Anda di halaman 1dari 12

ABSK3103

FIQH MUNAKAHAT

Islam meraikan fitrah manusia yang ingin di kasihi dan di sayangi serta ingin
mencurahkan kasih sayang sesama insan. Berpasangan adalah fitrah semula jadi manusia
seperti pasang dan surut dan siang dan malam. Cara berpasangan haruslah selari dengan
syariat Islam yang telah ditetapkan iaitu melalui perkahwinan. Perkahwinan merupakan cara
manusia untuk hidup berpasangan dan mengharungi segala suka dan duka dalam kehidupan
dan juga untuk mendapat zuriat. Najahudin Lateh (2014) menyatakan perkahwinan atau nikah
menurut bahasa ialah bergabung dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan
qabul (akad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan
oleh kata-kata yang menunjukkan nikah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Islam.

Allah SWT berfirman:

"Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia
menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang
hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih
sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21)

Namun begitu, pastinya ada ujian dan dugaan bagi segelintir pasangan suami isteri
dalam melayari bahtera rumah tangga. Sekiranya berlaku masalah yang tidak dapat
diselesaikan dan dengan perceraian itu lebih baik daripada hidup bersama, maka, perceraian
atau pembubaran perkahwinan adalah jalan terbaik untuk pasangan suami isteri. Ia adalah
proses menamatkan hubungan perkahwinan atau berpisah dan gugur lah hak dan kewajipan
suami isteri. Walaupun begitu, perceraian bukanlah perkara yang sewenang-wenangnya boleh
di lafaz atau dipohon. Ia tidak boleh dipandang remeh kerana perceraian adalah salah satu
yang dibenci oleh Allah SWT. Berdasarkan hadis riwayat Abu Dawud yang bermaksud:

“Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh Allah selain daripada talak.” 

Justeru, perceraian mestilah kerana tiada penyelesaian yang boleh diambil dan jalan
serta langkah terakhir untuk suami isteri yang sudah tidak mempunyai kesefahaman dalam
rumah tangga. Akan tetapi, pihak isteri haruslah memohon cerai atas sebab-sebab yang jelas
dan bukan sebab perkara yang remeh temeh kerana memohon cerai tanpa sebab yang
munasabah adalah haram. Sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW berikut:

“Siapa saja perempuan yang meminta (menuntut) cerai kepada suaminya tanpa alasan yang
dibenarkan maka diharamkan bau surga atas perempuan tersebut.” (HR. Abu Dawud, Al-
Tirmidzi, dan Ibnu Majah. Dishahihkan Syaikh Al-Albani dalam Shahih Abi Dawud).

Oleh itu, pembubaran perkahwinan atau perceraian boleh dilakukan sekiranya ada
sebab yang munasabah dari pihak isteri.  Pembubaran perkahwinan dalam Islam tidaklah
hanya berkisar mengenai talak. Perceraian boleh di lafaz oleh suami iaitu dikenali sebagai
talak dan kuasa talak berada di tangan suami tetapi perceraian juga boleh dipohon atau
dikemukakan oleh isteri. Namun, permohonan cerai oleh pihak isteri sering kali dipandang
serong oleh sesetengah masyarakat terutama di sesetengah tempat. Akan tetapi, perkara ini
dibolehkan di dalam Islam demi menjaga kemaslahatan semua pihak. Raihanah Haji
Abdullah (t.t) menyatakan Islam memberikan hak kepada isteri untuk membubar
perkahwinan melalui beberapa kaedah iaitu khuluk, fasakh dan taklik.

