Anda di halaman 1dari 11

DWP 10804

KAEDAH MENGAJAR

TAJUK:

MODEL SUCHMAN

DI SEDIAKAN OLEH :

HAFIZI BIN MOHAMAD KAMIL [ 056721 ]

NUR NAJIHAH BT ISMAIL [ 056712 ]

WAN HAFIZAH HUSNA BT WAN MUDA [ 056713 ]

PENSYARAH

USTAZ AZIZ SULAIMAN

TARIKH SERAHAN

( 11 Julai 2020 )
ISI KANDUNGAN MUKA SURAT

1.0 PENGENALAN 2

2.0 LANGKAH-LANGKAH MODEL INKUIRI SUCHMAN 2-4

3.0 APLIKASI MODEL INKUIRI SUCHMAN DALAM

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 5

4.0 IMPLIKASI MODEL INKUIRI SUCHMAN 6

5.0 KELEBIHAN DAN KEKURANGAN MODEL INKUIRI

SUCHMAN 7-8

6.0 KESIMPULAN 8

7.0 RUJUKAN 9 - 10

1
1.0 PENGENALAN

Model pengajaran merupakan satu strategi preskriptif yang dirangka untuk


mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran. Model pengajaran terdiri daripada
prosedur pengajaran dan pembelajaran, di mana pengajaran yang berkesan dapat
dihasilkan melalui prosedur pengajaran yang baik. Malah, model pengajaran berupaya
untuk membantu guru memperoleh maklum balas tentang keberkesanan pengajaran
dan aktiviti susulan yang perlu diambil untuk penambahbaikan.

Model Inkuiri Suchman merupakan salah satu jenis model pengajaran yang
boleh digunakan oleh para guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Perkataan inkuiri berasal dari perkataan bahasa Inggeris iaitu ​inquire atau ​enquire yang
bermaksud mencari, menyelidik, mengkaji dan menguji sesuatu kaedah untuk
memperoleh sesuatu keputusan (Noraini Idris, 2005). Menurut Suchman (1978),
kaedah inkuiri ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang berorientasikan mencari
maklumat, menyoal dan mengkaji.

Melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan inkuiri, pelajar


membina pengetahuan dan kefahaman sendiri melalui penyiasatan dan penerokaan
berasaskan pengetahuan sedia ada. Pelajar amat digalakkan untuk memainkan
peranan yang aktif semasa menjalankan sesuatu aktiviti dengan mengenal pasti
masalah, membuat andaian, membuat hipotesis, merancang penyiasatan, membuat
inferens, mengumpul evidens, menganalisis data dan membuat rumusan.
Justifikasinya, pelajar akan dapat meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif
dan inovatif.

2.0 LANGKAH-LANGKAH MODEL INKUIRI SUCHMAN

Model Suchman merupakan model pengajaran yang menggunakan kaedah


inkuiri dalam pengajaran dan pembelajaran di mana model ini melibatkan enam langkah
utama seperti yang ditunjukkan di dalam ​Rajah 1​.

2
​ angkah-langkah Model Inkuiri Suchman.
Rajah 1. L

Langkah 1:

Pada langkah permulaan, guru berperanan dalam menentukan dan mengemukakan


sesuatu masalah yang bersesuaian dengan objektif pengajaran dan pembelajaran serta
mampu merangsang pemikiran para pelajar. Guru hendaklah menguasai
permasalahan tersebut terlebih dahulu dan menyediakan satu set maklumat ringkas
yang akan digunakan sebagai garis panduan kepada pelajar. Malah, guru juga perlu
mengenal pasti dahulu pengetahuan sedia ada yang dimiliki oleh para pelajar sebelum
memilih dan mengemukakan suatu masalah.

Langkah 2:

Seterusnya, proses inkuiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah diterangkan oleh


guru. Guru akan membacakan permasalahan yang dipilih kepada semua pelajar serta
mengagihkan kertas tugasan. Tambahan pula, terdapat beberapa peraturan yang perlu
dipatuhi oleh pelajar dalam menyelesaikan masalah tersebut antaranya ialah:

● Boleh bertanyakan soalan apabila timbul masalah.


