Anda di halaman 1dari 18

Analisis teori Takmilah Buku Puncak Jihad

(Kumpulan Puisi Animas ar)

PENGENALAN
Konsep Sastera Islam di alam Melayu dibentuk oleh “Kiyal Cabul”, diketuai
oleh Hamka, di Medan, pada 1930-an. Di Malaysia, wacana sastera Islam
yang bersifat konseptual mula muncul pada tahun 1965 apabila Yusof Zaki
Yaakob membentangkan pandangannya dalam kertas kerja yang
dibentangkan pada Hari Sastera di Kota Bharu. Walau bagaimanapun,
gelombang besar perbincangan mengenainya timbul ekoran daripada
polemik antara Shahnon Ahmad dengan Kasim Ahmad pada dekad 1980-
an. Impaknya cukup besar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Singapura
dan Indonesia. Misalnya, Kompas, 24 November 2002 melaporkan konsep
‘Seni untuk masyarakat’ yang menjadi motif perjuangan Asas ’50 berteraskan
nasionalisme, sejak begitu lama menguasai alam pemikiran sastera Melayu,
merosot apabila tercetusnya polemik sastera di antara dua sasterawan besar
Shahnon Ahmad dan Kasim Ahmad pada pertengahan tahun 1980-an.

Sejak itu, tradisi sastera yang berunsurkan Islam semakin mendapat tempat
dalam kalangan masyarakat. Sesuai dengan zaman kebangkitan Islam,
ramai sasterawan di Malaysia dan Indonesia mula menghayati kembali
karya-karya sastera yang berunsurkan Islam dan sufi. Di Indonesia, hal ini
dipelopori oleh penyair besar Abdul Hadi WM. Manakala di Malaysia, ia
dipelopori oleh Yusof Zaki dan Shahnon Ahmad.

Sastera Islam Berasaskan Teori Takmilah


Teori Takmilah merupakan perkembangan baru dalam dunia kritikan sastera
tempatan. Ia menjadi pendekatan alternatif tengah-tengah keghairahan
teori sastera dari Barat yang menguasai dunia sastera tempatan hari ini,
berasaskan nilai-nilai estetika daripada al-Quran dan al-hadis.

Hasil daripada pengamatan teliti Prof. Madya Dr. Shafei Abu Bakar
bersumberkan nilai-nilai estetika ini dan falsafah Islam yang berprinsipkan
tauhid, teori sastera ini direalisasikan. Dari aspek penerapannya, takmilah
mengarah kepada pemahaman bahawa sesebuah karya sastera
merupakan salah satu unsur seni yang menekankan kesempurnaan serta
keindahan. Ia secara umumnya didasarkan kepada tujuh prinsip utama iaitu
kesempurnaan dari aspek ketuhanan (kamal), kerasulan (kamil), keislaman
(akmal), prinsip ilmu (takamul), kesusasteraan (takmilah), pengkarya (istikmal)
dan insan (kamil).

Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof. Madya Dr.
Mohd. Mokhtar Abu Hassan melihat teori takmilah ini memberi sumbangan
yang begitu penting dalam asas kritikan sastera tempatan dalam lingkup
epistemologi Islam.

Menurutnya, secara takmilah, seseorang pengarang dan karya sastera yang

1
sempurna menggabungkan unsur-unsur tersebut membentuk satu karya
yang mampu mewadahi khalayak Islamnya sendiri. Pengindahan dalam
sastera untuk mencapai takmilah melibatkan semua aspek yang
merangkumi penghasilan sesebuah karya. Ia merangkumi bentuk, isi, tema,
struktur, teknik, watak, perwatakan, sudut pandang, nilai, mesej, ideologi dan
sebagainya.

Bagi karya-karya berbentuk puisi pula terdapat aspek-aspek khusus yang


mencirikan kepuisian yang meliputi estetika, simile, metafora, alegori,
personafikasi, simbol, citra, hiperbola, aliterasi, asonasi, pembayang dan
maksud. Seseorang pengarang harus bertanggungjawab menyempurnakan
hasil-hasil kreatif mereka dengan nilai-nilai estetika seni selaras dengan
kehendak dan kesempurnaan-Nya. Dengan mengambil contoh Puisi
‘Anbiya’ karya Shamsuddin Jaafar, Mohd. Mokhtar melihat ianya begitu jelas
memaparkan nilai-nilai takmilah yang berkait rapat kisah para nabi (ulama
penerus ajaran Junjungan Besar).

Keagungan Allah juga dipancarkan oleh penyair dalam peristiwa


pembinaan kapal ketika Nabi Nuh ditentang oleh pengikut-pengikut yang
ingkar terhadap perintah-Nya. Kebesaran dan Keagungan-Nya dipaparkan
oleh penyair dengan begitu teliti dan jelas menerusi kisah-kisah ini, termasuk
pelbagai peristiwa sekitar Nabi Ibrahim a.s, Nabi Muhammad s.a.w dan lain-
lain, sekali gus mengajak manusia merenungi serta menghayati pengajaran
daripada kisah-kisah ini.

Jelas, segala yang diungkapkan oleh penyair dalam Puisi ‘Anbiya’ mengarah
kepada orientasi keislaman iaitu berhubung mengenai ketuhanan, akidah
nabi dan Rasul. Ini sesuai dengan teori sastera Islam itu sendiri dari segi
keindahan penyampaian melalui sastera dan indah dari segi nilai yang
menyempurnakan pegangan keislaman serta falsafah tauhidnya. Segala-
galanya dipaparkan semula oleh penyair dalam bentuk puisi untuk
'mentakmilahkan' manusia agar kehidupan manusia akan lebih sempurna.