Najahudin Lateh (2014) menjelaskan khuluk adalah melepaskan ikatan perkahwinan


dengan cara isteri membayar ganti rugi atau memulangkan semula mahar kepada suami. Ini
juga dikenali sebagai tebus talak bagi masyarakat Melayu. Pembubaran perkahwinan ini
berlaku daripada talak yang diucapkan oleh pihak suami kepada isteri dengan syarat isteri
membayar ganti rugi kepada suami dan ia haruslah di persetujui oleh kedua belah pihak.
Khuluk diambil kira sebagai salah satu bentuk talak kerana ianya perceraian yang berlaku
dengan membayar ganti rugi kepada suami. Menurut Laman Web Rasmi Jabatan Kehakiman
Syariah Negeri Kelantan, khuluk berlaku dengan adanya tebusan harta daripada isteri kepada
suaminya dan tebusan yang disebut dan di persetujui wajib diberikan isteri kepada suaminya.

Zaini Nasohah (2011) menyatakan bahawa berdasarkan dalil-dalil Quran, hadis Rasul
SAW dan ijma’, hukum khuluk adalah diharuskan apabila timbulnya perselisihan dan
ketidakfahaman antara suami isteri. Khuluk juga diharuskan apabila isteri merasa tidak suka
kepada suaminya dan tidak mahu hidup bersama disebabkan fizikalnya atau akhlaknya atau
agamanya yang boleh menyebabkan isteri tidak mampu untuk mentaati suaminya lagi. 

Hukum khuluk ini bersandarkan firman Allah:


Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan)
memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan
(menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik
sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu)
kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum
Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-
aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang
diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran
itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa
yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

— Surah al-Baqarah ayat 229

Khuluk berlaku di atas kehendak isteri, maka isteri tidak dikira menanggung mudarat
akibat perpisahan seperti talak biasa. Justeru, isteri harus membayar ganti rugi kepada suami
dan suami diharuskan melafazkan khuluk walaupun ketika isterinya berada dalam keadaan
haid atau dalam keadaan suci walaupun selepas berlaku persetubuhan. Adapun begitu, suami
tidak boleh sengaja menyakiti hati isteri kerana ingin mendapatkan wang atau menyebabkan
isteri menebus talak daripadanya. Sekiranya berniat sedemikian, maka suami tidak berhak
mengambil apa pun daripada isteri. Khoirul Abror (2017) menambah bahawa apabila berlaku
perceraian melalui khuluk, maka suami tidak mempunyai hak untuk rujuk isterinya meskipun
isterinya menerima kembali wang yang telah dibayarkan. Jika isteri bersedia menerima
kembali bekas suaminya seandainya bekas suaminya berubah laku, maka bekas suaminya
harus melakukan akad nikah kembali dengan melengkapi rukun serta syaratnya. 

Selain daripada khuluk, para isteri juga boleh memohon pembubaran perkahwinan
melalui fasakh. Lateefah Kasamasu, Wan Mohd Yusof , Syed Mohd Azmi dan Zulkifli Mohd
Norizan (2005) menjelaskan fasakh ialah satu kaedah pembubaran perkahwinan bagi
pasangan suami isteri daripada ikatan rumah tangga yang tidak lagi sesuai disebabkan
beberapa masalah yang mengharuskan berlakunya pembubaran perkahwinan melalui perintah
dari mahkamah atau kadi. Berbeza dengan khuluk, fasakh boleh dituntut oleh suami atau
isteri, manakala khuluk hanya boleh dituntut oleh pihak isteri sahaja dengan bayaran tertentu
kepada suami. Walau bagaimanapun, kebiasaannya fasakh dituntut oleh pihak isteri kerana
suami ada hak yang lain iaitu talak. Fasakh yang dituntut oleh isteri ini mestilah tertakluk
kepada beberapa sebab yang telah ditetapkan oleh para Fuqaha’. 
Lateefah et al. (2005) menerangkan dengan lebih lanjut bahawa fasakh dan talak
adalah dua perkara yang berbeza. Dari segi bilangan, fasakh tidak terhad kepada bilangan
tertentu manakala talak terhad kepada dua (talak raj’i). Ini bermaksud jika suami isteri
membubarkan perkahwinan melalui fasakh boleh kembali bersama untuk sekian kalinya
tanpa had dengan membuat akad dan mas kahwin yang baru. Faizal Afdha’u (2016)
mengupas dengan lebih lanjut bahawa ada fasakh yang tidak berkehendak keputusan hakim
dan jatuh dalam kategori selama-lamanya tidak boleh bersama yakni orang yang haram
dikahwini dalam Islam seperti adik beradik kandung atau susuan dan juga murtad. 

