Anda di halaman 1dari 12

Sukatan Pelajaran

Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah

Produksi Multimedia

Pusat Perkembangan Kurikulum


Kementerian Pendidikan
Malaysia

2002
Pendahuluan
Mata pelajaran Produksi Multimedia ialah antara mata-mata pelajaran vokasional yang
ditawarkan khusus di sekolah-sekolah menengah akademik di Malaysia. Mata pelajaran
ini ditawarkan di peringkat menengah atas bagi memenuhi keperluan latihan kerjaya
dalam era teknologi maklumat dan komunikasi.
Sebagai suatu mata pelajaran di bawah kurikulum kebangsaan, mata Produksi
Multimedia digubal selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat
untuk mewujudkan insan yang seimbang perkembangan potensinya dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani, supaya berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak
mulia untuk memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat
dan negara. Seperti mata-mata pelajaran lain di bawah kurikulum kebangsaan, kurikulum
bagi mata pelajaran Produksi Multimedia digubal berasaskan kepada bidang ilmu
tertentu. Dewasa ini, multimedia merupakan salah satu antara disiplin ilmu teknologi
maklumat dan komunikasi. Disiplin ilmu ini dijadikan sebagai asas pertimbangan dalam
menggubal serta menentukan kandungan kurikulum Produksi Multimedia. Kandungan
Produksi Multimedia meliputi tiga unsur ilmu iaitu pengetahuan dan kefahaman,
kebolehan dan kemahiran, serta sikap dan nilai dalam menghasilkan sebarang artifak
multimedia. Sebagai salah satu antara mata pelajaran vokasional, Produksi Multimedia
merupakan satu mata pelajaran praktikal yang memperkembangkan kebolehan pelajar
dalam mengendalikan peralatan multimedia, khusus untuk menghasilkan sesuatu artifak
atau produk multimedia.
Produksi Multimedia ditawarkan kepada pelajar sekolah menengah di peringkat
menengah atas dan digubal untuk golongan pelajar yang kreatif serta berminat
menjadikan penerbitan multimedia sebagai kerjaya. Golongan pelajar yang tinggi
pemikiran mantiknya serta mempunyai asas teknologi maklumat dan komunikasi
merupakan golongan pelajar yang paling sesuai untuk mengikuti mata pelajaran ini.

Matlamat dan Objektif


Mata pelajaran Produksi Multimedia digubal dengan tujuan untuk menghasilkan pelajar
yang berpengetahuan tentang kaedah dan proses penghasilan produk multimedia serta
berkebolehan untuk menggunakan peralatan khusus bagi menghasilkan produk
multimedia yang menarik dan berkualiti. Pengalaman yang diperoleh melalui mata
pelajaran ini membolehkan pelajar untuk terus menceburi bidang pekerjaan yang
berkaitan dengan pengiklanan, rakaman studio dan penyiaran.
Ke arah mencapai matlamat mata pelajaran Produksi Multimedia, objektif berikut
digariskan, iaitu bagi membolehkan pelajar:-
1. Membina pengetahuan tentang proses, elemen, prinsip dan teknik produksi
multimedia.
2. Membina pengetahuan tentang peluang kerjaya dalam industri multimedia.
3. Membina pengetahuan dan kebolehan menggunakan perkakasan dan perisian
produksi multimedia piawaian industri serta perisian yang digunakan untuk
menyediakan elemen bagi produksi multimedia.
- 1 -
4. Memperkembang dan mengaplikasikan proses pemikiran logik dan kreatif dalam
menghasilkan produk multimedia.
5. Memperoleh pengalaman bekerja melibatkan satu kumpulan pembangun.
6. Memupuk sikap bertanggungjawab sebagai seorang ahli dalam satu kumpulan
kerja termasuk peranan pengurus dan pekerja.
7. Memupuk kesedaran tentang tanggungjawab etika apabila bekerja melibatkan
harta intelek dan bahan hakcipta
8. Memupuk kesedaran terhadap sikap dan protokol bekerja dalam persekitaran
kerja berasaskan pelanggan.

