Anda di halaman 1dari 16

ANALISIS KARYA MISA MELAYU

Pemikiran dalam Misa Melayu

Misa Melayu adalah catatan kontemporari yang pengkisahannya itu hasil kajian, penglihatan
dan penilaian Raja Culan. Teks Misa Melayu adalah kisah benar dan rasional serta
penunjukkan tahap-tahap pemikiran dan cara hidup di zaman feudal. Struktur social,
ekonomi dan politiknya adalah rigid dan bertingkat-tingkat. Susunan ini disokong dan
diperkuat lagi oleh nilai-nilai dan budaya feudal. System naungan (patronage) menjadi satu
ciri kehidupan massa Melayu yang berkekalan. Pengkisahan dalam Misa Melayu adalah
kisah manusia istana dan interaksinya dengan golongan massa dan orang luar. Misa Melayu
juga mampu meletakkan dirinya sebagai sejarah yang kukuh kerana daripadanya kita dapat
menggambarkan tantang sistem dan struktur politik, ekonomi, social masyarakat feudal
pada abad ke-18 di Perak.
            Sistem politik dan sistem ekonomi yang ditunjukkan dalam Misa Melayu adalah hasil
daripada struktur dan system sosialnya. Raja adalah simbol perpaduan dan menguasai
kawasan istana dan sekitarnya atau ‘negara kota’. Di kawasan lain pembesar negeri pula
yang berkuasa. Ikatan antara pembesar dan sultan adalah berasaskan kesetiaan. Pembesar
mempunyai pengikutnya sendiri yang terdiri daripada golongan rakyat. Rakyat biasanya
dikerah tenaga dan harta benda untuk pembesar dan sultan.

1. Struktur Politik
Menurut Ramlan Surbakti (1999 : 1) bahawa definisi politik adalah interaksi antara
pemerintah dan masyarakat dalam rangka proses pembuatan dan pelaksanaan keputusan
yang mengikat tentang kebaikan bersama masyarakat yang tinggal dalam suatu wilayah
tertentu. Menurut F. Isjwara, (1995 : 42) politik ialah salah satu perjuangan untuk
memperoleh kekuasaan atau sebagai teknik menjalankan kekuasaan-kekuasaan.
Politik dari sudut bahasa yang mudah untuk difahami menurut sebahagian ilmuwan
adalah melaksanakan sesuatu dengan memastikan kebaikan pada perkara itu. Manakala
dari sudut kemasyarakatan bermaksud mengurus secara bijaksana dan pandangan dengan
analisis yang tajam terhadap kesan sesuatu tindakan. Ia juga membawa makna sekumpulan
hal ehwal urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Politik juga dapat diertikan
sebagai satu kegiatan ummah menyokong dan mendukung usaha melaksanakan syariat
untuk merealisasikan Islam yang syumul dapat dipraktikkan melalui sebuah institusi yang
menjadi penerajunya. (Umat dan Negara dalam Syariat Islam karangan Dr. Abdul Karim
Zaidan).
Pemikiran politik yang terdapat dalam Misa Melayu kelihatan mewakili campur aduk
dua konsep iaitu:
i)        Sultan adalah pemerintah teokratik yang memiliki kuasa mutlak.
ii)      Tanggungjawab raja berunding dan berpakat dengan menteri-menterinya.
Struktur politik Perak pada abad itu memperlihatkan keunikannya. Raja tidak
memerintah secara mutlak. Raja hendaklah mendapatkan nasihat pembesar demi
kepentingan rakyat. Hal ini dapat dilihat menerusi petikan di bawah.
 “Dalam wasiatnya, Sultan Muzaffar Syah (1752)]… yang beta harap sekarang, baiklah anak
kita Raja Mudalah akan ganti kita. Maka hendaklah bicara orang besar-besar dan segala
hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta kerajaan anak kita dan selenggarakan
hukuman negeri ini dan membela segala rakyat di dalam negeri Perak… dan hendaklah
muafakat sama-sama kepada barang bicara dengan sekalian orang besar-besar hulubalang
dan pada anak raja-raja dan yang memegang agama kita…”
Dalam buku sejarah tentang Perak, Perak mempunyai sistem pewarisan takhta dan
penggantian raja dalam satu struktur yang tersusun. Susunan system pewarisan takhta dan
penggantian raja dapat dilihat seperti di bawah:
1.      Raja Muda
2.      Raja Bendahara
3.      Raja Di Hilir
4.      Raja Di Baruh
5.      Raja Kecil Besar
6.      Raja Kecil Tengah
7.      Raja Kecil Muda
8.      Raja Kecil Bongsu

Pada amalannya, struktur ini bukanlah suatu prosedur yang ketat dan perlu dipatuhi.
Contohnya, pada tahun 1773 Raja Kecil Bongsu ( Raja Ahmaddin) telah dilantik menjadi
sultan ada ketika itu. Ini membuktikan tidak semua waris takhta itu perlu menaiki takhta
mengikut giliran atau tangga waris takhta itu. Dalam Misa Melayu disebut bagaimana sultan
Zulkarnain menyusun jentera pemerintahannya dengan melantik kerabat diraja yang akrab
dengannya menyandang gelaran dan jawatan kerajaan. Contohnya, adindanya Raja Kimas
yang bergelar Raja Kecil Muda sebagai Raja Muda, raja Alauddin, adinda sultan yang
bergelar Raja Kecil Tengah diangkat menjadi Raja Bendahara. Raja Di Hilir disandang oleh
Raja Inu yang juga adinda sultan, Raja Muhammad (saudara dua pupu sultan dikurniakan
gelaran Raja Di Baruh, Raja Culan kekal sebagai Raja Kecil besar, Raja Ibrahim putera Raja
Kimas (Raja Muda) memegang jawatan dan gelaran Raja Kecil Bongsu Muda (Raja Kecil
Muda).

