Anda di halaman 1dari 10

1.

PENDAHULUAN

Penentuan awal bulan Hijriah yang digunakan oleh umat Islam khasnya dalam menentukan awal bulan
Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah adalah berdasarkan kepada pergerakan bulan dan bumi mengelilingi
matahari.

Ia menjadi asas perhitungan awal bulan dan tahun yang mempunyai hubungkait yang rapat dengan
ibadah puasa, hari raya dan hari raya korban.

Berdasarkan pedoman yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis dan juga pendapat ulama daripada
kitab-kitab muktabar, lahir tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan ramadhan, Syawal,
dan Zulhijjah dengan kaedah berikut:-

a) Rukyah ( melihat anak bulan ) semata-mata.

b) Hisab Falak semata-mata.

c) Rukyah dan Hisab dengan menggunakan criteria imkanur-rukyah iaitu menggunakan hisab dalam
menentukan kebolehnampakan anak bulan ( Hilal ).

Wujudnya perbezaan amalan dan cara di atas, adalah daripada perbezaan dalam memahami dan
mentafsir maksud ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang berkaitan.Malaysia adalah sebuah negara yang
mengamalkan cara penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab
berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah.

Tujuan penulisan ini adalah untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai cara penentuan awal
Ramadan, Syawal dan Zulhijjah yang di amalkan di Malaysia dan asas-asas yang digunakan dalam
melaksanakan kaedah tersebut.

2. DALIL-DALIL SYARAK MENGENAI PENENTUAN AWAL BULAN RAMADHAN, SYAWAL DAN ZULHIJJAH.

Nas Al-Quran dan Hadis banyak menerangkan panduan menentukan awal bulan atau waktu-waktu
terutama dalam melaksanakan ibadat.

a) Firman Allah SW.T Surah Al-Baqarah ayat 189:

Maksudnya:

"Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit.Katakanlah bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu
bagi manusia dan bagi ibadah haji......."

Hadis Rasulullah S.A.W. diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Bukhari:

Maksudnya:

"Berpuasalah kamu kerana melihat Hilal dan berbukalah kamu kerana kamu melihat Hilal.Bila Hilal
tertutup atasmu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaaban tiga puluh".

Pendapat Ulama' Daripada Kitab-kitab Muktabar.

Daripada Kitab Bidayatul Mujtahid dari Juzuk pertama


( muka surat 242-243 ).

Maksudnya:

"Bila Hilal ditutupi awan, maka ia kembali kepada Hisab yang berdasarkan bulan dan matahari, itulah
mazhabnya Muttarraf Bin Suhair, beliau termasuk ulama' besar tabi'in dan Ibnu Suraj bercerita daripada
Imam Syafie bahawa Imam Syafie berkata; orang yang mazhabnya itu mengambil pedoman dengan

bintang-bintang dan kedudukan bulan kemudian jelas baginya menurut dalil tersebut, bahawa bulan
telah boleh dilihat tetapi tertutup oleh awan, maka orang tersebut boleh melaksanakan puasa dan
cukuplah baginya".

Berdasarkan dalil-dalil Al-quran, Hadis dan pendapat ulama' serta kajian astronomi moden, penyelesaian
jalan tengah dengan cara rukyah dan hisab adalah menjadi pilihan untuk diamalkan di Malaysia kerana
ia lebih hampir kepada kehendak syarak.

3. FAKTOR PERSELISIHAN

3.1) Punca-punca perselisihan berlaku dari segelintir rakyat Malaysia yang dikenali dengan kumpulan
Islah.Golongan tersebut tidak menerima pengisytiharan rasmi Hari Raya Korban Kerajaan Malaysia yang
telah diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia pada tahun 2000 dan 2001 Miladiah
yang lalu.Golongan tersebut menyambut Hari Raya Korban berdasarkan pengisytiharan Wukuf di Padang
Arafah oleh Kerajaan Arab Saudi.

3.2) Perselisihanjuga berlaku kerana terdapat kekeliruan pendapat pada 9 Zulhijjah (Hari Wukuf), sunat
berpuasa pada hari tersebut dan ganjaran pahalanya sama dengan setahun beribadah. Kebanyakan
rakyat malaysia terkeliru dan tidak mengetahui kaedah dan syarat-syarat penetapan awal bulan Zulhijjah
yang digunakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

4. RASIONAL DARI SUDUT MATLAK ( TEMPAT TERBIT ) DI MALAYSIA.

4.1) Kerajaan Arab Saudi menggunakan matlak dengan kaedah rukyah semata-mata, terbuka kepada
semua rakyatnya.Sesiapa yang melihat Hilal Zulhijjah boleh melaporkan kepada pihak yang
bertanggungjawab atau berkuasa dengan saksi.