Rangka Konsep
Multi-media pada suatu ketika dahulu bermaksud persembahan filem dan pertunjukan
slaid. Istilah multi-media disingkatkan kepada multimedia, dan kini istilah multimedia
digunakan untuk memperihalkan teknologi perkakasan dan perisian yang memaparkan
imej serta memainkan bunyi. Imej dan bunyi daripada teknologi tersebut digabungkan
untuk menghasilkan satu persembahan atau produk multimedia. Imej dalam sesuatu
produk multimedia ialah teks, grafik, foto, animasi dan video, manakala bunyi boleh
berbentuk suara, muzik dan kesan bunyi. Atribut imej dan bunyi yang dinyatakan itu,
dalam istilah multimedia dikatakan sebagai elemen multimedia. Dengan keupayaan
sistem komputer sekarang untuk berinteraksi dengan pengguna, keinteraktifan sekarang
ini menjadi satu lagi elemen multimedia. Kefahaman ini, telah dijadikan sebagai asas
penggubalan bagi mata pelajaran Produksi Multimedia.
Produksi multimedia ialah satu proses yang kreatif dan produktif yang biasanya
dilakukan secara berpasukan. Dengan demikian mata pelajaran Produksi Multimedia
memperkembangkan kebolehan pelajar dalam teknik yang melibatkan perancangan
projek, penghasilan elemen, penyempurnaan dan persembahan projek. Projek yang
dibangunkan merangkumi multimedia berasaskan komputer, penerbitan CD-ROM serta
multimedia berasaskan web. Mata pelajaran ini turut melengkapkan pelajar dengan
kemahiran dan sikap yang diperlukan oleh seorang anggota pasukan berperanan sebagai
perancang, pembangun dan pengurus projek.
Pemahaman tentang multimedia dan produksi multimedia seperti yang dibincangkan
membentuk satu rangka konsep bagi mata pelajaran Produksi Multimedia yang boleh
digambarkan dengan rajah berikut:

- 2 -
Rangka Konsep Produksi Multimedia

Produk
Proses dan teknik Multimedia
Konsep
multimedia

web
CD-
ROM
Aplikasi
Penggunaan
pengetahuan
teknologi
perkakasan dan
perisian

Pengetahuan
Rangka konsep bagi sesuatu bidang kajian menyediakan satu mekanisme bagi menyusun
kandungan kurikulum berdasarkan unsur pengetahuan. Berdasarkan rangka konsep
seperti yang telah digambarkan serta unsur-unsur ilmu yang terkandung di dalamnya,
maka kandungan bagi mata pelajaran Produksi Multimedia bertumpu kepada empat
komponen pengetahuan iaitu:-
• Konsep multimedia.
• Teknologi perkakasan dan perisian multimedia.
• Proses dan teknik penghasilan produk multimedia.
• Jenis dan bentuk produk multimedia

Proses, Kemahiran dan Teknik


Selain daripada susunan kandungan yang berasaskan kepada unsur pengetahuan,
kandungan mata pelajaran Produksi Multimedia turut juga disusun berdasarkan proses
dan kemahiran. Produksi Multimedia ialah satu mata pelajaran yang praktikal, maka
dengan itu sebahagian besar daripada kandungannya merangkumi komponen proses atau
kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu produk multimedia. Proses
dalam Produksi Multimedia merujuk kepada proses kreatif dan analitis dalam
menghasilkan elemen, bahan dan produk multimedia, manakala kemahiran merujuk
kepada kebolehan menggunakan perkakasan dan perisian multimedia. Penggunaan
teknologi perkakasan dan perisian secara cekap dan berkesan untuk menghasilkan
elemen, bahan dan produk multimedia dikatakan sebagai teknik multimedia.

- 3 -
Proses Kreatif dan Analitis
Kemahiran dan proses utama yang perlu dikuasai dalam Produksi Multimedia ialah apa
yang dikatakan sebagai teknik Produksi Multimedia. Walau bagaimanapun seseorang
penerbit produk multimedia memerlukan juga pengetahuan dan kebolehan dalam
menghasilkan elemen multimedia. Asas kepada pengetahuan dan kebolehan ini
merupakan proses kreatif dan analitis yang antaranya ialah:-
• memerhati,
• membuat refleksi,
• memperihal,
• menganalisis,
• mentafsir,
• menyusun, dan
• menilai.

Pengendalian Teknologi Perkakasan dan Perisian


Produk multimedia merupakan suatu hasil konkrit. Penghasilan produk multimedia
daripada suatu idea yang abstrak memerlukan peralatan tertentu. Kebolehan
mengendalikan peralatan dengan cekap untuk menghasilkan produk multimedia
membolehkan mesej yang ingin disampaikan melalui sesuatu karya multimedia
dipaparkan dengan tepat dan jelas. Bagi Produksi Multimedia peralatan yang digunakan
dalam menghasilkan produk multimedia ialah sistem komputer dan peranti periferalnya.
Kemahiran pengendalian peralatan yang melibatkan sistem komputer boleh digolongkan
kepada dua jenis iaitu pengendalian perkakasan dan pengendalian perisian.
Perkakasan komputer yang perlu dikendalikan dalam menghasilkan sesuatu karya grafik
ialah:
• Perkakasan asas sistem komputer (termasuk tetikus)
• Tablet grafik dan pena
• Pengimbas
• Pencetak
• Peranti audio dan video
Di samping itu, perkakasan lain yang digunakan sebagai sumber memperoleh imej atau
perkakasan pemaparan perlu juga dikendalikan. Perkakasan tersebut termasuklah
• Kamera digital pegun dan video
• Projektor LCD

