Anda di halaman 1dari 8

Takhrij mestilah merujuk kepada sumber asal hadith iaitu hadith yang diriwayatkan oleh pengarang asal hadith,

bukannya karya-karya yang mengumpulkan hadith-hadith yang datang daripada karya asal. Contoh sumber asal hadith seperti al-Kutub al-Sittah, Muwatta' Malik, Musnad Ahmad, Mustadrak alHakim, Musannaf `Abd al-Razzaq dan sebagainya. (Mahmud Tahhan, Usul Takhrij al-Hadith Wa Dirasah al-Asanid, h. 12-13). Manakala karya hadith yang bukan sumber asal tetapi mengumpulkan hadithhadith daripada sumber asal seperti Bulugh al-Maram oleh Ibn Hajar, al-Jami` al-Saghir oleh al-Suyuti, alArba`in al-Nawawiyah dan Riyad al-Salihin oleh al-Nawawi. Karya-karya ini bukan sumber asal hadith, tetapi ianya hanya boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan hadith-hadith di dalam karya asal. (Mahmud Tahhan, Usul Takhrij al-Hadith Wa Dirasah al-Asanid, h. 14). Oleh yang demikian, apabila kita merujuk kepada karya-karya ini walaupun ianya bukan karya asal, ianya akan memudahkan kita untuk mendapatkan hadith-hadith di dalam karya asal. Tujuan melakukan takhrij hadith adalah untuk mendapatkan sumber asal hadith, serta hal keadaannya sama ada makbul atau tertolak. (Abu Muhammad `Abd al-Mahdi, Turuq Takhrij Hadith Rasulullah S.A.W., h. 11). Oleh yang demikian, tidak syak lagi bahawa ilmu takhrij hadith adalah sangat penting bagi sesiapa sahaja yang mendalami bidang agama (Mahmud Tahhan, Usul Takhrij al-Hadith Wa Dirasah alAsanid, h. 14) faedah mempelajari ilmu takhrij hadith ialah:

1) Mengetahui sumber hadith. Dengan takhrij, seseorang itu dapat mengetahui hadith-hadith yang dikeluarkan oleh para imam, dan kedudukan hadith di dalam karya-karya asal hadith.

2) Dapat mengumpulkan sanad hadith dalam bilangan yang banyak. Dengan takhrij, seseorang itu akan dapat sampai ke tempat-tempat hadith yang terdapat di dalam pelbagai kitab hadith. Contohnya sesuatu hadith yang mempunyai banyak tempat di dalam Sahih Bukhari, maka hadith yang sama juga dapat diketahui di dalam karya hadith selain Sahih Bukhari. Pada setiap tempat itu dapat diketahui pula sanadnya, dan ada kalanya sesuatu hadith itu mempunyai banyak sanad hadith.

3) Mengetahui hal keadaan sanad hadith menerusi penelitian terhadap turuqnya. Perkara ini penting diperhatikan untuk memastikan bahawa sesuatu sanad itu sama ada terputus, mu`dal atau sebagainya.

4) Mengetahui hal keadaan hadith berdasarkan kepada kepelbagaian tariq hadith. Kemungkinan salah satu tariq hadith adalah daif, maka dengan takhrij hadith kita akan dapati tariqnya yang lain adalah sahih. Kemungkinan juga kita dapati sesuatu sanad hadith itu terputus, maka dengan takhrij hadith dapat menghilangkan kesangsian tersebut.

5) Sesuatu hadith itu boleh naik status disebabkan kepelbagaian tariq hadith. Kadangkala kita temui sesuatu hadith itu daif, tetapi dengan takhrij hadith kita dapati ianya mempunyai mutaba`at atau shawahid yang menguatkannya. Dengan mutaba`ah atau shawahid itu maka kita hukumkannya sebagai hasan.

6) Mengetahui hukum hadith atau hukum yang dikeluarkan oleh para imam dari sudut sahih atau selainnya.

7) Dapat membezakan perkara yang dimuhmalkan pada seseorang perawi hadith di dalam sanad hadith. Sekiraya terdapat pada salah satu sanad hadith, seseorang perawi yang muhmal seperti dikatakan: " "atau: " " sedangkan kedua-dua nama ini dimiliki oleh ramai orang, maka dengan takhrij hadith dan memerhatikan kepelbagaian tariqnya, maka dapat membezakan perkara yang dimuhmalkan itu. Ini kerana pada sebahagian tariq hadith, nama perawi hadith yang dimuhmalkan itu ditentukan.