Penyair turut menampilkan unsur-unsur keindahan dalam pelbagai aspek


termasuklah unsur bunyi yang biasanya berulang dan persamaan bunyi
untuk menyempurnakan bentuk, bunyi dan makna yang dianggap indah.
Antara lain dalam Puisi ‘Anbiya’ diperlihatkan menerusi teknik perulangan
yang sesungguhnya banyak ditemukan di Al Quran.

Dr Shafei Abu Bakar sesungguhnya berjaya melahirkan satu kerangka teori


yang lengkap dan jelas dengan meliputi definisi, konsep, falsafah, prinsip dan
dikemukakan contoh-contoh karya yang boleh diaplikasi dengan teori
tersebut. Teori yang dikemukakan ini ternyata telah mendapat tempat
kepada peneliti sastera dan pencinta teori kesusasteraan Islam.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden


dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hjh Samsina bt Hj Abd.

2
Rahman, teori takmilah berdasarkan kepada tujuh prinsip dengan
bertunjangkan sifat kamal (kesempurnaan) Allah s.w.t. dan al-kamil Rasulullah
s.a.w. dalam membina karya berunsur Islam.

Teori ini bersifat holistik kerana prinsip-prinsipnya melibatkan pelbagai aspek


iaitu ketuhanan yang bersifat kamal, kerasulan sebagai insan kamil,
keislaman yang bersifat akmal, ilmu dengan sastera yang bersifat takamul,
sastera yang berciri estetik dan bersifat takmilah, pengkarya yang
mengistikmalkan diri dan khalayak ke arah insan kamil.

Istikmal merujuk kepada pengkarya yang perlu melengkapkan diri mereka


dengan ilmu agama, sastera dan ilmu bantu yang lain. Dalam hal ini, sastera
boleh berperanan dalam menyempurnakan ilmu lain seperti sains,
perubatan, kejuruteraan, geografi dan sejarah. Kebanyakan penulis
mempunyai latar belakang berbeza seperti Aminah Mokhtar, seorang
jururawat yang menghasilkan karya-karya berunsur agama.

Karya sastera Islam yang asli bersifat lebih syumul (menyeluruh). Teori
takmilah, menurut Dr Shafie, mempunyai dua komponen utama iaitu
komponen falsafah dan teknik berkarya, Dr Samsina yang mengkhusus dalam
Kesusasteraan Melayu khusus dalam Puisi Islam, Teori Sastera Islam (Takmilah)
dan Kesusasteraan Melayu Mistik (tasawuf).

Beliau berpendapat, perkembangan sastera Islam di Malaysia terbahagi


kepada dua. Pertama, penulis muda yang berlatar belakang pendidikan
agama yang cenderung menulis tentang Islam. Sudut kedua ialah penulis
terkenal yang memilih karya berunsur Islam sesuai dengan peningkatan umur
mereka. Antara hasil karya berunsur Islam ialah novel Imam oleh Sasterawan
Negara Abdullah Hussin, kumpulan puisi al-Amin karya A. Samad Said yang
juga Sasterawan Negara dan novel Muhammad Akhir karya Anas K. Hadi
Maja.“Contohnya, Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari yang aktif
melahirkan puisi Islam serta Faisal Tehrani dengan genre cerpen dan novel
menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penulis muda.

Sastera Islam perlu lebih fokus kerana ia membabitkan ilmu agama, fardu ain
dan fardu kifayah. Penulis sastera Islam mempunyai tugas berat kerana
setiap karyanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Soal agama bukan
perkara yang boleh dipermain-mainkan.

Latar Belakang Teori dan Pendekatan Takmilah


Teori dan pendekatan Takmilah kini sudah menjangkau usia hampir 16 tahun
iaitu apabila ia mula diperkenalkan oleh Dr Shafie bin Abu Bakar pada 29
hingga 31 Oktober 1992. Pada awalnya beliau tidak menggunakan istilah
Takmilah tetapi menggunakan tajuk “ Sastera Islam: Teori Pengindahan dan
Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid”. Kertas kerja ini dibentangkan dalam
satu seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Port Dikson.

3
Lanjutan daripada itu beliau telah menjelaskan idea mengenai teori Takmilah
dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu anjuran Universiti
Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka pada
5 hingga 8 September 1993. Beliau membentangkan kertas kerja yang
bertajuk “Teks Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin: Sebagai model Sastera Islam”.
Dr Shafie Abu Bakar menggunakan istilah Takmilah dengan pengolahan teks
yang dipilih tetapi bukan sebagai judul utama kertas kerja.

Penggunaan istilah “Takmilah” sebagai judul kertas kerja dikemukakan oleh


beliau dalam satu Nadwah Sastera Islam Antarabangsa , juga dianjurkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1 hingga 3 Disember 1993. Kertas
kerja itu bertajuk “Takmilah: Teori Sastera Islam”. Kertas kerja ini disiarkan
dalam majalah Dewan Sastera terbitan bulan Ogos dan September 1994.

Aplikasi teori ini kemudianya telah dilakukan oleh Dr Shafie Abu Bakar
terhadap kumpulan puisi ‘Kau dan Aku’ karya A. Aziz Deraman dengan judul
“Kau dan Aku: Analisis Takmilah”. Ia dijadikan esei kritikan dan disiarkan
dalam majalah Dewan Sastera keluaran bulan Januari 1995, seterusnya
beliau terus mengaplikasi teori Takmilah dengan menganalisis puisi-puisi
melayu moden berunsur tasawuf hingga beliau menamatkan pengajian
peringkat Ph.D pada tahun 1996.

Penerapan dan aplikasi teori ini terus dilakukan hingga kini menjadi projek
penyelidikan pelajar pada peringkat Bachelor, Sarjana, dan Doktor Falsafah
sama ada di Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya malah di Universiti
Kebangsaan Malaysia sendiri.

Menurut Dr Shafie Abu Bakar teori Takmialh yang dibina secara berhubung
rapat dengan falsafah dan prinsip-prinsip keislaman adalah bersifat syumul
(menyeluruh) dan holistik. Sifat syumul dijelaskan iaitu ia mesti bertolak dari
falsafah tauhid yang bersifat doktirinik yang kukuh dalam islam. Dari sifat
‘Kamal Allah’ yang menjadi unsur bagi Takmilah sebagai elemen mendidik
dan tajmilah (keindahan/estetik) sebagai elemen seni dan sastera yang
meningkatkan martabat insan seperti yang tergambar pada sifat Rasulullah
S.A.W.

Beliau menegaskan ada dua komponen utama iaitu Komponen Falsafah


yang mewarnai nilai-nilai seperti kebaikan, kebenaran, kemulian, dan
ketinggian serta Komponen Seni yang mewarnai karya melalui teknik-teknik
berkarya itu sendiri. Kedua-dua komponen ini merangkumi nilai baik dan
buruk yang ditegaskan dalam teori ini adalah sebagai pendorong Dr Shafie
Abu Bakar . Beliau juga mengenengahkan nilai-nulai yang tidak diketemui
dalam teori-teori kesusasteraan yang terdahulu agar dapat digunakan
dalam menganalisis karya-karya kesusasteraan Melayu-Islam.

Teori ini dikatakan bersifat holistik kerana prinsip-prinsipnya yang tujuh

4
melibatkan segala aspek iaitu Ketuhanan, Kenabian, Keislaman, Keilmuan,
Karya, Pengkarya dan Khalayak. Tujuh prinsip tersebut sebagai mana
diutarakan melalui Dewan Sastera 1996 dan diperhalusi dalam kertas kerja
yang dibentangkan pada tahun 2000 adalah seperti berikut:

1) Prinsip ketuhanan yang bersifat Kamal.


2) Prinsip kerasulan sebagai insan Kamil.
3) Prinsip keislaman yang bersifat Akmal.
4) Prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat Takamul.
5) Prinsip sastera sendiri yang bercirikan estetika dan bersifat Takmilah.
6) Prinsip pada pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri.
7) Prinsip khalayak bertujuan memupuk mereka kearah insan Kamil.

Analisis Takmilah dalam Puisi ‘Puncak Jihad’. Kumpulan Puisi Anismas Ar


Analisis puisi ini akan merujuk kepada tujuh prinsip yang berteraskan teori
Takmilah yang diutarakan oleh Dr Shafie Abu Bakar dalam kumpulan puisi
Anismas Ar karya Dr Hjh Samsina bt Hj Abdul Rahman yang diterbitkan oleh
Universiti Putra Malaysia pada tahun 2008.

1. Prinsip ketuhanan yang bersifat Kamal


Prinsip teori takmilah dalam pengetian Dr Shafie Abu Bakar mengenal sifat
Allah yang mempunyai sifat yang sempurna iaitu sifat Kamalnya. Maksud
takmilah itu ialah Menyempurnakan. Dalam puisi ini penyair mencatatkan
pengalamannya semasa mengerjakan haji dan sewaktu penyair hampir
bertolak ke Mekah, beliau merakamkan pujian-pujian yang berbentuk doa
kepada tuhan melalui bait- bait puisi tersebut yang mengagung-agungkan
sifat Allah dalam puisi “Muqadimah Catatan Suci Puncak Jihad”

Maha suci-Mu ya Quddus


Maha Agung-Mu ya Azim
Maha Pemurah-Mu ya Rahman
Maha Pengasih-Mu ya Rahim
Pabila sampai saatku ini
Permudah kembaraku ke puncak jihad-Mu
(2008: 1)

Perasaan berserah kepada Allah ini timbul kerana penyair bersyukur kerana
menjadi tetamu Allah iaitu pergi menunaikan haji yang dapat kita lihat pada
bait pertama hingga bait keempat dalam puisi tersebut iaitu:
Sekali telah tercatat di tangan taqdir
Panggilan-Mu tiada mungkir
Menjemputku sebagai tetamu-Mu
Haji puncak Ketaatan ibadah
(2008: 1)

Penyair juga membawa pembaca dalam mengenal sifat-sifat Allah apabila

5
merakamkan pengalaman ketika bersembahyang subuh di Masjid Nabawi
melalui syair ‘Masjid Nabawi (i)’ ungkapannya berikut:

Alhamdulillah ya Rahman
Alhamdulillah ya Rahim
Alhamdilillah ya Qahhar
Alhamdulillah ya Razzaq
Alhamdulillah ya Kamal
Hanya itu yang mengalir di bibir
Lalu sujud menyerah diri
Meneruskan jihad rohani-jasmani
Di bumi sucimurni ini
(2008: 4)

Konsep kesempurnaan ini dapat kita garap apabila kita membaca tafsir
Pimpinan ar-Rahman cetakan kelima dalam Surah Al Mu’min ayat 64 dan 65
yang membawa maksud:

Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan


untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh
binaannya; dan ia membentuk kamu lalu memperelokkan
rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-
benda yang baik lagi halal. Yang demikian (KekuasaanNya
dan kemurkaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu; maka
nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, tuhan sekian
alam.