- 4 -
Pengendalian perisian multimedia dan elemen
Perkakasan komputer sahaja tidak berupaya untuk menghasilkan sesuatu produk
multimedia. Perisian diperlukan sebagai pelengkap kepada suatu sistem komputer.
Perisian khusus untuk digunakan dalam Produksi Multimedia ialah:
• Perisian Pengarangan
• Penyunting grafik
• Penyunting foto
• Pemorfan
• Penyunting audio dan video

Teknik Produksi Multimedia


Sebagai suatu proses yang kreatif dan produktif, Produksi Multimedia memerlukan
individu yang berkebolehan dalam teknik perekaan dan komunikasi. Sesuatu produk
multimedia melalui proses perekaan dan pembangunan tertakluk kepada spesifikasi
tertentu, terutamanya mesej yang ingin disampaikan oleh produk multimedia itu
seharusnya tepat dan jelas. Antara teknik produksi multimedia yang melibatkan perekaan
dan komunikasi ialah:
• Papan cerita
• Videografik
• Fotografi
• Produksi audio
• Pengarangan

Sikap dan Nilai


Mata pelajaran Produksi Multimedia kaya dengan nilai intrinsik seperti yang terdapat
dalam seni komunikasi audio-visual. Aspek audio-visual bagi produk multimedia dikawal
oleh prinsip seni reka iaitu:
• Corak, ulangan dan ritma
• Imbangan
• Kontra
• Penegasan
• Pergerakan
• Kesatuan dan harmoni
Penghasilan produk multimedia berdasarkan prinsip tersebut memupuk nilai kepatuhan
dan ketaatan yang boleh diaplikasikan kepada prinsip dan peraturan hidup.

- 5 -
Idea bagi komponen audio dan visual produk multimedia muncul daripada pengalaman
hidup, kepercayaan, kebudayaan ataupun persekitaran. Dengan demikian, untuk
menghasilkan sesuatu produk multimedia, seseorang individu perlu kepekaan deria dan
penghargaan estetik yang tinggi. Secara umumnya Produksi Multimedia mampu
membentuk individu yang berfikiran terbuka, berdisiplin serta yakin diri.
Penghasilan sesuatu produk multimedia melibatkan sekumpulan individu yang setiap
seorang daripada kumpulan itu mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. Dalam
menghasilkan produk multimedia, interaksi antara individu dalam kumpulan adalah
perlu. Situasi ini mewujudkan peluang bagi memupuk nilai bekerjasama serta saling
menghormati pandangan dan kepakaran antara satu sama lain.

Organisasi Kandungan
Unsur pengetahuan, proses, teknik dan kemahiran, serta sikap dan nilai dalam mata
pelajaran Produksi Multimedia adalah saling berkaitan antara satu sama lain dan harus
dilihat sebagai satu entiti yang bersepadu. Dengan demikian kandungan bagi mata
pelajaran Produksi Multimedia perlu disusun supaya kelihatan sebagai satu bidang ilmu
tersendiri. Unsur pengetahuan dibahagikan kepada empat bidang dan pembahagian
bidang ini adalah jelas. Susunan bidang pengetahuan dibuat mengikut urutan bermula
dengan Konsep Multimedia, diikuti dengan Teknologi Perkakasan dan Perisian
Multimedia, Proses dan Teknik Penghasilan Produk Multimedia, serta berakhir dengan
Jenis dan Bentuk Produk Multimedia.
Merentasi keempat bidang pengetahuan itu ialah proses, kemahiran dan teknik Produksi
Multimedia iaitu proses analitis dan kreatif, kemahiran pengendalian perkakasan dan
perisian multimedia dan juga teknik produksi multimedia. Walau bagaimanapun
penekanan terhadap proses, kemahiran dan teknik Produksi Multimedia adalah berbeza
dalam setiap bidang pengetahuan. Contohnya, di bawah bidang pengetahuan Konsep
Multimedia, kemahiran pengendalian perkakasan dan perisian adalah pada tahap yang
minimum berbanding dengan bidang pengetahuan Teknologi Perkakasan dan Perisian
Multimedia.
Keseluruhan unsur pengetahuan dan kemahiran Produksi Multimedia yang digunakan
dalam menghasilkan produk multimedia dikawal dengan prinsip dan sistem nilai bagi
membentuk individu yang berfikiran terbuka, berdisiplin dan yakin diri.
Rajah di bawah merumuskan organisasi kandungan bagi mata plajaran Produksi
Multimedia.