Fasakh dibenarkan dalam Islam untuk mengelakkan kemudaratan dalam rumah


tangga baik dari segi agama, diri, akal atau maruah. Raihanah Haji Abdullah (t.t) dalam jurnal
Syariah 5 bilangan 1, yang bertajuk “Alasan Membubarkan Perkahwinan Melalui Fasakh”,
menghuraikan salah satu alasan membolehkan isteri memohon fasakh adalah apabila
suaminya mempunyai penyakit yang menjejaskan perhubungan antara mereka sedangkan
hikmah perkahwinan adalah untuk memenuhi syahwat dalam bentuk yang halal. Contoh
kecacatan yang dialami oleh suami ialah seperti mati pucuk, tiada kemaluan atau putus
kemaluan. Kecacatan lain yang boleh berjangkit kepada isteri dan juga janin antara sebab
pihak isteri boleh memohon fasakh seperti penyakit AIDS, dan juga termasuk penyakit sopak
dan kusta. 

Tambahnya lagi, kegagalan suami untuk membayar nafkah, dan hilang atau
dipenjarakan dalam tempoh yang lama juga merupakan sebab dibolehkan isteri untuk
membubarkan perkahwinannya melalui fasakh.Berkenaan perihal nafkah, jika suami tidak
mampu memberi nafkah apa-apa kepada isteri juga termasuk dalam bentuk ‘kecacatan’
(Najahudin Lateh, 2014). Menurut riwayat al-Daruqutni dan al-Baihaqi, Nabi SAW bersabda
kepada seorang lelaki yang tidak mempunyai apa-apa sebagai nafkah kepada isteri:

‘Pisahkan antara keduanya’.

Ini menunjukkan nafkah itu sangat penting malah diwajibkan ke atas suami untuk
menunaikannya. 

Najahudin Lateh (2014) menyenaraikan dengan lebih lanjut sebab-sebab yang


membolehkan pembubaran perkahwinan melalui fasakh seperti suami memaksa isteri hidup
secara lucah, melupuskan harta isteri atau melarang isteri mengambil haknya, menghalang
isteri menunaikan kewajipan terhadap Allah, tidak berlaku adil terhadap ister-isterinya (jika
suami mempunyai isteri lebih daripada seorang), suami sengaja tidak memberi nafkah batin
selama empat bulan tanpa sebab munasabah, atau apa-apa alasan lain yang membolehkan
fasakh di bawah hukum syarak.

Selain dari alasan di atas, kekejaman atau keganasan yang dilakukan oleh suami juga
menjadi asbab diharuskan pihak isteri memohon fasakh (Faizal Afdha’u, 2016). Dalam
melayari bahtera rumah tangga, suami isteri haruslah bergaul secara baik dan tidak boleh
melakukan kemudaratan atas pasangan masing-masing. Bahkan, memudaratkan orang lain
adalah suatu bentuk kezaliman yang dimurkai oleh Allah SWT. Perkara ini selari dengan
firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 231:

“Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir iddahnya, maka
rujuklah mereka dengan cara yang ma’ruf atau ceraikanlah mereka dengan cara yang
ma’ruf (pula). Janganlah kamu rujuk mereka untuk memberi kemudaratan kerana dengan
demikian kamu menganiaya mereka. Barangsiapa berbuat demikian, maka sungguh ia
berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Janganlah kamu jadikan hukum-hukum Allah
permainan, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu iaitu al-Kitab dan al-Hikmah. Allah
memberi pengajaran kepadamu dengan apa yang diturunkan-Nya itu. Dan bertakwalah
kepada Allah serta ketahuilah bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Ayat ini nyata menjelaskan bahawa suami dilarang berniat untuk memudaratkan isteri sama
ada dari segi fizikal atau mental. 