2. Sistem Ekonomi
Menurut Adam Smith, ilmu ekonomi adalah ilmu kekayaan atau ilmu yang khusus
mempelajari sarana-sarana kekayaan suatu bangsa dengan memusatkan perhatian secara
khusus terhadap sebab-sebab material dari kemakmuran, seperti hasil-hasil industri,
pertanian dan sebagainya. Sistem ekonomi merujuk kepada satu set institusi sosial yang
berkaitan dengan pengeluaran, pengagihan dan penggunaan barangan dan perkhidmatan
dalam sesebuah masyarakat. Sistem ekonomi terdiri dari manusia dan institusi, termasuk
hubungan mereka dengan sumber produktif seperti harta yang dimiliki. Sistem ekonomi
cuba menyelesaikan masalah ekonomi melalui cara yang sistematik untuk pembahagian
sumber yang terhad.
Dalam Misa Melayu, telah membuktikan kehadiran system ekonomi feudal yang
menetapkan raja dan pembesar memonopoliatan  kegiatan tersebut, manakala rakyat
sekadar bekerja dan menjalankan suruhan pembesar semata-mata. Maka, rakyat yang
menginginkan kehidupan yang senang, mereka haruslah pandai dalam mengampu orang-
orang besar serta raja mereka. Hal in dapat dibuktikan melalui teks di bawah:
“ …baginda menitahkan Tambi Kecil pergi ke benua keling (India). Adapun akan Sultan
Iskandar itu, terlalu banyak baginda menaruh gajah. Maka itulah baginda menitahkan 
Tambi Kacil pergi akan mengambil barang siapa mahu membawa kapalnya masuk berniaga
ke dalam negeri Perak ini, karana baginda hendak berjual gajah,”
halaman 78
Semasa keberangkatan menjelajah negeri Perak atau bermain ke laut, Sultan
Iskandar telah menjual bijih timah kepada Belanda di Tanjung Putus. Ini dapat dibuktikan
menerusi pantun yang terdapat dalam Misa Melayu. Pantunnya berbunyi:
Timah dibawa duli baginda,
Beberapa ratus baharanya ada,
Diurap rial kepada Holanda,
Supaya suka di dalam dada.

Hubungan ekonomi dengan orang Belanda menjadi kukuh akibat monopoli eksport
bijih timah. Bijih dijual kepada Belanda 30 rial satu bahara dengan dua rial cukai yang
dibayar oleh sultan.

Misa Melayu ada menyebut tentang urusan perdagangan dengan Belanda pada
abad ke-18. Pada awalnya, pusat pengumpulan bijih timah orang Belanda di perak ialah
Tanjung Putus, kemudian mereka telah memohon kepada sultan untuk mendirikan kota dan
bangunan di Pangkalan Halban di Kuala Perak. Dalam urus niaga dagangan kapal, semua
kapal dagangan dari luar negeri Perak perlu mendapatkan kebenaran sultan. Dalam sistem
ekonomi feudal, sultan dan pembesar negeri adalah orang yang memonopoli eksport dan
import. Kemakmuran ekonomi yang dikecapi negeri Perak telah menyebabkan ramai
pedagang berniaga di negeri itu. Bijih timah dan gahjah telah menjadi sumber ekonomi
negeri. Selain Belanda, pedagang luar yang ramai ialah dari india, manakala pedagang dari
kepulauan Melayu pula ialah dari kawasan Sumatera dan Makasar.

Estetika dan kepengarangan dalam Misa Melayu

1. Seni Kepengarangan

Konsep
Kaedah penulisan yang terkandung dalam Misa Melayu juga seakan-akan dengan Salalatus
Salatin. Pengarang Misa Melayu iaitu Raja Chulan menghasilkan karya tersebut dengan
rendah hati setelah menerima titah sultan pada zaman itu. Bagi menghasilkan karya yang
terbaik, Raja Chulan turut menjalankan penyelidikan dan rujukan. Ia dapat dibuktikan
dengan meneliti penggunaan klausa dalam karyanya misalnya seperti klausa ‘tersebutlah
perkataan’, ‘diceritakan oleh orang empunya cerita’ dan ‘tersebutlah kisah’. Penggunaan ini
adalah kerana Raja chulan menghasilkan Misa Melayu ini berdasarkan cerita benar dan ia
memerlukan pengalaman dan pengamatan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku pada
zaman tersebut.

Kekuatan kepengarangan
Nilai kepengarangan yang terdapat dalam Misa Melayu juga amat tinggi. Misa Melayu
menggunakan tarikh yang tepat walaupun penggunaan tarikh bagi menyatakan peristiwa
tidak banyak seperti karya-karya lain. Misa Melayu juga mengandungi ciri pensejarahan
Islam dalam penulisannya. Ini dapat dilihat melalui penggunaan lafaz bismillah pada awal
penulisannya. Selain itu, Misa Melayu juga menggunakan kata-kata lain yang
menggambarkan unsur islam misalnya seperti ‘dengan izin Allah’. Penggunaan kata-kata
yang berunsurkan islam ini mungkin disebabkan oleh pengetahuan pengarangnya hasil
daripada pembacaan terhadap karya pensejarahan Melayu-Islam atau hasil daripada
pendidikan Islam yang diterimanya.
            Karya ini juga mempunyai kelainan dan keistimewaan yang tersendiri. Misa Melayu
tudak mempunyai unsur-unsur mitos atau dongeng kerana karya ini merupakan karya
penting negeri Perak. Karya yang mengandungi sejarah negeri Perak ini tetap
menggunakan pantun dan syair sebagai penyeri karya. Karya ini mengandungi peristiwa
yang benar-benar berlaku dan dapat memberi gambaran kepada pembaca mengenai
sruktur politik kerajaan, kegiatan ekonomi, undang-undang dan lain-lain perkara tentang
pemerintahan Perak pada zaman itu. Salasilah keluarga dan jurai keturunan kerajaan Perak,
susunan pembesar, kerajaan negeri, struktur masyarakat, adat istiadat, dan bentuk kesenian
yang wujud pada zaman tersebut juga turut tercatat dalam Misa Melayu ini.
            Penggunaan syair dalam karya ini juga bukan untuk tujuan hiburan semata-mata
kerana ia mengandungi pelbagai keterangan peristiwa sejarah tentang kerajaan Perak pada
zaman tersebut. Kesahihan peristiwa dalam karya ini dapat dibuktikan dengan merujuk
kepada beberapa sumber lain seperti sejarah Belanda. Persamaan ini dapat mengukuhkan
lagi ketepatan maklumat dalam Misa Melayu dan jelas menunjukkan kesedaran dan
pengetahuan mendalam pengarangnya dalam sejarah ini.

Motif pengarang
Karya Misa Melayu ini ditulis kerana ingin menurut titah sultan pada zaman tersebut. Ini jelas
dapat dilihat dalam Misa Melayu dengan serangkap syair yang ditulis oleh Raja Chulan.
Pengarangnya dengan rela hati menerima arahan untuk menghasilkan karya ini kerana
beliau ingin menyebarkan tentang kegemilangan sesebuah zaman pemeritahan seseorang
raja kepada generasi muda. Hal ini dapat dibuktikan dengan satu frasa dalam karya ini iaitu
‘supaya bolehlah akan zaman kita disebut orang kelak’.

