Anda di halaman 1dari 14

BAB 1

PENGENALAN FALSAFAH, PEMIKIRAN


DAN ETIKA

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Mengetahui pengertian falsafah, pemikiran dan etika.
2. Membincangkan kepentingan pemikiran dan etika kepada kita.
3. Mempraktikkan pemikiran dan etika dalam diri dan masyarakat.

1.1 PENGENALAN

Falsafah sering digambarkan sebagai suatu teori tentang kehidupan


yang kompleks atau perbincangan keilmuan yang sukar dicerakin dan
difahami oleh orang awam. Hanya orang-orang yang berkemampuan
dan berdaya pemikiran yang tinggi mampu untuk mengupas serta
mengolah persoalan falsafah dengan tepat. Walaupun begitu, pada
hakikatnya persoalan hidup manusia yang mencakupi segenap lapisan
masyarakat tidak pernah terlepas daripada perbahasan falsafah secara
disedari atau tidak, terutama sekali falsafah yang terserlah dalam
praktikal.

1.2 FALSAFAH DAN PEMIKIRAN

Falsafah dan pemikiran merupakan dua tugas penting yang dilaksanakan


oleh aktiviti otak manusia. Falsafah berada pada tahap teratas dalam ilmu
kemanusiaan yang utama sementara pemikiran tertakluk kepadanya.
Falsafah berperanan sebagai induk ilmu yang cuba menjawab persoalan-
persoalan yang tidak dapat dijawab dan dijangkau oleh ilmu pengetahuan
biasa. Justeru itu, dapat dikatakan falsafah adalah hasil dari daya usaha
akal manusia yang rasional, kritis dan integral untuk memahami dan
menganalisis beberapa objek utama iaitu

(i) Hakikat alam, perbincangan tentang subjek ini sangat


popular di kalangan ahli-ahli falsafah Greek pada
peringkat awal.
(ii) Hakikat kemanusiaan, skop perbincangan yang berkaitan
dengan topik ini menjadi titik fokus utama kepada
falsafah yang difahami oleh Socrates.

1
(iii) Hakikat ketuhanan, kejiwaan, keselamatan abadi (eternal
salvation) dan anugerah Tuhan (divine grace) pula
merupakan bidang-bidang perbahasan falsafah yang
terkenal pada abad pertengahan seperti yang diperkatakan
oleh Saint Augustine, Saint Anselm dan Thomas Aquinas
(Mohd. Nasir Omar, 2986).

Bidang perbahasan dan perbincangan falsafah mencakupi tiga aspek


persoalan yang utama berkaitan dengan akal dan pemikiran manusia.
Persoalan tentang alam sekeliling ringkas dan mudah diteliti oleh mereka
sehingga mencakupi pula hal diri atau kejiwaan seterusnya persoalan
pencipta atau ketuhanan yang tidak nampak oleh pancaindera manusia.
Skop falsafah yang luas diterokai oleh tokoh-tokoh falsafah yang hadir
silih berganti pada setiap peredaran masa.

Pemikiran juga seperti falsafah yang tidak dinafikan mempunyai


pengertian yang sangat luas. Pemikiran boleh dijelaskan dalam pelbagai
pendekatan. Pemikiran bukan sekadar perbincangan dari aspek teknik
dan kaedah tetapi melibatkan juga aspek mind setting atau tanggapan
seseorang tentang sesuatu fenomena, sistem nilai yang dihayati dan
perspektif diri. Tegasnya, persoalan pemikiran juga melibatkan hal-hal
yang berhubung dengan kosmologi dan tasawwur seseorang (Mohd.
Yusof Hj. Othman, et al. 1999).

Namun yang pasti berfikir merupakan satu usaha untuk meningkatkan


pengetahuan atau ilmu seseorang. Oleh yang demikian, hanya orang yang
mampu berfikir boleh melakukan perubahan dan boleh menjana aktiviti-
aktiviti yang bersifat kreatif dan membangun. Kemampuan dan keluasan
berfikir tidak akan menjadikan seseorang itu bersifat jumud dan kaku
dalam tindakan dan amalannya (Mohd. Yusof Hj. Othman, et al. 1999).

Hubungan antara kedua-dua bidang ilmu ini mendapati bahawa


pemikiran tidak boleh dipisahkan daripada tanggapan yang mendominasi
persoalan falsafah. Seseorang ahli fikir akan memikirkan tentang sesuatu
perkara berdasarkan kepada logik, mantik dan rasional pegangan falsafah
yang wujud dalam ruang lingkup perbincangan falsafah tersebut.
Walaupun seringkali terjadi ahli fikir sendiri tidak pasti apakah falsafah
yang dianuti dan dihayatinya.

