Anda di halaman 1dari 14

Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 83

UNIT 6
PENDEKATAN HUMANISTIK:
TEORI HIERARKI KEPERLUAN MASLOW
CHE ANUAR CHE ABDULLAH
MOHD NOOR IDRIS

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir unit ini, anda diharap dapat:


1. Menerangkan fitrah manusia berdasarkan pendekatan humanistik.
2. Membincangkan konsep-konsep dalam pendekatan humanistik teori Hierarki
Keperluan Maslow.
3. Mengaitkan teori Hierarki Keperluan Maslow dalam pembangunan sahsiah guru

6.1 PENGENALAN

P
endekatan humanistik melibatkan teori-teori yang melihat kepada nilai-nilai kemanusiaan dalam
memperkembangkan potensi seseorang individu. Abraham Maslow dan Carls Rogers merupakan
pelopor kepada psikologi kemanusiaan. Perspektif humanistik mementingkan pendekatan moral dan
potensi seseorang individu. Semasa proses pembelajaran, pendekatan humanistik ini lebih berpusatkan
kepada murid dan murid diibaratkan sebagai seorang klien. Dalam keadaan ini, konsep humanistik sangat
penting kerana ia melihat beberapa aspek iaitu dari segi nilai manusia, hak individu, tindakan diri dan harga
diri dalam menentukan sesuatu tindakan yang diambil. Humanistik berpendapat pembelajaran manusia
bergantung kepada emosi dan perasaannya. Mereka menegaskan, setiap individu mempunyai cara belajar
yang berbeza dengan individu yang lain. Oleh itu, strategi pengajaran dan pembelajaran hendaklah diatur
mengikut kehendak dan perkembangan emosi pelajar sendiri. Mengikut ahli teori ini termasuk Carl Rogers,
setiap individu mempunyai potensi dan keinginan mencapai kecemerlangan kendiri. Maka, guru hendaklah
menjaga kendiri pelajar dan memberi bimbingan supaya potensi mereka dapat diperkembangankan ke
tahap optimum. Dalam unit ini Teori Hierarki Keperluan Maslow diutamakan sebagai perbincangan.
Abraham Maslow dalam teorinya menerima tentang adanya tenaga manusia untuk berkembang dengan
sihat dan mampu mencapai kesempurnaan. Maslow mengkritik teori yang dikemukakan oleh ahli psikologi
tingkah laku dan Psikoanalisis. Maslow mengkritik Sigmund Freud tentang tanggapan terhadap konflik-
konflik tidak disedari. Maslow memandang manusia dengan penuh optimistik. Teori ini dikenali sebagai
Teori Hierarki Keperluan. Abraham Maslow berpendapat bahawa perkembangan personaliti/ sahsiah
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 84

individu banyak bergantung kepada keperluan yang paling dominan pada dirinya. Teori Hierarki
Keperluan Abraham Maslow mula diperkenalkan setelah terbit bukunya yang berjudul Motivation and
Personality pada tahun 1954.

6.2 LATAR BELAKANG ABRAHAM MASLOW

Rajah 6.1 Abraham Maslow

B
eliau dilahirkan pada tahun 1908 di Brooklyn, New York dan merupakan anak sulung dari tujuh
adik beradik. Keluarga Maslow adalah imigran Yahudi dari Rusia yang miskin dan mempunyai tahap
pendidikan yang rendah. Semasa proses pembesarannya, kehidupan Maslow pada waktu kecil
adalah susah. Pengalaman kehidupannya tidak menyeronokkan, penuh dengan kekecewaan dan rasa
kesunyian. Beliau kurang mendapat kasih sayang daripada ibu bapanya dan sering disingkirkan oleh
kawan-kawannya. Faktor keluarga dan masalah persekitaran di luar rumah banyak mempengaruhi
kehidupannya. Pada tahun 1967 beliau dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Psikologi Amerika. Beliau
meninggal dunia dalam usia 62 tahun kerana sakit jantung.