(1992: 1257)

Dialah yang tetap hidup; tiada tuhan (yang berhak


disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia
dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya
semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah, tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan sekian alam.
(1992: 1257)

Di dasari perasaan rendah diri dan berjiwa tauhid serta mengharapkan


keampunan dari Allah, penyair berdoa setelah bersolat sunat dua rakaat di
Ta’naeem memperlihatkan bahawa dirinya sebagai hamba yang serba
kekurangan dan lemah dan mengharapkan agar tuhan memberikan
perlindungan baik di dunia apatah lagi azab di alam kubur. Kita dapat
menghayati syair apabila membaca syair yang bertajuk “Jihad Umrah Sunat
Pemula” seperti berikut :

Memulakan miqat di Ta’naeem

6
Dengan solat sunat 2 rakaat
Diriku dan kekasihku
Serta beberapa tetamu-Mu
Menuju Baitul Atiq-Mu
Sebelum kukitari rumah-Mu
Ku angkat tangan sambil berdoa
Alllah Yang Maha Agung (5X)
Tiada tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya
Melainkan Allah yang Maha Esa
Tiada sekutu bagi-Mu
Tiada tuhan memerintah segala sesuatu
Segala puji untuk-Mu
Dialah Tuhan Yang berkuasa atas setiap sesuatu
Aku berlindung daripada kekufuran
Aku berlindung daripada kemiskinan
Aku berlindung daripada azab kubur

(2008: 22)

Pengalaman penyair sewaktu diuji dengan cuaca yang sejuk ketika di Arafah
sehingga menukarkan suasana yang panas menjadi sangat sejuk memberi
kesan kepada pembaca bahawa kuasa Allah menentukan segalanya,
penyair berdoa dengan menyebut sifat-sifat Allah serta menyerahkan
segalanya kepada takdir. Syair “Doa di Bumi Arafah-Mu” pada bait 10
hingga 20 seperti berikut:

Apa yang termampu


Kupohon pada-Mu
Hidup dan matiku
Hanya untuk-Mu
Hanya kerana-Mu
Ya Aziz
Ya Qahhar
Ya Malik
Ya Khaliq
Aku redha dengan jihat ini
Aku pasrah dengan taqdir-Mu
(2008: 52)

Di halaman yang terakhir syair ini iaitu pada halaman 67, penyair banyak
memanjatkan syukur kepada Allah kerana segalanya cita-citanya untuk
menyempurnakan rukun Islam kelima telah dapat dijalankan dengan sebaik-
baiknya dihamburkan dengan kata-kata yang penuh kesyukuran .

Diri kembali ke fitrah suci


Berkaca-kaca bercahaya-cahaya
Meliputi rohani jasmani

7
Meliputi rohani jasmani
Meliputi akal dan jiwa
Mentakmilah puncak jihad ini
Alhamdulillah
Moga jihad ini bukanlah
Al-khatimah hakiki
Masih terhimpun redupnya cinta abadi
Masih menggunung tingginya kasih sejati
Masih menguntum mawar saying hakiki
Buat-mu Ya Ilahi Rabbi
Buat-mu Ya Ilahi Rabbi
Maha suci
Maha suci
Maha suci
Maha suci
Maha suci
Maha suci
(2008: 66-67)

2. Prinsip Kerasulan sebagai Insan Kamil


Menurut Dr Shafie Abu Bakar, teori takmilah juga mempunyai pertalian
dengan Rasulullah sebagai insan Kamil yang bererti manusia sempurna
dalam falsafah pemikiran Islam bermaksud tergabung tiga-tiga konsep ideal
keinsanan iaitu insan Kamil, insan Khalifah dan insan Rabbani (Dewan sastera,
1996:28). Ketiga-tiga konsep ini terbukti dalam sejarah Islam dimiliki oleh
baginda Rasulullah yang mendapat gelaran al-Amin (yang jujur dan yang
benar), al-Mustafa (yang terpilih) dan habibullah (kekasih Allah).

Rasullullah sebagai insan khalifah merupakan seorang pemimpin, pentadbir,


hakim dan panglima perang. Baginda mempunyai peribadi yang mulia dan
akhlak yang terpuji dengan segala sifat yang istimewa (mukjizat) dari
baginda kecil hingga ke saat kewafatannya (Samsina Abd. Rahman, 2001:
17)
Penyair membawa tumpuan para pembaca dengan meletakkan puji-pujian
kepada Rasulullah dalam syairnya yang bertajuk “Masjid Nabawi (i)” di mana
beliau telah berselawat dan memuji-muji baginda sebagai insan kamil :

Setinggi-tinggi salawat buat kekasih-Mu


Ya Rasululah penuh kemulian
Ya Rasululah penuh kebekatan
Ya Rasululah penuh kekamilan

Kecintaan penyair terhadap Rasulullah dapat kita perhatikan dalam menafsir


syair beliau yang mana penyair melafazkan selawat dan salam kepadanya
dan memohon syafaat daripada rasulnya pada hari kiamat nanti, ini jelas
menunjukkan kepada kita bahawa penyair amat memahami konsep insan

8
kamil yang dibawa dalam teori ini. Penyair melahirkan perasaannya melalui
syair “ Masjid Nabawi (v)” dan “Masjid Nabawi (vii)

Selawat dan salam


Buat ya kekasih Allah
Selawat dan salam
Buatmu ya insan al-Kamil
Selawat dan salam
Buatmu ya rasul terakhir
Kupohon
Syafaat darimu – di sana nanti
Amin Amin ya Rabbal alamin
(2008: 9)