Perbahasan falsafah sangat bergantung kuat kepada akal yang mantap


sama seperti perbahasan yang dijalankan oleh pemikiran. Oleh itu, dapat
dibuat kesimpulan falsafah dan pemikiran mempunyai kaitan yang sangat
rapat kerana kedua-dua ilmu ini mementingkan akal untuk menjana dan
melaksanakan peranan masing-masing.

2
1.3 PENGERTIAN FALSAFAH, PEMIKIRAN DAN ETIKA

Falsafah, pemikiran dan etika berperanan sebagai pemangkin awal kepada


pembangunan tamadun kehidupan manusia yang cemerlang. Ketiga-tiga
disiplin ilmu ini menggariskan pengertian dan maksud yang tersendiri
bersesuaian dengan peranan dan sumbangan masing-masing ke arah
memartabatkan kehidupan manusia sebagai makhluk terpilih dan
khalifah di muka bumi.

1.3.1 Pengertian Falsafah

Perkataan falsafah bukan berasal daripada bahasa Arab. Sebelum


kedatangan Islam orang-orang Arab tidak mempunyai falsafah walaupun
mereka mempunyai hikma dan hukama yang membawa maksud bijaksana
dan bijaksanawan (Mana Sikana, 1988). Perbincangan tentang falsafah
sering dibahaskan melalui dua landasan perbahasan ilmu yang penting
iaitu simantik dan praktik.

Pemikiran falsafah mencakupi pemikiran ilmiah yang sangat luas.


Menurut Kamus Dewan, falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian-
pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi atau sebagai dasar
ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan, 1989). Oleh itu, kedudukan falsafah
dari aspek teori merupakan satu disiplin ilmu yang penting serta mampu
pula melahirkan cabang ilmu-ilmu lain seperti epistemologi, metafizik,
estatika, logik dan etika.

Perbincangan dari sudut simantik menegaskan bahawa falsafah berasal


daripada cantuman dua perkataan daripada bahasa Yunani iaitu Philo dan
Sophia. Philo bererti cinta atau suka (loving) manakala sophia pula
membawa maksud pengetahuan atau hikmah (wisdom) (Mircea Elide,
1987). Oleh itu, philosophia ialah cintakan kebijaksanaan atau cintakan
hikmah. Orang yang cinta kepada pengetahuan atau kebenaran disebut
sebagai philosopher dan failasuf dalam penggunaan bahasa Arab.

Pada pandangan falsafah orang yang mencintai hikmah atau


kebijaksanaan merupakan orang yang menjadikan ilmu pengetahuan
sebagai matlamat hidup. Mereka akan mengabadikan diri kepada ilmu
pengetahuan. Cinta hikmah diakui oleh al-Farabi dalam ungkapan beliau
sekadar mencintai hikmah mengikut kemampuan dan daya usaha yang
ada dalam diri manusia. Beliau berpendapat : Falsafah ialah cintakan
hikmah. Seorang ahli falsafah atau yang cintakan hikmah itu ialah orang
yang menjadikan daya usaha dan cita-cita dari hidupnya untuk
mendapatkan hikmah mengikut kadar daya kemampuan manusia (Mohd.
Sulaiman Yasin, 1982). Falsafah boleh dicari dengan kekuatan fikiran
dan usaha yang bersungguh-sungguh.

3
Pengertian falsafah dari sudut terminologi (istilah) seperti yang
dikemukakan oleh tokoh-tokoh falsafah berbeza antara satu dengan lain.
Falsafah pada pandangan Plato (427SM-348SM) ialah ilmu pengetahuan
yang berminat mencapai kebenaran yang asli. Aristotle (328SM-322SM)
berpendapat falsafah ialah ilmu pengetahuan yang meliputi kebenaran
yang terkandung dalam ilmu-ilmu metafisika, logika, retorika, etika,
ekonomi, dan politik. Pendapat Al-Farabi (9870SM-950SM) pula
mengatakan falsafah ialah ilmu pengetahuan tentang alam maujud
bagaimana hakikat yang sebenarnya.

