Anda di halaman 1dari 9

LATIHAN 1

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis
satu  rumusan yang panjangnya hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan.
Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud
asal petikan.

Kemalangan jalan raya kerap berlaku di negara kita. Kadar kemalangan meningkat
setiap kali musim perayaan walaupun pelbagai kempen dan tindakan dijalankan oleh
pihak berkuasa. Peningkatan jumlah kematian merupakan suatu kerugian yang
melibatkan nyawa, harta benda, wang, tenaga manusia, dan masa. Memandangkan
bilangan kematian terus meningkat, maka pelbagai usaha perlu diambil untuk
mengatasi kemalangan jalan raya. Antara usahanya ialah pengeluaran lesen memandu
diperketat demi membendung kejadian yang menyayat hati terutamanya pada musim
perayaan.                                        

            Para pemandu perlu menjalani ujian kecekapan atau latihan memandu yang


teliti sebelum diberi lesen bagi memastikan mereka mengamalkan gaya pemanduan
yang positif. Antara penyebab peningkatan kadar kemalangan jalan raya termasuklah
sikap pengguna yang cuai. Hal ini dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menunjukkan bahawa 90 peratus daripada
kes kemalangan jalan raya berlaku kerana kecuaian pemandu. Dalam memastikan
kemalangan sifar dicapai, hukuman yang lebih tegas sebagai pengajaran terhadap
pemandu perlu dikenakan. Pemandu-pemandu baharu yang melakukan kesalahan
dalam tempoh  dua tahun pertama perlu dikenakan tindakan perlanjutan tempoh
percubaansebelum mendapat lesen sepenuhnya.

  Orang ramai masih belum belajar daripada kesilapan-kesilapan masa lalu, malah
pengalaman pihak lain juga dipandang rendah. Sejajar dengan itu, sudah
tiba masanya pihak berkuasa mengkaji secara mendalam aspek-aspek yang sesuai
dalam sistem pembelajaran dan pendidikan pemanduan di negara kita. Sistem
pemanduan yang dikendalikan oleh pihak JPJ umpama sistem peperiksaan akademik
yang diduduki oleh para pelajar. Sewajarnya, elemen sivik dipupuk pada jiwa seseorang
pelajar sehingga amalan tersebut tersemai dengan mendalam dan menjadi amalan
apabila dewasa nanti.

   Di samping itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, sekolah, dan masyarakat


menyemai nilai-nilai murni dalam usaha melahirkan generasi pemandu yang
berhemah. Penguatkuasaan undang-undang dan denda yang dikenakan perlu
diketatkan supaya mereka yang bersalah dihukum sewajarnya. Selain itu, penetapan
had laju di lebuh raya dan di jalan-jalan biasa  perlu dikekalkan kerana banyak
kemalangan yang berlaku berpunca daripada kenderaan yang tidak dapat dikawal
sebagai akibat dipandu terlalu laju. Para pengguna perlu disedarkan bahawa jalan raya
bukanlah tempat untuk berlumba dan mereka perlulah memandu secara berhemah
supaya tidak mengakibatkan nahas yang membabitkan orang lain.

1
  Jelaslah bahawa banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat
mahupun negara pelbagai pihak dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Semua pihak perlu menggemblengkan tenaga secara lebih efektif untuk mengatasi
kemelut ini, janganlah sudah terhantuk baru hendak tengadah kerana apabila sesuatu
kecelakaan sudah berlaku, tiada guna menyesalinya lagi, kerana nasi sudah menjadi
bubur. Tragedi kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan bila-bila masa
kerana malang tidak berbau.

                                                (Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Budayakan Hargai


Nyawa” oleh G. Manimaran, Utusan Malaysia, Disember 2003)

2
LATIHAN 2

Baca petikan di bawah dengan teliti.Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu rumusan
yang panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan
menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

        Kebolehan melakukan tugas harian menyebabkan ramai orang menyangka


bahawa mereka cergas. Sesetengah orang menyatakan bahawa mereka jarang-jarang
sakit dan tidak kerap mendapatkan rawatan perubatan tetapi hal ini tidak bermakna
keadaan fizikal mereka itu baik. Dari segi kesihatan, strategi yang berkesan untuk
seseorang berada kekal dalam keadaan cergas dan sihat adalah dengan bersenam
sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Walaupun fakta ini diketahui umum, namun
aktiviti yang berkait dengan kesihatan masih berada di tangga terbawah dalam senarai
keutamaan yang perlu dilakukan pada setiap minggu.