Berbeza dengan khuluk dan fasakh, talak taklik merupakan pembubaran perkahwinan
berdasarkan pelanggaran suami terhadap syarat-syarat yang telah dilafazkan semasa akad
nikah (Raihanah Haji Abdullah t.t). Perjanjian taklik ini biasanya menyandarkan sesuatu
syarat atau sifat yang akan berlaku pada masa hadapan. Perjanjian taklik secara rasmi
diamalkan di Malaysia dan mempunyai peruntukan khusus di dalam Undang-Undang
Keluarga Islam Negeri yang berkenaan dan lafaz perjanjian taklik ini akan tertera di Sijil
Perakuan Nikah pasangan setelah berkahwin (Astro Awani, 2020). Taklik ini lazimnya
memberi pelindungan tambahan kepada isteri dalam perkahwinan dalam tiga perkara utama
iaitu nafkah yang terabai, isteri di tinggalkan suami dalam tempoh tertentu dan sebarang
kemudaratan yang dilakukan oleh suami terhadap isteri. Isteri mempunyai hak membuat
aduan di mahkamah disertakan saksi atau bukti serta memohon perceraian sekiranya ada
pelanggaran perjanjian taklik oleh suami. Hikmah pensyariatan taklik ini bertujuan menjaga
kepentingan dan hak pasangan dalam perkahwinan.

SEBAB ISLAM BERI HAK KEPADA ISTERI MEMBUBARKAN PERKAHWINAN

Islam merupakan agama rahmatan lil alamin. Islam memberi hak perceraian berikut
akibat hukum yang ditimbulkan dalam nash al Quran dan hadis serta prinsip keadilan dan
Islam memartabatkan hak wanita. Wanita atau para isteri sering menjadi korban di dalam
rumah tangga yang tidak harmoni. Ini kerana, tidak semua suami memilik perilaku yang baik
dan berfikir secara rasional dan sabar dalam melayari bahtera rumah tangga. Keputusan untuk
mengakhirkan hubungan haruslah dipersetujui oleh kedua-dua pihak apabila berlakunya
masalah merupakan prinsip keadilan sosial dan berteras nilai-nilai dan dasar kemanusiaan.
Maka, hukum-hukum yang membolehkan isteri memohon pembubaran perkahwinan akan
mengelakkan berlaku kemudaratan dan penganiayaan terhadap kaum isteri. 

Ali Imron (2016) menerangkan dalam artikelnya yang berjudul ‘Memahami Konsep
Perceraian’ bahawa proses perceraian mestilah melalui pembicaraan yang cukup panjang dan
tidak tergesa-gesa dan haruslah dengan musyawarah (syura), penuh kekeluargaan, adil
(`adalah), dan dengan akal sihat (QS. Ar Rum 30, 21) dan menghindari emosional. Ini bererti
di antara suami dan isteri harus terlibat pembicaraan atau komunikasi yang baik, tidak ada
yang merasa lebih berhak atau lebih terhormat di antara satu sama lain. Suami isteri
mempunyai hak dan kedudukan yang seimbang dalam mengambil keputusan tentang
perceraian dan ini merupakan salah satu ajaran al Quran. Allah berfirman dalam surah al
Syura (42) ayat 3:

“......Sedang   urusan   mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka, dan mereka
menafkahkan sebagian dari rizki yang kami berikan kepada mereka” 
 
Justeru, harus difahamkan dengan jelas bahawa isteri bukan hanya menerima
keputusan perceraian hanya dengan sebelah pihak tetapi isteri juga terlibat secara penuh
dalam mengambil sesuatu keputusan dan isteri harus tawar menawar (bargaining position)
dalam proses mengambil keputusan untuk membubarkan perkahwinan (Ali Imron, 2016). Ini
adalah untuk menjaga kemaslahatan kedua-dua pihak dan juga keluarga serta menghindari
hal-hal yang tidak diingini terjadi kepada wanita.
Ini dapat dilihat apabila terdapat pelbagai kes keganasan rumah tangga dilaporkan,
malah ada pasangan menderita tekanan emosi serta mental akibat diperlakukan dengan kejam
oleh pasangan masing-masing. Liza Mokhtar (2020) di dalam penulisannya pada muka
akhbar ‘Sinar Harian’ mengulas tentang keganasan rumah tangga yang berlaku kepada
seorang pensyarah wanita hingga dibunuh oleh suaminya sendiri. Ini sangat menyayat hati
dan sangat menyedihkan kerana masih ramai lelaki yang tidak bertanggung jawab yang
sanggup mencederakan pasangannya tanpa menghiraukan perasaan pasangan. Maka, jalan
terbaik untuk para isteri yang terhindar dari kezaliman seorang suami yang tidak bertanggung
jawab seperti ini adalah dengan kaedah fasakh. Dengan adanya kaedah ini, masalah
penderaan, penyalahgunaan dan sebagainya yang berlaku dalam masyarakat hari ini dapat
diselesaikan dengan berhemah.

Selain itu, Islam memberikan hak kepada wanita untuk memohon cerai kerana untuk
mengelakkan kemungkinan isteri menderhaka kepada suami yang tidak disukai. Berbalik
kepada salah satu permohonan yang boleh dipohon oleh isteri adalah dengan memohon
khuluk yakni tebus talak. Ini seperti yang di bincangkan di atas sebab-sebab yang dibolehkan
isteri memohon khuluk daripada suami kerana fizikalnya atau agamanya atau akhlaknya.
Maka, sekiranya isteri takut menjadi seorang yang nusyuz disebabkan tidak boleh mentaati
suaminya disebabkan hal-hal seperti fizikalnya, maka jalan termudah untuk para isteri
melepaskan diri adalah dengan memohon khuluk (Zaini Nasohah, 2011). Ini berdasarkan
kisah isteri Thabit bin Qais yang menuntut khuluk daripadanya. 

Ibnu Abbas meriwayatkan: 

Bahawa isteri Thabit b. Qais telah datang kepada Nabi s.a.w, ia berkata: Ya Rasul Allah, aku
tidak mengingkari Thabit b. Qais disebabkan oleh akhlaknya dan tidak pula kerana
agamanya. Tetapi aku benci kekufuran dalam Islam. Maka Rasul s.a.w, bersabda: Apakah
kamu sanggup mengembalikan kebunnya. Jawab isteri Thabit: Ya. Lalu Rasul s.a.w,
bersabda (kepada Thabit) terima lah kebun itu dan talakkanlah dia dengan satu talak (al-
Nasa’i: 169)

Zaimi Nasohah (2011) menjelaskan dengan lebih lanjut dalam artikelnya mengenai
kisah ini bahawa isteri Thabit bin Qais mengadu kepada Rasulullah bahawa dia tidak
membenci suaminya kerana agamanya atau akhlaknya tetapi fizikalnya kerana menurut
isterinya badan Thabit bin Qais berbau busuk (Ibn Majah t.th: 663) dan mukanya pula buruk
sehingga isterinya takut akan derhaka kepadanya sekiranya mereka meneruskan ikatan
sebagai suami isteri. Inilah  yang dimaksudkan oleh isteri Thabit itu sebagai “saya benci akan
kekufuran dalam Islam,” yakni  bimbang akan dirinya menjadi nusyuz dan sebagainya kerana
benci akan fizikal suaminya.