Sumber falsafah datang daripada persoalan kehidupan seharian yang


ringkas dan mudah tetapi diolah secara sistematik akhirnya menjadi satu
ilmu yang sangat mantap. Justeru lahirlah pengakuan yang mengatakan
falsafah merupakan pemikiran tentang kehidupan seharian yang ringkas.
Sekiranya persoalan hidup yang ringkas dan bersahaja ini difikir dengan
bersungguh-sungguh dan sistematik maka persoalan tersebut boleh
berubah menjadi persoalan falsafah. Sebagai contoh pertanyaan seorang
anak kecil yang tidak tahu tentang dunia sekeliling kepada ibunya, "Ibu,
saya tidak mengerti mengapa dunia ini ada". Persoalan pemikiran yang
ringkas dan mudah seperti ini juga boleh berubah menjadi persoalan
falsafah sekiranya dinilai serta dijelaskan secara serius.

1.3.2 Pengertian Pemikiran

Setiap individu sentiasa berfikir untuk membuat sesuatu pilihan atau


keputusan dalam menjalani kehidupan seharian. Keputusan atau pilihan
yang telah diambil merupakan hasil daripada pemikiran yang dilakukan
sama ada secara mendalam atau sebaliknya. Justeru itu, pemikiran
penting dalam menentukan kejayaan dan tingkah laku seseorang
berdasarkan pilihan serta keputusan yang tepat.

Pemikiran dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai thinking iaitu fikir atau
renung dengan menggunakan akal yang diberikan kepada manusia.
Berfikir membawa maksud menggunakan akal untuk membuat atau
mengambil keputusan yang wajar dan rasional tentang sesuatu perkara
atau masalah (Mohd. Azhar Abdul Hamid, 2003) dan (K.J Gilhooly,
1996).

Pengertian pemikiran yang diberikan oleh tokoh-tokoh pemikiran sangat


banyak. E. Moore mengatakan pemikiran ialah mencari cara penyelesaian
masalah atau hal. Edward de Bono menjelaskan pemikiran ialah
mencipta cara penyelesaian masalah berdasarkan pengalaman. Anderson
pula menegaskan pemikiran ialah proses menyusurgalurkan keterangan-
keterangan untuk mengenal pasti masalah. Atan Long menerangkan

4
pemikiran itu ialah pengolahan bahan-bahan pengalaman terhadap
fenomena atau keadaan yang sedia ada untuk menghasilkan keputusan
(Mohd. Yusof Hassan, 2000).

Definisi-definisi yang dikemukakan ini menunjukkan pemikiran ialah


proses ke arah penyelesaian masalah. Proses tersebut memerlukan
fikiran berdasarkan kemampuan otak, pengalaman dan pembacaan
sendiri. Kesimpulannya, dalam proses pemikiran terdapat tiga perkara
utama iaitu masalah, pemikiran dan penyelesaian (Mohd. Yusof Hassan,
2000).

Pada pandangan sarjana Barat terutama sarjana neurologi, akal dapat


ditinjau melalui proses tindak balas kimia secara rawak dalam otak
manusia sebagai fungsi otak yang menyeluruh. Secara tradisi akal
dianggap beroperasi secara bebas daripada apa yang hanya berada dalam
otak fizikal manusia. Akal mampu berfikir serta menghasilkan pelbagai
kecerdasan, kemahiran dan kepintaran. Pada pandangan golongan
idealisme pula, akal dianggap dapat membuat tanggapan terhadap
kebenaran hakiki dan semua jirim yang terdapat di dunia tidak terkecuali
daripada kemampuan akal untuk memikirkannya (Mohd. Yusof Hj.
Othman, et al. 1999). Pemikiran mula dikaji semenjak zaman Plato dan
Aristotle yang mengakui tentang perbezaan antara manusia dan haiwan
lain ialah rasionalaistik atau keupayaan berfikir (Ainon Mohd. &
Abdullah Hassan, 1996).

Pemikiran dan fungsi akal pada pandangan Islam berbeza dengan sarjana
Barat. Sarjana Barat berkeyakinan bahawa berfikir hanya ditentukan oleh
persepsi dan tanggapan diri manusia. Sarjana Islam sebaliknya
mengatakan fikir berasal daripada bahasa Arab yang digunakan secara
meluas dalam al-Quran. Perkataan fikr yang digunakan dalam al-Quran
disebut dalam bentuk fi'il madhi menggambarkan amalan atau aktiviti
berfikir sama seperti dengan amalan atau aktiviti jasad fizikal yang lain
hanya berfikir merupakan aktiviti akal yang tidak nampak secara lahiriah
(Mohd. Yusof Hj. Othman, et al. 1999).