- 6 -
Organisasi Kandungan Produksi Multimedia

pengalaman hidup persekitaran

Teknologi

Fikiran terbuka, disiplin, yakin diri


Perkakasan dan
Perisian Multimedia
Konsep
Jenis dan Bentuk
Multimedia Teknik Penghasilan Produk Multimedia
Produk Multimedia
Prinsip seni reka

• Analitis dan Kreatif

• Pengendalian Perkakasan dan Perisian

• Teknik Produksi Multimedia

kebudayaan kepercayaan

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran


Mata pelajaran Produksi Multimedia digubal bagi menyediakan pelajar untuk menceburi
bidang kerjaya yang memerlukan hasil atau produk multimedia. Kerjaya yang sebegini
adalah kerjaya yang berasaskan pengetahuan dan pekerja dalam bidang kerjaya ini
merupakan pekerja-pekerja ilmu. Bagi menyediakan pelajar untuk menjadi seorang
pekerja ilmu, pelajar bekenaan perlu didedahkan kepada pengalaman yang serasi dengan
keperluan industri. Untuk tujuan ini, model pengajaran dan pembelajaran yang sesuai
ialah pengajaran dan pembelajaran yang
• menumpukan kepada konsep dan prinsip sesuatu disiplin ilmu,
• melibatkan pelajar untuk meneroka dalam penyelesaian masalah serta tugas yang
bermakna,
• memberikan autonomi untuk pelajar membina pengetahuan mereka dengan
sendiri, serta
• menghasilkan produk yang realistik.
Model pembelajaran seperti yang dinyatakan di atas dikatakan sebagai pembelajaran
berasaskan projek. Dalam pembelajaran berasaskan projek, pelajar diberi projek,

- 7 -
masalah atau tugas untuk dilaksanakan. Projek, masalah atau tugas yang diberi
berkehendakkan pelajar menggunakan pengetahuan dan peralatan tertentu untuk
menghasilkan sesuatu produk, memperoleh penyelesaian, atau membuat laporan. Dalam
menggunakan pengetahuan dan peralatan tertentu, pelajar membina pengetahuan dan
kemahiran baru. Hasil pembelajaran yang diberi tumpuan bukannya produk, penyelesaian
atau laporan yang terhasil daripada pelaksanaan projek, penyelesaian masalah atau tugas
yang diberi, tetapi kepada pengetahuan dan kemahiran yang digunakan dan dibina.
Pelajar mempunyai peluang sepenuhnya untuk merancang, mereka bentuk dan melaksana
dengan sendiri projek yang diberi serta membuat refleksi untuk menilai proses yang
dilalui dan produk yang dihasilkan.
Pembelajaran berasaskan projek, mengemukakan projek, masalah atau tugas yang
autentik serta memberi peluang untuk mewujudkan simulasi yang realistik untuk
menyelesaikan masalah. Situasi sebegini merupakan situasi yang paling sesuai untuk
menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran dalam bidang kerjaya.

Pentaksiran
Pentaksiran ialah suatu proses sistematik bagi mengumpul maklumat tentang
pembelajaran untuk memperihalkan pengetahuan, kebolehan dan arah tujuan
pembelajaran seseorang pelajar. Evidens dan maklumat yang dikumpul melalui
pentaksiran membolehkan pembelajaran dan prestasi pelajar diperihalkan. Maklumat
yang diperoleh melalui pentaksiran dapat digunakan sama ada sebagai maklum balik
yang berterusan kepada pelajar, merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran
lanjutan, menyediakan matlamat pembelajaran seterusnya, ataupun bagi menentukan
bidang pembelajaran yang memerlukan pengajaran diagnostik dan pemulihan.
Walaupun tujuan pentaksiran ialah untuk membantu supaya pembelajaran menjadi lebih
baik, pentaksiran juga digunakan untuk mengukur prestasi, kemajuan dan pencapaian
pelajar dalam pembelajaran. Bagi tujuan tersebut, kriteria pembelajaran perlu ditentukan
sebagai rujukan untuk dibandingkan dengan prestasi, kemajuan atau pencapaian pelajar.
Dokumen sukatan pelajaran Produksi Multimedia hanya memperihalkan bidang
pembelajaran dan skop pembelajaran. Hasil pembelajaran yang dihasratkan bagi Produksi
Multimedia diperihalkan dalam dokumen Huraian Sukatan Pelajaran mata pelajaran
berkenaan, dan daripada hasil pembelajaran tersebut, kriteria pembelajaran diterbitkan.
Pentaksiran bagi mata pelajaran Produksi Multimedia harus ditadbirkan di peringkat
sekolah dan juga di peringkat pusat. Memandangkan pentaksiran harus dilaksanakan
secara berterusan, pentaksiran sekolah adalah sama pentingnya dengan pentaksiran pusat.
Ini kerana, pentaksiran yang bertumpukan kepada pentaksiran pusat sahaja menjadikan
perihalan tentang prestasi, kemajuan dan pencapaian pelajar tidak sempurna mahupun
menyeluruh.