Di sini
Mulut seakan terkunci untuk yang lain
Bibir mengalir zikir
Bibir mengalir tasbih
Bibir mengalir tahmid
Bibir mengalir takbir
Bibir meluncur salawat dan salam
Bibir meluncur salawat dan salam
Buat Nabi Junjungan
Habibullah-Mu
Segala cinta dan rinduku
Hanya untuk-Mu ya Allah
Hanya untukmu ya kekasih Allah
Terimalah cinta dan jihad ini
Terimalah cinta dan jihad ini
Terimalah cinta dan jihad ini
(2008: 11)

Perasaan kasih dan sayang kepada Rasulullah bukan sahaja dengan


baginda sahaja malah dengan seluruh kaum kerabatnya. Sewaktu melawat
kawasan pemakaman keluarga dan sahabat Rasulullah dan digambarkan
dengan ingatan bahawa nabi sering berdoa keampunan terhadap mereka
di perkampungan Baqi, ini menunjukkan keistimewaan Rasul yang sentiasa
berdoa demi kesejahteraan seluruh umatnya. Sayang Rasulullah terhadap
umatnya dipaparkan dalam sirahnya , ketika hampir ajalnya nabi masih
menyebut umatku,umatku, begitu sayangnya Rasulullah terhadap umatnya.
Perasaan cintakan nabi dan keluarganya di interpitasikan dalam syair “ Al-
Baqi al-Tayyibah”

Di samping rumah-Mu
Di sisi rumah kekasih-Mu
Telah bersemadi jasad-jasad suci
Di pemakaman Baqi

9
Antaranya ahlul bait, keluarga Rasulullah
(2008: 25)

3. Prinsip Keislaman yang Bersifat Akmal


Melalui prinsip ketiga teori Takmilah, Dr Shafie Abu Bakar (1996:29) ingin
menjelaskan bahawa islam adalah sebagai agama yang sempurna dan
mampu menyempurnakan segala aspek kehidupan manusia termasuk aspek
bersastera. Karya yang terhasil dapat memainkan peranan kepada individu
dan seluruh masyarakat agar dapat mempraktikkan segala ajaran Islam .
Jelas beliau kesempurnaan Islam bukan sahaja mengenai konsep keimanan
sahaja tetapi tentang praktik amalan dan mematuhi segala syariat Islam.
Dalam Kumpulan Puisi “Puncak Jihad” ini jelas tergambar tentang
pengalaman penyair sewaktu menunaikan haji yang dipenuhi dengan
sembahyang, doa, selawat dan segala rukun ibadah haji yang lain akan kita
lihat dengan contoh-contoh syair beliau di bawah ini. Penyair memanjatkan
kesyukuran beliau dalam syair “ Kota Makkah Al-Mukarramah” setelah
menjejakkan kaki ke Makkah, pengucapan kalimah syahadah juga
memperjelaskan asas rukun Islam yang pertama diucapkan oleh beliau, bait-
bait syairnya seperti berikut:

Menjejak bumi penuh kesucian ini


Merasai bumi penuh keberkatan ini
Menjamah bumi penuh kemuliaan ini
Bibir mengalir tahmid
Bibir mengalir tasbih
Bibir mengalir takbir
Dua kalimah syahadah terluah
Dua kalimah syahadah tercurah
Tiada kalimah yang lain terukir
(2008: 18)

Amalan bertawaf di Kaabah juga diperlihatkan oleh penyair sewaktu selepas


menunaikan solat Maghrib dan Isyak dilihat dalam syair yang bertajuk “
Lorong-lorong Jihad”. Menunjukkan kepatuhan beliau kepada suruhan Allah.

Menuju ke pintu Malik Abdul Aziz


Menyahut pangilan suci-Mu
Menyahut seruan suci-Mu
Meneruskan kembara jihad rohani jasmani
Selepas Maghrib dan Isyak
Kukitari Baitul Atiq-Mu
Kukitari rumah-Mu ya Allah
Kukitari Ka’abah-Mu ya Rahman
Kukitari Baitullah-Mu ya Rahim
(2008: 21)

10
Bermiqat di Ta’naeem jelas digambarkan dalam syair “Jihad Umrah Sunat
Pemula”. Penyair dan suaminya bermiqat dan solat sunat dua rakaat
sebagai langkah mula menunaikan umrah.

Memulakan miqat di Ta’neeem


Dengan solat sunat 2 rakaat
Diriku dan kekasihku
Serta beberapa tetamu-Mu
Menuju Baitul Atiq-Mu
(2008: 22)

Amalan bersa’ie juga diceritakan dalam rakaman pengalaman penyair


sewaktu mengerjakannya dan ia merupakan salah satu rukun haji dapat kita
lihat dalam syair yang bertajuk “Ketika Bersa”ie Aku Bermunajat”.

Sesungguhnya safa dan marwah itu


Sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah
Maka sesiapa yang menunaikan ibadat
Haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah
Maka tidaklah menjadi salah ia
Bersa’ie (berulang-alik) di antara kedua-duanya
(2008: 24)

4. Prinsip Ilmu Dengan Sastera Yang Bersifat Takamul


Konsep Takmilah boleh dilihat dalam hubungan sastera dengan ilmu yang
mempunyai pertalian dengan fakulti diri yang penting khususnya akal dan
hati. Dalam Islam, diterima bahawa akal adalah alat yang paling utama
bagi mencapai keilmuan. Karya sastera dalam Islam bukan sahaja berbentuk
hiburan tetapi boleh menyampaikan mesej pendidikan kepada pembaca
dan yang pentingnya ia bukanlah sesuatu yang dibaca semasa senggang
tetapi boleh mendidik serta mengingatkan kebesaran Allah S.W.T . Bagi
membicarakan tentang prinsip keempat ini teori Takmilah dilihat dari
hubungan puisi sebagai genre dan ilmu sastera dengan sejarah Islam
khususnya Nabi Muhammad S.A.W, keluarganya, Nabi Ibrahim dan
Keluarganya, tempat-tempat bersejarah, ilmu perubatan, keagamaan dan
kerohanian.