Menurut Ibn Khaldun dalam Mukadimah mengatakan berfikir


merupakan kesedaran dalam diri seseorang tentang hal yang dianggap
suatu yang khusus dimiliki oleh makhluk-makhluk yang hidup sahaja
(Mohd. Yusof Hj. Othman, et al. 1999). Makhluk haiwan berkeupayaan
menganggapi segala fenomena yang berlaku di luar dirinya dengan
perantaraan pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. iaitu
pendengaran, penglihatan, penghiduan, deria rasa dan sentuhan. Manusia
mempunyai kelebihan daripada makhluk yang lain kerana mereka boleh
menanggapi sesuatu dari luar diri melalui kemampuan berfikir,
mewujudkan imaginasi sesuatu perkara berdasarkan kepada analisis dan
sistesis.

5
Justeru berfikir merupakan sentuhan imaginasi di sebalik perasaan dan
aplikasi akal untuk melakukan analisis dan sistesis sejajar dengan firman
Allah S.W.T. yang bermaksud :

Katakanlah: Dialah yang menciptakan kamu dan


menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan
afidah (kebolehan untuk berfikir). Tetapi amat sedikit
kamu bersyukur (al-Mulk, 23).

Menurut Ibn Khaldun lagi, fuad merujuk kepada kemampuan berfikir


yang mempunyai beberapa tingkatan iaitu

(i) Tingkat pertama - pemahaman intelek manusia terhadap


segala sesuatu yang berada di luar alam semesta, iaitu
tanggapan diri. Tingkat ini membolehkan akal melakukan
perbezaan antara baik dan buruk untuk dimanfaatkan
dalam kehidupan mereka.

(ii) Tingkat kedua - kemampuan berfikir yang menyediakan


manusia dengan segala idea dan perilaku yang diperlukan
dalam perhubungan dengan persekitaran. Kemampuan
berfikir jenis ini diperolehi melalui pengalaman yang
dirasakan benar-benar bermanfaat kepada manusia. Ia
juga dikenali sebagai intelek eksperiman.

(iii) Tingkat ketiga - kemampuan berfikir yang melengkapkan


manusia dengan pengetahuan (ilmu) atau pengetahuan
andaian (dzann) tentang sesuatu objek yang berada
melampaui persepsi pancaindera tanpa perantaraan
pengalaman hidup. Hal seumpama ini dikatakan intelek
spekulatif (al-aql an-nadzari). Intelek ini mengandungi
tanggapan (perception) tasawwur (worldview) dan tashdiq.
Pada peringkat ini, seseorang itu mampu membuat
perbandingan dan penggabungan antara beberapa
pengetahuan untuk menghasilkan pengetahuan baru
seperti yang terungkap dalam pendapat al-Ghazali:
Ketahuilah, berfikir itu ialah menghadirkan dua makrifah
dalam hati yang dapat mengeluarkan makrifah yang
ketiga.

(iv) Tingkat terakhir - tingkat untuk memberikan tanggapan


tentang wujud mengikut pelbagai kepintaran, perbezaan
sebab-musabab dan punca. Kemampuan berfikir pada
tahap ini menunjukkan pemikiran tersebut sudah

6
mencapai kesempurnaan dalam realiti, intelek yang murni
dan jiwa yang berperseptif (Mohd. Yusof Hj. Othman, et
al. 1999).

Islam tidak pernah menghalang manusia menggunakan akal fikiran.


Suruhan berfikir dan gesaan penggunaan akal sangat ditekankan oleh
ajaran Islam seperti yang tercatat dalam surah al-Nahl, ayat 11-12 yang
bermaksud:

Dia menumbuhkan bagimu, dengan air hujan itu,


tanam-tanaman, zaitun, kurma, anggur dan segala
macam buah-buahan, sesungguhnya pada yang
demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
kekuasaan Allah S.W.T. bagi kaum yang memikirkan.
Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari
dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu
ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar
ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang
memahaminya.

Islam mengiktiraf kedudukan yang sangat tinggi kepada akal yang hanya
dimiliki oleh manusia. Lantaran itu manusia yang tidak menggunakan
akal fikiran akan dicemuh seperti yang tercatat dalam ayat Allah S.W.T.
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang keutamaan akal
ia juga berfungsi sebagai asas kepada pengembangan teori ilmu
pengetahuan. Firman Allah S.W.T. dalam surah Ali Imran ayat 190 yang
bermaksud:

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih


berganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi
orang-orang yang berakal.