Kerajaan Malaysia menetapkan awal bulan Zulhijjah dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab
berdasarkan kriteria imkanur rukyah dengan mengambil kira matlak negara-negara MABIMS.Pada 29
Zulkaedah semua tempat cerapan rasmi sebanyak 26 tempat di seluruh Malaysia akan dicerap oleh Ahli

Jawatankuasa Melihat Anak Bulan dengan menggunakan peralatan moden seperti teleskop digital dan
teodolit.

4.2) Terdapat perbezaan matlak yang jauh diantara Malaysia dan Arab Saudi. Perbezaan waktu antara
kedua-dua negara ialah lima jam. Oleh itu ketika Hilal dilihat di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut
berada pada kedudukan 1.25 lebih tinggi di Matla' Malaysia.

4.3) Bagi rakyat negara Malaysia yang bermazhab Syafie, mereka perlu memahami bahawa setiap
negara di dunia ini mempunyai matla' atau kawasan lingkungannya sendiri. Oleh itu Malaysia tidak harus
mengikut keputusan cerapan hilal yang dilaksanakan oleh Arab Saudi.

5. HUKUM PUASA DAN MAKLUMAT YANG BERKAITAN

Umumnya, masyarakt Islam mengetahui adanya puasa sunat pada hari Arafah. Puasa ini sunat dilakukan
oleh mereka yang tidak mengerjakan haji. Pelakunya dijanjikan dengan ganjaran yang besar
sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.

Daripada Abi Qatadah yang berbunyi :-

Maksudnya:

Daripada Abi Qatadah bahawa Nabi S.A.W. ditanya mengenai puasa pada hari Arafah. Banginda
menjawab : Ia menghapuskan dosa yang dikerjakan pada tahun yang lalu dan tahun yang akan datang.

(Riwayat Muslim)

Sekiranya diteliti, hadis di atas dan dalil yang lain menerangkan kelebihan mereka yang berpuasa pada
hari Arafah. Namun demikian, kita perlu mengetahui pada waktu bilakah umat Islam di Malaysia dan
Arab Saudi dan juga perbezaan matla'. Kita perlu memilih sama ada berpuasa pada hari Arafah sebenar
di Arab Saudi atau mengikut takwin sebenar kita di Malaysia. Hukum berpuasa pada salah satu hari
tersebut tetap sah.

Faktor kedudukan geografi dan kesesuaian negara Malaysia menentukan setiap awal bulan Islam dengan
menggunakan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kreteria Imkanur rukyah adalah satu perkara yang
perlu diambil perhatian. Konsep penentukan awal bulan Islam adalah berdasarkan kaedah jangkaan
kenampakan anak bulan atau Imkanur rukyah yang mengikut syarat berikut :-

Ketika matahari terbenam.

a) Ketinggian (altitud) bulan tidak kurang daripada 2

Dan

b) Jarak lengkok matahari tidak kurang 3

Atau

c) Ketika matahari terbenam umur bulan tidak kurang daripada 8 jam.

6. ASAS PERTIMBANGAN KEPUTUSAN PERLU DI KEKALKAN.

6.1) Kaedah penetapan Hari Raya Korban mengikut kaedah Hisab dan Rukyah berdasarkan
imkanurrukyah sama seperti penetapan awal bulan Ramadhan dan Syawal adalah lebih sesuai untuk
diamalkan di Malaysia.

6.2) Bedasarkan keputusan Majlis Raja-Raja Malaysia dan persetujuan Mufti seluruh negeri-negeri di
Malaysia bagi penetapan awal Zulhijjah seperti penetapan awal Ramadhan dan awal Syawal dengan
melihat anak bulan di tempat rasmi seluruh Malaysia.

6.3) Perbezaan zon masa di antara Malaysia dan Arab Saudi adalah jauh selama (5) lima jam berdasarkan
GMT Malaysia (8) lapan jam manakala Arab Saudi (3) tiga jam.

7. PENUTUP

Amalan Umat Islam di Malaysia menetapkan awal Zulhijjah dikekalkan dengan rukyah dan Hisab
berdasarkan kriteria imkanur rukyah adalah bertujuan untuk di selaraskan dengan keputusan negara
jiran tetangga iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

Keputusan ini perlu dikelalkan untuk tujuan keharmonian bagi sesebuah negara dan tidak perlu
mengikut pengisytiharan wukuf Arafah oleh kerajaan Arab Saudi. Hukum ibadah puasa yang dilakukan
tiada terjejas dan ia melibatkan perkara sunat yang perlu kepada pemahaman terhadap ibadat tersebut.
Semoga dengan risalah kecil ini akan memberi pendedahan kepada masyarakat agar tidak timbul
kekeliruan tentang amalan yang digunakan di Malaysia pada masa sekarang dan yang akan datang.
Wallahua'lam.

