Anda di halaman 1dari 4

PERKAITAN ANTARA KEKERAPAN MENGHADIRI PROGRAM

PEMBANGUNAN PROFESIONALISME MENGIKUT BIDANG KURIKULUM

DENGAN EFIKASI KOLEKTIF GURU SEKOLAH MENENGAH DI SABAH

Dewi Isma Madzlan, Khalid Johari, Shukri Zain, Mohd.Khairuddin Abdullah

Universiti Malaysia Sabah(UMS)

PEMBANGUNAN STAF

(PEMBANGUNAN PROFESIONALISME GURU)

Pendidik yang berkualiti bukan sahaja memberi penekanan kepada kemajuan pelajar

tetapi juga kepada kemajuan mereka sendiri. Tanpa pendidik-pendidik yang berkualiti dan

sentiasa ‘update’ dengan perkembangan semasa, kemungkinan besar kemajuan pelajar tidak

akan dicapai dengan sepenuhnya (Salleh, 2000). Kepakaran seseorang boleh menjadi lapuk,

ketinggalan dan menjadi kuno jika pengetahuan dan ketrampilan tidak sentiasa

diperkemaskan (Wan Mohd Zahid, 1993). Oleh sebab itu guru-guru di setiap peringkat dalam

sepanjang kerjaya mereka perlu menguasai pengetahuan dan kefahaman baru dan perubahan

serta inovasi dalam pendidikan yang menuntut para guru secara berterusan melengkapkan diri

agar mereka tetap efektif dan memberi impak langsung terhadap pembelajaran murid.

Implikasinya, pembangunan profesional atau pembangunan staf menjadi komponen

kritikal dalam membentuk guru-guru yang berkelayakan tinggi dan beriltizam. Di samping

itu, dalam masa yang sama guru dituntut untuk meningkatkan kualiti profesion keguruan itu

sendiri agar sistem pendidikan negara kita dapat dimartabatkan bukan sahaja di peringkat

serantau bahkan hingga ke pentas dunia. Kualiti guru dalam konteks ini merujuk kepada

penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap guru yang dapat ditingkatkan melalui

program-program perkembangan profesionalisme.


Kajian memberi fokus kepada permulaan kerjaya seorang guru selepas mendapat

pendidikan dan latihan pengkhususan dari institut perguruan mahupun institut-institut

pengajian tinggi sebagai guru biasa. Proses peningkatan profesionalisme dan sentiasa berlaku

sepanjang kerjaya menerusi kehadiran pelbagai program yang dianjurkan selaras dengan

tuntutan perkembangan pendidikan global. Perkembangan kemahiran profesionalisme dan

pengukuhan menerusi pengalaman mengajar yang diperolehi lazimnya seiring dengan

peningkatan tahap dan gred jawatan mengikut hierarki dari guru biasa, ketua panitia, ketua

bidang dan seterusnya ke jawatan guru cemerlang setelah mendapat pengiktirafan menerusi

lantikan hakiki daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Program pembangunan

profesionalisme adalah sebahagian daripada keseluruhan pelaksanaan pengurusan sumber

manusia dalam sesuatu organisasi (Torrington, 1994). Program-program yang diadakan

dalam program pembangunan profesionalisme termasuklah mengadakan bengkel, seminar,

persidangan, penyelidikan, dan kursus dalam perkhidmatan yang terdiri daripada kursus

jangka pendek dan jangka panjang. Program-program seumpama ini dianjurkan oleh pihak

Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pengurusan Pelajaran Daerah mahupun di

peringkat sekolah (Tang K.N dan Abdul Ghani, 2005).

Seharusnya, guru-guru yang telah menghadiri program pembangunan

profesionalisme mempunyai sikap yang positif ke arah pembentukan efikasi guru yang

mantap memperbaiki tahap kemahiran dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran.

Berdasarkan kepada permasalahan ini, maka penyelidikan dijalankan untuk menentukan

perkaitan antara kekerapan menghadiri program pembangunan profesionalisme dalam bidang

kurikulum dengan efikasi kolektif guru sekolah menengah.