Surah al-Ghashiyah ayat 17-20 bermaksud:

Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta


bagaimana dia diciptakan? Dan langit bagaimana ia
ditinggikan? Dan gunung-gunung bagaimana ia
ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?

Berdasarkan kepada ayat-ayat di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa


kelebihan akal yang manusia miliki perlu dilatih supaya berfikir secara
sistematik dalam mengembangkan teori-teori pembentukan ilmu
pengetahuan.

7
Hubungan antara akal dan pemikiran sangat rapat. Dr. de Bono
menegaskan berfikir ibarat seperti bertukang kayu. Kita memerlukan alat
untuk bertukang. Bakat sahaja tidak mencukupi tanpa alat. Akal yang
baik ialah bakat. Akal tanpa alat berfikir ialah seperti bakat tanpa alat
kerja (Ainon Mohd. & Abdullah Hassan, 1996).

1.3.3 Pengertian Etika

Etika pada dasarnya sudah wujud bersama kehidupan manusia sendiri.


Setiap manusia dan sesebuah komuniti mempunyai adat resam tersendiri
yang terselit etika-etika tertentu. Justeru itu, etika dikatakan menjadi asas
pembentukan tingkah laku manusia di samping akal dan logik.

Etika bermaksud satu ukuran atau piawaian yang digunakan untuk


menbezakan kelakuan seseorang sama ada baik atau buruk,
menyenangkan atau tidak menyenangkan. Perkataan etika berasal
daripada perkataan Greek iaitu ethos yang membawa maksud perangai.
Manakala dalam bahasa Latin pula ialah mores yang berasal daripada suku
kata moral (Mana Sikana, 1988).

Walau bagaimanapun, pengertian moral berbeza dengan pengertian etika.


Moral lebih sesuai dengan idea-idea yang umum untuk diterima pakai
dalam tindakan manusia. Persoalan tersebut mencakupi perbuatan yang
baik dan wajar berhubung dengan etika. Sedangkan etika lebih bersifat
teori untuk menyelidiki, memikir dan mempertimbangkan tentang
perkara yang baik dan buruk. Tegasnya, etika memandang kelakuan dan
perbuatan manusia secara universal. Sedangkan moral pula dibentuk oleh
etika yang lahir dengan kelahiran manusia (Mana Sikana, 1988).

Etika merupakan sebahagian daripada bidang falsafah yang berkaitan


dengan kehidupan yang baik, menjadi orang baik, melakukan perkara
yang betul, dapat bergaul dengan orang lain dan berkehendakkan perkara
yang betul dalam hidup (Robert C Solomon, 1966). Etika juga dikatakan
suatu ilmu yang membincangkan tentang teori tingkah laku manusia
dipandang dari sudut baik dan buruk yang dapat ditentukan oleh akal
manusia (Sidi Gazalba, 1973).

Secara ringkas falsafah etika dapat difahami sebagai satu ilmu yang
berusaha memahami sistem moral atau tindak tanduk manusia dalam
menjalani kehidupan melalui fahaman falsafah. Menurut pendekatan
barat, terdapat tiga kategori etika iaitu kehidupan beretika bergantung
kepada usaha manusia itu sendiri dalam usaha mencapai kemerdekaan
atau keburukan yang tertinggi. Kedua, mereka berpegang bahawa prinsip
dan matlamat terakhir perlakuan manusia adalah kelazatan,
perikemanusiaan, kemajuan dan belas kasihan. Kategori terakhir adalah

8
kebaikan atau tanggungjawab yang bersifat mampudiri yang bermatlamat
kepada diri manusia sendiri sebaliknya pemburuan kebahagiaan dikatakan
tidak bermoral.

Pythagoras (580-500 SM) berpendapat bahawa setiap individu


mempunyai hak yang mutlak untuk menentukan nilai baik dan buruk,
betul atau salah berdasarkan penilaian kaca mata sendiri sekalipun
penilaian tersebut bertentangan dengan individu lain.

Begitu juga dengan Plato (427-437SM) yang menegaskan manusia yang


mempunyai kebaikan dalam kehidupan tidak akan melakukan kejahatan.
Oleh itu, orang yang melakukan kejahatan bukan disebabkan sifat diri
yang jahat tetapi kejahilan atau kepincangan ilmunya. Hal demikian
bukan bererti orang yang tidak berpengetahuan tidak akan melakukan
kebaikan tetapi kebaikan yang dilakukan dianggap buta, kebetulan atau
ikutan sahaja.

