Anda di halaman 1dari 16

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

MUZIK: HUKUM DAN KEDUDUKANNYA


PADA PANDANGAN SYARAK
Oleh: Ustaz Ridhwan Hj Hashim
BA (Univeristi Al-Azhar), MA (UKM)
Bekas Imam Masjid Subang Jaya, Selangor.

MUQADDIMAH
Muzik pada umumnya merupakan alat-alat tertentu yang timbul daripadanya alunan
bunyi dan irama sama ada ia berbentuk yang dipukul atau dipalu seperti gendang, rebana
dan lain-lain atau yang ditiup seperti seruling, serunai, trompet dan lain-lain atau yang
dipetik seperti gambus, gitar, biola dan seumpamanya. Kedudukan hukum muzik ini
bergantung kepada apa jenis alat dan penggunaannya kerana ada diantaranya yang
diharamkan oleh syarak dan ada pula diharuskan. Oleh itu kedudukan hukum muzik itu
sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:
i)
Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syarak, maka kedudukan muzik
itu adalah haram.
ii)
Menggunakan alat-alat muzik yang diharuskan oleh syarak, maka kedudukannya
adalah harus seperti memukul ghirbal (sejenis rebana) sewaktu perkahwinan.
iii)
Bermain alat muzik yang harus, namun telah dicampur dengan perkara-perkara
yang haram seperti nyanyian-nyanyian oleh golongan wanita dalam keadaan
mendedahkan aurat di hadapan golongan lelaki ajnabi atau bukan mahram dengan suara
yang merdu, lirik lagu yang mengandungi unsur-unsur cinta asmara, percampuran dan
pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, disertai dengan arak, judi dan sebagainya.
Para ulamak telah sepakat menghukumkan bermain alat muzik dalam keadaan seperti ini
adalah haram.
Persoalan yang timbul sekarang ialah yang mana satukah alat muzik yang
diharamkan oleh syarak dan mana satu yang diharuskan. Adakah semua alat muzik itu
diharamkan atau semuanya diharuskan atau sebahagiannya diharamkan dan
sebahagiannya pula diharuskan. Jika hukumnya haram, maka apakah pengharaman itu ke
atas alat-alat muzik itu sendiri atau kerana faktor-faktor luar yang beserta dengan alat-alat
muzik tersebut. Inilah yang akan kita bincangkan dalam risalah yang kecil dan ringkas ini
berdasarkan huraian dan pandangan para ulamak yang muktabar.
PANDANGAN ULAMAK MENGENAI ALAT MUZIK
Terdapat pelbagai pandangan di kalangan ulamak mengenai perkara di atas. Mereka tidak
sepakat mengenainya disebabkan perbezaan pandangan dalam memahami hadis-hadis

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

yang menyebut mengenai alat-alat muzik (wajhu ad-dilalah) dan juga dari segi penentuan
kedudukan martabat hadis-hadis yang diriwayatkan mengenainya.
Golongan Ulamak Pertama
Sebahagian ulamak mengharamkan hampir semua bentuk alat hiburan atau muzik.
Mereka berdalilkan kepada beberapa hadis yang menyebut tentang alat-alat muzik yang
ditegah oleh syarak sepertimana berikut:
1. Daripada Abdul Rahman bin Ghunm katanya, Abu Amir atau Abu Malik alAsyari telah menceritakan kepada aku bahawa dia telah mendengar Rasulullah
sollallahu alaihi wasallam bersabda: Pasti akan berlaku satu kaum dari umatku
yang menghalalkan zina, kain sutera, arak dan alat-alat permainan muzik. (1)
(1) Riwayat al-Bukhari (5590) dalam kitab al-Asyribah, bab orang yang
menghalalkan arak dan menamakannya dengan nama yang lain.
2. Daripada Abu Malik al-Aysari katanya, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam
bersabda: Sesungguhnya akan ada segolongan manusia dari umatku yang akan
meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. (Mereka
meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik atau suara para artis. Allah
s.w.t. akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan akan
merubah mereka menjadi kera atau babi. (1)
(1) Riwayat Ibnu Majah (4020) dalam kitab al-Fitan, bab hukuman.
3. Daripada Nafi bahawa Ibnu Umar r.a. telah mendengar suara seruling tukang
gembala. Lalu ditutup dua telinganya dengan dua jari telunjuknya dan
memalingkan kenderaannya dari jalan seraya berkata: Wahai Nafi, adakah kau
masih mendengarnya?. Aku menjawab: Ya. Maka dia terus menjauhkan diri
sehingga aku mengatakan tidak mendengar lagi, baru diangkat tangannya dan
mengembalikan kenderaannya ke jalan. Kemudian Ibnu Umar berkata: Saya
melihat Rasulullah sollallahu alaihi wasallam berbuat demikian sewaktu
mendengar seruling tukang gembala. (1).
(1) Riwayat Abu Daud (4914) dalam kitab al-Adab, bab larangan nyanyian dan
alat muzik; Ibnu Majah (1901) dalam kitab an-Nikah, bab nyanyian dan ad-duff;
Musnad Ahmad (4307) dalam kitab Musnad al-Mukthirin Min as-Sahabah, bab
musnad Abdullah bin Umar bin al-Khattab.
4. Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi sollallahu alaihi wasallam telah
bersabda: Sesungguhnya Allah Taala telah mengharamkan arak, judi, gendang
dan ghubaira (1) dan tiap-tiap yang memabukkan adalah haram.(2)
(1) Ulamak berselisih pendapat mengenai makna alat muzik tersebut. Ada yang
menyatakan tonbur ( alat muzik seumpama gitar yang mempunyai tali daripada