8) Dapat menentukan sesuatu mubham yang terdapat di dalam hadith. Kadangkala kita temui perawi hadith atau individu tertentu disebutkan secara mubham di dalam matan hadith seperti dikatakan: " " atau: " " atau: "" , maka dengan takhrij hadith yang mempunyai kepelbagaian tariq hadith, akan ditemui pada sebahagian tariqnya, ditentukan individu yang mubham itu.

9) Dapat menghapuskan kesangsian terhadap `an`anah yang dilakukan oleh mudallis. Kadangkala kita temui sanad hadith yang mana perawi mudallis meriwayatkan hadith daripada gurunya dengan tahammul ada' `an`nah yang menjadikan sanad itu terputus. Dengan takhrij hadith, membolehkan kita memerhatikan tariq lain bagi hadith yang sama, kemungkinan perawi mudallis itu meriwayatkan hadith daripada gurunya dengan lafaz tahammul 'ada' dengan katanya: " ","", atau " "yang menunjukkan sanad hadith itu bersambung. Perkara sebegini boleh menghilangkan kesangsian terhadap penyambungan sesuatu sanad hadith yang diriwayatkan oleh perawi mudallis.

10) Dapat menghilangkan kesangsian terhadap periwayatan yang datang menerusi perawi mukhtalit. Sekiranya kita menemui sesuatu hadith yang sanadnya mempunyai perawi mukhtalit, dan kita tidak tahu orang yang meriwayatkan hadith daripadanya adakah sebelum berlaku ikhtilat kepadanya atau selepasnya, maka dengan takhrij hadith perkara sebegini dapat dihilangkan. Seperti pada sebahagian tariq hadith, seseorang perawi hadith meriwayatkan hadith sebelum berlaku ikhtilat kepada perawi

mukhtalit, atau seseorang perawi hadith mendengar hadith daripada perawi mukhtalit hanya pada periwayatan mukhtalit sebelum berlaku ikhtilat kepadanya. Berdasarkan tariq sebegini, maka ianya dapat menguatkan hadith yang kita temui itu. Ianya dapat dipastikan bahawa hadith yang diriwayatkan oleh perawi mukhtalit adalah sebelum berlaku ikhtilat kepadanya.

11) Dapat menentukan seseorang perawi hadith yang tidak ditentukan namanya. Kadangkala kita temui seseorang perawi hadith disebutkan dengan kunyah, laqab atau nisbah, dan ketiga-tiga perkara ini pula dikongsi oleh perawi lain yang ramai bilangannya, maka dengan takhrij hadith dapat diketahui namanya kerana pada sanad lain, namanya disebutkan secara jelas.

12) Mengetahui lafaz tambahan yang terdapat pada sesuatu riwayat. Kadangkala satu riwayat yang kita temui adalah dengan lafaz yang tidak lengkap, lalu hukum-hakam atau makna daripada hadith tidak diketahui dengan jelas. Dengan takhrij hadith yang diperhatikan pada periwayatan yang lain, lafaz tambahan yang terdapat pada periwayatan lain itu dapat menunjukkan kepada hukum-hakam yang jelas, atau dengannya dapat diketahui makna sesuatu hadith dengan jelas.

13) Dapat menerangkan makna gharib yang terdapat dalam hadith. Kadangkala terdapat di dalam sesuatu hadith yang mana lafaznya disebutkan secara gharib, maka dengan takhrij hadith yang mengumpulkan kepelbagaian riwayat, dapat menjelaskan lafaz gharib itu, di mana terdapat pada sehagian riwayat disebutkan dengan lafaz yang tidak gharib.

14) Dapat menghindarkan sesuatu hadith daripada dikategorikan sebagai shadh. Kadangkala sesuatu hadith itu dihukumkan sebagai shadh, tetapi dengan takhrij hadith yang mengumpulkan kepelbagaian riwayat hadith, akan diketahui bahawa lafaz yang disangka shadh itu sebenarnya tidak diriwayatkan secara bersendirian. Ianya disebutkan juga menerusi tariq lain yang dapat menghapuskannya daripada dikategorikan sebagai shadh.

15) Dapat menerangkan mengenai mudraj. Kadangkala seseorang perawi memasukkan lafaznya di dalam matan hadith, maka dengan takhrij hadith yang dapat dilakukan perbandingan antara riwayatriwayat, dapat diterangkan perkara idraj tersebut.

16) Dapat dipastikan lafaz yang tertinggal di dalam matan hadith. Kadangkala seseorang perawi hadith terlupa untuk memasukkan satu bahagian daripada matan hadith, atau ia meriwayatkan hadith secara

ringkas. Dengan takhrij hadith, membolehkan kita mengenalpasti perkara tersebut sama ada ianya tertinggal dalam periwayatan hadith atau diriwayatkan secara ringkas.