6.3 PANDANGAN MASLOW TERHADAP MANUSIA

a. Maslow melihat manusia dengan pandangan yang optimistik. Fokus kajian Maslow adalah
terhadap kesihatan psikologi berbanding dengan penyakit, tentang perkembangan manusia
berbandingkan kejumudan, tentang potensi dan kebaikan manusia berbanding kelemahan
manusia.
b. Setiap individu memiliki kebebasan, dengan kebebasan yang dimiliki akan menentukan
individu untuk mencapai kesempurnaan dan dapat mencapai makna kehidupan yang sebenar.
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 85

Kebebasan adalah tanda manusia sempurna, manusia boleh memilih yang mana baik dan
yang mana buruk bagi memenuhi keperluannya dan memperkembangankan potensinya.
c. Keperluan adalah diwarisi tetapi tingkahlaku untuk mencapainya adalah dipelajari. Oleh itu
personaliti adalah ditentukan melalui faktor interaksi antara alam kehidupan dan asuhan sejak
kecil, warisan dan persekitaran dan faktor personal dan persekitarannya
d. Personaliti manusia adalah unik. Maslow berpendapat sungguhpun motivasi dan keperluan
manusia adalah universal tetapi bagaimana cara manusia memenuhi keperluan itu adalah
berbeza di antara satu sama lain kerana tingkah laku ini dipelajari. Keadaan ini menyebabkan
tingkah laku manusia tidak sama.
e. Beliau mengakui pentingnya pengalaman di zaman awal kanak-kanak dalam membentuk
perkembangan personaliti seseorang tetapi beliau percaya manusia mempunyai potensi untuk
menguruskan kehidupannya. Manusia akan lebih produktif dan lebih gembira jika dia dapat
mempelajari dan menggunakan segala potensi ini.
f. Warisan manusia pada dasarnya adalah baik, tetapi beliau juga tidak menafikan akan
wujudnya kejahatan. Pada pendapat Maslow, kejahatan bukanlah sebahagian dari kehidupan
tetapi disebabkan oleh persekitaran yang tidak sempurna.

Kesimpulannya dapat dikatakan bahawa berdasarkan teori Maslow ini, manusia itu sesungguhnya bersifat
baik dan berpandangan positif, jika wujud sifat negatif seperti sikap agresif atau egoistik itu menunjukkan
tanda-tanda penyakit yang berpunca daripada rasa kecewa. Manusia juga bersifat bebas dalam had-had
tertentu. Manusia bebas membuat keputusan dan memilih aktiviti yang sesuai.

Rajah 6.2 Model Hierarki Keperluan Maslow


Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 86

6.4 PERKEMBANGAN PERSONALITI: TEORI HIERARKI KEPERLUAN

T eori Abraham Maslow dikenali sebagai Teori Hierarki Keperluan (Hierarchy of Need Theory). Teori
ini menghuraikan ada lima keperluan asas manusia yang akan mempengaruhi dan mengarahkan
tingkah laku manusia. Susunan keperluan tersebut adalah:

a. Keperluan fisiologi
b. Keperluan keselamatan
c. Keperluan kasih sayang
d. Keperluan penghargaan kendiri
e. Keperluan kesempurnaan kendiri

Maslow menerangkan segala keperluan ini sebagai ‘semulajadi’ yang bermakna ‘kualiti yang
diperturunkan secara biologi yang kuat pengaruhnya terhadap tingkahlaku’. Bagaimanapun segala
keperluan ini dapat dihapuskan melalui proses pembelajaran, tuntutan budaya, oleh ketakutan dan dengan
tidak menyetujuinya. Sungguhpun segala keperluan ini diwarisi sejak lahir, tetapi tingkah laku untuk
memenuhi segala keinginan ini adalah dipelajari dan menyebabkan tingkah laku ini berbeza dari seseorang
dengan seseorang yang lain. Keperluan-keperluan ini telah disusun mengikut urutan dari keperluan yang
paling kuat (utama) kepada keperluan yang lemah. Keperluan di peringkat bawah sekali adalah keperluan
yang mesti dipenuhi sebelum keperluan pada peringkat yang lebih tinggi diberi keutamaan.