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

tembaga. Berasal dari Parsi). Ada yang menyatakan gitar, ada yang menyatakan
gambus dan lain-lain . Lihat Nailu al-Autar oleh as-Syaukani.
(2) Riwayat Abu Daud (3680) dalam kitab al-Asyribah, bab larangan daripada
perkara yang memabukkan.
5. Daripada Ubaidillah bin Zahr, daripada Ali bin Yazid, daripada Abu Umamah,
daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam sabdanya: Sesungguhnya Allah Taala
mengutuskan aku untuk membawa rahmat dan petunjuk kepada seluruh alam,
dan memerintahkan aku supaya menghapuskan mazamir (alat-alat muzik yang
bertiup) dan kabarat iaitu gambus dan seruling serta berhala-berhala yang
disembah pada zaman jahiliah. ( Riwayat Ahmad ).
Hadis Abu Umamah ini terdapat pada sanadnya Ali bin Yazid al-Ilhani dan dia adalah
rawi yang lemah. Tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber yang lain seperti hadis Ibnu
Masud dan lain-lain sahabat maka hadis ini menjadi kuat. Antara hadis yang menyokong
hadis itu juga ialah hadis riwayat Ibnu Abbas r.a. yang telah berkata bahawa Rasulullah
sollallahu alaihi wasallam bersabda:


Kubah itu haram, dannu itu haram, maazif itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu
haram.
Hadis ini diriwayat oleh al Imam Musaddad dan al-Imam al-Baihaqi dalam as-Sunan alKubra secara mauquf dan diriwayatkan oleh al-Bazzar secara marfu.
Demikianlah beberapa hadis yang menjadi dalil kepada ulamak yang mengharamkan alatalat hiburan ( muzik ). Di sana terdapat beberapa riwayat yang lain, yang tidak perlu
penulis senaraikan ke semuanya di sini kerana lafaznya tidak jauh berbeza dengan hadishadis tersebut di atas selain daripada istidlalnya yang sama.
Dalam kitab al-Muhazzab oleh al-Imam Abu Ishak as-Syirazi ada menjelaskan bahawa
bermain alat-alat muzik itu haram sekalipun tidak diiringi dengan lagu. Kata as-Syirazi:



Dan diharamkan menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan tanpa ada lagu seperti
gitar, thunbur, mazifah, thabl (gendang) dan mizmar.
Adapun dalilnya ialah firman Allah yang bermaksud: Dan ada di antara manusia yang
membeli Lahwu al-Hadis bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah..
( Surah Luqman: 6 )
Berkata Ibnu Abbas: Lahwu al-Hadis sesungguhnya itulah alat-alat hiburan.
Al-Imam an-Nawawi mengatakan dalam kitabnya al- Minhaj dalam Kitab as-Syahadat:

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak



.
Makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya. Dan adalah
haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti
tonbur, gitar, shanj dan mizmar iraqi dan haram mendengarnya.
Dalam Mazhab Hanbali, berkata Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali dalam al-Mughni yang
boleh disimpulkan sebagaimana berikut:
Hiburan itu tiga keadaan:
i) Haram - iaitu memetik tali-tali alat permainan dan alat-alat yang ditiup, memalu
gambus, thunbur dan lain-lain alat hiburan. Sesiapa yang sengaja mendengarnya
maka ditolak kesaksiannya kerana diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali r.a.
bahawa Nabi Sollallahu alaihiwasallam bersabda yang maksudnya: Apabila telah
nyata pada umatKu lima belas perkara nescaya bala akan menimpa mereka.
Maka Baginda menyebutkan di antaranya: Muncul alat-alat nyanyian dan alatalat hiburan.
ii) Harus - iaitu duff (kompang), kerana Nabi Sollallahu alahi Wasallam telah
bersabda yang maksudnya: Zahirkanlah kerja perkahwinan itu kepada orang
ramai dan kamu palulah kompang padanya.
iii) Makruh - iaitu memalu kayu pada kayu apabila tidak dicampur dengan perkara
haram atau makruh.
Abdul Rahman al-Jaziri menyebut: Hukum alat muzik yang bertali seperti tonbur, rebab,
qanun atau bertiup seperti seruling di sisi ulamak hanafiyyah ialah makruh tahrim.
Berkata al-Imam as-Sayyid Alwi al Maliki al Husni: Ketahuilah bahawa alat-alat
hiburan yang mempunyai tali seperti rebab, gitar dan qanun haram mendengarnya dan
haram memainkannya mengikut pendapat yang masyhur dari mazhab yang empat dan
wajib mengingkarinya (mendengar alat-alat tersebut) dan memberikan nasihat
mengenainya. Adapun memukul rebana tidaklah mengapa dalam majlis pernikahan
berdasarkan hadis Nabi Sollallahu alaihi Wasallam yang bermaksud: Iklankanlah
pernikahan dan kamu pukullah rebana (ad-Duff) di atas pernikahan itu. Namun tidak
harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur
tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat rebana) dalam semua upacara
majlis kegembiraan orang-orang Islam.
Golongan Ulamak Yang Kedua