● Boleh berbincang sesama rakan dalam satu tempoh masa ditetapkan.
● Soalan yang ditanya mestilah berbentuk tertutup.
● Dibenarkan untuk terus bertanya soalan selagi mendapat maklum balas yang
positif dan baik daripada guru.

3
Langkah 3:

Dalam langkah ini, pelajar akan dibimbing untuk membuat hipotesis dengan cara
mengumpul data. Setiap persoalan pelajar perlu disoal sebagai suatu hipotesis. Oleh
itu, guru hanya boleh menjawab “ya” atau “tidak” serta boleh membantu pelajar dengan
memberikan ilmu tambahan bila-bila masa yang guru rasa perlu. Data atau maklumat
yang dikumpul oleh para pelajar perlu direkod dalam kertas tugasan yang diberikan
atau mana-mana yang bersesuaian.

Langkah 4:

Teori yang dibentuk oleh pelajar harus di bentangkan sebagai jawapan kepada
permasalahan diberi di dalam kelas sebelum menuju ke langkah seterusnya.
Pelajar-pelajar lain boleh memberi pendapat samada menerima atau menolak teori
tersebut. Maka pada langkah ini, para pelajar akan menyuarakan pendapat
masing-masing.

Langkah 5:

Selepas pelajar menerangkan teori mereka sendiri, para pelajar akan berbincang dan
membuat rumusan untuk mencipta suatu kaedah yang dapat menguji teori tersebut.
Malah, jika pelajar menjumpai kesalahan dalam ujian ataupun teori yang mereka
lakukan, pelajar perlu mengulangi kembali proses pengumpulan data dan melakukan
semula daripada langkah awal.

Langkah 6:

Pada langkah yang terakhir, para pelajar akan menyemak semula proses yang
dilakukan berulang kali sehingga mencapai persetujuan mengenai teori tersebut.
Dengan kata lain, teori yang digunakan oleh mereka dapat diterima dengan baik oleh
orang lain.

4
3.0 APLIKASI MODEL INKUIRI SUCHMAN DALAM PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN MATEMATIK

Permasalahan matematik yang dipilih adalah menentukan rumus luas bagi segi
empat tepat. Terdapat beberapa langkah atau urutan pergerakan bagi menyelesaikan
permasalahan tersebut. Langkah tersebut dimulakan oleh guru dengan membacakan
permasalahan yang dipilih dan mengagihkan kertas tugasan kepada pelajar.

Seterusnya, pelajar akan bergerak ke dalam kumpulan yang telah dibahagikan


oleh guru untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Setiap kumpulan akan
diberikan segi empat tepat yang berlainan saiz untuk dianalisis bagi mengenal pasti
berapa jumlah segi empat sama yang diperlukan untuk mendapatkan luas segi empat
tepat berdasarkan saiz yang telah diberikan.

Kemudian, pelajar akan dibimbing oleh guru untuk membilang bilangan segi
empat sama dalam setiap segi empat tepat untuk mendapatkan luasnya. Bagi setiap
saiz, murid mengira panjang dan lebar rajah, mendarab panjang dan lebar serta
mengira luas. Segala maklumat yang dikumpul perlu direkod dalam kertas tugasan
yang diberi atau mana-mana yang bersesuaian.

Maklumat yang direkod akan disemak dan dianalisis untuk mencari setiap
persamaan dan perbezaan yang wujud. Setelah mengenal pasti persamaan dan
perbezaan tersebut, wakil kumpulan akan membentangkan satu teori yang diperolehi
sebagai jawapan kepada permasalahan yang telah diberikan. Oleh itu, kumpulan yang
lain boleh memberi pandangan mengenai teori yang telah dibentangkan.

Melalui perbincangan, pelajar akhirnya dapat menemui rumus luas segi empat
tepat dan membuat generalisasi bahawa luas segi empat tepat adalah bersamaan
panjang darab dengan lebar. Bagi langkah terakhir, pelajar akan menguji generalisasi
mereka dan guru seterusnya perlu memberi penilaian terhadap hasil yang telah
diperolehi oleh pelajar.

