan larangan membuat


bising yang dinyatakan secara lisan.
(iii)

Penyesuaian gerakan anggota badan juga boleh


menggambarkan penyesuaian diri seseorang dengan
emosi atau rangsangan dalaman. Contohnya, perlakuan
memicit kepala boleh menggambarkan bahawa individu
tersebut mengalami sakit kepala.

(iv)

Pengawalan mesej gestural juga boleh mengawal situasi


komunikasi dan menonjolkan sifat seseorang. Dalam
keadaan berdiri sambil bercekak pinggang, tentu situasi
komunikasi yang tegang sedang berlakumarah! Dalam
hal ini, gestural dapat mengawal serta menggambarkan
situasi komunikasi.

Ilustrasi di sebelah
menunjukkan beberapa
contoh gerakan tangan yang
membawa maksud tertentu.
Cuba anda tafsirkan mesej
yang hendak disampaikan
dengan isyarat tangan
tersebut.
Sumber:
www.mhhe.com/tubbsmoss

5.4.3.3

Kronemik

Kronemik adalah kajian yang berkaitan dengan gelagat penggunaan masa.


Kronemik mengkaji bagaimana manusia menggunakan masa dan
menetapkan masa sama ada secara budaya mahupun secara masa realistik
(Lewis, 1987). Tafsiran penggunaan masa adalah sesuatu yang subjektif
kerana dipengaruhi oleh budaya, status, psikologi dan kesesuaian konteks
komunikasi. Masyarakat barat mementingkan ketepatan waktu.
Penggunaan waktu sebenar amat penting dalam dunia perniagaan. Justeru
itu, mereka yang menepati waktu sebenar adalah mereka yang menepati
janji. Bagaimana pula dengan penggunaan waktu budaya? Waktu budaya
merujuk kepada waktu yang secara umumnya difahami oleh masyarakat
setempat. Berikut adalah beberapa contoh penggunaan waktu budaya:
Jumpa saya selepas waktu subuh; Pastikan semua pelajar berkumpul
79

selepas matahari naik; dan Jarak perjalanan ke kampung orang asli


mengambil masa kira-kira empat batang rokok. Berdasarkan beberapa
contoh ini, dapatkah anda tentukan masa yang sebenarnya? Manakala
masa sebenar pula merujuk kepada masa piawai, 24 jam sehari.
Ketepatan penggunaan masa akan mencerminkan tanggapan awal orang
lain terhadap kita. Misalnya, pelajar yang sering datang lewat, mungkir
janji, tidak menepati masa dianggap sebagai individu yang malas, tidak
bertanggungjawab atau tidak boleh dipercayai. Bagaimana dengan diri
anda?
5.4.3.4

Paralinguistik

Paralinguistik merujuk kepada elemen lisan yang keluar daripada mulut


tetapi bukan dalam bentuk perkataan. Paralinguistik adalah isyarat suara
dan bunyi yang mengiringi simbol lisan yang diucapkan. Paralinguistik
penting kerana makna daripada mesej lisan selalunya bergantung kepada
tanda paralinguistik. Bayangkan anda bercakap dengan nada yang
mendatar dan kelajuan yang sekata. Apakah emosi dan bentuk ucapan
anda? Isyarat paralinguistik penting dalam menentukan kesan komunikasi
dan mengenal pasti makna mesej sebenar.
Paralinguistik berfungsi untuk menyatakan perasaan, mengawal situasi,
mengarah, memberi penekanan maksud dan meningkatkan kadar
pembujukan. Bahasa penulisan tidak dapat menggambarkan emosi
sebenar. Tiga komponen paralinguistik ialah kelancaran dan kelajuan,
nada suara dan kualiti suara.
1.

Kelancaran dan kelajuan

Berapa lancar anda mengemukakan pandangan apabila diminta oleh


pensyarah? Adakah anda tergagap-gagap semasa menjawab? Ya, maklum
balas anda yang tersekat-sekat, gagap seketika dapat memberi gambaran
tentang ketidaksediaan anda dalam mengikut kuliah. Begitu juga ada
pelajar yang membentang kertas kerja tugasan dengan laju sehingga
rakan-rakan lain tidak dapat memahami idea utama yang hendak
disampaikan. Adakah kelajuan ucapan ini menggambarkan pelajar
tersebut seorang yang pandai? Pelajar yang bijak dapat menyeimbangkan
kelajuan ucapan supaya maklumat dapat dikongsi secara efektif dengan
pelajar lain. Beberapa contoh ini, dapat mengetengahkan emosi,
pengetahuan dan persediaan seseorang berdasarkan kelajuan dan
kelancaran suara ketika berinteraksi. Lazimnya kelajuan pengucapan yang
berkesan adalah antara 125 150 patah perkataan seminit. Kelajuan
bertutur menggambarkan emosi seseorang dalam kebimbangan dan
80