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

Di sana terdapat sebahagian ulamak yang mengharuskan alat-alat nyanyian atau muzik.
Dr. Wahbah menyebut bahawa Imam Malik, az-Zohiriyyah dan sekumpulan ulamak sufi
mengharuskan mendengar nyanyian walaupun bersama-sama dengan alat muzik seperti
al-ud (alat muzik bertali seperti gitar dan seumpamanya) dan lainnya. Inilah pendapat
sekumpulan para sahabat seperti Ibnu Umar, Abdullah bin Jaafar, Abdullah bin azZubair, Muawiyyah, Amru bin al-As dan lain-lain. Begitu juga pendapat sebahagian
tabiien seperti Said bin al-Musayyab.
Antara ulamak yang mengharuskan muzik juga ialah As-Syeikh Mahmud Syaltut. Beliau
telah menjelaskan dalam fatwanya Al-Fatawa Dirasah li Musykilat al-Muslim al-Muasir
fi Hayatihi al-Yaumiyyah wa al Ammah di mana katanya:
Mendengar alat-alat bunyian yang ada irama dan suara yang merdu tiada
boleh dihukumkan haram sebagai ia suara alat atau suara manusia atau suara
binatang. Hanya haram itu apabila digunakan pada perkara haram atau digunakan
untuk tujuan haram atau ia melalaikan daripada perkara yang wajib pada syara .
Selain itu, Dr. Ahmad as-Syarbashi juga menghimpunkan segala fatwa ulamak
dalam kitabnya Yasalunaka an ad-Din wa al-Hayah dalam perkara mendengar muzik
dan nyanyian. Daripada perbincangannya itu dapat disimpulkan bahawa beliau
berpendapat, fatwa al-Allamah as-Syeikh Mahmud Syaltut itu adalah pendapat
pertengahan yang adil di antara ulamak yang mengharamkan dan ulamak yang
mengharuskan dalam perkara muzik dan nyanyian itu.
Al-Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi menegaskan dalam kitabnya
Idhoh ad-Dilalat fi Samai al-Alat -(Menjelaskan dalil-dalil dalam masalah yang berkait
dengan hukum mendengar alat-alat muzik) - bahawa hukum haram segala bentuk alat
muzik yang disebutkan dalam hadis bukanlah disebabkan alat-alat muzik itu sendiri atau
suara dan bunyian yang terhasil daripadanya. Kalaulah dihukumkan dengan sebab yang
demikian, maka sudah tentulah bunyi-bunyian yang merdu seperti suara burung juga
termasuk dalam hukum haram. Sedangkan ulamak telah bersepakat bahawa suara kicauan
burung dan seumpamanya itu tidaklah dihukum haram. Bahkan mengguna dan
mendengar alat-alat muzik dihukum haram adalah disebabkan faktor-faktor luar yang
haram yang beserta dengannya dan juga yang membawa kepada al-Lahwu. Menurut
beliau al-Lahwu ialah perkara-perkara yang dengannya menyebabkan manusia lalai
daripada melakukan ketaatan dan menunaikan kewajipan kepada Allah serta
membawanya kepada melakukan perkara-perkara yang haram dan dilarang oleh syariat.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa sesiapa yang memerhatikan semua hadis
yang datang daripada Rasulullah sollallahu alaihi wasallam mengenai alat-alat muzik ini,
dia akan mendapati larangan-larangan tersebut dikaitkan dengan menyebut al-Malahi
iaitu perkara-perkara yang melalaikan - dan juga menyebut tentang arak, penyanyipenyanyi perempuan yang mendedahkan aurat, perkara-perkara keji dan kefasikan
bersamanya. Ini bermakna ia dihukum haram dengan sebab perkara-perkara haram
tersebut bukannya alat muzik itu sendiri. Hadis-hadis yang tidak menyebutkan perkaraperkara tersebut adalah hadis-hadis Ahad yang tidak boleh dithabitkan hukum dengannya

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

secara qotie (putus dan muktamad). Bahkan hadis-hadis yang bersifat mutlak (umum)
ini, dikhususkan oleh hadis-hadis yang menyebut tentang perkara-perkara haram yang
mengiringi permainan muzik. Dengan itu, maka hadis-hadis yang menyebut tentang
pengharaman alat-alat muzik hendaklah dilihat dalam konteks bahawa ianya disertai
dengan perkara-perkara haram dan boleh menyebabkan kelalaian kerana di sana terdapat
hadis yang melarang bermain muzik dikaitkan dengan perkara tersebut.
Beliau juga mensyaratkan tujuan dan niat yang baik walaupun tidak disertai
dengan perkara-perkara haram dan melalaikan ketika bermain muzik dan mendengar
nyanyian yang diharuskan. Niat memainkan peranan. Sekiranya dia mempunyai niat atau
cita-cita yang tidak baik melalui alat muzik yang dimainkan serta nyanyian harus yang
didengarinya seperti bercita-cita atau berkhayal meminum arak, berfoya-berfoya dan
berseronok dengan perempuan ketika bermain muzik dan mendengar lagu itu atau dia
mahu kalau boleh perkara tersebut ada dalam majlis tersebut, maka hukumnya adalah
haram juga. Peranan niat yang membawa kesan kepada hukum harus dan haram ini
samalah seperti peranan niat ketika membaca al-Quran bagi mereka yang berada dalam
keadaan berhadas besar. Jika dia berniat membaca al-Quran maka hukumnya adalah
haram dan jika berniat zikir maka hukumnya adalah harus. Begitu juga seseorang yang
minum air teh dengan niat minum arak dan juga seorang suami yang bersetubuh dengan
isteri dalam keadaan dia niat menggauli atau menggambarkan isterinya itu adalah
perempuan tertentu yang bukan isterinya maka kedua keadaan tersebut, hukumnya adalah
haram.
Pendapat Al-Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi ini turut dipersetujui
oleh al Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa sebagaimana tersebut dalam kitabnya Fatawa
Mustofa az-Zarqa. Bahkan beliau turut memperakui bahawa kitab karangan Al-Allamah
as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi tersebut adalah sebagai rujukan terbaik dalam
mengetahui hukum yang berkait dengan masalah alat-alat muzik. Dalam kitab Fatawanya
juga, al-Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa telah menukilkan pandangan al-Allamah Ibnu
Abidin r.a. dalam Hasyiahnya, syarah kepada kitab Raddu al-Mukhtar di mana nas katakatanya ialah:
Aku berpendapat: Ini semua memberi maksud bahawa alat-alat muzik itu
bukanlah haram kerana alat muzik itu sendiri, tetapi ia di sebabkan al-lahwu
(iaitu disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan daripada
menunaikan tanggunggjawab dan kewajipan kepada Allah). Hukum ini sama
sahaja sama ada orang yang mendengarnya atau bermain menggunakannya .
Beliau seterusnya menegaskan Apakah kamu tidak lihat bahawa hukum
bermain alat muzik itu, kadang-kadang harus dan kadang-kadang dihukum
haram. Ini semua adalah disebabkan perbezaan niat dan tujuan mendengarnya.
Dan sesungguhnya setiap perkara itu adalah berdasarkan kepada tujuan dan
niatnya .
Di antara ulamak mutakhir di zaman kita ini yang sependapat dengan golongan
ulamak yang kedua ini ialah as-Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhowi sebagaimana dijelaskan
dan dihuraikan dengan pangjang lebar dalam kitabnya Malamih al-Mujtama al-Muslim