1. Estetika
Dari segi penilaian nilai estetika dari sudut gaya bahasa pula terdapat beberapa gaya
bahasa yang jelas dilihat iaitu gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa pertentangan, gaya
bahasa pertautan, dan gaya bahasa perulangan, serta beberapa unsur-unsur lain yang
terkandung dalam karya Misa Melayu.

         Gaya Bahasa Perbandingan


Gaya bahasa perbandingan atau dikenali sebagai majaz perbandingan merupakan
penggunaaan bahasa yang bersifat membandingkan dua hal yang pada hakikatnya perkara
yang berlainan atau dengan sengaja menganggapnya sama. (Anton Moeliono, 1989:67)

         Gaya Bahasa Pertentangan


Gaya bahasa pertentangan atau dikenali sebagai majaz pertentangan merujuk kepada
penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan, dari segi makna sama ada secara
simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang berhubungan.

         Gaya Bahasa Pertautan


Gaya bahasa pertautan atau dikenali sebagai majaz pertautan merujuk pada hubungan
pertautan makna, sama ada bersifat simbolik, perumpamaan atau tamsilan.

         Gaya Bahasa Perulangan


Gaya bahasa perulangan atau dikenali sebagai skema perulangan merujuk kepada
perulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, nada, dan bunyi yang puitis,
berirama, atau pelbagai.

         Unsur-unsur lain
Dalam Misa Melayu, dapat dilihat dengan jelas penggunaan pengaruh islam, Bahasa
Melayu lama, dan unsur perkataan asing yang telah dimelayukan. Contohnya ialah:

PERKATAAN MAKSUD
menaruh riyal menyimpan/menggunakan duit riyal
surat ciri Surat perlantikan
tiada sangka tiada terhingga
Baur alat kebesaran
Gedung gelap penjara
Kurang nazarnya Kurang pertimbangannya
Berhati salah Nilai tidak baik
milawati Menara kawalan
Karallah Menara kawalan
berpontoh Bergelang besar
Balai lepu Balai tengah
Toleh tenggala Jam 9:00-11:00 pagi

Selain itu, pengarang juga turut menggunakan dialek Perak dalam menghasilkan karya ini.
Contoh dialek perak yang terdapat dalam Misa Melayu ialah:

DIALEK MAKSUD
Mike kamu
Celung kandang   
merosok menyembunyikan

Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Misa Melayu

1. Nilai Budaya
Budaya boleh didefinisikan sebagai kemajuan fikiran, akal budi atau cara berfikir,
berkelakuan dan sebagainya. Budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang
diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial , agama, adat resam dan nilai.
Misa Melayu juga mempunyai nilai-nilai budaya negeri Perak yang diketengahkan oleh
pengarangnya. Misa Melayu yang merupakan penulisan berkaitan sejarah negeri Perak turut
cuba memperlihatkan beberapa nilai budaya yang menjadi amalan golongan masyarakat
pada masa itu. Karya ini turut menonjolkan beberapa nilai budaya yang diamalkan oleh
golongan diraja pada zaman tersebut. Antaranya seperti adat meminang dan berkahwin,
adat bertindik dan berinai, istiadat perarakan raja berangkat, , istiadat menjunjung duli,  dan
juga istiadat kemangkatan dan berkabung serta menurunkan tambak serta batu nisan.

Adat meminang dan berkahwin

Perkahwinan dalam masyarakat Melayu merupakan satu peristiwa yang sering dilakukan
dengan mengikut adat yang telah ditetapkan dan telah menjadi budaya dalam kehidupan
seharian masyarakat Melayu pada masa itu . Majlis perkahwinan yang dijalankan sering kali
mendapat perhatian dan dijadikan salah satu peristiwa yang penting dalam masyarakat. Hal
ini demikian kerana upacara meminang dan berkahwin mempunyai adat dan persiapan yang
teliti perlu dilakukan untuk memastikan upacara berkenaan berjalan dengan lancar dan
meriah. Misa Melayu  menonjolkan adat-adat yang dijalankan oleh golongan diraja iaitu adat
meminang dan berkahwin dengan upacara yang penuh gilang gemilang.

 Hal ini menunjukkan bahawa adat meminang dan berkahwin yang dijalankan pada hari ini
sudah bermula pada zaman dahulu lagi. Selain itu, adat ini juga tidak hanya melibatkan
golongan tertentu sahaja. Perkahwinan berlaku tidak kira sama ada pasangan tersebut
terdiri daripada golongan marhaen mahupun bangsawan. Misa Melayu lebih menonjolkan 
perkahwinan yang berlaku dalam kalangan kerabat diraja. Antaranya perkahwinan antara 
Raja Muda Iskandar puteri Sultan Muzaffar iaitu Raja Budak Rasul. Hal ini dapat dilihat
dalam teks di bawah:

 “Sepeninggalan ayahandanya, Raja Muda (Raja Muda Iskandar) semakin hari semakin
besar pengaruhnya dan sangat disayangi oleh rakyat. Dan Sultan Muzaffar Syah pula
bercita-cita hendak menyatukan puterinya, Raja Budak Rasul dengan Raja Muda . Cita-cita
ini dipersetujui oleh Raja Muda. Selepas diadakan istiadat meminang yang sangat meriah
kemudian diikuti pula dengan istiadat bertindik puteri yang baharu bertunang itu, maka pada
akhir tahun yang ketiga pertunangan itu, disatukanlah puteri Raja Budak Rasul dengan Raja
Muda .”
(Misa  Melayu)             

Adat bertindik dan berinai

Adat bertindik dan berinai juga sudah dijalankan dalam masyarakat pada zaman feudal lagi.
Adat ini turut diteruskan pada hari ini namun adat tersebut disesuaikan mengikut syariat
Islam dan tidak menyerupai agama lain. Adat bertindik dapat dilihat dalam Misa Melayu
melalui peristiwa  bertindik yang dijalankan ke atas Taja Budak Rasul. Manakala adat berinai
selalunya dilakukan sebelum majlis perkahwinan diadakan dan majlis berinai dilakukan oleh
pihak sebelah perempuan. Adat ini dijalankan  terhadap pengantin perempuan kira-kira dua
hari sebelum akad nikah dan ia sering dilakukan pada waktu malam. Selain itu , adat yang
dijalankan dalam kalangan golongan diraja turut memperlihatkan upacara yang gemilang
diadakan.
Hal ini dapat disaksikan berdasarkan bukti tatkala siang hari sebelum majlis berinai,
inai pun diarak masuk ke dalam istana. Inai itu dibubuh di atas kepala seekor kera Hanuman
yang diletakkan di atas perarakan lalu diarak. Hal ini jelas menunjukkan betapa kuatnya
pengaruh agama Hindu pada waktu pemerintahan diraja Perak. Upacara bertindik pula
dilakukan pada keesokan harinya . Anak raja akan diarak sebanyak tujuh kali keliling kota di
atas gajah kenaikannya lengkap dengan alat pawainya dan payung yang  keemasan dan
tunggul panji-panji dan alam barnaga. Setelah itu, anak raja tersebut akan  dimandikan
dengan air yang diarak juga. Kemudian baru upacara bertindik dijalankan. Hal ini dapat
dibuktikan dalam teks di bawah.