Sehubungan dengan itu, jalan yang terbaik untuk mengelakkan perderhakaan oleh
isteri jika hidup bersama suami yang tidak disukai adalah dengan memohon cerai dengan
kaedah khuluk. Islam memberikan hak yang sewajarnya kepada isteri untuk membubarkan
perkahwinan atas faktor-faktor sedemikian. Oleh itu, khuluk itu dibolehkan dengan bertujuan
menolak kemungkaran apabila isteri mengkhuatiri akan melanggar hukum-hukum Allah
SWT sekiranya meneruskan ikatan perkahwinan (Nouvan Moulia, 2015).

Yang terakhir mengapa Islam membenarkan isteri memohon cerai adalah sebagai
peringatan kepada suami agar sentiasa bertanggung jawab dalam menunaikan hak-hak isteri
sama ada dari segi zahir mahupun batin untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. Ini
dijelaskan dalam tuntutan fasakh yang diterangkan di atas bahawasanya isteri boleh menuntut
fasakh sekiranya suami tidak memberi hak nafkah zahir atau batin. Ini bertepatan dengan
firman Allah yang bermaksud:

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh
mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya. (al-Baqarah 2: 228) 

Ayat tersebut menerangkan bahawa para wanita mempunyai hak yang sama dengan
kewajipannya. Maka, wanita diberi hak yang sama seperti yang dimiliki oleh lelaki menurut
syarat-syarat tertentu yang telah digariskan dalam Islam. Enakmen Undang-Undang Keluarga
Islam memperuntukkan suami atau isteri yang tidak menunaikan tanggung jawab nafkah
batin kepada pasangannya boleh memohon cerai fasakh dengan syarat tanpa sebab yang
munasababah dalam tempoh setahun.

Seksyen 53(1)(d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, 2003


memperuntukkan, "Seorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan,
berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk
membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang
berikut, iaitu (d) suami atau isteri tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan
perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;"
Ini adalah untuk memberi panduan yang wajib dipatuhi suami supaya dapat bergaul
dengan baik dengan isteri. Tetapi, jika perkahwinan tidak lagi mendatangkan kebaikan
terhadap kedua-dua pihak, malahan menimbulkan kemudaratan seperti tidak dapat memenuhi
nafsu serta membawa beberapa kemudaratan lain, maka ia wajarlah dibubarkan. Islam
menyediakan penyelesaian ini bagi memastikan kemaslahtan umatnya dan memberi keadilan
kepada wanita dan juga lelaki.

KESIMPULAN

Secara ringkasnya, kedudukan suami isteri adalah seimbang dan saling memerlukan
di antara satu sama lain. Hakikat perkahwinan adalah menyatukan laki-laki dan perempuan
dalam sebuah institusi keluarga yang harmoni, tenteram, dan sejahtera zahir dan batin.
Namun, sekiranya berlaku pergolakan atau masalah yang tidak dapat diselesaikan bersama,
maka perceraian atau pembubaran perkahwinan merupakan jalan terakhir dalam
menyelesaikan persengketaan. 

Islam menggariskan panduan atas setiap sesuatu perkara dengan teliti. Islam
menetapkan beberapa langkah pendahuluan sebelum pasangan memilih untuk menamatkan
perhubungan. Antaranya ialah dengan memberi nasihat atau berbincang dengan penuh
berhemah, pisah tempat tidur dan pukulan yang tidak mencederakan. Sekiranya pasangan
suami isteri tidak boleh menyelesaikan antara mereka, disyariatkan antara mereka
mendapatkan khidmat pakar atau khidmat ‘orang tengah’ dalam mencari penyelesaian yang
paling baik untuk berdamai. Cara ini jelas dinyatakan dalam al Quran dalam surah Al Nisa
ayat 35:

Dan jika kamu khawatirkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang
hakam dari keluarga laki-laki dan seorang hakam dari keluarga perempuan. Jika kedua
orang hakam itu bermaksud mengadakan pembaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada
suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal . 