Tidak semua keinginan ini perlu dipenuhi pada masa yang sama. Secara umumnya hanya satu
keperluan yang akan mendominasikan personaliti kita. Keperluan yang satu ini adalah bergantung kepada
keperluan-keperluan lain yang telah dipenuhi. Contohnya, seseorang yang telah berjaya dalam bidang
kerjayanya tidak lagi terdesak untuk memenuhi keperluan fisiologinya dan keperluan keselamatan. Mereka
mungkin akan mencari keperluan penghargaan kendiri atau kasih sayang. Menurut Maslow keutamaan
keperluan ini boleh berubah-ubah ataupun bertukar mengikut situasi contohnya dalam keadaan kegawatan
ekonomi, orang mungkin akan kehilangan pekerjaan menyebabkan keperluan fisiologi akan kembali
menjadi keutamaan.

Ciri-ciri keperluan

Maslow menghuraikan ciri-ciri dan fungsi keperluan seperti berikut;


a. Keperluan yang terletak paling bawah dalam senarai hierarki adalah keperluan yang paling perlu
diberi keutamaan dan keperluan yang paling tinggi dalam hierarki adalah keperluan yang paling
lemah.
b. Keperluan yang terletak pada bahagian atas hierarki hanya timbul setelah segala keperluan fisiologi
dan keperluan keselamatan dipenuhi.
c. Keperluan fisiologi dan keperluan keselamatan amat perlu terutama pada masa kanak-kanak.
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 87

d. Keperluan kasih sayang dan penghargaan akan diperlukan semasa remaja.


e. Keperluan kepada kesempurnaan kendiri hanya akan wujud apabila seseorang itu telah dewasa
terutamanya apabila telah mencapai pertengahan umur.
f. Kegagalan memenuhi keperluan-keperluan yang terletak pada bahagian bawah hierarki akan
menimbulkan pelbagai masalah. Atas alasan ini maka Maslow menamakan keperluan peringkat
bawahan ini sebagai deficit atau deficiency of needs.
g. Jika keperluan peringkat atasan ini dapat dipenuhi atau dipuaskan maka didapati hidup akan
menjadi lebih bermakna, jangka hayat akan lebih panjang dan menambahkan kecekapan biologi.
Atas alasan ini Maslow menamakan keperluan peringkat atasan ini sebagai keperluan growth atau
being of needs.
h. Memenuhi keperluan peringkat atasan ini memberi faedah kepada aspek biologi dan juga aspek
psikologi. Memenuhi kepuasan pada peringkat ini akan menjadikan hidup lebih gembira dan
bermakna.
i. Memenuhi kepuasan peringkat atasan memerlukan keadaan atau suasana luaran dari sudut sosial,
ekonomi dan politik yang baik dan harmoni. Sebaliknya memenuhi kepuasan peringkat bawahan
tidak bergantung kepada suasana atau faktor luaran.
j. Sesuatu keperluan itu tidak semestinya dipenuhi dengan sepenuhnya sebelum sesuatu keperluan
lain dalam hierarki menjadi penting atau dipenuhi. Dalam kajiannya Maslow menerangkan bahawa
hanya 85% keperluan fisiologi yang mesti dipenuhi, 70% keperluan keselamatan, 50% keperluan
penghargaan dan kasih sayang, 40% penghargaan kendiri dan hanya 10% keperluan
kesempurnaan kendiri.

Keperluan fisiologi

Keperluan ini adalah keperluan peringkat pertama yang perlu dipenuhi. Keperluan ini merupakan keperluan
utama yang diperlukan oleh setiap individu seperti keperluan makanan, minuman, keperluan tidur, rehat,
seks, pakaian dan lain-lain. Keperluan ini bersifat biologikal. Jika keperluan ini tidak dipenuhi maka
keperluan-keperluan lain akan menjadi tidak penting.

Rajah 6.3 Contoh keperluan fisiologi


Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 88

Bagaimanakah dengan keperluan fisiologi anda? Bolehkah anda kenalpasti keperluan


fisiologi yang anda masih belum perolehi?

______________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________
_____________________________________________________________________________

Keperluan keselamatan

Keperluan ini termasuk keperluan kepada kestabilan, pergantungan, perlindungan bebas daripada rasa
takut dan bimbang. Menurut Maslow keperluan kepada keselamatan sangat penting pada peringkat kanak-
kanak dan orang dewasa yang mengalami kejiwaan.

Pada masa kanak-kanak, mereka menunjukkan ketakutan pada orang yang tidak dikenali dan
menunjukkan rasa kegelisahan jika ketiadaan ibunya. Pada tahun permulaanya, kanak-kanak memerlukan
rutin, kestabilan dan persekitaran yang aman.

Bagi orang dewasa pula keperluan ini dapat dipenuhi dengan mewujudkan undang-undang dalam
masyarakat. Ini akan menolong memenuhi keperluan mendapat ketenteraman, kedamaian, bebas dari
perasaan resah dan gelisah dan sebagainya yang boleh mengancam nyawa dan fizikal serta emosi.
Kegagalan memenuhi keperluan ini akan menimbulkan keadaan yang membahayakan manusia.

Rajah 6.4 Contoh keperluan keselamatan

Apakah yang akan anda lakukan untuk memastikan keperluan keselamatan murid anda di
sekolah?
______________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 89

Keperluan kasih sayang

Keperluan kasih sayang merupakan keperluan yang diperlukan setelah segala keperluan fisiologi dan
keperluan keselamatan dipenuhi. Misalnya kanak-kanak yang telah merasa selamat dalam persekitarannya
akan mula mengalih perhatiannya kepada orang lain contohnya memerlukan kasih sayang daripada ibu
bapanya atau ahli keluarganya. Sementara pada peringkat remaja keinginan kasih sayang perlu dipenuhi
untuk mendapatkan penerimaan dari sahabat dan rakan sebaya.

Contoh keperluan kasih sayang

Keperluan untuk merasai diri dihargai sebenarnya sukar untuk dicapai terutama keadaan masyarakat yang
sentiasa berubah. Perubahan tempat tinggal, perubahan tempat kerja, tempat belajar dan sebagainya
menyebabkan individu akan memenuhi keperluan tersebut dengan pelbagai cara.
Contohnya:
Menganggotai persatuan atau kelab akan menjadikan diri anda sentiasa diberikan penghargaan
dalam setiap acara yang diwakili. Bahkan setiap kemenangan dan pencapaian yang cemerlang
akan dihargai melalui pelbagai acara penganugerahan.

Bagi Maslow keperluan memenuhi keinginan seks juga adalah salah satu cara bagi menyatakan kasih
sayang. Jika keperluan ini tidak dapat dipenuhi, manusia akan merasai gelisah, kecewa dan tidak
tenteram. Hal ini akan menyebabkan berlakunya gangguan emosi. Keperluan kasih sayang ini juga akan
menyebabkan manusia terus berkembang dengan sempurna terutamanya dari aspek perkembangan
emosi.

Adakan anda bersetuju bahawa setiap manusia memerlukan kasih sayang dan ia merupakan
elemen motivasi yang penting yang diperlukan oleh murid?
______________________________________________________________________________
_____________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 90

Keperluan perhargaan kendiri

Keperluan ini merupakan keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan tentang diri sendiri, penghormatan
dari orang lain, rasa dikenali dan mendapat kejayaan sosial.
Keperluan penghargaan kendiri ini dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu:
a. penghargaan terhadap diri sendiri
b. penghargaan yang diberikan oleh orang lain atau dengan lain kata untuk mendapat
pengiktirafan daripada orang lain.

Sambutan hari guru merupakan salah satu contoh penghargaan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada
para guru. Bahkan, murid-murid sentiasa menunjukkan penghargaan mereka terhadap guru melalui
hadiah-hadiah yang diberikan setiap kali menjelangnya sambutan hari guru.

Kerana itu, jika keperluan penghargaan kendiri ini dapat dipenuhi dengan sebaiknya ianya boleh
membuatkan individu memiliki keyakinan diri dan lebih berdikari. Keadaan ini akan menyebabkan individu
tersebut menjadi lebih produktif. Keperluan untuk mendapatkan penghargaan dari orang lain diperlihatkan
dari keperluan untuk mendapatkan kemasyhuran, pengikhtirafan, penghormatan dan sebagainya.

Namun begitu, jika keperluan ini tidak tercapai, ianya akan menimbulkan masalah seperti:

Rajah 6.5 Kesan kurang penghargaan kendiri


Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 91

Adakah anda pernah dihargai oleh seseorang di atas hasil usaha atau pertolongan anda
selama ini? Jika tidak, adakah ada berasa kecewa dan tidak akan membantunya lagi?
_____________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________

Keperluan kesempurnaan kendiri

Keperluan ini berada di peringkat paling atas. Setiap individu berbeza dalam mengisi keperluan ini.
Keperluan ini merangkumi:
a. Kebolehan menggunakan sepenuhnya potensi yang dimiliki
b. Bakat dan kebolehan

Rajah 6.6 Contoh kesempurnaan kendiri

Kegagalan individu memenuhi keperluan kesempurnaan kendiri ini akan menyebabkan individu rasa
kehilangan atau kecewa dan tidak mempunyai kepuasan dalam kehidupannya. Inidividu yang berjaya
mencapai peringkat ini memiliki keyakinan diri yang tinggi, kepuasan dalam kehidupan, ketenangan dan
kebahagiaan dalam kehidupan.

6.5 CIRI-CIRI MANUSIA YANG MENCAPAI KESEMPURNAAN

A
ntara ciri-ciri yang menunjukkan bahawa seseorang itu telah mencapai tahap kesempurnaan kendiri
ialah:

a. mempunyai persepsi yang jelas tentang realiti


b. penerimaan terhadap diri sendiri, orang lain dan persekitaran
c. suka mempermudahkan dan berkecuali
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 92

d. berdedikasi terhadap sesuatu sebab


e. memerlukan kepada hak diri
f. menikmati pengalaman hidup walaupun mudah dan asas
g. minat untuk bersosial
h. toleransi dan dapat menerima orang lain
i. kreativiti dan keaslian
j. penolakan terhadap tekanan sosial

Pada pendapat anda, siapakah tokoh-tokoh di Malaysia yang telah mencapai ke hirarki
kesempurnaan kendiri? Nyatakan pendapat anda dengan hujah yang bernas?
______________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________

6.6 FAKTOR PENYEBAB KEGAGALAN MANUSIA MENCAPAI KESEMPURNAAN

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan manusia tidak dapat mencapai tahap kesempurnaan kendiri.
Di antara faktor tersebut ialah:

a. Semakin tinggi kedudukan keperluan dalam susunan hierarki, semakin lemah atau semakin sukar
atau tidak perlu mencapainya.Sebagai contohnya, dalam keadaan krisis ekonomi yang semakin
teruk, maka keperluan fisiologi akan semakin dipentingkan dalam kehidupan manusia berbanding
dengan keperluan untuk mendapatkan kesempurnaan kendiri.
b. Faktor corak atau amalan pendidikan yang diterima. Sebagai contohnya, sebelum ini masyarakat
beranggapan anak perempuan tidak perlu belajar ke peringkat yang lebih tinggi sebab
tanggungjawab orang perempuan adalah sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak lebih penting.
Hal ini menyebabkan keinginan untuk mendapatkan keperluan yang lebih tinggi tidak timbul.
c. Kawalan yang keterlaluan ke atas kanak-kanak misalnya tidak dibenarkan mengemukakan idea-
idea yang baru, tidak dibenar bertingkahlaku yang agresif, tidak dibenarkan membuat sesuatu
yang baru dan sebagainya akan menjadikan kanak-kanak tersebut menjadi seorang yang tidak
mempunyai keyakinan apabila dewasa dan seterusnya akan menyekat mereka daripada
melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kepada kesempurnaan kendiri.
d. Faktor Jonah Complex iaitu merujuk kepada perasaan takut dan bimbang tentang keupayaan diri
sendiri. Individu tersebut takut untuk mengembangkan potensi yang ada pada dirinya kerana takut
menemui kegagalan atau selalu melihat kekurangan yang ada pada dirinya. Tahap kesempurnaan
kendiri tidak dicapai kerana kesempurnaan kendiri memerlukan keberanian, usaha, disiplin dan
kawalan diri.
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 93

6.7 RUMUSAN TEORI

Dalam teori Humanistik, Maslow memberi penekanan bahawa setiap manusia dilahirkan dengan
keperluan-keperluan tertentu yang akan membolehkan seseorang itu terus membesar, berkembang dan
mencapai kepada kesempurnaan. Keperluan manusia ini diterangkan oleh Maslow secara hierarki seperti
piramid kerana mempunyai peringkat yang tersusun iaitu bermula dengan keperluan fisiologi, diikuti
keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang, keperluan penghargaan kendiri dan diakhiri dengan
keperluaan kesempurnaan kendiri.