Dapatan kajian menunjukkan kekerapan menghadiri program pembangunan

profesionalisme guru (PPPG) mengikut bidang kurikulum tidak mempunyai perkaitan yang

signifikan dengan efikasi kolektif guru dan kehadiran dalam PPPG tidak memberi pengaruh
yang signifikan dalam efikasi kolektif guru. Kajian oleh Dewi (2010) dan Mohd Syariff

(1997) mendapati tidak terdapat pengaruh yang signifikan dalam bidang pengajaran dengan

efikasi kolektif guru-guru sekolah menengah. Dapatan ini dikukuhkan dengan kajian oleh

Bandura (1997) menyifatkan bahawa efikasi kolektif guru bukanlah mencerminkan kekuatan

kumpulan yang besar dari segi saiznya. Dalam organisasi, efikasi kolektif mencerminkan

kepercayaan ahli berkaitan keupayaan pelaksanaan suatu sistem sosial secara menyeluruh.

Dalam sesebuah kumpulan, ahli-ahli yang berbeza latar belakang dan aras kecekapan

berdepan dengan cabaran yang juga berbeza untuk mencapai matlamat bersama. Hubungan

yang lemah antara ahli boleh menjejaskan peranan kumpulan. Ahli-ahli yang berefikasi tinggi

dalam sesebuah kumpulan berkemungkinan lemah dalam melaksanakan tugasan jika ada

antara mereka tidak memberikan sumbangan yang sepatutnya. Kepercayaan tinggi sesebuah

kumpulan terhadap keupayaan kolektif menjadi petanda terhadap kejayaan. Kajian Bandura

(1993) mendapati kepercayaan kolektif yang kuat di kalangan guru dalam efikasi pengajaran

mereka berjaya meningkatkan pencapaian akademik sekolah.

Maka, apabila dirujuk kepada konteks pendidikan, pendidikan sebenarnya dapat

membantu pertumbuhan sepenuhnya sahsiah seseorang individu dan secara tidak langsung

bertujuan melahirkan insan yang memiliki nilai-nilai kebaikan di tengah-tengah tugasnya

selaku pendidik yang berkesan. Dalam erti kata lain, guru perlu sentiasa meningkatkan

keupayaan diri khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan profesionalismenya dan

Program Pembangunan Profesionalisme merupakan satu wadah terbaik ke arah efikasi guru

dalam mengangkat martabat profesion keguruan. Selaras dengan itu, hubungan guru dengan

konsep profesional telah menjadikan tahap profesionalisme guru menerusi program

pembangunan guru sebagai kayu ukur kepada efikasi guru seterusnya ke arah kecemerlangan

guru. Secara tidak langsung, tahap profesional guru juga akan dapat diangkat ilmu dan efikasi

guru sesuai dengan tuntutan semasa dunia pendidikan moden dan globalisasi.
RUJUKAN :

Bandura, A. 1993. Perceived self-efficacy in cognitif development and functioning.

Educational Psychologist 28(2): 117-148.

Bandura, A. 1997. Self-efficacy: The Exercise of Control. New York: W.H. Freeman.

Dewi Isma Madzlan. 2010. Perkaitan Antara Program Profesionalisme Dengan

Efikasi Kolektif Dalam Kalangan Guru-Guru Sekolah Menengah di Daerah Kota

Belud, Sabah. Disertasi Master yang tidak diterbitkan. Universiti Malaysia Sabah.

Mohd Salleh Lebar. 2000. Pentadbiran Pendidikan dan Pendidikan di Malaysia.

Petaling Jaya: Addison Wesley Longman Malaysia Sdn. Bhd

Mohd Syariff Affendy Matjeraie. 1997. Program Perkembangan Staf Di Sekolah-

sekolah Di Bahagian Samarahan: Persepsi Ketua Panitia Mata Pelajaran. Universiti

Malaysia Sarawak.

Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin. 1993. Wawasan Pendidikan: Agenda Pengisian.

Kuala Lumpur: Nurin Enterprise

Anda mungkin juga menyukai