Anda di halaman 1dari 4

Bismilahirahmannirahim

Teringat ketika tangan ini menyelak sebuah buku atlas di perpustakaan,


mengamati betapa kerdilnya Malaysia yang terpelosok di tenggara dunia. Namun,
jangan disangka cili tidak berapi, kini Malaysia sudah menjadi sebuah negara yang
gah di seantero dunia. Bak kata orang tua-tua duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi. Fikir-fikirkan….

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang

Jutaan apresiasi kepada pemimpin majlis, saf hakim yang sentiasa cakna dengan
keadilan dan berintegriti, saudara penjaga masa yang semestinya menjunjung
prinsip Al-Asr, barisan warga pendidik budiman, seterusnya generasi pendukng
wacana wawasan Negara.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam perdana lakaran 1


Malaysia.

Malaysia Di Pentas Dunia, begitulah murninya mauduk pidato yang akan saya
hidangkan kepada hadirin untuk menjadi santapan minda di pagi yang gemilang
ini. Sebelum, menjelmakan butir-butir bicara bermadah, mohon diizinkan untuk
melakukan pendefinisian terhadap mauduk pidato saya daripada aspek hurufiah
mahupun secara generalisasi. Malaysia merupakan sebuah Negara yang terletak
di Asia Tenggara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Pentas pula
merujuk kepada tempat berdirinya seseorang melakukan acara. Manakala dunia
merujuk kepada kepada wawasan yang luas di muka bumi ini. Oleh itu, secara
holistiknya, Malaysia Di Pentas Dunia membawa konotosi yang mendalam iatu,
keadaan Negara yang kita cintai ini semakin dipandang tinggi oleh masyarakat
dunia lantaran keberjayaan Malaysia mencipta nama dan mencorak mutiara
berharga dalam semua lapangan sama ada ekonomi, politik dan sosial. Maka,
pada hari ini, saya akan mengetengahkan fenomena anjakan paradigma Malaysia
setelah 5 dasawarsa pasca merdeka.
Bersaksikan warga dewan yang penuh bervisi,

Di bawah lembayung kata Ekonomi Malaysia terus kukuh dan teguh menjadi
hujah saya yang pertama. Berbicara tentang ekonomi, maka kekuatan Malaysia
tidak boleh disangkal lagi. Kita singkap sedekad yang lalu apabila satu persatu
Negara serantau dunia jatuh tersungkur ekoran kegawatan ekonomi yang
melanda dunia. Hakikatnya, ketika itu juga, Malaysia hampir tersungkur dek
pelukan IMF. Namun, kepintaran pemimpin kita ketika itu, Tun Dr. Mahathir
Mohamad, begitu bijak mengemplementasilkan tambatan ringgit untuk
mengurangkan beban Negara. Kejituan ekonomi Negara terus diwarnai dengan
pelantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank wanita pertama
Malaysia dalam meneruskan wadah perjuagan ekonomi Negara. Lantaran dengan
ekonomi Negara yang kukuh dan teguh, menjelma pujian dari Negara barat
mengiktiraf ekonomi Malaysia sebagai ekonomi gergasi dunia.

Sidang hadirin yang budiman,

Indikator saya yang kedua ialah di bawah kata kunci politik di Malaysia lambang
keamanan dunia. Hari-hari kita sering mendengar pergolakan yang wujud di
seluruh dunia. Malah, kekacauan yang melanda diterjemahkan melalui rusuhan
berdarah dan ledakan senjata. Lihat sahaja, malah Negara maju seperti Perancis
dan Russia turut menerima bahangnya. Di Malaysia, dengan konsep demokrasi
dan raja berpelembagaan, Negara mampu menggerakkan politiknya di mata
dunia. Ikatan tiga kompenen utama iatu UMNO, MIC dan MCA di bawah bumbung
Barisan Nasional mampu menjana kemajuan politik Negara. Sukar untuk
menjentik kekuhan Negara yang kini tidak dapat dinafikan lagi.

Sidang hadirin yang santun budi,

Sains dan teknologi Negara adalah kelas pertama, menjadi inti hujah yang ketiga.
Kini, Negara kita semakin ampuh di pentas dunia kerana inovasinya dalam
penciptaan mahupun penyelidikan. Kejayaan pensyarah Universiti Kebangsaan
Malaysia baru-baru ini di Geneva dalam konvensyen sains dan teknologi
merupakan wadah pembuka mata masyarakat dunia. Hasilnya, Negara mampu
mengenggam 3 kilauan emas berharga, mengalahkan Negara maju yang lain
dalam penghasilan ciptaan bermutu. Kejayaan demi kejayaan terus terungkai dan
menjadi keutuhan apabila, Dr Sheikh Muzafar Sukor berjaya menjejak kaki ke
angkasa. Sedar atau tidak, kejayaan itu adalah satu pintu permulaan Negara kita
dalam perlumbaan meneroka sains angkasa. Syabas dan tahniah kepada
agkasawan pertama Negara.

Sidang hadirin yang penuh intelektual,

Kata kunci saya yang keempat di bawah lembayung kata Sukan dan Negara kita
semakin ke hadapan. Dulu, ketika berbicara tentang sukan olimpik, maka ligat
minda memikir Negara Amerika Syarikat dan China. Pabila melihat catat pungutan
emas yang berbutir-butir banyaknya, kita hanya mampu menggigit jari tanpa
sekerat pingat dikalungkan. Namun, dersawarsa ini, kita semakin mendapat
perhatian di mata dunia. Hasilnya, kita mampu menghasilkan atlit tersohor
bertaraf bintang nombor satu dunia. Ligat dengan pukulan silang membenam
lawan di gelanggang kaca, itulah dato Nicol Ann David pemain skuasyh nombor
satu dunia. Teknik bertahan dan menyerang di samping smash lintang yang
menggerunkan, itulah Datuk Lee Chong Wei, badminton di dalam genggaman,
memecut laju bagai lipas kudung di arena baledroom, itulah roketmen Malaysia,
Azizul Awang Hasni menjadi sebutan. Dan pelbagai hambatan kecermelangan
yang muncul digenggam Malaysia. Malah, sorakan gol, terus meniti di bibir
peminat sukan bola sepak negara, apabila pasukan Harimau Malaya bangkit
menunjukkan taringnya.

Sidang pendengar yang setia,

Di penghujung kalam, kita perlu sedar, kematangan Negara semakin


menyerlah dek semangat waja yang ditunjukkan oleh pemimpin negara dan
disepadukan dengan keazaman rakyatnya tercinta. Suka saya mengajak seisi
dewan sekalian, untuk sama-sama menabur bakti, menghulurkan secebis
kekuatan untuk merealisasikan hasrat Negara. Beringatlah, jangan pisang berbuah
dua kali, apabila kita terlalu mudah diperbodohkan oleh penjajah yang silih
berganti, menjadikan kita sebagai kuli di Negara sendiri. Tanamkan tekad di dalam
hati, bulatkan azam penuh bermisi, jadikan Negara Malaysia, Negara tersohor di
mata dunia.

Saya akhiri pidato saya dengan Wabillahitaufik Wal Hidayah Wasalamualaikum


W.T.W.

Anda mungkin juga menyukai