        “Tubuh yang sihat membawa kepada akal yang sihat.” Bagaimanakah senaman
menyumbang kepada akal yang sihat? Senaman dalam jangka panjang  akan
melancarkan perjalanan darah ke otak. Peningkatan tekanan darah akan
menyalurkan  darah ke otak yang kurang mendapat darah, seterusnya meningkatkan
keperluan oksigen kepada otak. Hal ini menyebabkan kita akan menjadi lebih segar dan
tidak mengantuk. Senaman aerobik pula mampu meningkatkan proses pembelajaran
walaupun kepada golongan dewasa. Kita juga akan kelihatan hebat dan berkeyakinan
setelah melakukan senaman kerana wujudnya kepercayaan dalam diri. Selain itu,
senaman juga mampu menangani masalah kemurungan.

        Dari segi teori perubatan apabila seseorang bersenam, hormon adrenaline akan
dibebaskan dan menyebabkan salur darah mengecil. Dengan itu tekanan darah akan
meningkat dan darah sampai kepada organ dalam masa yang singkat. Sebagai
kesannya, salur darah di otot pula dilebarkan untuk memenuhi keperluan oksigen
kepada bahagian otot berkenaan.  Senaman menjadikan jantung berfungsi dengan
lebih baik kerana darah perlu dipam cepat untuk memenuhi badan yang
bermetabolisme tinggi. Hasilnya, seseorang akan sentiasa gembira dan  tenang.

        Bersenam secara konsisten dan mengamalkan diet seimbang membantu


mengawal berat badan yang berlebihan. Obesiti meningkatkan risiko mendapat
pelbagai penyakit seperti diabetes, penyakit jantung dan batu karang. Satu fakta
menarik faedah bersenam ialah jangka hayat lebih panjang dalam kalangan orang yang
dikategorikan mempunyai kecergasan sederhana berbanding dengan mereka yang
tidak cergas. Hal ini terbukti melalui satu kajian yang mendapati kadar kematian
kumpulan orang yang tidak cergas adalah sekali ganda lebih tinggi berbanding dengan
mereka dalam kumpulan sederhana cergas. Tuntasnya, jadikanlah bersenam sebagai
satu budaya hidup kita supaya kita kekal sihat sepanjang masa.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Faedah-faedah Senaman’,
oleh Ziauddin Sharuddin,Berita Minggu, 12 Mac 2010)

3
LATIHAN 3

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis


satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda
digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal
petikan.    

             Industri inap desa  sememangnya mempunyai potensi yang tidak kurang


pentingnya kepada pembangunan negara. Sebenarnya, terdapat beberapa potensi
industri inap desa dan cabaran-cabaran yang dihadapinya.

                Antara kepentingan industri inap desa adalah mampu membantu


meningkatkan ekonomi negara. Apabila inap desa ditubuhkan dengan giat, maka
keuntungan yang diperoleh daripada sektor ini akan menyumbang kepada pendapatan
negara. Hal ini akan membantu negara memperoleh keuntungan yang berlipat kali
ganda serta dapat memajukan negara.

                Di samping itu, industri inap desa dapat memperkenalkan sektor pelancongan
Malaysia di mata dunia.Pelancong yang menginap di inap desa dapat melakukan
pelbagai aktiviti terancang yang disediakan oleh pihak inap desa.Hal ini dapat
memperkenalkan pelbagai budaya Malaysia yang terdapat di kawasan inap desa
tersebut.Selain itu, industri inap desa juga mempunyai potensi dalam memajukan sektor
pelancongan negara.Penubuhan industri inap desa di kawasan luar bandar mampu
menarik minat ramai pelancong ke kawasan tersebut. Hal ini akan menyebabkan
penduduk setempat memperoleh pendapatan yang lumayan berikutan kehendak
pelancong untuk menyewa inap desa. Oleh itu, para pelancong yang ingin melawat ke
kawasan pedalaman tidak perlu bimbang tentang tempat penginapan kerana terdapat
inap desa.

                Seterusnya, potensi inap desa juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan.
Apabila industri inap desa dibina di kawasan luar bandar maka terdapat banyak
peluang  pekerjaan yang tersedia. Hal ini akan membantu penduduk setempat untuk
bekerja di inap desa.  Contohnya, bekerja sebagai tukang cuci, tukang kebun, pengawal
keselamatan dan sebagainya. Industri inap desa ini walaupun tidak membuka peluang
pekerjaan yang banyak namun  mampu membantu golongan penganggur bagi mencari
sumber rezeki.