Untuk memenuhi keperluan ini, keperluan yang terletak paling bawah dalam hierarki adalah paling
diutamakan dan mesti dipenuhi sebelum keperluan lain dipenuhi. Jika keperluan di peringkat bawah tidak
dipenuhi atau dipuaskan, maka terjadilah masalah psikologi pada individu tersebut.

6.8 APLIKASI TEORI DALAM BILIK DARJAH

Peranan dan tanggungjawab guru pada masa kini sangat mencabar semasa menjalankan
tugasnya sebagai pendidik. Proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap
sebagai satu unsur yang membolehkan murid melibatkan diri secara aktif baik di dalam
dan di luar bilik darjah.Di samping itu ianya menjadikan proses pembelajaran berlaku
dalam situasi yang bermakna, berfaedah dan menyeronokkan. Guru merupakan fasilitator
kepada setiap muridnya supaya bermotivasi dan berjaya dalam pembelajaran.

Guru hendaklah sentiasa memberi peneguhan kepada muridnya apabila mereka memperlihatkan
tingkahlaku positif. Peneguhan ini boleh diberi dalam pelbagai bentuk seperti pujian, senyuman atau
hadiah. Secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi tahap motivasi serta meningkatkan prestasi
murid-muridnya. Selain itu, guru perlu memastikan setiap mata pelajaran yang diajar menarik minat
muridnya. Bagi menentukan proses pengajaran dan pembelajaran itu sentiasa aktif, bersifat menyelidik,
menyeronokkan dan berfaedah. Aktiviti pembelajaran perlu menggalakkan interaksi sosial dan interaksi
dalam kumpulan dan sentiasa memberi galakan antara satu sama lain.

Penyampaian pengajaran yang tidak menarik boleh menyebabkan murid-murid berasa bosan.
Oleh itu, guru perlu menyerapkan pelbagai kaedah aktiviti dalam mempelbagaikan proses pengajaran dan
pembelajaran. Guru boleh menyuruh murid ke perpustakaan atau makmal komputer untuk mencari
maklumat tentang topik-topik yang berkaitan dengan pelajaran yang dipelajari. Guru juga boleh
mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang bersejarah atau tempat yang sesuai dengan
pelajaran. Ini adalah berguna untuk murid yang mempunyai gaya pembelajaran pragmatis kerana mereka
dapat melihat pertalian antara teori dan fakta yang dipelajari dengan situasi sebenar. Selain itu, guru
boleh mengadakan pusat atau ruang untuk sudut mata pelajaran bagi mempamerkan segala alat bantu
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 94

mengajar seperti carta, peta dan sebagainya. Aktiviti sebegini secara tidak langsung menanamkam minat
kepada murid untuk mencapai tahap yang tertinggi dalam kerjaya dan kehidupan.

Secara ringkasnya, implikasi pemahaman konsep Hierarki Keperluan Maslow dalam amalan bilik
darjah dapat dikenal pasti sebagaimana berikut:
a. Guru seharusnya memastikan keperluan asas murid telah dipenuhi.
b. Guru seharusnya menjadikan bilik darjah dalam keadaan yang kondusif.
c. Guru seharusnya bersifat penyayang untuk memenuhi keperluan kasih sayang.
d. Guru hendaklah sentiasa memupuk nilai penghargaan kendiri serta memberi peneguhan
positif yang sesuai kepada murid.
e. Guru hendaklah bijak merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut kebolehan
murid.
f. Guru haruslah sentiasa bijak mengenal pasti segala kebolehan dan keistimewaan yang ada
pada murid untuk dikembangkan secara optimum.
g. Guru hendaklah sentiasa memupuk nilai motivasi diri melalui bimbingan supaya murid
memahami dan menerima diri serta terlibat secara aktif dalam aktiviti sosial.

Kebanyakan murid yang terlibat dalam masalah disiplin di sekolah merupakan golongan
pelajar yang tidak bermotivasi dalam pembelajaran. Sebagai seorang bakal pendidik yang
telah memahami secara mendalam mengenai teori hierarki keperluan Maslow. Apakah pendekatan aktiviti
yang anda boleh gunakan untuk menanamkan kesedaran kepentingan pendidikan dan menimbulkan
motivasi kepada murid?
i. ______________________________________________________________________________
ii. ______________________________________________________________________________
iii. ______________________________________________________________________________
iv. ______________________________________________________________________________

RUMUSAN

Apabila seseorang berjaya mencapai satu peringkat keperluan dan ini secara langsung akan menimbulkan
perasaan untuk memenuhi kepuasan pada peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu pendidik harus mengetahui
langkah-langkah yang praktikal sejajar dengan diri seseorang murid demi memenuhi kehendak murid.
Dengan itu kepuasan belajar dalam keperluan motivasi boleh dicapai seterusnya menanamkan minat murid
mengembangkan potensinya. Jelaslah bahawa setiap keperluan itu mempunyai matlamat yang mesti
dicapai bagi memenuhkan keperluan setiap daripada keperluan-keperluan tersebut. Matlamat ini
mempunyai nilai yang tertentu kepada seseorang mahupun seorang murid yang memerlukannya.
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 95

Teori Hierarki Keperluan Maslow telah memberi gambaran bahawa perkembangan individu atau
murid perlu melalui beberapa tingkat kepuasan atau dengan kata lain proses perkembangan individu itu
merupakan satu usaha yang berterusan dalam persekitaran sosial sehingga mencapai kecemerlangan.
Oleh itu bagi mempertingkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru
seharusnya peka dan bijak menentukan apa keperluan seseorang murid. Dengan menyedari keperluan
seseorang murid, guru dapat mengatur strategi serta alternatif yang lebih praktikal demi
kecemerlangan yang maksimum.

KATA KUNCI

1. Hierarki Keperluan
2. Optimistik
3. Kebebasan
4. Keperluan fisiologi
5. Keperluan Keselamatan
6. Keperluan Kasih Sayang
7. Keperluan Penghargaan Kendiri
8. Keperluan Kesempurnaan Kendiri
9. Kendiri
10. Humanistik

PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah perbezaan pendekatan humanistik dengan pendekatan psikoanalisis?


2. Apakah pandangan Maslow terhadap manusia?
3. Apakah peringkat-peringkat keperluan dalam model hierarki keperluan Maslow?
4. Huraikan hierariki keperluan menurut Maslow. Bagaimana keperluan tersebut boleh
dicapai?
5. Apakah perbezaan di antara keperluan peringkat atas dengan keperluaan peringkat bawah?
6. Apakah perbezaan pandangan terhadap manusia di antara Maslow dengan Freud?
7. Bagaimanakah yang boleh difahami seseorang itu telah mencapai kesempurnaan kendiri?
8. Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang guru untuk memotivasikan pelajarnya?
9. Mengapa penting seseorang itu untuk mencapai ke peringkat kesempurnaan kendiri?
10. Mengapakah tidak semua manusia mampu mencapai kepada kesempurnaan kendiri?
Pendekatan Humanistik: Teori Hierarki Keperluan Maslow | 96

RUJUKAN

Allen, B.P. (2000). Personality theories: Development, growth and diversity (3rd Ed.). USA: Allyn & Bacon.

Atan Long (1976). Psikologi pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Burger, J.M. (2001). Personality and integrative approach personality theories: Basic assumptions,
research and applications (4th Ed.). USA: Thomson Learning

Cloninger, S.C. (2003). Theories of personality (6th Ed.). New Jersey: Prentice Hall,Inc.

Lester D. Crow, Alice Crow (1980). Psikologi pendidikan untuk perguruan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Schuiltz, D & Schultz, S.E. (2005 ). An introduction to theories of personality. (8th Ed.). New Jersey:
Brooks / Cole Publishing Company.

Anda mungkin juga menyukai