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

Allazi Nansyuduhu - ( Ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang kita idamkan) - dan juga
al Halal wa al-Haram fi al-Islam - ( Halal dan haram dalam Islam ). Dalam huraian
tersebut beliau telah menolak hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh golongan yang
mengharamkan alat-alat muzik dengan menyatakan bahawa hadis-hadis yang
diriwayatkan mengenai alat-alat muzik adalah dipertikaikan kesahihannya.
Sekalipun hadis ke 1 (lihat hadis-hadis yang menjadi hujjah kepada golongan
yang mengharamkan alat-alat muzik di atas) di sebutkan dalam kitab Sahih al-Bukhari
tetapi ia termasuk dalam kategori al- Muallaqat bukan termasuk dalam kategori hadis
yang sanadnya bersambung. Pada sanadnya terdapat seorang perawi Hisyam bin Ibn
Ammar yang dipersoalkan oleh sebahagian ahli hadis. Abu Daud berkata tentangnya:
Beliau meriwayatkan empat ratus hadis yang tidak mempunyai sebarang sandaran. Imam
Ahmad berkata: Dia tidak teliti dan lemah akal. Al-Hafiz az-Zahabi pernah berkata
mengenainya: Beliau jujur dan banyak riwayat, namun ada perkara yang tidak disenangi
tentangnya. Selain daripada dipertikaikan kesahihannya, pendalilannya juga
dipertikaikan. Ini kerana perkataan al-maazif sebagaimana dalam hadis tersebut belum
ada persepakatan tentang maknanya secara tepat. Menurut sebahagian orang ia
bermaksud permainan-permainan . Ini sangat umum. Ada juga yang mengatakan ia
bermakna alat-alat muzik .
Selain itu, hadis itu juga tidak mempunyai makna yang jelas tentang
pengharamannya kerana ungkapan ( yang diterjemahkan dengan makna
mereka menghalalkan ) dalam hadis itu mempunyai dua makna sebagaimana yang
disebutkan oleh Ibn al-Arabi. Makna pertama ialah dengan makna hakiki bukan majazi
iaitu mereka beriktikad bahawa perkara tersebut adalah halal. Makna kedua: ia adalah
kiasan (majaz) yang bermaksud bermudah-mudah menggunakan perkara tersebut. Beliau
juga telah menegaskan bahawa hadis ini adalah menjelaskan tentang perilaku sekelompok
manusia yang tenggelam dalam kemewahan, kefoyaan dan arak. Mereka dikelilingi oleh
arak dan wanita, permainan dan nyanyian serta zina dan sutera. Oleh itu kita dapati Ibn
Majah meriwayatkan hadis ini dari Abu Malik al Asyari dengan lafaz yang bermaksud:
Akan ada di kalangan umatKu yang akan meminum arak yang dinamakan
dengan nama lain. Kepala-kepala mereka dipenuhi dengan alat-alat muzik
dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan memasukkan mereka ke dalam
tanah dan akan menggantikan rupa mereka dengan rupa kera dan babi .
Perkara yang sama juga telah diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dan
al-Bukhari dalam kitab Tarikhnya. Setiap mereka yang meriwayatkan hadis ini bukan
melalui Hisyam Ibn Ammar meletakkan ancaman itu ke atas orang yang meminum arak
dan bukannya pada alat-alat muzik tersebut. Alat-alat muzik tersebut hanya dijadikan
sebagai penyempurna dan yang mengikuti mereka.
Di samping itu beliau juga telah menukilkan beberapa riwayat sebagimana yang
disebutkan oleh as-Syaukani dalam kitabnya Nailu al-Awthor bagi menyokong dan
menguatkan pandangan ulamak yang mengharuskan alat-alat muzik. Antaranya ialah:

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

i)

Imam Haramain dalam kitab an-Nihayah dan Ibnu Abu ad-Dunya telah
menyatakan: Para sejarawan telah menukilkan bahawa Abdullah Ibn az- Zubair
memiliki beberapa hamba wanita yang pandai bermain gitar, dan Ibnu Umar
pernah ke rumah beliau serta mendapati al-ud (sejenis alat bertali seperti gitar
dan seumpamanya) terdapat di sisinya. Ibnu Umar berkata: Apakah ini wahai
sahabat Rasulullah?. Abdullah Ibn az-Zubair pun memberikannya kepada Ibnu
Umar untuk dilihatnya. Ibnu Umar menelitinya dan berkata: Adakah ini mizan
syami ( sejenis alat muzik dari Syam)?. Abdullah Ibn az-Zubair berkata: Ya,
dengannya diukur akal manusia.

ii)

Pengarang kitab al-Aqd, al-Allamah al-Adib Abu Umar al-Andalusi


menceritakan: Pada suatu hari Abdullah Ibnu Umar mengunjungi Abdullah Ibnu
Jafar. Beliau mendapati Abdullah Ibnu Jafar memiliki seorang hamba
perempuan yang dalam biliknya terdapat al ud. Kemudian Abdullah Ibnu Jafar
berkata kepada Ibnu Umar: Adakah kamu rasa ia tidak mengapa?. Katanya: Ia
tidak menjadi sebarang kesalahan.

iii)

Imam al-Mawardi telah meriwayatkan daripada Muawiyyah dan Amru Ibn


al-As bahawa mereka berdua pernah mendengar bunyi al-ud yang dimainkan di
hadapan Abdullah Ibnu Jafar. Bahkan Abu Fadhl Ibnu Tahir dalam kitabnya asSima menyatakan: Tiada khilaf di kalangan Ahli Madinah tentang keharusan
al-ud.

iv)

Abu al-Faraj al-Asbahani pernah menyatakan bahawa Hassan bin Thabit pernah
mendengar dari Izzah al-Mila nyanyian syairnya yang diiringi dengan bunyian
alat muzik.

v)

Ar-Rawyani pernah menceritakan dari al-Qaffal bahawa Mazhab Malik bin Anas
mengharuskan nyanyian yang disertakan alat muzik. Al-Ustaz Abu Mansur alFawrani menukilkan dari Imam Malik bahawa beliau mengharuskan al-ud.
Manakala Abi Talib al-Makkiy telah menyebutkan dalam kitabnya Quutu alQulub yang dinukilkan daripada Syubah bahawa beliau pernah mendengar bunyi
gendang besar (thonbur) di rumah al-Minhal Ibnu Amru iaitu seorang ahli hadis
yang masyhur.

vi)

Imam al-Mawardi menceritakan tentang keharusan al-ud di kalangan sebahagian


ulama mazhab syafie. Ia juga diceritakan oleh Abu al-Fadhl Ibnu Tahir dari Abu
Ishak as-Syirazi. Al-Asnawi menyebutkannya dalam kitab al-Muhimmat daripada
ar-Rawyani dan al-Mawardi. Ibnu an-Nahwi meriwayatkan perkara tersebut dari
al-Ustaz Abu Mansur. Ibnu al- Mulaqqin menceritakannya dalam kitab al-Umdah
daripada Ibnu Tahir. Al-Adfuwi menceritakannya daripada as-Syeikh Izzuddin
Ibnu Abdul Salam. Pengarang kitab al-Imta menceritakannya daripada Abu
Bakar bin al- Arabiy. Imam al-Adfuwi juga telah menegaskan keharusannya.