5
4.0 IMPLIKASI MODEL SUCHMAN TERHADAP PROSES PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN

Model Suchman mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran dalam


menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran serta penyediaan bahan pengajaran
yang sesuai. Selain itu, Model Suchman ini guru dapat merancang langkah-langkah
membentuk sesuatu konsep, prinsip ataupun teori dengan jelas dan terperinci (Sangari
Subramaniam t.t). Ini kerana, model ini menggunakan kaji selidik bagi menyelesaikan
permasalahan yang timbul di mana selepas masalah dikenal pasti, hipotesis akan
dibentuk dan aktiviti kajian akan dirancang. Setelah itu, kajian atau penyelidikan akan
dilakukan untuk mencari jawapan kepada masalah yang timbul.

Model ini juga boleh membimbing dan membetulkan aktiviti-aktiviti pelajar yang
terpesong daripada objektif pelajaran (Sangari Subramaniam t.t). Sebagaimana contoh,
untuk subjek al-Quran tingkatan 1 di bawah subtopik ketaatan malaikat kepada Allah
SWT, objektif yang ingin dicapai ialah pelajar dapat membaca ayat 34 hingga 37 surah
al-Baqarah dengan betul dan bertajwid. Oleh itu, guru akan memastikan aktiviti yang
dilaksanakan oleh pelajar tidak terpesong dengan objektif yang ingin dicapai.

Implikasi yang seterusnya ialah menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif


dalam proses inkuiri (Sangari Subramaniam t.t). Ini kerana model ini adalah pengajaran
yang berpusatkan pelajar. Oleh itu, guru hanya bertindak sebagai pembimbing mereka
dalam menyelesaikan masalah. Penglibatan secara aktif akan berlaku apabila guru
menggunakan kaedah penyoalan secara tertutup kepada setiap persoalan pelajar. oleh
itu, pelajar akan berusaha dengan lebih lagi untuk menyelesaikan masalah sehingga
menemui penyelesaian berdasarkan hipotesis yang dibina. Sebagai pelengkap kepada
proses inkuiri ini, guru harus memberi ulasan atau penilaian terhadap hasil inkuiri
pelajar.

6
5.0 KELEBIHAN DAN KEKURANGAN MODEL INKUIRI SUCHMAN

Model pengajaran dan pembelajaran Suchman sering ditekankan kerana model


ini dapat memberi kepuasan diri yang mendalam kepada pelajar. Melalui model ini,
pelajar perlu membuat penerokaan dan melakukan sendiri aktiviti pembelajaran bagi
membolehkan mereka memahami sesuatu konsep (Yeop Yunus & Ishak 2002). Proses
ini berterusan sehingga mereka dapat membuat rumusan sendiri berpandukan
penemuan yang diperolehi dengan penuh keyakinan.

Model Suchman turut membantu pelajar mempelajari cara menyelesaikan


masalah. Pembelajaran berasaskan model ini melibatkan tahap kemampuan pelajar
yang menyeluruh untuk mencari dan menyelidik sesuatu maklumat secara sistematik,
kritis, logik, dan analitik. Pendekatan inkuiri dikatakan berupaya membantu dalam
pemindahan maklumat secara aktif dengan menyediakan suasana pembelajaran yang
dapat mempertingkatkan kemahiran berfikir (Umar & Maswan 2006).

Seterusnya, minat pelajar dalam tajuk atau bidang yang dikaji boleh dipupuk
melalui model ini. Menurut Maidinshah (2004), pengajaran dan pembelajaran yang
menggunakan pendekatan pengajaran inkuiri lebih berjaya menyemai sikap positif
pelajar berbanding dengan pendekatan konvensional. Fetsco & McClure (2005) juga
bersetuju bahawa pelajar akan lebih bermotivasi untuk belajar sekiranya aktiviti yang
dijalankan pelbagai, mempunyai pilihan serta mempunyai elemen kejutan.

Model Suchman mampu memberi kemahiran serta sikap yang perlu untuk
pengajaran kendiri. Hal ini kerana teknik pembelajaran inkuiri sangat berpusatkan
kepada pelajar dan mereka diberi kebebasan untuk meneroka suatu fenomena dengan
bimbingan guru. Disiplin yang tinggi juga amat diperlukan bagi menyelesaikan suatu
permasalahan dan aktiviti sebegini dapat melatih pelajar bertanggungjawab pada
pembelajaran mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran


berasaskan model ini amat bergantung kuat terhadap kemahiran guru dan tahap

7
kesediaan pelajar. Kajian mendapati bahawa sekiranya guru memberi arahan berpandu
yang minimum kepada pelajar dan sekiranya guru yang tidak menguasai keseluruhan
isi kandungan pembelajaran, hasil pengajaran dan pembelajaran akan menjadi kurang
berkesan berbanding pendekatan pembelajaran yang lazim digunakan (Spronken-Smith
et al., 2011).

Selain itu, penggunaan Model Inkuiri Suchman di dalam bilik darjah menjadikan
pengajaran guru bersifat terhad dan kurang berkesan. Guru bakal menghadapi
kesukaran untuk mendapatkan alat bantu mengajar (ABM) atau bahan bantu mengajar
(BBM) yang sesuai dengan kaedah inkuiri (Cheung, 2006). Hal ini kerana kaedah ini
melibatkan proses pembelajaran melalui pemerhatian terhadap suatu permasalahan
dan membuat generalisasi atau rumusan terhadap suatu pola yang ditemui (Maidinshah
dan Abbas, 2002).

6.0 KESIMPULAN

Model pengajaran dan pembelajaran Suchman lebih mengutamakan konsep


belajar cara untuk belajar, di mana pelajar lebih dilatih untuk berfikir secara analitikal
dan meningkatkan kemahiran memproses yang merangkumi pemerhatian, pengelasan,
pengukuran, meramal, menerangkan, membuat inferens dan sebagainya, berbanding
aktiviti-aktiviti memperoleh maklumat. Dengan ini sikap saintifik, kemahiran berfikir
kreatif dan kritis dapat dipupuk dalam kalangan pelajar.

Model pengajaran bukan bertujuan untuk menggantikan kemahiran mengajar


seseorang guru, sebaliknya digunakan untuk mewujudkan persekitaran pengajaran dan
pembelajaran yang kondusif. Guru seharusnya memilih model pengajaran yang sesuai
berdasarkan penelitian aspek yang dilakukan seperti tahap penerimaan pelajar, objektif
pengajaran dan pembelajaran, kemahiran pedagogi, dan sebagainya. Aspek-aspek ini
merupakan faktor utama yang akan mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran
dan pembelajaran yang ingin disampaikan.

8
7.0 RUJUKAN

Fetsco, T., & McClure, J. (2005). Educational Psychology: An Integrated


Approach To Classroom Decisions. Boston: Pearson Education.

Idris, N. (2005). Pedagogi dalam Pendidikan Matematik. Siri Pengajian dan


Pendidikan Utusan. Utusan Publications.

Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM. (2016). Panduan Pengajaran dan


Pembelajaran Berasaskan Inkuiri. Bahagian Pembangunan Kurikulum,
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Maidinshah, H., Abbas, M. (2002). Kajian Terhadap Keberkesanan Kaedah


Pengajaran Matematik Secara Inkuiri Dalam Perkembangan Penaakulan
Saintifik Pelajar. Prosiding. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan
Idris. 81-89.

Maidinsah, H. (2004). Kesan Kaedah Pengajaran Metakognisi-Inkuiri Terhadap


Prestasi Dalam Matematik dan Penaakulan Saintifik Di Kalangan Pelajar
Diploma. Universiti Teknologi Mara: Tesis Ph.D.

Purwoningsih, N. I. (2017). ​Keefektifan Model Suchman Dan Model Taba Dalam


Pembelajaran Menelaah Teks Cerita Fantasi Pada Peserta Didik Kelas Vii
Mts Negeri 1 Semarang ​(Doctoral dissertation, Universitas Negeri
Semarang).

Sangari Subramaniam. (t.t).


https://www.academia.edu/11610340/Tajuk_2_Model-Model_Pengajaran_
Model-model_Pengajaran

9
Spronken-Smith, et al. (2011). Enablers and constraints to the use of
inquiry-based learning in undergraduate education. Teaching in Higher
Education, 16(1), 15-28.

Umar, I.N., Maswan, S. (2006). Aplikasi Pendekatan Inkuiri Dalam Persekitaran


Pembelajaran Berasaskan Web. Pulau Pinang: Penerbitan USM.

Yeop Yunus, N. K., & Ishak, I. (2002). Faktor-faktor Yang mempengaruhi


Pencapaian Pelajar Politeknik Dalam Matematik Pengurusan. Prosiding.
Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris. 81-89.

10

Anda mungkin juga menyukai