Disediakan oleh:
Bahagian Falak Syarie,
Jabatan Mufti Negeri Selangor.
http://razialong.blogspot.com/

Mungkinkah Kita Berpuasa dan Berhari Raya Serentak Seluruh Dunia


Umat Islam sekarang selalu dilanda dilema apabila munculnya bulan Ramadhan. Kita sering tertanyatanya kenapa semua umat Islam di dunia ini tidak menyambut Ramadhan bersama-sama, atau
perkataan yang lebih mudahnya ialah pada hari yang sama. Kita juga sering bertanya, kenapa perayaan
atau hari kebesaran bagi umat Islam tidak sama seperti perayaan hari Krismas, tahun Baru Cina,

Deepavali dan lain-lain perayaan lagi yang wujud di dunia ini. Permasalahan dalam menentukan awal
Ramadhan bukanlah satu perkara yang baru, malah ia adalah satu permasalahan yang sering timbul dan
tenggelam bila umat Islam menyambut ramadhan lebih-lebih lagi berhari raya. Namun ia sebenarnya
satu cabaran bagai umat Islam mengkaji dan memahami sifat hilal itu sendiri.

Di sini saya akan berkongsi sebab-sebab, kenapa, mengapa dan bagaimana perbezaan sambutan awal
Ramadhan di seluruh dunia ini boleh terjadi. Sebab-sebab terjadinya perbezaan ini saya bahagikan
kepada dua sebab, yang pertama ialah kaedah penentuan awal bulan yang berbeza pada tiap-tiap
tempat. Manakala sebab yang kedua ialah kerana perbezaan matlak.

Perbezaan kaedah penentuan awal bulan Ramadhan


Kaedah penetapan awal bulan Ramadhan yang berlainan mengikut kawasan menyebabkan terjadinya
perbezaan permulaan puasa di setiap negara. Pada hari ini, kaedah yang digunakan di negara-negara
Islam dalam menetapkan tarikh 1 Ramadhan adalah berdasarkan :
Rukyah
Hisab falak
Rukyah dan hisab falak

Rukyah
Dalam masyarakat umat Islam, kaedah merukyah hilal atau melihat anak bulan merupakan perkara
terpenting untuk menentukan permulaan awal bulan terutamanya Ramadhan dan Syawal. Namun,
disebabkan kedudukan geografi sesebuah tempat, maka sambutan awal puasa dan hari raya berlaku
pada hari yang berlainan mengikut tempat masing-masing. Faktor berlakunya perbezaan ini kerana pada
suatu tempat, anak bulan tidak kelihatan semasa ia dirukyah tetapi di tempat lain ia kelihatan. Hal
seperti ini sering terjadi di negara besar seperti India.
Sebagai contoh, merukyah anak bulan di Malaysia adalah suatu perkara yang agak sukar dilakukan
kerana langit utamanya di sekitar ufuk sering dilindungi awan tebal. Tambahan pula, keadaan langit
Malaysia yang sering mendung di waktu petang menyukarkan lagi usaha melihat anak bulan. Lebih
menyulitkan apabila ketinggian anak bulan pada hari merukyahnya iaitu pada 29 Syaaban atau 29
Ramadhan adalah begitu rendah dan jarang melebihi 5. Namun, bagi negara-negara di Asia Barat, anak

bulan lebih mudah kelihatan kerana ketinggiannya dari ufuk adalah lebih tinggi dan umurnya yang lebih
tua berbanding ketika ia kelihatan di Malaysia.

Hisab Falak
Bagi negara-negara Barat seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat, mereka menggunakan hisab
falak atau perhitungan astronomi sebagai dasar dalam menentukan kelihatan anak bulan. Dengan
menggunakan kaedah ini, anak bulan dianggap sudah kelihatan selepas berlakunya ijtimak (bulan dan
matahari berada pada kedudukan selari) tanpa mengambil kira sama ada anak bulan berada di atas ufuk
ataupun tidak semasa matahari terbenam. Walaubagaimanapun, kemungkinan selepas berlaku ijtimak,
anak bulan berada di bawah ufuk semasa matahari terbenam.