17) Dapat menyingkap perkara-perkara awham atau kesalahan yang dilakukan oleh seseorang perawi hadith. Kadangkala seseorang perawi hadith tersalah dalam meriwayatkan hadith. Dengan takhrij hadith yang dapat dikumpulkan pelbagai riwayat hadith, maka perkara tersebut dapat dijelaskan.

18) Mengetahui sesuatu hadith itu diriwayatkan dengan makna. Kadagkala seseorang perawi hadith meriwayatkan hadith dengan makna, maka dengan melakukan takhrij hadith, akan mengetahui perawi hadith lain yang meriwayatkan hadith dengan lafaz.

19) Dapat menerangkan mengenai masa dan tempat sesuatu hadith disebutkan. Dengan mengumpulkan pelbagai riwayat hadith, maka membolehkan kita untuk mengetahui masa dan tempat sekiranya sebahagian riwayatnya menerangkan mengenai hal tersebut.

20) Mengetahui sebab-sebab sesuatu hadith itu disebutkan. Kadangkala sesuatu hadith itu disebutkan adalah disebabkan seseorang individu atau beberapa individu. Dengan takhrij hadith yang dikumpulkan pelbagai riwayat bagi satu hadith, maka akan dapat diketahui sesuatu hadith itu disebutkan adalah disebabkan seseorang individu atau beberapa individu.

21) Mengetahui kesalahan-kesalahan dalam menyalin hadith. Kadangkala kesalahan tersebut berlaku pada sanad hadith, atau ianya berlaku pada matan hadith. Dengan melakukan takhrij hadith yang dikumpulkan pelbagai riwayat, maka kesalahan tersebut dapat diketahui.

(Abu Muhammad `Abd al-Mahdi, Turuq Takhrij Hadith Rasulullah S.A.W., h. 11-14).

Definisi Takhrij Hadis

Menurut pakar bidang hadis di Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Radzi Othman, takhrij hadis didefinisikan sebagai suatu usaha untuk memastikan asal-usul sesebuah hadis itu melalui kitab-

kitab hadis yang muktabar dengan sanadnya yang lengkap daripada pengarangnya hinggalah kepada Nabi Muhammad saw.

Dengan kata lain, ia merupakan suatu proses mengeluarkan semula seberapa banyak maklumat tentang asal-usul sesebuah hadis itu secara bersama apabila setiap hadis itu dinyatakan.

Sementara itu, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor pula mendefinisikan takhrij hadis sebagai menunjukkan tempat adanya hadis dalam sumber-sumber asal yang dikeluarkannya dengan sanad, kemudian menyatakan kedudukannya ketika diperlukan.

Sejarah Takhrij

Sejarah bermulanya takhrij hadis agak lewat. Pada zaman awal Islam terutamanya pada zaman kelahiran kitab-kitab hadis yang bermula pada awal abad ke-2 Hijrah sehingga zaman kecemerlangannya pada abad ke-3 Hijrah, kitab-kitab takhrij hadis masih belum wujud.

Ini kerana para ulama hadis ketika itu tidak memerlukan kitab takhrij hadis lantaran keilmuan mereka yang begitu luas dan ingatan yang mendalam dan kuat mengenai hadis dan kitab-kitab hadis serta metodologi penulisannya.

Mereka berkemampuan mengenal pasti sumber hadis dan kedudukan sesebuah hadis. Apatah lagi hadis-hadis pada ketika itu masih diterima dan diriwayatkan secara bersanad daripada syaikh atau guruguru mereka. Keadaan ini berterusan sehingga beberapa abad lamanya sehingga sampai kepada satu keadaan yang memerlukan kepada kaedah-kaedah tertentu bagi tujuan memudahkan usaha mendapatkan sesebuah hadis.

Keadaan demikian timbul setelah ramai para ulama dan huffaz hadis meninggal dunia dan pengetahuan mengenai hadis dan kitab-kitab hadis berkurangan. Apatah lagi dengan kemunculan pelbagai karya agama yang memuatkan hadis tanpa sanad dalam pelbagai bidang. Ini menyebabkan usaha untuk mengenal pasti sumber dan status sesebuah hadis menjadi semakin sukar.

Berdasarkan faktor inilah ulama hadis telah berusaha mencipta beberapa kaedah dan metod bagi memudahkan para penuntut ilmu khususnya pencinta hadis untuk merujuk dan mengenal pasti sumber dan status sesebuah hadis.