Dengan demikian, Islam menganjurkan pasangan suami isteri mencari jalan keluar
lain dan sekiranya tidak boleh berdamai dengan bermacam-macam cara, maka jalan terakhir
bagi pasangan suami isteri adalah dengan perceraian atau pembubaran perkahwinan. Para
suami diberikan hak untuk melakukan pembubaran perkahwinan melalui talak dan para isteri
juga diberikan hak untuk memohon pembubaran perkahwinan melalui beberapa kaedah selari
dengan syariat yang ditetapkan seperti yang dijelaskan di atas. Konstruksi talak dan
permohonan cerai merupakan hak bagi suami dan isteri dengan mendepankan prinsip
kemanusiaan dan nilai-nilai keadilan. Allah berfirman:

“Dan jika mereka berketetapan hati hendak menceraikan, maka sungguh, Allah Maha
Mendengar, Maha Mengetahui,” (Al-Baqarah: 227)

Ia boleh disimpulkan bahawa Islam itu adalah agama yang adil dan menyeluruh.
Perceraian itu tidak dilarang namun harus mengikuti syariat dan syarat tertentu demi menjaga
kemaslahatan suami dan isteri serta mencegah berlaku kemudaratan di salah satu pihak.

(2968 patah perkataan)


RUJUKAN

Ali Imron (2016, January 1). Memahami Konsep Perceraian Dalam Hukum Keluarga.
Retrieved February 6, 2021, from http://ejournal.iainsurakarta.ac.id/index.php/buana-
gender/article/download/66/50

Faizal Afdha’u (2016). Penerapan Fasakh Dalam Peraturan Perundang-Undangan


Perkahwinan. Retrieved February 5, 2021, from http://etheses.uin-
malang.ac.id/3439/1/12210010.pdf

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan (n.d.). Khuluk atau Tebus Talak. Retrieved
February 04, 2021, from
http://kelantan.jksm.gov.my/jksn/index.php/component/content/article/21-
joomla/components/207-khuluk-atau-tebus-talak?Itemid=951

Khairul Abror (2020). Hukum Perkawinan dan Perceraian. Banguntapan Bantul, Yogyakarta:
Ladang Kata. doi:978-602-6541-50-5

Lateefah Kasamasu, Wan Mohd Yusof Wan Chik, Syed Mohd Azmi Syed Ab Rahman &
Zulkifli Mohd Norizan Abd Ghani (2017). Permohonan Fasakh Perkahwinan Kerana
Penyalahgunan Dadah Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pahang) 2005.
66-73. doi:N 978-983-9368-79-6

Liza Mokhtar. (2020, August 5). Isteri Bukan Untuk Dipukul. Sinar Harian. Retrieved
February 6, 2021, from https://www.sinarharian.com.my/article/95205/ANALISIS-
SEMASA/Isteri-bukan-untuk-dipukul

Najahudin Lateh (2014). Fiqh Munakahat (2nd ed.). Open University Malaysia.

Nouvan Moulia (2015). Kedudukan Khuluk Dalam Perspektif Undang-undang Perkawinan


Indonesia dan Fikih Islam. Retrieved February 06, 2021, from
http://jurnal.utu.ac.id/jcivile/article/download/671/544

Raihanah Abdullah (t.th). Alasan Membubarkan Perkahwinan Melalui Fasakh. Jurnal Syariah
5(1). Retrieved February 6, 2021, from
https://ejournal.um.edu.my/index.php/JS/article/view/28415
Surah.my. (n.d.). Surah.my. Retrieved February 5, 2021, from https://www.surah.my/4

Taklik tambahan dan kesannya pada rumah tangga [Television broadcast]. (2020, October 2).
Astro awani. Retrieved January 31, 2021, from https://www.astroawani.com/berita-
malaysia/taklik-tambahan-dan-kesannya-pada-rumah-tangga-261757

Zaini Nasohah (2011). Pembubaran Perkahwinan Secara Khuluk dan Kesannya ke atas
Tempoh Idah, (33), 19-27. Retrieved February 3, 2021, from
https://ejournal.ukm.my/islamiyyat/article/viewFile/1820/1448

Anda mungkin juga menyukai