Anda di halaman 1dari 1

FUNGSI BAHASA

Berdasarkan artikel yang dibaca, Geoffery Leech (1974) berpendapat bahawa bahasa mempunyai 5
fungsi yang utama. Antaranya ialah infomatif, ekspresif, pengaruh, estetik dan komunikasi.

Menurut Geoffery, bahasa berfungsi sebagai alat infomatif, iaitu menyampai maklumat. Melalui bahasa
yang betul dan teratur, seseorang pendengar atau khalayak dapat menerima dan memahami sesuatu
maklumat yang sedang disampaikan oleh penyampai. Bahasa dapat membantu kita untuk
menyampaikan maklumat yang betul dan tepat dengan berkesan dan penerima boleh faham segala
informasi sedang dikongsikan.

Seterusnya, bahasa berperanan sebagai saluran ekspresi. Dengan menggunakan bahasa, kita dapat
mengeluahkan perasaan, buah fikiran dan pendapat kita dengan orang lain. Dalam sesebuah
komunikasi, bahasa yang digunakan oleh seseorang mencerminkan perasaan dan personalitinya.
Contohnya, seseorang penyajak boleh meluahkan perasaan sedihnya dan semangat cinta akan negara
melalui bahasa yang digunakan dalam sajak.

Bahasa juga berfungsi sebagai alat pengaruh. Dengan kebijaksanaan berbahasa, seseorang mampu
mempengaruhi fikiran atau tingkah laku seseorang. Contohnya, seseorang ketua boleh mengarahkan
ahli-ahlinya untuk bertindak segera dengan memberi arahan secara lisan. Dalam konteks memberi
arahan, bahasa yang digunakan haruslah ringkas dan mudah difahami agar penerima arahan itu boleh
bertindak dengan betul dan dalam kadar segera. Di samping itu, bahasa juga boleh mempengaruhi
pemikiran seseorang. Contohnya, seseorang calon pilihanraya boleh memujuk orang ramai untuk
mendapat sokongan mereka dengan kebijaksanaan penggunaan bahasa dan seseorang ibu boleh
memujuk anaknya yang sedang menangis dengan bahasa yang lemah-lembut.

Seterusnya, bahasa juga berkepentingan untuk menjalinkan hubungan yang baik melalui komunikasi.
Kesopanan dan kesantunan berbahasa merupakan satu elemen yang penting bagi melancarkan setiap
proses komunikasi. Dengan kesantunan berbahasa, setiap komunikasi dapat dijalankan dalam keadaan
yang aman dan mesra. Oleh itu bahasa juga boleh dikaitkan sebagai salah satu faktor yang penting bagi
mengelakkan segala perselisihan faham dalam proses komunikasi agar dapat mengekalkan hubungan
yang terjalin.

Akhir sekali, Geoffery juga berpendapat bahawa bahasa mempunyai nilai estetik. Hal ini dikatakan
demikian kerana sesuatu bahasa boleh mencerminkan keindahan. Contohnya, seseorang penyajak boleh
menyatakan keindahan sesuatu pemandangan dengan bahasa tulisan dan boleh disampaikan kepada
khalayak. Khalayak yang membaca sajak tersebut mampu mengimaginasi keindahan tersebut menerusi
bahasa yang digunakan oleh penulis dalam sajak beliau.

Anda mungkin juga menyukai