Tegasnya, etika terserlah dalam perbuatan yang dizahirkan oleh seseorang


sehingga menjadi rutin kehidupan atau peribadi seseorang serta boleh
dinilai pula oleh pihak lain.

1.4 HUBUNGAN ANTARA FALSAFAH, PEMIKIRAN DAN


ETIKA DALAM SISTEM KEHIDUPAN

Hubungan antara ketiga-tiga topik iaitu falsafah, pemikiran dan etika


sangat rapat. Manusia menggunakan akal untuk berfikir tentang
persoalan kehidupan mereka. Sekiranya bentuk pemikiran tersebut
dijalankan secara sistematik maka ia bertukar menjadi persoalan falsafah.
Seterusnya jika pemikiran falsafah ini diterjemahkan atau mempengaruhi
gerak laku seseorang akan terhasil bentuk istilah baru yang dikenali
sebagai etika.

Sikap dan pandangan individu terhadap persoalan hidup akan


mempengaruhi sikap yang dipamerkan dalam gerak laku. Kebijaksanaan
tidak merujuk kepada pengetahuan yang mendalam tetapi sikap hidup
yang benar, tepat serta sesuai dengan pengetahuan yang telah dicapai
oleh individu tertentu.

Falsafah secara praktikal lebih terserlah kepentingan dan sumbangannya


dalam pelajaran etika dan logika. Kedua-dua bidang ini berganding bahu
memberi pegangan dan bimbingan kepada pemikiran dan kehendak
individu agar perjalanan hidup menjadi benar dan baik.

Kesimpulannya, falsafah, pemikiran dan etika saling berhubungan antara


satu dengan yang lain dan tidak dapat dipisahkan daripada setiap

9
individu. Falsafah akan mengangkat martabat manusia, memandu ke arah
kehidupan yang sempurna dan menjana pelbagai tingkah laku yang baik.
Pemikiran lebih dekat kepada satu proses penggunaan akal yang mampu
menjana ilmu supaya berubah mengikut keadaan, kehendak agama dalam
lingkungan budaya, tradisi dan adat resam sesebuah masyarakat.

Manakala etika memastikan falsafah dan pemikiran digunakan dengan


betul dalam hubungannya dengan pembangunan diri, keluarga,
masyarakat, negara dan tamadun agar dunia ini dapat dimakmurkan
dengan penuh tanggungjawab. Ketiga-tiga unsur ini perlu dilaksanakan
secara berterusan dan bergandingan untuk memastikan pembangunan
serta keterampilan diri, masyarakat dan negara yang berjaya.

1.5 MANUSIA DAN KEHIDUPAN

Kehidupan manusia mempunyai catatan sejarah yang panjang. Manusia


diberikan oleh Allah S.W.T. akal dan fikiran untuk mentadbir kehidupan
mereka di muka bumi. Kelebihan dan keistimewaan akal yang diberi
tidak disia-siakan oleh manusia. Akal juga telah membantu menyelesai
dan menyusun kehidupan di muka bumi dengan baik dan sempurna.
Jalinan antara akal dan pemikiran melahirkan pula persoalan falsafah
yang indah.

Kehidupan manusia penuh dengan kepayahan seperti kemelaratan sosial,


kejatuhan peradaban, kemelesetan ekonomi, keruntuhan moral dan
kemunduran pendidikan. Justeru, kelahiran falsafah bukan satu
percubaan untuk menyelesaikan masalah sosial, ekonomi dan politik
tetapi bertujuan memikirkan dengan penuh hati-hati melalui kaedah yang
sistematik tentang beberapa persoalan dasar tertentu yang ada kaitan
dengan diri dan persoalan mereka.

Kepayahan juga mendorong tercetusnya persoalan falsafah yang indah


dan kelahiran tokoh-tokoh falsafah yang silih berganti. Ketokohan
mereka berorientasikan pola pemikiran yang berbeza masing-masing
tercatat dalam sejarah peradaban kehidupan manusia yang sangat
panjang.

Pada pandangan Islam manusia merupakan makhluk Allah yang paling


mulia kerana dibekalkan dengan tabiat dan syahwat sebagai tambahan
kepada akal dan hikmah. Manusia dipertanggungjawabkan sebagai
khalifah yang mentadbir alam walaupun bukan hak mereka yang mutlak
tetapi dalam lingkungan yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Kelebihan
akal yang dibekalkan kepada manusia telah melahirkan pelbagai corak
dan bentuk pemikiran. Justeru, lahir beberapa orang tokoh besar yang
memperkatakan tentang kehidupan manusia yang dipengaruhi oleh

10
pengalaman, tempat dan waktu yang berbeza. Semua ini dapat dilihat
melalui catatan tentang kelahiran bentuk-bentuk pemikiran serta falsafah
yang ditinggalkan yang mewarnai bidang masing-masing.