Bidang Pembelajaran
Unsur pengetahuan Produksi Multimedia digunakan sebagai asas untuk menentukan skop
bidang pembelajaran bagi mata pelajaran Produksi Multimedia. Dengan itu, bidang
pembelajaran Produksi Multimedia dibahagikan kepada empat komponen bertajuk
Konsep Multimedia, Teknologi Perkakasan dan Perisian Multimedia, Proses dan Teknik
- 8 -
Penghasilan Produk Multimedia, serta Jenis dan Bentuk Produk Multimedia. Setiap tajuk
tersebut mengandungi beberapa konsep yang menjadi tajuk kecil kepada Bidang
Pembelajaran berkenaan. Konsep di bawah setiap tajuk kecil diperincikan bagi
menunjukkan kedalamannya dan dinyatakan di bawah lajur Skop.

KONSEP MULTIMEDIA
Bidang Pembelajaran Skop
Produksi Multimedia ƒ Pengertian multimedia
ƒ Sejarah perkembangan multimedia
ƒ Pasukan produksi bahan multimedia
ƒ Penggunaan dan sumbangan multimedia dalam
kehidupan
ƒ Peluang kerjaya
Elemen multimedia ƒ Teks
ƒ Grafik
ƒ Animasi
ƒ Audio
ƒ Video
ƒ Interaktiviti

TEKNOLOGI PERKAKASAN DAN PERISIAN MULTIMEDIA


Bidang Pembelajaran Skop
Perkakasan ƒ Spesifikasi Komputer Multimedia (MPC)
a) Pemproses
b) RAM
c) Storan
d) Display
e) Antara muka pengguna
f) Kad bunyi
g) Kad video
h) Kad Penangkap video

- 9 -
Bidang Pembelajaran Skop

ƒ Perkakasan Periferal
a) Sistem audio
b) Pengimbas
c) Kamera digital
d) Kamera video digital
e) Pencetak
Perisian ƒ Sistem Pengoperasian
ƒ Perisian pengarangan
a) Takrifan
b) Metafora
c) Persembahan slaid
d) Berasas ikon
e) Kad/buku
f) Berasas masa/frame
g) Pengaturcaraan
h) Fungsi dalam perisian pengarangan

TEKNIK PENGHASILAN PRODUK MULTIMEDIA


Bidang Pembelajaran Skop
Reka Bentuk ƒ Prinsip Reka Bentuk
a) Keseimbangan
b) Keseragaman
c) Kesatuan
d) Interaktiviti

ƒ Proses Reka Bentuk


a) Fasa Perancangan
b) Analisis keperluan
c) Fasa Pembangunan
d) Fasa Pengujian

- 10 -
Bidang Pembelajaran Skop
Pembangunan Multimedia ƒ Pemerolehan bahan multimedia
a) Pelbagai sumber
b) Ciptaan asli

ƒ Penyuntingan bahan multimedia


ƒ Pengintegrasian elemen multimedia
a) Stand alone
b) Web

ƒ Pengujian Prototaip
ƒ Pendokumentasian
ƒ Produksi dan Edaran

PRODUK MULTIMEDIA
Bidang Pembelajaran Skop
Jenis dan Bentuk Produk
Multimedia
ƒ Bentuk Produk Multimedia
a) Stand alone
b) Web

ƒ Dokumentasi
ƒ Manual
ƒ Pempakejan
Isu dan kegunaan produk ƒ Etika dan hak cipta
ƒ Trend masa depan
a) Perkakasan
b) Perisian
c) Web (Jaring)

- 11 -

Anda mungkin juga menyukai