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

Semua mereka itu menyatakan keharusan mendengar nyanyian (yang diharuskan syarak)
bersama dengan alat-alat muzik yang dimaklumi.
Selain daripada Dr. Yusuf al-Qardhowi, bekas Syeikh al-Azhar Fadhilah al-Imam alAkbar as-Syeikh Ja-du al-Haq Ali Ja-du al-Haq (telah meninggal dunia pada pertengahan
90-an) juga bersependapat dengan pendapat yang mengharuskan alat-alat muzik
sebagaimana yang dapat dilihat dalam kitab himpunan fatwa-fatwanya mengenai
persoalan-persoalan semasa yang bernama Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya
Muasirah, juzuk ke v. Dalam jawapan atau fatwanya yang panjang lebar mengenai
hukum mendengar alat muzik itu, beliau akhirnya membuat kesimpulan dengan berkata:
sebagai mengambil sikap jalan tengah antara pendapat-pendapat ulamak tersebut, maka
kami lebih cenderung untuk berkata bahawa mendengar alat-alat muzik walau apa pun
jenis dan bentuknya, menghadiri majlis-majlisnya dan mempelajarinya adalah termasuk
dalam perkara-perkara yang diharuskan. Dengan syarat ia tidak mendorong kepada
membangkitkan nafsu syahwat, perlakuan-perlakuan tidak senonoh dan tidak disertai
dengan arak, tarian-tarian, perkara-perakara yang buruk dan fasik atau digunakan untuk
perkara-perkara haram atau ia digunakan sebagai wasilah atau alat yang membawa
kepada berlakunya perkara haram dan mungkar atau ianya boleh melalaikan daripada
menunaikan tanggungjawab dan kewajipan.
Demikian juga pandangan Prof. Dr. Hamka. Beliau telah menyebut dalam tafsirnya AlAzhar (jil.7, m.s.5559) di mana katanya: Semata-mata nyanyian pada pokoknya tidaklah
haram. Baru jadi haram kalau dia telah menjadi permainan kata-kata yang menimbulkan
syahwat. Majlis Tarjih Muhammadiyyah pada Kongres Muhammadiyyah ke 20 di
Yogyakarta tahun 1931 telah mengambil kesimpulan bahawa ala-alat muzik itu pada
pokoknya tidaklah apa-apa. Dia akan terpuji kalau nyanyian yang dinyanyikan atau
dimuzikkan dapat menambah ghairah agama. Sebaliknya dia menjadi haram hukumnya
jika dia akan menimbulkan kelalaian kita beragama.
Golongan Ulamak Yang Ketiga
Golongan ini ialah golongan yang mengharamkan beberapa jenis alat muzik dan
mengharuskan selain daripadanya. Alat-alat muzik yang diharamkan itu ialah (al-mizmar ) seruling atau semua alat yang ditiup seperti serunai dan seumpamanya, (alawtar ) alat muzik bertali dan (Thoblu al-Kubah ) gendang kecil
yang ramping di tengah. Inilah pendapat di sisi Imam al-Ghazali r.hm. dan mereka yang
sependapat dengannya. Ini kerana ia menjadi lambang kepada peminum arak dan khunsa.
Selain daripada alat-alat muzik tersebut, hukumnya masih kekal seperti asalnya iaitu
harus. Umpamanya rebana sekalipun terdapat loceng kecil padanya, begitu juga dengan
tabuh, syahin dan gendang yang dipukul dengan kayu serta alat-alat lain.
Al-Imam al-Ghazali berhujjah dengan berkata bahawa syarak tidak
mengharamkan alat-alat tersebut kerana kelazatannya. Jikalau ia hanya kerana
kelazatannya maka perkara-perkara lazat yang lain turut dilarang. Ia dilarang atas dasar
turutan (ittiba). Apabila arak diharamkan, maka semua amalan peminum arak turut
diharamkan bersama iaitu alat muzik bertali dan seruling. Keadaan ini samalah seperti

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

pengharaman berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah kerana ia boleh membawa kepada


persetubuhan. Begitu juga dengan pengharaman memandang ke arah peha kerana ia
bersambung dengan dua kemaluan. Diharamkan juga arak yang sedikit sekalipun tidak
memabukkan kerana ia membawa kepada mabuk. Setiap perkara yang mendorong
kepada yang haram mesti diharamkan juga sebagai satu jalan menghalang daripada
terjatuh terus ke dalam jurang yang pasti haram. Muzik bertali dan seruling (atau
seumpamanya) menjadi haram kerana mengikuti pengharaman arak lantaran tiga alasan:
i) Ia boleh mengakibatkan seseorang itu meminum arak, kerana kelazatan yang ada
padanya hanya akan sempurna dengan arak.
ii) Alat ini menyebabkan orang yang baru meninggalkan arak mengingati kembali
majlis-majlis hiburan yang dihidangkan dengan arak. Ini kerana majlis hiburan
tersebut kebiasaannya diserikan dengan alat-alat muzik tersebut. Dengan itu
apabila dia bermain dengan muzik tersebut, maka ia akan membawa kepada
ingatan terhadap majlis itu. Ingatan akan mendorong kepada kerinduan. Dengan
itu alat muzik tersebut menjadi penyebab seseorang yang telah meninggalkan
amalan meminum arak kembali melakukannya.
iii) Terdapat ijma ulamak mengenainya, kerana ia telah menjadi amalan orang fasik.
Oleh itu ia dilarang kerana menyerupai mereka. Ini kerana sesiapa yang
menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk di kalangan kaum tersebut.
Huraian Dan Pendapat Para Ulamak Berkenaan Ayat 6 Surah Luqman. (1)
Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan ada di antara manusia yang membeli Lahwu
al-Hadis bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah dengan tanpa ilmu.
Dan mereka mempersenda-sendakan orang yang berjuang untuk menegakkan agama
Allah. Bagi mereka itu azab yang hina.
Sebab Turun Ayat:
Menurut pendapat yang masyhur sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Juwaibir
daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa ayat ini diturunkan kepada seorang kafir Quraisy yang
bernama an-Nadhar bin al-Harith. Beliau telah membeli seorang jariah, yang merupakan
seorang penyanyi. Apabila an-Nadhar mendengar ada orang yang ingin masuk Islam,
maka orang itu diajaknya datang ke tempatnya, lalu dia berkata kepada penyanyi
tersebut: Berilah orang ini makanan dan minuman, dan perdengarkanlah nyanyianmu
kepadanya. Kemudian dia berkata kepada orang tersebut: Ini lebih baik bagimu daripada
apa yang di ajak oleh Muhammad untuk mengerjakan sembahyang, berpuasa dan
berperang mengikut dia. Maka turunlah ayat di atas, mencela perbuatan jahat tersebut
dan memberi amaran keras dengan siksa api neraka yang sangat pedih dan hina.
As-Suyuti menyebutkan dalam Lubab an-Nuqul fi Asbab an-Nuzul bahawa Ibnu Jarir
meriwayatkannya melalui toriq al-Aufi daripada Ibnu Abbas r.a..