Penilaian kehidupan manusia pada pandangan ahli falsafah sebelum


masihi dapat dilihat dan dinilai melalui falsafah yang dikenali dengan
falsafah Yunani (abad 6SM-0M). Persoalan-persoalan kehidupan seharian
yang berlaku di sekeliling mereka dimanfaatkan dengan sempurna
sehingga menjadi asas atau perintis kepada perkembangan falsafah. Topik
perbincangan utama ialah falsafah yang membincangkan tentang alam.
Intraksi pertama akal manusia dengan alam sekeliling menggerakan akal
berfikir tentang perjalanan dan perubahan alam sekeliling mereka. Antara
tokoh-tokoh terkenal pada zaman tersebut ialah seperti Thales yang
terkenal sebagai seorang ahli falsafah, astronomi dan geometrik.
Pendekatan perbincangan yang digunakan oleh beliau ialah pendekatan
deduktif.

Setelah itu lahir pula Pythagoras. Beliau dikatakan orang yang pertama
menggunakan perkataan falsafah. Beliau menggunakan pendekatan
mistik dan matematik dalam geometrik dan aritmatik. Kelahiran Aristotle
sebagai tokoh falsafah dan empiris menceriakan lagi kehidupan dunia
falsafah manusia. Empiris menurut Kamus Dewan ialah ilmu
berdasarkan pengalaman dan penelitian atau pemerhatian sebenar bukan
teori semata (Kamus Dewan, 1989). Beliau menggunakan pendekatan
induktif. Perbahasan tentang persoalan kehidupan semakin berkembang
dengan kelahiran Plato yang mengemukakan pendekatan deduktif.
Walaupun pendekatan tentang persoalan kehidupan berbeza namun
kedua-dua saling memberi kemakmuran kepada kehidupan manusia
dalam penerokaan akal dan ilmu.

Pada zaman kegemilangan falsafah Yunani terdapat dua buah kutub


peradaban ilmu yang terkenal iaitu Athena dengan kehandalan intelektual
kaedah falsafah deduktif dan Alexandria dengan kemegahan empiris
metode deduktif. Kedua-dua bidang ini merupakan pengikut Plato dan
Aristotle.

Kesinambungan hidup manusia dikenali pula sebagai zaman Masihi iaitu


setelah kelahiran Nabi Isa (abad 0M-6M). Pada zaman ini catatan sejarah
kehidupan manusia tentang penggunaan akal telah merakamkan peristiwa
pertarungan sengit antara pihak gereja dan ahli falsafah. Ajaran Kristian
dan pihak gereja melarang keras para penganutnya menggunakan akal
pemikiran. Hal demikian bukan sahaja membangkitkan kemarahan
rakyat malah turut menyebabkan perkembangan ilmu pengetahuan
menjadi beku dan mundur secara drastik. Tambahan pula pihak raja dan
gereja bertindak sebagai pemegang autoriti kuasa telah mengambil

11
langkah membekukan perkembangan ilmu pengetahuan. Kemunduran
ilmu pengetahuan pada zaman ini dikenali juga dengan zaman gelap
Eropah atau abad pertengahan. Kehidupan manusia diselubungi
kemunduran dan mempercayai mitos serta dongeng-dongeng yang
bertentangan dengan pemikiran yang waras.

Pada abad ke-6M hingga 13M merupakan zaman kelahiran Islam.


Kedatangan Islam yang tidak menghalang manusia menggunakan akal
fikiran telah membawa perubahan baru kepada kehidupan manusia
sejagat. Islam menyuruh umatnya menggunakan akal pemikiran yang
mereka miliki malah mengecam mereka yang tidak mahu menggunakan
akal tersebut seperti yang tercatat dalam surah al-Anfal ayat 22 yang
bermaksud:

Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-


buruknya di sisi Allah S.W.T. ialah orang-orang yang
pekak dan tuli, yang tidak mengerti apa-apapun.

Allah S.W.T. menegaskan bahawa manusia yang paling buruk di sisi-Nya


ialah mereka yang enggan mendengar, bercakap dan memahami
kebenaran yang dibawa oleh Islam.

Gesaan menggunakan akal pemikiran disambut baik oleh umat Islam.