“ Selepas diadakan istiadat meminang yang sangat meriah, kemudian diikuti pula dengan
istiadat bertindik puteri yang baharu bertunang itu, maka pada akhir tahun yang ketiga
pertunangan itu disatukanlah Puteri Raja Budak Rasul dengan Raja Muda. “
(Misa  Melayu)             
Istiadat Perarakan Raja Berangkat

Istiadat perarakan raja berangkat bermaksud apabila seseorang raja ingin berlayar ataupun
ingin ke negara luar atau pun mempunyai urusan di negeri lain maka istiadat berarak raja
berangkat akan diadakan. Hal ini ingin menonjolkan taraf seseorang raja terhadap raja
sebagai pemerintah yang perlu diberikan penghormatan dan taat setia yang tidak berbelah
bagi. Hal ini jelas apabila Raja Muda berangkat segala kapal pun ditunda dan semua kelasi
akan mengiringkan kenaikan baginda ke dalam kapal tersebut. Apabila raja tiba nakhoda
kapal akan memasang bedil bagi menyambut kedatangan baginda. Selain itu, sesudah
baginda ingin turun dari kapal maka sekali lagi akan dipasangkan meriam bagi menunjukkan
keberangkatan baginda..Misa Melayu turut merakamkan aspek ini melalui teks di bawah.

“ Adapun Laksamana dan Syahbandar , setelah sampai kepada kapal itu, bersama-sama
dengan Raja Mutabar Khan  lalu naiklah ke atas kapal .Maka sangat dimuliakan oleh
nakhoda  kapal itu akan Laksamana dan Syahbandar. Setelah itu, dilayarkanlah kapal itu
masuk ke Kuala Perak sampai ke dalam sungai. Maka keesokan harinya maka
menghadaplah nakhoda itu kepada Raja Muda oleh Orang Kaya Laksamana dengan
Syahbandar serta ia membawa persembahan mana kadarnya .Setelah nakhoda itu
menghadap tuanku Raja Muda maka Raja Muda pun berangkatlah kembali.maka kapal itu
pun ditunda oleh segala kelasi mengiringkan kenaikan baginda itu. Setelah sampai ke Kuala
Bidor maka kapal itu pun berlabuhlah di pelabuhan kapal dahulu-dahulu. Setelah kapal itu
berlabuh maka Raja Muda pun berangkatlah ke dalam kapal itu bermain-main diiringkan
adinda baginda dan segala hulubalang pegawai. Maka oleh nakhoda itu pun dipasanglah
segala bedil di dalam kapal itu akan menyambut baginda itu. Maka disambutnyalah dengan
beberapa dengan beberapa takluk khidmatnya akan Raja Muda. Setelah sudah Raja  Muda
pun berangkatlah turun dari kapal itu. Maka oleh nakhoda itu pun dipasangnya pula meriam
alamat baginda turun dari kapalnya. Setelah itu maka baginda pun berangkatlah naik ke
Pulau Indera Sakti.
(Misa  Melayu)             
Istiadat Kemangkatan

Kematian tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Kematian turut  menjadi


peristiwa yang memberi erti yang cukup besar dalam kehidupan seseorang. Hal ini turut
terjadi  tidak kira sama ada seseorang itu  mempunyai kedudukan atau tidak. Misa Melayu
turut memperlihatkan peristiwa kematian turut berlaku dalam watak- wataknya. Istiadat
kemangkatan dijalankan apabila berlaku seseorang raja atau kerabat diraja mangkat.
Istiadat kemangkatan juga terdapat dalam Misa Melayu iaitu apabila mangkatnya Sultan
Muhamad Syah. Contoh dapat dilihat melalui teks di bawah.
“... Maka kepada suatu hari, baginda itu  pun geringlah terlalu sangat. Maka baginda
pun kembalilah ke rahmatullah Taala. Setelah sudah baginda itu hilang, diperintahkan oleh
anakanda baginda semua rakyat hadir berhimpun di Pulau Tiga. Setelah itu diperbuatlah
dengan seperti adat istiadat raja-raja yang besar-besar mangkat. Maka sudah ditabalkan
lalu diarak dengan seperti adatnya lalu ke makam baginda dan beberapa sedekah akan
segala alim ulama dan fakir miskin di sepanjang jalan itu itu emas dan perak dihamburkan
dengan selengkap alatnya dan beberapa pula sedekah akan orang yang sembahyang
terlalu banyaknya . setelah sudah dikuburkan adinda baginda itu maka Sultan Muzaffar
Syah pun kembalilah dengan percintaan baginda serta memberi takziah akan adinda
baginda itu :tujuh hari baginda berhenti tiada nobat.”
(Misa  Melayu)             
Istiadat Menjunjung Duli

Istiadat ini dilakukan untuk memperlihatkan ketaatan  kepada raja. Pengarang Misa Melayu
memperlihatkan istiadat ini melalui peristiwa menjunjung duli yang dilakukan oleh Raja Muda
dan anak-anak raja. Adat ni dilakukan mengikut taraf masing-masing dan bermula raja-raja
dan anak –anak  raja diikuti golongan bangsawan dan seterusnya pembesar-pembesar
pada waktu pemerintahan tersebut . Hal ini dapat dilihat melalui contoh yang dinukilkan oleh
pengarang dalam teks di bawah.
“….Setelah itu, maka turunlah seorang bentara dipersilakan Raja Muda. Maka naiklah Raja
Muda menjunjung Duli Yang Maha Mulia. Kemudian segala raja-raja dan anak-anak raja
pun diseru oleh kepala bentara dari atas balai dipanggil naik. Maka naiklah berganti-ganti
menjunjung duli baginda. Kemudian maka orang besar-besar pula menyembah dan segala
bentara hulubalang pula berganti-ganti menjunjung duli baginda. Setelah sudah sekaliannya
habis menjunjung duli baginda maka semuanya pun duduklah beratur di balai. ”
(Misa  Melayu)             

2. Pandangan hidup
Pandangan hidup merupakan satu konsep yang menunjukkan sesebuah masyarakat secara
keseluruhan yang dapat dilihat melalui satu sudut pandangan. Pandangan hidup ini ini jelas
terpengaruh melalui satu sistem teras dalam sesebuah masyarakat seperti pengaruh agama
atau sistem nilai dalam sesebuah masyarakat itu sendiri.
Dalam teks Misa Melayu itu sendiri, terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan
hidup masyarakat pada ketika itu. Misalnya penggunaan syair dalam bahagian kedua teks
ini yang menceritakan tentang perjalanan ‘Sultan Iskandar Bermain-main ke Laut’ dalam
bentuk rangkap-rangkap syair. Sudah tentu sukar bagi kita untuk menyampaikan sesebuah
cerita secara terperinci apatah lagi diceritakan dalam bentuk rangkap-rangkap syair. Setiap
perkataan yang dipilih pula perlulah tepat dan terperinci penulisannya. Hal ini sudah
menunjukkan betapa masyarakat Melayu pada ketika itu yang sangat teliti dan bijak
orangnya. Contohnya :

                        Muafakatlah kita tiga bersaudara,


                        Segala wazir menurut bicara,
                        Seisi negeri di dalam pelihara,
                        Sedikit pun jangan diberi cedera.
                        Telah mendengar titah sedemikian,
                        Menjunjung kadam dari sekalian,
                        “Patik nan hamba awal dan kemudian,
                        Sebarang titah sahaja dilayan.”

                        Berdatang sembah sekalian rata,


                        Ke bawah hadirat duli mahkota,
                        “Tuanku raja sempurna takhta,
                        Di manalah titah membuat kota?”       
(Misa  Melayu)             

Rangkap syair ini bukan sahaja sebagai salah satu ciri kebijaksanaan masyarakat
ketika itu menyusun atur kata-kata, namun juga turut menunjukkan ketaatan para pembesar
raja ketika itu yang menurut titah raja. Ini menunjukkan mentaati titah diraja itu yang menjadi
salah satu nilai yang penting kepada masyarakat di sekelilingnya. Titah diraja ini dapat
dikatakan sebagai satu ‘center’ atau pusat nilai yang penting dalam sesebuah institusi
kerajaan.
Dalam teks Misa Melayu, diceritakan peristiwa baginda raja Sultan Iskandar
Zulkarnain yang menginginkan untuk mendirikan mahligai tujuh tingkat yang mempunyai
reka bentuk dan hasil pertukangannya sama seperti yang diceritakan dalam hikayat-hikayat
sebelumnya. Namun oleh kerana rekaannya yang sangat sukar hendak dibangunkan, tiga
orang pembesar yang bertanggungjawab iaitu Bendahara, Temenggung dan seorang
menteri yang lain terpaksa meletakkan jawatan kerana tidak sanggup untuk menunaikan
permintaan baginda. Walau bagaimanapun, istana itu akhirnya dapat dibina mengikut
permintaan Sultan Iskandar Zulkarnain.
Peristiwa ini menunjukkan betapa titah pemerintah itu wajib untuk ditaati oleh setiap
golongan anggota masyarakat. Pandangan hidup masyarakat melayu tradisional yang amat
menghormati dan mentaati perintah pemerintah amat tebal dalam setiap rakyatnya.
Selain itu, pandangan hidup juga merupakan satu konsep yang dikongsi bersama
oleh anggota masyarakat bagi menunjukkan pusat penyelesaian bagi setiap masalah yang
berkaitan dengan ketuhanan, manusia dan masyarakat. Jika dahulu, pandangan hidup
masyarakat Melayu tradisional tertumpu kepada kelangsungan hidup melalui alam, namun
kini pandangan hidup itu kemudian berkembang dan melalui pelbagai evolusi seperti zaman
kesultanan Melayu Melaka, kemudian zaman pemerintahan penjajah dan seterusnya
menuntut kemerdekaan sehinggalah kepada sistem pemerintahan kontemporari.
Pandangan hidup manusia terutama masyarakat Melayu itu sendiri tidak lagi hanya
bergantung kepada alam semata-mata namun lebih kepada pandangan liberal. Namun
begitu, pandangan hidup Islam tetap menjadi akar umbi dalam masyarakat Melayu. Jika
dahulu, idea dan falsafah Melayu tradisional menggunakan alam sebagai satu bentuk
sumber inspirasi, kini ia berubah kepada sesuatu yang lebih konkrit. 
Lebih mudah jika dikatakan Misa Melayu itu sendiri menggambarkan cerminan yang
tepat bagi pandangan hidup masyarakat Melayu tradisional, khasnya bagi rakyat Perak itu
sendiri. Misa Melayu banyak memfokuskan kepada sistem pemerintahan dan kehidupan
orang –orang istana. Hal ini sangat bertepatan dengan sejarah Perak kerana pengarangnya
juga merupakan seorang cendekiawan yang bertugas di istana.
Dalam teks Misa Melayu, sistem politik dan pemerintahan merupakan gabungan
daripada pertembungan antara budaya tamadun Islam dan Hindu. Sistem pemerintahan
beraja itu sendiri datangnya dari tamadun Hindu yang mempercayai raja itu merupakan
jelmaan dewa-dewa yang turun ke bumi. Sistem pemerintahan ini mempunyai beberapa
peringkat tertentu yang telah ditetapkan dengan kaum kerabat diraja sahaja. Walaupun
sistem pemerintahan dalam Misa Melayu bersifat mutlak, namun ada ketikanya perlunya
perbincangan dan rundingan raja dengan para pembesarnya.
Hal ini turut dinyatakan dalam Misa Melayu ;

“Dalam wasiatnya Sultan Muzaffar Syah(1752)…


yang beta harap sekarang, baiklah anak kita Raja Mudalah akan ganti kita. Maka hendaklah
bicara orang besar-besar dan segala hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta
kerajaan anak kita dan selenggarakan hukuman negeri ini dan membela segala rakyat di
dalam negeri Perak… dan hendaklah muafakat sama-sama hulubalang dan pada anak raja-
raja dan yang memegang agama kita …”
(Misa  Melayu)             
Dalam potongan teks di atas, ditunjukkan kepentingan tanggungjawab seseorang
pemerintahan untuk bermuafakat dengan para pembesarnya. Hal ini menunjukkan
pandangan hidup Islam yang turut ada dalam sistem pemerintahan dalam Misa Melayu itu
sendiri. Pemerintahan beraja dari tamadun Hindu digunakan sebagai sistem pentadbiran
namun undang-undang atau hukum hakamnya diambil dari agama Islam itu sendiri.
Selain itu, umum mengetahui struktur politik di Perak mempunyai keunikannya
tersendiri. Dalam teks Misa Melayu sendiri ditunjukkan raja tidak memerintah secara mutlak
sepenuhnya. Sistem perwarisan takhta dan penggantian raja juga disusun mengikut struktur
yang berikut ;

i.
                                              Raja Muda
                               ii.            Raja Bendahara

                             iii.            Raja Di Hilir

                             iv.            Raja Di Baruh

                               v.            Raja Kecil Besar

                             vi.            Raja Kecil Tengah

                           vii.            Raja Kecil Muda

                         viii.            Raja Kecil Bongsu

Walaupun struktur ini telah diwujudkan, tiada prosedur yang ketat perlu dipatuhi. Hal
ini demikian kerana raja memegang kuasa mutlak untuk melantik sesiapa sahaja daripada
kalangan kerabatnya untuk menyandang gelaran dan jawatan. Malah wujud peristiwa Sultan
Iskandar Zulkarnain melantik adindanya Raja Kimas atau Raja Kecil Muda menjadi Raja
Muda, Raja Alauddin iaitu Raja Kecil Tengah menjadi Raja Bendahara.
Perkara yang penting dalam perwarisan takhta atau penggantian raja adalah semasa
penabalan sultan baharu sebelum pengebumian sultan yang terdahulu. Sebelum seseorang
sultan yang sebelumnya dikebumikan, bakal sultan mestilah menghadiri pengebumian
sultan tersebut. Hal ini jelas diterangkan dalam peristiwa kemangkatan Sultan Muzaffar
Syah yang kemudiannya digantikan oleh Raja Muda dengan gelaran Sultan Iskandar Syah.
Peristiwa ini membawa kepada peristiwa beberapa orang besar-besar dilucutkan
jawatan kerana gagal menghadirkan diri semasa upacara pengebumian. Pada ketika ini juga
baginda Sultan Iskandar Zulkarnain mengurniakan pangkat dan jawatan kepada beberapa
orang rakyatnya.
Selain itu, orang yang gagal hadir pula dikenakan hukuman setimpal seperti diikat
kaki dan tangan dijemur di tengah padang. Namun akhirnya mereka diampunkan kesalahan.
Dalam sistem pentadbiran, seperti anugerah jawatan dan pangkat, sudah tentu
wujudnya gelaran-gelaran kebesaran yang disesuaikan dengan jawatan seseorang
pembesar. Gelaran-gelaran ini juga menunjukkan kekuasaan seseorang yang dipilih oleh
raja itu sendiri. Contoh gelaran yang dianugerahkan kepada orang tertentu yang ditetapkan
oleh raja sendiri dalam Misa Melayu seperti;

“Maka zaman itu diperbuat pula bendahara Megat Pendialah menjadi Bendahara, gelarnya
Paduka Seri Maharaja; dan Orang Kaya Besarnya Tan Marasin, gelarnya Orang Kaya
Besar Seri Maharaja Diraja,; dan Temenggungnya Tan Bantan, gelarnya Temenggung
Paduka Raja; dan Menterinya Orang Kaya Syarif Husain, gelarnya Menteri Seri Paduka
Tuan. Setelah itu, maka tetaplah kerajaan Muzaffar Syah di dalam negeri Perak; tiadalah
siapa-siapa menghuru-hara di dalam negeri ini lagi.”
(Misa  Melayu)             
Gelaran kebesaran dan pangkat yang diberikan oleh raja ini merupakan salah satu
bentuk pandangan hidup yang menunjukkan hubungan manusia dengan pemimpin. Mereka
menjadikan titah seseorang pemerintah sebagai pusat untuk menjalankan peranan sebagai
rakyat yang taat setia. Selain itu, pandangan hidup cara Islam dan Hindu juga terbukti dalam
bentuk undang-undang dan struktur politik yang tertulis dalam Misa Melayu itu sendiri.

Nilai  Ilmu  dalam  Misa  Melayu


Menurut  Kamus  Dewan  Edisi  Keempat  (2010),  perkataan  nilai  merujuk  kepada  darjat, 
kualiti,  mutu  dan  taraf.  Dalam  bidang  sains  sosial,  nilai  boleh  didefinisikan  dalam 
tiga  konteks  utama,  iaitu  sebagai  sifat  bagi  menyatakan  kepentingan  atau  manfaat 
sesuatu  objek,  menyatakan  kadar  harga  atau  markah  sesuatu  objek  berbentuk 
berbentuk  kuantiti dan  sebagai  ukuran  atau  piawaian  kepada  sesuatu  kelakuan 
manusia.  Nilai  juga  diistilahkan  sebagai  ‘al-qimah’  dalam  bahasa  Arab  yang  lebih 
merujuk  kepada  harga  yang  ditetapkan  atau  diletakkan  pada  sesuatu.  Nilai  juga 
bersifat  aksiologi  dan  mempunyai  hubung  kait  dengan  falsafah  nilai.  Nilai 
membolehkan  manusia  membezakan  antara  yang  baik  atau  buruk  dan  betul  atau 
salah.
            Menurut  Kamus  Dewan  Edisi  Keempat (2010),  ilmu  bermaksud  pengetahuan 
dalam  perkara  dunia,  akhirat,  zahir,  batin  dan  lain-lain.  Oleh  itu,  dapatlah  kita 
simpulkan  bahawa  ilmu  adalah  hal  yang  berkaitan  kerana  pemerolehan  ilmu  itu  dan 
usaha  kita  menyebarkannya  kepada  orang  lain  dalam  bentuk  pelbagai  maklumat. 
Maklumat  yang  disebarkan  mengandungi  pelbagai  fungsi. 
Antara  fungsi  sesuatu  ilmu  itu  ialah   disebarkan untuk  menambah  ilmu 
pengetahuan  dan  mengembangkan  lagi  perkara  yang  mengandungi  pelbagai 
kemusykilan  dan  lain-lain.  Dalam  Misa  Melayu,  ilmu  yang  ingin  dikaji  ialah  ilmu 
pentadbiran  atau  sistem  beraja,  ilmu  firasat,  ilmu  sejarah  dan  ilmu  ekonomi.

1.  Ilmu  pentadbiran  atau  sistem  beraja


Pentadbiran  boleh  didefinisikan  sebagai  perbuatan  melaksanakan  urusan,  mengelola, 
atau  menjalankan  sesuatu  pejabat,  kerajaan  dan  lain-lain  lagi.  Definisi  lain  yang  lebih 
mudah  ialah  pentadbiran  ialah  perlakuan  untuk  mengurus  atau  bertindak  sebagai 
ejen  dalam  hal  ehwal  fungsi  pentadbiran  atau  fungsi  kerajaan.  Sebagai  contoh, 
dalam  Misa  Melayu  telah  diwujudkan  sistem  beraja  yang  mengikut  susunan  yang 
telah  diatur  dengan  baik.  susunan  tersebut  ialah:
 Raja  Muda
  Raja  Bendahara
  Raja  Di  Hilir
  Raja  Di  Baruh
  Raja  Kecil  Besar
  Raja  Kecil  Tengah
  Raja  Kecil  Muda
  Raja  Kecil  Bongsu

Misa  Melayu  telah  membuktikan  bahawa  sistem  perwarisan  takhta  dan 


penggantian  raja  Perak  ialah  dalam  satu  struktur  yang  tersusun.  Nama  raja-raja 
Perak  yang  diceritakan  dalam  Misa  Melayu  ialah  Sultan  Mudzafar  Shah 111  (1728-
1744),  Sultan  Iskandar  Dzulkarnain  Shah  (1750-1765),  Sultan  Mahmud  Shah  (1765-
1773)  dan  Sultan  Alauddin  Mansur  Shah  (1773-1786).  Kesemua  sultan  ini  adalah 
pemerintah  yang  berpusat  di  Barhaman  Indera /  Berahman  Indera  yang  kini  lebih 
dikenali  sebagai  Bota,  Pulau  Tiga,  Pulau  Indera  Sakti,  Pasir  Pulai  dan  Pulau  Besar 
Indera  Mulia.  Hal  ini  menunjukkan  kawasan  persekitaran  tempat-tempat  tersebut 
adalah  kawasan  kediaman  raja-raja  dan  pembesar  Melayu  di  negeri  Perak  sekitar 
awal  abad  ke-18  lalu  sebelum  pusat  pemerintahan  tersebut  berpindah  ke  Kuala 
Kangsar  sehingga  ke  hari  ini.  sehingga  kini,  masih  terdapat  banyak  makam  raja-raja 
Perak  di  Bota,  Pulau  Tiga,  Kampung  Gajah,  Pulau  Juar,  Pasir  Pulai,  Bandar  Baharu 
dan  Belanja.  Kesultanan  Perak  mempunyai  wilayah  kekuasaannya  yang  tersendiri 
yang  sering  disebut  secara  umum  dalam  Misa  Melayu  sebagai  “segenap  teluk  rantau 
dan  anak-anak  sungai”  atau  “segala  anak  sungai  segala  teluk  rantau  jajahan  negeri”.
Dalam sistem kesultanan Perak, seorang Raja Muda adalah bakal sultan, orang yang akan
menaiki takhta apabila sultan yang ada mangkat. Selaku bakal sultan, Raja Muda harus
mempersiapkan diri dengan segala ilmu yang penting ketika itu agar dapat meneruskan
tugas pemerintahan dengan baik apabila tiba masanya menjadi sultan kelak. Antara
persediaan seorang Raja Muda yang utama termasuklah memiliki perwatakan dan
keperibadian yang mulia agar dikasihi oleh rakyat, tahu adat istiadat negeri, mendalami ilmu
agama, pandai bertutur kata, dan barangkali juga memiliki kemahiran dalam ilmu
persenjataan dan sebagainya. Mengikut pandangan Raja Chulan, segala sifat yang istimewa
ini kelihatannya telah dimiliki oleh Raja Iskandar.

2. Ilmu  firasat
Menurut  Kamus  Dewan  (2010),  firasat  ialah  pengetahuan  mengenai  tanda-tanda  pada 
muka,  badan  dan  lain-lain  untuk  mengetahui  kelakuan  atau  nasib  orang.  Tilikam  atau 
ramalan  ahli  nujum  itu  berkaitan  dengan  ilmu  firasat.  Menurut  Sulastin  Sutrisno, 
orang  yang  mempunyai  ilmu  tersebut  dapat  merasa,  melihat,  atau  mengetahui 
terlebih  dahulu  segala  sesuatu  yang  akan  berlaku.  Melalui  ilmu  firasat  juga, 
seseorang  itu  akan  dapat  mengetahui  kelebihan  dan  kelemahan  orang  lain, 
antaranya  berdasarkan  nama,  haru  atau  ketika.  Dalam  Misa  Melayu,  ilmu  firasat 
dapat  dikenal  pasti  menerusi  perbualan  Sultan  Iskandar  dengan  pawangnya 
berkenaan  keinginannya  untuk  mencari  ikan  di  sungai. 

Maka  titah  baginda,  “Hai  Sang  Paya  Indera  dan  Sang  Paya  Diraja,  di  mana 
sungai-sungai  yang  baik  beta  hendak  menuba?”  Maka  sembah  pawang  kedua  itu, 
“Tuanku,  ampun.  Kepada  pemandangan  patik  sekalian,  sungai  yang  baik  dan 
ikannya  banyak  Sungai  Budimanlah  yang  patut  tuanku  berangkat  bermain-main 
membawa  adinda  baginda  sekalian.”
                                                                                                                (Misa 
Melayu)             
Melalui  teks  di  atas,  jelas  menunjukkan  bahawa  pawang  berkenaan 
mempunyai  ilmu  firasat  iaitu  dengan  hanya  melihat  kawasan  dan  keadaan  sungai 
terbabit,  mereka  sudah  mengetahui  keadaan  serta  ikan-ikan  yang  berada  di  dalam 
sungai  terbabit. 

3. Ilmu   sejarah
Hakikatnya, Misa Melayu adalah sebuah sejarah Perak dari awal hinggalah zaman
pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Syah. Tetapi tumpuan diberi kepada era Sultan
Mudzafar Shah dan Sultan Iskandar Dzulkarnain. Manakala, sultan-sultan Perak yang lain
sama ada pada peringkat awal atau selepas mereka disebut secara ringkas. Pengkisahan
bermula dari Al-Marhum Jalilullah yang mempunyai beberapa orang putera. Selepas
baginda, takhta kerajaan diganti oleh Marhum Besar, Sultan Mahmud yang dikatakan
memerintah selama 120 tahun. Baginda diganti oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang
memerintah selama 20 tahun. Selepas kemangkatan baginda, negeri Perak telah terbahagi
kepada dua wilayah politik, iaitu Kuala Kangsar yang diperintah oleh Raja Inu, bergelar
Sultan Mudzafar Shah dan, Pulau Tiga yang diperintah oleh Raja Bisnu  yang   bergelar
Sultan Muhamad Shah.
Atas usaha dan kebijaksanaan Raja Iskandar, putera pertama Sultan Muhamad Shah,
maka Perak telah disatukan semula. Raja Iskandar banyak berjasa   dalam  bidang   politik  
kepada pemerintahan Sultan Mudzafar Shah; misalnya, menentang serangan   atau  campur
tangan Sultan Berkabat, iaitu seorang raja Minangkabau bersama-sama dua orang putera
Raja Bugis, iaitu Daeng Matkah dan Daeng Menchelak. Pada era pemerintahan Sultan
Mudzafar Shah juga telah berlaku satu percubaan pemberontakan diketuai oleh Raja Alam
bersama-sama orang Bugis tempatan. Raja Alam tidak berpuas  hati dengan keputusan
Raja Iskandar yang  tidak membenar beliau mengikuti Sultan Mudzafar Shah untuk
berpindah ke Kuala Kangsar. Raja Alam mencari  bantuan kuasa Belanda, akhirnya, Raja
Alam telah ditangkap dan dibuang ke Melaka. 
Selepas kemangkatan Sultan Muhammad, ayahanda Raja Iskandar, maka Sultan
Mudzafar telah mengahwinkan puterinya, Raja Budak Rasul dengan Raja Iskandar   iaitu 
Raja Muda. Selepas kemangkatan Sultan Mudzafar, Raja Muda Iskandar ditabalkan menjadi
Sultan, bergelar Sultan Iskandar Dzulkarnain Shah Khalifat Ur-Rahman. Pengkisahan era
pemerintahnya dibuat dengan panjang dan terperinci berbanding dengan era sultan-sultan
yang sebelum dan selepas baginda.
Sultan Iskandar memerintahkan ibu negeri Perak dipindahkan dari Brahman Indera ke
Pulau Chempaka Sari. Tetapi rancangan itu tergendala buat beberapa ketika kerana
timbulnya persengketaan kecil di antara Perak dengan orang-orang Belanda, kerana
angkara seorang juru bahasa bernama Pir Muhammad. Pulau Chempaka Sari kemudiannya
ditukar namanya menjadi Pulau Indera Sakti dan bandarnya dinamakan   Bandar Makmur.
Selain daripada itu dinyatakan juga tentang usaha gigih pembinaan masjid di Pulau
Indera Sakti pada saat-saat hari raya haji menjelang tiba. Dimuatkan juga kisah baginda
mendirikan sebuah mahligai tujuh tingkat yang dikatakan belum pernah lagi dibina oleh
sultan-sultan sebelumnya. Mahligai itu telah digambarkan sebagai sebuah mahligai yang
terlalu istimewa seni binaannya dan dianggap akan jadi ingatan kepada zuriat baginda pada
masa akan datang.
Baginda Sultan Iskandar memerintah selama 14 tahun. Baginda telah digantikan pula
oleh Sultan Mahmud Shah. Tidaklah banyak peristiwa yang dicatatkan dalam zaman
pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini. Antaranya ialah Raja Selangor datang mengadap
dan diberi gelaran Sultan Salehuddin serta berkahwin dengan sepupu Sultan Mahmud
Shah. Selepas kira-kira 8 tahun memerintah, baginda diganti  oleh adindanya, Sultan
Alauddin.

4. Ilmu  ekonomi
Pada zaman pemerintahan Sultan Mudzafar Shah  negeri Perak membuat hubungan
diplomatik dengan Belanda. Melalui hubungan tersebut Belanda telah berjaya memonopoli
pasaran bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Perak. Mereka membelinya dengan
harga $30.000 sebahara dan Sultan akan menerima cukai sebanyak $2.00 bagi setiap
bahara. Bagi menjaga kepentingannya pihak Belanda telah mendirikan sebuah benteng
ataupun loji perniagaannya di Pengkalan Halban, Tanjong Putus. Perjanjian di antara
Belanda dengan negeri Perak telah diadakan khususnya dalam bidang perniagaan yang
berkaitan dengan bijih timah. Sedikit sebanyak, dengan kegiatan perniagaan bijih timah itu
telah membawa kemakmuran kepada negeri Perak pada ketika itu.  Masyarakat  pada 
ketika  itu  menggunakan  sistem  ekonomi  feudal.  Dalam  sistem  tersebut,  sultan  dan 
pembesar  negeri  adalah  orang-orang  yang  memonopoli  eksport  dan  import. Manakala, 
rakyat  biasa  sekadar  pekerja  dan  menjalankan  suruhan  pembesar  semata-mata.  
Pedagang  luar  juga  datang  berdagang  ke  negeri  Perak  pada  ketika  itu.  Ia  dapat 
dilihat  menerusi  petikan  teks  ini  :
“Adapun  pada  masa  itu  Holanda  dan  orang  Cina  dan  orang  Keling  pun  semuanya 
datang  persembahkan  segala  permainannya  berbagai-bagai  rupanya  dan  lakunya.”
(Misa  Melayu)

Di bahagian yang lain pula diceritakan tentang kedatangan utusan perdagangan


Belanda dari Betawi yang diketuai oleh R.E.F. Lybroke. Tujuannya ialah membeli bijih timah.
Namun  begitu,   mereka mahukan agar bijih timah tersebut dihantar ke lojinya di Tanjung
Putus untuk ditimbangkan di situ. Sultan Iskandar tidak bersetuju sebaliknya baginda mahu
supaya ia dilakukan di Tanjung Bidor. Berikutan itu pihak Belanda cuba menggertak dengan
menembak ke arah Shahbandar dan Menteri, kononnya kerana mereka enggan menerima
pelawaan kapitan Belanda untuk naik ke kapal mereka. Kejadian itu telah menimbulkan
kemurkaan Sultan Iskandar. Namun pihak Belanda kemudiannya memberi alasan bahawa
mereka sebenarnya tidak mempunyai niat untuk menembak Shahbandar dan Menteri
sebaliknya hanya ingin menembak monyet. Mereka seterusnya memohon keampunan
daripada Sultan. Berikutnya keadaan hubungan dua pihak menjadi tenang semula.
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to FacebookShare to Pinterest

Anda mungkin juga menyukai