10

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

Pandangan Ulamak Mengenai al-Lahwu al-Hadis


i-

Ibnu Kathir mentafsirkannya dengan makna orang jahat yang berpaling


daripada mengambil manfaat dengan mendengar kalamullah dan menghadap
kepada nyanyian-nyanyian dan alat-alat muzik.

ii-

Abdullah bin Masud menyatakan bahawa maksudnya ialah nyanyiannyanyian sebagaimana maksud kata-katanya: Nyanyian, Demi Allah, yang
tidak ada Tuhan melainkan Dia. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.

iii-

Al-Hasan al-Basri berkata: Ia adalah nyanyian dan alat-alat muzik.

iv-

Mujahid berkata: Ia adalah nyanyian dan alat-alat tiupan.

v-

Ad-Dhohhak mengatakan: Termasuk dalam maknanya juga ialah syirik


kepada Allah.

vi-

Ibnu Jarir berkata bahawa: Setiap perkataan , ucapan, kisah dan cerita yang
bertujuan untuk menghalang manusia daripada menghayati ayat-ayat Allah
dan mengikuti jalannya , maka termasuklah di dalam maksud ayat ini.

vii-

Berkata al-Imam as-Suyuti: Iaitu apa sahaja yang melalaikan daripada


melakukan perkara yang sepatutnya diambil berat.

viii-

Al-Ustaz Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang menegaskan dalam tafsirnya
at-Tibyan Fi Tafsir al-Quran al-Karim bahawa: Termasuk juga makna Lahwa
al-Hadith ialah segala kerja atau kegiatan yang dilakukan pada masa sekarang
ini di atas nama kebudayaan dan seumpamanya yang bertujuan supaya para
belia Islam tidak ada masa untuk pergi berusrah atau mengkaji agama mereka
untuk memahami ajaran agamanya. Kegiatan-kegiatan seumpama ini akan
menghalang para belia Islam untuk bangun berjuang menegakkan agama
Allah. Mereka ini dilalaikan dengan program-program yang sengaja diadakan
untuk menyesatkan mereka.

(1) Lihat Tafsir Ruh al-Maani oleh al-Alusi, Mukhtasar Ibnu Kathir oleh Mohd Ali
al-Sobuni, Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibnu Kathir, Tasir al-Jalalain oleh alSuyuti dan al-Mahalli, al-Jamiu Li Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi dan alTibyan Fi Tafsir al-Quran al-Karim oleh Haji Abdul Hadi Awang.
Kesimpulan
Ulamak yang mengharamkan alat-alat muzik adalah bersandarkan kepada ayat di atas
dengan menyatakan bahawa ia termasuk dalam erti kata al-Lahwu al-Hadith sebagaimana
pendapat al-Hasan al-Basri, Mujahid dan mereka yang sependapat dengannya.

11

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

Manakala ulamak yang mengharuskannya pula berpendapat bahawa ayat di atas


menyebutkan dengan jelas dan terang bahawa larang-larangan itu tidaklah ditujukan
kepada nyanyian atau alat-alat permainan itu sendiri, tetapi ia disebabkan oleh faktor
yang lain iaitu sebagaimana yang diterangkan dalam ayat itu sendiri yang bermaksud:
supaya dia dapat menyesatkan manusia dari jalan Allah. Oleh itu sekiranya nyanyian
dan alat-alat muzik itu dibeli atau dipergunakan untuk melalai dan menyesatkan manusia
dari jalan Allah atau yang boleh mendorong dan mempesonakan orang ramai sehingga
melampaui batas syarak, maka pastilah bahawa hukumnya adalah haram. Bahkan
termasuklah juga semua perkara, benda, alat, program dan apa sahaja yang melalai dan
menyesatkan manusia. Inilah yang dikatakan Lahwu al-Hadith, sebagaimana pendapat
Ibnu Kathir dan juga para ulamak yang lain sebagaimana yang disebutkan di atas. Jika
dilihat kepada sebab turun ayat di atas, ia lebih menjelaskan dan memperkuatkan lagi
pendapat golongan ulamak ini. Ini kerana ia diturunkan kerana mencela an-Nadhar yang
menggunakan hiburan yang terdiri daripada penyanyi dan alat muzik untuk melalai dan
menyesatkan manusia bukannya mencela nyanyian dan alat muzik itu sendiri. Walau
bagaimanapun ia menjadi haram dan dicela jika berlaku sebagaimana yang telah
dihuraikan di atas. Oleh itu ayat ini tidak boleh dijadikan dalil untuk mengharamkan
semua jenis alat muzik sebagaimana yang menjadi sandaran kepada golongan ulamak
yang mengharamkannya.

KESIMPULAN
Daripada perbincangan di atas kita dapat membuat beberapa kesimpulan sepertimana
berikut:i)

Pada umumnya terdapat tiga pendapat ulamak mengenai kedudukan hukum alatalat muzik. Mereka itu ialah:
a)

Yang mengharamkan semua jenis dan bentuk alat muzik kecuali ad-dufuf
iaitu kompang atau rebana yang dipukul ketika majlis pernikahan kerana
terdapat hadis yang sahih mengenai keharusannya. Namun ia tidak harus
memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang
masyhur. Tetapi lawan pendapat yang masyhur adalah harus memukul alat
rebana atau kompang dalam semua upacara majlis kegembiraan umat Islam.

b)

Yang mengharuskan semua jenis dan bentuk alat-alat muzik. Mereka


berpendapat bahawa yang haram itu bukalah zat atau ain alat muzik itu
sendiri tetapi faktor-faktor luar yang mengiringinya itu yang menentukan
sama ada ia menjadi haram atau sebaliknya.

c)

Yang mengaharamkan beberapa jenis alat muzik - iaitu al- Mizmar, alAwtar dan Thoblu al-Kubah dan mengharuskan selain daripadanya.

12

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

ii)

Ketiga-tiga golongan ulamak tersebut di atas mempunyai hujjah dan dalil-dalil


yang masing-masing mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Dalam
perbincangan ini, penulis tidak berhajat untuk mentarjihkan (menentukan
manakah pendapat yang paling kuat dan sahih). Apa yang penting di sini ialah kita
dapati bahawa persoalan berkenaan dengan hukum alat muzik ini merupakan satu
perkara yang menjadi khilaf (perselisihan pendapat) di kalangan ulamak. Mereka
tidak sepakat mengenainya. Ini bermakna ia tidak termasuk dalam perkara ijmak
para ulamak. Inilah yang ditegaskan oleh as-Syeikh Ja-du al-Haq dalam kitab
Fatawa beliau. Dalam fatwanya itu beliau telah menolak dakwaan sesetengah
golongan yang mendakwa bahawa persoalan muzik dan mendengarnya adalah
termasuk dalam perkara ijmak para ulamak. Penolakan beliau itu berdasarkan
kepada apa yang dihuraikan oleh al-Imam as-Syaukani dalam risalahnya yang
bertajuk Ibtol Dawa al-Ijma ala Tahrim Mutlak as-Sima iaitu Membatalkan
Dakwaan Ijma Para Ulamak Ke Atas Hukum Haram Mendengar Muzik Secara
Mutlak. Dengan ini, maka sewajarnyalah kita saling meraikan dan menghormati
pendapat atau pendirian golongan yang mungkin berbeza dengan pendapat atau
pendirian kita. Kita tidak boleh menghukum secara muktamad umpamanya
mengatakan bahawa dia adalah haram sama sekali dan sesiapa yang
menggunakannya, maka dia berdosa, menjadi fasik dan ditolak kesaksiannya. Kita
seharusnya berhati-hati apabila mengeluarkan hukum khususnya yang melibatkan
halal dan haram. Imam Malik pernah berkata: Tidak pernah menjadi sikap
golongan yang telah mendahului kita yang telah menjadi ikutan mengatakan:
Ini halal, itu haram. Sebaliknya mereka berkata: Saya tidak suka ini, saya
berpendapat begini. Dalam menentukan hukum, kita seharusnya juga
mengambil kira dari sudut kepentingan dan kemaslahatan dakwah. Lebih-lebih
lagi dalam keadaan masyarakat kita pada hari ini yang kelihatan hampir sudah
sebati dengan bentuk hiburan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Janganlah
kerana sesuatu keputusan hukum yang diambil itu boleh menyempitkan ruang dan
peluang menyelamatkan masyarakat daripada keadaan tersebut. Di samping itu
kita tidak lupa bahawa apa yang dikatakan keseronokan, hiburan dan
seumpamanya merupakan satu sifat kehendak naluri manusia semulajadi yang
tidak boleh kita hapuskan. Persoalannya bagaimana kita hendak ketengahkan
bentuk hiburan yang diizinkan syarak atau alternatif kepada hiburan yang ada
pada hari ini tanpa kita menafikan kehendak naluri manusia itu.

iii)

Melihat kepada senario industri muzik pada hari ini, melalui konsert-konsert yang
dianjurkan khususnya yang melibatkan artis-artis wanita tanah air atau yang
diimport dari negara-negara luar, maka kita tidak meragui lagi bahawa hukumnya
adalah haram. Ini kerana jelas kepada kita keadaan mereka yang mendedahkan
aurat secara terbuka, mengenakan solekan yang agak keterlaluan dan menari
berlenggang lenggok di atas pentas dengan pakaian menjolok mata. Golongan ini
diberi amaran keras oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam dengan azab api
neraka sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud: Ada dua golongan yang
akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama:
Golongan penguasa yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang
digunakan untuk memukul orang. Kedua: Golongan perempuan yang berpakaian

13

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

tetapi bertelanjang. Berlenggang lengguk waktu berjalan dan menghayunhayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan
bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga,
bahkan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi
syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya. (Hadis
riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.). Di samping pergaulan bebas tanpa
batasan antara lelaki dan perempuan, lirik lagu yang memuja cinta dan manusia
dengan suara yang lunak dan memukau para penonton, melalai dan
mengkhayalkan anak-anak muda sehingga kadang-kadang sampai kelarut malam
sepertimana persembahan yang pernah berlaku di Dataran Merdeka atau Bukit
Jalil yang kelihatan penuh dengan sampah-sampah terdiri daripada kondom,
botol-botol arak dan..dandan seumpamanya, begitulah seterusnya. Inilah
perancangan musuh khususnya Yahudi Laknatullahi Alaihim dan sekutunyasekutunya termasuk golongan yang bertopengkan Islam bagi tujuan menjauhkan
anak-anak muda daripada Islam. Pendek kata, keadaan dan bentuk hiburan di
tanah air kita pada hari ini telah jauh menyimpang daripada batas-batas syariat.
Bukan kerana alat-alat muzik yang dimainkan kerana ia masih terdapat kekhilafan
di kalangan ulamak tetapi bentuk perlaksanaan dan persembahan itu yang
sememangnya disepakati atau ijmak para ulamak akan pengharamannya apabila
berlaku keadaan yang disebutkan di atas. Bagi golongan ulamak yang
mengharuskan alat-alat muzik, bermain dan menggunakan alat muzik dalam
majlis yang haram atau untuk perkara-perkara yang haram atau yang boleh
membawa kepada kemungkaran maka hukum bermain dan menggunakannya juga
adalah haram. Jika tidak, maka hukumnya adalah harus.
iv) Perselisihan pendapat di kalangan ulamak mengenai hukum mendengar
atau menggunakan alat-alat muzik ini khususnya apabila terdapat pendapat
yang mengharuskannya dengan syarat-syarat tertentu, tidak seharusnya
diambil kesempatan untuk mengambil sikap bermudah-mudah dengannya
atau memandang ringan terhadap penggunaan alat-alat muzik tersebut.
Pandangan atau kenyataan yang sering mengaitkan alat-alat muzik dengan
kelalaian, kefoya-foyaan, budaya lepak, membuang masa dan kekhayalan
yang ke semua itu akhirnya mungkin menjebakkan seseorang ke lembah
maksiat, tidak boleh dipandang ringan atau dinafikan begitu sahaja.
Barangkali pandangan atau kenyataan tersebut ada kebenarannya,
terutamanya apabila melihatkan keadaan masyarakat yang terlalu lemah
iman khususnya generasi muda yang mudah terpengaruh dengan budaya
yang tidak sihat dan hanyut dengan keseronokan dunia pada hari ini. Oleh
itu penulis berpendapat bahawa walaupun mungkin kita bersetuju dengan
pendapat golongan ulamak yang kedua ini, ia tidaklah bermakna kita
boleh mendengar atau menggunakannya semahu-mahunya. Kalau boleh
dielakkan daripadanya maka itulah sebaik-baiknya, kerana mengambil
jalan ihtiyathi - iaitu mengambil sikap berwaspada dan berhatihati agar lebih selamat itu adalah sangat digalakkan dalam Islam.
Sekiranya hendak menggunakannya juga maka biarlah dengan sebab yang
kukuh dan munasabah serta wujud keperluannya. Sekali sekala mendengar

14

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

atau menggunakannya untuk mengetuk pintu kesunyian maka itu


barangkali tidaklah menjadi halangan. Asalkan ia tidak menjadi kelaziman
dan kebiasaan kerana kita bimbang ia mungkin boleh melalaikan hati yang
menyebabkan lemahnya iman kita yang sememangnya sudah sedia lemah
ini. Pendek kata, walaupun ia harus pada setengah pandangan ulamak
tetapi kita juga di waktu yang sama hendaklah berhati-hati dengannya.


RUJUKAN
Al-Allamah Jalaluddin Muhammad al-Mahalli dan al-Allamah Jalaluddin Abdul
Rahman as-Suyuti; Tafsir al-Jalalain, Darul Makrifah: Beirut. t.th..
Muhammad Ali as-Sobuni; Mukhtasar Ibnu Kathir, Jil. 3, Cet. II, 1396H, Darul Quran
al-Karim.
Abu al-Fida Ismail Ibnu Kathir; Tafsir al-Quran al-Azim, Jil.3, 1415H / 1994M, Darul
Makrifah: Beirut.
Al-Allamah Abu al-Fadhl Syihabuddin Mahmud al-Alusi; Ruh al-Maani, Jil. 12,
1414H/ 1994M. Cet. Darul Fikr.
Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi; al-Jamiu Li Ahkam al-Quran, Juzuk
13 & 14, 1987M. Al-Haiah al-Misriyyah al-Ammah li al-Kitab.
Abdul Hadi bin Awang; at-Tibyan fi Tafsir al-Quran al-Karim, Cet. 2,
Prof. Dr. Hj. Abd. Malik Abdul Karim Amnullah (Hamka); Tafsir al-Azhar,
Jilid 7, Cetakan V, 2003. Pustaka Nasional Pte-Ltd., Singapura.
Abdul Rahman al-Jaziri; Kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah, Jilid 2,
1410H / 1990M. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Beirut.
As-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi; Idhohu ad-Dilalat fi Samai al-Alat.
Cetakan I, 1401H / 1981M. Dar al-Fikr al-Muasir, Beirut.
Al-Imam as-Syaukani; Nailu al- Awtor. Juzuk 8. Dar al Jail, Beirut.
Al-Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa; Fatawa Mustofa az-Zarqa. Cetakan I,
1420H / 1999M. Dar al-Basyir, Jeddah.
As-Syeikh Ja-du al-Haq Ali Ja-du al-Haq; Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi
Qodhoya Muasirah. Juzuk 5. Al Azhar al Syarif. Mesir.
15

Muzik: Hukum Dan Kedudukannya Pada Pandangan Syarak

Al-Allamah as-Sayyid Muhammad bin Muhammad al-Husaini az-Zubaidi


(masyhur dengan nama al-Murtadho); Ittihaf as-Sadatil Muttaqin bi Syarhi
Ihya Ulumiddin. Juzuk 7, Cetakan I, 1409H / 1989M. Dar al-Kutub alIlmiyyah. Beirut.
Dr.Yusuf al-Qardhowi; Malamih al- Mujtama al Muslim Allazi Nansyiduhu.
Cetakan I, 1414H / 1993M. Maktabah Wahbah, Kaherah.
Dr.Yusuf al-Qardhowi; al-Halal Wa al-Haram Fi al-Islam.Terjemahan Muammal
Hamidy. Cetakan ke IV, 1987. Pustaka Nasional, Singapura.
Dr. Ahmad as- Syarbasi; Yasalunaka fi ad-Din wa al-Hayat. t.th. Dar al-Jail, Beirut.
Dr. Abdul Fattah Mahmud Idris; Hukmu al-Ghina wa al- Maazif fi al-Fiqh al-Islami.
Cetakan II, 1415H / 1994M. Universiti al Azhar al Syarif, Mesir.
Dr. Wahbah az-Zuhaili; Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Cetakan ke II,1405H / 1985M.
Dar al-Fikr.Damsyik.
Pehin Datu Seri Maharaja Ust. Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Islam Dan Muzik:
Fatwa Mufti Kerajaan Brunei. Cetakan II, 2001.MR Prind Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.

16

Anda mungkin juga menyukai