Mereka menjadikan al-Quran sebagai pembimbing dan panduan hidup
seharian. Usaha yang bersungguh-sungguh dan penghayatan ajaran Islam
yang baik melahirkan pula tokoh-tokoh pemikiran, falsafah dan ilmuan
Islam yang besar dan berautoriti dalam bidang masing-masing seperti
Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali dalam bidang fekah atau hukum
hakam agama.

Al-Kindi mahir dalam bidang falsafah. Al-Farabi seorang tokoh


astronomi dan matematik. Al-Khawarizmi penemu aljabar (algorisma)
dan Ibnu Sina ahli perubatan. Manakala Al-Ghazali pula merupakan
seorang tokoh yang sangat berkaliber dalam dunia Islam. Penemuan
tertinggi beliau dalam buku Ihya' Ulumuddin mencakupi persoalan iman,
intelektual atau falsafah, empirikal, mistik atau sufisme sangat
membanggakan dunia Islam sehingga kini.

Kehadiran Ibnu Rush sebagai seorang ahli falsafah, ilmu fizik,


kedoktoran dan ulama fekah dengan pendekatan empiris telah
memberikan sumbangan yang cukup besar kepada sejarah kehidupan
manusia. Begitu juga dengan Ibnu Khaldun seorang ahli falsafah sejarah,
sosiologi, politik, ekonomi dan kenegaraan. Sumbangan-sumbangan
mereka kepada dunia dan kehidupan manusia sangat besar. Perubahan
dan pembaharuan yang dicetuskan oleh mereka telah memartabatkan
manusia pada tahap kemajuan serta puncak tamadun yang tinggi.
12
Kejayaan yang dicapai oleh umat Islam mula tergugat apabila berlaku
peperangan salib. Peristiwa kehancuran ini berlaku pada abad 14M-20M.
Abad ini dikenali juga sebagai Abad Kehancuran Kristian, Abad
Kemunduran Islam, Abad Falsafah Yunani kedua dan Abad Pemikiran.

Rentetan sejarah yang panjang tentang lukisan warna-warna kehidupan


manusia yang pelbagai menunjukkan manusia sangat peka dengan
perubahan alam sekeliling mereka. Peristiwa-peristiwa yang berlaku
dimanfaatkan oleh mereka sebagai panduan, pengajaran dan sumbangan
yang berguna kepada generasi manusia yang akan mewarisi kehidupan di
hari muka. Segala perubahan dan pembaharuan yang dilakukan
merupakan hasil kerja yang dilakukan oleh sebuah akal pemikiran yang
sangat unggul.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Maksud falsafah ialah

A. Cinta hikmah.
B. Cinta ilmu pengetahuan.
C. Cinta keindahan.
D. Cinta kehebatan pengetahuan.

2. Pilih kenyataaan yang benar berkaitan dengan falsafah, pemikiran


dan etika.

I Falsafah dan pemikiran merupakan persoalan akal.


II Etika lahir dalam gerak laku seseorang.
III Falsafah mendominasi pemikiran.
IV Etika tidak ada kaitan dengan falsafah.

A. I, II, III.
B. I, III, IV.
C. I, II, III, IV.
D. II, III, IV.

3. Bagaimanakah manusia dicipta menurut teori evolusi?

A. Proses peubahan secara perlahan-lahan daripada monyet.


B. Diciptakan menurut gambar dan rupa Allah.
C. Dicipta oleh Allah daripada debu-debu tanah.
D. Makhluk hidup berasal daripada benda-benda mati.

13
4. Apakah tujuan manusia dicipta menurut pandangan teori evolusi.

A. Tanpa tujuan.
B. Memuliakan tuhan.
C. Khalifah Ahhah.
D. Mencapai kebebasan secara mandiri.

5. Zaman gelap Eropah atau abad pertengahan menjadi catatan


penting dalam sejarah kehidupan manusia merujuk kepada
perkara-perkara berikut kecuali

A. Pihak raja dan gereja merupakan pemegang outoriti kuasa


telah membekukan perkembangan ilmu pengetahuan.
B. Larangan penggunaan akal membangkitkan kemarahan
rakyat dan perkembangan ilmu menjadi mundur secara
drastik.
C. Pemikiran manusia mempercayai mitos serta dongeng-
dongeng yang bertentangan dengan akal yang waras.
D. Hadiah yang lumayan diberikan kepada mereka yang
berjaya dalam majlis sayembara pada tiap-tiap hujung
minggu.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

14

Anda mungkin juga menyukai