                Antara cabaran yang dihadapi oleh industri inap desa ialah masalah
kekurangan modal. Pengusaha inap desa sering berhadapan dengan masalah
mendapatkan modal untuk kos pengurusan dan membayar gaji pekerja. Hal ini
dikatakan demikian kerana pengusaha industri inap desa sukar mendapatkan pinjaman
daripada bank berikutan faktor ekonomi mereka yang kurang kukuh. Situasi ini akan
menyebabkan perkembangan inap desa agak perlahan dan terbatas. Selain itu,
kedudukan inap desa yang jauh dari bandar menyukarkan para pelancong untuk
mendapatkan kemudahan-kemudahan yang lain. Contohnya perkhidmatan bank,
liputan talian dan pasar raya. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu berganding

4
bahu dalam memajukan industri inap desa agar  terus berkembang dan menjadi salah
satu sektor yang menyumbang kepada pendapatan negara kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Kepentingan Inap Desa`,


 oleh Zainal Mahmood,Utusan Malaysia, 12 Mac 2019)

5
LATIHAN 4

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis


satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda
digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal
petikan.  

   Kebanyakan media menganggarkan jumlah pekerja asing di negara kita telah


melebihi dua juta orang. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya pula adalah
bertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Kebanyakan
daripada mereka adalah pendatang asing yang datang dari negara jiran seperti
Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Tumpuan mereka adalah dalam sektor
pembinaan, perindustrian, perladangan dan pembantu rumah. Kedatangan golongan ini
sedikit sebanyak telah memberi kesan negatif khususnya dalam segi pekerjaan
penduduk tempatan dan pembangunan negara. Sebab utama mereka bertumpu ke
negara kita adalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding
dengan di negara asal mereka.
Selain itu, matlamat utama mereka bertumpu ke Malaysia adalah disebabkan banyak
pekerjaan yang terdapat di sini memberi pendapatan yang tinggi. Rata-rata golongan ini
mampu memperoleh pendapatan sehingga ribuan ringgit sebulan. Daripada jumlah
tersebut, sebahagian besarnya akan dikirimkan kepada keluarga mereka yang menetap
di negara asal. Ini ditambah pula dengan keadaan negara kita yang aman dan makmur,
telah menggalakkan mereka bertumpu ke Malaysia. Hal ini amat berbeza sekali dengan
keadaan di negara asal mereka seperti Indonesia, Bangladesh dan Nepal yang kerap
berlaku pergolakan politik dan peperangan. Justeru, walaupun banyak usaha yang
dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk mengekang kebanjiran pendatang asing ini,
namun jumlah mereka semakin bertambah.
Selain faktor di atas, kebanjiran penatang asing di negara kita turut disebabkan oleh
permintaan yang tinggi terhadap buruh asing dari luar negeri oleh majikan di Malaysia.
Hal ini kerana pendatang asing sanggup menerima upah yang lebih rendah berbanding
dengan buruh tempatan. Keadaan ini ditembah pula oleh sikap pekerja tempatan yang
lebih gemar memilih pekerjaan dengan gaji yang tinggi. Lebih menyulitkan keadaan,
ada pihak di negara kita yang memberi perlindungan kepada pekerja asing sehingga
menggalakkan mereka bertumpu di Malaysia. Ini menyebabkan pendatang asing
berasa selamat bekerja di sini walaupun sebahagiannya tidak memiliki permit. Sikap
negatif penduduk tempatan ini telah banyak menyebabkan operasi membanteras
pekerja asing tanpa permit menemui kegagalan.