Secara umumnya, ilmu takhrij ini mula diperkenalkan pada abad ke-6 Hijrah. Kitab takhrij yang pertama dihasilkan ialah kitab Takhrij Ahadith al-Muhadhdhab fi al-Fiqh al-Syafi i li al-Syirazi oleh Muhammad bin Musa al-Hazimi (m.584H).

Kemudiannya kitab-kitab takhrij semakin bertambah khususnya pada abad ke-8 Hijrah. Antara yang paling masyhur ialah kitab Nasb al-Rayah li Ahadith al-Hidayah oleh Al-Hafiz al-Zaili, al-Mughni an Haml al- Asfar fi al- Asfar fi takhrij ma fi al-Ihya min al-Akhbar oleh al-Hafiz al-Iraqi (m.806H), al-Talkhis alHabir fi Takhrij Ahadith al-Rafi al-Kabir oleh al-Hafiz Ibn Hajar (m.852H) dan Manahil al-Safa fi Takhrij Ahadith al-Syifa li al-Qadi Iyad oleh al-Suyuti (m.911H).

Kemunculan kitab-kitab takhrij ini terus berkembang sehingga lahir pelbagai jenis kitab takhrij berdasarkan kepada kaedah-kaedah tertentu. Antaranya ialah kitab al-Jami al-Saghir oleh al-Sayuti dan kitab al-Mu jam al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi yang ditulis oleh sekumpulan orientalis diketuai Anderjan Winsenk (m.1939) dengan kerjasama Muhammad Fuad Abd al-Baqi.

Dewasa ini dengan kemunculan komputer dan perisian, para sarjana Islam mengambil peluang menerokai bidang takhrij hadis dengan cuba mengadakan perisian-perisian bagi memudahkan proses mentakhrijkan hadis. Melalui CD-Rom usaha untuk mentakhrijkan hadis pada masa kini menjadi lebih mudah dan cepat.

Kepentingan

Dalam kalangan ahli akademik, terutamanya dalam penulisan ilmiah yang melibatkan penulisan tesis, jurnal, kertas kerja dan sebagainya, aplikasi takhrij hadis memang merupakan satu kemestian. Elok juga, sekiranya kemestian itu dipanjangkan secara sedar dan bertanggungjawab terhadap pengkarya dan penulis dalam penulisan artikel dalam apa jua genre sekiranya mereka memetik hadis-hadis Nabi Muhammad saw. Sekurang-kurangnya mereka hendaklah menggunakan metod termudah dalam takhrij hadis dengan menyatakan sumber ringkas asal-usul dan darjah hadis. Kepentingan takhrij hadis ini amat penting dalam suasana bagi menilai kesahihan sumber hadis rentetan serangan-serangan musuh-musuh Islam dari luar dan dalam yang mencipta hadis-hadis palsu.

Selain itu, mengaplikasikan metod takhrij hadis memberi beberapa manfaat lain seperti dapat mengetahui lafaz sebenar hadis sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Ini kerana kemungkinan hadis tersebut disebut secara ringkas atau dengan maknanya sahaja.

Pemahaman terhadap hadis menjadi lebih baik dengan mengetahui sebab timbulnya hadis dan latar belakang peristiwa yang mendasari hadis. Ini kerana perkara tersebut hanya disebut dan diterangkan dalam kitab asal hadis atau syarahnya.

Di samping itu juga, dengan mentakhrij hadis kita dapat mengumpul sebanyak mungkin riwayat hadis yang membicarakan topik yang sama tetapi berlainan lafaz, riwayat dan sanad. Akhirnya, dengan adanya keikhlasan penulis untuk menyatakan sumber petikan hadis dari kitab asalnya setelah melakukan proses takhrij hadis, ia dapat menambah keyakinan umat Islam terhadap apa yang dibahas dan dibicarakan tentang hadis-hadis yang dipetik.

Kesimpulan

Oleh yang demikian adalah disarankan kepada semua pihak terutamanya para penulis artikel sama ada ilmiah atau pun tidak supaya sentiasa berhati-hati dalam menukilkan hadis Nabi saw. Adalah lebih baik dan beramanah kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, sekiranya kita menyemak terlebih dahulu hadis yang ingin diketengahkan kepada masyarakat agar ia benar-benar bersumberkan dari Nabi Muhammad saw.

Dalam hal ini, pengetahuan tentang ilmu bagaimana mentakhrijkan hadis merupakan satu keperluan kepada mereka yang ingin menutur bicara hadis sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Agar dengan sikap hati-hati itu kita terselamat dari dosa yang cukup besar dengan mendakwa sesuatu itu hadis dari Nabi saw, namun sebenarnya tidak sedemikian.

* DR. MOHD NIZAM SAHAD ialah pensyarah Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0324&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixz z2x58m8PVs Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai