Anda di halaman 1dari 6

Pendekatan Modular dan Objektif Seni Bahasa dan Tatabahasa

Bahasa Melayu Sekolah Rendah Berdasarkan 6C

Disediakan oleh: Najwatul Nadhirah Binti Mohd Azhari

Dewasa ini, pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada abad ke-21 di sekolah
rendah mendepani arus modenisasi dalam melahirkan modal insan minda kelas
pertama dan berkualiti tinggi sebagaimana gagasan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2013).
Penekanan dalam menguasai kemahiran abad ke-21 ini harus bermula dengan
penerapan elemen-elemen dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK 21) yang turut
dikenali sebagai 6C. 6C merangkumi aspek komunikasi, pemikiran kritis dan
penyelesaian masalah, kreativiti, kolaborasi, komuniti dan kewarganegaraan.
Menurut Azalya (2003), bagi menghadapi cabaran globalisasi, rakyat Malaysia perlu
dilengkapi dengan pelbagai kemahiran asas dalam bidang pendidikan serta latihan
yang kukuh dan mempunyai pelbagai kemahiran umum termasuk kebolehan dalam
berkomunikasi, menguasai pelbagai bahasa, berfikiran kritis dan berinovatif. Oleh
itu, kurikulum hendaklah sentiasa disemak, dipantau dan dikemas kini untuk
memastikan ia sentiasa relevan dengan kehendak semasa.

Justeru, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai


satu usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada untuk
memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang
relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21
(Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2011). KSSR ini telah menggunakan Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bahasa Melayu Sekolah Rendah yang
distrukturkan dengan menggunakan pendekatan modular iaitu pemisahan kepada
unit-unit kecil dikenali sebagai modul. Dalam subjek Bahasa Melayu terdapat lima
modul. Tiga modul yang pertama berasaskan empat kemahiran iaitu kemahiran
mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis.
Modul Seni Bahasa dan Modul Tatabahasa menyokong modul-modul kemahiran
tersebut untuk mengukuhkan kecekapan berbahasa murid (Bahagian Pembangunan
Kurikulum, 2016). Modul Seni Bahasa merujuk aspek kebahasaan, keindahan dan
kehalusan dalam bahasa Melayu. Manakala, Modul Tatabahasa merujuk aspek
morfologi dan sintaksis bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid.

Melalui penguasaan kemahiran mendengar dan bertutur, murid dapat


1
berkomunikasi dalam pelbagai situasi dengan lebih berkesan, manakala melalui
kemahiran membaca, murid dapat meningkatkan kosa kata, memperoleh dan
memproses maklumat serta dapat memupuk minat membaca. Penguasaan
kemahiran menulis pula, murid dapat mengaplikasikan maklumat dalam pelbagai
bentuk penulisan bagi menyampaikan idea mereka. Fokus juga diberikan dalam
aspek Seni Bahasa. Murid dapat mengapreasiasikan keindahan bahasa Melayu
melalui pelbagai teknik kemahiran bahasa yang santai dan menyeronokkan.
Penguasaan tatabahasa yang baik membantu murid berkomunikasi dengan
menggunakan sistem bahasa yang betul dan menghasilkan penulisan yang
berkualiti dan kreatif. (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2016).

Sejajar dengan pendekatan modular, objektif aspek seni bahasa dan aspek
tatabahasa merupakan aspek yang saling melengkapi dalam pendekatan ini. Dalam
tulisan Shamsudin Othman, (Kalam Bahasa, Ogos, 2004), konsep “belajar dalam
berhibur” atau “didik hibur” itu adalah pendekatan yang sesuai dengan konsep seni
bahasa yang diperkenalkan. Antara objektif aspek seni bahasa ialah menyebut dan
memahami seni kata lagu melalui nyanyian dengan gerak laku secara didik hibur
iaitu menyanyikan lagu kanak-kanak dan lagu rakyat dengan irama yang betul.
Contohnya berdasarkan buku teks bahasa Melayu tahun 2 jilid 2 pada halaman 10
iaitu menggunakan standard pembelajaran 4.4.2(ii), murid akan menyanyikan lagu
“Setianya Tentera Negaraku” menggunakan irama lagu “Can Mali Can”. Menyanyi
ialah melagukan, nyanyi atau berlagu (Noresah Baharom, 2005). Persembahan
melibatkan pelbagai komuniti juga boleh dilaksanakan melalui aktiviti ini. Oleh itu,
aktiviti seni bahasa yang merangkumi kemahiran mendengar dan bertutur serta
kemahiran membaca ini tentu akan dapat meningkatkan penguasaan kemahiran
bahasa dengan lebih mudah.

Selain itu, objektif aspek seni bahasa ialah mengujarkan ayat menggunakan
bahasa badan secara kreatif melalui penceritaan secara didik hibur iaitu bercerita
dan menuturkan cerita haiwan, cerita jenaka yang menggunakan simpulan bahasa,
bandingan semacam dan perumpamaan yang sesuai. Tamsilnya merujuk buku teks
bahasa Melayu tahun 2 jilid 2 pada halaman 52 iaitu menggunakan standard
pembelajaran 4.3.2(ii), murid akan mempersembahkan cerita jenaka yang bertajuk
“Sang Lembu dan Sang Kerbau”. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator yang
akan membimbing murid dari aspek intonasi suara, keyakinan diri, kesesuaian
bahan dan ketepatan fakta atau isi kandungan (Norhailmi, 2016). Strategi
pemusatan murid turut berlaku menggunakan teknik bercerita yang merupakan
2
aspek kemahiran membaca sekaligus meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

Objektif aspek tatabahasa pula menggunakan kata berimbuhan awalan dan


akhiran mengikut konteks dengan betul. Misalnya aktiviti menulis kata berimbuhan
awalan yang sesuai di ruangan kosong dalam petikan “Tok Batin yang Dihormati”
seperti dalam buku teks bahasa Melayu tahun 2 jilid 2 halaman 12 iaitu
menggunakan standard pembelajaran 5.2.1(iii). Ravitz, J. (2014) menggariskan
kemahiran kreatif dan inovasi sebagai keupayaan murid menjana dan
menyelesaikan masalah dan tugasan yang kompleks berasaskan sintesis dan
analisis tentang sesuatu tajuk atau isi pelajaran serta dapat menjelaskan semula
apa yang telah dipelajari. Kemahiran membaca dan menulis boleh diaplikasikan
dalam aspek ini melalui strategi pemusatan bahan. Selain daripada itu pengajaran
tatabahasa ini penting kepada murid dalam peperiksaan kerana soalan-soalannya
terkandung juga tatabahasa. Namun begitu, menurut Juriah Long (2008),
penekanan yang berlebihan terhadap aspek intelek, khusus untuk tujuan
peperiksaan menyebabkan perkembangan bahasa murid tidak berlaku secara
seimbang. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa membuat perubahan
yang strategik dengan memperkenalkan Pentaksiran Bilik Darjah pada 2016 kepada
murid tahap satu bagi meningkatkan perkembangan, kemajuan, kebolehan dan
pencapaian murid melalui pentaksiran secara berterusan.

Antara objektif tatabahasa juga ialah menggunakan kata adjektif, kata tugas,
kata tanya, dan kata perintah mengikut konteks dengan betul. Contohnya
berdasarkan buku teks bahasa Melayu tahun 2 jilid 1 pada halaman 79 iaitu
menggunakan standard pembelajaran 5.1.4(v) dan (vi), murid boleh menggunakan
kata seru dan kata perintah mengikut konteks dengan betul dalam mengisi jawapan
pada dialog perbualan “Lawatan ke Muzium Padi”. Sebenarnya, terdapat banyak
teknik yang boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid.
Guru boleh berbincang dengan murid itu sendiri tentang teknik yang disukai oleh
mereka seperti nyanyian, lakonan, dialog, kuiz serta forum. Badrul Hisham dan
Mohd Nasruddin (2015) merumuskan bahawa guru-guru perlu menguasai PdP
kolaboratif yang berkonsepkan perkongsian maklumat antara murid dan guru atau
murid bersama murid. Pembelajaran abad ke-21 masih tetap berpusatkan guru,
akan tetapi guru memainkan peranan penting untuk melibatkan murid secara aktif
dalam aktiviti pembelajaran di sekolah (Zamri, 2012). Hal ini menjadikan kaedah
pengajaran bagi mata pelajaran bahasa Melayu ini akhirnya dilihat akan lebih
interaktif supaya sesi PdP akan lebih mudah dihayati dan difahami.
3
Kesimpulannya, teras kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran
(DSKP) bahasa Melayu sekolah rendah ialah kemahiran bahasa yang diterapkan
dalam buku teks melalui lima pendekatan modular iaitu modul kemahiran
mendengar dan bertutur, modul kemahiran membaca, kemahiran kemahiran
menulis, modul seni bahasa dan modul tatabahasa. Dalam hal yang bersifat modal
insan, penguasaan pelbagai kaedah, pendekatan dan teknik dalam PdP abad ke-21
bukan sahaja dapat memperlihatkan bakat terpendam seseorang guru malah lebih
penting daripada itu ialah bagaimana seseorang guru mampu menjadikan dirinya
seorang “pelakon” yang seimbang dalam konteks jasmani, emosi rohani dan intelek
(Abdul Rasid Jamian dan Shamsudin Othman, 2014). Guru-guru perlu kreatif untuk
memilih teknik pengajaran yang menarik dan berkesan kepada murid-murid dengan
menguasai DSKP serta menerapkan 6C dalam pendekatan modular dan objektif
seni bahasa dan tatabahasa bahasa Melayu sekolah rendah. Perkara ini turut
disokong oleh Noraini (2010), yang menyatakan guru dianggap mempunyai
kompetensi tertentu untuk mengembangkan kemahiran, bakat, potensi dan
pengetahuan murid dalam pelbagai bentuk. Justeru, penekanan terhadap aspek
seni bahasa dan aspek tatabahasa secara keseluruhannya meliputi kemahiran
berbahasa di dalam pendekatan modular.

Rujukan
4
Abdul Rasid Jamian dan Shamsudin Othman. (2014). Pelaksanaan elemen sastera
dalam pengajaran dan pembelajaran seni bahasa kurikulum standard sekolah
rendah. Jurnal Bahasa, 292-321. Jabatan Pendidikan Bahasa dan
Kemanusiaan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia.

Azalya Ayob. (2003). Kepentingan kemahiran generik di kalangan pekerja di industri


elektrik dan elektronik di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Projek Sarjana Muda,
Universiti Teknologi Malaysia.

Badrul Hisham Alang Osman & Mohd Nasruddin Basar. (2015). Penilaian Kendiri
Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21 Pensyarah Institut
Pendidikan Guru Kampus Ipoh. Conference Paper Keningau, 1-35.

Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2011). Kurikulum Standard Sekolah Rendah


(KSSR) - Prinsip KSSR. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Bahagian Pembangunan Kurikulum (2016). Dokumen Standard Kurikulum Dan


Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR). Putrajaya: Kementerian Pendidikan
Malaysia.

Juriah Long. (2008). Pendidikan bahasa Melayu antara hasrat dengan pelaksanaan.
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan


Malaysia (PPPM) 2013-2025. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mat Ariffin bin Ismail dan Nurfarah Lo binti Abdullah (2017). Buku Teks Bahasa
Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Tahun 2 Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Mat Ariffin bin Ismail dan Nurfarah Lo binti Abdullah (2017). Buku Teks Bahasa
Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Tahun 2 Jilid 2. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Noraini Idris. (2010). Penyelidikan dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Mc Gram Hill
5
Education.

Noresah Bt. Baharom. (2005). Kamus Dewan Edisi 4. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Norhailmi (2016). Konsep 4C dalam Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) : Malaysia.


[online] Diperolehi di http://www.cikguhailmi.com/2017/01/pembelajaran-
abad-21.html [Diakses pada Februari 20, 2020].

Ravitz, J. (2014). A Survey for Measuring 21st Century Teaching and Learning:
West Virginia 21st Century Teaching and Learning Survey [WVDE-CIS-28].
Department of Education, West Virginia.

Shamsudin Othman. (2004). “Seni Bahasa: Belajar sambil Berhibur atau Didik
Hibur?” dalam Kalam Bahasa. Kuala Lumpur: Sekolah Alam Shah. Ogos:10-
14.

Zamri Mahamod. (2012). Inovasi P&P dalam pendidikan Bahasa Melayu. Tanjung
Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Anda mungkin juga menyukai