ketakutan. Manakala individu yang berada dalam kemurungan, sedih,


susah hati, menyuarakan sesuatu dalam nada dan kelajuan yang mendatar.
Kelancaran dan kelajuan bertutur boleh disesuaikan dengan konteks
komunikasi. Cuba anda bayangkan suasana syarahan akademik dan
ceramah politikmanakah yang lebih lancar dan laju? Kenapa berbeza?
2.

Nada suara

Lazimnya nada suara yang tinggi dan rendah secara berselang-seli dapat
menekankan sesuatu maksud yang hendak disampaikan. Dalam ceramah
politik umpamanya, penceramah menggunakan nada yang agak tinggi
ketika menyatakan pendiriannya, sebaliknya menggunakan nada rendah
ketika merayu para pengikutnya mengubah sikap. Di sini jelas bahawa,
tuturan dengan nada tinggi rendah sesuai dengan konteks interaksi dapat
memperlihatkan tahap pendidikan, perasaan, daya pembujukan dan niattujuan seseorang.
3.

Kualiti suara

Kualiti suara di sini merujuk kepada kejelasan sebutan dan jenis suara.
Ada individu yang bersuara merdu, garau dan nyaring. Contohnya,
pengacara majlis mempunyai kualiti suara yang baik dan bijak
menggunakan nada serta kelajuan yang sesuai ketika mengacarakan
sesuatu majlis. Cuba anda lihat rancangan terbitan TV3 Malaysian Top
Host. Semua peserta boleh bertutur dengan baik. Perkara yang
membezakan mereka ialah kualiti suara dan kebijaksanaan
mempelbagaikan gaya suara sesuai dengan kandungan program yang
dihoskan.
Apa pandangan anda jika seorang pensyarah tidak
menyampaikan syarahan dengan lancar dan jelas? Apakah
mesej yang anda dapat simpulkan apabila anda
menghadapi situasi kuliah seperti ini?
5.4.3.5

Artifaktual

Artifaktual merujuk kepada penampilan diri individu sama ada secara


penampilan tubuh badan ataupun aksesori diri seperti barang kemas.
Penampilan diri yang menarik solekan sesuai dengan fesyen dan majlis,
dapat menggambarkan keperibadian seseorang. Begitu juga dengan tubuh
badan yang sasa, kulit cerah dan rambut ikal mayang. Kesemua
penampilan diri ini dapat memberi mesej tertentu. Pakaian yang mahal
dan berjenama juga boleh menampilkan status dan keperibadian
seseorang. Pakaian pasukan keselamatan polis dan tentera pula
81

melambangkan disiplin, ketegasan dan ketangkasan. Kesesuaian


pemilihan warna pakaian juga melambangkan emosi dan personaliti
seseorang. Ahli psikologi menggunakan pemilihan warna untuk mentafsir
personaliti individu. Justeru itu, mesej artifaktual dapat memperlihatkan
gambaran awal tentang diri seseorang sebelum interaksi berlaku.
SOALAN DALAM TEKS

8. Beri TIGA (3) fungsi isyarat mata.


9. Terangkan EMPAT (4) jenis sentuhan menurut
Heslin (1991).
10. Apakah yang dimaksudkan dengan paralinguistik?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Untuk bacaan terperinci


tentang komunikasi
bukan lisan, sila lawat
laman web:
www.mhhe.com/tubbs
moss
yang menyediakan
gambar rajah serta bab
contoh untuk anda muat
turun.