Sejarah kerasulan Nabi Muhammad S.A.W cuba dibangkitkan oleh penyair


dimana beliau terkenang akan sirah wahyu yang diturunkan kepada
Baginda semasa sembahyang di Masjid Nabawi ini kita dapat lihat dalam
syair “Raudhah Al-Mutahharah”.

Selepas solat subuh

11
Aku ke taman syurga-Mu
Taman penuh kemuliaan
Raudhah penuh kesucian
Raudhah penuh keberkatan
Terkenang detik turunnya
Wahyu kekasih-Mu
(2008: 6)

Proses kerasulan nabi-nabi jelas digambarkan dalam Surah An-Nahl ayat


kedua yang dilihat proses kerasulan melalui wahyu yang dibawa oleh
malaikat, petikan ini diambil dari tafsir Ar-Rahman;

Ia menurunkan malaikat membawa wahi dengan


perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakinya dari
hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul); (lalu ia
berfirman kepada Rasul-rasulnya); “Hendaklah kamu
menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan
melainkan Aku. Oleh itu, bertakwalah kamu kepadaKu”
(1993: 629)

Unsur-unsur perubatan juga didapati dalam syair “Sumur Zamzam-Mu”.


Penyair menyatakan tentang kebaikan air zam-zam sebagai penawar,
penyembuh dan azimat kepada segala penyakit . Air Zam-zam juga
dikatakan sebagai air yang penuh khasiat.

Zamzam-Mu
Adalah penawar-penyembuh-azimat
Adalah minuman penuh khasiat
Tak terbandingkan
Tak tertandingkan
(2008: 28)

Penyair juga tidak ketinggalan dalam menceritakan tentang sejarah yang


terdapat di sana semasa mengejakan haji . Penyair cuba membawa
pengalaman beliau menerusi syair “Bukit Kasih Sayang-mu” mengenai
tempat pertemuan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa.

Setelah menerima kaffarah-Mu


Adam dan Hawa dipertemu
Di Jabal Rahmah-Mu
Penuh mesra
Penuh makna
Mencatat sejarah di bumi Arafah
(2008: 34)

Apabila penyair menjejakkan kaki ke Hudaibiyah beliau teringat tentang


perjanjian Hudaibiyah yang menjadi punca perdamaian antara Islam dan

12
Kaum Quraisy ini menjadi titik tolak jatuhnya Kota Makkah ke tangan orang-
orang Islam, menerusi syair “Hudaibiyah dan Janji-Mu”.

Menjejak bumimu Hudaibiyah


Terpandang kebijaksanaan Rasulullah
Menghantar Uthman Affan
Berunding dengan Suhail Amru
Di bawah “Baiah al-Ridwan”
Termeteri perjanjian Hudaibiyah
Mencipta perdamaian Islam-Quraisy
Mencipta keharmonian tanpa perang
Setiap warga Arab bebas memilih
Islam atau penyembah berhala
Di sini dalam lawatan ini
Hanya tinggal sisa-sisa sejarah
(2008: 40)

5. Prinsip Sastera Sendiri yang Berciri Estetik dan Bersifat Takmilah


Menurut Shafie abu Bakar (1996: 29-30), prinsip ini dilihat dari dua aspek
keindahan lahiriah dan keindahan maknawi. Aspek keindahan lahiri
menyentuh soal teknik, bentuk, struktur dan gaya bahasa yang dapat dilihat
secara luaran. Manakala aspek keindahan maknawi pula merujuk kepada
mesej, pemikiran, sudut pandangan, dan falsafah yang tersirat di dalamnya.
Tegasnya, prinsip ini menjurus kepada proses penciptaan dan pembinaan
karya sastera secara kreatif, indah dan sempurna baik dari aspek dalaman
mahupun luaran.

Hasil analisis terhadap puisi Puncak jihad ini kita dapati terdapat unsur
penggunaan bahasa Arab ini kerana penyair banyak menggunakan laras
bahasa doa yang sinonim penggunaannya di kalangan masyarakat melayu
khasnya. Misalnya penggunaan bahasa Arab seperti berikut:

1. Maha suci-Mu ya Quddus (2008: 1)


2. Subahanallah – Maha suci-Mu ya Allah (2008: 2)
3. Akhirnya kami menjejaki kota Tayyibah (2008: 3)
4. Alhamdulillah ya Rahman (2008: 4)
5. Raudhah penuh keberkatan (2008: 6)
6. Ya Rabbi (2008:8)
7. Amin ya Rabbal alamin (2008: 14)
8. Al-khatimah hakiki (2008: 67)

Penyair juga gemar menggunakan teknik perulangan dalam syair-syairnya ini


menunjukkan kesungguhan beliau dalam memohon keampunan dari tuhan
dan doa kepada anak-anaknya dapat kita lihat dalam syair-syairnya. Teknik
perulangannya seperti berikut:

13
1. Aku datang menyahut panggilan-Mu ya Allah (2008: 2)
2. Hamba datang menyahut panggilan-Mu (2008: 2)
3. Terimalah cinta dan jihad ini (2008: 11)
4. Aku datang menyahut panggilan suci-Mu (2008: 17)
5. Maha Suci Allah Yang Esa (2008: 19)
6. Allah Yang Maha Agung (2008: 22)
7. Jadikan mereka anak-anak yang soleh (2008: 42)
8. Moga hajiku haji yang mabrur (2008: 63)
9. Buat-Mu Ya Ilaahi Rabbi (2008: 67)
10. Maha suci (2008: 67)

Penyair juga mengunakan unsur-unsur gaya bahasa yang menarik dalam


menghiaskan syairnya supaya menarik dibaca. Penggunaan metafora
digunakan untuk mengindahkan dan memberi kesan yang baik dalam syair
beliau.

Kota penuh kemuliaan


Sejuta laut kesyukuran
Sejuta laut pujian
((2008: 3)

Dalam mendaki puncak jihad ini


Sujud sejuta kesyukuran
Lantaran peluang terbentang
Menziarahi taman syurga-Mu
Menyerahdiri keedilfakir
Mengabdi setaat seikhlasnya

Mengalunkan kalam-kalam-Mu
Di taman syuarga ini
Bersama mutiara-mutiara jernih
Menuju puncak insaf
Memasuki pinti taubat
Menyelami mada hakikat
(2008: 6)

Lemas dalam lautan manusia


(2008: 13)

6. Prinsip Kepada Pengkarya yang Seharusnya Mengistikamalkan Diri


Penghasilan karya sastera Islam yang sempurna lagi menyempurnakan akan
terhasil sekiranya pengkarya melengkapkan diri dengan menguasai ilmu-ilmu
keislaman dan ilmu-ilmu berhubung dengan sastera. Ilmu-ilmu keislaman dan
merujuk bukan sahaja bersifat asas malah yang khusus dan mendalam serta

14
seterusnya menerapkannya ke dalam kehidupan seharian. (Dr Shafie Abu
Bakar, 1996: 30). Menurut Muhammad Kamal Hasan menjelaskan bahawa
sastera Islam perlu lahir daripada sasterawan yang mempunyai jiwa
keislaman.

Ilmu-ilmu Islam yang terdapat dalam jiwa penyair akan memberinya ruang
yang baik dalam menjiwai karya-karya yang berunsur keislaman. Penyair
dalam karya ini merupakan dibesarkan dalam satu keluarga yang
mengamalkan dan mempratikkan ajaran Islam dimana ayahnya seorang
tokoh pendakwah yang terkenal di kawasannya, telah berjaya meniupkan
roh keislaman kepada setiap anak-anaknya.

Penyair banyak mempraktikkan segala ajaran oleh ayahandanya dalam


bicara puisinya. Penyair juga pakar dalam ilmu kesusasteraan Islam di mana
dalam tesis Ph D, beliau telah menggunakan teori Takmilah yang
dikemukakan oleh Dr Shafie Abu Bakar untuk menganalisis unsur-unsur
tasawuf dalam puisi-puisi Melayu moden di Malaysia dan Indonesia
sepanjang dekat 1970 hingga 1990. contoh-contoh syair yang membuktikan
pengarang telah mengistikmalkan dirinya dengan segala ilmu yang perlu
dalam menghasilkan puisi “Puncak Jihad” ini ialah:

Maha Suci-Mu ya Quddus


Maha Agung-Mu ya Azim
Maha Pemurah-Mu ya Rahman
Maha Pengasih-Mu ya Rahim
Pabila sampai saat ini
Permudahkan kembaraku ke puncak jihad-Mu
(2008: 1)

Alhamdulillah ya Rahman
Alhamdulillah ya Rahim
Subhanallah ya Qahhar
Subhanallah ya Razzaq
Subhanallah ya Kamal
(2008: 4)

Buatmu ya Rasul terakhir


Kupohon
Syafaat darimu – di sana nanti
Amin amin ya Rabbal alamin
(2008: 9)

Satu lagi ciptaan-Mu perlu diperhati di Baitul Atiq


Hajar Aswad-Mu
Yang menjadi hitam lantaran
Dosanoda umat-Mu

15
Ya Allah – bersihsucikan diri sesuci-sucinya
(2008: 27)

Penyair juga seorang anak, seorang isteri dan seorang ibu sentiasa
menginginkan kesejahteraan buat kaum keluarganya, tidak berhenti-henti
berdoa agar rahmat Allah sentiasa menyelubungi diri dan keluarganya.
Pengistikmalan diri dapat digarap dalam doa-doa nya seperti berikut:

Demi melangit luas


Rahmat dan kasih sayang-Mu
Jadikan diriku muslimat sejati
Jadikan diriku isteri terpuji
Jadikan diriku ibu mithali
Jadikan diriku hamba hakiki
Amin Amin ya Rabbal alamin
(2008: 8)

Daku berdoa sekhusyuknya


Ampunilah segala dosaku
Ampunilah segala dosa ibubapaku
Ampunilah segala dosa putera-puteraku
Ampunilah dosa seluruh umat Islam
(2008: 14)

Ku pohon
Moga cinta kasih sayangnya
Kekal seabadi cinta-Mu
Kerana aku dan dia adalah
Milik-Mu jua
Amin
(2008: 20)

7. Prinsip Khalayak bertujuan memupuk Mereka ke Arah Insan Kamil


Prinsip akhir teori Takmilah adalah menentukan penghasilan sesebuah karya
sastera perlu sampai kepada khalayak dan ia benar-benar serasi dengan
kehendak dan kepentingan sastera Islam. Matlamat dalam prinsip terakhir ini
adalah bertujuan untuk memupuk khalayak pembaca ke arah pembentukan
insan kamil iaitu mencontohi peribadi terpuji dan akhlak mulia baginda
Rasulullah S.A.W.

Penyajak telah berjaya merakamkan karyanya semasa beliau dan suaminya


menunaikan haji, dalam catatan pengalaman semasa mengerjakan haji itu
beliau telah berjaya meluahkan perasaan kecintaannya terhadap Allah,
Rasulnya. Segala luahan perasaan telah diterjemahkan dalam karyanya
yang diberi nama “Puncak Jihad” ini jelas tergambar apabila kita membaca
setiap bait-bait sajaknya yang penuh dengan doa-doa memohon
keampunan dari Allah.

16
Kepakaran dan kefahaman penyair terhadap teori Takmilah ini membawa
para pembaca dapat menghayati teori ini dengan lebih jelas apabila saat
mula membaca hinggalah selesai. Tidak terlalu sukar untuk kita memahami
tentang teori ini kerana hampir setiap syairnya mengandungi terjemahan
teori ini. Catatan pengalaman beliau dari saat mula untuk menunaikan fardu
haji tersusun hinggalah beliau selesai menunaikannya amat menarik
perhatian pengkaji apabila catatan dibuat hampir setiap hari dengan penuh
teliti.seperti membaca sebuah novel.

Tegasnya karya ini memiliki sifat memupuk pembaca ke arah menjadi insan
kamil bukan sahaja kerana teorinya tetapi jiwa penyair yang mempraktiknya
dalam mengerjakan ibadah haji amat mengkagumkan pengkaji.

Kesimpulan
Hasil analisis terhadap syair Kumpulan puisi Anismas Ar “Puncak Jihad” ini
mendapati bahawa segala elemen-elemen yang terdapat dalam teori
Takmilah terdapat dalam sajak ini dan ia berjaya mengungkapkan konsep
‘kesempurnaan’ dalam karya ini. Justeru dengan itu dapat dikatakan
kumpulan syair (Puncak Jihad) ini boleh dikategorikan sebagai sebuah karya
sastera Islam, kerana menepati konsep Takmilah.

Keakuran dan kesebatian penyair dengan ajaran Islam jelas menunjukan


bahawa karya yang dihasilkan bukannya suatu karya yang cuba dibuat-
buat kerana tanpa kefahaman tentang ajaran Islam yang mendalam, tidak
memungkinkan pengkarya boleh menghasilkan suatu karya sebaik ini.

Prinsip Ketuhanan yang Bersifat Kamal (sempurna) telah dibawa dengan


cukup jelas dan baik dalam hasilan beliau, di mana banyak hasilan dari syair
ini memuji-muji Allah dengan memperlihatkan sifat-sifat Allah yang amat
sempurna melalui doa-doa penyair yang mengharapkan keampunannya.

Prinsip Kerasulan Sebagai Insan Kamil juga dapat kita lihat dengan jelas
dalam karya ini. Kecintaannya terhadap Rasulullah dapat dibuktikan dalam
doanya dan memohon agar diberi syafaat di akhirat nanti. Perasaan
kagumnya juga terhadap kecekalan nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang
ikhlas mengabdikan diri dan sanggup berkorban untuk mendapat keredaan
Allah .

Prinsip Keislaman yang Bersifat Akmal juga berjaya diterapkan dalam karya
ini, di mana penyair berjaya mempraktikkannya dalam mengerjakan ibadat
haji seperti bersembahyang, berdoa, berzikir, dan segala rukun haji
diterangkan di dalamnya dan ia menepati ciri-ciri insan Kamil.

Prinsip Ilmu Dengan Sastera yang Bersifat Takamul yang tertumpu kepada
konsep ilmu sastera yang dapat menyempurnakan ilmu-ilmu lain boleh kita
lihat dalam syair tersebut contohnya terdapat sirah Nabi Muhammad, Nabi

17
Ibrahim, Nabi Adam, perjanjian Hudaibiyah serta ilmu sains tentang kebaikan
atau kegunaan air Zamzam yang boleh menjadi penayar segala penyakit.

Prinsip Sastera Sendiri yang Berciri Estetik dan Bersifat Takmilah dilihat dari
aspek keindahan lahiran dan maknawi. Penyair berjaya menghiasi
hasilannya dengan cara yang cukup puitis dengan menggunakan pelbagai
teknik gaya bahasa yang baik supaya pembaca dapat menghayati
keindahan syairnya.

Prinsip Kepada Pengkarya yang Seharusnya Mengistikamahkan Diri dapat


kita fahami apabila membaca puisi tersebut dan disitulah terbitnya
kefahaman pembaca terhadap pengetahuan dan keilmuan penyair
terhadap ajaran Islam. Sesungguhnya kefahaman tentang Islam telah
meresapi setiap bait-bait syairnya.

Prinsip Khalayak Bertujuan Memupuk Mereka ke Arah Insan Kamil telah


berjaya diselitkan dalam karya ini dengan sempurna, ini kerana penyair telah
berjaya membuka minda pengkaji dan juga pembaca dengan menerapkan
perasaan kecintaan terhadap Allah dan Rasulullah, serta berjaya
mempraktikkan dengan amalan-amalannya. Kesimpulannya syair “Puncak
Jihad” memiliki ciri-ciri yang sempurna yang melayakkannya dikategori
sebagai sebuah karya sastera Islam kerana terdapat elemen-elemen tauhid,
syariat,akhlak dan ilmu-ilmu lain.

Bibliografi
Samsina Abd Rahman.Puncak Jihad (Kumpulan Puisi Anismas ar).Selangor:
Universiti Putra Malaysia, 2008.

SheikhAbdullah Basmeh. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-


Qur’an. Kuala Lumpur : Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri,
1992.

Mohamed Anwar Omar Din. Sastera Islam Citra Nurani Ummah.Selangor:


Universiti Kebangsaan Malaysia, 2005.

18

Anda mungkin juga menyukai