6
Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi oleh lautan,
keadaan pantainya yang terlalu luas menyebabkan kawalan daripada pihak berkuasa
menjadi terhad. Sebagai contohnya, sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia
menjadi kawasan pendaratan pekerja asing tanpa permit untuk bekerja di Malaysia.
Tambah merumitkan keadaan, jabatan yang ditugaskan untuk mengawal kebanjiran
pekerja asing itu masih mengalami kekurangan penguatkuasa bagi menjalankan
rondaan dan serbuan. Situasi ini telah menyebabkan ramai pekerja asing yang
memasuki negara kita secara tidak sah, bebas tanpa berjaya dikesan. Kebanyakan
rondaan yang dilakukan gagal menemui pekerja asing tersebut yang sebahagian
besarnya menjadikan Selat Melaka sebagai laluan yang selamat untuk ke negara kita.
Oleh sebab jumlah mereka yang terlalu ramai telah memberi kesan yang amat parah,
penguatkuasaan perlulah lebih kerap dilakukan. Untuk tujuan tersebut, kerajaan turut
menggunakan tenaga RELA bagi menjalankan rondaan dan tangkapan terhadap
pekerja asing tanpa permit. Mereka yang ditangkap akan ditempatkan di pusat-pusat
tahanan sebelum didakwa dan dihantar pulang ke negara asal mereka. Usaha ini bukan
sahaja memerlukan kos yang tinggi malah merugikan negara.

7
LATIHAN 5

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis


satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda
digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal
petikan.  

Barang-barang terkenal terutamanya yang berjenama terkenal telah berada di pasaran


tempatan sejak beberapa tahun yang lalu. Gejala ini berterusan kerana memiliki
barangan berjenama terkenal menjadi idaman kebanyakan orang yang mengutamakan
prestij. Namun begitu, bukan semua orang mampu memiliki barangan yang berjenama
kerana harganya yang mahal. Untuk memenuhi tuntutan kemahuan tersebut, maka
segelintir anggota masyarakat beralih kepada barangan tiruan. Mereka berpendapat
mutu barangan ciplak itu tiada bezanya daripada kualiti barangan asli.

Penimbunan barangan tiruan itu disokong oleh pasaran globalisasi yang


memudahkan barangan berkenaan memasuki negara kita. Barangan tiruan ini biasanya
dibawa masuk melalui pintu sempadan dan pelabuhan dalam dua bentuk iaitu, separuh
siap atau siap sepenuhnya. Barangan separuh siap akan melalui proses
pembungkusan dan pelebelan sebelum memasuki pasaran. Dengan kemudahamn
logistik, barangan ini dapat dihantar oleh pengedar ke sesuatu destinasi dengan cepat
dan mudah. Pertambahan kontena barangan yang sampai di pelabuhan dan lapangan
terbang menjadi satu cabaran kepada pihak berkuasa untuk mengenalpasti isinya.
Keadaan ini bertambah rumit apabila para pengimport membuat perisytiharan palsu
terhadap barangan itu. Kaedah lain yang digunakan oleh golongan tidak
bertanggungjawab ini antaranya adalah melalui penghantaran cepat dengan
perkhidmatan bas ekspres atau kereta api. Malah kecanggihan teknologi kini
mengizinkan pesanan dan bayaran barangan dibuat melalui talian laman web yang
dilayari oleh pelanggan.

Modus operandi kegiatan pengedaran dan penjualan barangan tiruan dibuat


secara tunai tanpa sebarang resit. Oleh itu, apabila serbuan dibuat ke atas penjual,
maka pembekalnya tidak dapat dikesan. Sekalipun dikenali pembekalnya namun
penjual tidak berani memaklumkannya kepada pihak berkuasa tentang identiti
pembekalnya kerana hal ini membabitkan kegiatan sindiket dan mengancam nyawa
mereka. Bagi para pengguna pula, mereka sukar membezakan antara barangan tiruan
dengan barangan asli. Lebih-lebih lagi dengan penggunaan mesin canggih yang dapat
menghasilkan bahan tiruan yang hampir menyerupai barangan tulen. Pada masa ini,
barangan tiruan yang paling banyak di pasaran ialah pakaian, makanan, ubat-ubatan,
alat ganti kenderaan, alat komunikasi, cakera optik dan perisian kompeter. Barangan ini
laris di pasaran atas kecenderungan sebahagian pengguna yang tidak memperdulikan

8
ketulenannya asalkan barangan itu berjenama dan murah.

Penjualan barangan tiruan kian berleluasa kerana dipayungi oleh sindiket besar
dengan modal yang banyak. Oleh sebab itulah kita dapati sekalipun barangan itu
dirampas hari ini, namun keesokan harinya mereka boleh beroperasi semula kerana
sumbernya mempunyai rangkaian perniagaan besar yang boleh bertukar ganti dan stok
barangan tersebut mungkin berada di mana-mana sahaja.

Anda mungkin juga menyukai