5.5

RUMUSAN

Dalam proses komunikasi antara manusia, mesej boleh disampaikan


melalui dua bentuk iaitu secara lisan dan bukan lisan. Kedua-dua bentuk
mesej komunikasi ini mempunyai fungsi yang berbeza tetapi saling
melengkapi. Lazimnya, kita dapati bahawa komunikasi lisan adalah
berkaitan dengan penggunaan bahasa iaitu perkataan yang diucapkan
ataupun dalam bentuk tulisan. Dalam konteks komunikasi lisan, mesej
komunikasi lebih berbentuk tersurat dan terancang walaupun ada bahasa
82

kiasan dan puitis yang memerlukan tafsiran yang mendalam. Sebaliknya,


komunikasi bukan lisan lazimnya berlaku tanpa disedari diluar kawalan
dan jika dirancang ianya adalah mengikut keperluan fungsi seperti yang
dinyatakan di bahagian 5.4.2. Mesej bukan lisan terbentuk hasil daripada
rangsangan dalaman diri yang mewakili emosi dan keperibadian
seseorang. Justeru itu, fungsi komunikasi bukan lisan selain melengkapi
mesej lisan ianya juga boleh memberi penekanan, penggantian dan
menimbulkan percanggahan kepada mesej lisan.
Dalam usaha kita meningkatkan keberkesanan komunikasi, pentafsiran
mesej lisan dan mesej bukan lisan hendaklah dibuat secara tepat dan
berhemah bagi mengelakkan kesilapan memberi makna sebenar. Oleh
itu, faktor konteks, budaya dan latar belakang mereka yang terlibat dalam
hubungan tersebut juga perlu diberi perhatian kerana faktor ini dapat
mempengaruhi kelancaran serta keberkesanan proses komunikasi.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1.

Jelaskan perbezaan makna dengan mesej.

2.

Huraikan EMPAT (4) fungsi komunikasi bukan lisan.

3.

Huraikan EMPAT (4) bentuk dan ciri jarak fizikal.

4.

Apakah yang dimaksudkan dengan prosekmik?

5.

Huraikan bentuk-bentuk kinesik.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS


1.

Faktor yang mempengaruhi pentafsiran mesej ialah konteks,


tujuan, bentuk mesej, budaya, pendidikan dan pengalaman.

2.

Dua ciri mesej menurut Stohl (1995):

83

(i)
(ii)

Mesej membawa pelbagai makna.


Mesej terdiri daripada lisan dan bukan lisan.

3.

Maksud konotatif ialah bahasa yang membawa makna tersirat.


Manakala denotatif adalah makna bahasa kamus iaitu makna telah
ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam kamus.

4.

Dua ciri komunikasi lisan [Rujuk bahagian 5.3.1]:


(i)
(ii)

5.

Bahasa adalah satu sistem.


Bahasa adalah suatu yang abstrak.

Empat fungsi komunikasi lisan [Rujuk bahagian 5.3.2]:


(i)
(ii)
(iii)
(iv)

Peribadi: menggunakan bahasa untuk meluahkan


perasaan dan melambangkan keperibadian seseorang.
Pernyataan: menggunakan bahasa untuk menyatakan,
menjelaskan dan memerikan sesuatu perkara.
Penemuan.
Alatan.

6.

Komunikasi bukan lisan adalah komunikasi tanpa perkataan


(lisan) yang menggunakan simbol-simbol fizikal dan gerakan
badan untuk menyampaikan mesej.

7.

Prinsip bukan lisan [Rujuk bahagian 5.4.1]:


(i)
(ii)

8.

Tiga fungsi isyarat mata: [Rujuk bahagian 5.4.3.2]


(i)
(ii)
(iii)

9.

Komunikasi lisan adalah kabur sebab sukar ditafsir


dan mempunyai pelbagai makna.
Komunikasi bukan lisan refleksi kebolehpercayaan
simbol bukan lisan adalah hasil rangsangan emosi
dalaman seseorang. Ianya dipancarkan di luar kawalan
individu (spontan dan tanpa sedar).

Untuk mendapatkan maklum balas.


Memaklumkan
tentang
keterbukaan
komunikasi.
Isyarat bentuk hubungan.

saluran

Empat jenis sentuhan (Heslin, 1991): [Rujuk bahagian 5.4.3.2


untuk huraian lanjut]:
84

(i)
(ii)
(iii)
(iv)
10.

Sentuhan fungsional.
Sentuhan sosial.
Sentuhan persahabatan.
Sentuhan seks.

Paralinguistik merujuk kepada elemen lisan yang keluar daripada


mulut tetapi bukan dalam bentuk perkataan. Paralinguistik adalah
isyarat suara dan bunyi yang mengiring simbol lisan yang
diucapkan. [Rujuk bahagian 5.4.3.4 untuk huraian lanjut].

85

Anda mungkin juga menyukai