Rukyah dan Hisab Falak


Di Malaysia, penentuan pemulaan puasa dan hari raya puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab falak.
Data-data falak berkaitan anak bulan diperolehi bagi membantu kerja-kerja mencerap anak bulan pada
29 syaaban dan 29 Ramadhan. Jika anak bulan kelihatan. .... semasa cerapan dilakukan, maka esoknya
adalah awal puasa atau hari raya. Namun, anak bulan yang kelihatan haruslah memenuhi kriteria atau
syarat-syarat berikut:
Semasa matahari terbenam, ketinggian anak bulan haruslah tidak kurang daripada 2 di atas ufuk
Semasa matahari terbenam, jarak lengkung antara matahari dan bulan mestilah tidak kurang daripada
3
Atau
Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam

Jika anak bulan tidak kelihatan pada hari tersebut, maka hisab falak akan digunakan. Hisab falak akan
memberitahu tentang kedudukan anak anak bulan sama ada pada ketika itu ia sudah boleh kelihatan
ataupun tidak. Jika anak bulan sudah wujud dan boleh dilihat, maka hisab falak akan digunakan sebagai
kaedah penetapan awal Ramadhan atau Syawal. Namun, jika hisab falak menyatakan sebaliknya, maka
bulan tersebut; Syaaban atau Ramadhan, akan degenapkan menjadi 30 hari.

Perbezaan Matlak

Matlak bermaksud jarak di antara negara. Dalam masalah penentuan awal Ramadhan dan Syawal,
perbezaan matlak juga merupakan salah satu faktor ketidakseragaman permulaan puasa dan hari raya,
akan tetapi faktor perbezaan matlak ini hanya wujud dalam mazhab Syafie sahaja. Ini berdasarkan hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Muslim mengenai perbualan antara ibnu Abbas dengan Quraib yang telah
dihantar ke Syam :
Maksudnya : Ibnu Abbas bertanya kepada Quraib : Bilakah kamu melihat hilal? Aku pun menjawab :
Kami melihatnya pada malam Jumaat. Ibnu Abbas lantas bertanya lagi : Adakah engkau sendiri
melihatnya? Aku menjawab : Ya. Orang lain pun melihatnya dan mereka pun berpuasa, Muawiyah pun
berpuasa. Ibnu abbas berkata : Kami di sini melihat hilal Ramadhan pada malam Sabtu dan kami terus
berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat hilal Syawal. Aku bertanya :
Tidakkah memadai bagi kamu hilal itu dilihat oleh Muawiyah dan puasanya? Ibnu Abbas menjawab :
Tidak! Beginilah Rasulullah S.A.W. menyuruh kami.

Hadis ini menunjukkan Ibn Abbas (Madinah) tetap berpegang dengan keputusan rukyah di Madinah dan
berpuasa pada hari Sabtu, tanpa terikat dengan keputusan Muawiyah di Syam yang mana mereka
berpuasa pada hari Jumaat.
Daripada hadis ini kita dapat melihat bahawa perbezaan matlak atau jarak antara negara menjadi salah
satu faktor yang menyebabkan berlakunya ketidakseragaman permulaan puasa dan hari raya di
kalangan negara-negara Islam, bahkan di dalam sesebuah negara itu sendiri.
Kesemua kaedah yang telah disebutkan di atas telah menjadi pegangan umat Islam di seluruh dunia.
Malah di sesebuah negara ada yang menggunakan beberapa kaedah yang berbeza berdasarkan
pemahaman dan kesesuaian mengikut penafsiran mereka. Maka sudah tentulah kaedah yang berbeza
akan menghasilkan keputusan yang berbeza. Hanya segelintir atau kadang-kadang sahaja kenampakan
hilal pada sesebuah negara adalah sama dan jarang-jarang sahaja yang berbeza.

Setelah kita mengkaji dan mengetahui segala sebab-sebab berlakunya perbezaan awal Ramadhan dan
hari raya di seluruh negara, maka kita sebagai umat islam tidak harus cepat membuat kesimpulan
tentang perbezaan ini. Bak kata pepatah melayu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kerana ada
segelintir yang tidak memahami sebab yang berlaku, dan mengapa perbezaan tarikh Islam ini boleh
terjadi, dan mereka pula cuba memandai-madai meletakkan hukum dan menyalahkan orang lain dan
mereka juga telah menghasut serta mengusutkan lagi fikiran orang ramai tentang hal ini. Oleh sebab itu,
kita harus bertindak dengan bijak, jangan mudah diperbodoh-bodohkan oleh orang lain. Kita perlu
bertanya kepada orang yang lebih pakar dan arif dalam bidang ilmu falak, jika rasa ragu dan sangsi
tentang sesuatu perkara.
http://falakperak.blogspot.com/2011/07/mungkinkah-kita-berpuasa-dan-berhari.html

Anda mungkin juga menyukai